Wednesday 2 January 2013

Najib Wajib Undur, Beri Peluang Muhyiddin Ketuai PRU 13


Belum pun sempat Najib menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan kepadanya berhubung urusniaga yang dipaksakan antara LTAT dengan Deepak dan Raja Ropeah serta kaitan dengan isterinya Rosmah Mansor, tiba-tiba sebutir bom lagi digugurkan untuk menggegarkan atmosfera politik negara.

Kali ini merupakan pendedahan oleh Rafizi Ramli melalui sumber yang dipercayai dekat dengan Deepak, tentang bagaimana peniaga karpet itu didakwa telah membayar sebanyak RM13 juta untuk barangan kemas, cincin dan batu permata untuk isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Yang lebih menakjubkan, pendedahan yang turut disertakan dengan bukti invois dan resit bayaran, ialah pembelian semua barang kemas sebanyak RM13 juta itu hanya untuk tempoh 3 bulan sahaja.

Hebat! Malaysia Boleh! dan satu lagi bukti isteri pemimpin kita juga boleh menyamai kehebatan isteri-isteri pemimpin dunia yang pernah menjadi mainan bibir antarabangsa sebelum ini seperti Imelda Marcos, Laila Ben Ali, Suzanne Hosni Mubarak dan seumpamanya.

Meskipun Najib dilihat cuba menyelesaikan kemelut Deepak-Rosmah-Raja Ropeah dengan membawa masuk tabung wang pencen askar iaitu LTAT untuk membeli syarikat Deepak dengan bayaran RM30 juta iaitu jumlah kos yang telah dikeluarkannya sebelum ini, kemarahan Deepak nyata masih membara.

Beliau tidak saja mengeluarkan buku mengenai penglibatannya dalam akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian bertajuk Black Rose yang mengaitkan Najib dan Rosmah didalamnya, pendedahan mengenai pembelian barang kemas RM13 juta ini seperti memberi isyarat bahawa Deepak tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

Dipercayai lebih banyak pendedahan beserta bukti-bukti mengenai Rosmah dan Najib akan didedahkannya lagi selepas ini. Dengan tempoh edah kerajaan yang ada sekarang akan berakhir pada 28 April 2013 dan pilihanraya umum mesti diadakan sebelum tempoh itu, UMNO dan BN akan terus kelemasan jika satu demi satu bom lagi digugurkan oleh Deepak selepas ini.

Dengan menyerang Rosmah, imej dan kredebiliti Najiblah yang paling terjejas dimata umum. Rosmah bukan saja dilihat seorang isteri yang menyusahkan suaminya tetapi juga membebankan UMNO, BN dan kerajaan.

Beliau amat berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Watak dan perlakuannya amat bertentangan dengan Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Tun Siti Hasmah, Tun Endan dan Tun Jeanne yang amat disenangi rakyat dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebiasaan serta kewajaran sebagai isteri seorang Perdana Menteri.

Sepanjang menjadi Perdana Menteri, Najib sentiasa dibebankan dengan pelbagai pendedahan mengenai Rosmah yang menjadi isterinya lebih 20 tahun lalu iaitu selepas Najib menceraikan isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah Iskandar. Dari keghairahan suka berbelanja mewah, longgokan beg tangan, cincin, timbunan pakaian mahal, mengadakan lawatan ke luar negara menggunakan kemudahan jet kerajaan, kemaruk dengan gelaran First Lady sehinggalah kepada suka menunjuk seolah-olah sama berkuasa macam Perdana Menteri, semuanya menjadi bahan percakapan dan sekaligus beban kepada Najib.

Dari masyarakat kelas atasan yang tinggal di Bukit Damansara hinggalah ke budak-budak sekolah rendah di ceruk setinggan, perbualan mereka jarang terlepas daripada topik mengenai Rosmah. Ada saja bahan tidak manis yang menjadi bahan perbualan mengenai Rosmah yang sampai ke telinga mereka dan kemudian dijadikan bahan bualan.

Dengan pelbagai pendedahan mengenai perilaku Rosmah selama ini, dan yang terbaru mengenai pembelian barang kemas RM13 juta yang bayarannya dibuat oleh Deepak, dan mungkin lebih banyak lagi selepas ini, Rosmah kini sudah menjadi beban berat bagi Najib. Najib tidak mungkin berupaya menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan selesa selagi beban itu ada disisinya.

Sudahlah beliau sendiri terpalit dengan pelbagai isu, menteri-menteri kabinet juga ramai yang terdedah tembelang masing-masing dengan pelbagai skandal, pendedahan mengenai Rosmah tentunya menambahkan lagi serabut di kepalanya. Ketika suaminya berserabut, Rosmah sepatutnya menjadi pendamping yang mampu membawa ketenangan kepada jiwa suaminya.

Sebaliknya kehadiran Rosmah sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, hanya menjadi beban dan juga kebencian rakyat.

Ramai pemimpin UMNO sendiri yang geleng kepala dengan perangai Rosmah ini. Mereka sendiri tidak yakin UMNO mampu melawan arus penolakan rakyat berikutan satu demi satu karenah yang ditunjukkan oleh Rosmah selama ini.

Mereka percaya halangan terbesar Najib untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum nanti adalah kerana adanya Rosmah seperti wataknya yang ada sekarang. Sekiranya Rosmah mempunyai watak seperti Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Siti Hasmah, arwah Endon atau Tun Jeanne, mereka percaya Najib akan mampu muncul sebagai pemimpin yang baik dan disegani ramai.

Dengan hadirnya Rosmah bersama karenahnya itu, rakyat turut menolak Najib. Najib turut dipersoalkan kerana tidak berani menegur atau menasihati isterinya. Rakyat bimbang jika Najib terus diberi sokongan dan memenangi pilihanraya akan datang, karenah Rosmah akan lebih menjadi-jadi dan tidak terkawal lagi.

Dengan kerajaan yang rapuh dan masih menumpang mandat yang diperolehi daripada Pak Lah pada 2008 pun, Rosmah sarat dengan pelbagai isu, apatah lagi jika kemenangan selesa diperolehi selepas pilihanraya umum nanti.

Sebab itu, oleh kerana piliharaya mesti diadakan sebelum 28 April ini, harapan Najib untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan persepsi rakyat mengenai dirinya, kepimpinannya, masalah yang diwujudkan isterinya dan seterusnya mencipta kejayaan buat UMNO dan BN, sebenarnya sudah hampir tertutup. Jalan di hadapannya adalah jalan mati. Menunggunya hanyalah gaung yang dalam.

Untuk memberi sedikit nafas dan kekuatan kepada UMNO dan BN, Najib semestinya berundur. Hanya itu pilihan yang ada. Najib mesti melakukan pengorbanan jika tidak mahu UMNO dan BN dikorbankan oleh rakyat melalui peti undi. Topik Najib dan Rosmah kini sudah mendominasi isu-isu yang membebankan UMNO dan BN.

Najib mesti memberi ruang masa dan tempoh yang ada beberapa bulan ini untuk timbalannya, Muhyiddin mengambil alih baton kepimpinan UMNO dan kerajaan dan mengemudi jentera menghadapi PRU 13 nanti. Dengan perubahan kepimpinan, persepsi rakyat juga akan turut berubah.

Muhyiddin juga tidak terlalu banyak pekung seperti Najib. Isterinya juga mempunyai watak yang lebih disenangi rakyat berbanding Rosmah. Meskipun belum pasti mampu mencipta kejayaan gemilang, peluang Muhyiddin lebih cerah berbanding jika UMNO dan BN terus dipimpin Najib dan diselubungi awan mendung ciptaan Rosmah.

Hanya pengunduran Najib satu-satunya peluang yang ada bagi UMNO dan BN memperbaiki kedudukannya. (02/012/2013)



3 comments:

  1. saya pikir masa sudah terlalu suntuk buat UMNO untuk mengubah... keadaan ini ibarat satu rahmat buat rakyat dan pembangkang.ini kali lah!!!

    ReplyDelete
  2. Sekiranya Najib sedia untuk bersara dia sepatutnya melakukan sekarang
    masa terlalu suntuk utk najib dan segalanya agak terlambat buat apapun ia tetap akan nampak sia sia
    benar kata tuan shahbudin dengan berhentinya najib mungkin umno serba sedikit mampu memperbaiki kedudukannya
    tetapi sediakah najib utk melakukannyadan sekiranya muhyiddin naik mampukah dia melakukan sesuatu yg ajaib dlm keadaan mood rakyat yg semakin berkobar utk buat perubahan

    ReplyDelete
  3. Samada Najib berundur dan digantikan dengan Najib...UMNO akan tetap sama dan tidak akan berubah. Perjuangan UMNO yang telah sekian lama menyimpang akan terus kekal menyimpang selagi puaka " Madeliar " dan " Si Kitol " diberi diberi ruang bergerak bebas.

    Apakah tuan Shahbudin fikir Muhyuddin ini " independent "?. Tentu tidak bukan. Pemain catur dalam penentuan presiden dan PM Malaysia sekarang ini adalah Mahathir. Si Kitol inilah yang sewajarnya ditamatkan riwayat politiknya dalam UMNO kalau orang Melayu masih sayangkan pertubuhan Melayu tertua ini.

    Selagi Mahathir bergerak bebas di dalam UMNO, melayu tidak mungkin ke mana melainkan hanya jadi bahan tunggangan saja. Mahathir serta legasinya hanya akan terpelanting dari pertubuhan Melayu tertua tanah air ini jika Pakatan Rakyat diizinkan berkuasa selepas GE 13. Kekuasaan dan legasinya akan pupus terus jika Anwar Ibrahim menjadi PM.

    Namun selepas GE 13 UMNO BN sebagai parti pembangkang akan melalui proses " ditox " menyeluruh dan pimpinan pimpinan baru yang lebih berintegriti dan bertanggungjawab akan memacu semula pertubuhan ini ke landasan asal tanpa Madeliar dan Si Kitol kerana sesungguhnya keturunan Madeliar dan Si Kitol inilah yang memporak perandakan UMNO dan menyamun segala khazanah negara.

    Kalau sayangkan Melayu...haramkan Si Kitol serta legasinya dalam pertubuhan berkenaan. Jika tidak...selamanya UMNO tidak dapat bangun kembali dan Melayu terus " menang sorak kampung tergadai ", merempat di negara sendiri. Anih kan ..pertubuhan Melayu berkuasa sekian lama....namun Melayu terus merempat dinegara asal sendiri. Melayu kah UMNO ini ???.

    ReplyDelete