Thursday, 31 January 2019

KAJIAN TERBARU - 54 PERATUS TAK SETUJU TUN M JADI PM SEPENGGAL, 60 PERATUS TAK PUAS HATI DENGAN PH


Berikut adalah antara beberapa dapatan  hasil kajian terbaru oleh Ilham Centre bersama Penang Institute berkaitan  kerajaan PH dan isu-isu di sekitarnya.


Kajian adalah melibatkan 2,614 responden dan dijalankan bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember 2018 yang lalu.

  • Kajian menunjukkan 53.6 peratus responden tidak bersetuju Tun Mahathir Mohamad menamatkan tempohnya selama lima tahun sebagai Perdana Menteri, sebaliknya perlu menyerahkan pimpinan kepada Anwar Ibrahim seperti yang dirancang.
  • 51.9 peratus responden bersetuju Anwar adalah orang yang terbaik untuk menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.
  • Hampir  60 peratus Melayu masih tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH yang ada sekarang.
  • Kajian itu menyatakan 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu, termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.
  • 60 peratus responden pula percaya orang bukan Muslim sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya.
  • Naratif Islam yang dikemukakan PH sukar difahami ramai orang Melayu kerana falsafahnya terlalu dalam.
  • 59.5 peratus responden tidak bersetuju mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sejak PRU lalu, berbanding 40.8 peratus yang bersetuju.
  • 54.4 peratus bersetuju kerajaan PH mengabaikan hak orang Melayu dan kepentingan Islam, berbanding 45.1 peratus yang berpendirian sebaliknya.
  • 50.1 peratus berpendapat PH tidak serius memenuhi janji pilihan raya dalam manifesto mereka berbanding 49.8 peratus percaya sebaliknya.
  • 58.3 peratus yakin kerajaan pusat tidak serius menangani isu kos sara hidup.
  • 62.9 peratus reposnden yakin orang bukan Muslim kini mengawal kerajaan pusat selepas 9 Mei berbanding 37.2 yang berpendapat sebaliknya.
  • 62 peratus percaya DAP mendominasi kerajaan berbanding parti lain dalam PH.
  • 58.9 peratus percaya kerajaan pusat kini membawa agenda liberal.


Ulasan Blog - Mahu tidak mahu kita harus mengakui dapatan ini ternampak realistik dengan apa yang sedang dirasai oleh majoriti rakyat sekarang ini.


Banyak perkara yang rakyat, khususnya orang Melayu, masih tidak puas hati dengan prestasi kerajaan pimpinan Tun Mahathir.


Di mana-mana kita pergi, lebih banyak terdengar rungutan berbanding suara yang berpuas hati.


Keputusan PRK Cameron Highlands baru-baru ini sebahagiannya adalah menterjemahkan rasa hati yang sedang rakyat rasai ketika itu.


Hampir seminggu selepas keputusan PRK Cameron Highlands, adakah ternampak kerajaan benar-benar sedia berubah, terutama dalam menunaikan janji-janji manifestonya?


Tepuk dada tanya selera, masing-masing barangkali ada jawapannya.


Tanpa keraguan, nampaknya rakyat perlu menghantar satu lagi isyarat penting kepada PH melalui PRK Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac depan.


Rakyat perlu membuktikan mereka adalah “raja” di negara ini dan siapa yang menjadi kerajaan tidak lebih sekadar pelaksana janji dan kata semata-mata. (ShahbudinHusin 31/01/2019)

PEGUAM NEGARA CETUS KRISIS PERLEMBAGAAN TERBARU?


1.  Pada 24.01.2019, KOSMO! ONLINE bertajuk "Tubuh tribunal siasat tuduhan serius membabit ahli SPR" telah melaporkan :


"Satu tribunal ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan serius membabitkan enam Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peranan mereka dalam persiapan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika sebelum dan hari pengundian pada 9 Mei 2018.",


"Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, tribunal itu dianggotai lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.",


"Katanya, mereka terdiri daripada Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selaku Pengerusi dan dianggotai oleh Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham.", dan


"Tribunal akan bersidang di Mahkamah Klang pada pukul 10 pagi, 28 Januari ini untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan enam anggota SPR iaitu bekas Timbalan Pengerusi SPR; Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md. Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong."


(Link Laporan : http://www.kosmo.com.my/terkini/tubuh-tribunal-siasat-tuduhan-serius-membabit-ahli-spr-1.828689)


2. Namun, pada hari pertama persidangan TRIBUNAL berkenaan pada 28.01.2019, Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan Laporan MALAYSIAKINI bertajuk " ‘Tribunal siasat dakwaan salah laku enam ahli SPR hanya akademik’ " yang melaporkan :


"Tribunal khas untuk menyingkirkan enam bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi keliru selepas seorang peguam yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara berkata tindakan itu adalah perkara akademik memandangkan semua mereka telah meletak jawatan.",


"Pada hari pertama pendengaran itu, peguam M Puravelan yang mewakili Badan Peguam Malaysia memberitahu panel lima anggota berkenaan bahawa tujuan ditubuhkan tribunal itu telah diambilalih oleh perletakan jawatan enam anggota SPR itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.", dan


" “Dari segi perkembangan, sebagai pegawai di mahkamah ini, kita bertanggungjawab untuk memberitahu bahawa, itulah kedudukan perundangan Undang-undang Malaysia dan Undang-undang Am,” katanya pada permulaan tribunal itu, yang bersidang hari ini."


(Link Laporan : https://www.malaysiakini.com/news/462039)


3. Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah Kenyataan Peguam Negara TOMMY THOMAS seperti dalam Laporan MALAYSIAKINI 30.01.2019 bertajuk "AG jelaskan mengapa tribunal bukan sekadar akademik" yang melaporkan :


"Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini tampil mempertahankan isu penubuhan tribunal bagi menyiasat enam bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurut sesetengah pihak hanya bersifat akademik.",


"Ini termasuk kenyataan oleh pengerusi tribunal itu sendiri, Steve Shim Lip Kiong yang mempersoalkan penubuhan itu memandangkan semua enam anggota SPR berkenaan telah meletak jawatan pada 1 Januari lalu.",


"Menerusi satu kenyataan media, Thomas menjelaskan semua mereka tidak kebal daripada penelitian dan siasatan tribunal semata-mata kerana mereka telah meletakkan jawatan.",


"Pertuduhan-pertuduhan (salah laku) ini amat serius, dan sekiranya dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan diri anggota-anggota SPR dalam cara pengelolaan PRU-14.", 


"Tempoh yang relevan yang ditugaskan untuk siasatan Tribunal ialah pada hari mengundi (9 Mei 2018)",.


"Anggota-anggota ini masih memegang jawatan dalam SPR pada masa tersebut, dan tindakan mereka pada masa itulah yang disiasat," katanya sambil menjelaskan  tribunal itu mempunyai dua mandat yang berasingan", dan


"Tommy berkata jika tribunal berpuas hati sebegitu, maka mereka perlu membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tindakan yang boleh diambil, termasuk memecat anggota SPR berkenaan."


(Laporan lengkap MALAYSIAKINI 30.01.2019 di Ruang Bawah)


4. Malangnya, rentetan peristiwa dan latarbelakang penubuhan dan prosiding TRIBUNAL itu, seperti yang dirumuskan di Perenggan 1 hingga 3 di atas, telah pada dasarnya menimbulkan satu lagi KRISIS KEPERLEMBAGAAN yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kesemua pihak untuk dielakkan dan dihindarkan dalam era "MALAYSIA BARU " ini. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah ianya telah diakibatkan dan tercetus dari Pejabat Peguam Negara TOMMY THOMAS sendiri, sedangkan antara tanggungjawab utamanya adalah sebagai PENASIHAT UNDANG-UNDANG Kerajaan !!


5. Persoalan PERLEMBAGAAN terpenting ?? !! :


" Adakah PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, membenarkan penubuhan TRIBUNAL di bawah PERKARA 114(3) yang perlu dibaca bersesama PERKARA 125(3), terhadap anggota Suruhanya Pilihan Raya (SPR) setelah mereka sudahpun MELETAK JAWATAN dan peletakan jawatan DITERIMA ataupun TIDAK DIBANTAH pada atau sebelum tarikh efektifnya, iaitu 01.01.2019 ?? !! "


6. Pembacaan satu (1) frasa yang menjadi kata kunci kepada Persoalan di atas adalah perkataan " If the Prime Minister, ... represents to the Yang di-Pertuan Agong that a judge of the Federal Court (digantikan dengan 'a member of the Election Commission' menurut Perkara 114(3)) OUGHT TO BE REMOVED ... ", yang wujud di PEKARA 125(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, yang dengan jelas memberi JAWABAN bahawa seseorang anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) yang ingin dilucutkan jawatan semestinyalah masih dalam jawatan pada masa penubuhan TRIBUNAL berkenaan !!


7. Walhal, bukankah peguam yang dilantik oleh TOMMY THOMAS untuk mewakili Pejabat Peguam Negara, iaitu  M Puravelan sendiri telah mengakui di hadapan TRIBUNAL berkenaan pada hari pertama prosiding bahawa tugasan TRIBUNAL itu sudah menjadi isu akademik sahaja, disebabkan peletakan jawatan kesemua anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) itu telahpun berkuatkuasa pada 01.01.2019, iaitu sebelum penubuhan rasmi TRIBUNAL itu ??!!


8. Bagaimanakah Peguam lantikan TOMMY THOMAS sendiri mempunyai pendapat yang bercanggah dengan pendapat TOMMY THOMAS akan kerelevenan TRIBUNAL ini untuk diteruskan ??!! Percanggahan yang memalukan seperti ini yang melibatkan isu berkaitan PERLEMBAGAAN, TIDAK BOLEH dibenarkan berlaku sama sekali !!


9. Secara alternatif, sekiranyalah  Peguam Negara TOMMY THOMAS sememangnya telah berhasrat untuk adakan TRIBUNAL berkaitan alegasi salahlaku yang ditampilkan terhadap kesemua anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) berkenaan, maka kenapakah Peguam Negara TOMMY THOMAS tidak menasihati Kerajaan (Perdana Menteri) untuk menasihati KeBawah Duli Yang Maha Mulia YDPA supaya surat-surat peletakan jawatan kesemua anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) berkenaan pada ketika itu, samada :


(a) TIDAK DITERIMA sama sekali sehingga penubuhan dan keputusan TRIBUNAL berkenaan ??!!, ataupun


(b) DITERIMA bersyaratkan kepada keputusan TRIBUNAL berkenaan ??!!;


10. Walhal kesahihan pendapat peguam lantikan Pejabat Peguam Negara, iaitu  M Puravelan bukan sahaja disokong oleh peruntukan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (seperti yang dinyatakan di Perenggan 6 di atas), malah peletakan jawatan kesemua anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) berkenaan, tidak langsung menutup jalan PERLEMBAGAAN dan PERUNDANGAN sebenar untuk TOMMY THOMAS teruskan dengan hasrat beliau untuk meneliti dan mengambil tindakan berkaitan kesemua alegasi terhadap anggota-anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) berkenaan, melalui nasihat yang wajar kepada Kerajaan (Perdana Menteri) untuk menasihati KeBawah Duli Yang Maha Mulia YDPA untuk menubuhkan satu SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) dengan terma-terma rujukan alegasi berkaitan, supaya SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) dapat membuat rekomendasi yang sewajarnya berhubung tindakan lanjut yang perlu diambil di sisi  PERLEMBAGAAN dan PERUNDANGAN  terhadap anggota-anggota SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) berkenaan, sekiranya alegasi salahlaku tersebut adalah terbukti kelak !!


11. Perlu juga dinyatakan bahawa tindakan TOMMY THOMAS dalam mengeluarkan Kenyataan yang bertentangan dengan Hujah peguam yang dilantik oleh TOMMY THOMAS sendiri, untuk mewakili Pejabat Peguam Negara, iaitu  M Puravelan semasa prosiding hari pertama di hadapan TRIBUNAL berkenaan, yang kini sebenarnya telah ditangguhkan untuk KEPUTUSAN isu yang sama, adalah tidak mmematuhi tatasusila dan peradaban mana-mana pihak yang terlibat dalam prosiding berbentuk KEHAKIMAN yang menanti KEPUTUSAN, kerana boleh berbentuk "salah campur dalam urusan keadilan" ("interference with the course of justice"), dan boleh dalam budibicara mutlak pihak berkenaan dianggap secara lanjut sebagai penghinaan terhadap TRIBUNAL berkenaan  !!


12. Walau apa sekalipun, ianya kini adalah KEWAJIBAN diri TOMMY THOMAS mengambil segala langkah yang perlu di sisi PERLEMBAGAAN dan PERUNDANGAN untuk memperbetulkan segala kesalahan dan kekhilafan yang memalukan dan menjengkelkan ini, dan seterusnya untuk MEMINTA MAAF kepada Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia di atas pelaksanaan tugas berhubung isu TRIBUNAL ini, yang sememangnya amat memalukan dan menjengkelkan ini!!


Haniff Khatri Abdulla

Peguam.

Wednesday, 30 January 2019

KAUKUS PARLIMEN ANGKAT KEDUDUKAN RAKYAT MISKIN DESA DAN BANDAR


Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus diwujudkan adalah bertujuan untuk mengkaji dan meneliti segala undang-undang, peraturan, cadangan, usul, petisyen, lampiran atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan langkah-langkah dan matlamat untuk menaiktaraf dan memperbaiki institusi Parlimen sebagai mekanisme semak imbang yang efektif.


Dalam pada itu, Kaukus ini yang dipengerusikan oleh saya turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak. Dari pihak Kerajaan, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman. 


Dari pihak Pembangkang pula adalah Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 


Kaukus ini akan menyelia perjalanan urusan pentadbiran Kerajaan di setiap peringkat bagi memastikan keberkesanan ekonomi dan perjalanan pentadbiran Kerajaan. 


Dalam hal ini, Kaukus ini boleh mengemukakan permintaan kepada pihak Kerajaan untuk memperkukuhkan tadbirurus dalam Kerajaan yang berkaitan skop kajian Kaukus ini bagi penelitian dan pembaharuan. 


Mesyuarat Kaukus semalam (29 Januari 2019) telah membincangkan hala tuju Kaukus dan turut membuat beberapa syor dan cadangan, antaranya seperti berikut:


1. Untuk memastikan Kaukus ini dapat berfungsi dengan lebih efektif, maka usaha akan diambil untuk menjadikan Kaukus ini sebagai Jawatankuasa Pilihan Bersama Bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di bawah Peraturan 87, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Perkara ini akan dibincangkan dengan Tuan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Tuan Yang di-Pertuan Dewan Negara mengenai perlaksanaan Jawatankuasa bersama ini berserta dengan terma-terma rujukannya;


2. Laporan Tahunan SUHAKAM akan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar Ahli-Ahli Parlimen dapat memberikan pandangan dan cadangan dalam mengatasi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia;


3. Semua rang undang-undang yang dibentangkan ke Parlimen oleh Kerajaan perlu melalui saringan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat atau Kaukus ini; 


4. Cadangan agar YAA Ketua Hakim Negara mengetuai panel bebas mengenai reformasi institusi perundangan negara;


5. Kaukus menyokong gesaan YAB Perdana Menteri untuk memastikan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dilaksana dan diterjemah secara berkesan, terutama dalam kalangan pemimpin politik dan penjawat awam dalam pentadbiran Kerajaan sekarang; dan


6. Tumpuan mesyuarat kaukus berikut akan menjurus kepada penilaian keberkesanan tindakan Kerajaan dalam mengangkat kedudukan rakyat miskin desa dan bandar.


ANWAR IBRAHIM

Pengerusi, 

Kaukus Reformasi dan Tadbirurus Parlimen

Ahli Parlimen Port Dickson

30 Januari 2019.

JIKA RASA2 TAK MAMPU TUNAIKAN JANJI, BAIKLAH MINTA MAAF DAN LETAK JAWATAN DENGAN SEGERA!!


Di mana-mana ketika ini, semakin ramai yang bersuara menuntut agar kerajaan PH segera menunaikan janji-janji utama yang dibentangkan kepada rakyat sebelum PRU14 lalu.


Bukan saja mereka yang merupakan penyokong BN dan rakyat biasa yang mula menuntut perkara tersebut, malah ketika ini kalangan daripada dalam PH sendiri sudah tidak segan-segan bersuara mengenainya.


Anwar Ibrahim dan Dr. Rais Yatim adalah antara yang agak ke depan mahukan kerajaan menunaikan janji-janji manifesto itu, terutama untuk memungkinkan nasib malang di Semenyih dapat dielakkan sepertimana di Cameron Highlands.


Blog ini juga sudah beberapa kali memuatkan tulisan betapa perlunya manifesto PRU14 segera diusaha untuk ditunaikan sebelum kesan penolakan rakyat kian membesar yang akhirnya menyebabkan PH kecundang dalam PRU15 akan datang.


Realitinya, apakah kerajaan PH ini benar-benar serius mahu menunaikan janji mereka?


Benarkah kekangan kewangan kerajaan benar-benar merupakan halangan yang tidak dapat dielakkan untuk menunaikan semua janji manifesto itu?


Sebagai kerajaan yang berjaya menumbangkan BN buat pertama kali sejak merdeka dan sebahagian kejayaan itu adalah atas janji-janji bulan madu yang dihamburkan kepada rakyat, Tun Mahathir Mohamad dan PH tidak boleh semudahnya lepas tangan atau berlengah-lengah dalam perlaksanaannya.


Rakyat lebih menilai kejayaan kerajaan jika mampu menunaikan banyak janji kepada tersebut berbanding keghairahan Tun Mahathir mahu menjulang namanya kembali di pentas antarabangsa atau kerapnya beliau melawat luar negara.


Bukan tidak penting melakukan lawatan ke luar negara atau menjalin hubungan dengan negara luar, tetapi glamour di pentas antarabangsa tidak akan menyebabkan perut rakyat terisi dengan sendirinya.


Pokoknya, utamakan kepentingan rakyat sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan hal-hal yang lain.


Jika pun beban kewangan merupakan halangan yang terlalu besar, apakah salah jika kerajaan meminjam lagi demi untuk memberi kesejahteraan dan kebahagiaan kepada rakyat sendiri?


Bukankah suatu ketika dahulu Tun Mahathir sendiri pernah menyebut di pentas Perhimpunan Agung UMNO tentang perlunya kerajaan meminjam daripada negara luar yang sedia memberi faedah rendah asalkan negara terus membangun dan kepentingan rakyat sentiasa terjaga?


Lagi pun, kata Tun Mahathir lagi pada waktu itu, jika meminjam pun bukan beliau yang akan membayarnya!!


Isunya, di ketika desakan kian kuat menuntut kerajaan menunai janji manifestonya ketika ini - terutama berkaitan tol, hutang peneroka dan PTPTN, selain beberapa yang lain yang memerlukan komitmen kewangan - kenapa kerajaan tidak sedia untuk meminjam sekali lagi?


Sebaliknya, jika mahu menunggu kedudukan kewangan selesa dan tidak meminjam baru mahu menunaikan janji-janji manifesto itu, sampai bila rakyat harus bersabar?


Apakah setelah ditolak rakyat di peti undi dalam PRU15 nanti maka barulah PH mahu bangun kembali dengan janji-janji barunya?


Dalam hal ini, PH harus sedar peluang kemenangan mereka dalam PRU14 adalah peluang sekali seumur hidup saja.


Kiranya dalam pilihanraya umum akan datang PH kecundang dan ditolak rakyat, percayalah ia tidak akan mampu untuk bangkit kembali. 


Gagal menunaikan janji akan membuatkan PH tidak lagi dipercayai sampai bila-bila. Malah dengan hilangnya kuasa PH itu nanti, Bersatu terutamanya akan turut masuk kubur sekali.


Sebab itu, janji manifesto penting sekali untuk tidak dimungkiri.


Menjelang sembilan bulan berkuasa dan didapati masih banyak janji 100 hari gagal ditunaikan, apa lagi janji dalam lima tahun tempohnya, PH mulai sekarang perlu berfikir secara serius dan jika boleh sebulan sekali mesti mengadakan mesyuarat berkenaan bagaimana untuk melaksanakannya.


Boleh?


Jika rasa-rasa menunaikan janji itu terlalu berat dan tidak mampu untuk ditanggung lagi, lebih baiklah PH, termasuk Tun Mahathir dan menteri-menteri kabinet sedia ada agar meminta maaf secara terbuka kepada rakyat dan kemudian meletakkan jawatan dengan segera.


Jangan terus bermuka-muka dan membuatkan rakyat kian terseksa.


Apa kata untuk seterusnya kita cuba pula PM8 menunaikan janji-janji yang tergendala itu? (ShahbudinHusin 30/01/2019)

Tuesday, 29 January 2019

MEMENJARAKAN NAJIB SEMATA-MATA TIDAK MENJAMIN RAKYAT GEMBIRA


Dalam tulisannya yang seperti biasa adalah atas kapasiti peribadi sebagai blogger dan bukan sebagai Pegawai Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata, rakyat akan lebih gembira terhadap kerajaan selepas berakhirnya PRU14 jika Najib Razak dipenjarakan secepat mungkin.


Menurut beliau, ramai yang menjangkakan bekas Perdana Menteri itu dapat dimasukkan ke penjara dengan lebih awal lagi.


Sebaliknya, tambah beliau, mereka kecewa kerana Najib seolah-olah bebas berkelakuan seperti masih lagi sebagai Perdana Menteri.


Betulkah begitu?


Sebenarnya prestasi kerajaan yang begitu merosot sekarang, boleh dikata terlalu nipis kaitannya dengan sama ada Najib dipenjarakan atau sebaliknya.


Ini kerana rakyat sudah pun bersatu menyingkirkannya melalui peti-peti undi pada 9 Mei lalu.


Walaupun janji menangkap dan menyumbat Najib ke dalam penjara itu didendangkan dengan hebat ketika kempen pilihanraya diadakan, ia hanyalah penting untuk memastikan undi mereka benar-benar terlonggok kepada PH dan usaha menumbangkan BN menjadi kenyataan.


Setelah tugas itu selesai, kebencian kepada Najib dengan sendirinya sudah pun berakhir. Tidak pernah kita melihat Najib dicemuh, dilontar dengan kertas atau kata-kata kesat di tempat awam selepas beliau tidak lagi bergelar Perdana Menteri.


Apa-apa tugas seterusnya berkaitan Najib adalah terserah kepada agensi-agensi penguatkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara.


Dengan terbentuknya kerajaan baru PH, berbanding memenjarakan Najib, harapan rakyat sebetulnya jauh lebih tinggi agar janji-janji manifesto segera dipenuhi terutamanya berkaitan PTPTN, hutang peneroka, pemansuhan tol, memastikan harga barang turun setelah tiada GST, menstabilkan kos sara hidup dan lain-lain seumpamanya berbanding pemenjaraannya.


Pendeknya, melalui pembentukan kerajaan baru ini, yang jauh lebih diharap-harapkan oleh rakyat ialah kepedulian kerajaan terhadap kebajikan dan perut mereka.


Inilah yang menyebabkan asas mengapa merosotnya sokongan rakyat kepada PH sehingga Anwar Ibrahim dan Dr. Rais Yatim pun bersuara mengenainya di mana kemudiannya Tun Mahathir sendiri juga mahu soal kos sara hidup rakyat ini diberi perhatian yang utama.


Dalam konteks janji manifesto, melaksanakan tiga perkara tersebut - tol, hutang peneroka Felda dan PTPTN - selain merupakan ikrar yang tidak boleh dimunafikkan oleh kerajaan, melaksanakannya juga bererti adanya kepedulian pemimpin kepada soal perut, kebajikan dan kos sara hidup rakyat.


Kalau pun Najib dipenjarakan secepat mungkin, apakah ia bermakna perut dan kebajikan rakyat sudah terjaga?


Dalam hal ini, Najib mungkin ada kesalahan tertentu yang memungkinkan beliau perlu dibawa ke mahkamah, dibicara dan kemudian dihukum penjara, namun semua tindakan itu hanya memberi impak yang terlalu sedikit kepada tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan PH.


Sekali lagi, keutamaan rakyat sebenar ialah kebajikan dan perut mereka, apa lagi sesuatu yang sudah dijanjikan dan rakyat pula sudah mendahuluinya dengan memberikan undi, bukannya sama ada Najib dipenjarakan atau masih mampu berlagak seolah-olah masih lagi Perdana Menteri.


Lihat saja bagaimana Anwar yang pernah dipenjarakan oleh Tun Mahathir sendiri pada 1998 dahulu, apakah sehingga tumbangnya BN pada 2018, rakyat menjadi puas hati kepada kerajaan?


Jika rakyat berpuas hati dengan pemenjaraan Anwar, mengapakah akhirnya Tun Mahathir sendiri yang terpaksa pergi ke mahkamah untuk bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi tujuan berbaik-baik serta berdamai sebelum mampu menumbangkan BN?


Bukankah Anwar yang dipenjarakan sepatutnya sudah menyebabkan gabungan pembangkang jadi berkecai kerana rakyat autumatik akan berpuas hati kepada kerajaan? (ShahbudinHusin 29/01/2019)

SEJAK BILA JIWA REFORMASI AZMIN SUDAH DIRESAPI BUDAYA BODEK?


Dua hari lalu, ketika sudah agak lewat malam, Azmin Ali menulis dua hantaran di laman Twitternya seperti berikut:


"PM @chedetofficial berikrar akan berkhidmat hingga ke akhir hayat demi umat dan negara. Alhamdulillah teruskan khidmatmu Tun".


"Terima kasih rakyat Malaysia kerana meyakinkan saya bahawa Tun @chedetofficial adalah the best choice untuk memimpin negara".


Tulisan Timbalan Presiden PKR dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu barangkali adalah sebagai respon terhadap kenyataan Tun Mahathir Mohamad sebelumnya yang mengidamkan pingat KSM atau "Kerja Sampai Mati" dalam hidupnya.


Meski ternampak biasa, beberapa persoalan timbul daripada hantaran yang dibuat oleh  Azmin melalui laman Twitternya itu.


Yang paling menimbulkan persoalan ialah kenapa Azmin begitu mengharapkan Tun Mahathir meneruskan khidmatnya sehingga ke akhir hayat sedangkan sudah ada perjanjian bahawa penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim hendaklah dilakukan dalam tempoh dua kemudiannya?


Apakah Azmin tidak mahu berlaku penyerahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dipersetujui itu?


Apakah sebenarnya yang Azmin harapkan jika Tun Mahathir mampu meneruskan khidmatnya sehingga ke akhir hayat?


Mungkinkah jika Tun Mahathir terus berkhidmat sehingga ke akhir hayatnya, jawatan Perdana Menteri itu tidak singgah ke ribaan Anwar?


Bagaimana jika hayat Tun Mahathir berakhir dalam tempoh dua tahun ini?


Kemudian, tulisan Azmin itu turut mengundang reaksi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan isu Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir adalah sesuatu yang sudah jelas dan terang.


"Dalam Majlis Pimpinan PH kita tahu secara terbuka mengenainya," ujar beliau.


Tetapi, tidak kurang menimbulkan kehairanan ialah tulisan Azmin memuji Tun Mahathir itu tidak ubah seperti gaya bodekan dan ampuan yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini.


Sejak bila Azmin sudah pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri sedemikian rupa?


Sebagai menteri yang sepatutnya beliau menumpukan usaha dan pemikirannya ke arah memberi khidmat lebih baik kepada rakyat, untuk apa sebenarnya Azmin membodek serta mengampu Perdana Menteri pada malam-malam buta begitu melalui laman Twitternya itu?


Bukankah beliau telah terdidik dengan jiwa reformasi sejak tahun 1998 lagi?


Sejak bila jiwa reformasi beliau diresapi dengan budaya ampu dan bodek seperti itu?


Mungkinkah sekarang ini Azmin juga sudah mula cium tangan Tun Mahathir sepertimana Azeez Rahim  mencium tangan Najib Razak dahulu? (ShahbudinHusin 29/01/2019)

Monday, 28 January 2019

LIMA ASAS BAGAIMANA PH BOLEH TERUS KEKAL BERKUASA


Susulan kekalahan PH di Cameron Highlands baru-baru ini yang jelas menggambarkan rakyat mula tidak berapa gembira terhadap kerajaan sedia ada, banyak pihak bersuara agar tindakan segera diambil untuk menanganinya.


Dalam sekian banyak suara dan kritikan yang kedengaran itu, yang paling menonjol disuarakan ialah agar kerajaan segera menunaikan janji-janji manifesto dalam PRU14 yang lalu.


Termasuk yang bersuara ini ialah Anwar Ibrahim, pemimpin yang bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad dengan berkata, “Pakatan Harapan perlu berusaha lebih gigih memenuhi janji manifesto PRU14, peka terhadap kegelisahan rakyat berkaitan ekonomi dan kos sara hidup”.


Dr. Rais Yatim, Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan pula menggariskan empat cara untuk PH menang PRK Semenyih pada 2 Mac depan - tutup tol, turunkan harga minyak, tunaikan janji kepada peneroka Felda dan adakan stok penimbal untuk beras, tepung, minyak masak dan susu bagi kanak-kanak.


Rata-rata  nampaknya senada bahawa punca kemerosotan sokongan kepada PH ialah kerana banyak janji gagal ditunaikan, malah sesetengah pemimpinnya memberi alasan yang seolah-olah sengaja diada-adakan.


Lebih buruk dan memalukan ialah apabila Tun Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri dengan tanpa rasa berdosa boleh berkata, buku Harapan yang mengandungi janji-janji itu bukanlah kitab suci yang wajib ditunaikan serta dirangka dengan kepercayaan PH tidak akan menang pilihanraya.


Ehhh....dulu sebelum pilihanraya kenapa tidak berani bercakap begitu?


Kini, dengan kekalahan PH di Cameron Highlands, malah tidak mustahil akan kalah juga di Semenyih, tuntutan terhadap perlaksanaan janji-janji itu semakin kuat bergema di mana-mana.


Realitinya, janji adalah wajib ditunaikan dan dalam Islam sendiri menyebut mereka yang memungkiri janji adalah munafik hukumnya.


Selain bersetuju dengan Dr. Rais agar janji berkaitan tol, harga minyak, hutang Felda segera dilaksanakan dan diwujudkan stok penimbal bagi bagi mengawal barang keperluan rakyat, sebenarnya terdapat beberapa lagi perkara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan, bukan saja untuk menang di Semenyih, tapi juga untuk memastikan PH terus kekal berkuasa.


Berkaitan penghapusan tol, kerajaan tiada alasan lagi untuk menangguh-nangguhkanya kerana itu disebut dengan jelas dalam manifesto dan oleh kebanyakan pemimpin PH ketika berkempen dahulu, malah ia juga mendorong rakyat untuk berubah kerana dengan tiada tol, banyak kos kehidupan akan berkurang dengan sendirinya.


Lim Guan Eng misalnya dengan jelas menyalahkan berterusannya kutipan tol yang membebankan rakyat adalah disebabkan kerajaan BN yang menyambung kontrak konsesi, sambil berkata jika PH berkuasa mereka akan segera membatalkannya.


Bukankah sekarang kuasa sudah dalam genggaman, mahu tunggu apa lagi?


Tentang hutang Felda yang dijanji mahu dihapuskan, ia juga terkandung dalam janji 100 hari PH, malangnya setelah hampir sembilan bulan berkuasa, masih juga tiada apa-apa bayangnya lagi.


Dalam konteks Felda, harus diingat daripada 54 kawasan Parlimen yang ada tanah rancangan Felda, 19 daripadanya dapat ditawan oleh PH pada PRU14 lalu adalah berikutan janji menghapuskan hutang yang dihamburkan itu.


Tun Mahathir dalam hal ini patut malu kerana gagal menunaikan janji itu sehingga sekarang kerana berbanding Bersatu yang hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam PRU14 lalu, peneroka Felda  sebaliknya telah menyumbang 19 kerusi Parlimen kepada PH.


Selain memansukan kutipan tol dan menghapuskan hutang peneroka, satu lagi janji manifesto yang mesti ditunaikan segera oleh PH ialah berkaitan PTPTN yang mana telah dijanjikan hutang hanya perlu dibayar jika pendapatan peminjam melebihi RM4000 sebulan.


Mesti disedari bahawa anak-anak muda mengundi PH untuk menumbangkan BN ialah kerana adanya atau terpengaruh dengan janji tersebut.


Tanpa janji itu, tidak mungkin anak-anak muda berduyun-duyun mengundi PH dan untuk mengekalkan sokongan mereka, tiada pilihan dan tanpa banyak alasan lagi bahawa janji itu mesti dilaksanakan segera.


Faktor seterusnya ialah Tun Mahathir mesti juga mengawal dan menasihati menteri-menteri daripada bercakap merapu atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyakiti hati rakyat.


Antara perkara yang menyebabkan rakyat sakit hati sekarang ialah adanya menteri yang mengumumkan kemungkinan kenaikan tarif api dan air, terlalu bertegas terhadap perokok sehingga tidak cukup dengan jarak 3 meter yang dikuatkuasakan, kini mahu diletakkan pula pengsan asap di tandas-tandas.


Hey...kenapa suka sangat bercakap isu yang membuli rakyat, tetapi tidak bertegas dengan janji manifesto?


Rakyat bagaimanapun mungkin tidak sakit hati sangat jika cakap-cakap begitu diluahkan setelah sebahagian besar janji pilihanraya sudah pun ditunaikan.


Ini tidak, janji tidak juga ditunaikan tapi lebih sibuk nak naikkan itu dan ini dan menguatkuasakan larangan yang bukan-bukan terhadap rakyat.


Satu lagi perkara yang menimbulkan rasa tidak senang rakyat terhadap PH dan kepimpinan Tun Mahathir, khususnya generasi muda ialah wujudnya kembali pengaruh serta peranan Tun Daim Zainuddin dalam pentadbiran kerajaan.


Tun Daim dikatakan masih berperanan penting, bukan saja kerana hubungan peribadi beliau dengan Perdana Menteri dan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Penasihat kepada kerajaan yang dipimpin oleh Tun Mahathir (anggota majlis penasihat ini hanya tinggal Tun Daim seorang saja lagi), tetapi juga berikutan Penasihat Khas Ekonomi Perdana Menteri sendiri iaitu Dr. Mohamad Khalid adalah adik iparnya juga.


Sebelumnya Dr. Mohamad Khalid adalah Ketua Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim.


Diperkatakan juga beberapa pengerusi GLC seperti Felda, Tabung Haji dan Amanah Raya adalah turut terdiri daripada mereka yang digelar “budak-budak Daim” belaka.


Terdapat juga rungutan daripada dalam Bersatu sendiri yang mendakwa nama mereka dipotong daripada menerajui beberapa agensi kerajaan kerana tidak dipersetujui oleh Tun Daim, meskipun sudah dipilih oleh menteri yang berkaitan.


Dengan kata mudah, jika PH dan Tun Mahathir dapat melakukan 5 perkara ini - memansuhkan tol, menghapuskan hutang peneroka Felda, menetapkan hutang PTPTN hanya wajib dibayar jika peminjam bergaji RM4000 sebagaimana yang dijanjikan dalam Buku Harapan, ditambah dengan menteri-menteri tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati rakyat dan membebaskan kerajaan daripada pengaruh Tun Daim - bukan saja Semenyih mudah dimenangi, bahkan BN pun takkan mampu untuk bangkit kembali.


Apa pilihan PH sekarang?


Mahu menunaikan janji yang pernah diikrarkan serta segera memperbaiki diri atau mungkin kalah di Semenyih dan seterusnya berisiko jadi pembangkang semula dalam pilihanraya yang akan datang nanti? (ShahbudinHusin 28/01/2019)

RAMAINYA MAHU PH KALAH DI SEMENYIH.....


Walaupun PRK Semenyih akan berlangsung agak lama lagi, tetapi bahangnya sudah pun mula terasa sekarang ini.


Di mana-mana ketika ini semakin ramai yang bercakap mengenai pilihanraya kecil itu yang hanya akan berlangsung pada 2 Mac depan.


Apa yang menariknya, rata-rata yang mengulas atau bercakap mengenai pilihanraya kecil itu lebih mengharapkan PH kalah berbanding mencapai kemenangan.


Tidak saja mereka yang pro UMNO dan BN yang mengharapkan demikian, malah ramai daripada kalangan penyokong dan pengundi PH juga benar-benar berharap calon daripada Bersatu akan kecundang dalam pilihanraya itu nanti.


Tidak terkecuali yang turut berharap PH akan kalah ialah mereka yang  aktif dan memegang jawatan dalam Bersatu di peringkat bahagian-bahagian.


Kata mereka, hanya dengan kalahnya Bersatu di Semenyih saja diharapkan dapat menyedarkan pimpinan PH, termasuk Tun Mahathir Mohamad sendirinagar lebih prihatin dengan rakyat serta mengawal menteri-menterinya daripada bersikap sombong dan merapu.


Tambah mereka lagi, mungkin ada pimpinan sudah sedar diri berikutan kekalahan di Cameron Highlands baru-baru ini, namun melihat reaksi kebanyakan pemimpin-pemimpin PH yang mengulas mengenai kekalahan itu jelas mereka belum lagi terngadah walaupun dahi sudah tergantuk di palang pintu.


Dengan yang demikian, kekalahan di Semenyih adalah perlu dan wajib untuk menyedarkan semua yang sudah lupa diri itu.


Terdapat juga kalangan mereka yang aktif dalam Bersatu bersikap lebih lantang lagi dengan mengatakan, jika sebelum ini mereka bertungkus-lumus menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN, apa salahnya kalau dalam PRU15 nanti mereka bermati-matian menumbangkan PH pula.


Sudah ada di kalangan mereka yang berkira-kira mahu merancakkan serangan di media sosial kepada PH dengan menubuhkan Grup Whatapp atau akaun baru di Facebook bagi tujuan itu.


Kata mereka lagi, mereka tidak rugi apa-apa dengan pertukaran kerajaan biar sekerap mana sekali pun, tetapi agak malu dengan PH yang sebelum pilihanraya dulu telah berjanji berdegar-degar, tetapi gagal melaksanakannya setelah mencapai kemenangan.


Yang lebih kami benci, tambah mereka, beberapa dasar atau peraturan baru yang mahu diperkenalkan oleh menteri-menteri PH lebih membawa kesusahan dan menambahkan belanja rakyat, sedangkan janji pokok dalam Buku Harapan tidak juga ditunaikan.


Dalam PRU14 lalu, DUN Semenyih dimenangi oleh PH melalui calon daripada Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang menang dengan majoriti 8,964 undi.


Beliau mendapat 23,428 undi mengalahkan calon BN, Johan Abd Aziz yang memperolehi 14,464 undi, calon Pas, Mad Shamour Kassim (6,966 undi) dan calon PSM, S Arutchelvam (1,293 undi)


Bagaimanapun bekalan majoriti 8,964 itu dikira belum selamat lagi kerana dalam PRK 2 Mac nanti, Pas sudah pun mengumumkan tidak akan meletakkan calonnya dan akan memberi sokongan penuh kepada BN.


Adalah dijangkakan PSM juga tidak akan meletakkan calonnya kali dan ini memungkinkan berlaku pertandingan dua penjuru antara PH dengan BN saja dalam pilihanraya tersebut.


Gabungan kerjasama BN dan Pas diramal akan memberi saingan sengit sebagaimana yang telah terbukti di Cameron Highlands yang lalu.


Beserta dengan semakin ramai yang mahukan PH kalah di Semenyih nanti, termasuk daripada kalangan Bersatu sendiri, tidak mustahilkah harapan kepada kekalahan itu akan menjadi kenyataan? (ShahbudinHusin 28/01/2019)