Wednesday, 31 January 2018
BENARKAH GAMBAR INI? MOHON KETUA PESURUHJAYA SPRM SEGERA TAMPIL BERI PENJELASAN!!!
AMANAH BERPAKAT DENGAN UMNO NAK JATUHKAN PAS - ADA LAGI KE KENYATAAN TOLOL MACAM NI?
JIKA TELUS DAN TIADA PELUANG NAK MENIPU DALAM PILIHANRAYA, KENAPA TIDAK DIBENARKAN SAJA KEHADIRAN PEMANTAU ANTARABANGSA?
Kata Najib Razak, sistem pengundian dalam pilihanraya negara ini telah ditambah baik menjadi lebih telus dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan.
Katanya, sistem pengundian yang ada sekarang juga jauh lebih baik berbanding ketika zaman Tun Mahathir Mohamad dahulu.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyifatkan tindakan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan mengadu kepada diplomat Kesatuan Eropah serta menuntut kehadiran pemantau antarabangsa dalam PRU 14 akan datang sebagai tindakan tersepit dan cubaan untuk mendapatkan bantuan kuasa asing.
Soalnya, adakah sistem pilihanraya kita benar-benar telus dan tidak berlaku penipuan?
Kiranya Najib 100 peratus yakin mengenainya dan tiada apa yang mahu diselindungkannya, beliau tidak sepatutnya terus berdalih dan memberi banyak alasan mengenai kehadiran pemantau antarabangsa untuk menyaksikan bagaimana pilihanraya kita diadakan.
Beliau seharusnya membenarkan dengan senang hati, bukan saja kehadiran pemantau antarabangsa, malah sesiapa saja untuk hadir memantau perjalanan PRU 14 akan datang diadakan.
Hanya dengan berbuat demikian saja Najib dapat membuktikan kepada dunia bahawa pilihanraya negara kita betul-betul berjalan dengan baik dan tiada unsur-unsur meragukan seperti penggunaan jentera kerajaan, pembelian undi, amalan "cash is king" dan sebagainya.
Tetapi, mengapa dalam mengatakan pilihanraya kita telus dan tidak mungkin berlaku penipuan, Najib masih tiada keberanian membenarkan kehadiran pemantau antarabangsa?
Mengapa masih mengatakan kehadiran pemantau antarabangsa sebagai cubaan menjemput bantuan kuasa asing?
Apa yang ditakuti dan dibimbanginya?
Semua perbuatan mesti dibuktikan dengan tindakan. Cakap saja tidak berguna. Seperti beliau mengaku wang RM2,600 juta yang masuk ke akuan peribadinya adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, ia mesti dibuktikan dengan Najib wajib menunjukkan slip transaksinya.
Begitu juga dengan ketelusan dan tidak mungkin wujud penipuan dalam pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR. Najib mesti membuktikan kepada dunia mengenai kesahihan kata-katanya itu dengan tidak ragu-ragu menjemput kehadiran pemantau antarabangsa menyaksikannya sendiri.
Beranikah Najib? (ShahbudinHusin 31/01/2018)
Tuesday, 30 January 2018
SIAPA PENYEBAR BERITA PALSU?
Ketika di Kelantan baru-baru ini, Najib Razak berkata, kerajaan akan mengkaji satu undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini.
Sebelum itu, pada penghujung tahun lalu, Salleh Said Keruak pula berkata, tindakan mengekang berita palsu adalah bagi melindungi keharmonian dalam negara.
Tapi, siapakah sebenarnya penyebar berita palsu yang sebenar dan berlesen?
Bank Negara, sebuah institusi penting dalam negara pun diserang dengan penularan berita palsu oleh media arus perdana baru-baru ini sehingga mereka tampil menafikannya.
Yang lebih mengaibkan, bukan setakat satu, tetapi tiga media arus perdana melakukan penularan berita palsu yang sama.
Tidakkah ini mengancam keharmonian negara?
Hmmmmm....(ShahbudinHusin 30/01/2018)
GST HANYA MENYELAMAT KERAJAAN KLEPTOKRAT, BUKAN PENYELAMAT RAKYAT DAN NEGARA
1. Betapa 'bangangnya' pemimpin UmnoBN memerintah Malaysia apabila hanya bergantung pada pendapatan hasil negara daripada cukai GST sebagaimana PM Najib Razak ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke - 36 menyatakan negara selamat sebab GST, jika tanpa GST negara sudah tentu terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi.
Kenyataan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat menyelamatkan negara dari terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi negara menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal dalam mengurus tadbir ekonomi negara sehingga terpaksa memerah keringat rakyat.
2. Saya berpendapat kenyataan beliau merupakan kenyataan pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. GST bukannya menyelamatkan negara, tetapi penyelamat pemimpin kerajaan Klaptokrat UmnoBN.
Justeru GST digunakan untuk menutup dan menampung kehilangan, ketirisan dan kecurian wang negara oleh pemimpin negara sendiri dimana ianya menjadi punca Malaysia terjerumus ke jurang kegawatan ekonomi.
Melalui GST kerajaan tidak perlu bersusah payah memerah otak dan keringat mencari sumber kewangan negara melalui pelbagai industri, menyuburkan ruang ekonomi dan pendapatan negara, meningkatkan produk dalam dan luar negara, tetapi cukup hanya dengan polisi yang menekan rakyat, kerajaan sudah boleh menuai hasil yang lumayan.
3. Sebegitu mudah seorang pemimpin negara menyandarkan kepada cukai terhadap rakyat sebagai pemangkin menyelamatkan ekonomi negara.
Jika begini mentalitinya, sesiapa pun boleh jadi pemimpin,apabila ekonomi berada dalam keadaan gawat akibat skandal 'rompakan mega' wang dan khazanah negara maka rakyat dijadikan sasaran paling utama untuk dimangsakan. Sepatutnya seorang pemimpin negara berjuang siang dan malam menjaga kebajikan rakyat dengan mendahulukan rakyat dan membiarkan diri dan kerajaan dalam keadaan susah, bukannya memangsakan rakyat untuk menyenangkan diri sendiri dan kroni serta kerajaannya.
4. Alasan paling ampuh dan jengkel yang dinyatakan adalah GST digunakan untuk menyusun segala program untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana ianya produk kerajaan BN kepada rakyat dengan anggaran RM6 bilion setahun sedangkan projek BR1M bukan semua rakyat yang layak mendapatnya, manakala hasil GST yang berjaya dipungut dari semua lapisan masyarakat pada tahun lalu sebanyak RM 44 bilion berbanding RM 41 bilion tahun 2016
Jumlah yang diberi pula hanya ramuan kecil, sedangkan ramuan yang besar diambil oleh kerajaan, dan pelbagai subsidi lain ditarik balik. Adakah tindakan kerajaan ini cerdik dalam membuat polisi yang akhirnya menekan kehidupan rakyat?
RAKYAT TERJERAT DAN MEREMPAT KERANA GST!
5. Mengapa PM Najib Razak tidak menjelaskan sejak perlaksanaan GST, harga barang terutamanya barang keperluan, perkhidmatan, makanan dan lain-lain semakin mahal.
Belum ada lagi petunjuk harga barangan dan perkhidmatan menurun atau statik sejak GST diperkenalkan. GST dikenalpasti sebagai penyumbang terbesar kenaikan harga barang. Setelah rakyat terbeban dengan GST, dalam masa sama menanggung pula beban kos harga barang yang semakin meningkat, belum dikira lagi dengan pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat demi kerajaan dan negara tercinta ini.
BR1M yang diberi hanya untuk mengenyangkan rakyat beberapa hari, tetapi rakyat perlu menanggung penderitaan ini selama setahun pula kemudiannya untuk hadapi kehidupan harian mereka akibat GST dan penarikan balik subsidi harga barang.
6. Sepatutnya pendapatan negara tanpa sumber GST dan salah guna kuasa, rasuah dan rompak curi khazanah negara sudah pun mencukupi untut meringan kos sara hidup rakyat dan memastikan pendapatan boleh guna rakyat bertambah dengan mengembalikan subsidi harga barangan keperluan utama, memberikan pendidikan tinggi percuma tanpa PTPTN, mengawal harga barangan dan keperluan, mengawal serta mesubsidikan harga minyak.
Sebaliknya apa yang berlaku masakini taraf pengangguran semakin meningkat, ruang pekerjaan semakin terhad, kadar inflasi semakin tinggi, jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara.
Adakah ini menunjukkan kedudukan ekonomi negara semakin stabil, atau GST hanya menstabilkan ekonomi pemimpin negara?
7. PM Najib Razak tidak perlu berdolak dalik dengan mendendangkan GST menyelamatkan ekonomi negara.
PM Najib Razak perlu akui bahawa beliau sudah kekeringan idea dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara yang berada di jurang kehancura.
Malaysia kaya dan banyak hasil daripada pelbagai sektor dan industri, tetapi kerana ketidak cekapan pengurusan dan salahguna kuasa pemerintahan kerajaan Klaptokrasi UmnoBN, mereka gagal menyuburkan ekonomi negara. Situasi ini menandakan tempoh kerajaan BN sudah sampai ke penghujung nyawa dan mandat pemerintahan perlu diserahkan kepada Pakatan Harapan, agar rakyat melihat sinar baru yang menyelamatkan mereka selepas PRU ke-14 nanti.
DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Jan 2018/13 Jamadilawal 1439H.
Monday, 29 January 2018
TAK KESIANKAH NAJIB KEPADA PAS, SUDAHLAH DIUNGKIT-UNGKIT BANTUAN, KELANTAN PULA MAHU DIRAMPASNYA?
Semalam, Perdana Menteri Najib Razak melakukan lawatan sehari ke Kelantan. Seperti biasa, dalam lawatannya ke mana-mana negeri menjelang PRU 14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, banyaklah janji projek dan curahan wang dilakukan yang tentunya diharap akan dibalas dengan sokongan dan juga undi.
Kelantan turut tidak terkecuali, meskipun negeri itu ditadbir oleh Pas yang merupakan "rakan mesra" kepada UMNO. Selain mengumumkan beberapa projek, Najib juga mengungkit kemurahan hatinya kepada Kelantan yang menurutnya, beliau adalah jauh lebih baik berbanding Tun Mahathir Mohamad dahulu.
Kata Najib, sepanjang 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, dana yang disalurkannya kepada Kelantan hanyalah berjumlah RM12.7 bilion sahaja.
Sebaliknya, kata beliau, sejak 2006 hingga tahun ini, dana yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada Kelantan adalah berjumlah RM14.69 bilion.
"Negeri defisit macam Kelantan ini, kalau tiada sumbangan daripada kerajaan Pusat, mereka nak bayar gaji pun tak mampu.
"Kita ada masa lagi untuk tambah peruntukan kepada Kelantan. Nak undi atau tak undi, itu hak mereka tapi kali ini undi kitalah.
“Kita bagi suntikan macam-macam, tuan-tuan dan puan-puan apa salahnya bendera kita (BN) kasi naiklah sikit.
“Ini susah-susah baru minta tolong kita, bendera dah naik pun kita nak kena turunkan, inilah kita baik hati,” demikian antara kata-kata Najib sambil tertawa kecil.
Dalam erti kata lain, selain bersikap pemurah memberi peruntukan wang kepada Kelantan yang kekurangan dana untuk mentadbir negeri dan melaksanakan projek-projek pembangunan, nawaitu sebenar Najib ialah mahu negeri itu dikembalikan semula kepada UMNO untuk memerintahnya.
Sebab itulah beliau suka mengungkit-untkit apa yang diberikannya kerana harapannya apa yang disumbangkannya itu sentiasa diingati oleh pengundi Kelantan.
Kenapa Najib masih bersungguh mahu menawan kembali Kelantan sedangkan Pas adalah "rakan mesra" kepada UMNO sehingga parti itu berkeras untuk menjadikan pertandingan tiga penjuru di peringkat Pusat semata-mata mahu memberi kelebihan kepada BN memenangi pilihanraya akan datang?
Di mana budi bahasa Najib kepada musuh yang sedia menukar identiti menjadi rakan di peringkat Pusat, tetapi UMNO dan BN tetap mahu menggulingkan Pas daripada memerintah Kelantan?
Apa salahnya, oleh kerana Pas sudah memberi kelebihan kepada UMNO dan BN melalui pertandingan tiga penjuru di peringkat Pusat, parti itu membalas kebaikan parti Islam itu, bukan saja dengan memberi peruntukan kewangan, malah dengan tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di Kelantan?
Tidak dinafikan, meskipun belum pasti, kesediaan Pas berpisah dengan dengan parti-parti pembangkang yang lain untuk bertanding sendirian tidak lain ialah untuk memberi kelebihan kepada Najib, UMNO dan BN memenangi pilihanraya, seterusnya mengekalkan kuasanya di Putrajaya.
Lebih jelas lagi, dalam sekian banyak kenyataan para pemimpin Pas, sasaran serangan mereka lebih ditujukan kepada Pakatan Harapan berbanding UMNO dan BN.
Najib yang terlibat skandal kewangan terbesar di dunia, menukar demokrasi Malaysia kepada kleptokrasi dan dalam akaun banknya terbukti ada beribu-ribu juta ringgit yang menurut DOJ bersumberkan dana 1MDB yang diselewengkan, tetapi di mata Pas beliau tetap kelihatan suci dan bersih.
Yang lebih ditakuti oleh Pas tetaplah Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan DAP, sedangkan yang terang-terang menolak hudud dan pindaan Akta 355 ialah MCA, MIC dan juga Gerakan. Tun Mahathir juga tidak pernah terbukti ada berbilion wang dalam akaun peribadinya.
Dalam masa yang sama, meskipun melalui Gagasan Sejahtera, Pas tidak terlihat ingin menang pilihanraya kali ini. Sasaran utama Pas lebih untuk memastikan Pakatan Harapan tidak dapat berkuasa saja.
Dilihat daripada pelbagai sudut, kecuali ada ganjaran lain yang kita tidak ketahui, bukan kecil sebenarnya pengorbanan Pas kepada Najib, UMNO dan BN.
Namun demikian, berikutan kesedaran rakyat yang semakin meluas terhadap perlunya perubahan dalam negara, belum tentu semudah itu untuk Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya, walaupun setelah adanya bantuan pertandingan tiga penjuru daripada Pas.
Jika rakyat benar-benar inginkan kepada perubahan dan pengaruh Tun Mahathir berjaya mewujudkan tsunami rakyat melalui kembalinya semula beliau menjadi Perdana Menteri, tidak mustahil UMNO dan Pas akan sama-sama ditolak ke tepi oleh pengundi kali ini.
Tetapi berbeza bagi Kelantan. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, ia tidak dinafikan akan memberi kelebihan kepada UMNO menawan semula negeri itu.
Tanpa kehadiran pengundi bukan Melayu dan dengan pengundi Melayu berpecah kepada tiga - UMNO/BN, Pakatan Harapan dan Pas - selain dikukuhkan dengan pengaruh wang, media dan jentera kerajaan Pusat, kelebihan adalah memihak kepada UMNO/BN untuk menawan kembali Kelantan.
Pas lebih mungkin kecundang dan hilang kuasanya di Kelantan kali ini. Bermakna, selain sudah tentu akan kalah di peringkat Pusat, Pas juga kemungkinan besar akan turut kehilangan kuasa di Kelantan melalui pertembungan tiga penjuru.
Dalam keadaan ini, demi untuk mewujudkan suasana menang-menang, tidak bolehkah Najib, UMNO dan BN memberi laluan kepada Pas saja berhadapan dengan Pakatan Harapan di Kelantan?
Biarkan Pas saja berhadapan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan, manakala UMNO dan BN hanya memberi sokongan dari segi kempen, kewangan, jentera dan pelbagai kemudahan lainnya kepada parti itu.
Dengan bantuan UMNO dan kerajaan Pusat serta pertandingan satu lawan satu berhadapan Pakatan Harapan, Pas tentu lebih selesa untuk mengekalkan kuasanya di Kelantan.
Dengan kata lain, apabila Pas dan UMNO bekerjasama untuk berlawan dengan Pakatan Harapan, ia ibarat perlawanan gusti dua lawan satu layaknya. Lebih mudah untuk Pas menang lagi di Kelantan.
Setidak-tidaknya, kalaulah UMNO dan BN kecundang di peringkat Pusat kepada Pakatan Harapan, Pas masih ada lagi tapak kuasanya di Kelantan.
Tetapi, dengan kalau di Pusat kalah dan di Kelantan juga tewas, apa lagi yang tinggal buat Pas?
Tak kesiankah Najib kepada Pas?
Atau Najib sebenarnya memang dalam hatinya mahu "membunuh" terus Pas daripada sebarang sisa-sisa kuasa? (ShahbudinHusin 29/01/2018).
ANNUAR MUSA, IBRAHIM ALI, ANINA - SEMUANYA ADALAH SAMPAH!!
Sunday, 28 January 2018
DENGAN SIAPA LAGI TOK HIM PERNAH AMBIL DEDAK?
TERIMA KASIH KU LI, LIMA TAHUN NAJIB MENJADI PM TANPA HAK MORAL RUPANYA....
Berkata tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, pihak yang tidak mendapat undi popular dalam pilihanraya bermakna kekurangan hak moral untuk memerintah negara, walaupun menguasai majoriti kerusi.
Kata beliau, selain mendapat hak memerintah secara fizikal melalui jumlah kerusi, parti yang memerintah juga perlu memiliki hak moral.
"Jika pilihanraya dijalankan berdasarkan prinsip kemenangan melalui 'first past the post', parti politik yang tidak memiliki undi popular, tetapi mempunyai majoriti kerusi, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan sukar.
"Mereka boleh dianggap kekurangan hak moral untuk memimpin", katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Dalam PRU 2013 lalu, meskipun BN menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat, tetapi undi popular yang diraihnya cuma 47 peratus saja.
Pakatan Rakyat, di sebalik hanya mendapat 89 kerusi Parlimen, namun mengungguli undi popular rakyat sebanyak 52 peratus.
Berdasarkan apa yang ditegaskan oleh Ku Li itu, bermakna Najib Razak telah memimpin negara ini sejak 2013 lalu tanpa hak moral yang sewajarnya.
Najib hanya memerintah berdasarkan kerusi fizikal, namun sokongan moral rakyat langsung tidak memihak kepadanya.
Tidak malukah Najib?
Tidak malukah juga kita dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral seperti itu?
Dengan dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral selama lima tahun ini sehingga tidak henti-henti timbul pelbagai kekalutan dalam negara, tentu ia dengan sendirinya membulatkan tekad kita semua untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN secara fizikal pula dalam pilihanraya akan datang ini.
Najib sudah disingkirkan secara moral, tidak sukar lagi menyingkirkannya secara fizikal.
Terima kasih Ku Li kerana menyuluhkan jalan yang sudah semakin terang buat rakyat membuat pilihan. (ShahbudinHusin 28/01/2018)
Saturday, 27 January 2018
SIASATLAH TUN SITI HASMAH DENGAN LEBIH KERAP LAGI....
WAJAH SEBENAR PAS AKHIRNYA TERSERLAH
PETUNJUK PAKATAN HARAPAN DIYAKINI ANTARABANGSA UNTUK AMBIL ALIH PUTRAJAYA
Friday, 26 January 2018
PENYOKONG TPM JUGA BOLEH LAKUKAN UNDI ROSAK JIKA MAHU ZAHID HAMIDI TERBUKA PELUANG JADI PM
Berikutan tulisan berkenaan undi rosak atau protes PRU14 yang disiarkan sebelum ini, seorang pemimpin UMNO yang tidak mahu disebut namanya menyarankan penyokong Timbalan Perdana Menteri agar beramai-ramai melakukan perkara yang sama.
Kata pemimpin berkenaan, berdasarkan keadaan biasa, peluang Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri boleh dikira tipis atau tertutup sama sekali.
Menurut beliau, sekiranya BN menang lagi dalam PRU 14 ini, terutama jika keputusannya lebih baik berbanding PRU 2013, Najib sudah tentu akan berkuasa lebih lama serta mempunyai lebih masa untuk mencaturkan kedudukan sepupunya, Hishammuddin Hussein sebagai penggantinya.
Manakala jika BN kalah pula, tambahnya, Zahid Hamidi akan terlepas terus peluang untuk menduduki Seri Perdana serta terpaksa bersara dalam keadaan terhina bersama-sama dengan Najib yang menjadi punca utama kekalahan itu.
Dalam keadaan tidak menentu ini, kata pemimpin UMNO itu lagi, penyokong Zahid Hamidi harus bijak memikirkan masa depan "boss" mereka berbanding semata-mata akur memastikan kekalnya kedudukan Najib.
Katanya, dengan penyokong Zahid Hamid secara beramai-ramai melakukan undi rosak atau protes dengan cara tidak mengundi BN, ada kemungkinan BN tidak menang dengan cemerlang atau keputusannya lebih buruk berbanding pilihanraya 2013 yang lalu.
Dengan yang demikian, tegas beliau, oleh kerana sudah dua kali UMNO dan BN dibawah pimpinan Najib mencapai keputusan yang buruk iaitu dalam PRU 2013 dan PRU 14 nanti, penyokong Zahid Hamidi boleh menggerakkan kebangkitan mendesak agar Perdana Menteri berundur dan melakukan peralihan kuasa kepada timbalannya dalam pemilihan UMNO pada hujung tahun ini.
Inilah satu-satunya peluang yang ada jika Zahid Hamidi mahu menjadi Perdana Menteri, ujar beliau dengan bersungguh-sungguh.
Jelas beliau lagi, melakukan undi rosak atau undi protes adalah juga lebih baik serta tidak salah bagi ahli UMNO atau penyokong Zahid Hamidi dalam keadaan mereka mungkin tidak tergamak untuk memberi undi kepada calon-calon Pakatan Harapan.
Mereka tidak harus melepaskan peluang terbuka ini, kecuali Zahid Hamidi tiada cita-cita untuk jadi Perdana Menteri, ujar beliau. (ShahbudinHusin 26/01/2018)