Tuesday, 31 October 2017

KENAPA UMNO DAN PAS TAK BOLEH BERSABAR, APA PERLUNYA AMBIGA DEDAHKAN SEKARANG?


Sabarlah UMNO...


Sabarlah Pas...

Kenapa UMNO dan Pas tak boleh bersabar?


Kiranya editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sudah memasukkan nama S Ambiga sebagai sumbernya berhubung dana yang didakwa diterima Pas daripada Najib Razak berdasarkan maklumat boleh dipercayai yang ada padanya, bermakna beliau bukan saja bersetuju namanya dimasukkan dalam kenyataan pembelaan itu, bahkan juga bersedia untuk memberi keterangan serta disoal balas di mahkamah.


Tak perlu UMNO dan Pas terburu-buru mendesak S Ambiga mendedahkan apa yang diketahuinya itu.


Sabarlah sikit...


Lagi pula, apa perlunya S Ambiga mendedahkan sekarang, sedangkan ada tempat yang lebih sesuai iaitu mahkamah untuk beliau berbuat demikian?


Hari yang mendebarkan di mana beliau akan mendedahkan segala-galanya pasti akan tiba jua akhirnya.


Jadi, tunggu sajalah dengan sabar. (ShahbudinHusin 31/10/2017).

SIAPA BERANI NAFIKAN PERKARA INI? BILA LAGI BEKAS TIMBALAN PRESIDEN PAS NAK MULAKAN SAMAN?


Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan berhubung saman Presiden Pas, Hadi Awang terhadapnya, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Browm antara lain merekodkan perkara-perkara berikut:-
- Najib Razak menyalurkan lebih RM200 juta kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sejak 2014 dengan tujuan mendanai sekumpulan pihak dalam Pas.

- Dana rahsia itu diberikan secara berterusan sepanjang 2015, termasuk untuk Perhimpunan Agung (Muktamar) yang berlangsung pada Jun 2015. Untuk rekod, pada  2015, Muktamar Pas diadakan di Kuala Selangor antara 4 -6 Jun 2015.

- Dana tersebut termasuk untuk mengadakan Himpunan Fastaqim pertama pada Oktober 2015 dan acara-acara lain, termasuk Persidangan Kesatuan Islam Antarabangsa pada Julai 2017.

- Kenyataan pembelaan Clare juga menamakan beberapa pemimpin Pas yang didakwanya telah membeli kenderaan, hartanah atau menambah isteri baharu. Beliau turut menunjukkan senarai panjang jenis kenderaan yang dibeli mereka.

- Clare juga menamakan peguam S Ambiga yang merupakan bekas Pengerusi Bersih sebagai sumbernya berhubung dakwaan dana RM90 juta yang diterima oleh Pas.

Yang paling menarik dalam kenyataan pembelaan Clare itu ialah beliau secara jelas menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sebagai telah menerima dana lebih RM200 juta daripada Najib.
Sebelum ini, Rafizi Ramli juga menamakan Nasharuddin telah menerima wang daripada Najib untuk disalurkan kepada pemimpin-pemimpin Pas.

Rafizi bagaimanapun tidak menyebut jumlah wang yang diterima Nasharuddin itu.

Nasharuddin pernah memaklumkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi, tetapi sehingga sekarang masih tiada apa-apa berita mengenainya.

Tidak diketahui sama ada saman itu diteruskan atau sebaliknya. 

Husam Musa pula dalam pendedahannya berkaitan hal yang sama, meskipun tidak pernah menyebut nama Nasharuddin, tetapi secara terbuka pernah menamakan Affin Bank dan angka RM200 juta itu.

Apakah kenyataan pembelaan Clare saling kait-mengait dengan pendedahan Rafizi dan Husam sebelum ini?

Benarkah angka RM200 juta itu?

Sediakah Najib menafikan bahawa beliau  pernah memberikan wang sebanyak itu kepada Nasharuddin?

Adakah Nasharuddin berani bersumpah tidak pernah menerima wang dengan jumlah yang sama melalui akaun banknya  atau akaun lain yang dikawal olehnya?
Bila lagi mahu menunaikan janji untuk menyaman Rafizi?

Tidak mahukah Nasharuddin menafi atau menyaman Clare berhubung kenyataan pembelaan editor Sarawak Report itu?

Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin Pas yang ada, tidak teringinkah untuk berlaku jujur, bercakap benar dan melafaz dengan nama Tuhan bahawa mereka tidak pernah sama-sekali menerima wang daripada Nasharuddin atau dengan jumlah yang agak luar biasa sejak 2014 yang lalu?

Apa pun, sementara menunggu perbicaraan kes saman Hadi terhadap Clare itu berlangsung nanti, kenyataan pembelaan yang difailkan edior Sarawak Report kepada Mahkamah di London baru-baru ini, dengan sendirinya mula memercikkan bahangnya kepada kita untuk menanti dengan penuh debaran akan episod-episod seterusnya. (ShahbudinHusin 31/10/2017

Monday, 30 October 2017

KENAPA SUSAH SANGAT NAK MELENGKAPKAN SIASATAN 1MDB?


SATU DUNIA SELESAI DAN SUDAH AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG PADA YANG TERLIBAT DALAM KES SKANDAL 1MDB TETAPI DI MALAYSIA PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG MASIH MAIN 'TARIK TALI!!'

Persoalan utama yang ingin saya tanya Apandi Ali selaku Peguam Negara ialah kenapa beliau tidak mahu menjalinkan kerjasama dalam isu 'Mutual Legal Assistance' dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland?!

Di Singapura tindakan undang-undang sudahpun dikenakan pada semua yang terlibat dalam kes skandal 1MDB!!

Ramai yang sudah kena penjara!! Malahan bank yang terlibat pun sudah diarah tutup oleh pihak kerajaan Singapura!!

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pun sudah memfailkan saman sivil dan kini sedang bergerak ke arah saman jenayah!! 

Terdapat bukti sejumlah hampir RM19 bilion duit syarikat 1MDB telah diselewengkan dan mereka membeli pelbagai harta-harta di Amerika Syarikat!!

Pejabat Peguam Negara Switzerland pernah keluarkan kenyataan dianggarkan RM16.8 bilion duit-duit syarikat 1MDB diselewengkan dan kemungkinan wujud kesalahan jenayah 'pengubahan wang haram' di sana!!

Negara Luxembourg turut mengesahkan ujud salah laku penyelewengan dana syarikat 1MDB!!

Tetapi di Malaysia bekas Ketua Polis Negara iaitu Khalid Abu Bakar mengesahkan pada 12 April 2017 siasatan kes 1MDB sudah selesai dan kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara!!

Ketua Polis Negara yang baru turut mengesahkan pada 20 September 2017 siasatan kes skandal 1MDB telahpun selesai!!

Tetapi kini Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan Peguam Negara telah mengarahkan PDRM pada 24 Oktober 2017 untuk buat siasatan lanjut mengenai kes skandal 1MDB!!

PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG DI SELURUH DUNIA KHUSUSNYA DI NEGARA-NEGARA YANG SAYA TELAH BUAT LAPORAN SELESAI SIASATAN MEREKA!! NAMUN MENGAPA PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA MASIH BERDOLAK-DALIK SERTA 'MAIN TARIK TALI' DALAM ISU SKANDAL KEWANGAN TERBESAR DUNIA PADA DEKAD INI?!*

Saya berhak tanya pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia kerana saya adalah orang pertama yang buat laporan kes skandal 1MDB pada PDRM, SPRM, Bank Negara serta juga menghantar beberapa memorandum kepada Peguam Negara Malaysia!!

Apabila saya mengesyaki wujudnya unsur-unsur pengubahan wang haram di luar negara maka pada waktu itu saya terbang ke Singapura, Hong Kong, Peranchis, Switzerland, United Kingdom dan melaporkan pada pihak FBI di New York!!

Akhirnya, saya telah ditahan di dalam lokap ibu Pejabat Polis Dang Wangi serta Penjara Sg Buloh selama 2 bulan!!

Kononnya penahanan saya adalah kerana cuba mensabotaj ekonomi serta sistem perbankan negara!! 

Penahanan saya di bawah akta SOSMA!!  Saya adalah rakyat Malaysia yang pertama ditahan serta didakwa di bawah akta SOSMA!!

Dalam ertikata yang lain, saya bukan nak buat kalut dalam kes skandal 1MDB ini tetapi saya mempunyai 'Locus Standi' untuk menyoal pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia mengenai status siasatan terkini!!

BANK NEGARA MALAYSIA TELAHPUN KOMPAUN BANK ARAB MALAYSIAN DAN MENGENAKAN KOMPAUN TERTINGGI SEJUMLAH RM150 JUTA DI ATAS BEBERAPA KESALAHAN SYARIKAT 1MDB!!

Bukankah ini bukti sahih salahlaku penyelewengan kes skandal 1MDB itu ada asas kebenarannya!! 

Dari tindakan bank negara Malaysia ini sudah mengsahihkan jenayah kes skandal 1MDB!!

Keseluruhan dunia sedang memerhati gelagat pihak penguatkuasa undang-undang di negara Malaysia sepertimana kata YBHG Tuan Haji Mat Sabu "MALAYSIA TANAH TUMPAH DARAH KU!!"

Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
30 Oktober 2017

Ulasan - Berikutan kenyataan Azalina Othman Said bahawa Peguam Negara pada 24 Oktober lalu telah mengarahkan pihak polis menyiasat dengan lebih lanjut berhubung skandal 1MDB, bermakna sudah dua kali kertas siasatan pihak polis dipulangkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Apa yang tidak lengkap lagi berhubung siasatan pihak polis itu?

Susah sangatkah untuk menyempurnakan siasatan sehingga dua kali ia dipulangkan oleh Pejabat Peguam Negara?

Apa dan di mana yang masih tidak lengkap itu?

Adakah ini bermakna Pejabat Peguam Negara benar-benar mahu melakukan pendakwaan atau sekadar bertujuan melengah-lengahkan masa sebelum tibanya tarikh pilihanraya?

Kalau Jho Low dapat dibawa balik untuk disiasat dengan teliti, agaknya mudah tak untuk mendapatkan bukti dan mensabitkan sesiapa berkaitan skandal 1MDB?  (ShahbudinHusin 30/10/2017)

MEMANGLAH TUN M MAHUKAN KUASA....

Kata Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa, agenda Tun Mahathir Mohamad mahu menjatuhkan Najib Razak bukan kerana bangsa atau negara, sebaliknya semata-mata disebabkan kuasa.

Kata beliau, agenda itu bermula pada 2013 iaitu setelah anaknya, Mukhriz Mahathir kalah dalam pemilihan untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Bukan soal agama atau bangsa, tetapi disebabkan dia mahu kekal berkuasa, kata Annuar yang kes beliau berhubung dakwaan salah guna kuasa ketika menjadi Pengerusi MARA masih lagi tergantung keputusannya.

Beliau disiasat oleh SPRM dan Audit Dalaman MARA berkaitan penajaan oleh anak syarikat MARA kepada pasukan bolasepak Kelantan sehingga jawatannya sebagai Pengerusi MARA digantung, namun sehingga ini tidak diketahui apa keputusan siasatan terhadapnya.

Politik memang untuk mendapatkan kuasa kerana melalui kuasalah pelbagai usaha untuk agama, bangsa dan negara dapat dilaksanakan.

Apakah hanya Tun Mahathir berjuang untuk kuasa, manakala Najib tidak berjuang untuk kuasa?

Apa pula tujuan Annuar sendiri mempertahankan Najib kalau bukan mahu memberinya terus berkuasa sebagai Perdana Menteri?

Tidak perlu Annuar mempertikai atau meragui sejauh mana usaha Tun Mahathir untuk agama dan bangsa selama ini kerana semuanya terbentang di mata dan dalam pengetahuan kebanyakan daripada kita.

Dari segi agama, bukan saja dalam negara, bahkan Tun Mahathirlah antara pemimpin dunia yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan Bosnia.

Semuanya dapat beliau lakukan ketika berkuasa dahulu. Kali ini memang Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan mahu menjatuhkan Najib demi untuk mendapatkan kuasa.

Dengan kuasa, tidak saja lebih banyak agenda bangsa dan agama dapat dilakukannya, bahkan melalui kuasalah juga janji-janji Pakatan Harapan seperti menghapuskan GST dan tol, menubuhkan RCI untuk 1MDB dan Felda serta pelbagai agenda lain dapat dilaksanakan.

Dengan kuasa juga, Insya Allah Tun Mahathir dan Pakatan Harapan, akan membawa balik Jho Low untuk diadili serta semua yang terlibat dalam skandal 1MDB yang tidak mungkin dilakukan oleh Najib.

Itulah sebabnya Tun Mahathir memerlukan kuasa kerana tanpa kuasa semua itu tidak mungkin dapat dilakukan.

Maka, kalau Annuar mengatakan Tun Mahathir berjuang untuk kuasa, ia memanglah satu kebenaran sebenarnya.

Cuma, bagaimana Tun Mahathir menggunakan kuasa tidaklah sama seperti Najib yang terbukti lebih memperkayakan Jho Low, anak tirinya Riza Aziz dan memberi pelbagai keistimewaan kepada isterinya, Rosmah Mansor.

Dakwaan Annuar bahawa Tun Mahathir melakukannya berikutan kekalahan Mukhriz dalam pemilihan UMNO 2013 tidaklah tepat kerana bekas Perdana Menteri itu terbukti tidak pernah menaikkan, malah melarang anak-anaknya aktif dalam politik ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Bukankah lebih mudah Tun Mahathir menaikkan anak-anaknya ketika berkuasa dahulu berbanding setelah tiada kuasa, sama seperti beliau menjadikan Annuar sendiri sebagai menteri meskipun kalah dalam pilihanraya 1990?

Jadi, kalau ketika berkuasa pun Tun Mahathir tidak memberi kelebihan kepada anak-anaknya, di mana munasabahnya beliau mahu berkuasa semua untuk memastikan  kepentingan  mereka terpelihara?

Lagi pula, kalau Tun Mahathir mahu anak-anaknya selamat, lebih baik beliau mengampu dan membodek saja Najib serta menutup mata terhadap segala salah laku Perdana Menteri.

Kalau Tun Mahathir membodek dan mengampu Najib, ke mana terpinggir Annuar agaknya?

Malah kalau Tun Mahathir membodek dan mengampu Najib, bukan saja Annuar akan terpinggir, bahkan beliau bersama Puad Zarkashi, Salleh Said Keruak,  Jamal Md Yunos dan sederetan pengampu lain pun mungkin "mati kering" kerana kekurangan dedak untuk dimakan. (ShahbudinHusin 30/10/2017)

Sunday, 29 October 2017

APA KHABAR KP SPRM?


Di mana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzuklifli Ahmad ketika ini agaknya?

Bagaimana keadaan dan apa khabar dirinya? 

Adakah beliau dalam keadaan sihat walafiat seperti selalu atau tidurnya tidak lagi lena seperti dahulu?

Adakah beliau sedang bercuti atau masih menjalankan tugas serta datang ke pejabat seperti biasa?

Jika sedang bercuti, adakah beliau berehat di rumah saja atau pergi  ke mana-mana destinasi?

Kalau ke mana-mana destinasi, pergi seorang diri atau bersama keluarga?

Masihkah ada lagi jemputan membaca khutbah diterimanya sejak kebelakangan ini?

Jika masih bertugas dan datang ke pejabat seperti biasa, kenapa senyap saja sedangkan sebelum ini beliau agak mesra dengan media dan rajin mengumumkan tangkapan demi tangkapan?

Adakah beliau sebagai ketua tetap memberi arahan seolah-olah tiada apa-apa yang mengganggu fikirannya?

Apa pula perkembangan siasatan pihak polis yang dipantau pasukan petugas khas terhadap dirinya?

Sudahkah beliau disiasat dan keterangannya diambil?

Agak-agaknya, kalau sudah disiasat, apa pengakuan beliau kepada pihak polis berhubung video yang didakwa mengaitkannya itu?

Adakah beliau mungkin menafi atau mengakuinya?

Bila agaknya keseluruhan siasatan akan selesai?

Siapa yang akan mengumumkan hasil siasatan itu nanti - Ketua Polis Negara atau Peguam Negara?

Kalau belum, bila pihak polis mahu menemuinya?

Dalam pada itu, sehingga bila Dzulkifli sanggup mendiamkan diri dan tidak muncul di mana-mana, sedangkan beliau masih memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Apa bentuk intergriti seorang ketua kalau berterusan sebegitu?

Bukankah rakyat sedang memerhati?

Tidak teringinkah beliau untuk berlaku jujur dan berundur sebelum penyiasatan pihak polis yang dipantau pasukan petugas khas berakhir dan mengumumkan hasilnya, demi semata-mata untuk menjaga nama baik SPRM? (ShahbudinHusin 29/10/2017)

MASIHKAH KAU INGAT, NAJIB?


Sudahlah janji Najib Razak berkenaan penurunan harga kereta dinikmati oleh rakyat Malaysia?

Kalau kita masih ingat, janji tersebut pernah dilafazkannya menjelang PRU 2013 yang lalu.
Tetapi, sekarang sudah tahun 2017, bagaimana harga kereta ketika ini?

Turun, naik atau cukainya masih tidak berubah?

Masihkah kau ingat, Najib?
Atau kita berhak sekali lagi meragui janji-janji beliau dalam Bajet 2018 yang baru dibentangkannya seperti yang disebut oleh Muhyiddin Yassin ini?

Jika penurunan harga kereta itu dijanjikan Najib menjelang PRU 2013, tidakkah situasinya sama saja iaitu Bajet 2018 juga dibentangkan menjelang PRU 14? (ShahbudinHusin 29/10/2017)

Saturday, 28 October 2017

WOWWW...INI BARULAH SESUAI JADI PRESIDEN PAS!!!


Wowww...hebat juga cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung Bajet 2018 yang dibentangkan Najib Razak semalam.

Sekurang-kurangnya, dengan mencadangkan tol Gombak dan Karak sepatutnya dimansuhkan sama oleh kerajaan, cadangan beliau ini tidaklah begitu jauh tersasar berbanding Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan semua tol di negara ini.
Alangkah beruntungnya ahli-ahli Pas jika beliau jadi presiden mereka ketika ini - jelas ke mana hala tuju dan nampak perjuangannya untuk menjaga kepentingan rakyat.

Tetapi di mana Hadi Awang?

Semasa pembentangan bajet semalam, beliau disahkan tidak hadir kerana dikatakan ada sedikit masalah kesihatan.
Ketika pembentangan bajet tahun lalu juga Hadi dilaporkan tidak hadir, katanya sebab ada mengajar agama di Rusila.

Khabarnya lagi, semasa pembentangan bajet 2016, Hadi turut tidak hadir sama.

Jika benar, bermakna sudah  tiga tahun berturut-turut Hadi tidak hadir sessi pembentangan bajet di Parlimen.

Hatrik tu!!
Untuk tahun ini, ketidakhadiran Hadi berikutan ada masalah kesihatan barangkali bolehlah difahami, tetapi  mengapa masih tidak kedengaran sebarang komen beliau mengenai bajet yang dibentangkan oleh rakan sedondonnya, Najib?

Buatlah komen dan ulasan barang sepatah dua Tuan Presiden?

Lagi pun, tentu Najib amat tertunggu-tunggu ulasan Hadi berhubung bajet yang dibentangkannya semalam itu. (28/10/2017)

BAJET 2018 ADALAH BAJET PILIHANRAYA, PRU 14 BAKAL DIADAKAN SELEPAS JANUARI TAHUN DEPAN

Apa yang menarik dalam bajet kali ini?

Itu adalah pertanyaan yang paling banyak terdengar di mana-mana sejak petang semalam lagi. Bersapaan di mana saja atau dengan sesiapa, soalan sedemikian hampir tidak terkecuali terpacul daripada mulut kebanyakan orang.

Ramai yang mengharapkan bajet yang dibentangkan Najib kali ini terdampar harapan dan bunga-bunga indah, bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya, lantaran sembang kencang Najib Razak sebelum ini kononnya ekonomi negara berkembang baik, pertumbuhan dalam negara positif dan sehingga mampu membuat tawaran untuk memakmurkan ekonomi Amerika Syarikat.

Lebih daripada itu, oleh kerana bajet alternatif oleh Pakatan Harapan sudah pun dibentangkan lebih dahulu, sekurang-kurangnya Najib mestilah ada iltizam untuk menawarkan sesuatu yang labih baik lagi.

Malangnya, yang mampu dilakukan Najib hanyalah beberapa ciplakan terhadap bajet alternatif Pakatan Harapan, manakala selebihnya langsung tidak ada yang menarik.

Najib hanya mampu mempersembahkan perkara-perkara remeh seperti kebenaran pulang awal bagi suami yang isterinya mengandung. Kebenaran pengambilan terus pembantu rumah dan tidak lagi melalui agen hanya mendedahkan majikan kepada penipuan dan lebih banyak masalah akan timbul.

Beliau seharusnya menekankan bayaran agen yang munasabah atau memperbanyakkan lagi, atau mandatori berhubung  pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, baik sektor kerajaan mahu pun swasta.

Sementara bajet Pakatan Harapan mahu menghapuskan tol dan GST, Najib sebaliknya cuma memansuhkan lima tol saja, itu pun dua di Selangor yang terlibat itu memang konsesinya akan berakhir pada 2018 serta beberapa item barangan yang dikecualikan cukai tersebut.

Dengan demikian, jika pemansuhan dua tol di Selangor diharapkan mampu meniupkan angin perubahan agar rakyat memilih UMNO dan BN, ia sudah jadi tidak bermakna apa-apa lagi.
Pemansuhan tol di Johor dan Kedah pula dengan jelas membuktikan Najib bimbang kedua-dua negeri itu akan beralih tangan.

Begitu juga, pemberian saham RM200 kepada anak yang baru lahir, pendekatan tersebut sudah pun lama di lakukan di Selangor oleh Pakatan Harapan.

Makna kata, dengan menciplak beberapa perkara dalam bajet alternatif Pakatan Harapan dan kesediaan Najib menghapuskan tol di Kedah dan Johor, kehadiran pakatan pembangkang itu bukan saja digeruni, malah nyata memberi kebaikan kepada rakyat.

Belum pun menjadi kerajaan, Pakatan Harapan sudah mampu melimpahkan rahmat dan kebaikan kepada rakyat, bayangkan jika mereka menjadi kerajaan nanti?

Yang amat mengecewakan dalam bajet kali ini ialah daripada  keseluruhan peruntukan RM280.25 bilion yang disediakan, meningkat lebih RM20 bilion berbanding tahun lalu, perbelanjaan pengurusan mewakili sebanyak RM234.25 atau 84 peratus, manakala belanja pembangunan hanyalah 16 peratus atau RM40 bilion saja.

Di mana impaknya kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat dan lestari jika peruntukan untuk pembangunan tersangat kecil berbanding belanja pengurusan?

Dalam hal ini, Najib dengan amalan "cash is king" yang  dimaklumi memang membudaya dalam dirinya, tidak saja mengamalkan perbelanjaan tidak sihat, tetapi juga terlihat terlalu ghairah untuk memberi banyak sumbangan tunai atau one-off kepada pelbagai kelompok masyarakat bagi tujuan memenangi pilihanraya.

Selain bayaran BR1M sebanyak RM1200 dan bantuan khas kewangan RM1500 kepada kakitangan awam serta RM750 untuk pesara, bajet ini juga memperuntukan beberapa pemberian tunai lain seperti RM1500 kepada Ketua Kampung, Tok Batin, Imam, Bilal, Siak, Guru Kafa dan Takmir,  bantuan RM600 kepada pesawah dan elaun khas RM350 kepada warga emas.

Semua bayaran itu akan mula diterima dalam dua peringkat iaitu pada Januari 2018 dan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan datang. 
Ini dengan jelas memberi gambaran bahawa semua wang tunai yang dicurahkan itu ialah untuk tujuan menambat hati rakyat menjelang PRU 14 yang sudah tentu bakal diadakan selepas Januari 2018 iaitu di ketika sebahagian besar pemberian wang tunai tersebut sudah diagih-agihkan dan diterima rakyat.

Tidak mungkin pilihanraya akan diadakan hujung tahun ini kerana Najib sudah tentu mahu gula-gula tunai yang dijanjikannya betul-betul sampai ke tangan pengundi sebelum mereka memangkah di kertas undi. 

Maknanya, pemberian tunai itulah yang menyebabkan belanja pembangunan terpaksa diciputkan kepada kira-kira RM40 bilion, manakala belanja mengurus meningkat kepada RM234.25 bilion.

Najib nyata terdesak untuk memenangi pilihanraya akan datang sehingga semua wang tunai kerajaan digunakan untuk kepentingan politik UMNO dan BN serta mengabaikan aspek pembangunan lain yang lebih mampu memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Hakikat bahawa bajet kali ini adalah untuk memenangi pilihanraya bukan saja terbentang di depan mata, tetapi diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, bajet kali ini memang merupakan bajet persediaan untuk menghadapi pilihanraya.

Betullah tu, nak kata apa lagi, kata beliau. (ShahbudinHusin 28/10/2017)

Friday, 27 October 2017

ADAKAH PEMIMPIN PH HANYA SUKA-SUKA MERANGKA BAJET ALTERNATIF?


Petang ini Najib Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2018 yang dilihat banyak pihak tidak lebih sebagai "gula-gula pilihanraya" untuk memastikannya terus berkuasa, di sebalik skandal mega 1MDB yang membelenggu dirinya.

Mahu tidak tahu, Najib harus memastikan beliau menang pilihanraya akan datang dan Bajet 2018 adalah senjata terakhirnya bagi tujuan itu, setelah satu lagi senjata - keputusan RCI Forex nampaknya mungkin tidak banyak membantu untuk mengaitkan Tun Mahathir Mohamad atas kerugian urusniaga matawang pada tahun 80an dan 90an dahulu.

Oleh yang demikian, bajet kali ini dipercayai bukan saja "gula-gula", bahkan juga penuh dengan tawaran yang "gila-gila".

Sementara itu, Pakatan Harapan sudah pun membentangkan bajet alternatifnya, Selasa lalu dengan 10 intipati - menghapuskan GST, pendidikan percuma, gaji minima, rumah mampu milik, menghapuskan rasuah, menangani isu Felda, menghapuskan tol, royalti minyak 20 peratus, untuk wanita dan kepentingan Sabah serta Sarawak.

Selain itu, dalam tempoh 100 hari menjadi kerajaan pula, Pakatan Harapan turut menjanjikan tangkapan terhadap MO1 dan jerung-jerung yang lain, RCI untuk 1MDB dan Felda, penubuhan badan bebas untuk mengembalikan aset dan wang rakyat yang dicuri, menjadikan SPRM sebagai badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen dan terakhir, menghapuskan amalan runding terus bagi semua kontrak kerajaan.

Memandangkan tawaran PH itu terlalu menarik dan mampu mengujakan rakyat kepada perubahan, berbondong-bondong pemimpin UMNO dan kerajaan memperlekeh bajet alternatif tersebut.

Ada yang kata ia akan memufliskan negara, bersifat populis, tidak mungkin mampu dilaksanakan, tiada kredibiliti, hanya janji semata-mata dan pelbagai perlecehan lainnya.

Apakah PH hanya main-main atau suka-suka merangka bajet tersebut?

Kita harus sedar bahawa PH, berdasarkan penerimaan rakyat terhadap perubahan dan penolakan ketara terhadap Najib, hanya selangkah saja lagi untuk menjadi kerajaan dan menumbangkan UMNO serta BN dalam pilihanraya akan datang.

Dengan yang demikian, bajet yang mereka rangka itu sudah pasti sesuatu yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Adalah tidak bijak jika PH merangka sesuatu yang tidak mampu dibuat, sedangkan peluang untuk menang memang dalam tangan.

Lainlah jika PH memang tiada peluang langsung untuk menubuhkan kerajaan, maka bolehlah dijanjikan bulan bintang dan gemerlapan lain yang tidak mampu dicapai tangan.

Ketidakmampuan menunaikan janji atas tawaran yang sudah dibuat  pastinya akan menjadikan rakyat memberontak dan menolak secara serta-merta kepada PH.

Adakah PH hanya ingin berkuasa setahun dua atau selama sepenggal sahaja?

Jika itu yang berlaku, selepasnya PH tidak akan dipercayai lagi oleh rakyat dan peluang untuk kembali sudah semestinya tertutup sama-sekali.

Adakah itu matlamat perjuangan PH?

Selain itu, kepada yang terus memperlekeh bajet alternatif tersebut, mereka seharusnya sedar bahawa di belakang PH tersenarai tokoh-tokoh hebat seperti Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Tun Daim dan sederetan nama yang lain yang telah terbukti sebagai pemimpin yang hebat dan berjaya sebelum ini.

Di Selangor dan Pulau Pinang pula, PH telah membuktikan kemampuan mereka dalam mentadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan BN yang terdahulu.

Sudah tentu, jika mereka bersetuju terhadap isi atau intipati bajet alternatif itu untuk dibentangkan secara terbuka kepada rakyat, mereka sebenarnya punya keyakinan dan kemampuan untuk melaksana dan menunaikannya apabila diberi kuasa nanti.

Tidak mungkin mereka itu mahu "membunuh diri"  dengan menjanjikan sesuatu yang tidak mampu untuk dilaksanakan.

Sebagai rakyat yang sudah pun terasa perit dan sengsara di bawah Najib selama ini, tiada sebab untuk kita mahu meragui kemampuan PH dalam memberi kebahagiaan dan kesejahteraan melalui pembentangan bajet alternatifnya itu, kecualilah jika kita mahu melihat Jho Low, bukan saja terus bebas, malah bertambah lagi bilion-bilion masuk ke dalam poketnya selepas ini. (ShahbudinHusin 27/10/2017).

SATU LAGI PENDEDAHAN, JADI ATAU TIDAK FELDA NAK SAMAN RAFIZI?

FELDA ISYTIHAR BAYAR £34 JUTA BELI TANAH, TETAPI HANYA £20 JUTA YANG DIBAYAR

Pelaburan Felda yang terbesar di United Kingdom ialah hartanah-hartanah di Wembley, London dengan membeli bangunan sedia ada dan membina bangunan baru untuk disewakan kepada pelajar-pelajar. Setakat ini, dua buah bangunan sedemikian telah siap dan beroperasi iaitu Felda House di alamat 575 North End Road, Wembley HA9 0UU dan Grand Felda House di alamat Empire Way, Wembley HA9 0EF.

Saya telah tunjukkan sebelum ini bahawa Felda House didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang ditubuhkan di BVI iaitu FIC Global Limited.

Saya juga telah mendapatkan geran rasmi hakmilik hartanah yang dinamakan Grand Felda House itu. Carian di laman https://data.occrp.org/ iaitu pengkalan data terbesar di dunia yang membabitkan syarikat-syarikat luar pesisir pantai (“offshore companies”) menunjukkan bahawa FIC Global Limited mempunyai dua hartanah di United Kingdom yang didaftarkan di atas namanya.

Dari situ, saya telah mendapatkan salinan geran hartanah bernombor NGL705102.

Maka, geran hakmilik ini mengesahkan bahawa:

i. Felda telah membeli dua buah bangunan bersebelahan yang sebelum ini diberi nama Dexion House dan Howerine House, masing-masing beralamat di 2-4 dan 5-6 Empire Way, Wembley.

ii. Harga pembelian yang didaftarkan di atas geran hakmilik adalah £20 juta atau sekitar RM120 juta.

iii. Geran hakmilik didaftarkan di atas nama FIC Global Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di BVI yang didakwa anak syarikat Felda.

Untuk memastikan bangunan-bangunan ini benar-benar wujud, saya telah menyemak menggunakan Google Earth seperti berikut:

Ini mengesahkan bahawa Dexion House dan Howerine House adalah dua hartanah yang berbeza dari Felda House yang beralamat di 575 North End Road.

Saya juga menyemak satu laman yang bernama newlondondevelopment.com yang menyenaraikan semua pembangunan baru yang sedang berjalan di London dan mengesahkan memang bangunan bernama Dexion House di alamat 2-4, Empire Way telah diluluskan untuk diubahsuai menjadi asrama pelajar:

Setelah saya pasti bahawa hartanah yang bernama Dexion House ini bukanlah Felda House dan merupakan satu pembelian yang berasingan, saya kemudiannya telah membandingkan maklumat harga yang didaftarkan di atas geran hakmilik dengan maklumat yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang diaudit oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC).

Saya sertakan mukasurat 108 dari penyata kewangan FIC yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 yang memperincikan pembelian-pembelian hartanah FIC di dalam Nota 37:

Daripada dokumen-dokumen ini, jelas ada pertembungan maklumat dan harga yang ketara, seperti berikut:

i. FIC mengisytiharkan di dalam penyata kewangannya yang diaudit bagi 2014 bahawa ia telah membayar £34 juta untuk membeli tanah (dan bangunan sedia ada) yang dikenali sebagai Dexion House 1 dan Dexion House II untuk membina asrama pelajar.

ii. Geran hakmilik bagi hartanah-hartanah yang bernama Dexion House (dirujuk Dexion I) dan Haworine House (dirujuk Dexion II) menunjukkan harga yang dibayar sebenarnya hanyalah £20 juta.

Jelas bahawa walaupun harga yang diisytiharkan dan dimasukkan di dalam penyata kewangan FIC bagi tahun 2014 adalah £34 juta, sebenarnya hanya £20 juta yang dibayar atau pun benar-benar melibatkan pembelian tanah tersebut.

Ada beza sebanyak £14 juta (bersamaan RM86 juta) yang tidak sampai kepada penjual dan perlu dijawab oleh pengurusan Felda. Tambah pula apabila syarikat yang memegang hakmilik ini adalah sebuah syarikat BVI, sukar untuk memadankan jumlah yang dibayar dengan apa yang direkodkan di dalam FIC Global Limited.

Saya masih menunggu saman dari FIC dan bersedia untuk ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan lanjut kepada soalan-soalan saya ini.

Saya juga akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 4.30 petang ini untuk menyerahkan segala bukti yang saya ada setakat ini agar kes ini dapat disiasat segera.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.


Ulasan - Setelah beberapa pendedahan sebelum ini, kali ini Rafizi tampil lagi dengan satu pendedahan yang tentunya mengejutkan kita semua di mana di dalam penyata kewangan Felda, harga yang dicatatkan untuk satu pembelian hartanah yang dikenali sebagai Dexion House 1 dan Dexion House 2 ialah £34 juta, tetapi bayaran yang sebenarnya dibuat hanyalah £20 juta saja.

Bermakna ada perbezaan sebanyak £14 juta atau kira-kira RM86 juta dalam pembelian tersebut.

Kenapa boleh jadi begitu? 

Siapa "makan" dan ke mana hilangnya wang RM86 juta berkenaan?

Pengerusi Felda sekarang, Shahrir Samad, Pengerusi Felda terdahulu, Isa Samad dan Najib Razak yang bertanggungjawab terhadap Felda tidak harus sekadar diam saja dengan pelbagai pendedahan oleh Rafizi ini.

Mereka mesti bertanggungjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan dengannya.

Tak kesiankah dengan pakcik dan makcik Felda yang berpeluh setiap hari mengusahakan ladang, namun akhirnya wang titik peluh mereka lesap begitu saja dan entah masuk ke poket siapa?

Pada Selasa lalu,  Shahrir ada mengumumkan bahawa mesyuarat Lembaga Pengarah Felda akan bermesyuarat pada Rabu untuk menimbang tindakan saman terhadap Rafizi.

Bagaimanapun, tidak diketahui apa hasil mesyuarat tersebut. 

Kenapa senyap saja?

Jadi ke tidak nak saman Rafizi?

Atau lebih tepat, beranikah Felda menyaman Rafizi? (ShahbudinHusin 27/10/2017)

Thursday, 26 October 2017

SERONOKNYA JADI JHO LOW....


Tidak cukup dengan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang sudah membersihkan Jho Low dengan mengatakan siasatan terhadap ahli perniagaan playboy yang dipercayai dalang dalam  skandal 1MDB itu sudah ditutup dan tidak lagi bantuan Interpol diperlukan untuk menangkapnya, kali ini seorang lagi pemimpin UMNO, Nazri Aziz tampil berbuat demikian.

Kata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu, tiada tindakan boleh diambil terhadap Jho Low kerana kesalahannya tidak dilakukan di Malaysia.

Katanya, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan terhadap seseorang jika kesalahannya dilakukan di negara ini.

Beritahu kami apa kesalahan yang dia dah buat. Jika dia melakuan kesalahan di negara ini dan di bawah undang-undang kita, kami akan mengambil tindakan, kata Nazri lagi.
Wah...seronoknya jadi Jho Low...walaupun berseronok di luar negara dengan wang yang dipercayai dicuri daripada 1MDB, namun tidak putus-putus pejuang Melayu mempertahankannya.

Nampaknya, tiada apa yang rakyat boleh harapkan kepada pemimpin-pemimpin yang ada sekarang dalam menegakkan kebenaran berkaitan 1MDB.

Segala-galanya, asal saja berkaitan 1MDB, berebut-rebutlah mereka mempertahankannya. Dari sejak mula isu 1MDB ini muncul sehinggalah sekarang, bagi pemimpin UMNO, tetap tiada apa-apa dan siapa yang bersalah.

Itu belum lagi ditanya kepada Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Puad Zarkashi, Aziz Kaprawi, Tajuddin Rahman dan yang lain-lain mengenai Jho Low. 

Jika berpeluang bercakap dengan media, jawapan mereka pasti lebih membuatkan Najib Razak berbangga dengan tahap kemampuan mereka dalam membodek dan mengampu. 

Makna kata, dengan jawapan mereka itu, Najib tidak perlu bersuara apa-apa lagi dalam mempertahan dan melindungi Jho Low.

Kenapa cepat sangat Nazri mengatakan Jho Low tidak melakukan kesalahan di negara kita?

Apakah beliau benar-benar pasti mengenainya?

Bukankah 1MDB itu syarikat Malaysia dan wang yang hilang dan dipercayai disonglapnya juga adalah wang milik negara ini?

Tidak mungkinkah sebahagian daripada arahan-arahan Jho Low kepada pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan 1MDB itu dilakukan di dalam Malaysia?

Kenapa cepat sangat diumumkan kes terhadap Jho Low sudah ditutup, bantuan Interpol ditamatkan dan seolah-olah disahkan tiada kesalahan dilakukan di negara ini sedangkan beberapa negara lain masih lagi menyiasatnya?

Jika betul mahu mencari kebenaran, kenapa tidak diusahakan agar Jho Low dibawa balik terlebih dahulu untuk diambil keterangan dan disiasat secara menyeluruh untuk mengetahui ada kesalahan atau tidak telah dilakukannya?

Kenapa tiada pemimpin UMNO yang berani mencadangkan demikian?  (ShahbudinHusin 26/10/2017)

BAJET PAS DIBENTANG ESOK SEBELUM SOLAT JUMAAT?


Sekarang ini adalah musim pembentangan bajet. Pihak yang ingin menjadi kerajaan dan parti yang sedang menguasai kerajaan, inilah masanya membuat tawaran masing-masing kepada rakyat.

Semalam Pakatan Harapan telah membentangkan bajet alternatifnya sebagai tawaran kepada rakyat jika mereka berjaya mengambil alih kerajaan.

Tentu ramai yang teruja dengan tawaran menarik PH itu terutamanya pemansuhan GST dan penghapusan tol, selain pendidikan percuma, rumah mampu milik, pemberian royalti minyak 20 peratus dan beberapa yang lain lagi.

Esok pula, Najib Razak sebagai Menteri Kewangan akan membentangkan bajet 2018 bagi pihak BN sekiranya mereka kekal lagi sebagai kerajaan selepas PRU 14.

Jika tawaran Najib pada esok tidak lebih baik berbanding apa yang telah dtawarkan oleh PH, tentu saja rakyat tidak tertarik lagi untuk terus mengekalkan BN memerintah negara ini.

Untuk apa rakyat terus memilih parti dan pemimpin yang hanya akan menyusahkan mereka dalam meneruskan kehidupan?
Melihat kepada tawaran-tawaran yang dibuat oleh PH, tidak mustahil Najib ketika ini sedang sibuk membuat beberapa pindaan terhadap bajetnya untuk disesuaikan agar tidak terlalu jauh tertinggal sehingga memungkinkan BN kecundang mudah dalam pilihanraya yang dijangka akan diadakan dalam dua tiga bulan akan datang.

Jika semata-mata bergantung kepada BR1M, tetapi tiada tawaran yang menarik berkenaan GST, perumahan, perubatan, tol dan seumpamanya, kemungkinan PH, tambahan lagi dengan adanya Tun Mahathir Mohamad bersama gabungan pembangkang sekarang ini, lebih merupakan pilihan di hati rakyat untuk menerajui kerajaan.

Namun demikian, sepertimana yang ditanyakan oleh seorang pemimpin DAP - mana bajet Pas iaitu satu satu lagi pihak yang juga bercita-cita mahu menubuhkan kerajaan?

Bukankah Pas bersama Gagasan Sejahtera juga bercita-cita besar untuk membentuk kerajaan dengan menumbangkan BN dan mengalahkan PH?

Jika benar ingin menjadi kerajaan, apa tawaran mereka berkenaan GST, tol, perumahan, pendidikan dan sebagainya?

Apakah Pas masih mahu melaksanakan hudud atau memadai dengan Akta 355 saja?

Sesungguhnya, untuk membuktikan Pas bersama Gagasan Sejahtera mampu untuk membentuk kerajaan dengan mengalahkan dua pesaingnya yang lain serta  ada tawaran tersendiri untuk rakyat, mereka  masih berkesempatan lagi untuk berbuat demikian.

Najib hanya akan membentangkan bajetnya pada Jumaat kira-kira jam 4.00 petang, maka Pas bolehlah melakukan pembentangan lebih awal iaitu sebelum sembahyang Jumaat.

Dalam tempoh 24 jam ini, Pas dan Gagasan Sejahtera haruslah memerah tenaga, otak dan segala input daripada pelbagai sumber untuk bajet tersebut bagi meyakinkan rakyat mereka benar-benar ingin jadi kerajaan yang lebih baik daripada BN atau PH.

Kalau idea bajet pun tiada, nak jadi kerajaan macam mana?

Takkan jadi kerajaan nak ceramah saja sepanjang masa?

Atau jika tidak sempat menyediakan bajet itu, lebih baik Pas cepat-cepat bertindak setuju terhadap saranan Mustaffa Ali bagi pembentukan kerjasama dengan UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.

Satu kenyataan daripada Hadi Awang mengatakan Pas setuju untuk bekerjasama dengan UMNO saja pun sudah memadai bagi tujuan itu.

Bila sudah setuju dan ada kerjasama dengan UMNO, jadinya bajet Najib petang esok adalah sama  seperti  bajet Pas juga. 

Mudah kan? (ShahbudinHusin 26/10/2017)

Wednesday, 25 October 2017

APA LAGI KITA MAHU?


100 hari pertama...

Harapan baru untuk rakyat jelata...

Maka, kita sudah boleh lupakan saja Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan Najib Razak, Jumaat ini.

Tidak mungkin Najib, UMNO dan BN mampu memberi tawaran lebih baik berbanding Pakatan Harapan. (ShahbudinHusin 25/10/2017)