Wednesday, 30 April 2014
Beranikah Najib Terus Bertelagah Dengan Mahathir Mengenai Hudud?
Pendirian UMNO yang berpendirian positif terhadap rancangan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu melalui usul persendirian yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi, akhirnya menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menjadi semakin lantang mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak.
Dalam kritikan terbarunya, beliau berkata, usul hudud ini dihidupkan semula oleh Pas adalah kerana kerajaan sekarang terlalu lemah.
Ini katanya, berbeza dengan kerajaan sewaktu pimpinannya dahulu yang ssngat kuat dan memperolehi majoriti sangat besar sehingga usaha melaksanakan hukum itu dapat dihalang daripada dilaksanakan.
Berpegang kepada keyakinan bahawa hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh Pas itu tidak bersandarkan kepada keadilan yang sebenarnya, terutama berkaitan perbezaan hukuman antara orang Islam dan bukan Islam, Mahathir juga mengimbas bagaimana penentangannya terhadap usaha Pas itu akhirnya membuahkan kejayaan.
Ketika Pas mahu melaksanakan hukum hudud pada 1994, Mahathir telah menulis surat kepada Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan ketika itu yang antara lain berbunyi, "Kerajaan Pusat tidak dapat membenarkan kerajaan Pas Kelantan menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kerajaan Pas demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam."
Betikutan surat tersebut, Kerajaan Pas Kelantan menangguhkan perlaksanaannya dan tidak pernah lagi membangkitkan usaha untuk menjalankan hukum hudud di negeri Kelantan dan Nik Aziz sendiri baru-baru ini mengakui bahawa beliau bimbang akan berlaku Mageran sekiranya beliau berkeras juga mahu melaksanakannya ketika itu.
Tetapi baru-baru ini Menteri Besar Kelantan yang baru, Ahmad Yaakob menunjukkan keazaman yang tinggi untuk melaksanakan hukum hudud yang sudah diluluskan oleh DUN Kelantan itu dengan rancangan mahu membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi menjadikannya realiti.
Beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang beraada di Parlimen seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Annuar Musa secara terbuka memberi sokongan kepada perlaksanaan hukum itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir juga turut menyatakan sokongan dengan menegaskan bahawa kerajaan Pusat sedia membantu mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan hukum itu.
Najib dalam reaksi terbaru, walaupun beberapa tahun lalu pernah bertegas bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini, kini berubah nada dengan mengatakan banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.
Tambah beliau lagi, terdapat perbezaan antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kesulitan dan kekangan yang pelbagai.
Lebih menarik dari itu, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melawat Kelantan baru-baru ini turut mengambil kesempatan menziarahi Nik Aziz di rumahnya sambil memakai kopiah putih serta mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama antara UMNO dan Pas dibentuk bagi mengkaji perlaksanaan hukum itu.
Walaupun Muhyiddin masih tidak mahu menyatakan sama ada UMNO akan menyokong usul pereendirian itu atau sebaliknya, yang nyata ada perubahan sikap lebih positif ditunjukkan oleh ramai pemimpin UMNO terhadap hukum hudud ini.
Mahathir yang jelas bimbang dengan perkembangan ini, kini dilihat semakin lantang mengkritik dan menyuarakan bantahannya terhadap usaha Pas itu. Beliau bukan saja mempertahankan pendiriannya bersandarkan konsep keadilan yang diyakininya, tetapi juga mula menempelak Najib kerana melayan cadangan Pas itu.
Sambil menegaskan kerajaan pimpinan Najib sebagai lemah, Mahathir berkata, "mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan sebab di zaman saya, kami berkuasa dengan majoriti dua pertiga".
Dengan menyifatkan kerajaan Najib sebagai lemah sehingga terpaksa mengharapkan sokongan Pas dengan cara memberi sokongan terlebih dahulu terhadap usul persendirian yang bajal dibentangkan Pas, Mahathir bukan saja menentang hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan, malah turut menghalakan serangannya terhadap Najib dan kerajaan.
Tidaklah mustshil sebenarnya, jila Najib dan UMNO terus bersikap positif terhadap perlaksanan hukum hudud ini, serangan Mahathir akan lebih dihalakan kepada Najib berbanding Pas. Najib akan diserang habis-habisan bukan saja kerana perubahan sikapnya yang positif terhadap hudud tetapi juga sebab pemimpin UMNO yang lain juga seperti sama positifnya terhadap hukum itu.
Soalnya, beranikah Najib bertelagah dengan Mahathir?
Sejak menjadi Perdana Menteri, bukanlah rahsia lagi bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Najib ialah berbeza pendapat, apatah lagi bertelagah dengan Mahathir. Beliau bukan saja bersikap lembut dan menjaga hati Mahathir sejak dari awal, termasuk menjadikan anaknya Mukhriz sebagai MB Kedah, bahkan tidak berani mengulas banyak daripada kritikan bekas Perdana Menteri itu.
Najib lebih senang mendiamkan diri kepada banyak kritikan itu dan ia dipercayai untuk mengelak ianya disensasikan dan akhirnya mencetuskan perbalahan antaranya dengan Mahathir. Ini berbeza dengan Pak Lah, walaupun dikatakan lemah dan lembik, tetapi sejak awal berkuasa sudah menunjukkan keberanian untuk membuang pengaruh Mahathir dengan membatalkan projek keretapi berkembar dan jambatan bengkok yang sudah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri itu serta membebaskan Anwar daripada penjara.
Masalah Pak Lah ialah beliau tidak cukup kuat untuk berlawan dengan Mahathir.
Episod yang berlaku kepada Pak Lah sedikit-sebanyak memberi pengajaran kepada Najib bahawa bertelagah dengan Mahathir bermakna mencari masalah.
Tetapi di sebalik beberapa kritikan Mahathir terhadap Najib yang berpunca daripada banyak kelemahannya dalam mengurus kerajaan ini sehingga negara menjadi semakin kalut dan kucar-kacir, isu hudud yang tiba-tiba muncul ini nampaknya mula menjurus ke arah serangan yang lebih keras dan lantang oleh Mahathir terhadap Najib.
Daripada menyalahkan hukum hudud versi Pas yang dipercayainya tidak bersandarkan keadilan, beliau kini menyalahkan Najib pula kerana melayan isu tersebut. Beliau juga seperti menyindir kerajaan Najib yang terpaksa mengharapkan sokongan daripada parti lain berbanding kerajaan pimpinannya dahulu yang sentiasa mendapat majoriti dua pertiga.
Melihat satu demi satu perkembangan isu hudud ini serta memahami karaktor Najib yang lebih lemah daripada Pak Lah, adalah diyakini beliau akhirnya akan tunduk kepada Mahathir. Najib tidak akan berani bertelagah dengan Mahathir, jauh sekali untuk memastikan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap usul persendirian Pas itu nanti.
Bagi Najib akhirnya, memastikan kedudukannya selamat dan kekal sebagai Perdana Menteri adalah lebih penting didahulukan daripada mengharapkan sokongan daripada pihak-pihak lain, termasuk Pas berkaitan hudud itu.
Untuk kesekian kalinya dan untuk tempoh yang tidak diketahui, hudud akan terus menjadi isu politik seperti buiy-buiy di lautan,ada ketikanya ia muncul dan ada ketikanya ia menghilang begitu saja. (SH 30/04/2014)
Monday, 28 April 2014
Feri Karam, PM Korea Letak Jawatan Tapi MH370 Hilang, PM Malaysia Sibuk 'Berselfie'
Ada dua kejadian malang sedang menimpa dunia ketika ini. Satu, mengenai kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia membawa 239 penumpang yang masih misteri sehingga kini sejak 8 Mac lalu manakala yang kedua ialah tragedi feri karam di Korea Selatan pada 16 April lalu yang dipercayai mengorbankan hampir 300 nyawa.
Dalam kejadian feri karam itu, sehingga ini seramai 180 orang sudah disahkan meninggal dunia dan hanya selepas 11 hari daripada kejadian itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-won mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya bagi memikul tanggungjawab atas kritikan terhadap kerajaan mengenai tragedi itu.
Perkara terbaik untuk saya lakukan ialah memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, katanya tanpa ragu-ragu.
Tetapi dalam kes kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki minggu keenam sehingga ini, di sebalik pelbagai kritikan dari dalam dan luar negara terhadap cara kerajaan menguruskan tragedi itu, langsung tidak terlibat ada mana-mana pemimpin negara yang sedia memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan.
Baik Perdana Menteri, Najib Razak ataupun pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein - kedua-duanya langsung tidak menunjukkan moral yang tinggi sebagai pemimpin atas kejadian itu. Bukan saja tidak menunjukkan keinginan untuk memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, malah seboleh-bolehnya cuba melindungi dan mempertahankan lagi kedudukan yang disandang sekarang.
Perdana Menteri khususnya seolah-olah tidak terkesan dengan kehilangan pesawat yang membawa 239 nyawa yang sekaligus menyebabkan beribu-ribu yang lain yang sedang menangis ketika ini dengan terus menunjukkan wajah seolah-olah tiada apa yang perlu dikesali dan dipertanggungjawabkan daripadanya.
Ketika kenyataan Najib bahawa MH370 telah berakhir di Lautan Hindi dan MAS pula menghantar pesanan ringkas memaklumkan tiada penumpang yang selamat tapi tidak dapat disertakan dengan apa-apa bukti sehingga menimbulkan kemarahan keluarga dan waris mangsa, bukan saja perkataan maaf jauh panggang daripada api, bahkan kenyataan Perdana Menteri itu pula yang cuba dipertahankan sebagai tidak bermaksudkan pesawat itu telah terhempas dan penumpangnya meninggal dunia.
Ini dapat dibayangkan bahawa andainya nanti MH370 tidak terhempas sebagaimana yang ditafsirkan sebelum ini dengan pencarian dilakukan di Lautan Hindi dan usul takziah juga sudah dibentangkan di Parlimen, tindakan mahu memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan turut mustahil dilakukan.
Jelas bahawa prinsip moral dan konsep pertanggungjawaban antara Perdana Menteri Korea Selatan dengan Perdana Menteri Malaysia begitu jauh beza dan jaraknya.
Lebih dari itu, penyerlahan "wajah tidak berdosa" Najib ini juga dapat dilihat ketika beliau giat "berselfie" dengan pemimpin-pemimpin dunia yang ditemuinya. Minggu lalu beliau "berselfie" dengan Perdana Menteri Turki, Tayyib Erdogan dan semalam pula kelihatan cukup berseri-seri dapat "berselfie" dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Gambar beliau "berselfie" itu, terutamanya dengan Barack Obama menjadi viral dan perbualan di media sosial ketika ini.
Walaupun "berselfie" adalah hobi kebanyakan orang ketika ini tetapi ada pula yang menyifatkan kegilaan terhadapnya sebagai tanda-tanda mengalami gangguan jiwa iaitu kerana mengharapkan puji-pujian, untuk menarik perhatian dan untuk menunjukkan sikap 'humble' yang sebenarnya tiada dalam diri seseorang itu.
Sama ada Najib mengalami salah satu gangguan itu atau sebaliknya, tiada siapa yang dapat memastikannya dengan tepat tetapi dalam beliau ghairah "berselfie" itu, janganlah sampai terlupa akan tragedi malang MH370 itu sehingga bukan saja waris keluarga mahukan ketelusan kerajaan, malah Obama sendiri mengharapkan perkara yang sama.
Namun lebih afdal jika dapat mencontohi sikap terpuji seperti Perdana Menteri Korea Selatan itu dan kurang-kurangkanlah "berselfie". (SH 28/04/2014)
Sunday, 27 April 2014
Kedatangan Obama Turut Melonjakkan Nama KJ
Kedatangan Presiden Amerika, Barack Obama untuk lawatan selama tiga hari ke negara ini bukan saja menyebabkan Perdana Menteri, Najib Razak diselubungi kegembiraan kerana seolah-olah mendapat pengiktirafan daripada negara "super power" itu, tetapi juga menyebabkan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan turut menerima lonjakan daripadanya.
Jika Najib berbunga-bunga hatinya kerana kunjungan Obama ini dibuat selepas hampir 50 tahun seorang Presiden Amerika tidak mengunjungi negara ini, Khairy atau KJ pula tentunya berasa paling bertuah kerana dipilih sebagai menteri pengiring kepada Obama sepanjang lawatannya ini.
Kali terakhir seorang Presiden Amerika mengunjungi negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon b. Johnson. Sejak itu tidak pernah mana-mana pemimpin negara itu melawat negara ini. Berbeza dengan Mahathir yang mentadbir negara ini selama 22 tahun tetapi Najib hanya setelah 5 tahun menjadi Perdana Menteri sudah berupaya meyakinkan pemimpin utama kuasa besar itu untuk melawat negara ini.
Kepada Najib yang seperti kata Ahli Parlimen Raub, Ariff Sabri Abdul Aziz atau Sakmongkol bahawa "Tuhan politiknya adalah Amerika", kedatangan Obama merupakan kegembiraan yang yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata serta meletakkan namanya lebih tinggi berbanding pemimpin-pemimpin serantau yang lain.
Sepanjang Najib mentadbir negara ini pula, negara Amerika adalah antara kunjungannya yang paling kerap, bahkan di awal pemerintahannya juga, beliau juga melantik rakan karibnya, Jamaluddin Jarjis sebagai Duta Besar ke negara itu dengan tujuan menjalin hubungan lebih erat antara Malaysia dengan Amerika.
Dalam Najib merasa gembira dan bangga dengan kedatangan Obama, KJ juga sebenarnya mengalami perasaan yang hampir sama.
Ini kerana walaupun KJ adalah menteri yang paling junior dalam kerajaan, tetapi pemilihannya sebagai menteri pengiring kepada Obama, pemimpin dunia paling berkuasa tentunya sesuatu yang menggembirakan bagi Ketua Pemuda UMNO itu.
Timbul cakap-cakap mengapa KJ yang dipilih sebagai menteri pengiring kepada Obama? Kenapa tidak dipilih menteri yang lebih senior seperti Ahmad Zahid Hamidi, Nazri Aziz, Hishammuddin atau lain-lainnya, sesuai dengan kedudukan Obama sebagai pemimpin sebuah negara paling berkuasa?
Adakah pemilihan ini menunjukkan usaha menonjolkan KJ ke peringkat yang lebih tinggi?
Jika kebolehan menguasai bahasa Inggeris sebagai alasan, Hishammuddin dan Nazri Aziz juga mempunyai penguasaan yang lebih kurang sama dengan KJ.
Sementara ada yang memperlekehkan kehadiran KJ bersama-sama dengan Obama berikutan sebelum ini beliau pernah mengetuai demonstasi menentang kehadiran Condoleeza Rise, bekas Setiausaha Negara Amerika pada tahun 2006 dulu tetapi pemilihannya sebagai menteri pengiring tentulah melonjakkan namanya untuk lebih dikenali di persada antarabangsa.
Ini kerana gambar dan wajahnya mengiringi Obama ini bakal tersebar dan ditonton oleh ramai orang di seluruh dunia dan juga di dalam negara. Dalam masa yang sama, Obama dan pemimpin-pemimpin Amerika juga secara langsung akan lebih mengenali KJ.
KJ pula pastilah tidak dapat mengelak daripada berasa bangga atas pemilihannya sebagai menteri pengiring kepada Presiden Amerika itu kerana ia secara tidak langsung menunjukkan suatu pengiktirafan besar daripada Najib dan kerajaan terhadapnya.
Adakah ini tanda-tanda awal masa depan politiknya lebih cerah selepas ini? (SH 27/04/2014)
Friday, 25 April 2014
Biarkanlah Najib Penjarakan Anwar...
Menjelang rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan yang dijangka dalam tempoh terdekat ini, Anwar Ibrahim membayangkan bahawa beliau mungkin akan dipenjara sekali lagi kes liwat yang dihadapinya. Walaupun mengemukakan 35 hujah untuk menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelumnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepadanya, beliau tetap merasakan peluangnya untuk bebas adalah tipis.
Selain memberi alasan bahawa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil serta mahkamah yang didapatinya bersikap "bias", Anwar juga kelihatan mengeluh dengan proses mempercepatkan pendengaran kesnya dan tidak memberi pertimbangan budi bicara langsung atas kematian peguam utamanya, Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya minggu lalu.
Dengan mereka tetap diminta mengemukakan notis rayuan tidak lewat daripada jam 3 petang Rabu lalu, anak Karpal Singh, Ramkarpal terpaksa bertungkus-lumus dan berjaga sepanjang malam untuk menyiapkan hujah-hujah rayuan di sebalik mereka sedang bersedih dan sibuk dengan upacara persemadian bapanya selang beberapa hari sebelum itu.
Walaupun bakal mendapat bantuan daripada terkenal, Sulaiman Abdullah tetapi berdasarkan perkembangan yang berlaku itu, Anwar tetap merasakan bahawa badan kehakiman bertindak semata-mata atas arahan pemimpin politik yang sedang menggenggam kuasa ketika ini.
Dalam usia 67 tahun dan terdengar juga ura-ura kemungkinan pihak pendakwa turut merayu untuk melanjutkan lagi tempoh hukuman selama 5 tahun yang diterimanya, tidak mustahil penjara adalah destinasi terakhir kehidupan Anwar yang selama ini penuh warna-warni.
Dan sifir politik mudah yang ada dalam pemikiran Perdana Menteri, Najib sendiri barangkali menyetujui bahawa perjalanan politiknya untuk kekal lebih lama di tampuk kuasa turut menjadi lebih selesa jika Anwar dapat dipenjarakan.
Di ketika yang sama, Anwar pula nampaknya lebih bersedia untuk ke penjara kali ini. Beliau yang sering mengungkatkan perkataan " lawan tetap lawan" dan "jangan bicara soal perjuangan jika takut dengan risiko" bukan ssja sudah meninggalkan pesanan kepada pengundinya di Permatang Pauh, minggu lalu dengan mengatakan "ini mungkin pidato saya yang terakhir", malah sempat membakar api perjuangan bahawa semangatnya sama-sekali tidak akan luntur walau ke mana sekalipun beliau dihumbankan.
Memenjara, menganiaya dah menzalimi musuh politik adalah resam di mana-mana jua sudut dunia yang ada pertelingkahan dan perebutan kuasa. Sudah banyak dicatatkan dalam sejarah dunia mereka yang menerima nasib malang itu. Mandela dipenjara, Khomeini dibuang negara dan Aquino malah ditembak mati serta ramai lagi yang sengsara.
Menjelang kemungkinan Anwar dipenjara sekali lagi, bukan saja Reformasi 2.0 dihidupkan kembali untuk mengajak rakyat, khususnya anak-anak muda agar bangkit melakukan perubahan, beberapa pemimpin pembangkang pula memberi bayangan bahawa Najib akan disingkirkan rakyat jika berani berbuat demikian.
Serentak dengan Anwar menuju penjara, laluan lebih sukar untuk masa depan Najib turut diwujudkan dengan mengajak rakyat agar lebih berani bersuara dan bertindak mewujudkan pembaharuan. Kalau pun tidak di jalan-jalanraya, sekurang-kurangnya lebih keberanian di peti undi nanti.
Jika dihalusi, sejak dua pilihanraya umum lalu, rakyat memang inginkan perubahan. Jika dalam pilihanraya 2008, BN hanya menang 140 kerusi Parlimen dan kehilangan majoriti dua pertiga, dalam pilihanraya 2013 pula, jumlah kerusi BN menurun lagi kepada 133. Undi popular BN pula hanya 47 peratus berbanding PR sebanyak 52 peratus.
Dengan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh Najib menjelang PRU 14 akan datang, laluan BN sebenarnya jauh lebih sukar. Memenjarakan Anwar mungkin hanya boleh mengelakkan Ketua Pembangkang itu daripada menjadi Perdana Menteri tetapi tidak sesekali menghalang kebangkitan rakyat yang menyokong perjuangan yang diasaskannya.
Ditambah dengan kritikan yang semakin lantang daripada dalam UMNO sendiri terhadap Najib, terutama daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, ia turut menghakis lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memang sudah sedia menipis.
Dalam teguran terbaru Mahathir yang menyasarkan tingkah-laku pembodek dan penasihat yang sedang mengelilingi Najib, beliau juga mengingatkan bahawa walaupun biasanya kebencian rakyat terhadap tingkah laku pemimpin yang melampau dihukum melalui pilihanraya tetapi janganlah mengambil mudah tentang tindakan ganas yang mungkin dilakukan mereka.
Dalam hal ini beliau memberi contoh bagaimana di ketika orang Melayu begitu menyanjung Raja, mereka juga sebenarnya boleh bertindak ganas sehingga kepada membunuh sepertimana yang dialami oleh Sultan Mahmud dahulu yang lebih popular dengan peristiwa "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang".
Malah mungkin dengan memenjarakan Anwar, keberanian rakyat lebih meningkat dan perubahan lebih disambut mudah. Perjuangan memang selalu menuntut pengorbanan dan Anwar sendiri selalu memaklumkan bahawa beliau sedia menjadi korban kepada rakyat yang dahagakan perubahan.
Jika penjara sebagai korban untuk perubahan dan imbalan kepada tumbangnya BN, Anwar seharusnya berbangga dengan hakikat itu. Redha dan berlapang dadalah dengan segala helah dan taktik Najib untuk memenjarakannya. Walaupun beliau mungkin kempunan untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi pengorbanan dan namanya sebagai inspirasi perubahan di negara ini akan dikenang sepanjang zaman.
Mandela dipenjara tetapi sempat seketika menjadi pemimpin Afrika Selatan dan namanya harum sebagai pejuang pembebasan apartheid. Aquino menentang Marcos, kemudian ditembak mati dan tidak sempat menjamah kuasa. Tetapi isterinya, Corazon Aaquino kemudian diangkat menjadi Presiden Filipina dan kini anak lelakinya, Benigno Aquino Jr pula meneruskan perjuangan.
Begitulah perjuangan. Ada pemegang obor yang sempat merasa berkuasa, tetapi ramai juga yang tidak kesampaian cita-citanya. Nasib Anwar belum tahu yang mana lagi, mungkin seperti Mandela dan mungkin juga senasib Aquino, tetapi jawapannya akan lebih cepat diketahui jika lagi cepat Najib memenjarakannya.
Najib, cepatlah penjarakan Anwar dan jangan berlengah lagi!!(SH 25/04/2014)
Thursday, 24 April 2014
Mujurlah Ada Mahathir, Jika Tidak, Pastilah Sebatang Jalan Di Putrajaya Dinamakan "Lebuh Obama"
Semalam bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menulis di blognya mengenai peranan pembodek dan penasihat kepada seseorang yang berkuasa sehingga menyebabkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh mengakibatkan seseorang pemimpin itu tersingkir daripada takhta kuasa.
Walaupun beliau menulis secara umum dan tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, tetapi jelas difahami bahawa tulisannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang bukan saja dikelilingi paling ramai penasihat, bahkan juga pembodek yang sentiasa mengiyakan apa saja yang dilakukannya.
Yang lebih menarik, sindiran Mahathir ini hanya muncul sehari selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bercakap dalam satu program bual bicara yang jelas menzahirkan sikap anti Najibnya kerana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dilihatnya mengamalkan dasar tidak betul dalam mengurus negara dan membangunkan ekonomi.
Saya bukanlah seorang yang anti kerajaan, tetapi saya anti kepada dasar yang lompong dan tidak betul, tegas Daim menjelaskan tentang prinsip dirinya.
Dalam semua kritikan dan kelemahan yang dikaitkan dengan Najib, selain beliau sendiri tidak mempunyai personaliti yang benar-benar kukuh sebagai pemimpin, peranan penasihat yang berada di di sekelilingnya turut dipersalahkan. Walaupun mempunyai paling ramai penasihat, pegawai dah konsultan di sekelilingnya, mereka itu dilihat tidak memberikan nasihat yang betul dan jujur, sebaliknya lebih untuk menyenangkan hati dan menggembirakan Perdana Menteri saja.
Sebab itu, bukan saja ekonomi tidak berkembang, hutang bertambah, pembaziran berleluasa, tetapi juga menyebabkan timbulnya pelbagai masalah politik, sosial dan perpaduan yang tidak berkesudahan.
Sempena kunjungan Presiden Amerika, Barack Obama ke Malaysia bermula Sabtu ini dan menyedari bahawa Najib amat mengkagumi pemimpin kuasa besar itu dan ingin dilihat antara pemimpin negara membangun yang mempunyai hubungan rapat dengannya, salah seorang penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dikatakan mahu meletakkan sebatang jalan di Putrjaya dengan nama "Lebuh Obama".
Jalan yang dikenalpasti untuk ditukar nama itu ialah salah satu jalan yang menjadi laluan menuju beberapa kementerian dan tidak jauh daripada Masjid Putrajaya.
Percubaan meletakkan nama Obama ini tidak lain ialah untuk menggembirakan hati Najib yang tentu akan berbunga-bunga hatinya apabila dipuji oleh Presiden Amerika itu nanti.
Ura-ura pertukaran nama itu telah disampaikan kepada Putrajaya Holding dan turut menjadi perbualan sebilangan kakitangannya dan rata-rata turut tidak bersetuju dengannya.
Kunjungan Obama ini mencatat sejarah kerana kali terakhir seorang Presiden Amerika berkunjung ke negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon B. Johnson. Berikutan lawatannya itu, sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan kemudiannya telah diberi nama Felda L.B Johnson.
Oleh kerana Najib dapat membawa Obama ke negara ini hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa dan mampu menyaingi Mahathir yang memerintah selama 22 tahun tetapi tiada seorang pun Presiden Amerika yang datang melawat, barangkali penasihat itu merasakan pengabadian namanya pada sebatang jalan di Putrajaya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi.
Walaupun mengabadikan nama pemimpin besar dunia yang pernah berkunjung ke negara ini bukanlah suatu isu yang sangat besar sebenarnya tetapi meletakkan nama Obama pada sebatang jalan di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tentulah tidak begitu sesuai dan seolah-olah menunjukkan negara mahu berkiblatkan kepada kuasa besar itu.
Sekali imbas dan nyata, ia dilihat seperti Najib mahu membodek Obama tetapi yang sebenarnya ia adalah percubaan salah seorang penasihat yang ingin membodek, menyenang dan dan menggembirakan hati Perdana Menteri yang diketahuinya begitu taksub kepada pemimpin kuasa besar itu.
Bagaimanapun apabila percubaan pertukaran nama jalan itu sampai ke pengetahuan Mahathir, orang yang mewujudkan Putrajaya, beliau telah menyuarakan rasa tidak setujunya atas ura-ura itu kepada pengurusan tertinggi Putrajaya Holding dan mahu imej Putrajaya yang ada dikekalkan. Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu.
Namun demikian, sempena kunjungan Obama bermula Sabtu ini, tidak dipastikan sama ada sebatang jalan lain, kampung atau bangunan yang lain akan dinamanakan dengan nama Presiden Amerika itu tetapi yang pastinya Putrajaya tidak berjaya dicemari dengan unsur-unsur pengagungan nama-nama pemimpin luar.
Segala-galanya kerana Mahathir masih ada dan ramai yang masih segan dengannya. Bagaimana agaknya jika selepas beliau tiada lagi dan pemimpin yang ada beserta penasihatnya terus menerajui negara ini? (SH 24/04/2014)
Wednesday, 23 April 2014
Daim Sebenarnya Hanya Anti Najib...
Di sebalik serangan PKR terhadap kekayaan serta pemilikan bank di beberapa negara luar, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin tidak melihat semua itu sebagai halangan untuknya terus menegur kepimpinan kerajaan dan pengurusan ekonomi negara yang disifatkannya lemah dan tidak betul.
Sambil meminta mereka yang menuduhnya mempunyai kekayaan dan terlibat dengan rasuah itu mengemukakan bukti serta menyifatkan Anwar Ibrahim yang membangkitkan pelbagai dakwaan terhadapnya sebagai "kaki goreng", Daim nampaknya lebih berminat untuk menegur kepimpinan Najib Razak dari segi segi pengurusan ekonomi dan menjaga kepentingan orang-orang Melayu daripada menjawab tuduhan-tuduhan yang dikatkan mengenai dirinya.
Dalam teguran terbarunya yang dilontarkan dalam sebuah program bual bicara semalam, Daim berkata, kerajaan perlu segera mencari jalan membangunkan ekonomi negara dan memajukan kehidupan orang-orang Melayu serta memperbetulkan semula dasar ekonominya yang salah ketika ini.
Katanya lagi, dasar kerajaan sekarang bukan saja tidak memberi faedah dan manfaat kepada rakyat, bahkan juga membebankan mereka dari segi peningkatan pengurusan ekonomi seharian.
Beliau juga mengkritik Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebagai tidak pandai mengurus ekonomi kerana meningkatkan hutang sehingga RM600 billion yang mengakibatkan belanjawan menjadi tinggi dan rakyat menjadi mangsa.
Bagaimanapun kata bekas Menteri Kewangan itu, beliau bukanlah anti kerajaan tetapi hanyalah anti kepada dasar kerajaan yang lompong dan tidak betul. Dalam erti kata lain, Daim sebenarnya menzahirkan beliau hanyalah anti kepada kepimpinan Najib yang tidak pandai, tidak betul dan tidak bijak dalam mengurus kerajaan serta ekonomi.
Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan tidak boleh marah jika semakin ramai rakyat berpihak dan menyokong Pakatan Rakyat sekarang ini.
Sejak pilihanraya umum lalu, ini merupakan teguran kali ketiga yang dibuat oleh Daim terhadap Najib. Teguran pertamanya adalah berkaitan beberapa dasar yang disifatkannya tidak betul seperti subsidi, tol, kenaikan harga barang, ketidakcekapan menjawab isu, tidak bijak mengurus perbelanjaan, terlalu bergantung kepada penasihat dan pelbagai lagi. Teguran ini dibuatnya dalam satu majlis di Merbok, kawasan Parlimen yang pernah diwakilinya suatu ketika dahulu.
Kemudian dalam satu wawancara dengan Kinibiz pula, beliau menyifatkan kepimpinan Najib sebagai rapuh dan tidak tegas serta membayangkan jika pilihanraya umum akan datang diadakan dalam keadaan seperti sekarang, ia lebih memungkinkan BN menerima kekalahan serta kehilangan kuasanya di peringkat Pusat.
Kini, tanpa menunggu lama dan tidak menghiraukan beban yang ditanggung Najib seperti misteri kehilangan MH370, pertikaian mengenai GST dan sebagainya, Daim memuntahkan lagi peluru serangannya terhadap Najib. Mengapakah Daim terus bersuara?
Sebagai pemimpin veteran yang pernah membina ekonomi negara bersama-sama dengan Mahathir sebelum ini, Daim tentunya dapat merasakan banyak kepincangan ekonomi dan pengurusan negara sekarang ini. Seperti rakyat biasa yang lain yang sudah banyak mengeluh mengenai banyak isu yang melanda negara, Daim juga nampaknya tidak dapat menahan dirinya untuk turut sama bersuara.
Hutang negara yang meningkat daripada lebih RM300 bilion ketika Najib mengambil alih kerajaan pada 2009 tetapi meningkat sehingga RM600 biliion serta menghampairi paras 55 peratus KDNK adalah bukti yang jelas tentang kelemahan, ketidakcekapan dan mungkin pembaziran yang melampau.
Kebimbangan Daim sebenarnya bukan saja berkaitan pengurusan negara, terutama tentang kepentingan Melayu dan hal ehwal ekonomi tetapi yang jauh lebih dibimbanginya ialah kekalahan BN dalam pilihanraya umum akan datang. Sebab itu, kritikan beliau lebih ditujukan kepada Najib dan bukannya kepada kerajaan. Daim hakikatnya masih mahu BN kekal sebagai kerajaan tetapi menolak cara dan pendekatan oleh kepimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang.
Kritikan terbaru Daim ini bukan saja akan menggoncang lagi keyakinan rakyat terhadap Najib, bahkan juga menyebabkan sokongan UMNO sendiri jadi berbelah-bagi. Hanya setelah kira-kira 10 bulan selepas pilihanraya umum lalu, Daim sudah membuat teguran terbuka sebanyak tiga kali dan mungkin sudah bercakap dengan ratusan orang yang menemuinya mengenai kepimpinan salah dan tidak betul oleh Najib.
Penulis sendiri pernah bertemu dan berbual-bual dengan Daim beberapa bulan lalu dan ternampak begitu banyak yang tidak betul dan ditegurnya mengenai kepimpinan Najib, ekonomi, barisan menteri, campurtangan keluarga, peranan penasihat dan sebagainya.
Apa yang jelas, Daim adalah seorang yang kukuh dan bebas serta akan terus memberikan tegurannya. Tegurannya mungkin lebih kerap dan lebih keras. Berikutan hubungannya yang sangat akrab dengan Mahathir, tidak mustahil mereka akan menjadi pasangan bergu yang silih berganti melakukan serangan terhadap Najib dalam tempoh berbaki empat tahun lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.
Matlamat Daim dalam melakukan teguran mungkin sama ada Najib perlu segera berubah dan membetulkan kesilapannya, berundur atau diundurkan tetapi jika semua itu tidak mendatangkan hasil, kritikan dan tegurannya mungkin juga memudahkan lagi kejatuhan BN dalam PRU 14 nanti. (SH 23/04/2014)
Tuesday, 22 April 2014
Kenapa Begitu Cepat Sijil Kematian Penumpang MH370 Mahu Dikeluarkan?
Meskipun belum ada sebarang bukti serpihan pesawat MH370 dan cebisan mayat penumpangnya ditemui sehingga ini, kerajaan dilaporkan sudah mahu mengeluarkan sijil kematian iaitu pengesahan rasmi bahawa kesemua mereka ditakrifkan sudah meninggal dunia.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan untuk mengumumkan status penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam tempoh terdekat ini.
Pengumuman tersebut, katanya, diambil setelah mendapat pengesahan daripada pakar-pakar berkaitan dan betujuan supaya waris-waris penumpang itu dapat meneruskan kehidupan mereka walaupun sukar menerima hakikat kehilangan anggota keluarga tersayang mereka.
Keputusan mahu mengeluarkan sijil kematian ini dipercayai diambil setelah pencarian memasuki hari ke 47 masih juga gagal menemui sebarang bukti pesawat itu terhempas di Lautan Hindi sebagaimana yang disimpulkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak.
Beberapa isyarat "ping" yang dikesan, serpihan yang ditemui serta tompokan minyak yang uji, ternyata tiada langsung kaitannya dengan pesawat atau kotak hitam milik MH370 itu.
Di ketika yang sama, penyiasat antarabangsa juga dikhabarkan mula menyiasat kemungkinan pesawat itu sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi sebagai yang dipercayai sebelum ini, tetapi kemungkinan ianya didaratkan di sebuah lokasi yang lain atau terhempas di kawasan terpencil selain daripada Lautan Hindi.
Laporan yang disiarkan oleh NST itu menyebut, ia adalah kemungkinan baru yang sedang ditelit ketika ini.
Sebelum ini, laporan dari Russia juga menyebut MH370 tidak terhempas di Lautan Hindi, sebaliknya dirampas dan semua penumpangnya disembunyikan di sebuah perkampungan kabilah antara Afghanistan dan Pakitan.
Sementara itu, dalam masa yang sama, Hamzah juga berkata misi pencarian di Lautan Hindi masih perlu diteruskan dengan kemungkinan menggunakan lebih banyak aset atau kawasan pencarian diperluaskan lagi.
Jika misi pencarian masih diteruskan dan skalanya pula berubah ke kawasan lain serta lebih banyak aset mungkin digunakan, mengapakah begitu cepat kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian?
Apakah ini menandakan misi pencarian akan ditamatkan dan kes akhirnya akan ditutup dengan cara membayar sejumlah wang pampasan kepada waris mangsa?
Apakah wang benar-benar cukup bernilai kepada waris mangsa berbanding ahli keluarga yang masih belum diketahui nasibnya itu?
Sehingga ini, memang dilaporkan ramai waris mangsa tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian itu sehingga mereka benar-benar diberikan bukti bahawa pesawat itu telah terhempas dan penumpangnya telah meninggal dunia. Bagi kebanyakan waris, bukti nyata tentang kematian adalah perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum mereka diberikan sijil kematian yang diikuti dengan pemberian sejumlah wang pampasan.
Ramai waris yang menolak tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian tanpa sebarang bukti itu dan menganggapnya sesuatu yang tidak patut dilakukan ketika ini.
Setelah mengeluarkan kenyataan bercanggah, tidak telus dan tidak tepat mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu, tindakan mahu mengeluarkan sijil kematian hanya setelah misi pencarian gagal menemui sebarang bukti dalam tempoh 47 hari, ia adalah satu lagi bukti kegagalan kerajaan bertindak waras dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan perikemanusiaan.
Tidakkah tindakan mengeluarkan sijil kematian ini menunjukkan prosesnya menuju ke arah penutupan kes? Walaupun misi pencarian akan diteruskan, tetapi setelah sijil kematian dikeluarkan, sudah tentulah usaha tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh lagi?
Kenapakah hanya setelah 47 hari misi pencarian, kerajaan seolah-olah sudah berputus asa dan lebih selesa ianya diakhiri dengan kematian? Bukankah Islam menetapkan pengisytiharan kematian hanya setelah 4 tahun manakala undang- undang negara pula setelah 7 tahun?
Bagaimana jika setelah sijil kematian dikeluarkan, pesawat itu akhirnya dapat ditemui dan semua penumpangnya masih hidup?
Dalam hal ini, kerajaan tidak seharusnya terlalu awal mahu membuat kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia. Jika kesimpulan pertama yang diumumkan Najib sebelum ini bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan kemudian merakamkan usul takziah di Parlimen, ternyata masih gagal dibuktikan kebenarannya serta menyinggung perasaan waris mangsa, kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia melalui pengeluaran sijil kematian ini sekali lagi mengguris perasaan mereka.
Seharusnya, sebagaimana yang kerapkali dijanjikan bahawa pencarian akan diteruskan sehingga bangkai pesawat, cebisan mayat dan kotak hitam ditemui, ia benar-benar menjadi ungkapan janji yang ditepati. Janganlah cepat membuat pusingan U atau menuju ke persimpangan lain sebelum tiba ke destinasi yang dijanjikan.
Jika tidak, ia lebih mendedahkan kelemahan kerajaan dan seolah-olah benarlah tanggapan bahawa banyak yang cuba disembunyikan di sebalik kehilangan pesawat itu. (SH 22/04/2014)
Sunday, 20 April 2014
Pejabat Agama Jangan Hanya Tonton Saja Perlakuan Raja Bomoh
Selepas kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung beberapa hari lalu, individu yang mendakwa dirinya Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zain semalam muncul di kawasan berlakunya kemalangan itu untuk melakukan ritual yang didakwanya untuk menghalau makhluk jahat yang di kawasan itu.
Dalam ritualnya sambil membawa bunga malai yang digantungkan di salah satu tiang penghadang lebuhraya itu, Raja Bomoh mendakwa, kemalangan yang menimpa keatas Karpal Singh adalah disebabkan angkara makhluk jahat di persekitaran Gua Tempurung itu.
Tambahnya, beliau hadir untuk menghalau makhluk jahat atau penunggu itu untuk mengelakkkan lebih ramai pengguna jalanraya terus diganggu dan terlibat dalam kemalangan jalanraya selepas ini.
Ternampak niat dan tujuannya memang baik tetapi jelas cara atau kaedah yang dijalankannya adalah salah. Adakah Islam menganjurkan cara demikian? Bolehkah kita percaya kemalangan semata-mata disebabkan gangguan penunggu dan mengenepikan faktor kecuaian manusia?
Adakah makhluk jahat, penunggu, hantu lebuhraya atau lebih tepatnya iblis dan syaitan dapat dihalau dengan cara yang beliau lakukan itu?
Apakah yang Raja Bonoh ini mahukan sebenarnya? Siapa yang menyuruhnya berbuat demikian, kenapa perlakuannya tidak dihalang dan macam-macam persoalan lagi muncul apabila melihat perlakuan terbaru beliau ini.
Sebelum ini, beliau telah melakukan dua kali ritual merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 di KLIA dan kemudian apabiia diumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi, Raja Bomoh itu juga dirakan melakukan ritual pencarian di sebuah kawasan tepi pantai.
Jika semasa du KLIA beliau membawa kelapa, tikar dan teropong buluh digunakan sebagai alat mencari MH370 yang masih misteri, dan di tepi pantai itu, buah kelapa dan teropong buluh terus menjadi alatan wajib bagi Raja Bomoh. Namun ritualnya langsung tidak membantu mencari pesawat yang hilang itu.
Tindakan Raja Bomoh itu mendapat kecaman banyak pihak, termasuk oleh Anwar Ibrahim yang membangkitkannya di Dewan Rakyat manakala tindakan Khairy Jamaluddin menegurnya pula mengundang kemarahannya sehingga beliau mengugut mahu menamparnya sepertimana beliau kononnya pernah menampar seekor buaya tidak lama dulu.
Beberapa pemimpin lain seperti Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim juga menegur perbuatan Raja Bomoh, walaupun kemudian didedahkan bahawa kedua-dua pemimpin itu pernah dipakaikan selempang silat oleh Raja Bomoh beberapa tahun sebelum ini.
Raja Bomoh yang terlibat dalam bidang perbomohan ini sebenarnya adalah guru silat gayong sejak sekian lama, bahkan pernah mengadakan majlis penganugerahan selempang yang dihadiri oleh beberapa VVIP. Selain itu beliau juga terlibat dalam bidang perbomohan. Wajah dan iklan perubatannya sering muncul dalam beberapa akhbar tabloid sebelum ini.
Tetapi di awal tahun 80an dulu, ketika di Teluk Intan, ilmu persilatannya banyak dipertikaikan oleh orangramai dan beliau juga pernah ditampar ketika itu. Dalam kejadian lain pula, beliau juga pernah dibelasah sehingga terdampar di dalam longkang di Teluk Intan akibat masalah lain yang diwujudkannya.
Sejak itu beliau lama menghilang dah kemudian lebih popular di Kuala Lumpur dengan acara perbomohan dan mengadakan majlis-majlis anugerah persilatan atau perhimpunan anak-anak muridnya sambil dihadiri oleh VVIP tertentu.
Dilaporkan juga sejak 2002 lagi, JAWI telah mengisytiharkan amalan perbomohan yang dijalankannya adalah bertentangan dengan Islam, namun beliau tidak pernah ditangkap atas kesalahan itu.
Berlakunya insiden kehilangan MH370 merancakkan kembali kemunculannya di tempat awam, walaupun tidak diketahui siapa yang menyuruhnya berbuat demikian. Dalam pencarian MH370, rasanya tiada sesiapa yang memintanya melakukan ritual di KLIA dan tepi pantai itu walaupun beliau didakwa menyebut nama seseorang VVIP yang memintanya berbuat demikian.
Begitu juga, selepas kematian Karpal Singh berhampiran Gua Tempurung, juga rasanya tiada mana-mana pihak yang tergamak memintanya melakukan ritual menghalau penunggu itu, apatah lagi semua perlakuan atau ritual yang dilakukannya itu amat memalukan sesiapa juga yang berfikiran waras menyaksikannya. Nampak lawak dan bodoh.
Sudahlah bertentangan dengan akal yang waras dan pemikiran logik, ia juga seperti menghina Islam sendiri. Apakah amalan Islam begitu hina dan kolot?
Dalam hal ini, oleh kerana JAWI dikatakan sudah pernah mengisytiharkan amalannya salah dan bertentangan dengan Islam, JAWI atau mana-mana pejabat agama lain tidak seharusnya sekadar menjadi penonton saja kepada perlakuan beliau itu. Bertindaklah segera untuk mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan kejadian yang memalukan agama.
Meskipun Raja Bomoh ini sudah berusia lebih 80 tahun, pejabat agama tidak harus ada simpati atau helah untuk tidak menahannya. Jika Kassim Ahmad yang didapati mengeluarkan pandangan anti hadis masih boleh ditahan dan bakal didakwa dalam usianya yang juga lebih 80 tahun, biar kurang disenangi oleh Mahathir Mohamad, tiada alasan juga untuk tidak bertindak sama terhadap Raja Bomoh yang lebih menyeleweng dan memalukan agama ini.
Jika dibiarkan, tidak mustahil nanti apabila berlaku saja sesuatu kejadian dalam negara, maka akan muncullah Raja Bomoh ini dengan segala ritual dan peralatannya yang pelil-pelik. Sudahlah kita di negara ini dipelikkan dengan perangai Zulkifli Noordin dan Nawawi Ahmad, Ahli Parlimen Langkawi (nasih baik sudah meminta maaf) yang mencemar dan menghodohkan wajah Islam seolah-olah kematian bukan Islam boleh dipermain dan dihina, perlakuan Raja Bomoh ini jika dibiarkan akan mencacatkan lagi wajah Islam di negara ini dan di mata bukan Islam.
Kepada Jamil Khir Baharom, menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam serta jabatan agama seluruh negara, segeralah banteras kekotoran dan karut-marut ini. (SH 20/04/2014)
Friday, 18 April 2014
Najib Perlu Segera Jauhi Species Seperti Zulkifli Noordin
Bekas Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin rupanya bukanlah seorang yang mahu mengakui kesilapan serta mudah mengungkapkan kata-kata maaf atas keterlanjuran perbuataannya. Setelah tindakannya menulis di twitter sesuatu yang tidak wajar mengenai kematian Karpal Singh dan ditegur oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau nampaknya bukan saja tidak mahu mengalah, malah seolah-olah beliau tidak pernah melakukan kesilapan sebelum ini.
Di ketika semua pihak, termasuk Najib sendiri menunjukkan sikap terpuji dan merasakan kehilangan atas pemergian Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya, Zulkifli terus angkuh dengan menempelak pula KJ yang bertindak betul menegur dan menyuruhnya diam akibat kenyataannya yang keterlaluan itu.
Sebaik kematian Karpal Singh, Zulkifli menulis di twitter yang memberi gambaran seolah-olah Allah sengaja mematikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu untuk memberi laluan kepada Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Ini berikutan Karpal sebelum ini menentang perlaksaan hukum itu dengan keras sambil memberi amaran "langkah mayat saya dulu" jika mahu hukum Islam itu dilaksanakan.
Komen Zulkifli yang dianggap keterlaluan, tidak sesuai dengan suasana keluarga Karpal yang sedang dalam kesedihan dan cuba mempolitikkan kematian tokoh DAP itu, bukan saja dikecam oleh banyak pihak, termasuk menteri dan komponen BN sendiri, tetapi KJ adalah yang paling awal dan lantang mengkritik bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu.
KJ tidak saja mendesaknya agar diam tetapi juga mengeluarkan kenyataan bahawa beliau malu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Zulkifli itu, lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi calon BN di Shah Alam dalam pilihanraya lalu dan seterusnya menyatakan tidak seharusnya dipilih sebagai calon lagi dalam mana-mana pilihanraya selepas ini.
Reaksi KJ yang keras tetapi bertepatan dengan sesiapa saja yang berfikiran waras itu telah mengundang rasa kurang senang Zulkifli dengan membalas di twitternya bahawa beliau sebenarnya malas melayan menantu Pak Lah itu tetapi semata-mata kerana kasihan kepada Perdana Menteri, Najib Razak saja.
Sambil itu, beliau juga menyindir KJ dengan mengingatkannya agar tidak menjadi Anwar Ibrahim kedua dalam keghairahannya bermain politik.
Barangkali kerana merasakan beliau sudah mampu berdiri sendiri dan tidak perlu dikaitkan lagi dengan Pak Lah, KJ lantas mengingatkan Zulkifli agar menjadi anak jantan dan terus merujuk kepada namanya saja.
Walaupun ada yang menyebut apa perlunya dua orang pemimpin Melayu bertelagah hanya kerana Karpal Singh, tetapi dalam isu ini ternampak kebenaran lebih berpihak kepada KJ. Tegurannya kepada Zulkifli adalah wajar dan tidak semua perkara harus dikaitkan dengan perkiraan untung rugi politik.
Sesiapa pun boleh berbeza pendapat dengan Karpal semasa hidupnya tetapi setelah kematiannya, apa yang harus dikenang ialah jasa dan sumbangannya. Lihatlah bagaimana Mahathir, Pak Lah, Najib, Samy Vellu dan lain-lain pemimpin memberi reaksi dan menunjukkan jiwa besar atas pemergian Karpal walaupun semasa hayatnya sering bertelagah dan berbeza pendapat.
Walaupun penentangan Karpal terhadap hudup tiada kaitan secara langsung dengan Zulkifli dan komennya lebih sebagai "batu ronson" semata-mata, hakikatnya Zulkifli tidak dapat membezakan antara menghormati orang hidup dengan orang yang sudah meninggal dunia.
Sudahlah beliau tidak mahu mengakui kesilapan dan meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya itu, beliau juga nampaknya cuba menyerang orang yang cuba menegurnya sambil cuba berselindung di belakang Najib seolah-olah memohon simpati dan perlindungan.
Kasihan Najib konon! Kalau kasihan Najib beliau tidak akan memberi reaksi tidak sewajarnya mengenai kematian Karpal. Ini kerana Najib sendiri menzahirkan simpati dan merasa kehilangannya. Reaksi beliau itu lebih untuk "membunuh" Najib.
Sebenarnya Zulkifli perlu mengasihani dirinya sendiri. Ini kerana jelas bahawa pemikiran dan tingkah lakunya tidak selari dengan majoriti rakyat negara ini lagi. Pemikiran kunonya mengenai politik, perkauman, perpaduan dan menghargai manusia lain sudah menjadi dinosaur yang tidak sesuai lagi dengan manusia yang berakal dan bertamaddun.
Jika Najib dan BN ingin mencapai keputusan lebih baik dalam pilihanraya umum akan datang, species seperti beliau perlulah dijauhi. Membiarkan diri berdampingan dengannya akan mengecilkan lagi sokongan dan undi rakyat keseluruhannya.
Najib perlu mengkaji, undi siapakah yang perlu diraihnya dalam pilihanraya akan datang dan apakah manusia yang berfikiran seperti Zulkifli boleh menambahkan undi BN secara keseluruhannya atau persaraannya secara total jauh lebih baik lagi?
Jika Najib dapat menjauhkan dirinya dengan semua yang sejenis dengan Zulkifli yang kini begitu ghairah menonjolkan diri melalui media dengan pelbagai reaksi berbentuk provokasi, perkauman, memecah-belah perpaduan dan seumpama dengannya, lebih menguntungkan lagi.
Fikirkan dengan mendalam sebelum terlambat. (SH 18/04/2014)
Thursday, 17 April 2014
Kematian Karpal Singh Perlu Disimpati, Bukan Dikeji
Berita mengenai kematian Karpal Singh, seorang pemimpin veteran DAP dan juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang terlibat dalam kemalangan jalanraya awal pagi tadi, tentunya mengejut dan memeranjatkan banyak pihak. Malah ada yang memeriksa daripada beberapa sumber lain untuk memastikan kesahihannya, sebelum benar-benar mempercayai kematiannya.
Walaupun beliau seorang pemimpin pembangkang dan DAP, perjuangannya dalam menegakkan keadilan melalui profesyen guamannya amat mengkagumkan. Beliau boleh dikatakan peguam tersohor dan legenda dalam bidang guaman di negara ini.
Kematiannya membuatkan sesiapa juga yang mencintai keadilan dan hak seseorang berdasarkan Perlembagaan, pastinya turut bersedih. Ada yang terbuka menzahirkan kesedihan, lebih ramai lagi sebenarnya yang berbuat demikian dalam diam.
Sebagai seorang Islam, tidak salah untuk kita menzahirkan simpati atas kehilangannnya walaupun berlainan agama. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menzahirkan penghormatan atas kematian seorang Yahudi dengan berdiri sebagai tanda hormat Baginda sambil berkata, " bukankah dia juga seorang manusia."
Jika Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan teladan terpuji atas kematian seorang yang bukan Islam, amatlah tidak wajar kita pula menunjukkan sikap yang sebaliknya. Hanya kerana Karpal Singh seorang pemimpin pembangkang bukan Islam dan menentang perlaksanaan hukum hudud, sebenarnya ia bukanlah halangan kepada kita sebagai umat Islam untuk turut bersedih, bersimpati dan memberi penghormatan atas kematiannya.
Hormatinya beliau sebagai manusia dan perjuangannya terhadap keadilan sepanjang hidupnya. Penentangannya terhadap hukum hudud barangkali boleh dimaafkan kerana beliau bukan beragama Islam yang memahami sepenuhnya perlaksanaan hukum tersebut.
Tetapi bagaimana dengan adanya orang Islam sendiri yang menentang hudud dengan pelbagai hujah tidak Islamik? Pemmpin UMNO sendiri, termasuk yang berpendidikan agama, ramai yang mengeluarkan pendapat memperlekeh hudud dengan antaranya termasuk Dr Mashitah Ibrahim yang bekata, jika selepas dipotong tangan kanan kerana kesalahan mencuri pertama, kemudian tangan kiri pula kerana kesalahan kedua, selepas itu apa pula yang mahu dipotong?
Bukankah ia lebih menghina berbanding Karpal yang hanya berkata, "langkah mayat saya dulu" jika mahu melaksanakan hudud?
Sebab itu kata-kata keji di laman sosial mengenai kematian Karpal Singh ini tidak boleh diterima sama-sekali. Ia bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan meletakkan agama Islam dipandang hina oleh agama lain. Beberapa pengendali laman sosial pro UMNO yang mengungkapkan perkataan "kojol", "mampus" dan sebagainya untuk menggambarkan kematiannya, langsung tidak beretika sebenarnya.
Begitu juga dengan tindakan Naib Presiden Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin yang cuba mempolitikkan kematian Karpal dengan mengatakan kematiannya sengaja ditakdirkan Allah SWT untuk memudahkan perlaksnaan hukum hudud, juga tidak boleh diterima serta melambangkan sarang pemikirannya yang kotor lagi keji.
Tidakkah beliau sedar yang paling utama menentang hudud ialah Mahathir? Bekas Perdana Menteri itu bukan saja menulis surat mengenainya, bercakap dalam pelbagai nada, bahkan menggunakan Parlimen untuk menghalangnya dengan mengatakan perlaksanaan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Speaker DUN Terengganu pula baru-baru ini turut menolak usul hudud yang dibentangkan. Jadi siapa sebenarnya yang lebih menolak hudud?
Di ketika semua pihak, termasuk pemimpin BN sendiri menzahirkan simpati, tindakan Zulkifli Nordin dan beberapa pihak lain yang bersikap sebaliknya atas kematian Karpal ini tidak lebih menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan kerosakan hati yang mereka sedang alami.
Sebab itu tindakan Khairy Jamaluddin yang menempelak Zulkifli dengan teguran keras "Shut up. Really shut up" amat bertepatan sekali walaupun KJ jarang-jarang memakai kopiah putih di kepalanya seperti penampilan Zulkifli itu.
Kematian Karpal tidak harus dilihat dari sudut penolakannya terhadap hudud saja, tetapi harus diteropong dalam konteks yang lebih luas sehingga beliau ditahan dibawah ISA dan jika masih hidup, mungkin akan dipenjara selepas ini dibawah Akta Hasutan, walaupun perjuangannya lebih untuk keadilan, hak dan kebenaran.
Cukuplah mengeji dan memaki hamun semasa beliau masih hidup, tetapi selepas kematiannya, semuanya harus diakhiri dan menerima penentangannya terhadap hudud adalah kerana ketidakfahamannya terhadap hukum Allah itu.
Sekali lagi takziah untuk keluarga Karpal atas kematiannya. (SH 17/04/2014)
Wednesday, 16 April 2014
Respon Berita Tidak Tepat, Mana Pegawai, Penasihat Dan Con-Setan Najib?
Untuk menunjukkan kerajaan pimpinannya sentiasa bertanggungjawab dalam misi pencarian pesawat MH370 yang masih hilang dan beliau pula tidaklah seteruk yang disangka, Perdana Menteri, Najib Razak segera menyelar Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan mampu menyelesaikan kemelut itu hanya dalam satu saat.
Kata Najib, kenyataan Anwar yang disiarkan dalam majalah Southern Weekly itu langsung tidak masuk akal dan memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat negara ini.
"Maka kalau ada yang mendakwa konon kalau dia diberi kuasa, dia boleh cari pesawat MH370 yang hilang itu, ia memanglah tidak masuk akal sama-sekali, malah boleh dikatakan memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat secara keseluruhannya," ujar Najib di perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, semalam.
Secara logiknya, akal waras sesiapa pun tidak mempercayai Anwar boleh mengeluarkan kenyataan seangkuh itu memandangkan beliau bukanlah pemimpin taraf hingusan yang boleh memberi kenyataan tanpa berfikr panjang terlebih dahulu, kecualilah jika beliau sudah benar-benar hilang akal.
Ini kerana apalah yang boleh dilakukan dalam tempoh satu saat, meneguk segelas air pun memerlukan tempoh masa lebih lama daripada itu.
Selain itu, ada yang menpertahankan Anwar bahawa ungkapan satu saat itu sebenarnya hanyalah kiasan untuk menunjukkan hanya tempoh singkat diperlukannya menyelesaikan krisis kehilangan pesawat yang sudah lama berlarutan itu.
Setelah diselar Najib, lantas Anwar segera bingkas dan membidas balik kenyataan Perdana Menteri itu dengan mengatakan bahawa Perdana Menteri telah memberi respon berdasarkan terjemahan yang salah serta mengelirukan. Terjemahan kenyataan Anwar daripada majalah itu dipercayai dilakukan oleh Bernama.
Menurut Anwar, beliau tidak pernah mengatakan mampu menyelesaikan isu kehilangan pesawat itu dalam satu saat, sebaliknya apa yang dinyatakannya dan terkandung dalam teks asal yang diterjemahkan daripada bahawa Cina ialah bahawa beliau hanya memerlukan satu saat untuk membuat keputusan yang memastikan penguatkuasaan yang dilakukan menjamin keselamatan negara.
Jelasnya lagi, terjemahan teks asal dengan apa yang disiarkan media berbeza sama-sekali.
Jika hanya untuk membuat keputusan, memang logiklah hanya satu saat diperlukan. Bukankah kerja pemimpin membuat keputusan setelah mendapat pelbagai pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak yang berkaitan?
Selain Anwar mendakwa Najib memutar-belit dan menipu dengan menyalah-tafsirkan kenyataan sebenarnya, beliau seterusnya mengatakan Perdana Menteri masih tidak berani menjawab beberapa persoalan pokok yang menjadi perbualan ramai di sebalik misteri kehilangan pesawat itu.
Persoalan yang berbangkit ialah bagaimana seorang Perdana Menteri boleh memberi respon terhadap berita yang diterjemahkan secara tidak tepat yang akhirnya memalukan dirinya sendiri?
Sebagai seorang yang berakal waras juga, tidak terfikirkah beliau bahawa amat mustahil, bukan saja Anwar, malah sesiapa juga pun, untuk mengatakan mempunyai kebolehan yang luar biasa untuk menyelesaikan isu sebesar kehilangan pesawat itu hanya dalam satu saat?
Jika beliau terfikir kenyataan itu tidak logik, kenapakah tidak diminta pegawai dan penasihatnya memeriksa dulu kebenarannya? Di manakah sebenarnya pegawai, penasihat, con-setan atau con-sultan yang berlambak di sekeliling Perdana Menteri?
Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin pernah mendedahkan di blognya bahawa Najib mempunyai 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang akhbar, wartawan kanan dan eksekutif televiseyen untuk menasihatinya berkaitan media sedangkan Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun hanya mempunyai 3 orang pegawai media saja.
Dalam masa yang sama, sepanjang pentadbiran Najib juga dilaporkan bahawa kerajaan telah membelanjakaan sejumlah RM7.2 bilion untuk membayar pelbagai jenis perkhidmatan con-sultan atau con-setan, yang dipercayainya antaranya termasuk kepada Apco yang memberi khidmat perundingan media.
Di manakah mereka ini dalam memberi nasihat dan menunjukkan mana satu kenyataan yang boleh diberi respon dan mana pula yang perlu diabaikan saja?
Adakah dalam pertimbangan Najib, menyelar kenyataan Anwar itu, walaupun berdasarkan terjemahan yang tidak tepat, dapat membuktikan beliau seorang pemimpin yang hebat?
Dengan keghairahan yang berlebihan untuk menjawab apa saja yang dibangkitkan oleh Anwar tanpa memeriksa ia benar atau salah terjemah dan mengabaikan perkara-perkara pokok yang sepatutnya dalam krisis kehilangan MH370 ini, ia sebenarnya lebih mendedahkan kelemahan Najib sendiri, walaupun dengan gahnya beliau dikelilingi oleh pegawai dan penasihat yang berlambak jumlahnya serta con-setan yang berguni ongkos bayarannya. (SH 16/04/2014)
Tuesday, 15 April 2014
Daripada Menteri Amaran Menjadi Menteri Penafian
Ramai yang memuji keupayaan Hishammuddin Hussein dalam mengendalikan sidang akhbar, menjawab soalan dan memberi penjelasan, terutamanya daripada asakan soalan media asing sepanjang tugasnya sebagai pemangku Menteri Pengangkutan berkaitan kehilangan pesawat MH370.
Caranya menjawab soalan-soalan wartawan dikatakan cukup meyakinkan, tenang dan menunjukkan beliau memang membuat persiapan yang sewajarnya sebelum setiap kali sidang akhbar itu diadakan.
Kemampuannya berhadapan dengan media bukan saja menunjukkan beliau lebih baik berbanding Perdana Menteri, Najib Razak yang dua kali membaca kenyataan akhbar mengenai tragedi MH370, sekali di Kuala Lumpur dan sekali lagi di Perth, tetapi mengelak untuk disoal jawab oleh wartawan, bahkan gaya dan stail yang ditunjukkan oleh Hishammuddin itu mengingatkan kita kepada kemampuan yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim dalam aspek yang sama, terutama ketika dalam kerajaan.
Baik ketika bersama kerajaan dulu, mahupun sebagai Ketua Pembangkang sekarang, kemampuan Anwar berhadapan dengan media, baik tempatan mahupun asing, tidak perlu dipersoalkan lagi. Melihat kebolehan Hishammuddin itu, seperti menunjukkan beliau mempelajari sesuatu daripada apa yang pernah ditonjolkan oleh Anwar sebelum ini.
Hanya berbekalkan kebolehan mengendalikan sidang akhbar berkaitan kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan kelembikan beliau sebelum ini, khasnya ketika menjadi menteri dalam negeri seakan-akan telah dilupakan.
Bahkan, gelarannya sebagai Menteri Amaran Dalam Negeri berikutan kekerapan memberi amaran tetapi tiada tindakan, tidak lagi dibangkitkan ketika ini.
Lebih menarik, beliau yang hampir disingkirkan oleh Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO tahun lalu serta tertinggal jauh berbanding dua regunya yang lain iaitu Zahid Hamidi dan Shafie Apdal, sudah mulai disebut-sebut sebagai bakal pengganti Najib hanya kerana penonjolannya berhadapan dengan media berkaitan kehilangan pesawat yang masih misteri sehingga sekarang.
Tragedi MH370, disebalik membawa cerita duka kepada ramai orang di seluruh dunia, bagaikan membawa rahmat terselindung kepada anak bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn itu.
Namun demikian, jika sebelum ini Hishammuddin digelar Menteri Amaran, gelaran barunya selepas beberapa ketika mengendalikan sidang akhbar berkaitan misteri MH370 turut bertukar menjadi Menteri Penafian pula berikutan sejak kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke 38 ini, peranannya yang paling banyak sekali dilakukan ialah membuat penafian.
Beliau tidak saja menafikan banyak teori dan spekulasi yang disiarkan oleh beberapa media asing, bahkan juga terpaksa menafikan spekulasi yang dibuat oleh media dalam negara dan dimiliki oleh UMNO sendiri. Apabila Utusan mengaitkan kehilangan pesawat dengan CIA, beliau tampil menafikannya dan begitu juga ketika NST menyiarkan berita ada panggilan yang cuba dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah di perairan Pulau Pinang, sekali lagi beliau juga menafikannya.
Ketika Anwar Ibrahim membuat dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat, Hishammuddin juga segera menafikannya dengan berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan kerajaan sentiasa telus kepada media dan orang awam.
Bahkan ketika kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan kesimpulan kerajaan berdasarkan data satelit Immarsat bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan tafsiran ianya terhempas dipertikaikan seminggu kemudian kerana masih tiada bukti serpihan kapalterbang dan cebisan mayat ditemui, Hishammddin dengan selamba dan penuh yakin menafikan perkataan terhempas itu datang daripada mulut Najib.
Menurut Hishammudin, Najib tidak pernah menyebut terhempas, tetapi hanya berkata, pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
Dalam hal ini, Hishammuddin bukan saja mampu mengendalikan sidang akhbar tetapi juga mampu melindungi Najib walau dalam situasi semua orang mempercayai berakhir di Lautan Hindi adalah sama dengan terhempas. Kemampuan ini tentunya amat menggembirakan Najib.
Seiring dengan berlalunya masa dan keghairahan semua orang membuat pelbagai spekulasi, teori, telahan dan andaian berkaitan pesawat yang masih hilang itu, ia juga mungkin membuatkan Hishammuddin tampil dengan banyak penafian lagi.
Dengan membuat banyak penafian, gelaran sebagai menteri yang suka memberi amaran, tidak lagi diperkatakan dan mula dilupakan. Hanya masa dan keadaan yang menentukan sama ada bintang politiknya turut cerah atau sebaliknya selepas ini tetapi gelaran baru ini sekurang-kurangnya tidaklah melimpahkan imej seburuk Menteri Amaran yang disandangnya sebelum ini. (SH 15/04/2014)
Monday, 14 April 2014
Bermewah Macam Rosmah, Siapa Sabotaj Muhyiddin?
Berikutan pendedahan mengenai lawatan mewah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ke Dubai yang lebih dipenuhi dengan acara main golf dan menikmati jamuan mewah berbanding menghadiri program rasmi berkaitan pendidikan bermula 8 hingga 12 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pemecatan akan diambil terhadap kakitangan yang berbuat demikian, sambil mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mereka menjaga kerahsiaan kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Baru-baru ini Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempertikaikan lawatan lima hari Muhyiddin bersama beberapa pegawainya ke Dubai kerana didakwa tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat berikutan ianya lebih dipenuhi acara bermain golf dan menikmati pelbagai jamuan bertaraf mewah.
Dalam lawatan lima hari itu, Muhyiddin didakwa hanya memperuntukkan tiga jam untuk acara rasmi berkaitan pendidikan manakala selebihnya banyak dipenuhi dengan bermakn golf, menikmati pelbagai jamuan mewah, pertemuan dengan ahli perniagaan dan seolah-olah percutian yang menggunakan wang rakyat.
Selain itu, pegawai yang mengikuti rombongan itu juga lebih ramai terdiri daripada mereka yang bekerja di pejabat Menteri Pendidikan berbanding pegawai kementerian yang terlibat secara langsung berkaitan bidang pendidikan.
Melalui pendedahan ini menyebabkan Muhyiddin mulai dipandang serong dengan ada yang mengatakan beliau juga rupa-rupanya suka bermewah seperti keluaga Najib, terutama oleh isterinya Rosmah Mansor.
Walaupun pendedahan mengenai lawatan itu dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP tetapi ianya adalah bersumberkan maklumat daripada seseorang yang menggelarkan dirinya Cikgu yang mendedahkan aturcara penuh lawatan selama lima hari itu di internet.
Memandangkan apa yang didedahkan itu merupakan aturcara yang disusun oleh kementerian, adalah dipercayai individu yang menggelarkan dirinya Cikgu itu merupakan kakitangan kerajaan di Kementerian Pendidikan atau mana-mana jabatan lain yang berkaitan dengan lawatan itu.
Dengan pendedahan itu, bukan saja Kementerian Pendidikan terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa aturcara yang didedahkan itu hanyalah deraf saja dan bukannya rasmi, bahkan Muhyiddin juga terpanggil untuk membuat sidang akhbar sekembalinya ke tanahair untuk memberitahu lawatannya sesuatu yang berjaya bukan saja dslam bidang pendidikan tetapi juga pelaburan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.
Dan ditambah dengan amaran oleh KSN ini, jelas bahawa pendedahan mengenai lawatan itu sesuatu yang betul dan pihak Muhyiddin, Kementerian Pendidikan dan kerajaan bagaikan terasa bersalah dengannya sehingga terpaksa membuat pelbagai kenyataan dan sidang akhbar untuk mewajarnya lawatan tersebut.
Persoalannya yang penting sebenarnya bukanlah siapa yang mendedahkan maklumat itu tetapi apakah niatnya berbuat demikian?
Apakah ia bertujuan untuk memberitahu bahawa di ketika kerajaan kekeringan wang dan ingatan supaya rakyat berjimat cermat, tetapi sebaliknya pemimpin sendiri terus bermewah dengan menggunakan dana kerajaan?
Ataukah pendedahan ini untuk membuktikan selain isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang suka bermewah, sebenarnya Timbalan Perdana Menteri juga membuat tabiat yang sama?
Mungkinkah pula pendedahan dilakukan oleh orang-orang Najib yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan menghalangnya daripada terus menonjol?
Atau barangkali permainan ini diatur oleh pimpinan pelapis di barisan kedua yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan mengambil alih kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri?
Bahkan boleh jadi, setelah pelbagai kritikan mengenai kemewahan Najib dan isteri didedahkan sebelum ini, pendedahan mengenai gaya suka bermewah Muhyiddin ini bertujuan untuk menyingkirkan kedua-duanya sekaligus dengan mewujudkan persepsi bahawa mereka bukanlah pemimpin dan gandingan yang sesuai untuk parti dan negara?
Apa pun kebarangkaliannya, ia adalah serba mungkin sebenarnya. Jika sebelum ini Muhyiddin agak terselamat daripada serangan berbentuk peribadi berikutan ianya berjaya diselindungkan selain kerana beliau juga mempunyai isteri yang agak sederhana, nampaknya kini merupakan masa untuk beliau mula berhati-hati.
Serangan terhadap Muhyiddin ini terlihat seperti pembangkang yang membangkitkannya tetapi yang bakal mendapat untung lebih dulu mungkin daripada dalam kelambu UMNO sendiri. (SH 14/04/2014)
Sunday, 13 April 2014
Akhirnya Media Kerajaan Sendiri Tolak Kesimpulan PM
Setelah masuk hari ke 35 pencarian pesawat MH370 yang masih hilang, nampaknya makin banyak karut-marut dan perkara yang mengelirukan orangramai berlaku dalam operasi itu. Selain banyak isyarat ping yang kononnya dikesan tetapi akhirnya hilang begitu saja, beberapa objek yang dulunya dikesan begitu banyak di Lautan Hindi dan dipercayai daripada pesawat yang hilang itu, semuanya kini tiada khabar berita lagi.
Operasi pula kini seolah-olah lebih menumpukan untuk mencari kotak hitam pesawat manakala pencarian badan kapalterbang yang jauh lebih besar daripada kotak hitam, tidak lagi menjadi keutamaan. Begitu juga dengan mencari mayat-mayat penumpang yang seramai 239 itu seperti tidak lagi menjadi penting.
Belum pun kotak hitam ditemui, pemangku Menteri Pengangkutan berkata, Peguam Negara kini sudah pun berada di United Kingdom untuk membincangkan mengenai hak keatas kotak hitam itu. Sekali lagi orangramai jadi keliru, bukankah jika membeli pesawat, ia termasuk kotak hitamnya sekali?
Dan kenapa pula kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk menuntut hak keatas kotak hitam itu?
Apakah akan jadi nanti sekiranya hanya kotak hitam ditemui tetapi tiada langsung serpihan pesawat atau cebisan mayat penumpang yang ditemui? Tentulah ada yang bertanya, dari mana pula datangnya kotak hitam itu?
Atau bagaimana pula jika ketiga-tiganya, kotak hitam, pesawat dan mayat langsung tidak ditemui sampai bila-bila?
Meskipun semua orang mahukan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku, tetapi kepentingan waris mangsa tidak seharusnya dilupakan. Waris mangsa hanya mahukan pengesahan jika ada kematian, mestilah ada sekurang-kurangnya cebisan mayat yang ditemui atau jika terhempas, mestilah ada serpihan pesawatnya?
Oleh itu, sementara kotak hitam dicari, tumpuan kepada pesawat dan nasib penumpangnya haruslah juga seimbang.
Dalam masa yang sama, memasuki hari ke 35 ini juga, jika mengambil kira kenyataan penuh sedih Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan pesawat itu dikesan kali terakhir di sebuah kawasan sunyi di selatan Lautan Hindi serta jauh daripada mana-mana landasan yang dalam bahasa mudahnya bermaksud ianya telah terhempas dan tiada yang terselamat, tetapi media arus perdana dah milik kerajaan sendiri seperti menafikan kenyataan Najib itu.
Ada media arus perdana turut meragui pesawat itu terhempas dengan mengaitkan penglibatan CIA dengan kehilangan itu yang lebih dipercayai dengan teori rampasan. Hujah yang digunakan pula amat mudah iaitu jika bangunan WTC di New York boleh dimusnahkan, apalah halnya dengan hanya sebuah pesawat.
Terdapat pula media yang membuat spekulasi bahawa pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ada menghubungi seseorang yang tidak dapat dikesan ketika pesawat itu terbang rendah di sekitar Pulau Pinang.
Kedua-dua spekulasi ini cuba menghidupkan teori rampasan berbanding terhempas.
Semua teori dan spekulasi ini datangnya daripada media arus perdana dan dimiliki oleh kerajaan. Ia nampak terang-terang cuba menolak kesimpulan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang turut menjaga kepentingan tempat mereka bekerja yang sebelum ini mengatakan MH370 telah terhempas dan tiada penumpangnya yang selamat.
Meskipun Hishammuddin menolak kedua-dua teori itu dan bekas Duta AS, John Mallott juga memperlekeh teori konspirasi CIA itu sebagai bukti kewartananan yang menulis berdasarkan rekaan, paranoid dan perkauman, hakikatnya selepas lebih sebulan kehilangan pesawat itu menjadi misteri, akhbar milik kerajaan sendiri tidak percaya dengan kerajaan.
Jika sebelum ini, Hishammuddin memberi amaran kepada media agar jangan membuat sebarang spekulasi dan salah lapor serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang, kini media naungan kerajaan sendiri yang berbuat demikian. Bahkan keghairahan mereka ke arah itu melebihi media baru.
Perlakuan mereka ini bukan saja memalukan kerajaan tetapi juga mencabar kewibawaan seorang Perdana Menteri yang sebelum ini terang-terang yakin bahawa pesawat itu telah terhempas.
Tetapi apabila media kerajaan sendiri kebelakangan ini lebih ghairah berspekulasi dan membuat bermacam-macam teori, jawapan Hishammuddin cukup mudah, "seperti media barat, mereka juga bebas melaporkan apa saja. Tetapi akhirnya, jika laporan itu tidak benar, mereka akan hilang kredebiliti".
Senang dan santai saja jawapannya bila terkena batang hidung sendiri.
Persoalannnya, mana janji saman dan ambil tindakan undang-undang yang begitu garang dilaungkan sebelum ini? Mana pula peranan Peguam Negara yang kononnya sudah mula mengumpul bukti mengenainya sejak hari pertama kehilangan MH370 lagi? (SH 13/04/2014)
Friday, 11 April 2014
Mahathir Ingat-Ingat Lupa Rupanya...
Setelah mengambil masa hampir dua minggu, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad akhirnya mengaku bahawa beliau memang berada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali pada 19 November 1985, sekaligus mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam dalam sebuah diskusi politik di Kota Bharu pada 27 Mac lalu.
Dalam tulisan di blognya, Mahathir juga mengesahkan beliau hanya berlepas ke China pada 20 November iaitu sehari selepas tragedi tersebut.
Mahathir bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dakwaan beliau berada di China itu bukan datang daripada pihaknya, bahkan dalam buku memoirnya juga tidak pernah menyebut perkara itu.
Sebelum ini ketika Musa Hitam membuat kenyataan di Kota Bharu itu, Mahathir meminta diberi masa untuk menyemak kebenaran apa yang dinyatakan oleh bekas timbalannya dengan alasan beliau tidak ingat mengenainya memandangkan ia sudah begitu lama berlaku.
Musa Hitam kemudiannya tampil dengan kenyataan akhbar yang panjang lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaannya bahawa sememangnya Mahathir berada di dalam negara, sambil mengatakan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika itu juga sempat memberi taklimat mengenai Memali kepada Perdana Menteri.
Musa juga menyebut bahawa beliau memujuk Mahathir agak membatalkan lawatannya ke China dengan tiga alasan iaitu kejadian Memali itu melibatkan Melayu dan Islam, berlakunya pula di negeri Kedah serta untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat terhadap kejadian itu.
Bagaimanapun, menurut Musa lagi, Mahathir menolak pujukannya dan meneruskan juga lawatannya ke China itu.
Namun demikian, Mahathir mengatakan beliau tidak ingat bahawa Musa pernah memujuknya untuk tidak meneruskan lawatan itu.
Apa yang Mahathir ingat ialah Musa ada menghantarnya ke lapangan terbang bersama ramai yang lain untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya. "Di ketika itu pun saya tidak ingat sama ada beliau ada menasihati saya supaya tidak pergi ke luar negara," tambah Mahathir dalam tulisannya itu.
Di sebalik Mahathir tidak pernah ingat sama ada Musa pernah memujuk atau menasihatinya agar tidak pergi ke China itu, beliau nampaknya ingat pula kehadiran bekas timbalannya di lapangan terbang itu.
Mahathir juga dapat mengingati bahawa sebelum beliau ke China itu, beliau telah melantik Musa sebagai pemangku Perdana Menteri atas keyakinan bahawa timbalannya ketika itu dapat menangani keadaan. Bahkan Mahathir juga dapat mengingati sekembalinya beliau daripada China pada 28 November, tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di dalam negara.
Mahathir juga masih ingat bahawa Musa mengakui beliaulah yang bertanggungjawab atas peristiwa Memali itu.
Di ketika Mahathir masih dapat mengingati beberapa rentetan daripada peristiwa Memali itu, satu-satunya yang beliau tidak ingat ialah sama ada beliau pernah dipujuk atau dinasihati oleh Musa agar tidak meneruskan lawatannya ke luar negara itu.
Dalam usianya yang yang sudah menjangkau 89 tahun, sifat ingat-ingat lupa Mahathir mungkin boleh difahami dan boleh juga diragui tetapi sekurang-kurangnya ingatan beliau lebih baik daripada beberapa orang yang lebih muda daripadanya, termasuk bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin yang awal-awal menempelak Musa Hitam dan mengesahkan bahawa Mahathir tiada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali itu.
Sifat ingat-ingat lupa ini juga barangkali bertepatan dengan ungkapan yang selalu disebutnya sebelum ini bahawa Melayu adalah bangsa yang mudah lupa.
Dengan pengakuan Mahathir ini, walaupun beliau masih meletakkan beban tanggungjawab kepada Musa Hitam sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, sekurang-kurangnya sejarah baru mengenai Memali perlu ditulis semula setelah fakta sebenar mengenainya tersembunyi hampir 30 tahun lamanya.
Dengan pengesahan Mahathir sendiri beliau berada di dalam negara ketika itu, persoalannya ialah apakah peranan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu? Apakah waktu itu Perdana Menteri hanya berdiam diri?
Walaupun setelah hampir 30 tahun berlalu, dengan perkembangan terbaru ini barangkali ada keperluan juga untuk ditubuhkan Siasatan Diraja untuk menyemak semula fakta Memali dan menarik semula kertas putih yang telah dibentangkan sebelum ini.
Melalui pengakuan Mahathir ini, setidak-tidaknya nama Musa Hitam sedikit dibersihkan daripada persepsi dan tanggapan para penyokong Pas yang sebelum ini bulat-bulat menuduhnya bertanggungjawab atas peristiwa yang mengorbankan 16 orang yang diketuai oleh Allahyarham Ibrahim Libya serta 4 anggota polis. Pengakuan Mahathir ini juga tentunya melegakan Musa Hitam kerana ternyata beliau bercakap benar dan tidak berbohong.
Tetapi keseluruhan kejadian belum dijernihkan lagi. Segala-galanya kini terpulang kepada Najib dan kerajaan untuk mengambil tindakan seterusnya. (SH 11/04/2014)
Thursday, 10 April 2014
Eloklah Disiarkan Secara Langsung Majlis Tampar-Menampar Antara Dua Pemimpin Ini
Cabaran Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee menamparnya sendiri serta diberi habuan wang tunai ssbanyak RM501 dan tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk melakukannya, akhirnya disambut dengan tangan terbuka oleh pemimpin dari Sabah itu.
Untuk menjadikan acara menampar itu menjadi realiti, beliau mempelawa Zahid agar datang ke Lahad Datu atau Semporna secara sendirian tanpa diiringi oleh polis atau dikawal oleh pengawal peribadinya.
Seterusnya, kata Yong, wang RM501 yang diterimanya daripada Zahid itu akan didermakan kepada Tabung Wira Lahad Datu.
Ini bermakna sekarang ini terpulang kepada Zahid pula sama ada bersedia membenarkan pipinya ditampar atau sebaliknya. Jika bersedia, beliau perlulah memenuhi syarat dan permintaan Yong itu iaitu datang Lahad Datu atau Semporna secara peribadi tanpa diiringi oleh polis atau pengawal peribadinya.
Rasanya tiada alasan lagi untuk Zahid berdalih dalam perkara ini, kecualilah jika beliau tidak sedia pipinya ditampar oleh Yong Teck Lee.
Berikutan kejadian penculikan dua warga China dan Filipina di Semporna minggu lalu serta beberapa penculikan sebelum ini serta insiden pencerobohan di Lahad Datu, Yong yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menyalahkan Menteri Dalam Negeri dalam mengawal keselamatan atas kejadian yang sering berulang di negeri Sabah.
Lantaran itu, beliau menawarkan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Zahid atas anggapannya menteri itu telah gagal dalam menjalankan tugasnya.
Zahid kemudiannya meminta Yong Teck Lee agar tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk menamparnya, sebaliknya mencabar pemimpin Sabah itu agar menamparnya sendiri dan beliau akan memberikannya ganjaran sebanyak RM501.
Sebelum itu, susulan penerbitan klip video oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dianggap menghina Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyebabkan sebuah NGO iaitu Isma menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berani menampar muka pemimpin DAP itu. Nilai tawaran yang diberikan kemudian ditingkatkan sehingga RM1200 tetapi tiada sesiapa yang menyahut, kecuali ada seorang pemuda bersalam berlapikkan telur busuk ditangannya.
Sejak itu kewajaran menampar seseorang mula menjadi polemik dan laporan polis juga telah dibuat terhadapnya. Bagaimanapun Zahid yang ditekan untuk bertindak terhadap Isma, telah menolak untuk berbuat demikian dengan alasan tawaran menampar bukanlah suatu bentuk ugutan jenayah sepertimana mengeluarkan ugutan mahu membunuh.
Zahid kemudian terus dikecam atas pendiriannya itu dan disifatkan sebagai menteri yang tidak begitu memahami undang-undang dan seolah-olah hanya mahu menyiasat setelah kejadian menampar itu benar-benar berlaku.
Tetapi kini, berikutan pendirian Zahid itu, kejadian menampar ini seperti terkena batang hidungnya sendiri. Beliau kini bukan saja tidak dapat lagi mengawal berlakunya tawaran menampar kepada sesiapa saja, bahkan juga terpaksa reda jika tawaran yang sama melibatkan dirinya.
Dengan kesediaan Yong untuk menampar sendiri Zahid dan mendermakan RM501 yang dijanjikan kepada Tabung Wira Lahad Datu, maka Zahid secara prinsipnya perlulah menyahutnya dan datang ke Lahad Datu atau Semporna tanpa diiringi polis atau pengawal keselamatannya. Beliau hanya perlu datang dengan penyokong-penyokong saja.
Sebagai menteri dalam negeri, ada baiknya juga jika Zahid dapat mengarahkan pihak polis supaya mengawal keadaan dan menyediakan pentas yang sesuai untuk acara menampar itu dilangsungkan sambil disaksikan oleh rakyat Sabah. Maklumlah ini merupakan acara yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan melibatkan dua pemimpin yang "terlebih cerdik" dalam berpolitik.
Cabar-mencabar untuk menampar ini tidak sepatutnya berlaku jika kedua mereka sedikit matang dalam politik dan tidak membiarkannya berlarutan. Tetapi oleh kerana mereka nampaknya suka cara politik begitu, maka teruskan saja sehingga ada titik penyudahnya.
Lebih elok lagi jika dapat dibuat siaran langsung melalui televisyen ke seluruh negara supaya rakyat dapat melihat sendiri majlis menampar yang melibatkan dua pemimpin "paling cerdik" itu dilakukan. Mungkin juga dapat menjadi acara sempena Tahun Melawat Malaysia yang kini sudah kekurangan pengunjung berikutan insiden hilangnya pesawat MH370. Manalah tahu jika Zahid terasa pipinya sakit kena penampar Yong itu, beliau akan membalas balik dan berlakulah pula saling tampar-menampar antara kedua pemimpin tersebut.
Tentulah gempak dan gamat jadinya majlis itu. Lebih gempak dan gamat lagi jika selepas berbalas penampar itu, mereka bergusti pula. Barulah dunia politik kita betul-betul meriah dan menjadi bahan ketawa rakyat di mana jika sebelum ini ada yang menjerit, mengejek-ngejek dan melakukan aksi kurang sopan di Parlimen atau Dewan Negeri, rupa-rupanya ahli politik juga boleh beraksi lebih dahsyat daripada itu.
Moga antara Zahid atau Yong Teck Lee, tidak ada yang berdalih lagi selepas ini kerana rakyat sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyaksikan majlis tampar-menampar ini. (SH 10/04/2014)
Wednesday, 9 April 2014
Budaya UMNO Sudah Meresap Dalam PKR?
Pemilihan pucuk pimpinan PKR akan berlangsung daripada 25 April hingga 11 Mei depan. Semua jawatan utama, daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ketua sayap dan lain-lainnya, nampaknya bakal menyaksikan persaingan yang sengit kali ini.
Walaupun Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, kedua-duanya yang merupakan pasangan suami isteri, masing-masing telah mengemukakan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden, tetapi dipercayai pertandingan tidak akan berlaku kerana salah seorang daripadanya akan menarik diri bila tiba masanya nanti.
Anwar sebelum ini telah mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden bagi mengambil alih jawatan itu daripada isterinya, tetapi hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan menimbulkan persoalan sama ada dari segi undang-undang pertubuhan, beliau layak bertanding atau sebaliknya.
Jika didapati layak sudah tentu Anwar akan bertanding tetapi jika ada halangan dari segi peraturan, Dr Wan Azizah akan terus mempertahankan jawatan Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan.
Di antara semua jawatan yang bakal dipertandingan itu, tumpuan tentunya lebih kepada jawatan Timbalan Presiden. Penyandang jawatan, Azmin Ali akan dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution, Tian Chua (sekarang memegang jawatan Naib Presiden), K Rama dan Ganusegeran.
Persaingan bagi jawatan ini paling menarik bukan saja kerana memperlihatkan persaingan Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali yang dianggap musuh tradisi dan bertelagah dalam beberapa isu seperti krisis jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS, bahkan juga memperlihatkan sejauh mana Khalid Ibrahim yang kedudukannya sebagai Menteri Besar cuba diganti dengan Anwar Ibrahim melalui gerakan KajangMove, masih mampu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin utama dalam parti itu.
KajangMove itu bagaimanapun gagal berikutan keputusan mahkamah yang menghalang Anwar bertanding di Kajang dan tempatnya sebagai calon digantikan oleh Dr Wan Azizah.
Disebabkan jawatan Menteri Besarnya mahu digugat, maka Khalid mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Apakah setelah kedudukannya sebagai peneraju kerajaan negeri sudah selamat ketika ini, beliau masih ada simpati lagi?
Lebih menarik bagi perebutan jawatan nombor dua ini ialah dengan penyertaan Saifuddin Nasution yang sebelum ini diletakkan oleh Anwar Ibrahim sebagai Ketua Staff di pejabat Menteri Besar Selangor tetapi dikatakan tidak diberikan peranan serta tugas yang sewajarnya oleh Khalid Ibrahim.
Ada desas-desus mengatakan Saifuddin hanya diberi kerusi dan meja tetapi tidak diberi apa-apa tugas. Laporan lain pula menyebut bahawa Saifuddin sejak kebelakangan ini tidak menampakkan dirinya sebagai kakitangan di pejabat Menteri Besar kerana lebih banyak berada di pejabat PKR di Tropicana.
Adakah penyertaan Saifuddin sebenarnya hanya untuk "kacau daun" dan bagi memecahkan undi? Mungkinkah penyertaan Saifuddin untuk memudahkan Azmin mempertahankan jawatannya daripada direbut olrh Khalid?
Sementara Azmin akan terus mempertahankan jawatannya, Tian Chua dilaporkan akan menarik diri di saat-saat akhir kerana hubungan persahabatannya yang akrab dengan Saifuddin manakala K Rama dan Ganusegeran pula dipercayai tidak mampu memberi apa-apa kesan dalam persaingan tersebut.
Mengukuhkan lagi keyakinan itu ialah bilamana Saifuddin antara calon paling awal menubuhkan pasukannya sendiri bagi pemilihan kali ini dengan gandingannya turut disertai oleh Nurul Izzah dan Rafizi Ramli yang bertanding jawatan Naib Presiden.
Sementara Azmin dan Khalid belum menubuhkan pasukannya, kelajuan Saifuddin menubuhkan pasukan ini membuatkan ia mirip seperti kaedah pemilihan dalam UMNO. Dalam pemilihan UMNO adalah biasa mereka yang bertanding menubuhkan pasukan masing-masing dan bergerak meraih undi secara rakit. Pasukan paling popular dalam UMNO ialah Team Wawasan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim ketika menyingkirkan Tun Ghafar Baba dalam pemilihan 1993.
Dengan Saifuddin sudah menubuhkan pasukannya dengan disertai Nurul Izzah dan Rafizi, calon- calon Naib Presiden yang lain yang seramai 13 orang semuanya, sudah tentu terpaksa juga memilih regu masing-masing.
Tidak seperti dalam pemilihan Pas atau DAP, walaupun pasukan itu mungkin ada, tetapi ia tidak begitu ketara dan penubuhan pasukan juga tidak diumumkan secara rasmi. Dalam Pas misalnya, walaupun ada kumpulan ulama, bukan ulama, team calon A atau calon B, tetapi ia tidak ketara kewujudannya.
Selain adanya pasukan, serangan bersifat peribadi dan memburuk-burukkan calon juga mulai ketara di media sosial, terutama yang melibatkan Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Penyokong Azmin sudah mulai menyerang Khalid manakala penyokong Khalid pula memperlekeh Azmin. Tindakan Khalid menolak debat juga menjadikan beliau sasaran kritikan lawannya serta melabelnya seperti Najib Razak yang turut takut untuk berdebat dengan Anwar.
Sekali lagi, ia juga mirip budaya dalam UMNO.
Bagi jawatan ketua sayap pula, perebutan bagi jawatan Ketua Wanita menyaksikan persaingan sengit antara Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dengan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail sementara persaingan sayap lain tidak begitu ketara ributnya. Zuraidah dikenali sebagai penyokong kuat Azmin manakala Rodziah pula berada di bawah pentadbiran Khalid sebagai Exco.
Selain terlihat seperti pertandingan proksi dalam bentuk fizikalnya bagi jawatan Ketua Wanita PKR, serangan berbentuk peribadi dan memburuk-burukkan lawan juga amat jelas antara kedua-dua calon ini. Zuraidah sudah memulakan serangan dengan mengatakan Rodziah sebagai pemimpin wanita yang tidak aktif sebelum ini dan hanya muncul ketika pemilihan ini saja. Beliau juga membangkitkan isu Rodziah yang menggunakan kedudukan dalam kerajaannya untuk memperolehi undi.
Rodziah pula menafikan adanya penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri dipihaknya dan meminta dibuktikan segala tuduhan itu, sambil tidak menolak kemungkinan ianya merupakan taktik kotor lawannya untuk meraih simpati daripada pengundi.
Tidak dinafikan bahawa PKR mempunyai pengaruh di kalangan generasi muda dan penduduk bandar berikutan keagresifannya mendedahkan pelbagai penyelewengan dalam kerajaan tetapi oleh kerana sebahagian pemain utamanya berasal daripada UMNO, sedikit-sebanyak budaya parti itu turut meresap sama.
Dengan kemampuan menguasai kerajaan Selangor, diterima di bandar dan separa bandar serta semakin cerah peluangnya bersama PAS dan DAP untuk memenangi pilihanraya umum akan datang, keghairahan kepada jawatan nampaknya sesuatu yang perlu ditangani oleh PKR kerana adalah bahaya kepada penerimaan rakyat jika akhirnya budayanya tidak jauh berbeza dengan budaya UMNO. (SH 09/04/2014)
Tuesday, 8 April 2014
Untuk Makluman Shahidan Kassim, Tindakan Musa Hitam Bukan Membuka Aib Namanya
Dalam usaha mempertahankan Mahathir Mohamad dan mengelakkannya daripada dijadikan bahan kecaman berikutan pendedahan Musa Hitam bahawa bekas Perdana Menteri itu sebenarnya berada di dalam negara ketika berlakunya tragedi Memali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mengingatkan bahawa Islam melarang umatnya membuka aib orang lain.
Katanya, Islam menggalakkan umatnya supaya menutup aib orang lain dan sesiapa yang melanggarnya dianggap berdosa.
Dari segi moral, tutup aib orang dan Allah akan tutup aibnya di akhirat kelak. Saya ingat kalau hebat macam mana sekali pun, sebagai orang Islam elakkan daripada dedahkan aib orang dan sebagainya. Janganlah kebebasan bercakap mengurangkan pahala kita, demikian katanya di Parlimen.
Beliau memberi jawapan secara umum dan bersandarkan etika Islam itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pas Sepang, Mohamad Hanipa Maidin yang meminta beliau menjelaskan sama ada maklumat baru yang didedahkan oleh Musa Hitam berkaitan peristiwa Memali dan kenyataannya bahawa Mahathir berada di dalam negara dan bukan di China seperti tanggapan ramai sebelum ini, sebagai suatu kebocoran maklumat.
Kemudian dari itu, Shahidan juga menegaskan, jika bekas timbalan perdana menteri atau menteri, mereka tahu risiko melanggar Akta Rahsia Rasmi, ada hukumannya.
Penjelasan Shahidan tentang membuka aib orang lain dan hukumnya disisi agama Islam memang sesuatu yang benar. Rasanya semua orang Islam tahu perkara itu kerana kita memang sering diingatkan mengenainya sejak remaja lagi.
Cumanya, tindakan Musa mendedahkan di mana Mahathir berada ketika peristiwa Memali, meskipun kita sebelum ini diberitahu bahawa ketika itu beliau berada di China, bukanlah suatu perbuatan mendedahkan aib Mahathir. Tindakan Musa lebih merupakan suatu pencerahan dan menceritakan kebenaran kerana bersama dakwaannya itu, beliau juga tampil dengan bukti-buktinya sekali.
Lebih tepatnya, Musa hanya ingin membersihkan namanya kerana selama hampir 30 ini hanya beliau yang seolah-olah dipertanggungjawabkan atas kejadian Memali itu semata-mata kerana kononnya ketika itu Perdana Menteri tiada dalam negara dan berada di China.
Perbuatan mendedahkan aib ialah seperti menceritakan keburukan orang lain sedangkan aib seseorang itu tidak wajar didedahkan. Seperti dalam kes liwat dan video seks yang dikatakan membabitkan Anwar Ibrahim misalnya, pendedahan secara besar-besaran isu membabitkan beliau dengan mengusung tilam selama berhari-hari ke mahkamah tetapi kemudian tidak dipakai pun sebagai bahan bukti dan penyebaran videonya, itulah yang dinamakan mendedahkan aib orang lain.
Begitu juga penyebaran video dan rakaman suara mengenai pemimppin Pas, itu juga dikira mendedahkan aib orang lain. Banyak lagi contoh tentang mendedahkan aib ini sebenarnya, ia berlaku di kalangan pemimpin kerajaan dan juga pembangkang. Namun aib yang dimaksudkan dan dilarang oleh agama mendedahkannya sebenarnya lebih bersifat perbuatan peribadi seseorang yang mana ia menjadi perhitungan antara individu terbabit dengan Tuhannya.
Tetapi mendedahkan keborosan pemimpin berbelanja, hobinya suka membeli perhiasan mewah atau seumpamanya tidak boleh dikategorikan sebagai mendedahkan aib orang lain kerana sebagai pemimpin, seseorang itu dan keluarganya mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan dianggap tidak berhati perut jika mengamalkan gaya hidup mewah sedangkan masih ramai rakyatnya yang miskin dan susah.
Pendedahan tentang perilaku yang seperti itu lebih merupakan peringatan.
Pendedahan Musa tidak menjatuhkan aib Mahathir kerana sama ada beliau berada di China atau dalam negara bukanlah sesuatu yang mengaibkan atau bersifat peribadi. Dalam hal ini Shahidan tidak perlu terasa bahawa pendedahan Musa itu sesuatu yang mengaibkan Mahathir.
Ia lebih merupakan kebenaran yang disembunyikan. Jika kerajaan mempunyai bukti sama ada menyokong kenyataan Musa atau memihak kepada tanggapan sebelum ini yang mengatakan Mahathir berada di China, menjadi tanggungjawab kerajaan mendedahkannya kepada umum.
Bahkan, jika kerajaan mempunyai bukti tetapi tidak mahu mendedahkannya semata-mata kerana ingin menjaga hati atau nama seseorang pemimpin itu, ia lebih dianggap tindakan yang tidak bertangungjawab kerana menyembunyikan kebenaran sedangkan paksi kehidupan adalah kebenaran.
Sebelum Shahidan mengingatkan tentang balasan mendedahkan aib orang lain ini, ada baiknya beliau menujukan perkara itu kepada UMNO dan kerajaan sendiri kerana sepanjang rekodnya, mendedahkan aib ini bukan saja dilakukan oleh para pemimpin dan medianya untuk menyerang musuh-musuh daripada parti pembangkang tetapi juga merupakan senjata untuk menjatuhkan pemimpinnya sendiri yang dianggap musuh dan tidak disenangi. (SH 08/04/2014)
Monday, 7 April 2014
Ketirisan Masih Jadi Budaya Kerajaan
Membaca laporan audit bagi tahun 2013 yang dibentangkan hari ini, suatu kesimpulan yang nyata ialah maslah ketirisan, tidak amanah, sambil lewa, cuai dan mengutamakan kroni masih menjadi budaya di dalam kerajaan pimpinan BN yang hanya memperolehi sokongan undi popular sebanyak 47 peratus dalam pilihanraya umum lalu.
Masih kedengaran lagi berita-berita menyedihkan seperti projek gagal disiapkan mengikut jadual, nilai kontrak lebih tinggi daripada sepatutnya, pemberian kontrak kepada syarikat muflis, peralatan berhabuk dalam stor, bekalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, syarikat yang dilantik lewat menyerahkan kutipan rumah PPR sehingga kerajaan menanggung kerugia, syarikat gagal menyiapkan projek dan sebagainya.
Walaupun menurut Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, laporan audit pada tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pemantauan yang lebih ketat oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan, hakikatnya kerugian wang kerajaan masih banyak berlaku.
Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dan 121 kes pula berkemungkinan berdepan tindakan, harapan orangramai ialah tindakan itu benar-benar menjadi kenyataan akhirnya.
Diharapkan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, isu berkaitan ketirisan dan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit ini hanya meriah menjadi mainan di media-media saja tetapi tindakannya "habuk pun tak ada" atau kalau ada tindakan pun hanya ikan-ikan bilis saja yang diambil tindakan.
Seperti dalam laporan audit tahun lepas misalnya, isu berkenaan penajaan artis K-Pop telah menjadi isu besar dan percanggahan sama ada ia ditaja atau dibayar oleh kerajaan begitu jelas. Tetapi, meskipun setelah banyak percanggahan ketara didedahkan kepada umum, akhirnya tiada apa-apa tindakan pun diambil.
Yang ada hanyalah janji daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa artis K-Pop tidak akan dipanggil lagi dalam sambutan Hari Belia, manakala menteri sebelumnya, Ahmad Sabery Cheek hanya sekadar memenuhi formaliti dipanggil memberi keterangan saja dan PAC akhirnya berpuas hati dengannya sedangkan laporan audit sebelumnya adalah sebaliknya.
Keadaan seperti itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan rakyat yang membayar cukai. Mereka mahukan kerajaan membuktikan ketelusannya dan tindakan yang diambil pula mestilah menampakkan kesan yang ketara.
Dengan janji PAC untuk memanggil lima kementerian dan 121 kes lagi bakal berdepan tindakan pada tahun ini, adalah diharapkan tindakan yang benar-benar berkesan dapat diambil dan menjadi hidangan yang menggembirakan bagi rakyat yang kini sedang berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang kian meninggi.
Sejak sekian lama, rakyat sebenarnya sudah letih menatap pelbagai berita mengenai ketirisan, penyelewengan dan salah laku setiap kali laporan audit dibentangkan, bahkan pernah dilaporkan ketirisan wang kerajaan menjangkau RM20 bilion setahun beberapa tahun lalu, namun tiada jua tindakan berbentuk pengajaran dan pencegahan yang konkrit diambil.
(SH 07/04/2014)
Sunday, 6 April 2014
Ibrahim Ali Kata UMNO Dan Pas Sama-Sama 'Biol', Pulak Dah...
Tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba saja Presiden Perkasa, Ibrahim Ali meluahkan kemarahannya kepada UMNO dan Pas yang disifatkannya gagal dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Bumiputera, sebaliknya asyik bertelagah sesama sendiri sehingga matlamat perjuangan itu menjadi terabai.
"Pemimpin kita banyak yang 'biol', patut dihantar ke Tanjung Rambutan. Apa yang bergaduh pun saya tak faham. Kereta besar, rumah besar, hidup mewah, mahu apa lagi?
"Semua ada, nak apa lagi? Yang kita tuntut sikit saja - kesatuan ummah dan memupuk silaturrahim. Kalau ini tidak dijaga, Melayu akan hancur," katanya dalam sebuah majlis di Puchong.
Dengan latar belakang politiknya sebelum ini, kalau Ibrahim Ali meluahkan kemarahan kepada Pas, ia tidaklah menghairankan kerana setelah berjaya meminjam logo Pas dalam pilihanraya 2008 dan kemudian "mengencing" parti itu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil Bebas tetapi condong kepada UMNO dan BN, beliau mungkin sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Pas.
Beliau kemudian menubuhkan Perkasa untuk memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetapi langkahnya seringkali bersifat melampau sehingga tidak disenangi oleh banyak pihak. Dalam masa yang sama, kecondongannya kepada UMNO, BN dan kerajaan juga amat terserlah.
Tetapi setelah hampir diketepikan dalam pilihanraya 2013 lalu dan dikatakan hanya setelah adanya campurtangan Mahathir Mohamad yang menyaksikan calon UMNO di Pasir Mas tidak mengemukakan borang pencalonannya, barulah beliau menjadi calon Bebas yang disokong oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum lalu.
Beliau bagaimanaoun tewas kepada calon Pas, Nik Abdul Nik Abdul Aziz dan sejak kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu itu, beliau mulai agak kritikal terhadap UMNO, kerajaan dan Najib Razak meskipun sebelumnya Perkasa memperolehi banyak manfaat dan menerima bantuan kewangan untuk program-programnya daripada kerajaan.
Dalam beberapa isu, terlihat Ibrahim Ali dan Perkasa memuntahkan banyak serangannya terhadap Najib, UMNO dan kerajaan. Tetapi bila ada pilihanraya kecil, beliau selalunya berpatah balik menyokong Najib dan kerajaan serta menghalakan serangannya kepada pembangkang pula.
Sebab itu, ramai yang berkata, lebih-lebih lagi yang mengenali Ibrahim Ali, serangannya kepada Najib, UMNO dan kerajaan hanyalah "main-main" dan untuk menarik perhatian saja. Hati, cinta dan kasihnya tetap kepada kerajaan yang sedang berkuasa.
Cuma, bila kali ini beliau meluahkan kemarahannya kepada UMNO dan Pas sekaligus dengan menuduh kedua-dua parti itu dipimpin oleh pemimpin yang 'biol', maksud muntahan perasaannya itu menjadi pelbagai. Dengan karektor politiknya, tiada yang pelik jika beliau mendakwa Haji Hadi dan lain-lain pemimpin Pas sebagai 'biol' tetapi tentulah agak pelik bila dalam masa yang sama, beliau juga mengatakan Najib, Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO turut sama 'biol' sedangkan pemimpin itulah yang sering dipertahan dan ditemuinya sebelum ini.
Kenapa baru sekarang disedari mereka itu 'biol' oleh beliau? Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO pernah menganiaya dan menyingkirkannya sebagai pemimpin sebelum ini?
Walaupun bersandarkan kekecewaannya terhadap nasib Melayu dan Bumiputera yang masih terabai, serangan 'biol' ini tentulah lebih ditujukan kepada Najib dan lain-lain pemimpin UMNO kerana merekalah yang sedang berkuasa dan mempunyai lebih peranan untuk dimainkan.
Ada pula seorang rakan lama Ibrahim Ali bertanya, adakah sikapnya yang bertukar-tukar wadah perjuangan sehingga dicatat sebagai pemimpin Melayu yang paling banyak bertukar parti - daripada Berjasa, UMNO, Semangat 46, UMNO kembali, meminjam logo Pas, Bebas dan kini Perkasa - lebih 'biol' dari segala 'biol' kerana ia juga tidak menampakkan keinginan untuk memperjuangkan Melayu tetapi lebih kepada survival peribadi? (SH 06/04/2014)