Wednesday, 31 May 2017
BENARKAH FLORENCE GOH HANYA "BAYANGAN" KEPADA SUAMINYA?
FLORENCE GOH PERLU TAMPIL DEDAH SIAPA DIRINYA YANG SEBENAR
Tuesday, 30 May 2017
MEMANG PATUT TUAN IBRAHIM MENEGUR
HAMIDAH OSMAN MASUK PARTI EZAM?
Monday, 29 May 2017
ALAHAI IDRIS AHMAD.....
Sunday, 28 May 2017
KJ KELIRU
KENAPA GUAN ENG SAJA MAHU DILARANG BERBUKA PUASA?
Saturday, 27 May 2017
SATU LAGI CABARAN BUAT NAJIB
MATI DALAM UMNO
Salah satu impian Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa dalam meniti usianya yang semakin lewat ini ialah agar kematiannya nanti ketika beliau masih kekal bersama UMNO.
Ini kerana katanya, beliau benar-benar yakin bahawa UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Annuar juga menceritakan bagaimana beliau sekarang ini kerap ditanya mengapa hampir setiap hari memakai baju sama ada yang berlogo UMNO atau BN.
"Saya kata itu yang hanya nampak pada baju tapi kalaulah anda boleh belah dalam hati saya, darah yang mengalir dan jantung yang berdenyut ini dalamnya penuh dengan semangat Umno," katanya lagi.
Wahhh....hebat betul gaya "ampu dan bodek" beliau kali ini!!
Sewaktu jadi menteri dulu pun tak pernah begini nada kata-katanya.
Apa lagi yang beliau harapkan agaknya dengan mengatakan ingin meninggal dunia dalam UMNO ini?
Apakah juga yang beliau bangga sangat dapat meninggal dunia dalam UMNO sedangkan tiga bekas Presiden UMNO, termasuk pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Alhal dan Tun Hussein Onn pun tidak mati ketika bersama UMNO?
Apakah tiga bekas Presiden UMNO itu tidak sedar parti yang pernah mereka terajui berjuang untuk agama, bangsa dan negara?
Dan sekarang, Tun Mahathir Mohamad, seorang lagi bekas Presiden UMNO juga sudah "berpatah arang, berkerat rotan" serta "membakar jambatan untuk selama-lamanya" dengan parti itu dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi juga untuk meninggal dunia di luar UMNO.
Bermakna, kemungkinannya dalam sejarah tujuh Presiden UMNO, empat daripadanya meninggal dunia di luar UMNO.
Jadi, apa hebatnya meninggal dunia di dalam UMNO seperti impian Annuar itu, lebih-lebih lagi jika di dalam UMNO itu sendiri penuh dengan segala macam perkara yang tidak baik dan jijik di hati rakyat?
Lagi pun, bukankah kerana terlalu banyak perkara jijik dan tidak baik itulah juga menyebabkan UMNO sendiri dalam keadaan tenat dan bakal "meninggal dunia" atau hilang kuasanya tidak berapa lama lagi?
Sebelum Annuar menghembuskan nafas terakhirnya dan beliau berharap untuk meninggal dunia ketika bersama UMNO, sebaliknya majoriti rakyat lebih mengharapkan UMNO itu sendiri "meninggal dunia" terlebih dahulu.
Jika UMNO "meninggal dunia" lebih dulu, masihkah Annuar mahu meninggal dunia bersama UMNO? (ShahbudinHusin 27/05/2017).
Friday, 26 May 2017
KESEDIHAN TUN MAHATHIR DAN MALAYSIA JUAL SATU, CHINA DAPAT DUA
JAWAPAN KEPADA NAJIB BAGAIMANA PAKATAN HARAPAN BOLEH TADBIR MALAYSIA TANPA GST
Dua hari lalu ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016, Najib Razak memperkecilkan keupayaan Pakatan Harapan mentadbir negara ini sekiranya mereka meneruskan rancangan menghapuskan cukai GST sebanyak 6 peratus.
Beliau seterusnya mempersoalkan daripada mana Pakatan Harapan akan memperolehi pendapatan sekiranya sifar GST dilaksanakan kerana ia akan menyebabkan kekurangan sebanyak RM42 bilion dalam pendapatan kerajaan.
"Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan RM42 bilion itu?
"Kata orang 'talk is cheap'. Semua orang boleh bercakap itu dan ini," katanya lagi.
Kata beliau, tanpa GST, tidak mungkin tujuh juta rakyat dapat menerima BR1M dan pelbagai bantuan lain termasuk perubatan dan pendidikan yang mungkin terpaksa ditarik balik.
Sebab itu, tambah Najib, perancangan pembangkang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, malah lebih bertujuan memesongkan pemikiran rakyat.
Itu kata-kata daripada Najib dua hari lalu. Mahu kita percaya kata-katanya itu?
Sebagai menyahut persoalan Najib yang pernah dianugerahi Menteri Kewangan Terburuk Asia 2016 itu, di bawah ini adalah jawapan yang disediakan oleh Rafizi Ramli tentang bagaimana Pakatan Harapan sebenarnya masih mampu mentadbir negara ini, malah dengan lebih baik lagi, meskipun setelah menjadikan cukai GST sebagai sifar kadarnya.
Penjelasan beliau ini hakikatnya bukan untuk menonjolkan Pakatan Harapan semata-mata, tetapi juga adalah pedoman untuk kita semua rakyat jelata - tak kira miskin kaya, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa, orang cacat, orang buta, orang kurang upaya dan segala-galanya yang selama ini tak terkecuali daripada kerakusan cengkaman cukai GST yang bersifat pukat harimau itu.
Termasuk Najib dan para penyokongnya, baca dan hadamkan baik-baik apa yang dihuraikan oleh Rafizi ini.
Bacalah yerrrr....(ShahbudinHusin 26/05/2017).
Saya ingin menyekolahkan Dato’ Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomok janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST dengan alasan tanpa GST Perbendaharaan akan hilang RM42 bilion setahun.
Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini. Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk “Mengurus Perbendaharaan Negara”.
Punca yang menyebabkan Kerajaan Perseketuan kesempitan sumber kewangan ialah kerana kerajaan terus berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dekad lalu dan dekad ini sehingga mewujudkan hutang yang besar (yang digunakan untuk menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun).
Sebab itu pengurusan perbendaharaan negara tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan, tetapi yang sama penting ialah mengawal perbelanjaan untuk mengurangkan keperluan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan tersebut.
Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu adalah lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.
Oleh itu, untuk pengetahuan Dato’ Seri Najib, tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan dihuraikan seperti berikut:
Kaedah 1: Membanteras Rasuah, Mengurangkan Ketirisan
Saya sedar akan ada orang yang memperlekehkan hujah ini dengan alasan pembangkang hanya tahu menyebut kes-kes rasuah sebagai bukti ketirisan, tetapi tidak tentu wang dari kes-kes rasuah itu boleh dikembalikan. Akhirnya, jika GST dihapuskan (kata mereka), kerajaan tetap akan kekurangan dana yang akan menjejaskan operasi kerajaan.
Sebenarnya saya dan rakan-rakan di National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah membuat satu kajian akademik yang menggunakan kaedah statistik dan matematik untuk menganggarkan berapa penjimatan yang realistik setiap tahun sekiranya pembaziran dan ketirisan dapat dikawal.
Untuk mengetahui berapa kuantum penjimatan yang realistik, kami perlu menganggarkan terlebih dahulu tahap pembaziran dan ketirisan kerajaan.
Kaedah yang kami bangunkan diterbitkan di dalam satu buku terbitan NOW yang bertajuk “Indeks Pembaziran Kerajaan” yang diterbitkan tahun lalu.
Indeks Pembaziran Kerajaan (IPK) adalah satu peratusan yang memberi anggaran peratusan perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya adalah ketirisan dan pembaziran, berdasarkan data-data rasmi kerajaan.
IPK dibangunkan dengan kaedah berikut:
i. Segala maklumat pembaziran, ketirisan dan kerugian yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dikatalogkan mengikut jenis dan jumlah
ii. Setiap kes pembaziran itu disemak dengan membandingkan jumlah kerugian yang dikenalpasti dengan jumlah peruntukan yang dikendalikan oleh jabatan/kementerian tersebut
iii. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan saiz peruntukan yang terdedah kepada ketirisan dan penyelewengan mengikut jabatan/kementerian
iv. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan peratusan ketirisan dan kerugian mengikut kementerian dan dijumlahkan bagi keseluruhan kerajaan
Berdasarkan data-data yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit, keputusan IPK menunjukkan anggaran pembaziran purata bagi tahun 2014 ialah 15.5% dari perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap yang seumpama dengannya.
Bila IPK pada paras 15.5% ini dipadankan dengan anggaran jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan (yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap) bagi 2017 yang dianggarkan berjumlah RM136 bilion, ada potensi jumlah penjimatan sebanyak RM21 bilion.
Kaedah 2: Pentadbiran Kewangan Yang Telus Mengurangkan Bayaran Faedah Tahunan
Satu lagi potensi penjimatan perbelanjaan yang boleh dicapai dengan mudah ialah belanja tahunan membayar faedah di atas hutang-hutang yang dipinjam oleh Kerajaan Persekutuan.
Setakat April 2017, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion. Dari jumlah itu, bentuk hutang terbesar ialah kertas hutang Kerajaan Malaysia (“Malaysian Government Securities” atau MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang Terbitan Pelaburan Kerajaan (“Government Investment Issues” atau GIIs) sebanyak RM235 bilion.
Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai “coupon rate”) mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang.
Seperti juga saham yang dijual beli, kertas-kertas hutang yang diterbitkan kerajaan juga boleh dijual beli. Bagi jual beli saham, lebih baik saham itu, maka lebih tinggi harga yang ditawarkan untuk membeli saham tersebut.
Keadaannya terbalik bagi kertas hutang.
Lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut. Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi.
Oleh sebab itulah, reputasi antarabangsa Kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.
Skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.
Sebab itulah belanja membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM29 billion, iaitu lebih dari separuh wang hasil GST yang dikutip terpaksa digunakan untuk membayar faedah.
Saya yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru boleh meyakinkan pasaran dan pelabur. Keyakinan pelabur itu akan diterjemahkan ke dalam kadar faedah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan yang lebih rendah. Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun.
Hasil dari dua langkah segera yang boleh diambil ini dijangka akan menterjemahkan penjimatan segera sebanyak RM27.5 bilion seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut.
Kaedah 3: Rasionalisasi Cukai melalui Pengenalan Cukai Ke Atas Keuntungan Jual Beli Saham dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan
Ada beberapa inisiatif percukaian lain yang walaupun hasilnya tidak sebesar kaedah 1 dan 2, ia tetap akan menambah hasil kepada kerajaan untuk menampung pengurangan hasil akibat pemansuhan GST.
Saya pernah menyuarakan bahawa kerangka sistem percukaian yang ada didasarkan kepada keadaan ekonomi 1970an yang kini tidak lagi sesuai dengan bentuk ekonomi negara mutakhir. Contohnya, orang kaya yang berjual beli saham sehingga untung beratus juta ringgit dalam tempoh yang singkat tidak dikenakan cukai, sedangkan negara-negara lain mengenakan Cukai Keuntungan Modal (“Capital Gains Tax”) ke atas pendapatan sebegini.
Pakatan Harapan telah menyatakan sebelum ini bahawa Cukai Keuntungan Modal akan diperkenalkan untuk menggantikan GST agar orang kaya yang membuat untung dari jual beli saham membayar cukai (dan bukannya orang miskin tidak berpendapatan yang dicukai GST).
Pemansuhan GST juga bermakna konsep cukai tidak langsung (“indirect tax”) akan kembali ke konsep asal iaitu dicukai di kilang sahaja bagi barang-barang tertentu atau perkhidmatan tertentu di tempat-tempat tertentu. Rasionalisasi percukaian yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan boleh menilai kembali pelaksanaan cukai tidak langsung melalui kaedah cukai jualan dan perkhidmatan yang dihadkan kepada barang tertentu di tempat pengilangan dan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan mewah yang tertentu sahaja.
Sebelum pengenalan GST, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan memang pun sudah mencecah sekitar RM12 bilion setahun. Dengan rasionalisasi yang lebih baik (maknanya jenis barang dan perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah lebih sedikit tetapi kutipan lebih cekap agar tidak tiris akibat rasuah), saya yakin kerajaan Pakatan Harapan boleh menjana RM12 bilion dari kutipan cukai tidak langsung, seperti sebelum pengenalan GST.
Cukup Sumber Kewangan Bila GST Dimansuhkan
Dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, saya tidak nampak ada masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan.
Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.