Friday, 24 February 2012

Mencongak Silap Mata Najib Mengenai Tarikh Pilihanraya

Selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO semalam, Najib telah mengumumkan tarikh untuk persidangan tahunan UMNO cawangan dan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian bagi tahun ini. Tarikh yang diputuskan untuk persidangan tahunan cawangan ialah 1 April hingga 15 Jun manakala mesyuarat perwakilan bahagian pula ditetapkan bermula 1 Julai hingga 15 September.

Buat pertama kalinya tempoh mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tahun ini akan diadakan pada bulan puasa. Puasa dijangka bermula pada 21 Julai. Maknanya tahun ini orang UMNO terpaksa membahagikan masa Ramadannya antara amal ibadat dengan politik.

Turut diumumkan ialah sambutan ulangtahun UMNO ke 66 pada 11 Mei tahun ini akan diadakan secara besar-besaran di Stadium Merdeka.

Mengambil kira tarikh-tarikh yang diumumkan itu serta sambutan bulan puasa yang dijangka bermula pada 21 Julai, kemudian diikuti dengan Hari Raya Aidil Fitri dan kesibukan mengadakan majlis rumah terbuka yang biasanya memakan masa selama sebulan serta pelbagai acara di hujung tahun, persoalan yang timbul ialah bilakah tarikh pilihanraya umum sebenarnya?

Bermula April hingga pertengahan September, UMNO akan sibuk pula dengan mesyuarat cawangan dan bahagian, kemudian diikuti pula sambutan Hari Raya dan rumah terbuka. Mungkinkah selepas September pilihanraya akan diadakan?

Mengikut pengumuman tarikh-tarikh itu, Najib seolah-olah cuba bermain silap mata dengan mengajak pihak pembangkang dan rakyat untuk merasakan dan mempercayai bahawa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun ataupun awal tahun depan.

Tetapi biasanya pada bulan Oktober adalah tarikh pembentangan Belanjawan 2013 manakala Oktober atau November juga biasanya akan diadakan Perhimpunan Agung UMNO. Musim haji juga sekitar September dan Oktober. Musim tengkujuh dan diikuti banjir juga biasanya berlaku pada waktu ini sehingga hujung tahun.

Selain itu, pada hujung tahun juga rakyat biasanya sibuk dengan aktiviti percutian bersama keluarga dan banyak perkara tidak dapat dilakukan waktu ini. Najib sendiri kerap bercuti bersama keluarga pada hujung tahun.

Maka, bilakah Najib mahu memanggil pilihanraya umum? Mungkinkah awal tahun 2013? Harus diingat tempoh pilihanraya umum mesti diadakan ialah April 2013. Lagi pula jika sudah terheret sampai ke tahun 2013, tidak ada yang "surprise" lagi mengenai tarikh pilihanraya.

Nampaknya Najib benar-benar cuba bermain silap mata dan berteka-teki mengenai tarikh piliharaya kali ini. Beliau mahu pihak pembangkang leka sambil meneka-neka dan akan memanggil pilihanraya ketika mereka tidak bersedia. Mungkin dengan cara ini UMNO dan BN berpeluang lebih cerah untuk menang pilihanraya.

Namun demikian, melihat kepada tarikh-tarikh itu dan acara yang biasa berlangsung sehingga hujung tahun, Najib tidak mungkin memanggil pilihanraya selepas bulan puasa. Kebarangkalian pilihanraya umum kali ini akan diadakan sebelum Julai 2012.

Jika pilihanraya tidak diadakan selepas Julai 2012, pilihan lain ialah awal tahun depan. Tidak mungkin pilihanraya diadakan pada hujung tahun kerana adanya kekangan tarikh pembentangan Belanjawan 2013, Perhimpunan Agung UMNO, musim haji, cuti sekolah dan mungkin juga musim banjir.

Namun menangguhkan pilihanraya sehingga tahun 2013 memberi risiko besar kepada Najib, UMNO dan BN. Najib bukan saja terpaksa merangka sekali lagi Belanjawan 2013 untuk memancing undi rakyat tetapi juga terpaksa memberikan sekali lagi bantuan RM500 BR1M, bantuan RM100 untuk pelajar-pelajar sekolah dan juga RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar unoversiti.

Pemberian segala bantuan itu untuk tahun ini dan gula-gula dalam Belanjawan 2012 lalu sudah dianggap terlalu usang untuk dibawa sebagai modal kempen jika pilihanraya diadakan pada tahun 2013.

Dengan melaksanakan sekali lagi pelbagai jenis bantuan one-off itu, kerajaan dijangka tidak akan mampu berbuat demikian kerana sekali saja pun pemberian segala jenis bantuan itu sudah cukup membuatkan kerajaan "senget poket". Bantuan BR1M bernilai RM500 itu saja kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM1.8 billion, itu belum termasuk bantuan RM100 dan RM200 untuk pelajar sekolah dan universiti. Jika pada tahun 2013 pilihanraya diadakan, bantuan one-off itu mesti diberikan lagi, jika tidak risiko kalah amat besar. Andainya pilihanraya diadakan ada pada aqal 2013 dan bantuan one-off diteruskan lagi, mungkin Najib terpaksa meminjam kepada Bank Dunia ataupun IMF.

Melihat kepada situasai ekonomi semasa, Najib dijangka tidak mengambil risiko itu. Jadi, bilakah tarikh piliharaya umum yang sebenarnya?

Walaupun Najib cuba berteka-teki dan bermain silap mata dengan mengumumkan tarikh itu dan ini, pilihanraya dijangka akan tetap diadakan tahun ini. Tarikh sebelum bulan Julai atau sebelum ketibaan puasa adalah dirasakan paling sesuai untuk diadakan pilihanraya. Tarikh tepatnya ialah sekitar penghujung Mei hingga pertengahan Jun.

Tarikh tersebut dirasakan amat sesuai untuk diadakan pilihanraya kerana terdapat cuti sekolah selama dua minggu ketika itu yang membolehkan sekolah dan dewan sekolah digunakan untuk keperluan pilihanraya.

Jika tempoh penghujung Mei hingga pertengahan Jun yang dipilih Najib untuk mengadakan pilihanraya, maka sambutan besar-besaran ulangtahun UMNO di Stadium Merdeka akan digunakan sepenuhnya untuk merangsang serta melonjakkan semangat ahli UMNO terhadap perjuangan parti dan persiapan menghadapi plihanraya. Ia juga akan digunakan untuk mengimbas nostalgia rakyat tentang kemerdekaan negara yang diumumkan di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj serta kaitannya dengan perjuangan UMNO.

Najib merasakan peristiwa itu akan memberi sedikit kelebihan kepadanya dalam menghadapi pilihanraya kali ini.

Ini bermakna pilihanraya kali ini adakah diadakan dalam tempoh cawangan-cawangan UMNO mengadakan persidangannya iaitu antara 1 April hingga 15 Jun. Dan Najib nampaknya sengaja menyebut tarikh persidangan cawangan, tarikh mesyuarat perwakilan bahagian, sambutan ulangtahun UMNO dan pertembungannya dengan bulan puasa, Hari Raya, rumah terbuka, pembentangan Belanjawan 2013, Perhimpunan Agung UMNO, musim haji, musim banjir dan cuti sekolah pada hujung tahun semata-mata untuk bermain teka-teki dan membuatkan pihak pembangkang leka sambil merasakan pilihanraya akan diadakan pada awal 2013.

Pilihanraya kemudiannya akan diumumkan secara tiba-tiba dan pembangkang dilihat tidak bersedia.

Bagaimanapun seorang Ketua UMNO Cawangan memberitahu, silap mata dan teka-teki ini tidak akan menjadi kerana tidak mungkin Anwar Ibrahim, Hadi Awang atau Lim Kit Siang tidak mengkaji sejauh itu. Maknanya, mereka akan tetap bersedia sepanjang masa.

"Kalau ahli UMNO bawahan pun boleh mencongak sedemikian, pastinya Anwar, Hadi dan Lim Kit Siang lebih bijak lagi," tambahnya ketua cawangan itu lagi. (SH 24/02/2012).

3 comments:

  1. PM yang tiada telor? Tak dapat mandat daripada rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.Kemungkinan besar tidak ada PilihanRaya, dalam pemerintahan beliau.Selepas April 2013, istiarkan Darurat dan beliau akan mengetuai pemerintahah Maheran, sama dengan Allahyaham bapa beliau.

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukan MAHERAN tapi MAGERAN, MAHERAN tu nama awek lama aku dolu-dolu tu

      Delete
  2. Tuan

    Saya menonton siaran niteline TV3 sekejap tadi. Yang saya ingin tarik perhatian mengenai sedutan ucapan perasmian sekolah bahasa siam di sebuah wat siam di Kedah hari ini.

    Najib menegaskan bahawa masyarakat siam termasuk dalam kelompok bumiputra. Kedua, UMNO Baru menerima keahlian dari bumiputra...antara lainnya.

    Kenyataan Najib hari ini adalah satu penegasan yang jelas dari pemimpin tertinggi UMNO Baru sejak dari TDM tentang keahlian UMNO Baru bukan lagi sebuah parti ekslusif orang melayu tetapi sebuah parti untuk kaum bumiputra sama seperti PBB, parti Taib Mahmud di Sarawak.

    Saya telah mengulas isu ini di blog tuan sedikit masa dulu. Kenyataan Najib mengesahkannya. Persoalannya sekarang ialah tergamaknya pemimpin2 Umno Baru menipu orang melayu bahawa ia adalah parti ketuanan melayu sedangkan ianya ia telah menjadi sebuah parti BUMIPUTRA apabila ia mengembangkan sayapnya ke Sabah pada awal 90an dulu.

    Kesian kat orang kampung yang mati-matian dok menyokong UMNO Baru atas dasar parti orang melayu ditipu hidup-hidup. Masuk ke Felda dok kelentong peneroka yang majoriti orang melayu agar menyokong penyenaraian FGV menggunakan kata keramat perjuangan untuk orang melayu.

    Sebenar saya sedih dan hiba apabila mengenang orang melayu ditipu hidup2 secara begini. Dimana maruah pemimpin2 Umno Baru sehingga sanggup mengainaya orang kampung demi nak mengekalkan kuasa kemudian merompak these very people.

    bat8

    ReplyDelete