Saturday 30 August 2014

Peringatan Untuk Najib - Lebih Separuh Sentimen Ahli UMNO Sokong Mahathir


Meskipun tindakan Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya merupakan pukulan paling berbisa kepada Najib Razak sepanjang lebih lima tahun pemerintahannya, Perdana Menteri masih lagi memikir-memikir apa langkah yang mahu diambil seterusnya.

Sambil enggan mengulas panjang mengenai beberapa kritikan Mahathir terhadapnya, Najib hanya menyatakan pemimpin UMNO menyokong barisan kepimpinan sedia ada, di samping menghormati Mahathir sebagai seorang negawaran kanan negara. Ia seolah-olah memberi maksud bahawa Najib tidak peduli dengan sebarang teguran selagi pimpinan UMNO bersama dengannya.

Beliau juga belum pasti sama ada akan menemui Mahathir secara peribadi atau tidak, sebaliknya hanya menyatakan tidak menolak kemungkinan akan berbuat demikian.

Tambah Najib lagi, "apa-apa kemungkinan boleh berlaku, tetapi kita anggap ini sebagai masalah dalaman parti dan harap dapat menguruskannya dengan sebaik-sebaiknya".

Reaksi Najib ini muncul setelah beliau dilaporkan memanggil Ketua-Ketua UMNO ke kediamannya untuk mendapatkan sokongan dan sebagai percubaan terus meminggirkan Mahathir yang mula tidak sehaluan dengannya.

Selain beberapa pemimpin kanan UMNO sebelum ini sudah menyatakan sokongan terbuka kepada Najib, bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam juga turut bersuara dengan menyatakan Mahathir sebenarnya tidak akan duduk diam sehingga seorang Perdana Menteri yang benar-benar sehaluan atau "klon Mahathir" muncul mentadbir negara ini.

Mengimbas kembali pertelingkahan Mahathir dengan beliau, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi yang semuanya berakhir dengan penyingkiran, Musa Hitam juga percaya episod Mahathir dengan Najib ini menjurus kepada pengakhiran cerita yang sama.

Bagaimanapun jika Najib memandang ringan teguran Mahathir dengan berbangga sokongan bulat daripada pimpinan UMNO yang diterimanya tidak mungkin menggugat kedudukannya, beliau mungkin silap kali ini. Memang benar, mereka yang bergelar pimpinan utama di peringkat bahagian menyokongnya tetapi sentimen ahli adalah sebaliknya.

Memandangkan teguran-teguran Mahathir berkaitan ISA, Ordinan Darurat, masalah ekonomi, kaum, agama dan sebagainya adalah juga keresahan majoriti ahli UMNO peringkat bawahan dan pertengahan terhadap kepimpinan Najib yang boleh didengari di mana-mana, tidak dapat dinafikan apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri ini bakal menghakis lagi sokongan arus bawah terhadap Perdana Menteri.

Harus diakui majoriti ahli UMNO tidak setuju dengan penghapusan ISA kerana ia dianggap seperti kerajaan membuang senjatanya sendiri manakala meniadakan Ordinan Darurat pula menjadikan penjenayah bebas berkeliaran. Kelemahan Najib dalam menguruskan isu berkaitan kaum dan agama sehingga timbul beberapa ketegangan turut merimaskan kebanyakan ahli UMNO dan mereka kini merindui semula ketegasan Mahathir sepanjang 22 tahun memerintah negara sebelum ini.

Selama ini, mungkin sudah banyak perkara itu cuba diluahkan, sama ada dalam mesyuarat cawangan atau bahagian tetapi ianya tidak diendahkan kerana keinginan pimpinan bahagian memperlihatkan sokongan yang padu kepada Perdana Menteri. Tetapi apabila Mahathir menyuarakannya, semangat ahli bawahan kini melonjak kerana suara mereka yang selama ini terperam di bawah sudah mulai sampai ke telinga Putrajaya.

Sudah tentu yang mendapat keuntungan ialah Mahathir. Masalah yang dibangkitksn Mahathir dalam tegurannya kepada Najib juga sebenarnya bukanlah masalah dalaman UMNO tetapi berkaitan cara menguruskan negara. Walaupun menjadi kesukaan Najib menangguhkan penyelesaian masalah dengan menyapunya ke bawah karpet dan menjadikan permukaan seolah-olah bersih, beliau tidak harus lagi sekadar diam dengan teguran Mahathir ini.

Teguran Mahathir memperlihatkan semua masalah yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan Najib yang secara umumnya menjadikan beliau tidak layak lagi mentadbir negara ini. Tafsiran daripada tindakan Mahathir ialah Jika Najib terus dengan gayanya sekarang memimpin negara ini, lebih banyak masalah dan kemusnahan akan berlaku.

Oleh itu, Najib mesti menyatakan sama ada beliau sedia berubah sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahathir dan dituntut oleh majoriti ahli UMNO itu. Jika sedia untuk berubah, bersedialah untuk bertemu dan mendengar rungutan seorang 'bapa' serta kemudian mencari persefahaman dengannya.

Jika dengan mula mengumpul Ketua-Ketua UMNO dan meminta sokongan pelbagai pihak sebagai isyarat Najib sedia untuk "berperang" dengan Mahathir dan tidak mahu mendengar sebarang teguran lagi, beliau juga harus lebih berani dengan tampil secara terbuka menyanggah hujah-hujah bekas Perdana Menteri itu sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abdullah Badawi dahulu.

Tetapi sebelum itu haruslah juga disedari bahawa bergaduh adalah kegemaran Mahathir kerana ianya adalah terapi yang sering menjadikan beliau lebih sihat, aktif dan bertenaga. (SH 30/08/2014)

Friday 29 August 2014

Apa Kata Pas Calonkan Dr Wan Azizah, Balasannya PKR Pula Serah Pengkalan Kubor


Perbalahan Pas dengan PKR mengenai calon Menteri Besar Selangor masih lagi berlarutan. Sementara isu yang sama melibatkan PKR dengan DAP sudah pun selesai dengan kata putus kedua-dua parti hanya mencalonkan nama Dr Wan Azizah Wan Ismail saja, Pas masih lagi berpusing-pusing keputusannya.

Setiap kali bermesyuarat, hasilnya hanya membuahkan keputusan yang berbeza-beza.

Sehingga 3 September ini iaitu tarikh akhir yang diberikan oleh Istana Selangor, siapa calon yang bakal dinamakan oleh Pas seperti belum pasti dan masih kabur lagi.

Hari ini, di ketika Anwar Ibrahim sendiri meminta Pas mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 17 Ogos lalu yang menyetujui hanya satu nama dikemukakan kepada Sultan Selangor, Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali bertegas mengatakan dua nama akan dikemukakan oleh parti itu untuk mengelakkan Sultan Selangor seperti dipaksa memilih hanya satu nama saja.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula segara membalas, kenapa baru sekarang Pas memikirkan soal memaksa ini sedangkan ketika bersetuju menghantar hanya nama Khalid Ibrahim saja kepada Sultan Selangor selepas pilihanraya umum 2013 lalu, Pas tidak pula memikirkan perkara yang sama.

Sementara Pas menyatakan ia masih mah kekal dalam PR, dalam masa yang sama, ia juga tetap tidak setuju hanya satu nama dikemukakan kepada Sultan Selangor dan tetap mahukan dua nama.

Siapakah dua nama itu? Apakah Dr Wan Azizah masih menjadi pilihan Pas? Dan jika Presiden PKR itu masih merupakan pilihan pertama, siapa calon kedua pilihan Pas juga masih lagi misteri. Apakah Azmin Ali yang sudah menolak pencalonan sebelum ini akan dikemukakan sekali lagi atau Pas akan menamakan Adun PKR yang lain sebagai pilihan kedua?

Selain dilihat seperti tidak sekata dengan PKR dan DAP dalam pencalonan Menteri Besar Selangor, Pas juga cuba menyiku PKR dalam isu penentuan calon pilihanraya kecil Pengkalan Kubor yang bakal diadakan tidak lama lagi dengan secara terbuka menyatakan hasrat mahu bertanding di kerusi itu.

Alasan Pas ialah jika calon parti mereka diletakkan di kerusi itu, harapan untuk menang jauh lebih cerah lagi, selain mengatakan kerusi Pengkalan Kubor itu sebenarnya hanya dipinjamkan saja kepada PKR sebelum ini.

PKR pula dalam masa yang sama tetap berkeras mahu bertanding di Pengkalan Kubor atas alasan mereka yang bertanding dalam pilihanraya lalu, walaupun menyedari kekalahan 1763 undi bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhadapan dengan UMNO dalam sebuah pilihanraya kecil yang tentu saja sarat dengan pelbagai pemberian, serangan serta jentera pilihanraya pihak lawan.

Tinjauan rambang dengan beberapa pihak juga mengakui, walaupun dalam pilihanraya umum lalu, PKR yang bertanding di kerusi itu, tetapi dalam pilihahraya kecil ini harapan untuk menang lebih terbuka jika Pas yang meletakkan calon untuk berhadapan dengan UMNO berbanding dengan PKR.

Ada dakwaan lain mengatakan, ahli PKR yang berdaftar juga hanya ratusan orang saja jumlahnya di Pengkalan Kubor dan untuk menubuhkan jentera pilihanraya saja akan menimbulkan masalah jika tanpa bantuan atau sokongan daripada Pas yang mempunyai ahli dan penyokong lebih ramai.

Meskipun PKR yang bertanding di Pengkalan Kubor dalam pilihanraya lalu dan tindakan menyerahkan kepada Pas pula untuk meletakkan calon seperti PKR beralah dengan Pas, namun demi untuk mencapai kemenangan dan merampas kerusi tersebut daripada UMNO, ia dikira pertimbangan yang munasabah.

Apatah lagi kebetulan penentuan calon Pengkalan Kubor ini berlaku ketika isu Menteri Besar Selangor masih belum selesai, apa salahnya jika PKR dan Pas dapat mencapai persetujuan menang-menang dalam kedua-dua isu ini iaitu dengan PKR meminta Pas hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid Ibrahim dan sebagai imbalannya, PKR menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada Pas untuk meletakkan calonnya.

Daripada membiarkan isu Menteri Besar Selangor ini terus berlarutan dan menimbulkan ketidak-tentuan, apa salahnya jika kedua parti itu segera mencapai kata sepakat mengenai situasi menang-menang ini. Akhirnya PKR dapat ketusi Menteri Besar Selangor dan Pas pula dapat kerusi Pengkalan Kubor.

Ini mungkin pilihan yang bukan saja boleh menyejukkan semula hati Pas dan PKR yang menaik suhunya ketika ini, tetapi juga untuk menjamin Pakatan Rakyat terus segar dan bernyawa untuk menghadapi pilihanraya akan datang. (SH 29/08/2014)

Thursday 28 August 2014

Kalau Hantar 1 Nama Dianggap Biadap, Tidakkah Beri 3 Nama Seperti Perli Sultan Pula?


Kemelut Menteri Besar Selangor terus membuatkan Pas jadi kalut dan caca-marba. Bukan saja perbalahan antara golongan ulama dan profesional makin ketara, bahkan Pas juga terus berpusing-pusing pendiriannya mengenai calon yang harus dinamakan untuk menggantikan Khalid Ibrahim.

PKR yang sepatutnya berpecah dengan isu ini tetapi berjaya membendungnya sehingga akhirnya Khalid Ibrahim tinggal keseorangan dan akur untuk berundur, sebaliknya Pas pula yang semakin melebar rekahan perpecahannya.

Jika sebelum ini Pas mahu Khalid dikekalkan, kemudian setuju pula Khalid digantikan dengan dua nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali, selepas itu mahu menyerahkan kepada Sultan pula berdasarkan kebijaksanaan istana membuat pilihan, yang terbaru ini Pas mahu menghantar tiga nama pula.

Selepas pulang daripada luar negara baru-baru ini, Sultan Selangor pada dasarnya sudah bersetuju dengan penggantian Menteri Besar apabila menerima perletakan jawatan Khalid, tetapi menangguhkannya sehingga pemegang jawatan baru itu dilantik.

Sehubungan itu, baginda telah menitahkan agar setiap parti dalam PR iaitu PKR, Pas dan DAP menghantar dua nama bagi memudahkan baginda membuat pilihan.

PKR dan DAP bagaimanapun bertegas hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal, bukan saja berdasarkan amalan yang dilakukan di Selangor pada tahun 2013 tetapi juga kerana menjadi kebiasaan dilakukan di mana-mana negeri sebelum ini.

Tindakan PKR dan DAP itu bagaimanapun diselar dan dikecam oleh banyak pihak sebagai perbuatan biadap dan derhaka kepada titah Sultan. Ada pula yang berkata, apa agenda kedua-dua parti itu berkeras mahukan hanya Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor?

Yang lain pula bertanya, kenapa susah sangat PKR dan DAP memberi lebih daripada dua nama sebagaimana yang dikehendaki oleh Sultan?

Sebagaimana yang disebut dalam blog ini semalam, mencalonkan hanya satu nama tidak seharusnya dianggap perbuatan biadap atau derhaka kerana berdasarkan konvensi serta tafsiran undang-undang yang bersandarkan amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pihak yang mendapat majoriti hanya perlu mencalonkan satu nama saja.

Pas yang masih belum membuat pendirian mengenai siapa yang mahu dicalonkan, bagaimanapun sekali lagi membuat parti itu menjadi bahan perbualan ramai apabila Setiausaha Agungnya, Mustaffa Ali memberitahu malam tadi bahawa parti itu akan mencalonkan tiga nama yang akan dihantar kepada istana sebelum 3 September ini.

Namun demikian, katanya, ketiga-tiga nama itu adalah daripada PKR dan bukannya daripada Pas kerana masih berpegang kepada persetujuan sebelum ini bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Daripada Sultan Selangor hanya meminta dua nama, Pas sebaliknya begitu pemurah sehingga mahu mencalonkan tiga nama pula.

Jika PKR dan DAP yang tidak mahu memberi dua nama serta bertegas dengan satu nama saja dianggap oleh banyak pihak sebagai biadap dan derhaka kepada Sultan, tidakkah memberi tiga nama ini semacam Pas sedang menyindir baginda pula?

Kalau Sultan dan minta dua nama, beri sajalah dua. Bukankah itu tanda taat dan patuh kepada titah baginda?

Mengapa perlu sampai tiga nama?

Susah sangatkah mencalonkan dua nama saja sebagaimana yang diminta? (SH 28/08/2014)

Wednesday 27 August 2014

Apakah PKR dan DAP Derhaka Kepada Sultan?


Tindakan PKR dan DAP mengumumkan secara bersama keputusan parti itu yang bertegas hanya mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai bakal Menteri Besar Selangor secara umumnya menimbulkan dua tanggapan umum. Pertama, mengenai PKR dan DAP yang dianggap biadap serta derhaka kepada titah Sultan Selangor yang mahukan lebih dua nama dan yang kedua, ia menunjukkan Pas sudah mula ditinggalkan dalam gabungan PR dan apakah nasib parti itu seterusnya?

Mengenai persoalan pertama, apakah benar PKR dan DAP biadap dan derhaka?

Walaupun PKR dan DAP mewajarkan tindakan mereka mencalonkan hanya nama Dr Wan Azizah dengan mengepilkan salinan surat daripada istana mengenai proses perlantikan Khalid Ibrahim pada 2013 di mana ketika itu Sultan meminta dikemukakan empat nama tetapi tetap setuju dengan pemilihan Khalid walaupun hanya satu nama yang dipersembahkan.

Maka, berdasarkan konvensi itu serta hakikat bahawa Dr Wan Azizah sudah mempunyai sokongan majorit 30 Adun, maka PKR dan DAP mengekalkan hanya nama Presiden PKR itu saja, meskipun Sultan Selangor menitahkan agar setiap prti mengemukakan dua nama bagi pertimgangan baginda.

Dari segi politik adu-domba, tentu saja tindakan PKR dan DAP itu boleh ditafsirkan sebagai biadap dan derhaka kepada Sultan tetapi berdasarkan undang-undang dan perlembagaan, Sultan juga tertakluk untuk mempersetujui mana-mana nama yang dipersembahkan oleh kumpulan yang memperolehi sokongan majoriti.

Baik dalam pemilihan Perdana Menteri atau Menteri Besar di negeri-negeri lain pun, biasanya hanya satu nama saja yang dikemukakan. Tidak pernah dua nama sekaligus dibawa untuk pertimbangan Sultan atau Raja sebelum ini untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar.

Memang ada kes seperti di Perlis, Raja tidak bersetuju dengan Shahidan terus dipilih sebagai Menteri Besar dan di Terengganu pula, Sultan tidak setuju dengan Idrus Jusoh sebelum ini. Tetapi nama baru iaitu, Isa Sabu di Perlis dan Ahmad Said di Terengganu, hanya dikemukakan setelah sah adanya penolakan daripada istana. Shahidan dan Idris tersingkir hanyalah kerana UMNO pula tidak berani bertegas mempertahankan pendirian asalnya.

Bagaimanapun, UMNO pernah juga bertegas dalam dalam hal ini. Di Negeri Sembilan misalnya, Isa Samad pernah ditolak oleh Yang Dipertuan Negeri sebagai Menteri Besar tetapi ketika itu Tun Ghafar Baba segera menemui istana dan mempertahankan pencalonan Isa sambil mengingatkan bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, nama yang dikemukakan oleh UMNO dan BN yang sudah memiliki majoriti tidak boleh ditolak sama-sekali.

Akhirnya Isa Samad berjaya menjadi Menteri Besar selama lebih 22 tahun di Negeri Sembilan.

Soal sama ada tindakan PKR dan DAP ini biadap atau derhaka kepada Sultan atau tidak, ia sebenarnya hanyalah persepsi saja. Teti mencalonkan hanya satu nama bukanlah asing dan diluar amalan sebelum ini. Oleh kerana nama Dr Wan Azizah sudah dikemukakan oleh pihak yang mempunyai sokongan majoriti, terserahlah kepada Sultan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Jika Sultan menolaknya, mereka boleh memilih untuk mencalonkan nama lain atau bertindak tegas sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun Ghafar itu.

Dalam masa yang sama, Sultan juga secara konvensinya tidak boleh menerima nama lain yang bukan dicadangkan oleh pihak yang mempunyai majoriti kerana boleh ditafsirkan bertentangan dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan selama ini iaitu calon Menteri Besar mestilah dipilih melalui nama yang dikemukakan oleh pihak yang mempunyai majoriti.

Kiranya Sultan memilih Adun Pas pula sebagai Menteri Besar tetapi tidak mendapat persetujuan PKR dan DAP yang mempunyai majoriti, ia mungkin pula berhadapan dengan usul undi tidak percaya dalam DUN yang selewat-lewatnya akan diadakan November ini. Jika itu berlaku, pertukaran Menteri Besar terpaksa dilakukan sekali lagi.

Mengenai persoalan kedua pula, PKR dan DAP nampaknya sengaja meninggalkan Pas dalam membuat ketetapan mengenai isu ini untuk melihat apakah pendirian parti itu seterusnya. Jika Pas turut mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama bersama nama lain sebagai pilihan kedua, ia bermakna Pas juga telah bersetuju dengan pemilihan Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Kiranya itu pencalonan yang akan dibuat oleh Pas, ia secara langsung memudahkan Sultan membuat pilihan kerana secara logiknya ketiga-tiga parti mahukan Dr Wan Azizah.

Tetapi jika Pas membuat ketetapan lain daripada itu, bukan saja Pas berisiko diketepikan dalam susunan Exco kerajaan negeri, bahkan juga mungkin ditendang daripada PR jika akhirnya Sultan akur dengan calon pilihan PKR dan DAP yang jelas memiliki sokongan majoriti itu.

Pas memang nampak tersepit dalam keadaan ini. Menolak mencalonkan Dr Wan Azizah amat mengundang bahaya kepada masa depan parti itu iaitu mungkin dikeluarkan daripada PR dan akan kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya akan datang. Husam Musa sudah mengingatkan sebelum ini bahawa tindakan yang boleh menyebabkan Pas terkeluar daripada gabungan bersama PKR dan DAP akan menyebabkan perjalanan parti itu berundur selama 30 tahun ke belakang.

Jika Pas akur pula mencalonkan Dr Wan Azizah, meskipun ianya memudahkan lagi penyelelesaian kemelut ini sedangkan sebelum ini berdolak-dalik dengan terakhir menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan, maka sekali lagilah Pas membuat U turn.

Sesuai dengan amalan demokrasi dan prinsip Raja Berperlembagaan, penyelesaian terbaik ialah dengan menghormati pilihan majoriti atau serahkan kembali mandat kepada rakyat membuat penentuan. Amatlah tidak kena ketika penyerahan mandat semula kepada rakyat tidak mahu dilakukan, suara majoriti juga tidak mahu dihormati. (SH 27/08/2014)

Tuesday 26 August 2014

Yang Penting Khalid Akhirnya Letak Jawatan, Tiada Pilihanraya Dan MB Tetap Dari PR


Dalam episod yang semakin menuju jalan ke penghujungnya, Khalid Ibrahim akhirnya akur untuk meletakkan jawatan. Setelah sedar majoriti tidak lagi memihak kepadanya, beliau akhirnya menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor, petang tadi.

Bagaimanapun baginda menangguhkan untuk menerima perletakan jawatan Khalid itu sehingga penggantinya dilantik.

Dalam memutuskan pengganti Khalid Ibrahim pula, Sultan Selangor akhirnya menitahkan agar setiap parti dalam PR iaitu Pas, PKR dan DAP mengemukakan dua nama untuk dicadangkan sebagai Menteri Besar yang baru. Baginda sebenarnya tidak menolak nama Dr Wan Azizah secara mutlak, cuma hanya mahukan lebih daripada satu nama dikemukakan bagi memudahkan membuat pilihan.

Melalui keputusan meminta setiap parti mengemukakan dua nama ini juga bermakna tiada pilihanraya negeri akan diadakan di negeri Selangor. Baginda nampaknya amat memahami tentang tiada keperluannya mengadakan pilihanraya negeri serta mahu menyerahkan kembali kerusi Menteri Besar ini kepada PR yang memperolehi majoriti sokongan Adun dalam pilihanraya lalu.

Yang penting di sini, selain Khalid akhirnya akur untuk meletakkan jawatan, tiada pilihanraya negeri akan diadakan dan PR mendapat kembali kerusi Menteri Besar Selangor yang bagaikan terlepas daripada genggamannya sejak Khalid diisytiharkan sebagai Adun Bebas.

Dengan titah Sultan Selangor yang mahukan setiap parti mengemukakan dua nama, terserahlah kepada Pas, PKR dan DAP menentukan pilihan mereka.

Jika dikira daripada keputusan sebelum ini, PKR dan DAP tentulah akan meletakkan nama Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama. Pilihan kedua pula mungkin Azmin Ali atau lain-lain Adun yang difikirkan sesuai kerana tiada kata putus mengenai pilihan kedua itu.

Pas pula, jika diambil kita keputusan mesyuarat pada 17 Ogos lalu, sudah tentulah parti itu akan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan Azmin sebagai pilihan kedua.

Tetapi jika diambil kira tindakan U turn yang dibuat dalam mesyuarat AJK Pas semalam yang menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat pilihan, pilihan Pas kini sudah jadi terbuka.

Pas kini boleh mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan Azmin sebagai pilihan kedua atau boleh juga meletakkan Azmin sebagai pilihan pertama dan Dr Wan Azizah sebagai pilihan kedua.

Pas juga boleh meletakkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan kedua atau Azmin sebagai pilihan pertama dan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan kedua.

Jika Pas sampai hati, mereka juga boleh mencalonkan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan pertama dan kedua dan mengenepikan sama-sekali menamakan calon daripada PKR tetapi jika tindakan itu dibuat ia tentunya bermakna Pas secara nyata memungkiri janjinya sendiri sebelum ini yang menyatakan tidak akan menuntut jawatan tersebut daripada PKR.

Namun, melihat beberapa U turn yang dibuat oleh Pas sebelum ini, tidak mustahil parti itu sekali lagi melakukannya. Kata orang yang biasa bergelumang dalam dunia politik, semua boleh jadi dan serba mungkin dalam dunia politik ini, lebih-lebih lagi yang melibatkan perebutan kuasa dan ia tidak mengira sama ada Islam atau pun bukan Islam.

Bagaimanapun, apa yang nyatanya dengan tindakan Sultan Selangor meminta setiap parti menghantar dua nama, ia adalah ujian kepada kesepakatan dan semangat berpegang pada janji antara parti-parti dalam PR. Siapa yang bakal dipilih oleh Sultan nanti memanglah menjadi hak baginda tetapi ia juga akan menyerlahkan sejauh mana kesepakatan dan bersatu hatinya Pas, PKR dan DAP dalam mengemukakan nama calon Menteri Besar ini kepada baginda.

Apakah Pas, PKR dan DAP akan bersatu hati memilih Adun yang sama sebagai pilihan pertama dan kedua atau nama-nama yang dikemukakan nanti menjadi caca-marba? (SH 26/08/2014)

Monday 25 August 2014

Kalau Pandu Kereta, Mesti Tahu Ke Mana Nak Dituju Dan Jangan Selalu U Turn


Keputusan mengenai kemelut kerusi Menteri Besar Selangor dijangka akan diketahui dalam sehari dua ini. Sultan Selangor ketika ini dipercayai sedang mendapatkan pelbagai nasihat tentang keputusan terbaik yang bakal dilakukan oleh baginda sebelum dijangka menemui Khalid Ibrahim dan juga Dr Wan Azizah pada hari esok.

Khalid Ibrahim hari ini sudah pun mengesahkan beliau akan mengadap Sultan Selangor pada hari esok iaitu Selasa manakala Anwar Ibrahim pula membayangkan Dr Wan Azizah akan dipanggil mengadap selepas pertemuan Sultan Selangor dengan Menteri Besar itu.

Sama ada Sultan Selangor akan menerima perletakan jawatan Khalid, bersetuju dengan pembubaran DUN yang dijangka banyak pihak akan disyorkan oleh Menteri Besar, menerima Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru, mahukan PR mengemukakan calon lain atau apa saja, semuanya dijangka akan diketahui dalam sehari dua ini.

Tetapi ketika semua orang begitu teruja dan dan tertunggu-tunggu apakah yang bakal terjadi di Selangor ini, Pas hari ini sekali lagi membuat pusingan U dalam isu Menteri Besar ini.

Dalam mesyuaratnya hari ini, Pas memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat keputusan, selain memaklumkan 13 Adunnya tidak akan menandatangani akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru.

Jika diimbas daripada awal, Pas sebenarnya sudah beberapa kali membuat pusingan U.

Pada mulanya Pas mahu Khalid terus dikekalkan sebagai Menteri Besar dengan hujah tiada sebarang pengkhianatan kepada rakyat yang telah dilakukannya selama mentadbir Selangor sejak lebih enam tahun yang lalu. Rakan gabungannya, PKR dan DAP yang telah bersetuju dengan pertukaran Khalid mulai pening dengan pendirian Pas itu.

Apatah lagi, Pas juga kemudiannya menangguh-nangguhkan tarikh mesyuarat daripada 10 Ogos kepada 13 Ogos, selepas itu kepada 17 Ogos pula.

Ketika itu berbagai jangkaan muncul. Ada yang meramalkan Pas akan terus kekal dengan pendiriannya menyokong Khalid dan memungkinkan terbentuknya kerajaan perpaduan antara UMNO, Pas dan Khalid di Selangor. Yang lain pula menjangkakan Pas akan akur dengan semangat kebersamaan bersama PKR dan DAP dalam PR yang selama ini banyak memberi manfaat kepada parti itu.

Msyuarat Pas pada 17 Ogos itu akhirnya memutuskan untuk menolak Khalid dan menerima Dr Wan Azizah sebagai penggantinya bersama pilihan calon kedua iaitu Azmin Ali. Pas juga menyatakan ikrar untuk terus komited bersama PR melawan UMNO dan BN serta menyediakan pilihan kerajaan alternatif yang meyakinkan untuk rakyat.

Pendirian Pas itu pada umumnya diterima baik oleh semua pihak, walaupun mungkin agak mengecewakan bagi UMNO yang mengharapkan bibit-bibit perpecahan akan terus merekah dalam PR.

Apabila Azmin Ali kemudiannya menolak pencalonan kerana akur dengan keputusan partinya yang hanya mencalonkan Dr Wan Azizah, mesyuarat Majlis Pimpinan PR akhirnya akur untuk menerima dan mencalonkan Dr Wan Azizah sahaja sebagai calon tunggal bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Sosek-sosek kekecewaan sesetengah pihak dalam Pas jelas kedengaran selepas itu sehingga ada yang menggelarkan wakil Pas yang hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR itu sebagai "ayam daging" dan bukan lagi "ayam sabung" yang berani mempertahankan keputusan parti sendiri.

Walaupun Pas telah bersetuju menolak Khalid dan berikrar mahu kekal dalam PR, parti itu kemudiannya berdolak-dalik berhubung keperluan memberi sokongan secara hitam putih melalui akaun bersumpah kepada Dr Wan Azizah yang telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan PR pada petang 17 Ogos lalu dan memaklumkan perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat pada 25 Ogos.

Pas dalam mesyuaratnya hari ini, 25 Ogos akhirnya memutuskan tidak akan menandatangani akaun bersumpah itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor membuat keputusan.

Walaupun Dr Wan Azizah sudah mempunyai sokongan majoriti 30 Adun, keputusan Pas hari ini jika difahami seperti memberi maksud bahawa meskipun tetap menolak Khalid Ibrahim tetapi juga tidak menerima Dr Wan Azizah. Pas seperti tetap mahukan nama Azmin dalam pertimbangan Sultan sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini atau barangkali juga Pas mengharapkan Adunnya pula dipilih menjadi Menteri Besar.

Daripada menyokong Khalid, kemudian menolaknya bermakna Pas sudah membuat sekali pusingan U sebelum ini. Menerima Dr Wan Azizah sebagai calon pilihan bersama Azmin Ali tetapi berdolak-dalik untuk menandatangani akuan bersumpah semata-mata kerana tiada nama Azmin dicalonkan sedangkan Azmin sendiri secara sukarela menolaknya, bolehlah pula dianggap sebagai perbuatan mencari-cari simpang untuk membuat pusingan U.

Apabila hari ini Pas membuat pendirian menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Selangor membuat keputusan sambil tidak mahu menandatangani akaun bersumpah, sahlah Pas membuat pusingan U sekali lagi.

Bukankah lebih mudah jika sejak awal lagi Pas berpendirian menyerahkan saja pengganti Khalid ini kepada kebijaksanaan Sultan Selangor tanpa perlu sekejap menyokong Khalid, sekejap yang lain menolaknya, sekejap tidak mahu Dr Wan Azizah, sekejap setuju Dr Wan Azizah dan akhirnya menyerahkan pula kepada pertimbangan Sultan Selangor.

Persefahaman dan pendirian dalam perjuangan seharusnya seperti kita membawa kereta. Apabila kita mula menghidupkan enjin kereta, kita mesti tahu ke mana tujuannya. Setelah tahu tujuannya, teruskanlah perjalanan itu sehingga sampai ke matlamat yang mahu dituju.

Tidak perlu menoleh-menoleh mencari simpang dan membuat banyak pusingan U sedangkan tempat yang hendak dituju tidak berapa jauh di depan mata. Jika kerap menoleh-noleh memandang simpang dan membuat pusingan U, bukan saja membuatkan penumpang tidak senang, malah juga melambatkan perjalanan.

Kiranya Pas sudah memutuskan untuk terus kekal bersama PR dan menjadi alternatif kepada UMNO dan BN terutamanya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, matlamat ke arah itu hendaklah kukuh dan muktamad. Tidak perlu ragu-ragu. Bagaimana Pas menyatakan ingin terus bersama PR tetapi enggan mematuhi keputusan mesyuarat PR sendiri.

Kekerapan membuat pusingan U bukan saja melambatkan perjalanan, malah juga berisiko terlibat dalam kemalangan yang akhirnya memungkinkan langsung tidak sampai ke destinasi yang mahu dituju. (SH 25/08/2014)

Sunday 24 August 2014

Di Selangor Belum Selesai, Perbalahan Pas Dan PKR Merebak Ke Pengkalan Kubur Pula


Menjelang Sultan Selangor bakal membuat keputusan untuk menyelesaikan kemelut pertukaran Menteri Besar dalam waktu yang terdekat ini, rupa-rupanya masih ada yang belum selesai mengenainya. Keputusan Majlis Pimpinan PR pada 17 Ogos lalu yang akhirnya menetapkan hanya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim, seperti tidak dipersetujui oleh Pas apabila 13 Adunnya enggan menandatangangi akuan bersumpah mengenainya.

Pas dilaporkan enggan menandatangani akuan bersumpah yang menyokong Dr Wan Azizah sebagai satu-satunya calon Menteri Besar dan mahu memutuskannya dalam mesyuarat ahli jawatankuasanya pada esok, 25 Ogos.

Sebagaimana yang dilaporkan media dalam talian, Pas sebelum ini bersetuju Khalid digantikan dan telah menyetujuinya dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Azmin Ali. Oleh kerana Azmin menarik diri, PR akhirnya hanya mencalonkan Dr Wan Azizah saja.

Oleh itu Pas seolah-olah terpaksa akur dengan keputusan PR itu walau bukan dengan sepenuh hati. Keengganan Pas menandatangani akuan bersumpah pula kerana berpendapat, perkara itu tidak termasuk dalam persetujuannya sebelum ini.

Lantaran itu, mesyuarat lain perlu diadakan. Sanggup pula Pas mengadakan dua kali mesyuarat dalam tempoh hanya seminggu sedangkan jika bersetuju menandantangani akauan bersumpah itu, kemelut ini lebih mungkin diakhiri dengan baik dan aman.

Sekali lagi nampaknya, ketika perlumbaan hampir tamat dan sedang berada di selekoh akhir, Pas cuba mencari simpang lain pula.

Walaupun tanpa akaun bersumpah 13 Adun Pas ini, Dr Wan Azizah sudah mendapat majoriti sokongan iaitu 30 Adun tetapi ia juga boleh menjadi alasan kepada Sultan Selangor untuk membuat kesimpulan bahawa penggantian Khalid oleh Dr Wan Azizah masih tidak menjanjikan kestabilan politik berbanding jika 13 Adun Pas secara rasmi dan bertulis turut menyokongnya.

Tanpa bukti hitam putih sokongan Adun Pas itu, Sultan Selangor mungkin lebih mempertimbangkan diadakan pilihanraya negeri bagi mencari penyelesaian muktamad Menteri Besar Selangor.

Ditambah jika cadangan membubarkan DUN turut menjadi pertimbangan utama Khalid ketika mengadap Sultan, pilihanraya negeri mungkin menjadi penyelesaian paling logik untuk merungkai kekusutan yang sudah berlarutan sekian lama ini.

Perbalahan, tuduh-menuduh serta berbalas kenyataan berhubung isu Menteri Besar itu juga merebak ke dalam Kongres PKR yang diadakan semalam di Shah Alam. Beberapa perwakilan PKR mula mengungkit dan mendedahkan pelbagai perkara mengenai hubungan kedua-dua parti itu semasa pilihanraya umum lalu.

Cerita kecil hati, tak puas hati, sabotaj, tiada kerjasama dan sebagainya didedahkan satu persatu berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Mengekori kekusutan isu Menteri Besar Selangor yang masih belum selesai dan saling berprasangka yang makin melebar itu pula ialah pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubur di Kelantan berikutan kematian Adunnya, Noor Zahidi Omar akibar kanser, baru-baru ini.

Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, kerusi itu ditandingi oleh PKR dan calonnya tewas dengan kekurangan 1763 undi serta mengikut amalan biasa, ia akan kekal ditandingi oleh PKR tetapi Pas sudah pun meminta secara terbuka agar calon parti mereka pula diberi peluang.

Sayap Pemuda dan Wanita Pas Kelantan sudah pun bersuara agar calon Pas dibenarkan bertanding di kerusi tersebut berdasarkan keyakinan mempunyai lebih peluang untuk menang berbanding jika calon PKR yang bertanding.

Barangkali kerana marah disebabkan dua Adunnya di Selangor telah dicuri oleh PKR untuk menandatangani akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebelum ini, maka Pas ingin membalas dendam dengan meminta kerusi Pengkalan Kubur ini.

Dengan merebaknya perbalahan yang masih belum selesai di Selangor ke Pengkalan Kubur pula, hubungan Pas dan PKR ini tiada ubahnya seperti suami isteri yang suka bergaduh sepanjang masa. Asal bercakap dan membuka mulut saja, pasti mengata antara satu sama lain, tidak kira di mana saja.

Walaupun ada juga pasangan suami isteri yang suka bergaduh ini memperolehi anak setiap tahun, tetapi yang selalunya ia akan berakhir dengan perpisahan. Pergaduhan secara umumnya tidak menambahkan kemesraan, sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan. (SH 24/08/2014)

Saturday 23 August 2014

Gantung Dua KP Pahang, Benarkah Kerana Dendam KJ?


Mesyuarat MT UMNO awal Julai lalu telah menggantung dua orang Ketua Pemuda Bahagian di Pahang secara merta-merta. Mereka iaitu Mohamad Faiz Hashim, Ketua Pemuda Indera Mahkota dan Ketua Pemuda Maran, Saiful Anuar Mokhtar telah menerima surat penggantungan bertarikh 22 Julai 2014 yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tindakan penggantungan itu bukan saja menghairankan kerana amalan biasa yang digunakan UMNO ialah ia diputuskan oleh Lembaga Disiplin tetapi kedua-dua Ketua Pemuda ini bukan saja tidak dihadapkan ke lembaga itu, tidak pernah dipanggil membela diri, malah dalam surat yang diterima menyatakan mereka digantung sehingga dihadapkan ke Lembaga Disiplin.

Bermakna, kedua-dua ini dijatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum dibicarakan.

Lebih menghairankan ialah bukan saja punca kesalahan yang mereka lakukan tidak dinyatakan, bahkan berapa lama tempoh penggantungan juga tidak ditulis dalam surat yang diterima sedangkan penjenayah yang ditahan reman dan mereka yang ditahan dibawah ISA pun dimaklumkan mengenainya.

Apakah kedua-dua pemimpin muda bakal digantung tiga bulan, enam bulan, setahun, sehingga pemilihan UMNO yang akan datang atau selama-lamanya?

Sumber daripada Lembaga Disiplin juga mengakui bahawa tindakan ini tidak kena kerana sepatutnya Lembaga Disiplin yang membuat keputusan dan kemudian disahkan oleh MT UMNO.

Dalam kes ini bukan saja kedua-dua Ketua Pemuda Bahagian berkenaan keliru dan kabur mengenai kesalahan yang mereka lakukan, bahkan orang-orang Pahang yang rapat dengan mereka juga tidak faham mengenainya. Ini kerana bukan saja kedua-dua pemimpin muda tidak pernah mengkhianati parti, tidak pernah memburukkan nama Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Menteri Besar Pahang serta lain-lain pemimpin utama parti, malah juga didapati aktif menjalankan puluhan program di bahagian masing-masing.

Kiranya disebutkan kesalahan beserta bukti-buktinya, mungkinlah mereka berupaya menjelaskan kedudukan yang sebenarnya, malangnya semua itu tiada sama-sekali. Tahu-tahu hanya surat penggantungan yang diterima.

Walaupin surat penggantungan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin seolah-olah tidak terpalit apa-apa dengannya, warga UMNO Pahang secara umumnya sedar bahawa semua ini adalah berkaitan dengan masalah dalam Pemuda Negeri Pahang.

Semuanya bermula daripada pemilihan UMNO Bahagian Rompin pada 2013 lalu yang terpaksa diadakan sebanyak tiga kali, percubaan calon yang kalah mengaitkan nama Istana Pahang sebagai punca kekalahannya, pergolakan dalam pemilihan Ketua UMNO Pahang, wujudnya Kumpulan 11 yang menolak Ketua Pemuda UMNO negeri, tindakan Pemuda UMNO Malaysia menutup pintu rundingan dan sehinggalah akhirnya KJ sedia menemui wakil Kumpulan 11 tetapi tetap menunjukkan lagak sombong dan endah tak endah dengan bercakap sambil pencungkil gigi terselit di mulutnya.

Di ketika KJ selalu menyarankan hak golongan muda memberi pandangan dalam keadaan yang mesra dan tiada protokal haruslah selalu dihormati, beliau sebaliknya menunjukkan sikap yang bertentangan sama-sekali apabila sudah menjawat jawatan menteri.

Kata-kata dan keputusannya seolah-olah petikan Al Quran dan Hadis yang tidak boleh diubah walau sedikit pun. Sesiapa yang membantah akan terus dihukum.

Berikutan sikap tidak mahu mendengar pandangan itu, Pemuda UMNO Pahang kini boleh dikatakan lumpuh. Dengan Kumpulan 11 ini tetap menolak kepimpinan Pemuda Negeri yang diketuai oleh Shahruddin Ahmad, Pemuda UMNO Pahang kini hanyalah disokong oleh tiga Ketua Pemuda Bahagian saja dan gagal mengadakan mesyaratnya.

Tidak dapat tidak, penggantungan Ketua Pemuda Indera Mahkota dan Maran ini adalah percubaan halus KJ menakut-nakutkan mereka yang mahu terus berbalah dengannya. Sama ada bersalah atau tidak, jika membantah tetap akan dihukum. Kalau ada pun kesalahan kedua-dua Ketua Pemuda ini, ia hanyalah dari segi kelantangan dan keberanian mereka menyuarakan pandangan saja.

Tetapi sejak bila menyuarakan pandangan merupakan suatu kesalahan dalam UMNO?

Walaupun surat penggantungan telah diterima dan entah bila kedua-dua Ketua Pemuda ini akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO, tetapi secara sedar atau tidak, permainan KJ dan Pemuda UMNO Malaysia mungkin dengan cara memberi maklumat yang salah atau tidak tepat sehingga MT mengambil tindakan menggantung ini, ia juga memalukan dan mencemar nama baik Presiden UMNO yang juga berasal dari Pahang.

Apakah penggantungan ini bukan sekadar melepaskan dendam tetapi kerana KJ ada agenda yang lebih besar daripada itu? (SH 23/08/2014)

Friday 22 August 2014

Bersangka Baiklah Dengan Sultan


Apabila PR akhirnya mencapai konsensus berhubung pengganti Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos lalu, sepatutnya semuanya sudah berakhir dan tidak perlu ada sosek-sosek lain lagi berhubung isu itu. Apatah lagi Sultan Selangor sendiri sudah memendekkan pemergiannya ke keluar negara dan akan pulang ke tanahair pada 23 Ogos, semua pihak sepatutnya menunggu saja keputusan dan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan kemelut ini.

Sama ada Sultan akan menerima Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru, menolaknya, mahukan nama lain atau bersetuju dengan pembubaran DUN yang mungkin dicadangkan oleh Khalid, tunggu dan berserah sajalah kerana undang-undang negeri sudah memperuntukkan demikian. Kita sendiri pula sudah menerima sistem sedemikian.

Tetapi nampaknya tidak demikian yang berlaku. Baik sebelum kata sepakat dapat dicapai mahupun selepas bersalam dan berjabat tangan, bukan saja perbezaan pendapat turut terserlah, malah terdapat juga percubaan untuk mempengaruhi Sultan Selangor berhubung keputusan yang bakal dimuktamadkan oleh baginda.

Bermula dengan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang berkeras bahawa hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan seolah-olah cuba memaksa baginda menerima pilihan itu, ia kemudian berjangkit pula kepada Pas sendiri apabila Ketua Pemudanya, Suhaizan Kayat mempertahankan keputusan partinya mencalonkan nama Azmin Ali sebagai pilihan kedua adalah kerana Sultan Selangor sendiri kononya yang mahukan lebih daripada satu nama dicalonkan.

Apa yang selama ini menjadi rahsia juga akhirnya terdedah bilamana Suhaizan juga mendedahkan bahawa perkara itu diperbincangkan antara Sultan Selangor yang menerima mengadap Presiden Pas, Haji Hadi Awang pada Hari Raya keempat yang lalu.

Pendedahan Suhaizan yang cuba meletakkan pendirian partinya seolah-olah atas kehendak Sultan Selangor, akhirnya memaksa pihak Haji Hadi sendiri tampil menafikan perkara itu sambil menjelaskan isu pengganti Khalid tiada sama-sekali dalam perbincangan antara Sultan Selangor dengan Haji Hadi.

Barangkali atas rasa terlanjur, Suhaizan pula kemudiannya mengatakan kenyataannya telah disalah lapor oleh media.

Dalam Kongres PKR yang melibatkan sayap Pemuda dan Wanitanya hari ini, isu pengganti Khalid sekali lagi menjadi bualan. Selain Shamsul Iskandar yang cuba menyalahkan Haji Hadi atas kemelut ini kerana tidak hadir mesyuarat PR tetapi kemudian berpendirian lain pula, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin sekali lagi mempertahankan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang layak dan sesuai.

Katanya, sebagaimaha yang sudah diputuskan, hanya nama Dr Wan Azizah yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan nama lain hanya akan dicadangkan jika sudah terbukti baginda menolak Presiden PKR itu.

Nurul Izzah pula hari ini tampil dengan sidang akhbar mempertahankan kelayakan dan kewibawaan ibunya sebagai Menteri Besar Selangor dengan mengambil kira pengalaman yang diraihnya ketika memimpin PKR sejak awal penubuhannya sebaik bapanya, Anwar Ibrahim dipecat dan disumbat dalam penjara.

Beberapa pemimpin PKR lain yang mempertahahkan Dr Wan Azizah dalam konteks kedudukannya sebagai seorang wanita melalui berbagai-bagai hujah dan logik juga kian bertambah, bagaikan mereka semua itu begitu bimbang Sultan Selangor akan menolaknya atas faktor gender.

Ahli jawatankuasa Pas, Khalid Samad pula secara tiba-tiba menonjolkan pendapat warga internet yang berpendapat Sultan Selangor tidak seharusnya mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan Menteri Besar kerana sistem yang diamalkan ialah Raja Berperlembagaan dan bukannya Raja Mutlak.

Sebenarnya banyak lagi pemimpin daripada PR terutama PKR dan Pas yang terus-terusan bercakap mengenai isu Menteri Besar ini disebalik sudah mendapat kata sepakat siapa calon yang mahu ditonjolkan dan hanya menunggu Sultan Selangor saja membuat keputusan.

Kenapakah mereka ini tidak sabar dan kalut?

Semua ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan dan seolah-olah tidak yakin dengan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat keputusan yang terbaik. Memandangkan bahawa kita sudah menerima-pakai dan mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan ini sejak dulu lagi, maka kita seharusnya menerima dan sentiasa berlapang dada dengannya.

Jangan terlalu menonjolkan kegopohan, ketidaksabaran, ketidakmatangan serta ketidakfahaman dengan sistem yang ada.

Kita seharusnya yakin bahawa walaupun kata putus perlantikan Menteri Besar adalah ditangan Sultan Selangor, tetapi baginda akan bertindak berdasarkan tafsiran undang-undang yang akan diberikan oleh pelbagai pihak, terutamanya Penasihat Undang-undang Negeri.

Apa-apa keputusan Sultan Selangor nanti bukan saja tertakluk kepada tafsiran undang-undang tetapi juga tentunya mengambil kira banyak faktor lain seperti keharmonian, keamanan dan masa depan negeri itu.

Sama ada baginda akan memperkenankan nama Dr Wan Azizah, menolaknya, mahukan nama lain, membubarkan DUN atau apa saja, semua pihak seharusnya tunggu dan bersabar. Tidak perlulah begitu kalut, kecoh dan terus membiarkan mulut berkata-kata sedangkan Sultan Selangor belum pun membuat apa-apa keputusan lagi. Bahkan baginda juga belum pun pulang ke tanahair pun lagi.

Janganlah sesiapa mendahului Sultan atau cuba mempengaruhi baginda dalam membuat keputusan. Yang tidak kurang pentingnya ialah sentiasalah bersangka baik serta jangan sesekali bersangka jahat dengan apa juga keputusan yang bakal baginda putuskan nanti.

Jika kita melakukannya juga, bermakna kitalah yang mencemarkan sistem Raja Berperlembagaan ini. (SH 22/08/2104)

Thursday 21 August 2014

Mahathir Perlu Keluar UMNO Sekali Lagi...


Selain berpendapat polisi dan dasar Najib Razak banyak merosakkan hubungan kaum, ekonomi dan kewangan negara, teguran Mahathir Mohamad juga berkisar mengenai rasa rimasnya dengan terlalu banyak pengampu dan pembodek yang berada di sekeliling Perdana Menteri sekarang ini.

Dalam dua kisah dongeng zaman silam yang disebutkan Mahathir dalam tulisannya, jelas memperingatkan mengenai budaya ampu dan bodek yang disedari oleh banyak pihak berada di tahap melampau sekarang ini. Pembodek dan pengampu ini bukan saja dalam bentuk mengharapkan balasan seperti projek dan sebagainya tetapi ramai juga yang dibayar gaji semata-mata untuk berbuat demikian.

Apa yang disebutkan Mahathir itu bagaimanapun terbukti nyata akhirnya kerana bukan intipati teguran beliau yang mahu diambil-berat oleh pemimpin dan menteri UMNO, sebaliknya mereka berebut-rebut memuji dan menyanjung kehebatan Perdana Menteri dalam menguruskan negara sehingga diumpamakan lebih hebat daripada Barack Obama dan Vladimir Putin.

Meskipun budaya membodek pemimpin pada umumnya adalah amalan biasa, tetapi ramai yang merasakan budaya itu begitu berlebih-lebihan dan melampau ketika ini sehingga seolah-olah Najib tidak pernah melakukan kesalahan sama-sekali dalam menguruskan negara.

Lebih buruk lagi, isteri seorang Perdana Menteri yang tidak pernah begitu menonjol sebelum ini dan didapati melakukan beberapa pembaziran yang tidak sepatutnya, turut tiada yang berani memberikan teguran dan kritikan. Malah ramai yang memuji, menyanjung dan mencium tangannya apabila bersalam.

Dalam masa yang sama, Najib pula terus dengan sikap biasanya apabila menghadapi masalah. Beliau hanya diam, senyap dan tiada respon.

Sudah masuk hari kelima sejak Mahathir melontarkan taguran dan mengumumkan menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri, sehingga ini Najib masih diam dan tiada respon. Tiada ulasan dan reaksi daripada seorang nakhoda apabila kapal yang dikemudinya sedang ditembak dan dalam keadaan terumbang-ambing.

Teguran Mahathir terhadap Najib sebenarnya bukanlah kali pertama. Ia sudah kerapkali dilakukan sebelum ini. Tetapi semua teguran dan kritikan itu berlalu begitu saja berikutan sikap Najib yang diam, senyap dan dan tiada respon serta mengharapkan ia dilupakan seiring dengan peredaran masa.

Apa yang pertama kali dilakukan Mahathir kepada Najib ialah menarik balik sokongannya. Sebelum ini, di sebalik kritikannya, beliau tetap menyokong Perdana Menteri dan hanya mahukan isu yang disebutkannya diberi perhatian atau tindakan saja.

Ketika era Pak Lah dahulu, Mahathir juga banyak memberi teguran atas beberapa kepincangan yang berlaku dan sehingga ke suatu peringkat, oleh kerana ia terus tidak diberi perhatian, beliau akhirnya mengumumkan keluar daripada UMNO untuk memberi lebih tekanan.

Kesannya, BN hilang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 dan Pak Lah kemudiannya berundur daripada memimpin negara.

Walaupun Mahathir menyebut tegurannya bukan bertujuan memaksa Najib melepaskan jawatannya, sebaliknya hanya mahukan adanya perubahan tetapi kebarangkalian untuk Najib berubah juga sebenarnya sangat tipis. Kalau Najib mahu berubah, beliau sebenarnya sudah melakukannya sebaik keputusan PRU 13 dulu lagi. Dari segi ini, ramai yang mengatakan Najib memang lebih teruk daripada Pak Lah.

Najib bukan saja selesa dengan sokongan kukuh dari kalangan pimpinan UMNO bahagian-bahagian seluruh negara tetapi juga kerana tiada yang tampil menegur dasar serta polisi yang dilakukannya dalam mengurus negara. Setiap hari beliau hanya mendengar kata-kata pujian dan tiupan angin yang seolah-olah sedang membawanya ke syurga.

Oleh itu, teguran yang disertai penarikan balik sokongan Mahathir ini juga mungkin tidak mendatangkan kesan kepada perubahan yang diharap-harapkan oleh bekas Perdana Menteri itu. Najib tentunya lebih menghargai pujian berbanding teguran. Satu-satunya tindakan yang boleh terus diambil untuk menekan dan membuatkan Najib segera memberi reaksi terhadap teguran dan kritikan serta cenderung untuk berubah ialah dengan Mahathir mengumumkan keluar UMNO sekali lagi.

Hanya tindakan keluar UMNO ini yang boleh membuatkan arus bawah dalam UMNO akan bergerak lebih laju dan sama-sama bangun menuntut perubahan. Sebelum ini, arus bawah yang bergelodak ini sering dilindungi oleh pemimpin diatas atau oleh pengampu dan pembodek sehingga berjaya menutup hakikat yang sebenarnya sedang berlaku serta memberi gambaran yang baik-baik kepada Najib.

Namun, dengan kesediaan Mahathir membuat tindakan drastik sekali lagi keluar UMNO, arus bawah ini akan lebih mengalir deras bersama-samanya. Lebih berkesan lagi, jika beberapa bekas pemimpin lama yang sekarang ini banyak meluahkan rasa tidak puas hati atas kepimpinan Najib yang disifatkan lembut dan lembik, turut mengambil tindakan yang sama.

Tidak kurang berkesannya juga jika Mukhriz, anak Mahathir yang menjadi Menteri Besar Kedah turut bersama-sama dengan perjuangan bapanya itu.

Sebagaimana yang disebutkan Mahathir bahawa beliau lebih sayangkan bangsa dan negara ini, keberaniannya sekali lagi keluar UMNO adalah pengorbanan ke arah itu. Jika tidak, tegurannya mungkin bagai angin lalu saja kerana Najib tidak terasa panas pun lantaran lebih banyak disejukkan oleh tukang-tukang kipas yang berada di sekelilingnya. (SH 21/08/2014)

Wednesday 20 August 2014

Najib Lebih Berani Daripada Obama Dan Putin...Inilah Idea Paling Wow Yang Dicari-Cari Muhyiddin


Walaupun sudah ada beberapa pemimpin kanan UMNO tampil menyanggah teguran Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Najib Razak yang dimuatkan dalam blognya semalam, tetapi malangnya tiada satu pun di antara mereka berhujah memberi jawapan tentang persoalan yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, rata-rata mempersoalkan kenapa Mahathir melakukan teguran itu sambil cuba membodek serta mengampu Najib dan bukannya menjawab intipati teguran yang dibangkitkan.

Jika dilihat dalam teguran Mahathir itu, beliau membangkitkan mengenai sikap Najib yang suka melayan permintaan musuh seperti menghapuskan ISA dan undang-undang buang daerah, terlalu merendah diri kepada negara jiran, menggunakan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan rakyat sehingga mereka terlalu bergantung kepada kerajaan, import barangan digalakkan tetapi industri tempatan diabaikan, menambah cuti, menaikkan gaji minimum tanpa mengambil kira kenaikan kos dan sebagainya.

Selain kesal kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada keputusan buruk pilihanraya 2013 berbanding 2008 yang menjadikannya lebih lemah berbandung Abdullah Badawi, Mahathir juga kecewa kerana Najib terlalu lembut, tiada respon, senyap dan tidak bertindak walaupun ada masalah.

Bagi Mahathir, banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib merosakkan hubungan antara kaum, ekonomi dan kewangan negara.

Tetapi tiada satu persoalan-persoalan yang dibangkitkan Mahathir ini dijawab atau cuba dijelaskan oleh mana-mana pemimpin UMNO. Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi hanya menepis kritikan itu dengan mengatakan Najib bukan saja perlu dihormati oleh rakyat tetapi juga oleh bekas pemimpin di negara ini.

Ini kerana, tambah beliau, Najib sudah diberi mandat mentadbir negara dan berhak pula menuntut kesetiaan daripada rakyatnya.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor pula meminta Mahathir supaya tidak memberi teguran secara terbuka berhubung masalah parti dan kepimpinan, sebaliknya mahu sebarang teguran atau pandangan dilakukan secara tertutup.

Begitu juga dengan Shahidan Kassim yang mengatakan perbezaan pendapat antara pemimpin UMNO dan BN yang dibuat secara terbuka hanya memberi ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan, sambil menyifatkan teguran melulu juga tidak wajar di ketika negara sedang berhadapan dengan situasi genting melibatkan pesawat MH370 dan MH17 sekarang ini.

Sepupu Najib, Hishammuddin Hussein lebih tersasar hujahnya dalam mempertahankan Najib daripada kritikan Mahathir dengan menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang lebih berani berbanding Presiden Amerika, Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin berdasarkan kejayaan berunding dengan ketua kumpulan pemisah Ukraine berhubung tragedi MH17.

Bagi Hishamuddin, apa yang dilakukan Najib itu tidak mampu dilakukan baik oleh Obama mahupun Putin.

Soalnya, apakah kejayaan berunding dengan ketua puak pemisah itu boleh membuatkan kita semua redha atau menghalalkan saja semua kesilapan dan kepincangan yang dilakukan Najib sebelum ini sebagaimana yang dibangkitkan oleh Mahathir itu?

Ternampak jelas bahawa Hishammuddin hanya mahu membodek dan mengampu Najib berbanding menjelaskan apa yang Mahathir bangkitkan dalam tegurannya.

Sekali lagi, baik Zahid, Tengku Adnan, Shahidan mahupun Hishammuddin, mereka hanya cuba mempertahankan Najib dan mempertikaikan tindakan Mahathir yang membuat teguran terbuka dengan diselitkan elemen-elemen mengampu Perdana Menteri tanpa cuba sedikit pun menjawab isu-isu yang menjadi kerisauan bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun dalam semua kenyataan oleh para pemimpin UMNO setakat ini, apa yang disuarakan oleh Hishammuddin paling menarik kerana ia hanya menunjukkan betapa tingginya tahap keghairahannya mahu mengampu dan membodek Perdana Menteri.

Jika beberapa hari lalu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mencabar UMNO bahagian-bahagian agar tampil mengemukakan idea-idea luar biasa dan mempunyai faktor wow ke arah memastikan UMNO terus relevan dan diterima ramai, sambil menawarkan ganjaran RM10 ribu, tidak syak lagi apa yang disuarakan Hishammuddin inilah paling layak memenangi tawaran itu.

Berikan saja ganjaran RM10 ribu kepada Hishammuddin dan UMNO Bahagian Sembrong yang diketuainya.

Inilah sebenarnya idea paling bernas dan luar biasa yang wajar dikempenkan kepada semua rakyat, terutama makcik-makcik di kampung dan pakcik-pakcik peneroka Felda di seluruh negara. Dengan memberitahu bahawa Najib lebih hebat daripada Obama dan Putin, tentunya terpesona semua mereka bahawa selama ini tanpa disedari Najiblah pemimpin paling hebat di alam maya ini.

Kalau sudah lebih hebat daripada Obama dan Putin, bermakna Najib adalah pemimpin nombor satu dunia walaupun Malaysia hanya mempunyai 30 juta penduduk, sebuah negara membangun dan mempunyai kadar hutang yang kian meningkat tahun demi tahun.

Melalui penyebar-luasan penghebahan bahawa Najib lebih hebat daripada Obama dan Putin, ia juga bermakna suatu kejayaan UMNO yang tiada tolok bandingnya sehingga mampu melahirkan pemimpin sehebat itu. Maka kempen UMNO agar diterima rakyat selepas ini hanyalah dengan mengagung-agungkan Najib sebagai pemimpin nombor satu dunia yang lebih hebat daripada Obama dan Putin saja. Tidak perlu yang lain-lain lagi.

Akhirnya, melalui puji-pujian dan kekaguman terhadap Najib itu, berbondong-bondonglah rakyat, tua muda, bandar, luar bandar, petani, nelayan, profesional dan sebagainya kembali menyokong UMNO dan terus relevanlah parti itu untuk tempoh beberapa puluh tahun lagi.

UMNO juga bolehlah mengabaikan terus segala teguran Mahathir selepas ini kerana jawapan untuk memastikan UMNO terus relevan, diterima rakyat dan menang pilihanraya sudah pun berjaya dijelmakan oleh Hishammuddin. (SH 20/08/2014)

Tuesday 19 August 2014

Kalau Bukan Mahu Najib Letak Jawatan, Apakah Mahathir Nak BN Kalah Pilihanraya?


Tulisan Mahathir diblognya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak dan mengumumkan penarikan balik sokongan yang diberikannya selama ini, pasti akan mencetuskan krisis baru dalam UMNO. Setelah PR berjaya menyelesaikan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor baru-baru ini, virus perpecahan nampaknya merebak kepada UMNO pula.

Susulan pendirian terbarunya itu, Mahathir malam tadi menjelaskan, apa yang dilakukannya kini bukanlah bertujuan mahu memaksa Najib meletakkan jawatan, sebaliknya hanya kerana tidak bersetuju dengan beberapa polisi kerajaan yang tidak menguntungkan negara yang dilakukan Perdana Menteri.

"Ini juga bukan isu peribadi. Apa yang dilakukan Najib tidak memanfatkan negara...ketegangan kaum dan agama meningkat dan orang tidak lagi hormat kepada Perlembagaan negara.

"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respon, senyap...ada masalah tapi tidak mengambil tindakan," demikian Mahathir menghuraikan pendiriannya.

Jika diperhalusi apa yang dilakukan Mahathir ini ialah beliau hanya mahukan Najib berubah. Beliau tidak mungkin ada maksud lain kerana tiada apa-apa lagi yang kurang dalam hidupnya. Walaupun semua musuh-musuh politiknya sebelum ini berakhir dengan penyingkiran atau perletakan jawatan, dalam usia mencecah 90 tahun ini beliau barangkali juga sudah letih dengan agenda menamatkan karier seseorang yang tidak sehaluan dengannya.

Agenda beliau kali ini hanyalah mahukan Najib berubah, keadaan negara menjadi lebih baik dan BN terus memerintah negara ini.

Soalnya, mahukah Najib berubah?

Dan bagaimana pula kalau Najib tidak mahu berubah?

Sejak dari awal mengambil alih tampuk kerajaan pada 2009, perkataan berubah adalah sering menjadi basahan mulut Najib. Beliau selalu memperingatkan agar semua peringkat UMNO segera berubah, jika tidak mahu rebah. Malangnya dalam banyak tindakan yang dilakukannya, perubahan yang diharapkan terlalu minima. Malah Najib juga banyak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh Abdullah Badawi.

Meskipun keputusan pilihanraya 2013 menyaksikan reputasi BN lebih teruk daripada 2008, Najib terlihat kukuh dalam persada UMNO berikutan beliau pandai menjaga Ketua-Ketua UMNO bahagian seramai 191 orang dengan tawaran jawatan, kedudukan dan projek. Sebab itu, tidak hairan Najib mempunyai kabinet paling besar, puluhan penasihat bertaraf menteri daripada kalangan pimpinan UMNO, manakala selebihnya diberikan kedudukan dalam agensi, GLC dan sebagainya.

Teguran kepada Najib pada umumnya boleh didengar di mana-mana selain daripada kelompok pemegang jawatan utama dalam UMNO bahagian-bahagian. Mahathir, Daim dan lain-lain bekas pimpinan juga turut banyak memberi teguran tetapi oleh kerana Najib beranggapan semua teguran itu tidak mampu menggugat kedudukannya yang sudah dibentengi oleh lebih 80 peratus daripada 191 Ketua-Ketua UMNO bahagian itu, semua teguran itu tidak pernah dipedulikannya.

Barangkali bagi Najib, tegur dan kritiklah sebanyak mana pun, selagi majoriti Ketua-Ketua UMNO bahagian tidak berpaling tadah, beliau akan terus kekal berpejabat di Perdana Putra serta tidur lena di Seri Perdana.

Lantaran itu, kebarangkalian untuk Najib berubah sangat tipis sebenarnya. Najib lebih mementingkan idea-idea daripada puluhan penasihat, pegawai dan konsultan yang mengelilinginya daripada mendengar suara akar umbi yang mengkritik dan menjerit mengenai perubahan ke telinganya.

Banyak kali juga, atas kepercayaan yang sama, teguran, pandangan serta krtikan daripada Mahathir yang menyayanginya selama ini turut tidak diendahkan. Beliau hanya senyap, tiada respon dan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Sebenarnya, inilah masalah Najib.

Dengan keadaan ini dan Mahathir pula sudah mengumumkan akan terus menegur dan bersuara walaupun sehingga akhirnya beliau tinggal keseorangan, Najib akan berhadapan dengan dua musuh yang nyata ialah PR yang masih bernafsu tinggi untuk menumbangkan UMNO dan BN serta kumpulan Mahathir yang mungkin semakin membesar daripada masa ke semasa.

Jika hambatan PR terpaksa dihadapi secara politik dalam pilihanraya, cabaran Mahathir hanya boleh dilenturkan jika Najib sedia membuat pengakuan untuk berubah, tidak lagi lembut, cepat respon, pantas bertindak bila ada masalah dan yang tidak kurang pentingnya ialah lebih mendengar pandangan daripada bekas Perdana Menteri itu.

Kalau tidak, Najib terpaksa menahan hati dan telinga daripada mendengar teguran dan kritikan Mahathir dengan lebih kerap lagi. Meskipun Mahathir mengatakan tegurannya bukan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, tetapi kekerapan dan kelantangannya bersuara secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada Anwar dan PR dalam pilihanraya umum yang tidak sampai empat tahun daripada sekarang.

Andainya BN tewas dalam, tentulah yang lebih dipersalahkan ialah Najib kerana enggan untuk berubah walaupun sering diperingatkan untuk berbuat demikian.

Sebagaimana Mahathir tidak pernah tewas dalam menumbangkan musuh-musuh politiknya sebelum ini, kali ini pula beliau meletakkan beban yang lebih berat kepada Najib.

Najib tidak boleh diam lagi kali ini. (SH 19/08/2014)

Monday 18 August 2014

Mahathir Janji Akan Terus 'Menekan' Najib


Sudah agak lama sebenarnya bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak menegur kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak. Mungkin disebabkan banyak isu-isu lain yang timbul seperti kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17 dan pertukaran Menteri Besar Selangor menyebabkan Mahathir tidak bersuara mengenai Najib.

Lantaran itu, barangkali ramai yang beranggapan bahawa Mahathir kini sudah mulai akur dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Najib. Tambahan pula dalam beberapa majlis berbuka puasa sebelum ini dirakamkan pula kemesraan antara kedua mereka itu.

Tetapi dalam tulisan terbaru Mahathir dalam blognya yang bertajuk "Menegur", bekas Perdana Menteri itu jelas memberi isyarat bahawa akan terus menegur dan mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya masih tiada perubahan dari segi dasar dan pendekatan.

Sambil mengimbas tindakannya menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman dan kritikannya kepada Abdullah Badawi sebelum ini, Mahathir tetap berpendapat bahawa jika seseorang pemimpin itu tidak ditegur, mereka barangkali tidak sedar dengan kesilapan yang dilakukannya.

Beliau juga membawakan dua kisah zaman silam bagaimana pengampu dan datuk-datuk yang kerjanya hanya mengampu dan mengiyakan saja semua perkataan dan perbuatan raja, akhirnya telah membawa malu kepada raja setelah disedari semua yang dilakukan selama ini adalah salah.

Dua kisah yang ditulis oleh Mahathir dalam blognya seperti menyindir Najib dan mereka yang dekat dengannya lantaran Mahathir mengetahui bahawa ada orang-orang tertentu telah menyampaikan kepada Najib bahawa beliau telah memburuk-burukkan pemerintahan Perdana Menteri.

Tidak menyangkal hakikat itu, malah Mahathir juga menyebut beberapa teguran yang pernah dilakukannya sebelum ini terhadap Najib serta alasan berbuat demikian.

Di akhir tulisannya, Mahathir menegaskan sekali lagi, "jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur" dan "bukan saya tidak sayang pemimpin tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya."

Tulisan yang dimuatkan dalam blognya serentak dengan mulanya Najib kembali bertugas setelah bercuti mewah selama lebih dua minggu di beberapa negara Eropah di sebalik meminta rakyat bersederhana dan turut berduka dengan tragedi MH17 sambil membatalkan jamuan Hari Rayanya, barangkali adalah perkhabaran buruk bagi Najib pada hari ini.

Selain terus berhadapan dengan serangan pembangkang dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kepimpinannya, isyarat jelas daripada Mahathir bahawa beliau akan terus menegur dan mengkritik Najib, barangkali juga turut tidak disenangi oleh para penasihat dan datuk-datuk yang berada di sekeliling Najib sekarang ini.

Sejak tragedi MH17 terutamanya, Najib agak terpisah daripada banyak kritikan kerana rakyat rata-rata bersimpati dengan tragedi yang berlaku itu. Tambahan pula, Najib turut menunjukkan beliau turut "lebih berakal" dalam menangani sesuatu musibah berbanding MH370 sebelumnya.

Tetapi apabila kelibatnya menghilang lebih dua minggu di sebalik perbagai kemelut dalam negara dan kemudian didapati bercuti mewah di beberapa bandar Eropah bersama jutawan playboy Hollywood, Taek Jho Low dan bekas Perdana Menteri Qatar, reputasi sebenar Najib mulai tercalar dan diperkatakan. Lebih-lebih lagi dalam sebuah kunjungannya ke Sardinia, Itali, turut juga bersamanya ialah sekumpulan besar ahli perniagaan Cina.

Dengan isyarat jelas daripada Mahathir yang masih mempunyai pengaruh dalam UMNO dan masyarakat bahawa beliau akan terus menegur walaupun akhirnya tinggal keseorangan, Najib sebenarnya masih jauh dari selesa dalam memimpin negara ini.

Walaupun tidak diketahui sampai ke mana teguran Mahathir ini atau apa kesudahannya nanti, ditambah dengan PR yang kembali kukuh setelah menyelesaikan isu pertukaran Menteri Besar Selangor dengan jayanya, masa depan Najib sebenarnya masih lagi tidak menentu sambil serangan daripada luar dan dalam UMNO akan berterusan tanpa titik nokhtahnya. (SH 18/08/2014)

Sunday 17 August 2014

Jika Benar Khalid Kasihkan Sultan Selangor, Inilah Masa Membuktikannya


Mesyuarat Pas hari ini telah membuat keputusan paling rasional dalam menyelesaikan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor. Meskipun pendiriannya sebelum ini dipertikaikan banyak pihak sehingga menimbulkan banyak kekalutan, Pas akhirnya sedar pentingnya untuk mengekalkan PR sebagai wadah alternatif kepada rakyat dalam membuat piilihan bagi mentadbir negara ini.

Pengundi yang telah memberikan sokongan 52 peratus undi popular kepada PR dalam pilihanraya umum lalu tentunya lega dengan perkhabaran Pas ingin terus kekal dalam PR kerana jika terbukti gabungan itu boleh menjanjikan lebih banyak kebaikan, sementara BN kekal tidak berubah sepertimana sekarang, mereka hanya perlukan sedikit iltizam dan kekuatan saja lagi untuk memastikan PR pula menjadi pengganti kepada BN.

Keputusan Pas untuk terus kekal bersama PR, menolak Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, menyetujui Dr Wan Azizah Wan Ismail beserta Azmin Ali sebagai pengganti yang harus ditonjolkan oleh PKR, tentunya dalam lingkungan memikirkan kehendak rakyat yang masih dahagakan perubahan.

Keputsan lain yang dicapai dalam mesyuarat Pas hari ini ialah parti itu tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor serta mengekalkan empat Exconya terus berada dalam kerajaan negeri.

Dengan keputusan Pas hari ini, Khalid Ibrahim sudah tidak mempunyai asas untuk bertahan lagi. Setelah Dr Wan Azizah sebelum ini membuktikan sokongan 30 Adun terhadapnya, Khalid masih cuba berdalih dengan menyatakan sokongan itu harus pula diterjemahkan dalam Dewan Undangan Negeri melalui usul undi tidak percaya terhadapnya, kini semuanya sudah nyata.

Apabila Pas sudah membuat keputusan secara rasmi menolak Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, undi menolaknya kini sudah meningkat kepada 43 Adun. Khalid yang menjadi wakil Bebas kini hanya disokong oleh 12 Adun UMNO saja.

Lebih menyedihkan Khalid, empat Exco yang masih kekal dalam pentadbirannya juga secara prinsipnya turut menyetujuinya pertukarannya. Beradanya mereka kekal sebagai Exco hanyalah semata-mata untuk memastikan kerajaan negeri tidak tumbang begitu saja sehingga peralihan dilakukan.

Walaupun Khalid dilaporan menerima keputusan Pas ini dan akan mengadap Sultan Selangor untuk meminta nasihat baginda berhubung kedudukannya, jalan terbaik yang harus diambil oleh Khalid ialah mengundurkan diri secara terhormat. Keputusan Pas ini tidak memberi pilihan lain selain harus mulai mengemas bilik pejabatnya serta segera menyediakan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Tidak perlu lagi Khalid meminta nasihat daripada Sultan mengenai kedudukannya, sebaliknya jika benar beliau seorang yang taat, patuh serta kasih kepada Sultan, inilah masanya untuk beliau tidak menyulitkan lagi keadaan. Dengan menghantar surat perletakan jawatan, secara tidak langsung beliau telah memudahkan Sultan membuat keputusan yang seterusnya.

Oleh kerana sudah menjadi sangat minoriti, tentulah perletakan jawatan beliau itu mudah diterima oleh Sultan Selangor. Lagi pun tiada asas untuk Sultan mahu terus mengekalkan Khalid yang hanya mempunyai sokongan 12 Adun berbanding yang sah menolaknya sebanyak 43 Adun. Sultan sudah boleh mencontohi apa yang berlaku di Perak pada 2009 dengan menerima pihak yang mempunyai majoriti menubuhkan kerajaan dan melantik Menteri Besar yang baru.

Selepas itu, biarlah Sultan menentukan siapakah pilihan baginda. Meskipun Azmin turut dicalonkan tetapi demi kepentingan parti dan akur dengan pilihan PKR yang hanya mencalonkan Dr Wan Azizah, beliau sedia mengundur diri. Sama ada Sultan menerima pilihan tunggal PR ini ataupun mahukan calon lain tetapi yang penting ruang untuk Khalid sudah pun tertutup.

Melalui keputusan Pas hari ini, Khalid juga dianggap tidak waras jika mahu mencadangkan pembubaran DUN bagi diadakan pilihanraya peringkat negeri. Jika beliau bertindak demikian, bermakna terbazirlah wang rakyat sebanyak RM50 juta untuk menguruskan pilihanraya dan Khalidlah yang harus dipersalahkan sepenuhnya atas pembaziran itu.

Lagi pula jika diadakan pilihanraya negeri, bukan saja Khalid belum tentu menang di mana-mana kerusi yang ditandinginya, bahkan wadah parti yang mahu menerimanya pun belum pasti lagi. Walaupun UMNO menyokongnya ketika ini tetapi belum tentu UMNO bersedia membenarkannya bertanding menggunakan logo BN.

Jika Khalid mengadu kepada UMNO pun untuk meminta pandangan sama ada wajar dibubarkan DUN atau tidak, Najib yang dalam perjalanan pulang daripada bercuti di beberapa bandar di Eropah dengan sekumpulan ahli perniagaan Cina juga pastinya menolak idea diadakan pilihanraya ini kerana UMNO Selangor bukan saja tidak bersedia untuk bertempur semula setelah kalah teruk dalam pilihanraya lalu, bahkan pemimpin yang berwibawa pun boleh dikira tiada ketika ini.

Ramai yang berpendapat jika Noh Omar yang mengetuai BN dalam pilihanraya, belum bertanding pun sudah boleh dijangka kalahnya.

Untuk sementara ini, UMNO ternampak lebih senang membiarkan dulu Selangor ditadbir oleh PR sehingga pilihanraya akan datang dan ketika itu barulah semangatnya sudah dianggap semakin pulih dan calon-calon baru pula lebih mudah ditonjolkan.

Blog ini pernah menasihatkan Khalid agar berundur secara baik sebelum menjadi kupang tembaga kerana yakin sokongan Pas kepadanya hanyalah sementara dan tidak kekal. Walaupun Haji Hadi pernah mahu beliau dikekalkan tetapi antara Khalid seorang dengan kedudukan Pas dalam PR serta masa depannya yang lebih cerah jika terus bergabung bersama PKR dan DAP, sudah tentulah yang kedua itu menjadi pilihan Pas.

Namun kini dengan keputusan rasmi Pas menolaknya, Khalid sudah sah menjadi kupang tembaga. Beliau sudah tidak berharga lagi mulai hari ini. Jika ingin terus juga melawan, lebih dihina dan membusuk lagi namanya. Tetapi dengan segera mengemukakan surat perletakan jawatan, sekurang-kurangnya beliau dapat memelihara namanya daripada terus dikecam dan dihina. (SH 17/08/2014)

Mari, Mari, Mari...UMNO Untuk Dijual?


Semalam Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melontarkan cabaran kepada UMNO bahagian seluruh negara agar mengemukakan idea luar biasa ke arah memastikan perjuangan parti itu terus relevan dan diterima rakyat. Bagi merangsang munculnya idea luar biasa dan mempunyai faktor wow itu, beliau juga mengumumkan ganjaran RM10 ribu kepada bahagian yang berjaya nanti.

Di samping meminta setiap bahagian menubuhkan jawatankuasa khas bagi memikirkan secara serius idea yang mahu dicari itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebuah jawatankuasa di peringkat Majlis Tertinggi akan turut ditubuhkan bagi menilai idea-idea yang diterima daripada seluruh bahagian itu.

Apa sudah jadi dengan UMNO sekarang ini? Nakkan idea bagi kepentingan parti dan kelangsungan masa depannya pun terpaksa ditawarkan wang sebanyak RM10 ribu.

Apakah jika tiada ganjaran, UMNO tidak mampu memberikan idea yang bernas dan terbaik? Atau ini merupakan cara terbaru Muhyiddin mendidik ahli UMNO mengenai nilai perjuangan dan bagaimana berjual-beli mengenainya.

Tidakkah beliau sedar, UMNO cawangan setiap tahun mengadakan persidangan tahunan, begitu juga UMNO bahagian setiap tahun juga mengadakan mesyuarat perwakilannya. Perhimpunan Agung UMNO juga diadakan tiap-tiap tahun. UMNO bahagian pula biasanya setiap bulan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya, begitu juga peringkat Majlis Tertinggi.

Apakah dalam semua mesyuarat itu selama ini dan begitu banyak yang bercakap atau berucap, tidak ada satu pun di antara mereka itu memberikan idea-idea bernas atau mempunyai faktor wow? Atau hanya Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO tidak pernah menyemak idea-idea yang dilontarkan dan membiarkan saja buku laporan mesyuarat tahunan terperosok di sudut stor tanpa diusik?

Secara sedar atau tidak, sebenarnya amat memalukan bila Muhyiddin menawarkan ganjaran RM10 ribu semata-mata untuk mendapatkan idea terbaik bagi kelangsungan masa depan parti itu sendiri. Seolah-olah ahli dan pimpinan UMNO hanya boleh bergerak dan berjalan pemikirannya apabila ditawarkan wang ringgit saja.

Jika tiada wang, semuanya beku dan kaku.

Kalau sudah begitu nazaknya, lebih baiklah Muhyiddin cadangkan saja UMNO ini diswastakan sebagaimana kerajaan menswastakan TNB, Telekom, Pos, MAS dan sebagainya sebelum ini. Dengan ini bolehlah mereka yang memiliki UMNO itu memikirkan idea-idea baru dan fantastik serta memasarkannya seperti barang dagangan kepada rakyat.

UMNO yang sudah diswastakan ini bolehlah pula memilih sesiapa yang difikirkan layak untuk mentadbir kerajaan dengan syarat beberapa peratus daripada gaji dan projek yang dikendalikan oleh kementerian mesti diserapkan kepada UMNO yang sudah dimiliki oleh kaum pedagang dan kapitalis yang mungkin dari dalam dan luar negara itu.

Atau kalau susah sangat dan Muhyiddin sendiri sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan sudah tidak boleh memikirkan bagaimana untuk memastikan UMNO ini terus relevan dan diterima rakyat, buatlah tender terbuka agar ia dijual terus kepada mana-mana usahawan Melayu yang berminat membelinya.

Dengan itu, para pemimpin UMNO sekarang tidak perlu berfikir langsung bagaimana untuk memastikan parti itu terus relevan dan diterima rakyat. Ganjaran RM10 ribu juga tidak perlu ditawarkan kepada bahagian-bahagian lagi. Biarlah pemilik barunya, yang mungkin dibelakangnya tauke besar atau mafia daripada China, Amerika, Perancis, Australia, Afrika atau Amerika Selatan memikirkan idea-idea wow itu. (SH 17/08/2014)

Saturday 16 August 2014

Salahkah Perdana Menteri Bercuti Mewah?


Salahkah Perdana Menteri bercuti? Ini antara pertanyaan paling banyak dilontarkan di sebalik pendedahan laman berita Asia Sentinel mengenai percutian mewah Najib Razak ke beberapa bandar utama di Eropah sebaik saja beliau menamatkan lawatannya ke Amsterdam, Belanda pada Hari Raya ketiga lalu.

Mungkin di samping mood Hari Raya, di tambah dengan kedukaan yang berterusan mengenai tragedi pesawat MH17 serta kemelut mengenai Menteri Besar Selangor, tidak ramai yang sedar mengenai kehilangan Perdana Menteri sehinggalah ia didedahkan oleh Asia Sentinel.

Apatah lagi setelah mengumumkan pembatalan jamuan Hari Rayanya serta meminta semua rakyat sama-sama menunjukkan rasa simpati dengan menyambut lebaran ini dengan sesederhana mungkin, barangkali ramai juga beranggapan Najib hanya berehat di kediamannya saja.

Mengikut laporan Asia Sentinel itu, Najib dan isterinya telah pergi ke Paris, Sardinia di Itali, Cannes di Perancis, kemudian kembali ke Sardinia sebelum ke Rom dan London untuk bercuti. Beliau turut ditemani jutawan rambu-rambi dan playboy berasal dari Pulau Pinang, Taek Jho Low serta bekas Perdana Menteri Qatar. Di Sardinia pula, Najib dikatakan bersama dengan sekumpulan besar ahli perniagaan Cina dari Malaysia.

Kemudiannya, laman penjejak FlightRadar 24 pula mendedahkan jet kerajaan yang dinaiki oleh Najib Razak dan isterinya itu juga turut disahkan berada di beberapa bandar Eropah yang disebutkan itu.

Jika dikira daripada pemergiannya ke Amsterdam pada Hari Raya ketiga itu dan berada selama dua hari di bandar itu untuk bertemu Perdana Menteri Belanda untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan tragedi MH17 dan meletakkan jambangan bunga sebagai tanda bersedih kepada semua mangsa, kehilangan Perdana Menteri sudah menghampiri tempoh masa dua minggu sebenarnya.

Maklumat daripada rakan-rakan UMNO pula menyebut bahawa Najib dijangka kembali ke tanahair hujung minggu ini dan akan mula berada di pejabatnya pada hari Isnin.

Secara umumnya, tidaklah salah bagi Perdana Menteri untuk bercuti tetapi percutian kali ini nampak tidak kena dengan masa dan ketikanya. Ketika beliau mengumumkan pembatalan jamuan Hari Raya di Seri Perdana dan meminta rakyat turut bersimpati dengan keluarga mangsa MH17 serta diikuti dengan kesediaan mengadakan lawatan segera ke Amsterdam, Belanda pada Hari Raya ketiga, ramai yang memuji dan menyambut baik tindakan keprihatinan yang diambilnya.

Namun kini, semuanya terhakis. Tidak melengahkan percutiannya dan ditemani pula oleh seorang playboy Hollywood, menimbulkan persoalan sama ada perasaan simpati dan prihatin seorang Perdana Menteri kepada apa yang sedang berlaku dalam negara benar-benar ikhlas dan asli?

Meneruskan percutian mewah sambil ditemani Jho Low tidak lebih memperlihatkan bahawa Najib Razak tetap mempunyai jiwa kental seorang anak bangsawan iaitu cuti tetap cuti walau rakyat berduka, negara sengsara dan dunia mahu terbalik sekali pun.

Najib jelas berbeza dengan Mahathir Mohamad yang sanggup selama beberapa tahun tidak bercuti semata-mata untuk menyelesaikan beberapa isu mendesak dalam negara pada penghujung tahun 90an, sehinggalah kemudiannya mengambil cuti panjang selama dua bulan pada 1997. Ketika itu Mahathir telah melantik Anwar Ibrahim sebagai pemangku Perdana Menteri.

Percutian Najib juga mengikuti apa yang dilakukan oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang turut pergi ke Melbourne bersama keluarganya beberapa hari sebelum Hari Raya untuk bercuti dan menyambut lebaran di sana.

Persoalnnya, tidak bolehkah ditangguhkan percutiannya? Atau bercuti saja di dalam negara seperti Pulau Langkawi atau Pulau Pangkor? Bukankah ianya lebih praktikal ketika negara diselubungi pelbagai bencana kalau pun mahu juga merehatkan badan dan minda?

Percutian Najib kali ini juga berlaku ketika politk Selangor gawat dengan isu pertukaran Menteri Besar. Walaupun isu ini sudah hampir ke penghujungnya, tetapi UMNO dilihat amat lembab dan tidak berperanan untuk mengambil peluang daripada krisis yang sedang berlaku ini. Selain hanya Noh Omar yang hanya ada bercakap sekali-sekala, Muhyiddin Yasin pula hanya sekali berperanan iaitu mengumumkan sokongan 12 Adun UMNO kepada Khalid Ibrahim.

Selebihnya tiada pemimpin UMNO yang melihat keadaan ini sebagai peluang keemasan dalam percaturan politik serta kelebihan untuk menambah sokongan.

Bahkan ketika UMNO dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku ini dan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Salehan Mukhyi mengatakan pendirian Pas untuk terus bersama Khalid ialah bagi memastikan dana Selangor berjumlah RM3.2 bilion tidak dibalun oleh UMNO, tiada pemimpin UMNO Pusat yang bangkit bersuara dan mempertahankan diri.

Semua mereka jelas tidak berani besuara kerana Najib sedang bercuti. Agaknya kalau dua bulan Najib bercuti, semua pemimpin UMNO turut bisu dan kaku.

Lebih memedihkan, percutian Najib bersama sekumpulan ahli perniagaa Cina juga tentunya menyinggung perasaan pejuang-pejuang UMNO peringkat bawahan yang berdegar-degar mahu melihat pembentukan kerajaan Melayu di Selangor melalui kerjasama UMNO dan Pas sambil mengutuk komuniti dan parti berasaskan kaum Cina yang dianggap tidak lagi relevan dan boleh diketepikan begitu saja.

Tetapi hakikatnya, di ketika yang sama Najib bukan saja sedang bercuti bersama sekumpulan ahli perniagaan Cina, bahkan mungkin sedang merancang hala tuju ekonomi dan politik negara bersama mereka. Penyatuan Melayu hanyalah impian di peringkat bawahan saja sebenarnya sedangkan pemimpin diatas sana tidak peduli pun mengenainya. (SH 16/08/2014)

Friday 15 August 2014

Kalau Shaari Dan Hasnul Dianggap Khianat Pada Pas, Haji Hadilah Pembuka Jalannya


Marah benar kumpulan pro ulama dalam Pas kepada Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang telah secara terbuka tampil menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah bersama 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR semalam. Kedua-dua mereka dituduh derhaka dan khianat kepada Pas kerana mendahului parti dalam bertindak sedangkan Pas akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini untuk membuat pendirian mengenainya.

Pas Selangor yang empat Exconya kini menjadi tiang kepada Khalid paling marah dengan tindakan dua Adun berkenaan lantas memberi notis 24 jam untuk menarik balik sokongan yang telah diberikan kepada Dr Wan Azizah atau bakal menghadapi tindakan disiplin.

Di media-media sosial pula, beberapa pemimpin Pas lain turut melontarkan kecaman terhadap Shaari dan Hasnul dengan antaranya menyatakan mereka berdua adalah kekotoran yang harus dibersihkan dan ada pula yang mengaitkan tindakan itu kerana diberikan tawaran yang membuatkan "air liur meleleh" jika menolaknya.

Tidak diketahui sama ada notis ugutan yang dilontarkan oleh Setiausaha Pas Selangor, Mohd Kharuddin Othman itu dilayan atau "masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri" saja bagi Shaari dan Hasnul tetapi yang menjadi perbualan ramai juga ialah sejak bila Pas membudayakan taktik ugutan ini?

Sebelum ini Exco Selangor, Solehan Mukhyi juga memberi ugutan kepada Khalid Ibrahim bahawa empat Exco Pas akan menarik diri dan meletakkan jawatan kiranya wakil daripada UMNO dilantik sebagai Exco menggantikan wakil daripada PKR dan DAP yang telah dipecat.

Setelah Khalid akur dengan ugutan itu dan memberi jaminan tidak ada rancangan melantik Adun UMNO sebagai Exco, kini sekali lagi taktik ugutan digunakan, tetapi kepada dua Adun Pas pula. Bagaimanapun sehingga tempoh 24 hampir berakhir, tidak ternampak tanda-tanda dua Adun berkenaan "kecut perut" dengan ugutan itu dan sokongan kepada Dr Wan Azizah telah, akan atau bakal ditarik balik.

Berbanding dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali yang akan menyiasat berhubung tindakan Shaari dan Hasnul manakala Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat pula mencadangkan kedua-dua Adun berkenaan dipanggil untuk mengetahui kedudukan sebenarnya, tindakan Pas Selangor nyata amat emosional, terburu-buru dan tidak matang.

Dalam masa yang sama, notis ugutan itu juga dipersoalkan ramai sama ada ia hanya kenyataan peribadi Setiausaha Pas Selangor berkenaan atau keputusan mesyuarat Pas Selangor?

Namun demikian, tindakan kedua Adun berkenaan yang tampil secara terbuka dan menandatangani akun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah menambahkan lagi gelora dalam Pas. Parti itu terus berkecamuk, berbalah dan bersimpang siur menjelang mesyuarat pada 17 Ogos ini.

Walaupun Shaari dan Hasnul ketika ini dipersalahkan oleh kelompok tertentu dalam Pas sendiri, ada baiknya mereka menoleh sejenak ke belakang melihat apa yang telah berlaku seminggu dua sebelum ini. Jika Shaari dan Hasnul didakwa membelakangi parti, bagaimana pula dengan kenyataan Haji Hadi yang juga menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid sebelum Pas bermesyuarat?

Tidakkah Presiden Pas sendiri khianat kepada parti atau setidak-tidaknya telah menyediakan jalan untuk itu? Bukankah pepatah selalu memgingatkan, kalau "bapa borek, anak rintik" dan "guru kencing berdiri, murid kencing berlari"?

Sokongan Shaari dan Hasnul juga sebenarnya masih dalam lingkungan kedudukan Pas sebagai rakan dalam PR. Jika menyokong Dr Wan Azizah suatu kesalahan, bagaimana pula dengan kenyataan Mat Sabu, Husam Musa, Dr Mujahid dalam lain-lain yang juga senada dalam menyokong calon Menteri Besar yang ditonjolkan oleh PKR serta mempertahankan kedudukan Pas agar tidak berpecah daripada PR serta mempersoalkan apakah istimewanya Khalid Ibrahim di mata Pas?

Tidakkah mereka juga khianat kepada parti?

Orang mungkin boleh menerima Shaari dan Hasnul sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada parti jika mereka secara terbuka menyokong calon daripada UMNO atau BN yang memang menjadi musuh Pas dan di luar lingkungan PR. Tetapi apakah menyokong calon dalam PR sendiri pun suatu kesalahan?

Faktor mendahului mesyuarat seharusnya tidak timbul kerana Pas sendiri sudah dua kali menangguhkan tarikh mesyuaratnya. Mula-mula 10 Ogos, kemudian 13 Ogos dan akhirnya ditetapkan 17 Ogos.

Bagaimana jika Pas terus menangguhkan mesyuaratnya? Apakah Shaari dan Hasnul mahu berdiam diri dan berpeluk tubuh saja sedangkan kegawatan politik di Selangor ini kian mencengkam perasaan hampir semua orang?

Kedua Adun ini juga tidak boleh dianggap membelakangi keputusan Majlis Syura kerana keputusan menyokong Khalid dulu dibuat ketika beliau masih ahli PKR tetapi setelah dipecat dan menjadi ahli Bebas, logiknya keputusan itu tidak terpakai lagi. Seharusnya dalam hal ini, Majlis Syura haruslah proaktif dan dinamik dengan segera mengadakan mesyuarat seterusnya bagi mengelakkan kekeliruan.

Ohh! jangan lupa, bagaimana pula dengan kenyataan terang-terangan seorang AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang mahukan Pas membentuk kerajaan campuran dengan UMNO di Selangor? Beliau kemudiannya mengulangi lagi dengan mencadangkan penubuhan kerajaan konsensus nasional pula.

Tidakkah ini lebih mengkhianati parti dan persefahaman Pas dengan rakan-rakannya sendiri bersama PR selama ini?

Tindakan empat Exco Pas yang sanggup berketua dan menyokong Menteri Besar tidak berparti pula bagaimana? Apa prinsip Pas dalam hal ini?

Jika Pas ingin mengambil tindakan, ada baiknya ambil tindakan yang menyeluruh dan kepada semua pihak. Jangan memilih-milih atau kepada orang tertentu saja. Bukankah Islam itu adil dan tidak memilih bulu? (SH 15/08/2014)

Thursday 14 August 2014

Keberanian Dua Adun Pas Selangor Harus Dipuji


Langkah Kajang semakin hampir menjadi kenyataan. Ia hanya bergantung kepada faktor masa saja lagi. Dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah membuktikan beliau ketika ini mempunyai sokongan 30 daripada 56 Adun, majoriti nyata sudah berpihak kepada Presiden PKR itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Kejayaan Dr Wan Azizah membuktikan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti, termasuk melalui dua Adun Pas iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin, selain sokongan 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR sedia ada, bukan saja menunjukkan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor ini sudah berada di penghujungnya, bahkan juga menjadikan keputusan mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti sudah tidak bermakna lagi.

Harapan Pas dengan menangguhkan mesyuaratnya sebanyak dua kali untuk menjadikan ia mempunyai kuasa tawar menawar, boleh menunjuk kuasa dan dilihat penting dalam mengakhiri krisis, sudah menjadi sia-sia saja ketika ini. Pas juga sudah tidak berupaya lagi menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Sama ada Pas terus menyokong Khalid atau akur dengan kesepakatan dalam PR yang telah terbentuk sejak sekian lama, semuanya sudah tidak bernilai lagi. Mesyuarat Pas pada 17 nanti, jika ia berpendirian menyokong pertukaran Khalid dan akur dengan kedudukannya sebagai rakan gabungan dalam PR, hanya sekadar "rubber stamp" kepada sokongan Shaari dan Hasnul kepada Dr Wan Azizah.

Kiranya pada 17 Ogos nanti, Pas terus menyokong Khalid, ia juga tidak mampu mempertahankan kedudukan kerajaan empat Exco yang sedang dipimpinnya.

Keberanian Shaari dan Hasnul menyatakan pendirian lebih awal daripada partinya sendiri, bukan saja seharusnya dipuji kerana menjadikan drama yang sudah lama berlarutan ini berakhir dengan "happy ending" sebagaimana yang diharapkan oleh banyak pihak, tetapi juga dapat membersihkan nama baik Pas daripada terus menjadi ejekan serta cemuhan ramai berikutan kelewatannya membuat keputusan itu.

Bayangkan, jika terpaksa menunggu sehingga 17 Ogos untuk Pas menyatakan pendiriannya, tentulah dalam masa yang sama juga menyebabkan parti itu terus dipertikaikan dan terdedah kepada bermacam-macam spekulasi. Ia akan menjadikan imej Pas begitu teruk di pandangan umum, selain mula berpecah antara kumpulan ulama dan profesional.

Tetapi dengan keberanian dua Adun ini, semuanya telah berakhir. Nama Pas telah dapat dibersihkan dan dapat menyekat Khalid Ibrahim daripada terus bertindak sesuka hatinya. Walaupun Khalid masih Menteri Besar ketika ini, tetapi semua keputusan dan tindakannya selepas ini sudah tidak berwibawa lagi. Kerajaan Khalid sudah menjadi kerajaan minoriti dan hanya orang yang berkulit tebal serta tiada perasaan malu saja sanggup terus bertahan dengan keadaan seperti ini.

Shaari dan Hasnul bukan saja tidak perlu keluar Pas berikutan tindakannya ini, bahkan Pas juga tidak seharusnya mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Mereka adalah penyelamat maruah Pas dan harus diiktiraf peranan serta keberaniannya.

Mereka berdua juga menyelamatkan PR untuk terus kekal dianggotai oleh tiga parti utama iaitu Pas, PKR dan DAP serta dapat memainkan peranan yang sewajarnya sebagai pembangkang yang berkesan dan terus menjadi alternatif dalam pilihanraya akan datang.

Dalam masa yang sama, kenyataan Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor sebelum ini beliau masih mempunyai sokongan majoriti, dengan sendirinya sudah terbatal. Meskipun Khalid cuba bersilat lagi dengan mencabar agar pengakuan sokongan majoriti itu diterjemahkan dalam Dewan Undangan Negeri melalui usul tidak percaya terhadapnya, dari segi pandangan umum mengesahkan bahawa kelayakan moral untuk beliau terus bertahan sudah pun hancur berkecai.

Talian hayat kerajaan empat Exco yang dipimpin oleh Khalid hanya bergantung kepada faktor masa saja. Oleh kerana Sultan Selangor ketika ini berada di luar negara dan hanya akan kembali ke tanahair pada 23 Ogos, pilihan Khalid semakin terbatas sekarang ini.

Jika sebaik kembalinya Sultan Selangor daripada luar negara lalu Khalid mengadap baginda dan memohon diadakan sidang khas DUN, semuanya pasti terjawab ketika itu.

Jika 30 Adun terus kekal bersama Dr Wan Azizah, terpelantinglah Khalid. Itu belum dikira lagi jika Pas juga membuat keputusan pada 17 Ogos nanti turut menolak kepimpinan Khalid. Jika diadakan undian, Khalid yang kini Adun Bebas hanyalah mendapat 12 undi daripada Adun UMNO saja.

Tetapi difahamkan juga Khalid mempunyai tempoh sehingga November untuk menangguhkan sidang DUN. Kalau itu pilihannya, bolehlah beliau mengelakkan undi tidak percaya sehingga November serta bolehlah terus berdondang-sayang dengan jawatan Menteri Besarnya lebih lama lagi.

Jika Khalid bermaruah dan akur dengan kehilangan majoritinya, sekembalinya Sultan Selangor daripada luar negara ini pastilah beliau akan mengemukakan surat perletakan jawatannya. Ia akan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali kepada PR sebagaimana mandat rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

Namun sekiranya Khalid tidak puas hati, beliau juga boleh memohon kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi diadakan suatu pilihanraya negeri. Kiranya diadakan pilihanraya negeri dan kerajaan, menurut SPR terpaksa membelanjakan RM50 juta bagi kos pilihanraya, beban kesalahan sehingga menyebabkan duit rakyat terbazir begitu saja adalah disebabkan kedegilan Khalid yang enggan akur dengan kehilangan kerusi empuknya.

Segala-galanya kini terserah kepada Khalid membuat keputusan. Kecuali jika dalam tempoh sehingga 23 Ogos ini atau selewat-lewatnya sehingga November depan, beliau dapat melakukan misi yang sangat sukar iaitu menterbalikkan semula sokongan majoriti Adun kepadanya daripada yang sudah diperolehi oleh Dr Wan Azizah, hayat politik Khalid sudah boleh dikira berakhir hari ini.

14 Ogos adalah titik penamat moral politiknya.

Tahniah dan sekalung pujian kepada Shaari dan Hasnul kerana bertindak berani mengakhirinya lebih awal daripada yang dijangkakan. (SH 14/08/2014)

Dalam Baik Khalid Cuba Pindahkan Beban Pecat Anwar Kepada Pas


Dalam usaha mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim semalam telah memecat enam Exco daripada PKR dan DAP daripada menganggotai pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya. Bagaimanapun sehingga ini seorang Exco iaitu Rodziah Ismail daripada PKR, ditangguhkan buat sementara pemecatannya kerana berada di luar negara.

Tetapi dalam perkembangan terbaru tengah malam tadi, Rodziah yang baru kembali dari luar negara mengumumkan akan segera meletakkan jawatan ssbagai Exco atas alasan mahu terus bersama dengan Pakatan Rakyat.

Dengan kedudukan ini, Khalid kini hanya mempunyai empat orang Exco daripada Pas saja yang bersama dengannya. Tiada wakil daripada PKR dan DAP yang mahu bersamanya manakala Pas juga turut memberi kata dua akan segera menarik diri jika wakil daripada UMNO dilantik menganggotai kabinet negeri.

Bagaimanapun kedudukan empat Exco daripada Pas ini hanyalah sementara saja sehingga 17 Ogos nanti apabila Pas akan mengadakan mesyuaratnya bagi membuat pendirian rasmi sama ada terus menyokong kepimpinan Khalid atau berpendirian sama seperti PKR dan DAP yang telah menolak kepimpinannya.

Ekoran pemecatan Exco itu, Khalid juga telah ditanya mengenai kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik sejak 2009 lalu sama ada akan dipecat juga atau dikekalkan. Anwar sebelum ini dilantik ke jawatan itu atas keyakinan Khalid terhadap pengalaman dan pengetahuannya sebagai bekas Menteri Kewangan untuk membantu pembangunan ekonomi negeri tersebut.

Anwar dilantik ke jawatan itu hanya dengan gaji tetap sebanyak RM1 saja sebulan.

Ramai yang tertunggu-tunggu sama ada Khalid akan membalas dendam dengan memecat Anwar pula setelah mentornya itu terlebih dahulu memecatnya daripada PKR berikutan keengganan berundur daripada jawatan Menteri Besar sebagaimana yang diarahkan.

Khalid nampaknya tidak tergesa-gesa mahu memecat Anwar, sebaliknya menyatakan perkara itu akan dibincangkan bersama empat Exco Pas yang masih bersama dengannya. Adalah dijangka perbincangan untuk menentukan kedudukan Anwar itu akan dilakukan dalam waktu yang terdekat ini tetapi ramai yang menjangka inilah ketikanya Khalid akan melangsaikan dendam dan memalukan Ketua Umum PKR itu.

Tetapi agak menghairankan kerana Khalid masih boleh bersabar dan tidak tergesa-gesa mahu memecat Anwar.

Kenapakah Khalid enggan memecat Anwar dengan segera? Kenapa pula tunggu Exco membuat keputusan? Adakah beliau masih sayang dan simpati dengan Anwar? Jika Exco boleh dipecatnya, memecat Anwar tentulah bukan masalah besar baginya?

Dalam hal ini Khalid sebenarnya sedang bermain catur dengan Pas. Walaupun beliau boleh begitu saja memecat Anwar, tetapi beliau sengaja mahukan Exco membuat keputusan supaya dapat memindahkan beban pemecatan itu kepada Pas pula dan menjadikan dirinya sebagai "orang baik".

Oleh kerana Exco Kerajaan Negeri Selangor sekarang hanya terdiri daripada empat ADUN Pas, jika pemecatan itu dilakukan ia tentulah menggambarkan hakikat bahawa Paslah yang sebenarnya memecat Anwar. Khalid bukanlah ada perasaan sayang atau simpati kepada Anwar lagi tetapi hanya mahu melihat hubungan yang terus retak antara Pas dengan Anwar.

Dengan pemecatan Anwar yang hanya dianggotai oleh Exco daripada Pas, Khalid secara tidak langsung dapat menunjukkan kepada orangramai bahawa Pas memang menolak kepimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri itu serta mengesahkan lagi pendedahan Rafizi Ramli sebelum ini bahawa Pas tidak menerima Anwar sebagai calon PM jika memenangi pilihanraya, sebaliknya mahukan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan itu.

Kiranya mesyuarat Exco membuat keputusan mengekalkan pula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Khalid dalam masa yang sama juga sudah boleh membaca pendirian Pas terhadap dirinya. Ketika itu, beliau mungkin sudah ada pelan B untuk menanganinya.

Dalam baik dan sedang menerima sokongan Pas, Khalid juga dalam masa yang sama mahu mengenakan Pas dan cuba "melagakannya" dengan Anwar. Sesekali licik juga permainan politiknya. (SH 14/08/2014)

Wednesday 13 August 2014

Pas Mula Tunjuk Kuasa!!


Walaupun tindakan Pas dalam kemelut politik Selangor terus mengeliru dan membingungkan banyak pihak, hakikatnya parti itu sedang mengambil langkah berhati-hati dalam tindakan yang bakal diambilnya. Kadang-kadang ia juga dilihat seperti mahu menunjuk kuasa yang ada padanya. Dan sementara itu, semua pihak kena bersabar dan bertenang sehingga tarikh 17 Ogos depan di mana Pas akan bermesyuarat dan akan menentukan pendiriannya.

Dalam tempoh sehingga 17 Ogos, Pas akan terus dilobi, dipujuk, dirayu dan diyakinkan agar membuat sesuatu keputusan yang memihak kepada mereka yang berkepentingan itu.

Sejak Khalid memecat enam Exco daripada PKR dan DAP, empat ahli Exco yang lain yang terdiri daripada Pas telah dirayu agar menunjukkan solidariti dengan tidak menghadiri mesyuarat Exco pada hari ini. Kes yang berlaku di Perak pada 2009 di mana semua ahli Exco bersatu mempertahankan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar ditimbulkan kembali untuk memperingatkan Pas.

Pas bagaimanapun tidak memperdulikan cadangan solidariti itu, sebaliknya terus hadir dalam mesyuarat Exco dan kemudian bergambar saling menjulang tangan bersama Khalid Ibrahim. Tentunya momen itu tambah menyakitkan hati PKR dan DAP kerana Pas dianggap sudah tidak lagi sehati sejiwa dan selenggang sehayun dengan rakan-rakannya dalam PR.

Di ketika yang sama, segera tersebar desas-desus bahawa Khalid juga bakal melantik tiga Exco daripada UMNO untuk mengukuhkan lagi kerajaannya yang sehingga ini hanya berdiri atas perkenan Sultan Selangor semata-mata. Dari segi majoriti, moral politik dan hukum akal sekali pun, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid sebenarnya sudah pun berakhir.

Ini kerana Khalid hanya mendapat sokongan yang pasti daripada 12 ADUN UMNO saja. 13 ADUN PKR dan 15 ADUN DAP sudah hilang kepercayaan terhadapnya. Pendirian ADUN Pas pula hanya akan diketahui pada 17 Ogos nanti. Pendirian Pas yang dipegang Khalid sebagai memihak kepadanya adalah pendirian lama ketika beliau masih ahli PKR sedangkan kini sudah menjadi ADUN Bebas.

Secara sahnya, hanya 12 ADUN saja yang menyokong Khalid ketika ini.

Dari segi pentadbiran pula, hanya empat Exco saja lagi bersamanya. Itu pun sehingga 17 Ogos depan saja. Jika pada tarikh itu, Pas membuat keputusan terus bersamanya, kekallah empat Exco itu bersamanya tetapi jika sebaliknya, Khalid tidak mempunyai Exco lagi bersamanya.

Dengan kerajaan negeri hanya mempunyai empat Exco itu, walaupun dibenarkan oleh perlembagaan negeri, tetapi ia adalah lemah, pincang dan tidak kukuh. Ia ibarat kereta yang hanya berjalan dengan tiga selinder, boleh bergerak tetap selalu terhenjut-henjut dan tidak boleh bertahan lama.

Dalam masa yang sama, Pas juga memberi amaran kepada Khalid bahawa mereka akan meletakkan jawatan jika Exco daripada UMNO dilantik. Walaupun Pas menyokong kepimpinan Khalid tetapi Pas juga masih tidak rela baring sebantal dan tidur sekelambu dengan UMNO. Khalid tentunya bingung juga dengan pendirian Pas ini dan segera membuat penafian tidak ada cadangan berbuat demikian ketika ini.

Khalid sedar jika Pas menarik diri ketika kini, tiada Exco lagi bersamanya dan ini bermakna kerajaan pimpinannya boleh berakhir begitu saja. Bersamanya Pas dengan Khalid hanyalah untuk memastikan kerajaan negeri tidak runtuh dan jika runtuh pula ianya adalah disebabkan Khalid melantik ADUN UMNO sebagai Exco.

ADUN UMNO yang mungkin sudah pasang angan-angan dan menyiapkan badan untuk menjadi Exco lantaran yakin kerajaan campuran bakal terbentuk di Selangor, barangkali perlu menyimpan semula impian dan baju melayu beserta songket hitam yang sudah mula dibelek-belek ketika ini.

Sebagaimana PKR dan DAP bingung dengan pendirian Pas sebelum ini, kali ini giliran Khalid dan UMNO pula dibingungkan oleh Pas.

Meskipun sedar kerajaan empat Exco ini tidak kukuh, Pas nampaknya sudah meletakkan dirinya sebagai primadona dan buruan, sekurang-kurangnya sehingga 17 Ogos nanti. PKR, DAP, Khalid dan UMNO akan terus melobi dan berharap pendirian Pas nanti menyebelahi mereka.

Dalam masa yang sama, keadaan ini juga mungkin melembutkan hati Anwar yang sebelum ini tetap berkeras mahukan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang baru. Dalam usaha melembutkan hati Pas dan demi situasi menang-menang, tidak mustahil calon alternatif akan ditonjolkan akhirnya untuk menggantikan Dr Wan Azizah mengambil alih tempat Khalid Ibrahim.

Walaupun keputusan ini dianggap kekalahan kepada Anwar tetapi daripada kerajaan negeri tumbang atau kemelut terus berpanjangan, bertolak ansur adalah pilihan terbaik.

Berdasarkan beberapa kenyataan pimpinan Pas seperti Mat Sabu, Husam Musa dan, Dr Mujahid dan Shaari Sungib, jelas bahawa Pas lebih cenderung untuk terus kekal bersama PR berbanding meninggalkan gabungan tersebut. Kenyataan Haji Hadi yang meminta semua pihak bersabar sambil berdoa kepada Tuhan juga seperti memberi bayangan ke arah nada yang sama.

Kecuali jika Khalid mengambil keputusan membubarkan DUN Selangor selepas 17 Ogos ini, kerusi Menteri Besar Selangor pasti akan kembali kepada PR semula. Yang berubah hanyalah siapa yang duduk di kerusi itu saja. (SH 13/08/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...