Monday 29 February 2016

ISYARAT UMNO MESTI DITUMBANGKAN DAN NAJIB WAJAR BERTAHAN SEHINGGA PRU 14

Bekas Perdana Menteri paling lama, Tun Mahathir Mohamad hari ini membuat keputusan yang mengejutkan iaitu sekali lagi keluar daripada UMNO sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Najib Razak.

Katanya, beliau terpaksa keluar UMNO kerana parti itu kini hanya digunakan untuk mempertahankan presidennya sahaja.

UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang dulu, saya tidak boleh lagi jadi ahli parti yang begini, kata Tun Mahathir lagi.

Pada 2008 lalu, Tun Mahathir juga meninggalkan UMNO sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tun Abdullah Badawi yang ketika itu sarat dibelenggu dengan masalah dan karenah  "budak-budak tingkat 4" dalam pentadbiran kerajaan.

Berikutan tindakannya itu, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum kemudiannya dan Tun Abdullah akhirnya setuju untuk berundur pada 2009. 

Sebaik saja Najib mengambil alih kelimpinan negara, Tun Mahathir turut kembali menyertai UMNO semula.

Selepas berbulan-bulan menekan dan mengasak Najib berundur berikutan isu skandal kewangan yang melibatkan dirinya, keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO kali ini tidak lain sebagai  isyarat bahawa beliau tidak lagi mahu menggunakan saluran parti itu dalam usahanya menyingkirkan Perdana Menteri.

Tun Mahathir melalui tindakannya ini dengan jelas mahukan UMNO dikalah dan ditumbangkan dalam pilihanraya umum akan datang yang akan diadakan kira-kira dua tahun daripada sekarang.

Sudah tentu dalam tempoh mulai sekarang hingga tarikh pilihanraya yang dijangka diadakan pada 2018 nanti, beliau akan terus bekerja kerja menjelalah ke seluruh negara bagi memastikan matlamatnya itu tercapai.

Secara langsung juga, Tun Mahathir sebenarnya mahu membuktikan siapa yang lebih diterima rakyat, sama ada dirinya atau pun Najib.

Maka, Najib seharusnya jangan mengalah dan teruslah memimpin UMNO dan negara sehingga keputusan pilihanraya diumumkan agar apabila tumbangnya UMNO dan BN nanti, namanya akan tercatat dalam sejarah sebagai punca runtuhnya sebuah kerajaan serta bakal menjadi sebutan anak cucu sehingga hari kiamat.

Oleh itu, siapa yang akan mengikut Tun Mahathir keluar UMNO tidaklah penting kerana yang jauh lebih mustahak ialah berapa ramai di kalangan rakyat dan pengundi yang sedia bersama-sama beliau dalam memastikan UMNO dan BN dapat dikalahkan dalam pilihanraya nanti.

Jika semasa beliau keluar UMNO pada kali pertama, keputusan pilihanraya merudum daripada 198 kerusi pada 2004 kepada 140 kerusi pada pilihanraya 2008, berbekalkan 133 kerusi pada 2013 lalu, berapakah yang tinggal pada 2018 nanti?

Di tangan rakyat dalam pilihanraya 2018 nantilah kata putus sama ada kerosakan yang sedang berlaku sekarang mahu terus dikekalkan atau dipulihkan secara total melalui pembentukan sebuah kerajaan baru. (SH 29/02/2016).

NAJIB AKAN 'DIBOM' LAGI ESOK DI KLIA?


Di bawah ini adalah antara petikan menarik yang dilontarkan oleh Muhyiddin Yassin dalam kenyataan medianya dua hari lalu sebaik saja MT UMNO membuat keputusan menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO yang disandangnya sehingga pemilihan 2018 yang akan datang.
Gambaran petikan itu seolah-olah dunia sudah terbalik di mana yang bersalah dan terpalit dengan skandal dipertahan dan dikekalkan, manakala yang menegur untuk kebaikan bersama, disingkir dan dibuang.

Esok 1 Mac pula, Muhyiddin akan kembali daripada luar negara dan dijangka tiba di KLIA pada jam 6.00 petang. 

Hebahan kepada rakan-rakan dan penyokong untuk menyambut kepulangannya sudah disebarkan sejak malam tadi dengan tujuan agar seramai mungkin dapat memberi sokongan terus menerus kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Apakah esok petang ada lagi "bom" yang akan dilemparkan oleh Muhyiddin khususnya tentang dana RM42 juta daripada SRC International, setelah dalam kenyataannya sebelum ini mengatakan telah ditunjukkan bukti oleh Gani Patail mengenai wujudnya perlakuan berunsur jenayah melibatkan Najib? (SH 29/02/2016).

Sunday 28 February 2016

DENGAN ALASAN PELIK SEPERTI INI, JANGAN-JANGAN...

Pendirian Hadi Awang enggan menghadiri perhimpunan anti Najib pada 27 Mac depan mungkin tidak begitu memeranjatkan, tetapi yang membuat ramai terpinga-pinga ialah alasan yang diberikannya.

"Saya anti UMNO, tetapi tidak anti orang UMNO. Orang UMNO kita hendak berbaik. Ada pun parti UMNO sudah banyak buat kesilapan, oleh itu saya tidak mahu terlibat dalam perhimpunan itu," katanya kepada akhbar Sinar Harian.

Lagu mana ni Tuan Guru? Hujah ini bukan saja kelihatan pelik, tetapi berbelit-belit?

Sejak bila Pas hanya memusuhi UMNO, tetapi ingin berbaik-baik dengan orang UMNO?

Tidakkah dalam fatwa dan ceramah-ceramahnya sebelum ini, semua ahli UMNO selalu dibakulkannya sekali dengan gelaran-gelaran seperti kafir, taghut, tidak Islamik dan macam-macam lagi?

Kenapa sekarang nampak tidak konsisten?

Orang UMNO yang mana pula yang Tuan Guru ingin berbaik-baik itu? 

Adakah ianya orang UMNO yang sedang memegang jawatan dan mengemudi parti, orang UMNO yang ada wang berbilion-bilion, orang UMNO peringkat bawahan, orang UMNO yang diperkatakan di seluruh dunia ada skandal di sana sini atau orang UMNO yang ingin menentang kemungkaran?

Bukankah apabila mengambil sikap anti UMNO, orang yang patut lebih dahulu dijauhi oleh Pas dan Hadi ialah para pemimpin tertingginya, apatah lagi jika pemimpin tersebut turut terpalit dengan skandal kewangan yang memalukan negara di mata dunia?

Adakah dengan pendirian ini bermakna Pas tidak lagi berjuang melawan kemungkaran, penyelewengan, salah laku, rasuah dan hal-hal berkaitan moral yang seumpamanya?

Selain itu, alasan Hadi tidak mahu menghadiri perhimpunan 27 Mac nanti kerana tidak anti orang UMNO juga tidak boleh pakai sebenarnya kerana dipercayai ramai ahli-ahli UMNO, termasuk Tun Mahathir Mohamad juga akan turut menghadirinya.

Tidak mustahil Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan lain-lain pemimpin UMNO  akan turut sama menghadirinya, selain sudah tentu ramai pemimpin daripada parti-parti pembangkang akan turut mengambil bahagian.

Tidak inginkah Tuan Guru berbaik-baik dengan Tun Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan lain-lain yang masih merupakan orang UMNO yang menyertai perhimpunan itu?

Tidak mahukah juga Tuan Guru duduk sebaris dengan pemimpin-pemimpin pembangkang dalam agenda menyelamatkan negara dan menolak pemimpin yang lebih banyak warna hitam berbanding putihnya?

Kalau benar ingin berbaik dengan orang UMNO dan masih teguh dengan perjuangan Islam, kenapa mesti memilih-milih untuk berbaik-baik?

Kalau boleh hadir berpakaian sedondon merah jambu dengan Najib sebelum ini, apa salahnya duduk bersebelahan dengan yang lain-lain pula?

Janganlah hanya memilih ingin berbaik atau berkawan dengan mereka yang berjawatan atau yang ada wang berbilion-bilion saja, takut nanti dikata orang dan dijadikan bualan...jangan-jangan sudah termakan dedak seperti ramai yang lain juga rupa-rupanya. (SH 28/02/2016).

DULU DI KEDAH, KINI SUDAH MEREBAK KE JOHOR


Satu-satunya pemimpin UMNO yang ternampak masih rasional dan berani mengakui wujudnya cabaran besar berikutan penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ialah Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.
Saya akui keputusan itu menjadi cabaran besar bagi kami di Johor dan saya percaya UMNO perlu bekerja lebih keras, katanya lagi.

Sementara yang lain masih khayal dengan kenyataan-kenyataan  ampu, bodek dan puji yang menggambarkan sudah "kenyang termakan dedak"  atau dengan harapan diberikan lebih banyak lagi "tambahan dedak" berbanding mahu melihat realiti yang sebenar di depan mata.



Hanya beberapa hari setelah penggantungan Muhyiddin, tanda-tanda cabaran besar yang dibimbangi Khaled itu sudah muncul di Johor dan dipercayai akan terus membesar dari semasa ke semasa.

Jika sebelum ini pengguguran Mukhriz Mahathir menyebabkan banyak lambang BN diterbalikkan di Kedah sebagai tanda protes, sekarang ini perkara yang sama sudah berlaku juga di Johor.
Sama seperti Kedah, perubahan mungkin semakin sukar dielakkan di Johor. Dengan pembangkang sudah mempunyai 18 daripada 56 kerusi DUN, segala-galanya tidak mustahil berubah dalam pilihanraya akan datang ekoran ketidakadilan yang dimangsakan terhadap Muhyiddin. (SH 28/02/2016).

KEKAL PUN TIDAK LAGI BERMAKNA, DIPECAT ADA JUGA BAIKNYA

Jika Muhyiddin Yassin tidak berani buat hal, takut dengan gertakan Tengku Adnan dan seterusnya kekal dalam UMNO:- 

- Jawatan Timbalan Presiden UMNOnya tetap digantung dan tidak mungkin dikembalikan lagi, sebaliknya Zahid Hamidi yang "enjoy free" dengan jawatannya itu.

- 99 peratus kebarangkalian tidak dicalonkan semula bertanding atas tiket UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

- Berjuang dalam UMNO sudah dikira tamat buat Muhyiddin kerana nilai perjuangan kini hanya jika sedia membodek, mengampu, memuji dan memuja, bukan lagi untuk menyatakan kebenaran.

- Kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh, tetapi tidak mustahil  jika ada pemakan dedak daripada kalangan bekas penyokong dan orang kuatnya sendiri yang akan mencabar beliau dalam pemilihan pada 2018 nanti dan seterusnya mampu mengenepikannya.

- Kalau pun masih berjawatan dalam UMNO, persoalannya di mana dan apa jadi kepada UMNO selepas PRU 14 nanti?

- Lebih mungkin berada dalam kategori RTM iaitu "rehat tunggu mati" dan perlahan-lahan akan dilupakan.

- Tidak akan berlaku sebarang reformasi institusi sebagaimana yang dicita-cita mahu diperjuangkannya, malah "diktator baru" seperti yang didakwanya akan terus berkuasa dalam negara ini.

Sebaliknya jika tidak gentar untuk melawan, berani buat hal dan sedia dipecat daripada UMNO:- 

- Akan terus disanjung rakyat dan dianggap pejuang dalam membetulkan beberapa kelemahan dalam pentadbran negara.

- Boleh memilih sama ada bergerak dengan identiti Bebas yang anti Najib, menubuhkan parti baru atau menyertai mana-mana parti politik lain yang sedia ada. Pokoknya sokongan rakyat sentiasa ada.

- Bila-bila masa boleh bertanding semula di Pagoh dan dengan sokongan pembangkang serta kesediaan mereka memberi laluan satu lawan satu dengan BN, harapan untuk kekal sebagai Ahli Parlimen tetap tinggi.

- Tidak mati dalam karier politik, malah jika kena gaya dan betul tawar-menawarnya, boleh kembali semula memegang jawatan dalam kerajaan baru untuk sama-sama memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam pelbagai institusi yang pernah dibangkitkannya.

- Sekiranya BN dapat dikalahkan dalam pilihanraya akan datang berikutan beban Najib yang tentunya kian memberat, silap-silap boleh memegang semula sebagai Timbalan Perdana Menteri atau jika nasibnya lebih baik, tidak mustahil melonjak sebagai Perdana Menteri sama ada dalam kerajaan baru atau melalui pembentukan sebuah kerajaan campuran.

Pilihan kini di tangan Muhyiddin untuk memikirkan sama ada mahu terus "hidup" dan diingati atau membiarkan dirinya "mati" begitu saja. (SH 28/02/2016).

Saturday 27 February 2016

AYUH MUHYIDDIN, MULAKAN GERAKAN RAKYAT SEKARANG JUGA

Kenyataan media Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatannya, Muhyiddin Yassin setelah MT parti bertindak terhadapnya sekurang-kurangnya menggariskan empat fakta penting:-

- perlunya reformasi institusi yang menyeluruh yang bertujuan menghadkan kuasa Perdana Menteri serta menjadikan beberapa institusi seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, PDRM dan BNM mampu berfungsi dengan bebas tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa.

- Najib Razak sedang menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik serta keruntuhan institusi demokrasi sedang menjadi tatapan dengan penggantian kemunculan seorang diktator baru.

- telah ditunjukkan bukti oleh bekas Peguam Negara, Gani Patail mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Najib dan ia sah merupakan satu perbuatan jenayah.

- keperluan mengenepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk satu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintergriti.

Kenyataan penuh Muhyiddin Yassin boleh dibaca di sini - https://goo.gl/ghPbjP.

Apa yang perlu  Muhyiddin lakukan selepas ini? Masih sesuaikah hanya dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja?

Sementara Muhyiddin sudah mula mengajak rakyat agar bangun menentang kezaliman dan kemungkaran, menuntut perubahan institusi, menggambarkan munculnya seorang diktator baru dalam negara serta mengesahkan perbuatan jenayah melibatkan seorang Perdana Menteri turut berlaku, tiada pilihan lain yang harus dilakukannya selain terus bergerak ke hadapan.

Bersama pelbagai kelompok lain yang juga mempunyai kebimbangan yang sama seperti parti-parti politik pembangkang, NGO serta disertai oleh Tun Mahathir Mohamad, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan lain-lainnya, Muhyiddin sudah sewajarnya menggerakkan program jelajahnya ke seluruh negara mulai sekarang untuk terus menekan dan mengasak Najib secara konsisten dan tanpa henti.

Gerakkanlah kekuatan "berani kerana benar"  yang selalu dilaung-laungkannya sehingga akhirnya bukan saja Najib dapat disingkirkan, bahkan yang lebih penting ialah impian mewujudkan sebuah negara baru dengan refomasi menyeluruh yang dicita-citakan itu.

Apatah lagi Rafizi Ramli sudah pun menghulurkan salam persahabatan kepadanya berikutan keinginan melakukan reformasi institusi itu. Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim juga turut menyebut perkara yang sama.

Jika sekadar mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja, tetapi jasad tetap terkepung di bilik berhawa dingin yang selesa, percayalah bahawa Najib akan terus tersenyum meskipun dilabel sebagai diktator baru atau dicop dengan perlakuan jenayah sekali pun.

Muhyiddin, mulakanlah sekarang dan berhentilah sekadar berpencak di pentas media saja!! (SH 27/02/2016).

WAYANG NAJIB KELUAR MESYUARAT

Sekonyong-konyongnya Najib Razak meninggalkan mesyuarat MT UMNO semalam kerana tidak mahu dirinya terlibat dalam membuat keputusan berhubung penggantungan jawatan Muhyiddin Yassin.

Sekonyong-konyongnya juga Zahid Hamidi turut keluar daripada bilik mesyuarat itu kerana sebab yang sama.

Lalu diserahkan pengendalian mesyuarat kepada Hishammuddin Hussein yang akhirnya menjadikan "orang Johor jadi kepala menggantung pemimpin Johor juga".

Tetapi yang mendapat manfaat secara langsung daripada penggantungan Muhyiddin sebagai timbalan presiden UMNO ialah Najib dan Zahid, manakala balanya terpaksa dipikul oleh Hishammuddin.

Yang paling terkesan, Hishammuddin akan berdepan dengan kebencian orang UMNO Johor sendiri selepas ini dan jika politik negeri itu terus bergolak, apatah lagi jika jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya akan datang, beliaulah yang paling diungkit kesalahannya.

Walaupun Najib cuba menunjukkan beliau tidak terlibat mahu dalam keputusan menggantung Muhyiddin itu, ia sebenarnya tidak bermakna apa-apa kerana Zahid juga "diajaknya" meninggalkan mesyuarat itu.

Dengan Hishammuddin, sepupu Najib yang mempengerusikan mesyuarat, keputusan yang berpaksikan "taat setia" dan "tidak derhaka"  tentunya sudah boleh dijangka.

Kenapa tidak dibiarkan Zahid terus berada dalam bilik mesyuarat dan mempengerusikan perbincangan?

Apakah Najib bimbang jika Zahid yang mempengerusikan mesyuarat, mungkin beliau dan Muhyiddin sama-sama akan digantung atas nama untuk menyelamatkan masa depan UMNO?

Adakah bibit-bibit curiga sudah mula bercambah dalam hati Najib?

Logikkah alasan bahawa oleh kerana kedua-dua mereka ada kepentingan di sebalik penggantungan Muhyiddin itu, maka Zahid perlu meninggalkan mesyuarat bersama-sama dengan Najib?

Sejak bila pemimpin UMNO takut kepentingan mereka diketahui umum?

Inilah wayang berbagai motif yang cuba dipentaskan Najib. Di sebalik kononnya tidak mahu terlibat dalam menggantung Muhyiddin dan memberikan kenaikan darjat kepada Zahid, Najib tidak berselindung mula menyimpan rasa curiga terhadap bekas Setiausaha Politiknya itu yang kini sudah menjadi orang nombor duanya.

Meskipun Zahid adalah bekas pegawainya, Najib barangkali tidak lupa bahawa timbalannya itu turut pernah meninggalkan Anwar Ibrahim yang lebih diidolakannya sebelum ini.

Memberi laluan kepada Hishammuddin mengepalai keputusan menggantung Muhyiddin, kepercayaan Najib jelas belum tertumpah kepada Zahid. (SH 27/02/2016).

Friday 26 February 2016

TAHNIAH BUAT ZAHID, PERMULAAN UNTUK MUHYIDDIN

Sebagaimana yang dijangka, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin akhirnya digantung jawatannya sehingga pemilihan akan datang.

Sehubungan itu, Ahmad Zahidi Hamidi diberi kuasa untuk menjalankan tugas timbalan presiden UMNO sepanjang penggantungan Muhyiddin itu.

Oleh kerana pemilihan UMNO sudah dianjakkan kepada 2018 dan sebelumnya pula pilihanraya umum ke 14 terpaksa diadakan, penggantungan ini bermakna telah "membunuh"  terus masa depan Muhyiddin bersama parti itu.

Dengan perkembangan yang sama, maka yang seharusnya diberikan ucapan tahniah ialah Zahid Hamidi kerana berjaya menaik setakuk lagi dalam perjalanan karier politiknya.

Sebagai pemimpin yang sama-sama berasal dari Perak, Zahid juga tentunya rasa terhutang budi yang amat sangat kepada Nazri Aziz atas cadangannya mengusulkan penggantungan Muhyiddin itu kerana dalam masa yang sama turut menyebabkan peningkatan kepada martabat dirinya secara percuma dalam hireaki UMNO.

Kepada Najib, situasi itu belum tentu memberi kekukuhan kepada kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku selepas penggantungan Muhyiddin ini, bersama-sama isu 1MDB, derma RM2,600 juta serta pelbagai siasatan oleh beberapa negara luar berkaitan syarikat pelaburan itu, ia tidak mustahil akan terus menjebaknya dalam kemelut kegersangan sokongan yang tidak berkesudahan.

Muhyiddin pula, walaupun hanya digantung jawatan tetapi masih kekal sebagai ahli UMNO,  berdiam diri saja selepas ini hanya akan menyebabkan masa depannya mereput begitu saja.

Melalui UMNO, masa depan Muhyiddin sudah boleh dikira berakhir mulai hari ini. Bukan saja harapan untuk kembali memegang jawatan tertinggi dalam parti itu tiada harapan lagi, bahkan sudah pasti UMNO tidak akan mencalonkannya lagi untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Pilihan selainnya kini adalah ditangan Muhyiddin. Jika kena gayanya, penggantungan ini boleh dijadikan permulaan kepada pembukaan lembaran baru dalam perjalanannya sebagai pemimpin dan ahli politik.

Yang penting, buatlah pilihan yang terbaik dan terus bergerak ke depan bersama-sama harapan rakyat yang secara umumnya begitu dahagakan perubahan.

Lagi pun, penggantungan ini hanya menjadikan kariernya melalui UMNO saja yang sudah berakhir, tetapi rakyat masih lagi menyokong serta menyukainya. 

Oleh itu, jangan teragak-agak membuat pilihan dan "lawan terus lawan" kiranya masih ada semangat dan cita-cita dalam diri. (SH 26/02/2016).

MUHYIDDIN DIGANTUNG, NAJIB ATAU ZAHID YANG UNTUNG?

Kemungkinan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatannya dalam mesyuarat MT petang ini semakin sukar dielakkan.

Selain Nazri Aziz yang berdegar-degar mahu membawa usul penggantungan itu, beberapa pemimpin yang lain juga nampaknya tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada cadangan itu.

Untungkah Najib Razak jika Muhyiddin digantung dan tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan UMNO?

Selain isu berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masih belum selesai, tidak dinafikan penggantungan Muhyiddin mungkin menyebabkan Najib lebih diserang, dikecam dan dibenci rakyat.

Dari segi UMNO, kalau pun tidak berpecah dua, penggantungan pemimpin nombor dua itu sedikit sebanyak akan menjadikan parti tambah bergolak dan menyukarkan lagi penyatuan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Dalam keadaan itu, Najib tentu akan terus cemas dan terumbang-ambing untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang berpihak kepadanya.

Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal tanpa ragu-ragu melihat tindakan menggantung Muhyiddin hanya untuk kepentingan pemimpin tertentu sahaja.

Dalam hal ini, seperti Shafie dapat merasakan penggantungan Muhyiddin bukan semata-mata untuk menyelamatkan Najib, meskipun luarannya seolah-olah begitu.

Untuk kepentingan siapakah penggantungan Muhyiddin itu jika bukan untuk mengukuhkan Najib?
Lihat...belum pun sah Muhyiddin digantung, siapa yang bakal untung sudah pun mula ditunjukkan secara terang-terangan.

Untung kepada Najib tidak pernah diperkatakan, tetapi rezeki kepada Zahid Hamidi awal-awal lagi sudah mula dikompangkan ke seluruh kampung.

Bagaimana jika dengan penggantungan Muhyiddin, kedudukan Najib terus lemah, goyang dan semakin sukar untuk menggapai kemenangan, tidak mustahilkah gerombolan yang sama yang menolak Muhyiddin ini akan melakukannya kepada Najib pula? (SH 26/02/2016).

Thursday 25 February 2016

SIAPA YANG BUAT TUDUHAN TAK BERASAS, TIDAK TERBUKTI DAN SIAPA YANG MEMALUKAN NEGARA?

Untuk kesekian kalinya, berkatalah lagi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan bahawa tuduhan yang berulang, tidak berasas dan tidak terbukti oleh The Wall Street Journal atau WSJ adalah bertujuan merosakkan nama Malaysia dan pembangunan ekonominya.

Sama seperti banyak kenyataannya sebelum ini, beliau nampaknya tidak menggunapakai otak kiri dan kanannya sebelum berkata-kata. 

Sebagai pemimpin, bukankah wajar beliau menilai dengan jujur terlebih dahulu tentang siapakah sebenarnya yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak terbukti itu dan siapa pula yang merosakkan nama negara dan pembangunan ekonominya?

Adakah ianya WSJ atau Najib Razak?

Apakah tuduhan WSJ berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak merupakan tuduhan yang tidak berasas dan tidak terbukti atau ia merupakan fakta melibatkan Perdana Menteri yang telah memalukan nama negara ke seluruh dunia?

Selain pendedahan pertama WSJ terbukti benar, mengapa dakwaan kedua WSJ bahawa wang tersebut bukannya datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, tetapi daripada pelbagai akaun berkaitan 1MDB, masih tidak berani disanggah oleh Najib yang selalu berbangga dengan darah Bugisnya?

Bagaimana jika WSJ mendedahkan bukti-bukti sokongan yang dimilikinya tidak lama lagi?

Adakah sekali lagi Abdul Rahman mahu menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas, tidak terbukti dan mahu merosakkan nama negara juga?

Dalam hal ini, antara WSJ yang mendedahkan kebenaran dengan Najib yang secara konsisten boleh dianggap terlibat dalam skandal kewangan paling besar, siapakah yang telah memalukan nama negara dan merosakkan pembangunan ekonominya?

Mengapa takut menyaman WSJ jika benar-benar yakin tuduhan akhbar perniagaan itu tidak berasas dan tidak terbukti?

Kepada Rahman, rakyat tidaklah sebodoh yang mungkin beliau fikirkan untuk menilai yang mana benar dan salah berkaitan wang tersebut.

Sebagai menantu kepada tokoh terkenal iaitu Prof. Dr Awang Had Salleh serta beliau sendiri seorang yang berpendidikan, sebaiknya berhentilah mengeluarkan kenyataan yang semata-mata untuk mengipas Perdana Menteri, sedangkan rakyat makin mahu "termuntah" mendengarnya. (SH 25/02/2016).

KENAPA MUHYIDDIN MESTI DIPAKSA UNDUR?

Tidak cukup dengan usaha yang nampaknya kembali rancak mahu menggantung jawatan atau keahlian Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin, terdapat juga antara pemimpin atasan parti yang mendesak beliau berundur daripada jawatannya.

Antara hujah mereka, jika ingin terus mengkritik Najib Razak selaku Presiden UMNO, Muhyiddin harus berundur kerana ia merosakkan parti dan memberi imej tidak baik kepada orangramai memandangkan peranan  orang nombor dua ialah membantu orang nombor satu.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh perwakilan, perlukah Muhyiddin didesak untuk berundur atau secara sukarela mengundurkan diri?

Kalau perwakilan yang memilih, bukankah hanya perwakilan juga yang boleh menggugurkannya?

Lebih tidak masuk akal bilamana yang membuat desakan itu antaranya ialah mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang seperti Nazri Aziz dan Azalina Othman Said.

Apakah mereka tidak faham undang-undang atau sengaja tidak mahu memahaminya?

Bagi Muhyiddin pula, apakah semata-mata kerana mengkritik Perdana Menteri, beliau mesti meletak jawatannya, tambahan lagi teguran yang dibuatnya bukanlah sesuatu yang palsu dan direka-reka?

Terdapatkah klausa dalam Perlembagaan yang mengatakan bahawa Timbalan Presiden tidak boleh mengkritik Presiden dan jika ingin menegur juga, maka haruslah berundur terlebih dahulu?

Adakah membantu Presiden hanya dalam bentuk puji-pujian, bodek dan kipas saja?

Tidakkah menyatakan kebenaran juga merupakan suatu bentuk bantuan, malah lebih ikhlas berbanding bodek, kipas dan puji-pujian?

Kemudian mereka yang sama juga mencabar Muhyiddin agar melawan Najib bagi jawatan Presiden UMNO jika tidak boleh lagi menerima kepimpinan Perdana Menteri.

Bagaimana Najib mahu dicabar kedudukannya jika tarikh pemilihan sudah dilewatkan sehingga ke tahun 2018?

Kalau benar-benar ingin melihat Muhyiddin bertanding jawatan Presiden UMNO melawan Najib, bukankah mereka seharusnya membuat desakan secara beramai-ramai agar pemilihan parti dipercepatkan tarikhnya?

Tetapi, memandangkan pemilihan UMNO sudah dilewatkan tarikhnya kepada 2018 dan tiada pula usaha mahu mempercepatkannya, adakah sepanjang tempoh itu Muhyiddin harus berdiam diri saja jika satu demi satu "kemungkaran" berlaku di depan mata?

Sama ada mahu melihat Muhyiddin terus bising atau didiamkan, ia akhirnya terletak pada keberanian Najib dan ahli- ahli MT UMNO untuk memutuskannya.

Kiranya mempercepatkan tarikh pemilihan pun tidak berani, janganlah marah jika Muhyiddin terus bising di sana sini. (SH 25/02/2016).

Wednesday 24 February 2016

DRAMA MAKIN MENARIK...

Wow...sungguh menarik apabila Tun Mahathir Mohamad mengambil sikap enggan menjawab secara spesifik soalan-soalan polis terhadapnya dengan alasan ingin menjawabnya secara penuh di mahkamah nanti.

Ini baru betul, mahkamahlah tempat paling unggul mencari kebenaran di dunia ini.
Wow...wow...tambah menarik apabila Tun Mahathir juga menyatakan kesediaannya untuk ke penjara berikutan kritikan berterusannya terhadap Najib Razak serta perjuangannya demi rakyat.

Jika kita hulurkan kepala, kita akan kena pancung. Jika hidup saya berakhir dalam penjara...okay saja, kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
Wow...wow...wow...ini lagi menarik. Apakah berjirannya Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim di penjara bakal menjadi saksi mata rakyat Malaysia  suatu hari nanti?

Cuma....yang mungkin tak menariknya ialah masih menjadi pertanyaan ramai, beranikah Najib dan Peguam Negara mengheret Tun Mahathir sampai ke peringkat itu? (SH 24/02/2016).

MAHKAMAH SEPATUTNYA DIBENAR BERSIHKAN NAJIB, BUKAN PEGUAM NEGARA

Walaupun sukar mengharapkan Panel Penilaian Operasi SPRM ini mampu merubah keadaan, keazaman mereka untuk terus berkeras agar Perdana Menteri, Najib Razak didakwa di mahkamah berhubung skandal kewangan yang melibatkan dirinya, sekurang-kurangnya menyedarkan kita tentang prinsip keadilan.

Sebagai rakyat biasa, kita selalu didendangkan bahawa mahkamah adalah tempat paling mulia mencari keadilan di dunia ini.

Tetapi, mengapa Najib dielakkan untuk dibawa ke mahkamah dengan keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara saja, meskipun dilaporkan SPRM telah mencadangkan tiga pertuduhan terhadapnya?

Lebih dari itu, Peguam Negara, Apandi Ali bukan saja menolak inisiatif bantuan undang-undang bersama atau MLA digunakan bagi memperolehi dokumen di luar negara, bahkan turut mengarahkan SPRM menutup terus kes yang kemudiannya menimbulkan pertikaian ramai tentang bidang kuasanya.

Dengan Panel Penilaian Operasi bertemu hari ini untuk membuat gesaan pendakwaan terhadap Najib, yang mungkin juga kali terakhir memandangkan spekulasi hangat mengatakan perkhidmatan mereka tidak diperlukan lagi selepas ini berikutan masih tiada surat lanjutan perkhidmatan yang diterima, tidak disangkal ini merupakan satu lagi bukti bahawa SPRM memang ada mencadangkan pertuduhan tersebut.

Bukankah lebih baik dari segi kacamata rakyat dan penilaian antarabangsa jika Najib juga diberi ruang membersihkan namanya di mahkamah dan  bukan semata-mata oleh Peguam Negara?

Setidak-tidaknya setelah melalui proses mahkamah, Najib boleh lebih berbangga bahawa beliau sedia melalui segala proses yang terbuka untuk membersihkan dirinya. (SH 24/02/2016).

Tuesday 23 February 2016

SOALAN-SOALAN UNTUK NAJIB


Adakah menjadi kesalahan bagi Muhyiddin Yassin bersuara di luar, selain daripada dalam mesyuarat MT UMNO?

Apakah Muhyiddin, walaupun masih berjawatan nombor dua dalam parti, tetapi telah digugurkan daripada kedudukan dalam kerajaan, hanya perlu diam dan tidak perlu lagi berkata apa-apa, terutama membuat teguran kepada pemimpin, parti dan negara?

Apakah Muhyiddin hanya boleh bercakap dan bersuara dalam mesyuarat MT UMNO saja, tetapi tidak dalam program-program parti dan kemasyarakatan yang lain?

Jika Muhyiddin hanya boleh bercakap dalam mesyuarat atau dalam perjumpaan tertutup kepada ahli-ahli UMNO sahaja, mengapa beliau dilarang merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu?

Mengapa juga mesyuarat pelbagai jawatankuasa yang biasa dipengerusikannya sebelum ini atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO, turut dibekukan sebaik jawatannya dalam kerajaan dilucutkan?

Berbanding Muhyiddin yang bercakap dengan ikhlas, jujur serta dengan niat menegakkan kebenaran, apakah ia lebih buruk daripada pemimpin-pemimpin UMNO lain yang berbunga-bunga memuji Perdana Menteri, tetapi semuanya adalah pujian palsu terutama berkaitan wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang secara umumnya budak-budak sekolah pun benar atau salah mengenainya?

Apakah jika ingin mengkritik dan memperkatakan sesuatu kebenaran, ia mesti dilakukan dalam mesyuarat MT saja, manakala jika ingin memuji, menggilap dan melambung Perdana Menteri, ia sebebasnya boleh dilakukan secara terbuka?

Demi keadilan, bukankah jika mengkritik secara terbuka tidak dibenarkan, maka memuji secara terbuka, lebih-lebih lagi pujian yang menyebabkan rakyat tertawa mendengarnya, seharusnya dianggap tidak beretika juga?

Akhirnya, jika Najib dapat memberi jawapan yang meyakinkan kepada semua persoalan ini, maka dipersilakanlah, terutama sempena sudah 40 tahun usianya bersepak-terajang dalam politik, sama ada menggantung jawatan, menggantung keahlian atau memecat terus keahlian Muhyiddin dalam mesyuarat MT akan datang ini. 

Nota: Tukang kipas, kaki bodek, pengampu, penerima dan pengharap dedak juga dipersilakan untuk tolong jawab bagi pihak Najib yang mereka kasihi itu. (SH 23/02/2016).

BAEEKKK PUNYA LAMBUNG!!

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa menyifatkan Perdana Menteri, Najib Razak seorang pemimpin yang memiliki ramuan lengkap yang diperlukan untuk terus mentadbir parti dan negara serta sama sekali bukan seorang "penyamun" seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh politiknya.

Malahan, tegas  Ahli Parlimen Ketereh dan bekas menteri itu, keyakinan terhadap Perdana Menteri masih kukuh untuk terus menguruskan negara, ekonomi dan parti keramat UMNO.

"Najib memiliki segala "ingredients"  untuk melakukannya.

"Saya tidak fikir Najib seorang watak "penyamun"  seperti yang cuba digambarkan atau beliau seorang yang mencari jalan nak menghancurkan UMNO bila naik jadi presiden....tidak," katanya lagi.

Ulasan Annuar mengenai watak "penyamun"  yang sering dikaitkan dengan Najib tidak lain tentunya berkaitan dengan wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang mengalir masuk ke akaun peribadinya, tetapi telah dibersihkan oleh Peguam Negara sebagai tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Selain derma berbilion ringgit yang dikatakan daripada keluarga Diraja Arab Saudi itu itu masih menimbulkan banyak misteri, yang lebih menjadi "lawak antarabangsa"  ialah bila Najib dikatakan tidak mengetahui dana RM42 juta yang diterimanya itu datang daripada SRC, sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

Orang kata, inilah kelebihan pemimpin veteran bila berkata-kata. Hujah dan cara mereka berbicara serta melontarkan idea untuk menggembirakan "boss yang berkuasa" memang tak terlawan dek pemimpin-pemimpin muda.

Seolah-olah tidak memperdulikan segala fakta berkaitan dengan isu wang tersebut yang telah menyebabkan gelaran "penyamun" itu memenuhi seluruh cakrawala dunia dan begitu melekat dengan Najib, yang penting ialah Perdana Menteri yang boleh memberikan banyak kenikmatan di dunia, harus disokong dan dipertahankan sebaik-baiknya.

Dulu Salleh Said Keruak sudah berkali-kali melakukannya dan akhirnya diberikan jawatan menteri, apa pula agaknya "hadiah misteri" yang bakal menanti Annuar selepas ini? (SH 23/02/2016).

Monday 22 February 2016

NAZRI PERTAHAN NAJIB ATAU MAHU MENAMBAH KESELESAAN BUAT ZAHID?

Tiba-tiba saja Nazri Aziz bersuara bahawa beliau akan mencadangkan penggantungan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dalam mesyuarat MT akan datang berikutan tindakannya yang dilihat berterusan mengkritik kepimpinan Najib Razak.

Beliau yang menyifatkan tindakan Muhyiddin sebagai melampau, turut menggesa agar bekas Timbalan Perdana Menteri itu segera meninggalkan parti jika sudah tidak mahu bersama kepimpinan sedia ada.

Yang menjadi persoalan, kenapa kritikan cuba dibalas dengan ancaman penggantungan? Apakah ruang untuk berkata benar sudah tertutup dalam UMNO sekarang ini?

Tidak bolehkah persoalan-persoalan yang dibangkitkan Muhyiddin yang sebenarnya juga merupakan pertanyaan paling bersarang di kepala rakyat, dijawab dengan tenang dan dengan jiwa yang lapang?

Apatah lagi, Nazri yang berlatarbelakangkan seorang peguam, seharusnya lebih arif bahawa hujah seharusnya dilawan dengan hujah, fakta mesti ditundukkan dengan fakta dan soalan semestinya dibalas dengan jawapan.

Apakah ancaman penggantungan yang disuarakan Nazri itu menunjukkan kepimpinan sedia ada tidak mampu lagi berlawan hujah dengan Muhyiddin dan menjawab persoalan yang ada di fikiran rakyat?
Mengapa pula Nazri mahu mencadangkan penggantungan Muhyiddin sedangkan pada Oktober 2015 lalu, beliau bertegas akan mempertahankan kedudukan Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam UMNO sehingga pemilihan akan datang?

Sebagai parti yang sudah menyambut ulangtahun ke 70, UMNO harus mempunyai ruang yang cukup untuk perbezaan pendapat dan menerima kritikan, demikian Nazri dilaporkan sebagai berkata pada 30 Oktober 2015 lalu yang menggambarkan keterbukaan dan kematangannya.

Sehubungan itu, beliau juga dipetik akan melakukan apa saja untuk mempertahankan kedudukan Muhyiddin sehingga pemilihan seterusnya yang mana ketika itu, menurutnya,  Zahid lebih berpeluang mengambil alih jawatan tersebut.

Mengapa pendirian Nazri mengenai Muhyiddin boleh berubah dalam tempoh yang tidak terlalu lama?

Mengapa dulu matang dan terbuka, kini sudah jadi sebaliknya?

Ohhh...sebelum terlupa, Nazri juga adalah satu-satunya ahli MT UMNO yang pernah membuat kenyataan terbuka akan menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri sekiranya Najib mengundurkan diri.
Saya penyokong Zahid, beliau Timbalan Perdana Menteri dan beliau juga akan jadi Perdana Menteri, kata Nazri sebagaimana yang pernah disiarkan oleh portal Malaysiakini.

Mengapa hanya Nazri yang bercakap soal pengunduran Najib dan Zahid sebagai penggantinya, tetapi tidak oleh pemimpin-pemimpin yang lain?

Apakah dengan berubah mahu mencadangkan Muhyiddin digantung kedudukannya, ia bertujuan mempertahankan Najib atau untuk menyediakan laluan  lebih selesa bagi Zahid jika sesuatu berlaku kepada kedudukan Perdana Menteri? (SH 22/02/2016).

JIKA BOLEH SABAR, TUNGGULAH PRU 14...JIKA TIDAK, MULAKAN DENGAN 27 MAC NANTI

Antara ayat-ayat candu yang dilafazkan Najib Razak sempena memperingati 40 tahun penglibatannya dalam politik, Sabtu lalu ialah, "Ayahanda saya membina UMNO dan takkan saya menjadi anak yang menghancurkan UMNO"  dan "saya seorang yang penyabar tapi jangan melampaui batas."

Selain dedak, mungkin ada yang terus terkhayal serta percaya dengan kata-kata itu, tetapi realitinya UMNO dan negara sedang menuju kehancuran di bawah kepimpinan Najib yang terlalu banyak masalah dan karenah peribadi sejak menjadi Perdana Menteri.

Tidak seperti beberapa Perdana Menteri terdahulu yang turut tidak terlepas daripada krisis dan masalah, tetapi beban mereka hanyalah berkaitan kepimpinan serta masalah politik dan bukannya tentang skandal peribadi yang kemudian seluruh negara dipaksa memikulnya.

Oleh itu, jika Najib mengatakan beliau seorang yang penyabar tetapi jangan melampaui batas, yang perlu beliau sedari juga ialah kesabaran rakyat pun ada had dan sempadannya.

Berbanding Najib, jika dinilai sejak 2009 lagi, kesabaran rakyat melihat pelbagai karenah yang ditimbulkannya dalam negara ini, ternyata amat mengkagumkan dan layak  diberikan "anugerah sabar peringkat dunia".

Tetapi, adakah rakyat boleh selamanya sabar, sabar dan sabar saja?

Bagi yang sudah lama "sesak dada" dan "sakit mata"  melihat pelbagai permasalahan dalam negara yang ditimbulkan oleh Najib, namun masih ingin bersabar, mereka mungkin boleh menunggu tarikh PRU 14 untuk menunjukkan hilangnya sabar itu di peti-peti undi.

Berbekalkan penolakan yang sudah ada sebanyak 52 peratus, kiranya penolakan itu dapat ditingkatkan sehingga ke tahap 60 atau 65 peratus, menyimpan kesabaran selama ini tentunya amat berbaloi.

Namun, bagi yang tidak boleh bersabar lagi, mereka boleh memulakan langkah pertama  menghilangkan sesak di dada pada 27 Mac depan nanti.
Tarikh 27 Mac itu, sesuai dengan kelapangan masa Tun Mahathir Mohamad, dicadangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim untuk rakyat berhimpun secara aman menyatakan penolakan terhadap kepimpinan Najib.

Kepada yang tidak mahu terus bersabar sehingga PRU 14 dua tahun lagi, harus mengambil peluang menyertai perhimpunan itu nanti sebagai tanda pemberitahuan kepada Najib bahawa jika beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri, keadaan negara akan bertambah buruk dan majoriti rakyat tidak mahu lagi memberi sokongan kepadanya.

Jika rakyat pelbagai lapisan boleh turun beramai-ramai dalam perhimpunan itu dan ia pula dapat diadakan secara konsisten di pelbagai tempat, mungkin setiap dua minggu atau sebulan sekali, pasti ia merupakan isyarat yang mudah untuk difahami oleh Najib sendiri.

Dalam hal ini, Tun Mahathir bukan saja menyatakan beliau belum berputus asa dalam usaha menyingkirkan Najib, malah dalam pertemuan dengan Mahfuz Omar baru-baru ini, turut meminta semua parti menggembleng tenaga serta mengenepikan perbezaan ideologi bagi menyelamatkan negara ini.

Akhirnya, ia terpulang kepada kita, jika boleh bersabar lagi, tunggulah tarikh PRU  14 nanti,  tetapi jika sudah mula hilang sabar, mulakanlah langkah pertama pada 27 Mac depan ini. (SH 22/02/2016).

Sunday 21 February 2016

ALAMAKKK.......

Tidak cukup dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)  yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan berkaitan kandungan jelik di internet, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan mencadangkan undang-undang baru digubal bagi membolehkan penulis blog mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau KKMM.

Katanya, langkah itu sebagai usaha mengekang penulisan tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah, selain bertujuan untuk memastikan mutu penulisan dalam laman blog atau pengguna laman sosial dibuat secara betul, sah, beretika dan tidak menyalahgunakan kemudahan internet.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ( Akta 588), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah pun mempunyai dua peruntukan penguatkuasaan berhubung kandungan internet iaitu Seksyen 211 (Larangan terhadap pemberian kandungan jelik) dan Seksyen 233 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll).
Melalui kedua-dua seksyen itu, sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Apakah masih tidak cukup dengan dua seksyen tersebut untuk mengawal serta mengawasi penulis blog dan pengguna laman sosial?

Dalam keadaan yang lain, sekatan terhadap blog juga sudah biasa dilakukan oleh SKMM terhadap beberapa laman yang dianggap melanggar undang-undang.

Oleh itu, dengan segala undang-undang sedia ada,  apa perlunya lagi dikuatkuasakan peraturan agar mereka mendaftar dengan KKMM?

Apakah kerana UMNO dan kerajaan kerapkali tewas dalam persaingan di internet, maka undang-undang itu mahu diwujudkan?

Tidakkah ini bertujuan mengekang lagi kebebasan bersuara rakyat setelah sebelum ini Peguam Negara turut bercadang mengetatkan undang-undang Akta Rahsia Rasmi atau OSA sehingga hukuman penjara seumur hidup terhadap mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan serta media yang melaporkannya?

Apa sudah jadi dengan negara ini dan di mana lagi letaknya kebebasan rakyat dalam bersuara?

Jika semua mahu dikekang, apa lagi yang tinggal?  (SH 21/02/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...