Thursday, 9 February 2012

Kerakusan Mahathir Punca UMNO Tandus Pemimpin Berwibawa

Salah satu isu yang masih membelenggu UMNO hari ini ialah tandusnya pemimpin berwibawa dalam parti itu. Selain berbagai macam skandal dan penyelewengan bertamu di depan mata setiap hari berkaitan dengan UMNO dan para pemimpinnya, ketiadaan pemimpin yang benar-benar berwibawa, bersih daripada skandal dan boleh diterima ramai, menambahburukkan lagi sokongan rakyat terhadap UMNO.

Hari ini dengan Najib menjadi Preiden UMNO dan Perdana Menteri yang disaluti dengan pelbagai cerita skandal, salah guna kuasa, pembaziran dan sebagainya menjadikan kedudukan UMNO makin goyah dan terhakis sokongan rakyat hari demi hari. Najib dilihat tidak berwibawa dan kurang iman sehingga membiarkan dirinya terdedah kepada pelbagai macam perkara.

Muhyiddin sebagai timbalannya, walaupun dilihat sedikit tegas dan ada sedikit wibawa tetapi wataknya yang sombongnya serta cerita-cerita berkenaan penglibatan anak dan menantunya dalam beberapa kontrak kerajaan sejak akhir-akhir ini, turut menjadikan beliau sasaran kecaman dan simbol ketidakyakinan rakyat. Akhirnya Muhyiddin juga dilihat tidak berwibawa dan kurang iman dalam mengendalikan dirinya ketika berhadapan dengan kuasa dan persepsi rakyat.

Di barisan Naib Presiden UMNO yang sepatutnya menjadi pelapis kepada kepimpinan UMNO, turut menimbulkan persoalan dan wajah yang tidak menampakkan keyakinan bahawa mereka itu benar-benar mampu membawa UMNO jauh lebih gemilang dan diterima ramai.

Zahid Hamidi mungkin pemimpin yang baik di kalangan perwakilan UMNO dan PRnya yang mudah tersenyum, ketawa dan suka menghulur bantuan, menjadikannya amat disenangi di kalangan banyak peringkat dalam UMNO. Namun demikian, prestasi beliau sebagai menteri dan pemimpin kepada pelbagai lapisan rakyat, tidak menyerlah sama sekali. Markahnya sebagai Menteri Pertahanan jauh lebih merudum lagi.

Hishammuddin, anak bekas Perdana Menteri ketiga iaitu Tun Hussein Onn, juga dilihat masih jauh dari sasaran dan amat lemah terutamanya dengan kedudukannya sekarang sebagai Menteri Dalam Negeri. Beliau dilihat lebih banyak memberi amaran, menyebut perkataan "sedang dipantau" dan beretorik daripada bertindak. Tuahnya dalam politik dilihat lebih banyak ditentukan oleh kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri serta PRnya yang juga boleh tahan dengan pihak yang mempunyai undi dalam UMNO.

Shafie Afdal turut tidak diyakini sebagai pemimpin pelapis yang berwibawa untuk menerajui UMNO di tahun-tahun mendatang. Wataknya sebagai Naib Presiden dan kepimpinan hadapan UMNO serta kerajaan langsung tidak menyerlah kerana beliau hanya mirip Hang Lekir, Hang Kasturi atau Hang Lekiu saja - tidak ada bezanya sama ada beliau wujud atau pun tidak. Malahan cerita-cerita skandal peribadi dan kementerian yang diterajuinya lebih banyak menghiasi dada-dada media alternatif berbanding sumbangannya dalam UNMO dan kerajaan.

Dalam menilai watak kepimpinan masa depan UMNO, mereka yang menduduki kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden adalah subjek utama berbanding mereka yang menduduki kerusi Majlis Tertinggi, Pemuda,Wanita mahupun Puteri. Sejarah UMNO sendiri telah membuktikan pendakian ke takhta kuasa dalam UMNO dan kerajaan biasanya bermula dengan jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden.

Soalnya bolehkah wajah dan watak yang ada dalam UMNO sekarang sebagai pemimpin dan idola harapan? Semakin yakin serta bertambahkah sokongan rakyat jika mereka mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan nanti?

Dengan Najib dan Muhyiddin yang terus-menerus dipertikaikan dan menjadi antara penyebab UMNO dan BN dalam keadaan terumbang-ambing seperti sekarang, bolehkah kita membayangkan jika UMNO dan kerajaan pada masa hadapan, misalnya diterajui oleh gandingan Zahid-Hishammuddin atau Zahid-Shafie Afdal atau Hishammuddin-Shafie Afdal atau Hishammudin-Zahid atau Shafie Afdal-Hishammuddin. Fikirkanlah dengan tenang dan rasional!

Jawapannya amat jelas bahawa gandingan-gandingan yang dibayangkan itu amat lemah, bahkan ada yang tidak mahu membayangkannya pun. Ia merupakan bayangan yang menakutkan masa depan parti dan negara berdasarkan watak dan perilaku pemimpin-pemimpin tersebut sekarang ini. Tidak ada satu pun di kalangan Naib Presiden sekarang benar-benar diyakini dan berwibawa untuk masa depan UMNO.

Kenapakah UMNO begitu tandus pemimpin berwibawa dan kalau ada pun yang baik, mereka tidak berwibawa, tidak tegas dan kurang karismatik serta boleh diharapkan bukan sahaja oleh ahli UMNO, malahan rakyat keseluruhannya?

Jika disingkap sejarah masa lalu UMNO, tidak dapat dinafikan bahawa punca utama ketandusan pemimpin berwibawa dalam UMNO ini ialah kerana kerakusan Tun Mahathir mahu mempertahankan kuasa. Selepas hanya menang 43 undi dalam pemilihan 1987 bertanding dengan Tengku Razaleigh, Mahathir kemudiannya memulakan keicikan politiknya demi mempertahankan kuasa.

Apabila UMNO dibawa ke mahkamah dan kemudian diisytiharkan haram pada 1988, UMNO tidak merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi terhadap keputusan itu, malahan Mahathir selaku Menteri Dalam Negeri yang turut mempunyai kuasa dibawah Akta Pertubuhan untuk menghidupkan semula UMNO, juga tidak berbuat demikian. Mahathir dan UMNO nampaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan haram itu.

Tembelang daripada keengganan Mahathir membuat rayuan dan menggunakan kuasa yang ada itu terserlah kemudiannya apabila Mahathir menubuhkan UMNO Baru dan menghalang Ku Li serta pengikutnya dalam Team B daripada menyertai parti itu. Oleh kerana dihalang menyertai UMNO Baru, Ku Li kemudian menubuhkan Semangat 46.

Namun tindakan itu menyerlahkan watak sebenar Mahathir yang rakus untuk mempertahankan kuasa. Mahathir kemudian dapat berkuasa dalam UMNO kerana tiada lagi penentang-penentangnya dalam parti itu. Dalam pemilihan 1987, bukan sahaja Mahathir hampir tewas malahan hampir separuh menteri dan timbalan menteri tidak memihak kepadanya.

Kemudian dari itu, demi mempertahankan kuasa juga, Mahathir memperkenalkan beberapa peraturan baru dalam UMNO seperti undi bonus dan kouta pencalonan. Untuk seketika beliau dapat berkuasa dengan selesa. Apabila dilihatnya peraturan itu juga hampir memakan dirinya berdasarkan Tun Ghafar dapat disingkirkan oleh Anwar Ibrahim pada 1993 untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, Mahathir kemudiannya menyingkirkan Anwar daripada UMNO dan kabinet pada 2 September 1998 atas beberapa pertuduhan yang dikaitkan dengan liwat dan rasuah.

Tetapi mengimbas kembali segala peristiwa itu dan kekerasan yang dilakukan terhadap Anwar termasuk dipukul dalam penjara dan diaibkan, rakyat pada umumnya menyedari bahawa motifnya adalah politik semata-mata. Mahathir berandaian jika Anwar tidak segera disingkirkan pada 1998 itu, beliau akhirnya yang akan disingkirkan oleh Anwar memandangkan cengkaman dan pengaruh politik Anwar selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri didapati semakin meluas dan para penyokongnya pula ada yang tidak sabar lagi mahu melihat Anwar segera menjadi Perdana Menteri.

Di sebalik kejayaan Mahathir mengekalkan kuasa daripada peristiwa 1987 dan 1998 itu ialah beliau telah berjaya menjauhkan ramai pemimpin-pemimpin yang berwibawa daripada UMNO. Bersama Ku Li pada 1987 dan Anwar pada 1998 itu, ramai pemimpin dan ahli UMNO yang dilihat berwibawa dan bakal menjadi pemimpin masa depan sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan telah turut sama terpnggir atau meninggalkan UMNO.

Golongan profesional dan mahasiswa yang ingin mencurah bakti dan mempunyai idealisme perjuangan juga mulai jauh hati dan membenci UMNO. Natijahnya sejak itu hinggalah hari ini ramai kalangan profesional memilih parti lain seperti Pas untuk meneruskan perjuangan mereka.

Di dalam UMNO pula, akibat tindakan keras Mahathir menyingkirkan musuh-musuh politiknya sejak berlakunya krisis dengan Musa Hitam yang membawa kepada pertandingan 1987 dengan Ku Li serta pemecatan Anwar pada 1998, secara nyatanya Mahathir telah berjaya memupuk budaya takut dalam UNNO. Sejak itu budaya ampu dan bodek mula berleluasa dan dilihat sebagai satu-satunya kaedah untuk terus hidup dan bernyawa dalam UMNO. Penonjolan diri melalui gerak kerja dan sumbangan idea tidak lagi dilihat penting kerana ia dianggap tidak menjamin survival berbanding kelebihan mengampu dan membodek.

Sejak itu juga UMNO tidak mempunyai ruang lagi untuk mereka yang kritis dan berani bercakap benar. Genarasi baru yang menyertai UMNO dan kemudian berjaya memanjat tingkat kejayaan dalam UNNO serta memperolehi pelbagai kejayaan dan nikmat kemudiannya hanyalah daripada kalangan yang sedia mengamalkan budaya ampu dan bodek serta mereka yang dinanungi oleh pimpinan atasan. Golongan yang ikhlas dan berpendirian akhirnya menjadi semakin mengecil dalam UMNO, dan kalau ada pun mereka ini sering tertewas ditangan mereka yang bermulut manis, mereka yang sanggup bertunggu tangga di pejabat pemimpin serta mereka yang sanggup mengendeng sehingga ke pintu kereta.

Akhirnya oleh kerana kerakusan dan ketamakan Mahathir untuk mempertahankan kuasanya itu telah menyebabkan UMNO menerima padahnya pada hari ini. Jika Mahathir bersikap "gentleman" dan demokratik selepas pemilihan 1987 iaitu sama ada dengan menghidupkan semula UMNO yang telah diharamkan atau dalam proses penubuhan UMNO Baru itu, beliau tidak bersikap pilih-pilih dan membuka ruang kepada semua ahli UMNO menyertainya, senario politik UMNO dan negara mungkin jauh berbeza jadinya. UMNO mungkin terus dibarisi oleh ramai pemimpin berwibawa dan karismatik.

Begitu juga jika dalam berhadapan dengan pengaruh Anwar yang makin menyerlah pada 1998, Mahathir sekali lagi bersikap terbuka dan "gentleman" serta sedia untuk dicabar oleh Anwar, banyak episod sedih yang melibatkan bangsa Melayu dan negara dapat dielakkan sebenarnya. UMNO juga diyakini akan terus berwibawa dan ramai pemimpinnya yang berwibawa masih kekal walaupun mungkin Mahathir tidak berjaya mencecah tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Walaupun ramai pemimpin yang sedang berkuasa hari ini dilihat mendapat nikmat bukan atas kewibawaan mereka tetapi kerana kesan tidak langsung atas kejayaan Mahathir menyingkirkan musuh-musuh politiknya secara licik sehingga ramai pemimpin yang sebenarnya berwibawa diketepikan, hakikatnya UMNO menjadi semakin kelam dan kelabu di mata rakyat. Ketiadaan "kepala" yang baik dan berwibawa menjadikan UMNO ditolak dan berkecamuk.

Oleh kerana ketiadaan pemimpin yang berwibawa untuk masa depan UMNO dan mereka yang memegang kuasa pula gagal menonjolkan imej-imej baik serta sering terdedah kepada pelbagai jenis skandal dan salah laku, natijahnya semakin ramai rakyat kini mahu melihat UMNO direhatkan daripada terus mentadbir negara ini. (SH 9/02/2012)

1 comment:

  1. Tuan,

    1. saya masih berpendapat UMNO Baru adalah SPV yang sengaja dibuat oleh TDM untuk mengekalkan dan MEMUSATKAN puncak kuasa dalam parti dan kerajaan kepada dirinya bukan secara sengaja atau incidental tetapi dengan by intention dan design. Bagi yang mengikuti kes mahkamah tahun 1987 dulu, arguements yang dihujahkan oleh kedua peguam, by each day kita rakyat biasa nampak arah kelihatan memihak kepada kumpulan 11.

    Perlu kita ingat, sebelum perbicaraan terbuka berjalan, hakim telah memanggil peguam kedua belah pihak untuk merangka framework/skop perbicaraan kerana pihak hakim berpandangan perbicaraan ini akan berlanjutan lama kerana skop akta pertubuhan yang baru dipinda oleh TDM itu agak luas. Juga pihak hakim juga menyedari bahawa jika tidak difokuskan, ia boleh mengakibatkan UMNO terbatal. Jika ini berlaku, ia akan memberi kesan kepada kestabilan politik tanah air. ( Ini recollection yang saya masih ingat berdasarkan lapuran MSM setiap hari).

    Akhirnya, dipersetujui 13 perkara yang memjadi skop perbicaraan itu. kedua-dua pihak bersetuju untuk TIDAK membangkitkan bahagian Akta tersebut yang boleh menyebabkan UMNO diharamkan. 13 perkara ini dilapurkan dengan meluas oleh semua MSM masa itu - Inilah basis pendirian saya diatas.

    2. Mungkin perlu dibangkitkan disini suasana penerimaan masyarakat melayu setelah UMNO lama diharamkan dan suasana diawal penubuhan UMNO Baru. Dengan memahami suasana penerimaan orang melayu kepada 2 peristiwa ini, ia akan merintis kepada kefahaman tentang ketandusan pemimpin hari ini dan keadaan bercelaru UMNO Baru hari ini.

    Pengharaman UMNO oleh mahkamah amat mengejutkan orang melayu dan menjadi keliru. To me, it was a catastrophe. Ini mudah difahami kerana UMNO masa itu begitu sinonim dengan orang melayu. Secara umumnya orang melayu yang bersimpati dengan Kuli juga ramai. orang melayu diluar UMNO juga split kepada 2 kem juga. bagi anak-anak muda yang masih kanak2 masa itu atau belum lahir - tentunya sukar untuk mengambarkan suasana masa itu.

    By the time TDM menubuhkan UMNO Baru, the dust surrounding the whole issue has settle down. generally orang melayu sukar menerima kenyataan yang UMNO lama telah mati. yang ada masa tu adalah UMNO baru yang ditubuhkan adalah TDM. Generally, orang melayu melihat UMNO baru dengan agak prejudis. Jadi tidak semua ahli-ahli UMNO lama menjadi ahli UMNO Baru.

    Di kelantan, UMNO baru dipandang seperti pesakit kusta. Bekas pemimpin-pemimpin UMNO tidak ghairah untuk menyertai UMNO Baru kecuali mereka-mereka yang mempunyai kepentingan peribadi seperti Tg Ahmad Rithaudin, menteri luar masa itu. Bahagian-bahagian UMNO baru di Kelantan ditaja oleh mereka-mereka yang sebelum ini yang tidak mendapat tempat dalam kepimpinan bahagian di bawah UMNO lama i.e yang selalu kalah bertanding peringkat bahagian atau pemimpin-pemimpin baru yang belum mempunyai pengaruh kukuh diperingkat bahagian. Maka insiden-insiden dimana penaja-penaja baru ini akan mendaftar ahli-ahli UMNO lama menjadi ahli UMNO baru tanpa pengetahuan ahli tersebut agak meluas di kelantan masa itu.

    bersambung....

    bat8

    ReplyDelete