Wednesday, 29 March 2017

INILAH GANDINGAN PENYELAMAT MALAYSIA


Selepas mengumumkan Pakatan Harapan akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan bagi menghadapi BN dalam pilihanraya akan datang, gabungan itu hari ini menamakan Tun Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat jawatankuasa protemnya.

Jawatankuasa protem Pakatan Harapan itu nanti akan dianggotai oleh 16 orang, di mana setiap parti ( PKR, DAP, Amanah dan Bersatu) masing-masing mempunyai empat wakilnya.

Perlantikan Tun Mahathir dan Dr. Wan Azizah, kedua-duanya doktor perubatan sebagai penasihat, bukan saja menyerlahkan harapan yang lebih cerah untuk Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN, tetapi juga seperti memunculkan kembali gandingan Tun Mahathir - Anwar Ibrahim yang pernah gemilang sebelum ini.
Kalau dulu Tun Mahathir bergandingan dengan Anwar, kini beliau berpadu tenaga menerajui Pakatan Harapan bersama Dr Wan Azizah yang mewakili suaminya yang masih berada di penjara.

Susulan Pakatan Harapan akan didaftarkan secara rasmi, sebagaimana yang sudah dipersetujui juga, penggunaan satu logo dan satu manifesto untuk berlawan dengan BN tentunya akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Selepas ini, tiada sebab lagi untuk rakyat tidak boleh meyakini Pakatan Harapan sebagai penyelamat negara yang telah banyak dirosakkan oleh kepimpinan Najib Razak serta menjadi pengganti kepada BN.

Jika selama ini kita mengkagumi banyak kejayaan Tun Mahathir dalam memajukan negara, memberi keselesaan dan kemakmuran kepada rakyat serta meletakkan nama Malaysia pada nilai yang tinggi di mata dunia, percayalah bahawa beliau sedang berusaha melakukannya sekali lagi.

Tinggalkan UMNO serta BN, lupakan Pas dan bulatkan tekad kita memenangkan Pakatan Harapan. 

Pakatan Harapan adalah penyelamat negara dan pemberi harapan baru kepada anak cucu kita daripada kehidupan mereka terus disengsarakan. (ShahbudinHusin 29/03/2017)

TAK SAYANG JAWATAN KONON, TAPI....


Di sebalik beberapa Pas kawasan semakin banyak meluluskan usul agar parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, Pas Selangor nampaknya agak keberatan untuk mengambil tindakan yang sama dengan cuba memberi gambaran daripada sudut yang berbeza.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya usul putus hubungan itu diluluskan, ia hanya akan menguntungkan seteru politik mereka iaitu Amanah.

Katanya, keberadaan Pas dalam kerajaan negeri ialah untuk memastikan Amanah terus berada di luar lingkungan kuasa di Selangor.
Kita tak takut hilang jawatan....tapi kita takut Amanah masuk dalam pentadbiran kerajaan Selangor, ujar beliau.

Hehehe....tak takut hilang jawatan konon, tapi takut pula Amanah jadi ganti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pengertian yang mudah, kalau Pas putuskan hubungan dengan PKR, automatik Amanah akan masuk sebagai pengganti dan hilanglah semua jawatan yang dipegang selama ini.

Selagi tak putus hubungan dengan PKR, selagi itulah Pas kekal dengan nikmat jawatan dalam kerajaan Selangor.

Dalam masa yang sama, selagi itulah Amanah dapat dihalang daripada memegang jawatan.

Bukankah ia bermakna yang dipertahankan sebenarnya hanyalah jawatan?

Itu pun masih lagi nak berdalih mengatakan tidak sayang jawatan kononnya. Lawaklah dol.... (ShahbudinHusin 29/03/2017).

Tuesday, 28 March 2017

JANGAN BUANG MASA NAK KALAHKAN NAJIB DI PEKAN...


Sekurang-kurangnya tiga orang sudah menyatakan minat dan kesediaan untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Mereka ialah Ezam Mohd Nor yang menyatakan kesediaan untuk bertanding melalui Parti Bebas Rasuah yang bakal ditubuhkannya, Anina Saadudin, Ahli MPT Bersatu dan Abdul Rahman Mohd Nor, Ketua Bahagian Bersatu Pekan.

Di antara ketiga-tiga mereka, hanya Abdul Rahman merupakan orang tempatan Pekan. Beliau memang berasal dari Pekan, pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan dan kini mengetuai Bersatu di bahagian itu, manakala Ezam dari Selangor dan Anina pula dari Langkawi, Kedah.

Fokus utama Pakatan Harapan dalam PRU 14 ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara mengalahkan UMNO dan BN melalui peti undi. Dengan yang demikian, usaha untuk menumbangkan Najib di Pekan seharusnya menjadi pilihan yang kedua.

Najib bukan tidak boleh dikalahkan di Pekan, tambahan lagi beliau pernah menang cuma dengan 241 undi saja pada pilihanraya 1999 yang lalu. 

Tetapi, sejak kemenangan tipis 1999 itu, beliau telah menambah ramai pengundi baru untuk mengundi di Pekan. Sejak itu, kemenangan Najib sentiasa agak selesa dengan terbaru pada pilihanraya 2013, beliau menang dengan majoriti 35,613 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Fariz Musa.

Dengan yang demikian, tambahan lagi dengan amalan "cash is king" yang kian berleluasa dan Najib sendiri semakin mempunyai banyak wang sekarang ini, menumbangkannya di Pekan boleh dianggap hampir mustahil.

Oleh itu, untuk apa Ezam yang berasal dari Selangor dan Anina dari Langkawi, cuba cari nahas dengan menawarkan diri bertanding di Pekan?

Mampukah mereka mengalahkan Najib atau mereka bertanding sekadar ingin glamour serta publisiti semata-mata?

Bagi Ezam dan Anina, jika mereka masih menjiwai perjuangan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad yang ingin menumbangkan UMNO dan BN serta dengannya akan membuatkan Najib turut tersingkir, adalah lebih baik mereka menumpukan usaha secara nasional dan bergerak ke seluruh negara bersama-sama gabungan pembangkang bagi tujuan itu.

Jika ada rezeki dan keyakinan daripada Pakatan Harapan, Ezam dan Anina sebenarnya lebih sesuai bertanding di tempat lain, seperti di Selangor atau Kedah misalnya. Jika Pakatan Harapan menang, mungkin ada jawatan tertentu menunggu mereka.

Bagi kerusi Pekan, jika Pakatan Harapan memutuskan mahu menyerahkan kerusi itu kepada Bersatu, Abdul Rahman dengan kedudukannya sebagai anak jati Pekan dan pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan, adalah calon yang sesuai dan munasabah untuk berlawan dengan Najib.

Setidak-tidaknya Abdul Rahman tentu ada saudara mara dan kawan-kawan serta lebih mengetahui selok-belok kampung, jalan berlubang dan rumah-rumah yang uzur di sekitar Pekan itu berbanding Ezam dan Anina sebagai modal untuk berkempen.

Meskipun secara realistiknya harapan Abdul Rahman tidaklah mudah untuk menewaskan Najib, tetapi beliau dikira masih mampu untuk memberi cabaran yang sewajarnya jika diberi kepercayaan untuk bertanding. Kata orang, kalah dalam tangan, menang belum tentu.

Sepertimana disebut pada awal tadi, PRU 14 ini matlamatnya ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara menumbangkan UMNO dan BN. Lantaran itu, fokus jangan sesekali berubah.

Berbanding mengalahkan Najib di Pekan, menumbangkan UMNO serta BN adalah lebih mudah dan munasabah. Di tambah dengan sekian banyak isu dalam negara serta kenaikan kos sara hidup yang berterusan mencengkam rakyat, mengajak rakyat berubah memilih kerajaan baru  tidaklah sesukar meminta pengundi Pekan agar tidak memilih Najib.

Lagi pun, dengan tumbangnya UMNO dan BN, jika Najib menang sekali pun di Pekan, ia tetap tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya. 

Bagi Pakatan Harapan, mereka tidak perlu terlalu memberi fokus di Pekan sehingga hilang tumpuan kepada kawasan-kawasan lain. Juga tidak perlu melayan sangat saranan golongan akademik agar calon yang setaraf Tun Mahathir atau Anwar diletakkan oleh Pakatan Harapan untuk bersaing dengan Najib di Pekan.

Calon Pakatan Harapan yang berwibawa dan boleh menjadi Perdana Menteri dan Menteri, seharusnya diberi kerusi lain yang  boleh menang supaya selepas tumbangnya UMNO dan BN, mereka boleh memegang jawatan dalam kerajaan demi menyelamatkan negara ini.

Memang seronok dapat melihat Najib kalah di Pekan, tetapi jauh lebih seronok jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan. Keseronokan Najib kalah di Pekan, bagaimanapun boleh hilang seronoknya jika akhirnya UMNO dan BN terus berkuasa lagi.

Lantaran itu, jangan sampai matlamat utama yang ingin dicapai tidak kesampaian. (ShahbudinHusin 28/03/2017).

DIALOG RUU 355


Dialog atau sketsa perbualan mengenai RUU 355 ini diterima melalui grup Whatsapp  dan juga email. Rasanya tentu ramai yang turut sama menerima dan sudah pun membacanya.

Ia amat menarik untuk kita lebih memahami mengenai kemelut pindaan undang-undang tersebut yang sehingga ini masih tertangguh dan tidak diketahui sama ada akan dibentangkan atau terus ditangguhkan lagi.

Saya siarkannya semula untuk tatapan dan perkongsian kita bersama.


USTAZ DIN : "Setiap orang Islam wajib sokong RUU355..."
.
AWANG : "Tak wajib.... RUU355 bukan hukum Allah.... Sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan Rasul, tidak ada siapa pun yang layak mewajibkannya.... Agama Islam ni bukan milik lebai PAS."
.
USTAZ DIN : "Hukuman 100 kali sebatan bagi orang yang melakukan zina, itu hukum Allah..."
.
AWANG : "Saya tak pertikaikan 100 sebatan tu.... Yang saya nak tanya, 30 tahun penjara dan denda RM100,000, adakah itu hukum Allah? Setiap orang Islam wajib sokongkah?"
.
USTAZ DIN : "Tok Guru Haji Hadi kata wajib...."
.
AWANG : "Haji Hadi bukan nabi...!"
.
USTAZ DIN : "Dia seorang ulamak..."
.
AWANG : "Dia pun manusia biasa, bukannya dia terima wahyu dari langit...."
.
USTAZ DIN : "Enta memperlekehkan ulamak....!"
.
AWANG : "Ustaz mengkultuskan dia seperti nabi, itu lebih besar salahnya...."
.
USTAZ DIN : "Rasulullah bersabda, al-ulamak warisatul anbiya'... Para ulamak itu pewaris nabi..."
.
AWANG : "Kalau gitu, confirmlah Haji Hadi bukan ulamak...!"
.
USTAZ DIN : "Kenapa pulak...?"
.
AWANG : "Mana mungkin seorang pewaris nabi berakhlak seperti Haji Hadi...? Bercakap bohong, berbuat khianat, berbahasa kasar, tidak beradab, angkuh, sombong, menyakitkan hati ramai orang, menjadi bahan ketawa orang.... 
Logikkah seorang ulamak memiliki ciri-ciri dan sifat sebegitu...? Pewaris nabi apa gitu...?"
.
USTAZ DIN : "Sebenarnya, kenapa enta ni beria-ria menolak RUU355...? Apa yang enta takutkan...?"
.
AWANG : "Saya tidak menolak RUU355 dan tak ada sebab pun kenapa saya perlu takut.... Yang saya tanya, kenapa Ustaz kata setiap orang Islam wajib sokong RUU355...? Apa dalilnya...?"
.
USTAZ DIN : "Bukankah RUU355 menambahkan bidang kuasa mahkamah syariah...? Dan dicadangkan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah, sesuai dengan hukum Allah....Itu ke arah perlaksananaan undang-undang hudud sepenuhnya...."
.
AWANG : "Ya lah.... tentang nak pinda rang undang-undang ke, nak rombak akta ke, bukankah itu urusan ahli Parlimen...? Pasal apa hukum terkena kepada setiap orang Islam...?
.
USTAZ DIN : "Yang di Parlimen tu, Parlimenlah, itu urusan wakil rakyat.... Tapi iman dalam dada kita masing-masing mesti ada iktiqad sama ada kita sokong atau tak sokong RUU355."
.
AWANG : "Untuk apa...?"
.
USTAZ DIN : "Mungkin sebagai ujian sama ada kita benar-benar beriman atau tidak...."
.
AWANG : "RUU355 nya mana...?"
.
USTAZ DIN : {Diam}
.
AWANG : "Yang ustaz kata setiap orang Islam wajib sokong, untuk menguji sama ada kita beriman atau kafir.... mana bendanya...?"
.
USTAZ DIN : "Usul tersangkut di parlimen.... Itu bukan salah PAS."
.
AWANG : "Bukan salah PAS apa, Haji Hadi yang mintak tangguh sampai dua kali....!"
.
USTAZ DIN : "Mesti ada sebab kenapa Tok Guru tangguhkan...."
.
AWANG : "Saya tak nak tahu pun apa sebab dan alasan PAS tangguhkan pembentangan usul tu.... tapi saya cuma persoalkan kenapa keluarkan fatwa setiap orang Islam wajib sokong RUU355, sedangkan Presiden PAS sendiri yang tangguhkan....?" 
.
USTAZ DIN : "Ish... enta tak faham...."

AWANG : "Saya nak tanya Ustaz, apa jenis kesalahan yang boleh didenda RM100,000 dan 30 tahun penjara...?"
.
USTAZ DIN : "Er...."
.
AWANG : "Di antaranya kesalahan di bawah akta mahkamah syariah ialah menyebarkan fatwa yang bercanggah dengan fatwa negeri.... Nanti ustaz-ustaz sunnah yang digelar wahabi ramai yang kena penjara 30 tahun kerana menyampaikan ilmu Qur'an dan Sunnah yang bercanggah dengan fatwa negeri.... Undang-undang ini yang Ustaz kata wajib sokong...? Ustaz-ustaz yang mengajar agama tanpa tauliah, walaupun dia lebih alim dari orang yang tukang bagi tauliah,  boleh didenda RM100,000 atau penjara 30 tahun, undang-undang ini yang Ustaz kata wajib disokong oleh setiap orang Islam...?"
.
USTAZ DIN : ????? (telan air liur)


Amacam?

Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat manfaat dan lebih memahami isu sebenar daripada perbualan Ustaz Din dan Awang di atas. (ShahbudinHusin 28/03/2017).

Monday, 27 March 2017

GURU2 BOLEH SOKONG PEMBANGKANG DAN KRITIK KERAJAAN, TAPI....


Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Datuk Seri Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050.

Saya menyarankan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhenti mencampuri urusan para guru di luar waktu sekolah, sebaliknya beliau patut memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Hal ini kerana, bukan satu rahsia lagi apabila para guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar. 

Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

Selain itu, ada juga dilaporkan yang para guru turut diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan.

Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu para guru ini berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna. Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan.

Walau bagaimanapun, menyedari suasana Kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada.

Pastikan anda menggunakan kuasa undi anda untuk mengubah Kerajaan sekarang kepada sebuah Kerajaan baharu yang lebih peduli dengan nasib semua golongan masyarakat.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional
27 Mac 2017.


Ulasan - Mengapa UMNO dan BN tiba-tiba begitu bimbang dengan guru-guru yang menyokong parti pembangkang dan mengkritik kerajaan?

Adakah tarikh pilihanraya sudah hampir nak tiba?

Adakah dengan mengugut untuk mengambil tindakan akan menakutkan guru-guru dan menyebabkan undi lebih bertambah kepada BN atau mengakibatkan kebencian terus meningkat dan sokongan makin terhakis?

Jika guru-guru terlibat dalam politik di luar waktu sekolah dan tidak menjejaskan tugas-tugas mengajar mereka, apa masalahnya kepada kerajaan?

Guru-guru berkhidmat kepada kerajaan atau kepada UMNO dan BN?

Bagaimana pula dengan guru-guru atau pegawai pendidikan daerah dan negeri yang taksub gila menyokong UMNO dan BN?

Apa hukuman untuk mereka? Di mana keadilannya?

Selain itu, bukankah Mahadzir Khalid sendiri adalah guru sebelum ini dan kerana penglibatannya dalam politiklah beliau dapat jadi Menteri Besar Kedah dan sekarang Menteri Pendidikan?

Ohhh....sebenarnya guru-guru memang dibolehkan menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan, tetapi pastikan ia hanya di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan saja.

Oleh itu...PRU 14 nanti, ubah jangan tak ubah. (ShahbudinHusin 27/03/2017).

NASIB BAIKLAH TAMRIN GHAFAR SUDAH KELUAR PAS....


Harus diakui bahawa Pas sejak kebelakangan ini terlihat semakin keliru, caca-marba dan tidak menentu dalam menentukan pendirian dan hala tujunya sendiri.

Sekejap macam dekat dan mahu bersama Najib Razak, UMNO dan BN, tetapi dalam masa yang sama cuba pula menjalin kerjasama dengan Bersatu.
Di ketika lantang meletakkan syarat bahawa sesiapa yang ingin bekerjasama dengan mereka mesti memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, sebaliknya di Selangor ia senang-senang bekerjasama membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan sambil mengutip laba jawatan sebagai Exco, dalam GLC negeri, ketua kampung dan macam-macam lagi.

Kukuh dengan pendirian bahawa perjuangan Pas bukan saja di dunia, tetapi yang lebih penting ialah akhirat, namun gagah juga mempertahankan mahu bertanding 70 kerusi tanpa rela diusik biar pun satu.
Kemudian, pernah juga Pas mengatakan mahu bertanding di seluruh negara, termasuk di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP.

Di ketika yang lain, Hadi Awang tidak segan-segan menyebut bahawa Pas tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO dan BN, cukup katanya sekadar dapat jadi penasihat saja.
Namun, tidak berapa lama kemudian, Hadi juga pernah berkata, Pas memang sudah lama membuka pintu untuk formula satu lawan satu bagi menumbangkan UMNO dan BN.

Di tengah-tengah antara mahu jadi penasihat dan bersama-sama ingin menjayakan formula satu lawan satu, ada juga terkeluar suara mahu jadi king maker antara BN dengan Pakatan Harapan.
Kemudian pula, sebagaimana yang tersebar videonya, Hadi mendedahkan Pas ingin mentadbir lima negeri melalui kerjasamanya  dengan UMNO.

Tak tahu kenapa dan meskipun seluruh Malaysia sudah menonton video tersebut, kata Hadi, beliau tidak pernah sama-sekali bercakap demikian. Allahu Akbar Tok Guru....

Terbaru ini, dilabelkannya  BN seperti biawak hidup.

Sampai hati betul Tok Guru ni...dah elok-elok pakai sedondon merah jambu, kemudian berpimpin tangan dengan Najib dan diberi ruang bekerjasama melalui Akta 355, alih-alih gelaran biawak hidup balasannya.
Yang marah dengan Pakatan Harapan sampai digelar biawak lagi besar pula, kenapa?

Bukankah ia bermakna di Selangor, Pas sama-sama biawak besar juga, kecuali jikaberani buat keputusan keluar dengan segera?

Keliru, caca-marba dan tidak menentu - itulah imej Pas sekarang ini. Tidak pernah ada mana-mana parti lain sepertinya. 

Nasib baiklah Tamrin Ghafar cepat-cepat keluar Pas, jika tidak rambut putihnya pun boleh jadi hitam semula sekarang ini. (ShahbudinHusin 27/03/2017).

Sunday, 26 March 2017

ANTARA TUN MAHATHIR DAN NAZRI, SIAPA YANG SEPATUTNYA LEBIH DULU BERTANYA SOALAN?


Menurut kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz, beliau mendiamkan diri ketika bertemu dengan Tun Mahathir Mohamad semalam kerana tidak ditanyakan sebarang soalan.


"Jadi saya hanya menunggu dia bertanya apa-apa kepada saya. Dia tak tanya dan saya tak mahu ganggu privasi dia sedang menikmati cendol.


"Sebagai penghormatan, saya hanya menunggu dia, (tetapi) dia tak bertanya," kata Nazri sebagaimana dipetik daripada sebuah portal berita.


Dalam ertikata lain, Nazri tidak sedia untuk berbual-bual atau bertanyakan sebarang soalan kepada Tun Mahathir, sebaliknya hanya menyediakan dirinya dengan jawapan semata-mata.


Ada Tun Mahathir bertanya soalan kepadanya, maka adalah jawapan keluar daripada mulutnya. Tiada soalan daripada Tun Mahathir, diam sajalah dia.


Begitukah yang sepatutnya?

Nazri berkata demikian sebagai menjawab sindiran Tun Mahathir yang menyebut dirinya hanya mendiamkan diri saja sepanjang kira-kira setengah jam pertemuan tersebut berlangsung.


Kata Tun Mahathir, "Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. 


"Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak... saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya."


Sekarang Nazri mengakui beliau memang hanya mendiamkan diri dalam pertemuan dengan Tun Mahathir itu, cuma beliau ada jawapannya yang tersendiri.


Tetapi jika kita imbas sebelum itu, Nazri menunggu selama kira-kira tiga jam di depan MRSM Kuala Kangsar bagi menanti ketibaan Tun Mahathir, meskipun beliau  sedia maklum majlis debatnya dengan bekas Perdana Menteri itu sudah pun dibatalkan kerana tidak diberikan permit oleh pihak polis.


Dillaporkan Nazri sengaja datang awal dan sanggup berada di bawah payung besar di tengah-tengah panas di depan MRSM semata-mata untuk menanti ketibaan Tun Mahathir dan bagi mengelakkannya daripada dianggap sebagai pengecut.


Kemudian, apabila mengetahui Tun Mahathir berada di kawasan Lembah Sungai Perak untuk menghadiri satu program lain anjuran Bersatu, Nazri bergegas ke sana untuk segera bertemu dengan lawan debatnya itu.


Mereka kemudian dipertemukan dengan duduk semeja sambil menikmati cendol dan laksa.


Berdasarkan rentetan itu yang menggambarkan keghairahan Nazri untuk bersua dengan Tun Mahathir, di samping kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas yang  boleh dianggap sebagai tuan rumah juga, siapakah yang sepatutnya lebih dulu memulakan bicara dan harus bersikap lebih peramah?


Kenapa hanya beliau yang menantikan soalan daripada Tun Mahathir dan tidak Nazri sendiri yang berani untuk mula menanyakan soalan?


Selain itu, buat apa beliau sanggup berpanas menunggu selama tiga jam dan kemudian bergegas ke kawasan Lembah Sungai Perak untuk bertemu Tun Mahathir jika akhirnya hanya menunggu saja Tun Mahathir bertanyakan soalan kepadanya?


Sekadar berani bercakap...itu Sungai Perak....buat apa? (ShahbudinHusin 26/03/2017).

DEBAT 7 APRIL DI SHAH ALAM NANTI, MASIH SESUAIKAH NAZRI MEWAKILI PENGUNDI PADANG RENGAS?


Walaupun  debat di MRSM Kuala Kangsar yang sepatutnya berlangsung semalam sudah lama dibatalkan kerana tidak diberikan permit polis, tetapi Nazri Aziz tetap di hadir dan menunggu kedatangan Tun Mahathir di situ. 


Beliau dilaporkan menunggu selama hampir tiga jam di perkarangan MRSM sebelum beredar menuju kawasan Lembah Sungai Perak setelah mengetahui Tun Mahathir ada di sana. 


Tun Mahathir berada di kawasan itu kerana menghadiri program lain anjuran Bersatu, di mana pada malamnya beliau turut ada program ceramah umum di Padang Rengas bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.


Kedua-dua mereka bertemu di Lembah Sungai Perak. Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir dan Nazri duduk bersebelahan sambil menikmati cendol dan laksa. Mereka juga kemudian bersama-sama meninjau kawasan Sungai Perak.

Namun seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal atas talian, Nazri tidak banyak berbual dengan Tun Mahathir, malah tidak memandang pun wajah bekas Perdana Menteri itu, meskipun duduk bersebelahan, menikmati laksa dan cendol serta berpeluang berjalan bersama-sama


“Hari ini dia (Nazri) bersungguh-sungguh nak jumpa dengan saya, saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila jumpa dekat tempat jual cendol, dia tak kata apa pun.


“Nak jumpa tapi tidak cakap, kenapa?


"Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. 


"Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak... saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya,” ujar Tun Mahathir ketika mengulas pertemuannya dengan Nazri semasa menyampaikan ceramahnya  di Kota Lama Kiri, malam tadi.


Sebelum itu, ketika berada di MRSM Kuala Kangsar untuk menunggu ketibaan Tun Mahathir, di sebalik seluruh dunia tahu debat sudah dibatalkan dan ditunda kepada 7 April depan di Shah Alam, Nazri berkata, beliau sengaja datang awal untuk mengelak dituduh pengecut untuk berhadapan dengan Pengerusi Bersatu itu.


Pelik juga Nazri ini...sanggup tunggu selama tiga jam dan tak mahu dituduh pengecut, tapi bila berpeluang berdepan dengan Tun Mahathir, tak pula mahu bercakap!

Tetapi, di sebalik pertemuan santai antara Tun Mahathir dan Nazri semalam, apa yang sangat ditunggu-tunggu dan diharapkan ialah agar debat pada 7 April nanti benar-benar menjadi kenyataan.


Dalam debat di Padang Rengas yang tidak menjadi kenyataan semalam, Nazri ditolak daripada mewakili UMNO atau kerajaan oleh Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO dan Johari Ghani, Menteri Kewangan Kedua.


Lantaran keliru dengan situasi tersebut, Nazri pantas memilih jalan tengah dengan mengatakan beliau adalah mewakili pengundi Padang Rengas sahaja.


Ketika itu, memang nampak ada asasnya Nazri berkata demikian, bukan saja kerana kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas, tetapi juga disebabkan lokasi debat itu sendiri diadakan di Padang Rengas.


Tetapi, pada 7 April nanti debat sudah dipindahkan ke Shah Alam, maka kali ini Nazri mewakili siapa pula?


Tentulah tidak logik lagi jika beliau mewakili pengundi Padang Rengas, sedangkan debat kali ini diadakan di Shah Alam. Pengundi Padang Rengas pun barangkali tidak mungkin ramai yangdapat hadir ke Shah Alam itu nanti.


Dibandingkan dengan Padang Rengas yang jauh di utara, Shah Alam lebih hampir dengan Putrajaya dan PWTC yang merupakan pusat kuasa kepada kerajaan dan UMNO.


Berbeza dengan Tun Mahathir, kalau pun tidak mewakili Pakatan Harapan, beliau tentu dipersetujui sebulat suara mewakili Bersatu yang dipengerusikannya.


Selain isu-isu yang didebatkan merupakan topik nasional, di samping Nazri adalah juga seorang menteri dan Ahli MT UMNO, jika UMNO dan kerajaan benar-benar jujur, kenapa tidak status beliau dalam debat di Shah Alam nanti segera diubah?

Adakah UMNO dan kerajaan sedia membenarkan Nazri mewakili mereka berikutan perubahan lokasi itu atau sekali lagi faktor keselamatan dan ketenteraman awam akan dijadikan alasan untuk membatalkannya?


Lebih-lebih lagi Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semalam dipetik sebagai berkata, pihak penganjur masih perlu memaklumkan kepada pihak polis mengenai penganjuran debat tersebut dan sehingga ini mereka belum lagi berbuat demikian.


Kebarangkalian lain ialah mungkinkah MT UMNO yang akan bermesyuarat hujung bulan ini akan memutuskan debat itu tidak perlu diadakan dan Nazri, tiada pilihan lain selain terpaksa akur saja dengannya? (ShahbudinHusin 26/03/2017).

Saturday, 25 March 2017

WAYANG DAN DRAMA PAS


Berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin Pas, jelas tergambar rasa kecewa mereka kerana gagal menjalin kerjasama dengan Bersatu di mana parti yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir itu terlebih dahulu memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Jangan salah faham, rasa kecewa itu sebenarnya bukanlah kerana Pas benar-benar ingin menjalin ikatan bersama Bersatu dengan matlamat untuk sama-sama menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN. Tidak sama-sekali.

Mereka kecewa kerana tidak dapat memerangkap Bersatu untuk terus melengah-lengahkan masa dalam perundingan yang boleh membuatkan Bersatu jadi terumbang-ambing tanpa sebarang keputusan sama ada menyertai Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan parti tersebut.

Jika masa dapat dilengah-lengahkan sehingga tarikh pilihanraya dan Bersatu masih duduk di tengah-tengah antara mahu bekerjasama dengan Pas atau Pakatan Harapan, malah terus berlaku caca-marba dalam pembahagian kerusi sehingga tarikh penamaan calon, yang paling beruntung tentunya ialah Najib, UMNO dan BN.

Maka, dengan berwatak seolah-olah bersama pihak pembangkang tetapi dapat menyebabkan Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, itulah kepuasan yang tiada tolok bandingnya bagi Pas yang dipimpin oleh kepimpinan yang ada sekarang.

Jangan lupa, Pas kini bukan lagi sama seperti Pas yang dipimpin oleh Fadzil Noor atau ketika Nik Aziz Nik Mat masih ada bersama mereka. Semua era itu sudah tinggal kenangan.

Namun, dengan Bersatu memutuskan untuk segera menyertai Pakatan Harapan serta menangguhkan sebarang hubungan dengan Pas sehingga Pas sendiri memutuskan pendiriannya, matilah segala langkah Pas untuk terus bermain wayang atau drama.

Sekarang ini, jika Pas mahu terus membantu UMNO, maka mereka perlu bergabung secara langsung dengan parti pimpinan Najib dan ia sudah tentu suatu keputusan yang akan ditolak oleh pengikut serta penyokong akar umbinya sendiri.

Kalau ingin juga bekerjasama dengan Bersatu atau Pakatan Harapan pula, kali ini Pas yang perlu datang kepada Bersatu atau Pakatan Harapan dan bukan lagi Bersatu atau Pakatan yang mencari Pas.

Ini sudah tentu agak memalukan Pas kerana di dalam Pakatan Harapan sudah ada DAP dan Amanah yang sudah diisytiharkannya sebagai musuh  sehingga ke liang lahad.

Bersendirian menghadapi pilihanraya pula bukan mudah bagi Pas, meskipun mereka selalu begitu sebelum ini. Lagi pun Pas tentu sudah menyelak-nyelak helaian sejarah pencapaian mereka sebelum ini. 

Ketika bersendirian, jangankan nak tawan Kelantan, kemampuan menang di peringkat Parlimen juga tidak pernah melebihi 15 kerusi. Jauh sangat dengan angan-angan nak menang 40 kerusi yang selalu didendang-dendangkan selama ini.

Jadi, apa pilihan Pas sekarang ini?

Di sebalik mengatakan kononnya gagah bersendirian, Pas kini terlibat banyak menyalahkan Bersatu atas kegagalan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama. Yang paling banyak dipersalahkan ialah Tun Mahathir sendiri.

Kononnya kerana beberapa tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itulah yang banyak menyulitkan rundingan. Tun Mahathir juga dipersalahkan kerana dikatakan mempunyai kuasa veto sedangkan hanya berjawatan Pengerusi dalam Bersatu. Dalam masa yang sama, Muhyiddin Yassin yang menjadi Presiden didakwa terlalu tunduk kepada Tun Mahathir.

Kenapa Pas cuba menyalahkan Tun Mahathir?

Kenapa mereka tidak menyalahkan diri sendiri berikutan sering mengeluarkan pendirian yang berbeza dan tak sekata? 

Kenapa,  sementara ada pemimpinnya  mahu bekerjasama, pemimpin yang lain pula tidak mahu sebarang bentuk kerjasama?

Mengapa Hadi tidak pernah hadir dalam sebarang perbincangan dengan Bersatu, dan jika pun pernah bersetuju untuk hadir pada peringkat awal, tetapi kemudian menukar pendirian di saat-saat akhir dengan hanya mewakilkan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man saja sedangkan Bersatu diwakili oleh Presidennya sendiri iaitu Muhyiddin?

Jenis apakah juga perundingan yang Pas mahu dengan Bersatu jika awal-awal lagi mereka sudah meletakkan syarat mesti memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah jika ingin bekerjasama dengan mereka?

Kenapa, dalam PRU 2013 lalu, Pas boleh menerima DAP dan menganggap kerjasama pelbagai kaum sebagai pelengkap untuk menjadi kerajaan di mana ia sama seperti dalam BN yang turut ada MCA dan MIC, namun kini semuanya jadi berbeza?

Sekarang, setelah segala-galanya berakhir dan Bersatu sudah pun menyertai Pakatan Harapan, kenapa Pas seolah-olah kecewa kerana gagal bekerjasama dengan banyak meletakkan kesalahan kepada Tun Mahathir?

Sekali lagi, Pas hanya cuba menunjukkan kepada pengikutnya di kampung-kampung yang sudah ditanam jiwa permusuhan dengan UMNO sejak sekian lama bahawa mereka memang ingin bekerjasama dengan Bersatu untuk sama-sama menumbangkan Najib, UMNO dan BN, tetapi terhalang disebabkan beberapa keputusan dan tindakan oleh Tun Mahathir.

Jika dulu, wayang dan dramanya dalam bentuk yang lain, setelah Pakatan Harapan kian besar kukuh dan dilihat satu-satunya alternatif bagi rakyat untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN, wayang dan drama mereka pastilah berbeza juga. 

Tapi, wayang tetap wayang dan drama tetap drama. Niat besarnya lebih untuk melihat Najib dan Rosmah terus kekal berada di singgahsana Seri Perdana. 

Kini semua kerja menyerang dan membalun Bersatu dan Tun Mahathir seolah-olah sudah menjadi kerja wajib bagi Pas, berbanding UMNO yang banyak beralih menumpukan kepada usaha-usaha memperkuat jentera untuk memenangi pilihanraya.

Inilah wayang dan drama terbaru Pas. Dalam riuh-rendah berceramah dan menyerang, sasarannya bukanlah Najib, UMNO dan BN.

Cuba kita ingat, bila kali terakhir Hadi, Nik Abduh, Takiyuddin, Nasharuddin Tantawi, Dr. Zuhdi dan lain-lain ada menyerang Najib, UMNO dan BN sepertimana bertihnya mulut mereka sekarang menembak Tun Mahathir, Bersatu, DAP, Amanah dan Pakatan Harapan?

Bermula dengan wayang dan drama dan mungkin kerana ada budi-budi yang telah diterima, maka sampai tamat jugalah dengan wayang dan drama hidupnya Pas ini. (ShahbudinHusin 25/03/2017).

KATA ORANG BERGELAR DR INI, TUN M LEBIH BAHAYA, BENARKAH KATA-KATANYA?


Kononnya kata orang ini, Tun Mahathir Mohamad mempunyai kuasa veto dalam Bersatu, meskipun hanya berjawatan sebagai Pengerusi sahaja.

Kata beliau lagi, kuasa veto yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri itu juga melangkaui kuasa Presiden yang disandang oleh Muhyiddin Yassin.

"Kalau lepas ini dia naik sekali lagi, apa yang akan berlaku saya tak tahu.

"Bukan 1MDB saja, 10MDB akan berlaku," ujarnya yang bergelar Dr di pangkal namanya.
Logikkah dakwaan beliau itu?

Tun Mahathir sudah pun berkuasa selama 22 tahun sebelum ini, sudah berapa banyak skandal secara langsung melibatkan dirinya yang mirip 1MDB pernah berlaku?

Pernahkah selama 22 tahun berkuasa, ada berbilion-bilion ringgit wang  ditemui dalam akuan bank peribadinya?

Adakah isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali bermewah bagai nak gila, naik jet merata dan enjoy membeli-belah keliling dunia?

Adakah juga anak-anak beliau, tanpa sebarang perniagaan yang diusahakan, tiba-tiba diketahui memiliki hartanah mewah ratusan juta di London dan Amerika?

Itu baru 7 tahun berkuasa?

Bayangkan jika dapat berkuasa dengan lebih lama atau sehingga 22 tahun tempohnya?

Jadi, antara Najib dan Tun Mahathir, siapa yang lebih bahaya kepada kita rakyat jelata yang subsidi turut ditarik satu demi satu serta dibebankan pula dengan GST, di sebalik ikan kembong pun sudah lebih RM20 sekilo harganya?

Rasanya kalau fikir guna kepala lutut pun mudah untuk kita dapat jawapannya? (ShahbudinHusin 25/03/2017).

Friday, 24 March 2017

RAMAI PULAK PAK LEBAI DALAM PKR....

Sejak Azmin Ali menukar gambar profil Twitternya kepada gambar berkopiah putih atau berimej  "pak lebai", beberapa pemimpin PKR juga didapati turut mengambil langkah yang sama.
Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr. Afif Bahardin dan Timbalan Pengarah, Majlis Sukan Selangor, Najwan Halimi adalah antara yang dikesan menukar gambar profil masing-masing di Twitter kepada imej "pak lebai".
Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar pula didapati gambarnya yang berjubah dan berkopiah putih dimuatkan oleh Najwan dalam Twitternya dengan tulisan "Solidariti bersama @Azmin Ali."
Siapa lagi pemimpin PKR yang akan bertukar kepada imej "pak lebai" selepas ini?

Tidakkah perubahan ini seharusnya sesuatu yang membanggakan dan adakah sesiapa yang terasa seperti disindir lagi? (ShahbudinHusin 24/03/2017).

APA DAN DI MANA SALAHNYA SINDIRAN AZMIN TERHADAP NIK ABDUH?


Marah benarnya nampaknya beberapa kumpulan anak muda dalam Pas kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berikutan sindiran yang ditulisnya melalui twitter terhadap Nik Abduh Nik Aziz.

Dalam tulisannya itu, Azmin menulis "Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur" sebagai reaksi kepada kenyataan Nik Abduh bahawa Pas mahu menawan Selangor dalam PRU 14 yang akan datang ini.

Mereka marah dan mengecam Azmin kerana menganggap beliau telah menghina Islam dan golongan agamawan melalui istilah tok lebai yang digunakannya, sementara yang lain mengatakan Menteri Besar Selangor itu seperti mencurahkan minyak kepada hubungan Pas-PKR yang sedikit bermasalah ketika ini.

Adakah Azmin salah dan di mana salahnya beliau dalam tweetnya itu?
Jika diperhalusi dan anak-anak muda Pas dapat bersikap rasional serta matang, tiada yang salahnya dalam tulisan Azmin itu.

Pertama, beliau hanya memberi reaksi kepada kenyataan Nik Abduh mahu merampas Selangor sedangkan Pas sudah berada dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri ketika ini.

Jika tindakan Azmin dianggap tidak wajar, apakah keceluparan Nik Abduh itu sesuatu yang wajar?

Yang kedua, di mana yang dikatakan Azmin menghina Islam dan golongan agamawan melalui istilah tok lebai yang digunakannya?

Bukankah tok lebai adalah panggilan biasa dalam masyarakat kita dan ia sudah diterima sebagai sebutan harian yang merujuk kepada mereka yang selalu berserban dan berkopiah putih?

Jadi, apa salahnya Azmin menggunakan istilah tok lebai dalam ayatnya "Ada tok lebai nak tawan Selangor"?

Berbanding ayat tok lebai yang ditujukan kepada Nik Abduh yang memang selalu berserban dan berkopiah putih, tidakkah kenyataan Ketua Pemuda Pas itu mahu merampas Selangor, lebih jelas salahnya dari segi etika di ketika Pas dan PKR masih duduk sebumbung dalam kerajaan negeri?

Yang ketiga, apakah sebenarnya yang membuatkan golongan pemuda Pas begitu tersinggung, lalu mengecam Azmin, adakah ia disebabkan istilah tok lebai yang digunakannya atau kerana beliau  menyebut "Kawasan sendiri pun kalah tersungkur"?

Apa pula salahnya Azmin menyebut mengenai kalah tersungkurnya Nik Abduh dalam pemilihan Pas kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini sedangkan ia adalah fakta yang benar dan kejadian yang sahih?

Dalam hal ini, golongan pemuda Pas seharusnya sedar mereka adalah sebuah parti politik yang tidak akan sunyi daripada serangan, kecaman atau sindiran pihak lain. Menyebut istilah tok lebai dan mengungkit kekalahan seseorang bukanlah besar sangat dosanya, kalau pun ia dikira perbuatan yang berdosa.

Tidak usah melatah berlebih-lebihan dan menunjukkan ketidakmatangan dalam berpolitik.

Apalah sangat istilah tok lebai yang disebut Azmin itu berbanding pelbagai gelaran yang lebih menyakitkan seperti kafir, munafik, assabiyah, taghut, barua dan macam-macam lagi yang pernah dilemparkan oleh Pas terhadap pihak lain yang tidak disenanginya?

Apakah hanya Pas yang boleh menuduh dan menggelar orang lain dengan macam-macam gelaran serta mengungkit perihal orang lain seperti kononnya Azmin jadi Menteri Besar pun atas bantuan Pas, sementara pihak lain mesti selalu menilai suci  dan "berbau syurga" kepada mereka?

Hakikatnya inilah satu lagi buruknya bila agama dijadikan sandaran dalam jual beli berpencak di pentas politik di mana panggilan tok lebai pun dianggap menghina Islam dan golongan agamawan sedangkan mereka  tidak sedikit pun rasa bersalah menuduh orang lain sebagai kafir, munafik, assabiyah, taghut, barua dan sebagainya. 

Lebih pelik, golongan yang dulu dituduh macam-macam itulah yang kini didekati dan didampingi dengan lebih akrab oleh Pas. (ShahbudinHusin 24/03/2017).

Thursday, 23 March 2017

JOM MASUK PERTANDINGAN....


Sementara santai-santai menunggu debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz pada 7 April depan dan tidak diketahui sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya, rakyat Malaysia kini dihidangkan pula dengan dua pertandingan menulis karangan atau esei oleh dua ahli politik.

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa yang dicabar oleh Lim Kit Siang agar menyamannya berikutan digelar bapa segala rasis, menganjurkan pertandingan itu untuk membantunya mendapatkan bukti-bukti yang menunjukkan adakah benar Ahli Parlimen Gelang Patah itu  seorang yang rasis, anti Islam dan dikenali selama 51 tahun sebagai diktator?

Kata beliau, tujuannya menganjurkan pertandingan itu ialah kerana mahukan orangramai membuat penyelidikan mengenai Lim Kit Siang memandangkan  beliau sendiri tidak mempunyai cukup masa untuk berbuat demikian.
Annuar menawarkan hadiah RM10 ribu kepada pemenang yang dapat menampilkan fakta dan bukti paling tepat dan menarik dalam karangan mereka.

Tarikh tutup pertandingan ialah 31 Mei dan penyertaaan boleh dihantar terus ke pejabat Ketua Penerangan UMNO di PWTC, Kuala Lumpur.

Susulan kepada pertandingan yang diinisiatifkan oleh Annuar itu, bekas menteri yang kini menjadi ahli DAP, Zaid Ibrahim turut tampil menganjurkan satu lagi pertandingan menulis karangan atau esei juga.

Menawarkan hadiah RM10 ribu, sama seperti yang diberikan oleh Annuar, tajuk karangan bagi pertandingan yang dianjurkan oleh Zaid ialah "Najib PM Paling Teruk" bagi negara ini.

Kata beliau, mereka yang menulis karangan mengenai Perdana Menteri dalam pertandingan yang dianjurkannya mestilah "jujur dan penuh tragis" dalam menggambarkan kegagalan dan sifat sebenar Najib memimpin negara.

Segala maklumat mengenai pertandingan itu, jelas Zaid, boleh diperolehi dengan mendaftar melalui email di carbofree@gmail.com.
Berikutan ada dua pertandingan ini, yang mana satukah paling menarik untuk disertai oleh rakyat Malaysia?

Anjuran Annuar Musa atau Zaid Ibrahim?

Pertandingan anjuran Annuar mungkin hanya bermanfaat untuk membantu beliau melaksanakan kerja-kerja penerangannya bagi menghadapi PRU 14 serta  melakukan kerja-kerja politik terhadap DAP dan  bukan sama-sekali untuk menyaman Lim Kit Siang.

Manakala bagi pertandingan yang dianjurkan oleh Zaid, ia barangkali amat berguna sebagai landasan bagi rakyat Malaysia meluahkan segala kemarahan, kekecewaan, sakit hati dan segala macam perasaan lainnya terhadap Najib.

Sambil-sambil marah, mungkin maki, keji, balun dan sebagainya, untung-untung dapat pula RM10 ribu sebagai ganjaran...siapa nak bagi?

Penulis, wartawan, blogger, malah pengomen-pengomen dalam blog atau portal, tentunya amat digalakkan menyertai salah satu atau kedua-dua pertandingan tersebut berdasarkan pilihan masing-masing. (ShahbudinHusin 23/03/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...