Thursday 31 October 2013

Muhyiddin Dah Pandai Melawak, Katanya Projek Pembangunan Bukan Untuk Beli Undi...


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang kini lebih lapang dadanya berikutan permohonan maafnya telah diterima baik oleh keluarga Allahyarham Ustaz Azizan sedangkan isu keterlanjurannya mengaitkan bekas MB Kedah yang dipotong kakinya dengan pemansuhan subsidi gula menjadi percakapan ramai, dilihat semakin bersemangat meneruskan kempennya untuk memastikan kemenangan BN di Sungai Limau pada 4 November ini.

Beliau bukan saja semakin kerap turun ke menemui pengundi, bahkan semakin rancak mencurahkan wang pembayar cukai rakyat atas nama UMNO dan BN bagi memastikan Pas tewas dalam pilihanraya kecil ini. Setelah pelbagai projek pembangunan dicurahkan sebelum ini, terbaru ini beliau memberi RM400 ribu untuk sebuah madrasah, RM3 untuk jeti nelayan dan kemudian lebih RM2 juta untuk sekolah-sekolah Cina.

Namun kata Muhyiddin, semua projek pembangunan dan curahan peruntukan kewangan itu bukan bertujuan membeli sokongan daripada pengundi Sungai Limau, tetapi hanya kebetulan saja pilihanraya kecil sedang berlangsung.

Katanya, bantuan kepada rakyat adalah program berterusan kerajaan, tidak kira sama ada berlangsung pilihanraya atau tidak.

Hahahaha...ramai yang ketawa mendengar kenyataan Muhyiddin ini. Ada pula yang berkata, TPM yang selama ini dikenali dengan wajah serius dan jarang tersenyum, rupa-rupanya sudah pandai melawak sekarang ini. Lawaknya ialah beliau datang setiap hari ke Sungai Limau dan memberi projek serta pertuntukan di sana-sini tetapi tidak mahu undi.

Maknanya dengan segala yang diberikannya ini, Muhyiddin tak kisah pun jika pengundi Melayu dan Cina terus menyokong Pas. Biarlah Pas menang dan BN kalah lagi untuk kali keenam berturut-turut. Sebabnya Muhyiddin tak mahu segala pemberiannya itu dibalas dengan undi.

Biarlah juga Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi BN Kedah yang telah malu besar kerana kalah bertanding Naib Presiden UMNO dua minggu lalu sedangkan namanya begitu popular di kalangan ahli UMNO, sekali lagi ditimpa malu kerana ditolak oleh pengundi Sungai Limau pula.

Apakah kenyataan Muhyiddin ini menggambarkan beliau sudah dapat menjangka peluang tipis BN di Sungai Limau? Jika benar tidak mengharapkan undi, lebih baiklah projek-projek itu tidak ditumpukan di Sungai Limau saja, sebaliknya turut diberikan kepada pengundi di Pagoh atau Pekan, Pahang kerana di kawasan tersebut juga pastinya ramai yang turut memerlukan bantuan serta perhatian daripada kerajaan.

Memang betul-betul lawak Muhyiddin ni...

Berikutan kenyataan Muhyiddin ini, ramai orang UMNO yang marah-marah kerana beliau memberi peruntukan besar kepada sekolah-sekolah Cina sedangkan sokongan yang diterima masih bekum pasti, barangkali turut juga ketawa kali ini. Di Sungai Limau terdapat 1,827 pengundi Cina tetapi dalam pilihanraya lalu BN hanya mendapat 180 undi saja sedangkan ahli MCA saja berjumlah 956 orang.

Dalam kempen yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, walaupun Muhyiddin barangkali terus melawak dengan mengatakan tidak melakukan pembelian undi, tetapi dipercayai banyak lagi projek dan peruntukan kewangan bakal dicurahkan. Yang menjadi calon pilihanraya UMNO tetapi nampaknya wang pembayar cukai akan terus dilambakkan di Sungai Limau.

Sebab itu, kritikan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin bahawa pemimpin kerajaan membelanjakan wang pembayar cukai ini macam wang "mak bapak dia" memang ada kebenarannya. Tidak bolehkah wang pembayar cukai dibelanjakan mengikut peraturan dan tidak diselewengkan untuk kepentingan parti politik yang bertanding dalam pilihanraya?

Tidak bolehkah bila bertanding dalam pilihanraya, hanya wang parti yang digunakan tanpa melibatkan wang pembayar cukai? Atau hanya dasar-dasar parti yang dijadikan asas kempen tanpa melibatkan apa-apa pemberian, projek pembangunan dan sebagainya?

Memandangkan bapanya merupakan seorang imam dan ulama yang agak terkenal di Muar suatu ketika dahulu, Muhyiddin mungkin tahu sedikit-sebanyak hukum halal haram atau wajar dan tidaknya menggunakan wang rakyat untuk kempen pilihanraya ini. Sebab itu, agaknya beliau malu-malu untuk berterus-terang bahawa segala peruntukan yang dicurahkannya itu untuk membeli undi dan sokongan bagi memastikan kemenangan BN di Sungai Limau ini.

Agaknyalah...(SH 31/10/2013)

Wednesday 30 October 2013

Kenapalah Kerajaan BN Jadi Terlebih Cerdik Bila Berurusniaga...


Isu pemansuhan subsidi gula yang diumumkan dalam Bajet 2014 Jumaat lalu, terus mendedahkan kelemahan dan pelbagai kepincangan kerajaan dalam menjaga amanah serta mengurus wang rakyat. Sebagaimana yang diunjurkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di Parlimen bahawa pasaran gula di Malaysia mencecah RM4 bilion setahun dan dengan
pemansuhan subsidinya, keuntungan yang boleh diraih oleh tauke gula Malaysia iaitu Syed Mokhtar Albukhary bakal meningkat antara 20 hingga 25 peratus atau RM1 bilion.

Dengan ini, selain pemansuhan subsidi gula itu terus membebankan kehidupan rakyat yang setiap hari menggunakan bahan itu dalam makanan dan minuman, dalam masa yang sama peningkatan laba tetap tertumpah kepada kroni.

Siapakah yang dibela dan menjadi keutamaan kerajaan sebenarnya?

Harga gula yang kini meningkat kepada RM2.84 sekilo (tetapi perlu dibayar RM2.85) ini juga rupa-rupanya lebih mahal daripada harganya di Thailand yang cuma RM2.10, setelah sama-sama tiada subsidi. Kalau dalam isu harga minyak, pemimpin kita amat bangga bahawa harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada di Thailand meskipun negara gajah putih itu bukan pengeluar minyak, tetapi dalam isu harga gula, Malaysia lebih mahal rupa-rupanya.

Kenapakah harganya jauh berbeza sedangkan sama-sama tiada subsidi? Kalau ketika ada subsidi harga gula Malaysia juga lebih mahal daripada Thailand, setelah subsidi dimansuhkan, perbezaannya jauh lebih ketara lagi. Rupa-rupanya mahalnya harga gula ini bukanlah kerana pemansuhan subsidinya tetapi kerana kerajaan Malaysia ini terlebih cerdik dalam berurusniaga.

Pendedahan Tony Pua dari DAP bahawa perjanjian pembelian gula mentah yang ditandatangai oleh kerajaan pada harga yang lebih mahal daripada harga pasaran sebagai punca utama mengapa harga bahan itu menjadi mahal, tentulah mengejutkan kita semua.

Tony Pua memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri pada 2012 yang mengumumkan bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian pengimportan gula mentah selama tiga tahun pada harga $AS25 bagi setiap 45.36 kilogram.

Perjanjian itu dikatakan dimeterai untuk tempoh tiga tahun bertujuan melindungi harga pasaran gula mentah supaya berada di bawah $AS26 bagi setiap 45.36 kilogram sedangkan harga pasarannya ketika ini hanyalah $AS18.91 bagi setiap 100 paun atau 45.36 kilogram.

Ini bermakna jika kerajaan menandatangai perjanjian pengimportan gula mentah itu berdasarkan harga pasaran dan tidak menjadi terlalu cerdik dengan bersetuju pada kadar $AS25 selama tiga tahun, sudah pastilah negara kita akan menikmati harga gula yang lebih rendah, biar pun tanpa subsidi.

Tindakan membeli gula mentah pada harga yang mahal ini bukan saja menunjukkan kerajaan yang ada dan pemimpinnya terlebih cerdik dalam berurusniaga sedangkan seringkalai melaungkan slogan membela rakyat, tetapi juga menunjukkan kemungkinan berlakunya amalan rasuah dan mengutip wang di bawah meja dalam perjanjian tersebut.

Apabila melihat fakta ini, fikiran kita tentulah teringat kepada laporan audit yang dibentangkan setiap tahun yang menunjukkan bagaimana banyak pembelian juga dilakukan pada harga yang lebih mahal daripada sepatutnya. Jam dinding berharga RM100 dibeli pada harga RM3800 misalnya dan banyak lagi. Tahun-tahun sebelum ini pula menyaksikan bagaimana pelbagai barangan lain seperti mesin pencetak, alatan pejabat, pakaian, pokok bunga dan sebagainya, semuanya dibeli dengan harga yang jauh lebih mahal.

Pelbagai perjanjian kontrak yang lain juga banyak menunjukkan kadar harga yang dibayar oleh kerajaan begitu tinggi dan melampau.

Lebih malang lagi, pembelian kapal selam Scorpene daripada Perancis yang kemudian menjadi isu kerana dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu, turut juga dibeli dengan harga yang super mahal. Sebagaimana yang dilaporkan dalam majalah pertahanan terkemuka, Jane's Defende Weekly, harga yang dibayar oleh Malaysia untuk sebuah kapal selam itu ialah $AS580 juta sedangkan India dan Chile hanya membayarnya pada harga $AS250 juta dan $AS540 juta sahaja.

Walaupun perbezaan harga itu dinilai kerana kononnya spesifikasi yang berbeza, namun perbezaan yang terlalu tinggi tentunya juga menimbulkan persoalan dan memungkinkan adanya "cencaru kenyang di waktu petang" di sebalik pembelian itu. Tambahan pula tersebar juga berita bagaimana syarikat Razak Baginda, rakan karib Najib yang menguruskan pembelian itu dilaporkan mendapat komisyen sehingga RM500 juta daripada pembelian itu.

Dengan pelbagai perjanjian dan pembelian yang dilakukan oleh kerajaan pada harga yang jauh lebih mahal dari sepatutnya sejak beberapa tahun ini, terbaru perjanjian import gula mentah, sifat amanah pimpinan kerajaan dalam mengurus dan membelanjakan wang rakyat atau wang pembayar cukai, tentu saja boleh dipersoalkan.

Rakyat berhak berasa resah dan marah dengan amalan yang tidak beretika ini kerana mandat yang diberikan kepada sesebuah parti untuk mengurus kerajaan bukanlah untuk mereka berbelanja dan menghabiskan wang yang ada sesuka hati, sebaliknya adalah untuk mereka menunaikan tanggungjawab memberi kesejahteraan, kesenangan dan perlindungan kepada rakyat.

Tidaklah sukar untuk rakyat memahami kenapalah kerajaan dan pimpinannya menjadi terlebih cerdik dan sanggup membeli dengan harga yang lebih mahal sedangkan harga yang lebih murah atau mengikut harga pasaran boleh diperolehi. Tetapi janganlah selama-lamanya menganggap rakyat bodoh dan berdiam diri saja dengan perbuatan itu.

Akan sampai waktunya nanti, rakyat bangun akhirnya menunjukkan kecerdikannya dan ketika itu tiada sesiapa yang dapat menahannya lagi. (SH 30/10/2013)

Tuesday 29 October 2013

Muhyiddin Sudah Minta Maaf, Pas Bila Lagi?


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akhirnya akur untuk meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Ustaz Azizan Razak berhubung kontroversi ucapannya yang dianggap menyinggung perasaan dan mengguris hati keluarga bekas MB Kedah itu.

Menurut Muhyiddin, sebagai umat Islam dan manusia biasa, beliau memohon maaf sekiranya ucapannya sebelum ini menyinggung hati dan perasaan keluarga Ustaz Azizan.

"Bukan tujuan saya untuk orang kata mencemarkan nama baik Allahyarham atau merendah-rendahkan dan memperkecilkan beliau. Kalau kenyataan saya sebelum ini disalahtafsir dan menyinggung mereka, saya mohon maaf walaupun bukan itu tujuan dan maksudnya," tambah beliau.

Sehubungan itu, Muhyiddin berharap keluarga Allahyarham Ustaz Azizan yang berpengaruh besar di Sungai Limau sedia memaafkannya dan melupakan kejadian tersebut.

Kesediaan Muhyiddin meninta maaf ini sesuai dengan cadangan yang dilontarkan oleh blog ini yang mahukan TPM itu segera berbuat demikian lantaran isu tersebut telah menjadi panas di Sungai Limau, selain keluarga Ustaz Azizan sendiri menuntut perkara yang sama kepada beliau.

Sebelum itu, Mahfuz Omar, Pemuda Pas Kedah dan Muslimat Pas juga mahukan Muhyiddin meminta maaf kerana kenyataannya yang mengaitkan pemotongan subsidi gula dengan pemotongan kaki Ustaz Azizan kerana kencing manis dianggap tidak sesuai, keterlanjuran dan mengguris hati keluarga bekas MB Kedah itu.

Selain isu Muhyiddin itu, satu lagi isu yang sedang berlegar menjadi perbualan ramai di Sungai Limau ialah berkaitan tindakan Pas menggunakan gambar palsu yang memaparkan calon Pas, Mohd Azam Samad sedang berbual-bual dengan Ustaz Azizan ketika beliau menjadi MB Kedah sedangkan gambar asalnya ialah wartawan Sinar Harian sedang menemubual Ustaz Azizan di pejabatnya.

Lantaran kedua-dua isu berlaku dalam waktu yang hampir serentak dan terus menjadi perbualan, blog ini telah mencadangkan agar Muhyiddin dan Pas sama-sama meminta maaf untuk meredakan keadaan dan mewujudkan suasana kempen yang sihat dan damai.

Muhyiddin dicadangkan perlu meminta maaf kepada keluarga Ustaz Azizan manakala Pas pula perlu meminta maaf kepada pengundi Sungai Limau kerana penggunaan gambar palsu itu dianggap penipuan kepada pengundi dan dalam masa yang sama mencemarkan nama baik parti Islam itu.

Muhyiddin dalam hal ini telah bertindak pantas dan menunjukkan jiwa besarnya sebagai pemimpin dengan sedia meminta maaf dan mengakui kesilapan yang telah dilakukannya.

Maka dengan itu, sementara Pas Kedah dilihat sedang mencari punca bagaimana gambar palsu itu boleh dimuatkan dalam buletin kempennya, belum terdengar lagi ada kata-kata maaf yang dilafazkan.

Sebenarnya, masih belum terlambat untuk Pas turut meminta maaf dan menunjukkan mereka juga matang dalam berpolitik. (SH 29/10/2013)

Muhyiddin Dan Pas Sama-Sama Kena Minta Maaf


Isu yang paling hangat menjadi bualan di Sungai Limau sekarang ini ialah berkenaan gesaan agar Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Ustaz Azizan Razak dan gambar palsu yang digunakan oleh Pas berkaitan calonnya, Mohd Azam Samad. Tidak mustahil juga isu ini akan berlarutan sehingga hari pengundianada 4 November nanti.

Muhyiddin sebelum ini ketika memperkatakan tentang pemansuhan subsidi gula telah mengaitkannya dengan Ustaz Azizan yang pernah dipotong kakinya kerana menghidap penyakit kencing manis. Apa pun nada dan tafsiran daripada ucapan Muhyiddin itu, termasuk niatnya yang tidak berhasrat menyinggung perasaan keluarga Ustaz Azizan, hakikatnya Muhyiddin tidak sepatutnya menperkatakan perkara itu dan barangkali beliau telah terlanjur dalam ucapannya itu.

Isu penyakit yang pernah dideritai oleh Ustaz Azizan tidak seharusnya disentuh dan dijadikan perbandingan dengan apa-apa kejadian sekali pun, tambahan pula beliau baru saja meninggal dan keluarganya masih bersedih dengan pemergiannya itu.

Sebab itu, tidak hairan bukan saja Pas yang merasa terpanggil untuk mendesak Muhyiddin meminta maaf kepada keluarga Ustaz Azizan, bahkan ahli keluarganya juga berbuat demikian. Sehingga ini, Mahfuz Omar, Pemuda dan Muslimat Pas telah menyeluarkab kenyaataan mengenai desakan mereka itu.

Keluarga Ustaz Azizan yang diwakili oleh anaknya, Mohd Rafiie Azizan nampaknya tidak dapat menyembunyikan kesedihan berganda yang sedang mereka alami sekarang iaitu sementara air mata masih belum kering kerana kehilangan anggota keluarga tersayang, tindakan Muhyiddin mengaitkan pemotongan subsidi gula dengan pemotongan kaki Ustaz Azizan seperti manambahkan lagi air mata yang bakal ditumpahkan.

Lantaran itu, beliau meminta Muhyiddin agar meminta maaf atas ucapannya yang dianggap menyinggung perasaan keluarga mereka itu.

Satu lagi isu ialah berkaitan penerbitan sebuah buletin yang dinamakan "Sinar Sungai Limau" yang didapati memaparkan gambar palsu yang melibatkan calon Pas, Mohd Azam Samad, juga dengan Ustaz Azizan. Gambar asalnya ialah wartawan Sinar Harian sedang menemuramah Ustaz Azizan tetapi telah dipalsukan dengan meletakkan gambar Mohd Azam seolah-olah sedang berbual-bual dengan bekas MB Kedah itu.

Barangkali tujuan Pas memuatkan gambar itu ialah untuk menunjukkan hubungan baik antara calon Pas dengan Ustaz Azizan berikutan banyaknya serangan daripada UMNO bahawa calon Pas itu tidak mempunyai hubungan baik dengannya, bahkan dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ustaz Pahrolrazi, seorang pemimpin Pas Kedah yang memang diketahui tidak mempunyai hubungan baik dengan Ustaz Azizan.

Memandangkan ramai pengundi di Sungai Limau adalah terdiri daripada saudara-mara dan kaum kerabat Ustaz Azizan, dan barangkali juga kerana terlalu mengharapkan undi daripada kelompok tersebut, maka berlakunya pemalsuan gambar tersebut sedangkan secara logiknya, perkara itu tidak perlu pun dilakukan oleh Pas.

Pas sewajarnya yakin dengan asas perjuangan yang dibawanya dan sokongan pengundi Sungai Limau, termasuk kaum keluarga Ustaz Azizan sejak lima penggal lalu juga adalah kerana keyakinan mereka terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas melalui calonnya ketika itu, Ustaz Azizan. Kiranya keyakinan mereka kekal dan istiqamah terhadap Islam, siapa pun calonnya, sokongan tetap akan diterima.

Memanglah ada faktor peribadi dalam memberi undi di mana-mana kawasan pun tetapi peratusannya hanya kecil saja. Dan dalam hal ini, Pas sepatutnya melihat isu yang lebih besar untuk mendapatkan sokongan dan undi iaitu meyakinkan pengundi terhadap perjuangan Islamnya, bukannya terperangkap dalam isu kecil dan remeh yang akhirnya memalukan diri sendiri.

Dalam kedua-dua isu ini, apa pilihan kepada Muhyiddin dan Pas sebenarnya?

Muhyiddin sebagai TPM dan mungkin bakal menjadi pengganti Najib dalam waktu terdekat ini berikutan petanda keretakan dalam UMNO semakin nyata dengan bermulanya serangan terbuka Mahathir semalam, haruslah menunjukkan jiwa besarnya dalam hal ini. Beliau perlu segara mengucapkan kata-kata maaf kepada keluarga Ustaz Azizan atas keterlanjurannya yang mungkin tidak disengajakan itu.

Kalau perlu, luangkan masa bertemu dengan kedua-dua balu dan anak-anak Ustaz Azizan dan lafazkanlah kata-kata maaf di hadapan mereka. Tiada ruginya pun berbuat demikian.

Dalam masa yang sama, Pas juga perlu meminta maaf kepada pengundi Sungai Limau dan keluarga Ustaz Azizan atas pemalsuan gambar yang telah mereka lakukan itu. Walaupun pemalsuan gambar itu mungkin tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada perasaan keluarga Ustaz Azizan tetapi kepada pengundi ianya mungkin isu besar yang boleh menjejaskan intergriti Pas untuk memenangi pilihanraya ini.

Maka, penyelesaiannya yang terbaik juga ialah dengan meminta maaf, tambahan pula Pas juga sudah mengakui tentang kepalsuan gambar tersebut.

Kiranya Muhyiddin dan Pas dapat sama-sama berlapang dada dan bersedia bersikap terbuka atas kesilapan yang masing-masing lakukan ini, itulah petanda kematangan dalam berpolitik yang tentunya turut menggembirakan semua pihak. Dan siapa yang lebih dulu meminta maaf, dialah yang sebenarnya lebih matang dan layak disanjung. (SH 29/10/2013)

Monday 28 October 2013

Akhirnya Mahathir Mulai Menyerang, Apakah Najib Bakal Tersungkur?


Sebagaimana yang diduga banyak pihak bahawa kekalahan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir merebut jawatan Naib Presiden UMNO pasti akan menyebabkan rasa tidak senang bapanya, akhirnya menjadi kenyataan juga. Hari ini bekas PM selama 22 tahun mendakwa politik wang masih wujud dalam UMNO sehingga menyebabkan mereka yang tidak layak berjaya menang dalam pemilihan baru-baru ini.

Walaupun tanpa menyebut siapa yang tidak layak tetapi mengamalkan politik wang itu, tetapi kenyataan Mahathir itu jelas menggambarkan kekecewaan terhadap kekalahan anaknya itu.

Sebelum pemilihan dan sepanjang kempen, Mukhriz dilihat calon paling popular untuk memenangi salah satu jawatan Naib Presiden UMNO. Ke mana-mana beliau pergi, sambutan yang diberikan cukup hangat. Dengan kemenangan tipis dalam PRU 13 serta kejayaan merampas kembali Kedah daripada pas dan terlihat adanya keperluan terhadap pemimpin muda untuk meniup angin segar dalam UMNO, Mukhriz dilihat antara pemimpin yang memenuhi kriteria itu.

Malangnya, populariti yang diterimanya tidak diterjemahkan dalam bentuk undi. Mukhriz hanya berjaya mendapat tempat keempat dengan 91 undi di belakang Hishammuddin yang mendapat 100 undi. Kekalahannya antara lain ialah kerana beliau tidak memberi wang kepada ketua-ketua UMNO cawangan dan perwakilan yang bakal mengundinya.

Berbanding calon-calon lain, bukanlah rahsia lagi ada yang memberi antara RM300 sehingga RM1000 kepada para perwakilan.

Sehubungan itu, dakwaan Mahathir bahawa sehingga berjuta wang yang mengalir dalam pemilihan kali ini, memang sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Bayangkan dengan 146,500 perwakilan, jika RM200 atau RM300 saja diberikan kepada perwakilan, sudah puluhan juta jumlahnya.

Sebelum pemilihan juga, Mahathir sudah merasakan peluang tipis bakal dihadapi anaknya berikutan beliau bukanlah calon pilihan Najib. Semua itu juga terbukti benar, apatah lagi 14 bahagian di Pahang, negeri yang sinonim dengan Najib, langsung tidak memberi undi kepada Mukhriz.

Dalam hal ini, memang sukar menyekat kemarahan Mahathir. Sudahlah anaknya dianaktirikan oleh Najib dengan tidak menjadikannya calon pilihan, berlakunya politik wang yang berleluasa sehingga ada yang beratur seperti menerima wang bantuan, pastilah menyukarkan lagi peluang beliau untuk memenangi jawatan itu, kecuali jika turut bersedia memberi wang kepada para perwakilan.

Dalam kritikannya hari ini, Mahathir bukan saja menyelar mengenai politik wang yang terus berlaku dalam UMNO dan menyebabkan anaknya tewas, tetapi turut mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya lemah, kurang mendapat sokongan rakyat dan sering mengalah kepada tuntutan ekstremis daripada parti pembangkang.

Menurut Mahathir lagi, kerajaan pimpinan Najib sekarang juga tidak stabil kerana wujudnya persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul menjadi pemimpinnya.

Melihat kepada serangan Mahathir ini, tidak syak lagi ini adalah permulaan perang terbukanya terhadap Najib. Selepas ini, percayalah, lebih banyak lagi kritikan akan ditujukan kepada Najib.

Mahathir juga nampaknya tidak peduli jika serangannya ini menipiskan lagi peluang UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil DUN Sungai Limau yang sedang berlangsung sekarang. Walaupun peluang BN amat tipis untuk merampas kawasan itu daripada Pas, serangan Mahathir kepada Najib ini bakal menjadi modal tambahan kempen Pas untuk mengekalkan penguasaannya di Sungai limau.

Jika ditakdirkan BN menang di Sungai Limau, Mahathir tentunya akan mendakwa bahawa pengaruh anaknya memang diterima baik oleh rakyat Kedah, walaupun kalah bertanding Naib Presiden UMNO. Ia kemudiannya akan mewujudkan persepsi bahawa perwakilan UMNO telah melakukan kesilapan kerana tidak mengundinya, sebaliknya memberi undi lebih kerana faktor wang semata-mata.

Jika BN kalah pula, ia turut membentuk persepsi bahawa kekalahan itu sedikit-sebanyak disumbangkan oleh kritikan dan serangan Mahathir terhadap Najib itu.

Ini bermakna, di Sungai Limau ini, sama ada BN kalah atau menang, kelebihan tetap berpihak kepada Mahathir dan ruang sentiasa lebih terbuka untuk beliau meneruskan siri serangannya terhadap kepimpinan Najib.

Dalam masa yang sama, serangan Mahathir ini juga menambahkan lagi hari-hari yang penuh runsing bagi Najib. Sementara Bajet 2014 yang baru dibentangkannya dikritik banyak pihak terutama hasrat memperkenalkan cukai GST, pemansuhan subsidi gula, banyak janji dimungkiri dan kegagalannya berada di Parlimen ketika perbahasan mengenai belanjawan itu bermula, Najib juga dibelenggu persepsi negatif mengenai salah seorang kakitangannya yang dikaitkan dengan homoseksual berikutan terdedahnya affidavit bekas isterinya yang sedang dalam proses perceraian.

Berita mengenai perkara itu banyak disiarkan dalam blog-blog pro UMNO yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir.

Isu bil utiliti kediaman Perdana Menteri yang mencecah RM2.5 juta setahun yang sedang menjadi perbualan hanga rakyat sekarang di ketika Najib menyeru rakyat berjimat cermat, turut menambahkan lagi runsing di kepalanya.

Sepertimana kata Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub bahawa Mahathir selepas kekalahan anaknya dalam pemilihan UMNO baru-baru ini adalah umpama singa yang cedera dan akan terus menyerang Najib sebagaimana yang dilakukannya kepada Pak Lah dahulu, nyata tidak dapat disangkal lagi. Mahathir sedang menunjukkan kecenderungan akan terus bersuara dan Najib tidak mungkin dapat menjinakkannya lagi.

Tambahan lagi, peluru untuk Mahathir menembak Najib juga semakin banyak.

Walaupun sedang berada di London dalam cuaca yang mulai sejuk kerana menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ketika ini, Najib pastinya sedang berpeluh memikirkan serangan Mahathir ini. (SH 20/10/2013)

Sunday 27 October 2013

Woww, Najib Mahu Lelaki Malaysia Kuat Seks Rupanya...


Perdana Menteri, Najib Razak hari ini sudah berada di luar negara iaitu ke Manchester dan London untuk lawatan singkat dan menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) bersama 15 ketua negara-negara Islam yang lain. Ini bermakna, sekali lagi Najib tidak akan berada di Parlimen pada Isnin ini ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berucap membahaskan Bajet 2014 yang dibentangkannya pada Jumaat lalu.

Tahun lepas juga Najib tidak berada di Parlimen ketika Anwar membahaskan Bajet 2013. Anwar pada tahun lepas pernah menegaskan bahawa ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau tidak pernah terlepas hadir dan mendengar ucapan Ketua Pembangkang membahaskan belanjawan kerana beliau ingin mendengar sendiri pandangan dan cadangan yang dilontarkan demi kebaikan negara.

Walaupun ketidakhadiran ini subjektif sifatnya, tambahan pula Najib ada menteri kewangan kedua dan timbalan menteri kewangan yang boleh hadir di Parlimen ketika ketiadaannya tetapi ia sekurang-kurangnya memberi nilai dari segi pertanggungjawaban dan keprihatinan seseorang pemimpin itu.

Tambahan pula, jika jadual WIEF yang menjadi halangan, bukankah jadual pembentangan bajet diubah-ubah tarikhnya mengikut kesesuaian masa serta jadual Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri.

Bagaimanapun selepas pembentangan Bajet 2014 dan sebelum berlepas ke luar negara, di sebalik bajet kali ini yang dianggap tidak menarik, banyak janji dimungkiri, isu GST yang bakal berterusan dan penghapusan subsidi gula, Najib telah membuat kenyataan yang "tak boleh belah" semalam apabila menyatakan kenaikan harga gula adalah baik untuk kehidupan seks rakyat Malaysia.

Saya juga sudah mula minum teh tanpa gula sejak semalam, kata Najib. Maknanya, keupayaan seks Najib pun tak berada baik sebelum ini..kuang, kuang, kuang.

Kenyataan Najib bahawa penghapusan subsidi gula baik untuk kesihatan dan mampu meningkatkan keupayaan seks bukanlah tidak benar, tetapi tidak sesuai diucapkan oleh seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kalau Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby yang bercakap mengenainya, barulah sesuai!

Sebagai Perdana Menteri, beliau sepatutnya bercakap mengensi subsidi dalam konteks yang lebih ilmiah dan berkaitan kepentingan rakyat dan negara, bukannya hal-hal dalam kain.

Jika sebelum ini, setiap kali isu subsidi duperkatakan, kerajaan selalu menyatakan bahawa langkah mengurang dan menghapuskan subsidi adalah langkah jangka panjang untuk kebaikan rakyat dan negara serta supaya lebih banyak program bantuan kepada kumpulan sasaran dapat dilaksanakan.

Dalam erti kata lain, melalui wang subsidi yang dapat dijimatkan, kantung kewangan negara akan menjadi lebih tebal dan wang tersebut boleh disalurkan terus kepada program yang khas melibatkan rakyat miskin, berbanding pemberian subsidi barangan yang turut dinikmati oleh golongan kaya dan miskin.

Tetapi kenapa dalam penghapusan subsidi gula ini, kerajaan malu mahu mengaku ianya dilakukan kerana wang, sebaliknya faktor kesihatan yang lebih digembar-gemburkan. Menambahkan lagi maharaja lawaknya ialah bila Najib mengaitkannya dengan keupayaan seks pula.

Betul-betul " tak boleh belahlah" Najib ni!

Jika benar faktor kesihatan dan keupayaan seks mahu dijadilan alasan dalam menghapuskan subsidi gula, bagaimana pula dengan banyak janji-janji dimungkiri dan pengumuman cukai GST yang diumumkan dalam bajet kali ini?

Bukankah ia juga boleh menyebabkan ada yang "mati pucuk" dan terkena serangan sakit jantung dibuatnya? (SH 27/10/2013)

Saturday 26 October 2013

Jangan Sampai Terlupa Sedekahkan Al Fatihah Untuk Roh Ustaz Azizan...


Berbanding banyak pilihanraya kecil sebelum ini, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau ini agak pelik dan sedikit luar biasa. Dalam pilihanraya kecil ini, nama Allahyarham Ustaz Azizan Razak, bekas ADUN kawasan itu selama lima penggal dan juga bekas Menteri Menteri Besar Kedah, begitu dijadikan sandaran untuk mendapatkan undi.

Jika hanya PAS yang berbuat demikian, tidaklah terasa pelik dan luar biasa kerana Ustaz Azizan memang pemimpin parti itu, tetapi UMNO dan BN juga cuba "tumpang sekaki" mahu menggunakan nama bekas MB Kedah itu.

Sebagaimana yang diakui sendiri oleh MB Kedah, Mukhriz Mahathir bahawa beliau bersama calon BN, Ahmad Suhaimi Lazim telah mengunjungi balu Allahyarham untuk memohon restu sebelum namanya diumumkan kepada orangramai pada 21 Oktober lalu. Tidak diragui bahawa barangkali ini pertama kali dalam sejarah UMNO dan BN, mereka memohon restu daripada keluarga pemimpin parti yang bakal dilawan dan dianggap musuhnya dalam pilihanraya.

Meskipun kunjungan itu tiada gambar yang disebarluaskan tetapi Mukhriz mendedahkannya sebagai membidas tindakan Pas membawa calonnya mengunjungi ayah Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Ketua UMNO Jerai yang memang ahli Pas kawasan itu dan kemudian dilihat sama-sama berdoa agar kemenangan pada 4 Oktober ini memihak kepada Pas.

Blog ini sebelum ini mendedahkan bahawa faktor keluarga Ustaz Azizan akan menjadi rebutan antara PAS dan BN dalam pilihanraya kecil pada 4 Oktober ini memandangkan kaum keluarga, saudara-mara dan mereka yang ada pertalian darah dengannya merupakan kelompok pengundi yang agak besar di DUN Sungai Limau.

Antara faktor kejayaan PAS dan Ustaz Azizan berjaya memenangi DUN itu sejak 1995 tanpa tergugat ialah kerana hubungan baik ustaz Azizan dengan semua yang mempunyai pertalian darah dengannya, manakala UMNO dan BN pula gagal menembusinya.

Walaupun diakui faktor kekeluargaan Azizan sebagai asas penting untuk memenangi pilihanraya tetapi tindakan UMNO memohon restu untuk calon BN tetap dianggap melampaui kebiasaan sedangkan ketika bekas MB itu terlantar di hospital sehinggalah saat pengkebumiannya, sudah begitu ramai pemimpin UMNO dan BN yang menunjukkan simpati dan keprihatinan terhadap keluarga beliau.

Dalam soal calon pula, walaupun calon BN tiada kaitan darah atau keluarga dengan Ustaz Azizan tetapi beberapa blog telah memainkan isu kononnya calon Pas, Mohd Azam Samad bukan saja tidak mempunyai pertalian darah dengan Ustaz Azizan, bahkan dikatakan mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan Ustaz Pahrolrazi, pemimpin Pas Kedah yang mempunyai hubungan tidak baik dengan Ustaz Azizan.

Agak lama cerita itu beredar di alam maya, ditokok tambah pula kononnya pemilihan calon Pas ini sebagai bukti bahawa Pas tidak begitu menghormati serta menghargai bekas pemimpin mereka sendiri.

Semakin meluasnya cerita itu bertebaran sehingga akhirnya memaksa balu Ustaz Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah tampil memberi penjelasan bahawa calon Pas, Mohd Azam memang mempunyai pertalian keluarga bau-bau bacang dengan Ustaz Azizan walaupun dalam masa yang sama beliau juga mempunyai hubungan keluarga dua sepupu dengan Ustaz Pahrolrazi.

Terlihat si sini bahawa sekali lagi faktor hubungan dengan Ustaz Azizan cuba dijadikan isu dan dimanipulasi untuk memenangi pilihanraya ini.

Hari ini pula, berikutan tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula yang dikaitkan dengan usaha untuk mengekang penyakit kencing manis di kalangan rakyat sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2014 semalam, UMNO sekali lagi cuba mengaitkan isu itu dengan Ustaz Azizan.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, penghapusan subsidi gula bertujuan memastikan kesihatan rakyat terjaga dan tidak menerima nasib seperti Ustaz Azizan yang terpaksa dipotong kakinya kerana mengidap kencing manis.

Walaupun terlihat UMNO dan Muhyiddin cuba menunjuk rasa simpati kepada nasib yang dialami oleh Ustaz Azizan, sambil mengharapkan ada lelehan undi simpati dengan berbuat demikian, namun nampaknya tindakan Muhyiddin itu seperti tidak kena tempatnya. Keghairahan mahu menumpang kekuatan nama Ustaz Azizan di Sungai Limau akhirnya membuatkan Mahfuz Omar naik berang dan menganggap tindakan Muhyiddin itu tidak beretika dalam berkempen.

Menjelang kempen yang makin hangat selepas ini, mungkin lebih banyak nama Ustaz Azizan disebut dan dipergunakan. Bagi PAS, memang tiada yang janggalnya apabila mereka sering merujuk nama Ustaz Azizan sepanjang kempen ini tetapi melihat kepada kecenderungan yang berlaku sejak awal lagi, UMNO dan BN juga seperti mengharapkan dengan menjaja dan memuji nama baik Ustaz Azizan ini untuk mendapat kelebihan dan merampas DUN Sungai Limau.

Memanglah tiada salahnya berbuat demikian, asalkan tidak menyentuh perkara-perkara yang buruk dan boleh menyinggung perasaan keluarganya. Sebut dan ingatlah kebaikan orang yang sudah meninggal dunia, lebih-lebih lagi seorang pemimpin yang baik dan sederhana seperti Ustaz Azizan ini. Dan kebaikan yang ditinggalkannya menepati peribahasa, harimau mati meninggalkan belang, menusia mati meninggalkan nama.

Cumanya, dalam keghairahan menyebut dan mempergunakan nama Ustaz Azizan ini, baik oleh UMNO mahupun Pas, janganlah pula sampai terlupa menyedekahkan Al Fatihah untuk kesejahteraan rohnya alam baqa itu. Sekadar memuji dan menyanjung namanya tetapi tidak disertai dengan sedekah Al Fatihah atau doa pendek sekurang-kurangnya, tiadalah apa-apa makna segala kata-kata pujian yang diluahkan itu. (SH 26/10/2013)

Bajet Mungkir Janji, Ramai Menyesal Mengundi BN


Intipati Bajet 2014 yang dibentangkan Najib di Parlimen dirasakan paling tidak menarik kali ini. Bajet yang pada mulanya diandaikan sebagai bajet menunaikan janji kepada rakyat dan membuktikan slogan BN menang, rakyat senang setelah rakyat, terutamanya penduduk kampung dan luar bandar terus memberi sokongan kepada BN dalam pilihanraya lalu, kini sudah bertukar menjadi bajet mungkir janji.

Jika diimbas janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto pilihanraya BN dengan intipati bajet ini, ternyata banyak janji itu tidak ditunaikan dan janji hanya tinggal janji saja.

Janji untuk memberi kesenangan kepada rakyat jelas tidak ditunaikan apabila rakyat kini bakal dibebankan dengan cukai GST sebanyak 6 peratus berkuatkuasa 2015. Subsidi gula sebanyak 34 sen setiap kilo akan dimansuhkan mulai hari ini yang menyebabkan harganya naik daripada RM2.50 sen kepada RM2.84 sen sekilogram.

Dengan kenaikan harga gula ini, pastinya akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut naik. Restoran dan kedai makan serta peniaga kuih pasti akan menaikkan harga jualan mereka. Pemansuhan subsidi gula ini tidak dapat dielakkan akan menyebabkan beban rakyat meningkat lagi.

Lebih malang lagi, sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau telah menaikkan sekurang-kurangnya lima kali kenaikan harga gula dan ini tentunya menyebabkan saudagar gula Malaysia yang juga rakan baik Najib iaitu Syed Mokhtar Albukhary bertambah lagi kembong poketnya.

Yang mendukacitakan juga, alasan Najib menaikkan harga gula ini ialah kononnya untuk mengelakkan lebih ramai rakyat mengidap kencing manis - suatu logik yang tidak jauh bezanya dengan Menteri Cap Ayam yang sebelum ini pernah mencadangkan rakyat agar jangan makan ayam berikutan harganya yang semakin mahal atau tanam sayur kerana harganya yang mahal di pasar. Tahukah Najib bahawa kencing manis bukan semata-mata disebabkan oleh pengambilan gula, banyak makanan lain termasuk nasi dan gaya hidup yang tidak aktif juga turut menyumbang kepada penyakit kencing manis.

Pelaksanaan cukai GST nyata paling merunsingkan rakyat. Kaedah cukai ini telah diluluskan sejak 2009 lagi tetapi Najib seolah-olah sengaja melaksanakannya selepas mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihanraya. Jika benar GST itu lebih baik daripada sistem cukai sedia ada, kenapa tidak dilaksanakan sebelum pilihanraya atau sebaik ia diluluskan pada 2009 dulu?

Dalam hal ini, benarlah kata Anwar bahawa bajet kali ini lebih mahu menghukum rakyat, berbanding mensejahterakan mereka. Walaupun ada beberapa pengurangan cukai, kebanyakannya hanya yang melibatkan golongan kaya manakala rakyat biasa bakal berhadapan dengan pelbagai jenis cukai dan kenaikan harga barang.

Janji yang paling ketara dimungkiri oleh Najib ialah mahu menaikkan nilai BR1M daripada RM500 kepada RM1200 yang dibuat dalam pilihanraya lalu. Dengan wajah selamba dan seolah-olah tidak merasa berdosa kerana memungkiri janji kepada rakyat, Najib hanya mengumumkan kenaikan BR1M sebanyak RM150 sahaja kepada RM650.

Dengan kenaikan sebanyak RM150 setahun tetapi dalam masa yang sama GST dikuatkuasakan, harga gula dinaikkan yang akan menyebabkan harga makanan dan minuman turut meningkat dan jika dicampur dengan kesan kenaikan minyak sebanyak 20 sen sebelum ini, tiada lebihan apa-apa yang dinikmati oleh rakyat yang menerima BR1M itu. Bahkan duit mereka sudah pun disedut terlebih dahulu sebelum kenaikan RM150 itu diberikan.

Banyak lagi sebenarnya janji yang ditaburkan semasa kempen pilihanraya lalu yang tidak ditunaikan atau disebut dalam bajet Najib ini. Janji menaikkan baucer buku tidak ditunaikan, kenaikan BR1M untuk orang bujang tidak sebagaimana yang dijanjikan, penurunan harga kereta tidak disebut, begitu juga dengan perumahan dan aspek penjagaan kesihatan.

Pendeknya, bajet kali ini langsung tidak menggambarkan bajet menunaikan janji dan menghargai sokongan rakyat dalam pilihanraya lalu. Bukan saja rakyat yang tidak dihargai, kakitangan kerajaan juga seperti dipandang sebelah mata kerana bonus yang diberi hanya setengah bulan saja sedangkan tuntutan Cuepacs mahukan dua bulan. Dalam keadaan harga barang makin meningkat sekarang ini, apalah yang boleh dibuat dengan bonus setengah bulan atau minima RM500 itu.

Kegagalan Najib menunaikan banyak janji-janjinya dalam bajet ini menyebabkan ramai yang kecewa dan rasa menyesal kerana memberi undi kepada BN dalam pilihanraya lalu. Bukan saja kerana banyak janji yang tidak ditepati tetapi juga sumbangan mereka seolah-olah tidak dihargai.

Ramai yang berkata, jika PR yang menang dalam pilihanraya lalu, bukan saja tiada GST tetapi juga dapat menikmati penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam dan juga harga kereta yang lebih murah lagi.

Bajet kali ini bukan saja menyebabkan kehidupan rakyat bawahan bertambah parah menjelang bajet seterusnya pada tahun hadapan atau sshingga pilihanraya akan datang, tetapi juga akan terus berpanjangan seusia kehidupan sekiranya perubahan kerajaan tidak dijadikan kenyataan. (SH 26/10/2013)

Thursday 24 October 2013

Menunggu Janji Pilihanraya "BN Menang, Rakyat Senang" Dalam Belanjawan 2014


Pembentangan Belanjawan 2014 petang Jumaat ini yang akan dilakukan oleh Najib Razak tentunya ditunggu-tunggu oleh semua orang. Ramai yang ingin mendengar sama ada kali ini banyak berita gembira atau rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan cukai dan pemotongan subsidi lagi.

Lebih-lebih lagi, pembentangan belanjawan kali ini dilakukan selepas BN menang tipis dalam pilihanraya Mei lalu yang turut dipenuhi dengan janji-janji manis yang ditaburkan kepada rakyat. Dengan kemenangan terus diperolehi dan sokongan orang Melayu luar bandar juga terus kekal bersama BN, belanjawan kali ini adalah saksi sama ada janji benar-benar ditepati atau sekadar janji dicapati.

Dalam kata lain, jika belanjawan tahun lepas adalah untuk memenangi pilihanraya, belanjawan tahun ini pastinya untuk menunaikan semua janji-janji itu pula.

Dalam manifesto pilihanraya dan juga sepanjang kempennya pada Mei lalu juga, pelbagai janji telah dihamburkan. Dari janji menaikkan BR1M kepada RM1200, menangani kos sara hidup, perumahan untuk rakyat, meningkatkan taraf hidup rakyat di bandar dan luar bandar, penjagaan kesihatan, pengangkutan, peluang pendidikan, pekerjaan dan sebagainya, semuanya menjadi santapan yang melekakan telinga rakyat yang diulang-ulang sepanjang kempen pilihanraya itu.

Dalam masa yang sama, pelbagai slogan yang indah-indah turut diluahkan sepeti janji ditepati, kami mendengar, dari rakyat kepada rakyat, BN menang, rakyat senang dan pelbagai lagi.

Tetapi sepanjang kempen pilihanraya itu, slogan yang paling popular ialah BN menang, rakyat senang. Di mana-mana terpampang kain rentang dan poster mengenainya, suatu gambaran bahawa BN benar-benar mahu menjanjikan kesenangan kepada rakyat, asal saja mandat kuasa terus diberikan.

Selepas pilihanraya, rakyat mula menuntut janji itu. Namun kenaikan harga barang dan ketidakseriusan kerajaan dalam berusaha dan bertindak dalam beberapa isu kenaikan harga barang seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya, menyebabkan rakyat mula sangsi dengan janji-janji manis sebelum ini.

Kesangsian rakyat terbukti lagi apabila tidak lama selepas menang dalam pilihanraya itu, kerajaan bertindak menaikkan harga petrol sebanyak 20 sen sedangkan sebelum ini Najib berjanji tidak akan menaikkan harga minyak, malah berjanji juga jika harga minyak dunia meningkat, kerajaan akan menyerap dan menanggung kenaikan itu.

Malangnya, kenaikan minyak baru-baru ini tiada kena-mengena pun dengan kenaikan pasaran minyak dunia. Kenaikan yang hanya berlaku di Malaysia itu disebabkan kerajaan memotong subsidi untuk minyak untuk menambah kantung perbendaharaan negara yang semakin menipis.

Kini, dalam belanjawan pasca pilihanraya ini, rakyat sekali lagi ingin melihat banyak mana lagi janji-janji bakal dimungkiri dan sejauh mana juga janji ditepati bertukar menjadi janji dicapati.

Antara isu yang paling hangat menjadi perbualan dan kebimbangan dalam belanjawan kali ini ialah cukai GST. Yang menariknya, pelaksanaan GST yang tertangguh sejak sekian lama, sehingga ini tiada yang pasti sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak selepas belanjawan ini. Semua pemimpin kerajaan asyik memberikan kenyataan yang kelabu dan tidak pasti mengenainya.

Tetapi yang pastinya, jika GST ini dilaksanakan ia pasti menyebabkan kenaikan harga barang lagi.

Turut ditunggu ialah sebanyak mana lagi subsidi yang selama ini dinikmati rakyat, akan dipotong dan dikurangkan. Namun melihat kepada begitu galak dan ramai pemimpin kerajaan yang bercakap bahawa pemotongan subsidi ialah untuk memberi kesejahteraan jangka panjang kepada rakyat, kebarangkalian beberapa jenis subsidi akan dipotong seperti tidak dspat dielakkan lagi.

Memotong subsidi sekarang seolah-olah suatu cara mudah menjimatkan perbelanjaan negara, sedangkan pelbagai pembaziran lain sengaja dibiarkan berleluasa dan berterusan. Pemimpin kerajaan bagaikan sudah putus idea untuk menambah tabung kewangan negara selain daripada memotong subsidi dan menjadikan rakyat bawahan sebagai mangsanya.

Pembentangan belanjawan tahun ini juga dilakukan di dalam suasana hutang negara paling tinggi iaitu 53.3 peratus daripada KDNK negara di mana had yang dibenarkan ialah 55 peratus. Berbanding dengan hutang negara ketika Pak Lah meletakkan jawatan pada 2009, paras hutang negara sekarang sudah meningkat sekali ganda. Pada 2009 hutang negara hanyalah RM362.4 bilion tetapi sehingga suku pertama 2013, ianya sudah meningkat kepada RM547.79 billion.

Maknanya, Najib adalah Perdana Menteri yang paling pandai berbelanja dan berhutang mengatasi semua penyandang sebelumnya.

Jika Najib berpegang kepada janjinya mahu menambah BR1M kepada RM1200, tidak dapat dielak bahawa sekali lagi akan menyebabkan hutang negara terus meningkat dan kita semakn menghampiri untuk menjadi Greece kedua.

Selain itu, Bank Negara juga melaporkan hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah yang paling tinggi di Asia iaitu sebanyak 83 peratus daripada KDNK negara.

Pendek kata, cabaran dalam belanjawan kali ini memang bukanlah mudah. Ia suatu usaha yang getir dan menuntut kesungguhan serta iltizam yang tinggi. Tetapi ketika janji-janji manis ditaburkan kepada rakyat terutamanya janji BN menang, rakyat senang dan menambah BR1M kepada RM1200 bukanlah juga dibuat ketika zaman senang. Maknanya, ketika janji itu dibuat, kedudukan ekonomi dan kewangan negara disedari sepenuhnya oleh Najib dan BN.

Sebab itu, tiada alasan sebenarnya untuk memungkiri janji BN menang, rakyat senang ini, kecualilah memang itu nawaitu asalnya. (SH 24/10/2013)

Kemenangan Khairul Azwan Sebagai Naib Ketua Pemuda Hanyalah "Menang Betina"


Sebagaimana yang diduga, Ketua Pemuda Perak, Khairul Azwan Harun akhirnya diumumkan memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menewaskan Jamawi Jaafar setelah dua bahagian yang mengadakan pemilihan semulanya hari ini iaitu Gelang Patah dan Sabak Bernam memberikan undinya kepada pegawai khas Menteri Besar Perak itu.

Dengan kedudukan undi sekarang Khairul Azwan mendapat 75 berbanding Jamawi kekal 73 undi, setelah kedudukan seri 73-73 berlarutan lebih seminggu, pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bachok pada Jumaat ini sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

Bahkan tidak mustahil, undi daripada Pemuda Bachok juga tertumpah kepada Khairul Azwan yang baru kalah ssbagai Timbalan Ketua Bahagian Pasir Salak kerana tiada gunanya mereka mengambil risiko cuba-cuba menunjuk berani dengan memberikan undi kepada Jamawi.

Dengan kemenangan Khairul Azwan yang lebih popular dengan panggilan Azwanbro, bermakna Khairy Jamaluddin telah berjaya memastikan calon pujaan kalbunya itu menjadi orang nombor duanya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Ini sekaligus menjadikan beliau menyamai kedudukan Najib yang turut berjaya memastikan calon pilihannya iaitu Zahid, Shafie dan Hishammuddin memenangi jawatan Naib Presiden UMNO baru-baru ini.

Sebelum ini apabila jumlah undi yang diperolehi Azwanbro dengan Jamawi seri 73-73, Jawatankuasa Pemilihan telah membuat keputusan bahawa penentuan pemenangnya akan ditentukan melalui pengiraan undi popular. Bagaimanapun KJ menyatakan ketidaksetujuannya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum mengadakan pemilihan ketika itu dijadikan penentuan.

Entah bagaimana kemudian secara tiba-tiba Jawatankuaasa Pemilihan bersetuju dengan cadangan KJ itu, bahkan selain Gelang Patah yang belum mengadakan pemilihan, dua bahagian lain iaitu Sabak Bernam dan Bachok juga turut dikehendaki mengadakan pemilihan semula, lalu menjadikan tiga bahagian yang menjadi penentu siapa pemenang Naib Ketua Pemuda yang sebenarnya.

Tindakan KJ yang menolak cadangan undi popular dan mahukan undi Gelang Patah dijadikan penentuan tidak diragui lagi adalah isyarat yang jelas bahawa beliau mahukan Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding Jamawi, meskipun sebelum itu menyatakan bersikap terbuka dan sedia menerima sesiapa saja sebagai naibnya.

Dengan KJ yang sudah sah memenangi jawatan Ketua Pemuda dan mendapat 189 undi, sikapnya yang menolak undi popular yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan, tentulah dilihat sebagai kecondongan sokongannya kepada Khairul Azwan. Lantaran itu, pemilihan yang diadakan kemudian selepas beliau sudah sah menang Ketua Pemuda, tentulah tidak lagi bebas dan adil.

Blog ini sudah dua kali menulis mengenai penolakan KJ terhadap kaedah undi popular adalah petanda beliau cuba campurtangan dan lebih mahukan Khairul Azwan memenangi jawatan itu berbanding Jamawi. Sikap KJ itu seperti tidak adil dan merosakkan kewibawaan Pemuda UMNO itu sendiri.

Dan hari ini tebukti, undi Pemuda Gelang Patah dan Sabak Bernam akhirnya mengecewakan Jamawi kerana kedua-dua Pemuda bahagian itu sudah memahami siapa calon yang dikehendaki oleh KJ dan mereka tidak mahu mengambil risiko melawan arus. Mereka akhirnya memberikan undi kepada Azwanbro yang sudah pun tersenyum lebar sebelum ini ketika Jawatankuasa Pemilihan membuat u-turn menolak kaedah popular yang sudah pun diumumkannya sebelum itu.

Dalam kaedah pemilihan berasaskan electoral college, keadilan dan ketelusan sebenarnya hanya terpancar jika pengundian dijalankan secara serentak di semua bahagian. Sekiranya seri, undi popular seharusnya dijadikan penentuan. Pengundian dari bahagian yang terkemudian tidak boleh lagi diambil kira kerana ia dianggap sudah tersemar dan boleh dipengaruhi.

Tambah tidak adil bilamana KJ yang sudah menang besar cuba campurtangan kerja Jawatankuasa pemilihan dan menunjukkan kecondongannya kepada calon tertentu dan ini tentunya mempengaruhi bahagian yang belum mengadakan pemilihan itu.

Jamawi sendiri walaupun akur dengan kekalahannya, tetapi nada kesedihannya jelas tergambar apabila meluahkan perasaannya di laman Facebook dengan menulis, "Saya akur dan menerima kekalahan ini kerana saya umpama Matador yang dipaksa berdepan dengan 10 ekor lembu ganas."

Selain itu, menurutnya, beliau juga bersendirian kerana semua Exco Pemuda UMNO tidak memihak kepadanya, selain turut meluahkan kekecewaannya bahawa kenyataan KJ yang tidak mahukan kaedah undi popular adalah gambaran jelas bahawa Menteri Belia dan Sukan itu memang mahukan Khairul Azwan berganding dirinya.

Bagaimanapun, kekalahan Jamawi sebenarnya tidaklah memalukan dan kemenangan Azwanbro pula tidaklah membanggakan. Jamawi kalah secara jantan tetapi Khairul sebenarnya menang secara betina. Kemenangannya tidak menjadikan dirinya dihormati dan tidak juga menjadikan Pemuda UMNO bertambah wibawa serta auranya.

Barangkali lebih ramai yang memandang sinis kepada Azwanbro selepas ini kerana kemenangannya bukan diperolehi melalui undi yang benar-benar bebas. Jika Azwanbro turun berkempen ke Sungai Limau sekarang, barangkali juga tiada impak yang boleh disumbangkannya dalam memastikan kemenangan calon BN di sana. Ini kerana kemenangannya tidak dihormati ssbagaimana selayaknya.

Sekarang ini KJ mungkin gembira kerana calon pilihannya telah menang sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Pemuda UMNO dan Azwanbro tentulah terlebih lagi gembiranya kerana jawatan idamannya sudah berada dalam dakapannya tetapi adakah hanya sekecil itu matlamat perjuangan mereka?

Tepuk dada dan tanyalah iman, sampai ke manakah kemenangan secara betina itu boleh memberi manfaat? (SH 24/10/2013)

Wednesday 23 October 2013

Undi Saudara-Mara Ustaz Azizan Jadi Rebutan Di Sungai Limau


Pilihanraya kecil DUN Sungai Limau pada 4 November depan sah bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara UMNO dengan Pas. UMNO kali ini mempertaruhkan bekas pensyarah kanan UPSI, Ahmad Suhaimi Lazim manakala Pas pula meletakkan Mohd Azam Samat, Ketua Pemuda Pas Jerai yang juga pengikut setia Allahyarham Uztaz Azizan.

Dari segi mata kasar, peluang UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil ini nampak sukar kerana ia bukan saja dianggap sebagai kubu kuat Pas sejak 1995 lagi tetapi juga kerana kemenangan Ustaz Azizan dalam pilihanraya 5 Mei lalu diraih dengan majoriti yang agak besar iaitu 2774 undi.

Dengan itu, tidaklah mudah sebenarnya untuk UMNO dan BN untuk cuba merampas kawasan itu daripada Pas, tambahan pula Pas juga tentunya akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kawasan itu. Setelah kerajaan negerinya terlepas dalam pilihanraya lalu, Pas pastinya tidak rela berputih mata untuk kali keduanya lagi.

Sementara bagi UMNO, pilihanraya kecil ini merupakan ujian kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir untuk membuktikan kepimpinannya benar-benar diterima rakyat, apatah lagi setelah beliau ditolak untuk menduduki kerusi Naib Presiden pada pemilihan 19 Oktober lalu, pilihanraya ini juga sebenarnya merupakan ujian kepada kepimpinan Mahfuz Omar yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah menggantikan Ustaz Azizan.

Jika UMNO menang pilihanraya ini, imej Mukhriz yang tewas tipis kepada Hishammuddin dalam perebutan Naib Presiden mungkin dapat dipulihkan dan beliau dapat membuktikan dirinya benar-benar pemimpin yang diterima rakyat, walaupun ditolak oleh perwakilan UMNO dan tidak diterima sebagai pilihan Najib dalam pemilihan lalu.

Kemenangan BN di Sungai Limau, bukan saja mampu memberi harapan bahawa beliau mampu untuk terus mengekalkan kuasa BN di negeri itu, malah turut juga membawa sinar bahawa masa depannya dalam UMNO tidak semudah "makan kacang" untuk digelapkan oleh sesiapa juga dalam pemilihan akan datang.

Bak nyanyian yang dilagukan oleh Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil bahawa walaupun kalah kali ini, kemenangan pasti akan datang kepada Mukhriz suatu hari nanti, meskipun hakikatnya antara punca kekalahan Mukhriz ialah kerana kurangnya sokongan daripada Wanita UMNO berikutan Wanita UMNO lebih "jatuh cinta dan tertarik hati" kepada Hishammuddin sehingga sanggup mengadakan pertemuan tertutup antara pergerakan yang dipimpinnya dengan Menteri Pertahanan itu di saat-saat akhir sebelum pemilihan dan kemudian menyatakan ikrar untuk mengekalkan status quo Naib Presiden yang ada.

Bagi Pas pula, kemampuan mengekalkan penguasaan di Sungai Limau bukan saja membuktikan kubu kuat mereka tidak mudah ditembusi tetapi turut juga memberi sedikit harapan kepada Mahfuz untuk merampas kembali negeri itu daripada BN dalam pilihanraya akan datang.

Untuk itu, Sungai Limau sebenarnya sama-sama penting kepada UMNO dan Pas, juga kepada Mukhriz dan Mahfuz dan masing-masing akan berusaha untuk memenanginya.

Tetapi bagi seorang bekas menteri dari Kedah ketika era pemerintahan Mahathir Mohamad, pilihanraya kecil Sungai Limau ini adalah ujian berat kepada UMNO dan BN. Ini kerana, menurutnya, sejak 1995 lagi kawasan itu adalah sinonim dengan Pas dan Uztaz Azizan.

Katanya, ramai pengundi di kawasan itu adalah terdiri daripada saudara-mara dan kaum kerabat Ustaz Azizan yang mana ketika Allahyarham menjadi ADUNnya, UMNO tidak pernah berjaya menembusinya berikutan hubungan rapat Ustaz Azizan dengan semua saudara-mara dan kaum keluarganya itu.

Oleh sebab yang demikian, bagi bekas menteri yang pernah berpengaruh itu, selagi undi saudara-mara dan kaum kerabat Ustaz Azizan masih memihak kepada Pas, harapan UMNO untuk merampas kawasan itu tetap sukar. Lantaran menyedari pengaruh undi keluarganya yang agak besar itulah menyebabkan dalam pilihanraya umum lalu, UMNO turut mempertaruhkan sepupu Ustaz Azizan sendiri sebagai calonnya.

Namun oleh kerana ketika itu Ustaz Azisan masih hidup dan berkedudukan sebagai MB Kedah pula, cubaan itu tidak berjaya dan Pas berjaya memenangi kawasan itu dengan kelebihan 2774 undi.

Soalnya, mampukah UMNO kali ini melalui calonnya, Ahmad Suhaimi merebut undi daripada kaum keluarga dan saudara-mara Ustaz Azizan itu berbanding Mohd Azam Samat yang juga merupakan pengikut setia Ustaz Azizan?

Terlihat daripada kesungguhan semua pemimpin UMNO menunjuk sikap baik bermula ketika Ustaz Azizan terlantar di hospital, di hari pengkebumian dan mengadakan pelbagai majlis tahlil mendoakan kesejahteraan rohnya, UMNO nampaknya sangat menyedari hakikat itu.

Bahkan, sehingga sekarang juga, dalam pelbagai ucapan, kenyataan dan tulisan yang dibuat oleh beberapa pemimpin UMNO mengenai kepimpinan Ustaz Azizan, semuanya melahirkan pujian dan sanjungan dan hampir tidak kedengaran perkara-perkara yang tidak baik mengenai kepimpinannya yang diperkatakan.

Walaupun kebaikan mengenai Ustaz Azizan itu adalah sesuatu yang benar, malah sikap Ustaz Azizan yang tidak memilih bulu dalam berkawan dan keterbukaannya kepada sesiapa saja dalam menjalankan pentadbiran negeri sering menjadi bualan di kalangan pemimpin UMNO sendiri, kadangkala pujian itu seperti berlebih-lebihan dan ada maksud yang tersembunyi.

Ini nyata berbeza dengan beberapa pemimpin Pas yang meninggal dunia sebelum ini, di samping kebaikan yang diperkatakan, beberapa kesilapan dan kelemahan kepimpinan mereka juga turut didedahkan.

Hanys masa yang akan menentukan sama ada pujian dan sanjungan kepada Ustaz Azizan itu akan berkekalan atau ia akan turut berakhir apabila berakhirnya juga pilihanraya kecil Sungai Limau ini.

Walau apa pun keadaan dan cabarannya, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau ini tetap merupakan laluan yang sukar bagi UMNO dan Mukhriz Mahathir. Bagi Mukhriz juga, ini adalah cabaran kedua kepada kepimpinannya selepas pilihanraya umum lalu di mana dalam cabaran pertama pada pemilihan UMNO 19 Oktober lalu, nasib nyata tidak memihak kepadanya.

Apakah kali ini nasib juga tidak menyebelahinya? Sama-sama kita tunggu pengundi Sungai Limau memberikan jawapannya pada 4 November nanti.(SH 23/10/2013)

Tuesday 22 October 2013

Bila Agaknya Najib Nak Tunaikan Janji Tukar Ketua Menteri Sarawak?


Semalam Perdana Menteri, Najib Razak berada di Sarawak untuk merasmikan Perhimpunan Agung parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpinan oleh Ketua Menterinya, Taib Mahmud. Secara kasarnya tiada apa-apa yang istimewanya dengan kehadiran Najib itu kerana sudah menjadi amalan biasa sebagai Pengerusi BN, beliau akan merasmikan semua perhimpunan agung parti-parti komponen yang bergabung di bawah BN.

Tetapi secara halusnya, kehadiran PM ke Sarawak semalam terselit keunikan tersendiri kerana ia adalah genap kira-kira dua setengah tahun atau separuh penggal kerajaan negeri yang ada sekarang ditubuhkan selepas pilihanraya umum negeri yang diadakan pada April 2011 yang lalu.

Jika kita masih masih ingat, dalam kempen pilihanraya negeri yang paling sengit ketika itu dan isu kepimpinan Taib Mahmud yang sudah begitu lama iaitu melebihi 30 tahun telah menjadi perkara yang begitu membimbangkan ketika itu. Isu kepimpinan beliau yang terlalu lama di samping kekayaan keluarganya yang luar biasa hampir menjadi punca tewasnya BN ketika itu.

Dan untuk menangani isu tersebut, Najib akhirnya terpaksa membuat pengumuman di saat-saat akhir bahawa pertukaran Ketua Menteri Sarawak akan dilakukan selepas pilihanraya berakhir dan memina rakyat terus memberi sokongan kepada BN agar proses peralihan kuasa itu dapat dilakukan dengan lancar.

Diakui oleh banyak pihak bahawa walaupun pelbagai faktor turut menyumbang kepada kemenangan BN di Sarawak ketika itu tetapi faktor terbesarnya ialah kerana janji mahu mengundur dan menggantikan Taib Mahmud. Di sebalik gelombang dan kempen agresif pembangkang waktu itu, janji perubahan yang dilakukan oleh Najib akhirnya melembut dan mencairkan hati rakyat Sarawak untuk terus menyokong BN.

Meskipun tidak menyebut secara tepat bila petukaran itu akan dilakukan dan Najib hanya mengatakan ia akan dilakukan pada tarikh dan waktu yang sesuai, tetapi rakyat Sarawak tentulah mengharapkan pertukaran itu tidak dilengah-lengahkan lagi atau berlarutan sehingga ke penghujung penggal.

Taib Mahmud pula sebaik memperolehi mandat dua pertiga daripada rakyat dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, tidak ragu-ragu ketika itu mengatakan bahawa beliau akan berundur sebagai Ketua Menteri pada separuh penggal mandat yang diperolehinya itu.

Dalam tempoh separuh penggal atau dua tahun setengah itu juga, Taib menjanjikan akan mengenalpasti dan membimbing pengganti yang bakal mengambil alih tempatnya.

Tetapi di mana semua janji-janji itu sekarang?

Jika dikira tempoh masa separuh penggal yang djanjikan itu Taib Mahmud itu sudah pun matang sebenarnya. Dan dengan ketibaan Najib ke Sarawak untuk merasmikan perhimpunan agung PBB semalam, ia dikira waktu yang paling sesuai untuk Najib mengumumkan pengganti Taib Mahmud.

Namun apa yang berlaku, bukan saja pengunduran Taib tidak disebut, bahkan siapa pengganti beliau masih lagi kabur sehingga ini. Baik Najib mahupun Taib tidak bercakap langsung soal Ketua Menteri Sarawak yang baru. Kedua-dua mereka seolah-olah sudah lupa kepada janji yang dibuat sebelum ini.

Bahkan dalam acara perasmian perhimpunan agung PBB itu, Najib dan Taib saling puji-memuji antara satu sama lain, suatu hakikat yang membayangkan janji sebelum ini bakal dimungkiri dan tempoh pemerintahannya mungkin berakhir sehingga pilihanraya negeri yang akan datang.

Taib dalam ucapan alu-aluannya memuji kepimpinan Najib dalam membawa pembaharuan kepada negara dah menyatakan rakyat Sarawak turut mendapat nikmat daripada segala pembaharuan itu. Beliau juga menyatakan ikrar dan sokongan akan terus berdiri teguh di belakang Pengerusi BN itu.

Najib pula dalam ucapan perasmiannya membalas pujian itu dengan menyifatkan Sarawak sebagai "tanah subur" bagi BN berdasarkan pencapaian cemerlang dalam pilihanraya umum lalu.

Hakikat ini, tambahnya memperlihatkan keupayaan Taib Mahmud dalam memimpin negeri Sarawak yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.

"Inilah kehebatan orang lama, beliau masih mampu memanaskan keadaan. Jangan ingat orang lama tidak boleh memanaskan keadaan," kata Najib lagi.

Pujian menggunung dan seakan-akan mahu terus mengekalkan tempoh pemerintahan Taib Mahmud dilihat agak mengejutkan dan seolah-seolah Najib sudah lupa kepada janjinya sebelum ini. Atau barangkali buat-buat lupa dan sengaja lupa!

Kalaulah pujian melambung kepada Taib itu dinyatakan ketika kempen pilihanraya 2011 lalu dan tidak disertai janji mahu menukar kepimpinan Taib Mahmud, barangkali juga keputusan berbeza yang dicapai oleh BN dalam pilihanraya itu. Oleh itu, diharapkan Najib tidak lupa hakikat itu.

Walaupun masih ada tempoh masa lagi untuk Najib menunaikan janjinya kepada rakyat Sarawak, semoganya beliau tidak lupa dan alpa dengan janji-janjinya itu.

Pepatah juga selalu mengingatkan, lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Dan dalam tempoh yang makin singkat untuk menunaikan janji itu, elok juga jika Najib dapat meluangkan masa menghayati senikata lagu " Apa Guna Berjanji" nyanyian Allahyarham Saloma yang antara bait-baitnya berbunyi, " Apa guna berjanji, kalau tak ditepati, kelak meracun hati, tuan sendiri menggigit jari..."

Moga selepas itu beliau segera ingat kepada janjinya dan sedar kesan buruk bakal menimpa jika memungkirinya.(SH 22/10/2013)

Monday 21 October 2013

Kesian Ali Rustam, Dulu Cina Kencing Dia, Sekarang UMNO Melaka Pula...


Bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam mungkin antara ahli politik paling bernasib malang di negara ini. Walaupun bintang politiknya pernah menyinar, berjaya memimpin negeri Melaka selama 13 tahun dan cerita-cerita kejayaannya membangunkan negeri itu sering menjadi sebutan, tetapi kebelakangan ini bintangnya sering saja diselaputi kabus tebal.

Ini menjadikan laluannya untuk terus mendaki ke puncak seakan-akan sudah tersekat, meskipun semangat dan keghairahannya dalam usia 64 tahun sekarang ini tidak pernah padam. Namun kekalahannya dalam pertandingan Naib Presiden UMNO baru-baru ini dengan hanya mengutip 7 undi, barangkali merupakan petunjuk yang jelas kepadanya bahawa memilih jalan persaraan adalah pilihan yang terbaik selepas ini.

Ali Rustam sebelum ini diramalkan oleh banyak pihak mampu memberi cabaran dalam persaingan Naib Presiden ini berikutan beliau merupakan seorang pemimpin yang peramah, pemurah serta prihatin kepada akar umbi. Di mana saja ada kenduri, jemputan rumah terbuka, kematian dan sebagainya, kelibatnya jarang tidak kelihatan. Jemputan yang diterimanya daripada kawan-kawan dan akar umbi UMNO dari utara, pantai timur, selatan tanahair serta Sabah juga jarang dihampakannya.

Beliau sebolehnya cuba memenuhi semua jemputan yang diterimanya sehingga apabila melihat beliau selalu ada di merata-rata negeri, ramai yang musykil dan bertanya, bilakah sebenarnya beliau mempunyai masa untuk tidur dan berehat?

Ketika menjadi Ketua Menteri Melaka, kediaman rasminya sudah mula dikunjungi orangramai seawal Subuh lagi. Pelbagai jenis dan ragam manusia yang datang mahu berjumpa dan mengadu masalah dengannya. Dan setiap hari beliau melayan semua tetamunya itu dengan ramah dan senyum.

Sementara menunggu dapat bertemu dengannya pula, juadah sarapan pagi sentiasa terhidang untuk dinikmati seadanya. Jarang benar sesiapa yang berhajat untuk bertemu dengannya di Seri Bendahara ketika itu, akan pulang dengan hampa kersna sekurang-kurangnya masalah yang mahu diadukan akan dapat diluahkan sama ada sambil beliau berjalan menuju ke keretanya untuk ke pejabat atau ketika beliau sudah duduk dalam keretanya.

Itulah kelebihan Ali Rustam yang jarang ada pada pemimpin-pemimpin di negeri lain. Sebab itu, apabila beliau bertanding Naib Presiden, ramai yang menjangka kehadirannya mampu memberi cabaran dan kejutan. Tambahan pula setelah beliau kalah di Parlimen Bukit Katil, mungkin lebih ramai ahli UMNO yang bersimpati dengannya.

Lebih dari itu, beliau juga seakan-akan dihalang apabila bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 2009 lalu lalu semata-mata untuk memberi laluan kepada Muhyiddin memenangi jawatan itu sedangkan ketika itu Ali Rustam jauh lebih popular dan menjadi pilihan majoriti perwakilan.

Atas dasar itu, penyertaannya kali ini dirasakan mampu memberi saingan yang kuat kepada calon-calon lain, di tambah pula dengan tindakannya menimbulkan isu berkaitan Melayu dan Cina di saat-saat akhir beberapa hari sebelum pengundian.

Tetapi nampaknya semua itu tidak berlaku. Keputusan 7 undi yang diperolehinya agak mengejutkan. Ahli UMNO nampaknya bukannya bersimpati, tetapi sampai hati tidak memberi undi dan melupakan jasa-jasanya selama ini. Turut tidak memberinya undi ialah ahli dan perwakilan UMNO dari negeri Melaka yang pernah dipimpinnya sebelum ini.

Daripada 6 UMNO bahagian yang ada di Melaka, Ali Rustam hanya mendapat satu saja iaitu daripada Bukit Katil yang dipimpinnya. Lima bahagian lain langsung tidak memberi undi dan tidak mengenang jasanya sedangkan sebelum ini beliaulah tempat ahli-ahli UMNO Melaka mengadu, kediamannyalah yang selalu dikunjungi dan tangannya jugalah yang tidak henti-henti dicium olrh mereka.

Sebab itu apabila beliau meluahkan rasa kecewanya kerana hanya memperolehi satu undi daripada negeri Melaka, perasaannya itu tidak sukar untuk difahami. Benih padi yang ditanamnya tetapi hanya lalang yang tumbuh, susu yang selalu diberinya tetapi tuba yang diterimanya sebagai balasan.

Realiti politik selalunya begitulah. Pemimpin ketika berkuasa umpama gula dan ahli UMNO pula umpama semut-semut yang dahaga. Setelah tidak bergula lagi, semua semut-semut segera melarikan diri dan mencari balang gula yang lain pula.

Ali Rustam kini menerima apa yang pernah dialami oleh bekas PM, Mahathir beberapa tahun lalu. Setelah menjadi PM selama 22 tahun tetapi apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan, hasratnya untuk menjadi perwakilan Kubang Pasu pun tidak kesampaian berikutan tidak mendapat sokongan dan dikalahkan oleh mereka yang sebelum ini menyokong dan berpaut dengannya.

Sebelum kekecewaan kalah dalam pertandingan Naib Presiden ini, Ali juga menerima nasib malang apabila turut kecundang dalam pilihanraya lalu di Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar. Jika tidak kalah dalam pilihanraya umum lalu, hari ini beliau mungkin sekurang-kurangnya berjawatan timbalan menteri dan undi yang diterimanya barangkali tidaklah serendah 7 undi.

Jika dalam pilihanraya umum lalu, Ali menyalahkan pengundi Cina atas kekalahannya dan menganggap kaum itu tidak mengenang budi dan jasa yang disumbangkannya selama ini, dalam pemilihan UMNO ini budi dan jasanya seperti tidak dikenang oleh ahli UMNO negeri Melaka sendiri. Bagi ahli UMNO Melaka, Ali Rustam bukan lagi pemimpin yang mempunyai gula dan tiada keperluan lagi untuk memberi memberikan apa-apa undi kepadanya.

Kalau dulu beliau kena kencing dengan pengundi Cina, kali ini orang UMNO Melaka turut kencing kepadanya. (SH 21/10/2013)

Sunday 20 October 2013

Menunggu Mahathir Bersuara...


Apa yang paling ditunggu di sebalik keputusan pemilihan UMNO semalam ialah apakah reaksi bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mengenainya. Ia bukan saja mengenai kekalnya status quo Naib Presiden yang menyaksikan anaknya, Mukhriz kalah dan gagal mencetuskan perubahan dalam UMNO tetapi juga berikutan senarai pemenang jawatan MT turut memperlihatkan pemikiran statik lebih menguasai parti itu berbanding agenda ke arah perubahan.

Walaupun mungkin komen dan penilaian Mahathir mengenai keseluruhan rupa bentuk UMNO selepas pemilihan ini turut dinanti, tetapi yang paling mahu didengar oleh ramai orang ialah reaksinya mengenai kekalahan anaknya yang juga MB Kedah itu.

Apatah lagi, sebelum ini pertandingan ini, beliau sudah pun menjangkakan peluang tipis Mukhriz memenangi pertandingan kali ini berikutan dia bukanlah calon pilihan Perdana Menteri. Calon pilihan Najib ialah Zahid, Shafie dan Hishammuddin. Selain itu, Mahathir juga bimbang dengan amalan politik wang yang didakwanya terus berleluasa turut mengecilkan peluang anaknya memenangi salah satu kerusi Naib Presiden ini.

Dengan menjangkakan peluang tipis anaknya, Mahathir mungkin berharap ada simpati perwakilan terhadap Mukhriz di sebalik adanya arahan supaya status quo dikekalkan, semakin agresifnya calon-calon penyandang berkempen di saat-saat akhir, dakwaan adanya amalan politik wang dan timbulnya pelbagai serangan persepsi oleh pelbagai pihak terhadap keputusannya bertanding jawatan nombor tiga itu.

Tetapi nampaknya kenyataan Mahathir itu tidak mengubah apa-apa, termasuk Najib juga tidak memberi respon atau menjanjikan untuk meletakkan Mukhriz sebagai calon pilihannya. Akhirnya sebagaimana yang dijangka oleh Mahathir, anaknya kecundang lagi dalam persaingan jawatan dalam UMNO meskipun kalau dikira berdasarkan undi popular, kemenangN berpihak kepadanya berbanding Hishammuddin yang mendapat tempat ketiga itu.

Kekalahan Mukhriz ini juga menyaksikan beliau agak tidak bernasib baik apabila bertanding dalam UMNO. Pada 2004, beliau kalah dalam percubaannya mahu menjadi Ketua Pemuda Kubang Pasu, pada 2009 kalah pula kepada KJ untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan kini kalah pula untuk jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau hanya menang Exco Pemuda UMNO pada 2004 dan semalam juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerlun.

Jika kekalahan Mukhriz kepada KJ pada 2009 menyebabkan Mahathir selalu menyebut mengenainya pertandingan itu yang dipaliti dengan amalan politik wang sehinggalah sekarang, kekalahan kali ini tentunya lebih melukakannya. Ini kerana amalan politik wang bukan saja terus berlaku dan diakui oleh salah seorang calon MT, Nur Jazlan yang menyebut perlu ada sekurang-kurangnya RM13 juta untuk seseorang menang Naib Presiden, kekalahan Mukhriz juga dikaitkan dengan pendirian Najib yang tidak terbuka dan lebih condong menyokong status quo.

Walaupun Mukhriz juga anak bekas PM tetapi Najib hanya berminat menyokong seorang saja calon daripada kalangan anak bekas PM iaitu Hishammuddin yang juga sepupunya. Dalam masa yang sama, KJ yang juga menantu bekas PM turut diketahui tidak berpihak kepadanya.

Ini menjadikan dalam usaha Mukhriz mahu menempatkan dirinya sebagai Naib Presiden, cabarannya bukan saja kerana tidak menjadi calon pilihan Najib tetapi juga kerana beliau terpaksa berhadapan dengan tiga keluarga bekas PM iaitu keluarga Tun Rasak, Tun Hussein dan Tun Abdullah atau Pak Lah yang dilihat mahu menghalang kemaraannya.

Walaupun Pak Lah tidak campurtangan tetapi beberapa hari sebelum hari pengundian, ibu KJ iaitu Rahmah Abdul Hamid turut memberikan pandangannya mengenai ketidakwajaran Mukhriz bertanding dengan alasan beliau sepatutnya lebih menumpukan kepada peranan dalam politik kedah bebanding di peringkat nasional.

Dengan kedudukannya sebagai besan kepada bekas PM dan veteran UMNO, komennya itu juga dilihat sebagai usaha mahu menghalang kemaraan Mukhriz dan menjadikan KJ lebih selesa berada di belakang ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada.

Begitu juga, walaupun sukar dibuktikan adanya arahan daripada Najib mahu melihat Mukhriz kalah tetapi dengan tiada satu undi pun diperolehinya daripada 14 bahagian di Pahang dan juga dari menteri atau pemimpin yang diketahui rapat dengan Najib, hakikat adanya campurtangan Najib sukar ditolak begitu saja.

Berdasarkan semua elemen yang menyebabkan Mukhriz kalah kali ini, ternyata ia lebih dahsyat dan tersusun berbanding kekalahan Mukhriz pada 2009 dulu. Untuk itu, kebarangkalian untuk Mahathir sekadar berdiam diri dan redha saja dengan kekalahan anaknya ini, barangkali jauh panggang daripada api.

Ia juga menampakkan seolah-olah Mahathir mahu dikurangkan pengaruhnya dalam UMNO, selain budi dan jasanya membantu memenangkan BN dalam pilihanraya lalu juga bagaikan tidak lagi dihargai.

Dengan ini, Mahathir pasti akan melontarkan suaranya, kalau pun tidak menghalakan meriamnya kepada Najib dan UMNO. Dan muntahan peluru daripada Mahathir ini sedang ditunggu oleh semua orang. Tetapi oleh kerana pilihanraya kecil Sungai Limau akan diadakan dalam waktu yang terdekat ini dan ianya sekali lagi merupakan cabaran kepada Mukhriz, mungkin Mahathir menangguhkan dulu serangannnya itu sehinggalah pilihanraya kecil itu berakhir.

Yang ditunggu juga, apakah serangan Mahathir kali ini akan menyebabkan hanya Najib yang tersungkur atau turut membuatkan UMNO tumbang akhirnya? Dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, percayalah, detik-detik dramatik itu pasti akan bermula. (SH 20/10/2013)

Pilihan Najib Berjaya Tapi Transformasi UMNO Gagal


Sehingga lewat tengah malam tadi, keputusan pemilihan bagi jawatan Naib Presiden UMNO menyaksikan ketiga-tiga penyandang berjaya mempertahankan jawatan mereka, termasuk Hishammuddin yang dianggap lembik dan tidak tegas sebagai pemimpin. Keputusannya setakat ini memperlihatkan Zahid mendapat 185 undi, Shafie Apdal 174 undi, Hishammuddin 100 undi, Mukhriz 91 undi, Isa Samad 7 undi dan Ali Rustam juga 7 undi.

Undi daripada beberapa bahagian lagi belum diperolehi tetapi dengan undi minimum hanyalah 96 undi, bermakna Zahid, Shafie Apdal dan Hishammuddin berjaya dalam pemilihan kali ini.

Untuk tempoh tiga tahun akan datang dan mungkin dipanjangkan sehingga PRU 14 yang akan diadakan sebelum 2018, status quo Naib Presiden yang merupakan pilihan dan orang kepercayaan Najib, juga berjaya dikekalkan.

Dengan kekalnya ketiga-tiga mereka itu, bermakna hasrat untuk melakukan perubahan kepada lapis ketiga kepimpinan UMNO berserta harapan wajah UMNO yang lebih segar dapat ditampilkan dengan menyelitkan Mukhriz Mahathir yang merupakan antara faktor kejayaan BN dapat menawan semula Kedah, terlihat gagal dilakukan.

Kegagalan Mukhriz memenangi jawatan Naib Presiden ini sekaligus mengecewakan ramai orang dalam UMNO sendiri kerana beliau dilihat antara pemimpin pelapis yang diharapkan untuk masa depan parti. Lebih mengecewekan lagi ialah kerana beliau hanya kekurangan beberapa undi saja dengan Hishammuddin yang ditakrif lembik dan tidak tegas itu.

Tetapi kejayaan mengekalkan status quo ini tidak lain adalah kerana kejayaan Najib yang mahukan keputusan sedemikian menjadi kenyataan. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa Najib lebih menyenangi ketiga-tiga penyandang ini berbanding membenarkan Mukhriz memenangi salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden itu.

Najib mahu ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada kekal bukan saja demi survival politiknya tetapi juga kerana keinginannya mahu memastikan sepupunya, Hishammuddin akan mengambil alih tempatnya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri suatu hari nanti.

Menjelang hari-hari terakhir pemilihan, berikutan kedudukan Hishammuddin yang lebih genting berbanding Zahid dan Shafie, tersebar dakwaan bahawa wujudnya arahan daripada Najib yang mahukan status quo itu kekal benar-benar menjadi kenyaaan.

Lantaran itu telah bertaburan cai atau senarai calon yang menghendaki para perwakilan hanya memilih calon bernombor 01,02 dan 03 iaitu Zahid, Hishammuddin dan Shafie, sementara di masa yang sama terdapat juga perwakilan yang diarahkan hanya mengundi calon pilihan Najib itu saja.

Berikutan itu, meskipun Mukhriz pada awalnya dilihat calon yang popular dan selari dengan mood perwakilan, beliau akhirnya harus mengakui bahawa menjadi calon yang bukan pilihan Perdana Menteri, bukanlah sesuatu yang mudah. Dan benar jugalah seperti jangkaan bapanya, Mahathir bahawa peluang bagi Mukhriz adalah tipis berikutan faktor tersebut.

Dengan gagalnya Mukhriz dalam pemilihan kali ini, bermakna beliau sudah dua kali gagal setelah kali pertama kalah kepada Khairy Jamaluddin dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda pada 2009. Kedua-duanya beliau kalah adalah kerana berlaga angin dengan calon pilihan Perdana Menteri. Pada 2009 beliau kalah kerana menentang calon pilihan Pak Lah dan sekarang kalah pula kepada calon pilihan Najib.

Kekalahan Mukhriz kerana adanya peranan atau campurtangan Najib dengan jelas dapat dilihat kerana beliau tidak mendapat walau satu undi daripada Pahang, termasuk di bahagian Pekan yang dipimpin oleh Najib. Kesemua 14 bahagian di Pahang memberikan undi kepada calon status quo yang memperlihatkan mereka akur, tunduk dan patuh kepada kehendak Najib.

Begitu juga di Johor, daripada 26 bahagian, Mukhriz cuma mendapat dua undi iaitu daripada Tebrau dan Johor Bahru. UMNO Bahagian Pagoh yang diketuai oleh Muhyiddin juga tidak memberi ruang kepada Mukhriz mendapatkan undi walaupun beliau diketahui rapat dengan Mahathir. Gambarannya ialah Muhyiddin juga patuh kepada pilihan Najib.

Hampir semua UMNO bahagian yang diketuai oleh menteri atau pemimpin yang rapat dengan Najib turut bertindak hanya memberikan undi kepada calon status quo dan mengenepikan Mukhriz seperti Putrajaya ( Tengku Adnan), Padang Rengas (Nazri Aziz), Besut (Idris Jusoh), Lembah Pantai (Raja Nong Chik) dan banyak lagi.

Ini bermakna dalam usaha memastikan pilihan Najib ini mampu memenangi jawatan Naib Presiden, Mukhriz sebaliknya dikekang dan disekat kemaraannya dengan pelbagai cara. Wujudnya arahan ataupun wahyu dari Najib serta blok undi yang selama ini agak disangsikan, lebih menyerlahkan kebenarannya berdasarkan paten undi daripada negeri-negeri dan bahagian-bahagian.

Mungkin Najib paling gembira dengan kejayaan ketiga-tiga Naib Presiden ini mengekalkan jawatan mereka tetapi dalam masa yang sama ia juga memberi gambaran bahawa transformasi UMNO telah gagal. Bukan saja pemenang Naib Presiden tidak berubah, malah pemenang jawatan MT juga masih dikuasi oleh orang-orang lama dan yang berjawatan menteri saja. Kemasukan pemimpin muda dan generasi baru dalam MT tidak pun melebihi bilangan jari sebelah tangan.

Jadi, apa transformasi dan wajah barunya UMNO selepas pemilihan ini?

Kejayaan BN menawan Kedah yang antara faktornya ialah janji BN meletakkan beliau sebagai Menteri Besar, sebenarnya memberi keyakinan bahawa jika beliau berada di kedudukan Naib Presiden, wajah UMNO juga akan turut berubah dan menjadi lebih disukai rakyat. Ini kerana, selain faktor kedudukannya ssbagai anak bekas PM, kehadirannya dalam UMNO juga tidak disertai dengan "baggage" berbanding ketiga-tiga penyandang yang sedia terpalit dengan pelbagai isu dan pertikaian rakyat.

Selain itu, berbanding Mukhriz yang berjaya membawa Kedah kembali ke pangkuan BN, ketiga-tiga penyandang Naib Presiden juga dikira gagal ketika masing-masing menjadi Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu selama lebih dua tahun sejak 2009 lalu sebelum digantikan dengan pemimpin lain. Pulau Pinang gagal ditawan, Terengganu hampir tumbang dan Kedah ketika dipimpin Shafie juga tidak menunjukkan kemajuan.

Di kawasan Parlimen masing-masing pula iaitu di Bagan Datoh, Semporna dan Sembrong yang diwakili oleh ketiga-tiga pemenang Naib Presiden ini, tidak ada peningkatan undi yang ketara dalam keputusan pilihanraya 2013 dengan 2008. Ini berbeza dengan Mukhriz yang bukan saja berjaya menawan semula Kedah tetapi juga berjaya merampas DUN Ayer Hitam yang ditandinginya daripada tangan PAS.

Dengan kegagalan itu, tiada jaminan wajah-wajah lama Naib Presiden itu mampu membawa sinar lebih bercahaya kepada UMNO, terutama dalam menghadapi PRU 14 akan datang. Mereka ini hanya disukai dan diminati di kalangan ahli dan perwakilan UMNO saja tetapi agak jauh di hati rakyat.

Secara keseluruhannya, keputusan pemilihan kali ini tidak menggambarkan adanya transformasi yang diharap-harapkan dan perjuangan menghadapi PRU 14 kekal sukar walaupun kedudukan Najib secara relatifnya menjadi semakin kukuh dalam UMNO. ( SH 20/10/2013)

Saturday 19 October 2013

Sah, UMNO Alergik Dengan Undi Popular


Jawatankuasa Pemilihan UMNO akhirnya membuat pusingan u-turn berhubung keputusan untuk menentukan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO yang tergantung sejak seminggu lalu berikutan jumlah undi yang diperolehi oleh dua calonnya iaitu Khairul Azwan Harun dan Jamawi Jaafar terikat dengan kedudukan 73-73 pada pemilihan 12 Oktober lalu.

Selepas keputusan seri itu, Jawatankuasa Pemilihan kemudiannnya memutuskan pengiraan berdasarkan jumlah undi popular akan dilakukan untuk menentukan pemenang sebenar. Bagaimanapun semalam, kaedah undi popular itu tidak jadi dikira tetapi pengundian semula tiga bahagian pula akan dilakukan.

Berikutan pendirian JK Pemilihan mahu mengira undi popular untuk menentukan pemenang itu, Khairy Jamaluddin yang baru menang sebagai Ketua Pemuda UMNO dengan meraih 189 undi telah meluahkan rasa tidak setujunya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan pemenang ditentukan melalui undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum bermesyuarat.

KJ juga dilaporkan telah membawa isu itu kepada pengetahuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dipersetujui.

Pendirian KJ itu telah mencetuskan dakwaan bahawa beliau menolak kaedah undi popular kerana lebih cenderung mahukan Khairul Azwan yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak sebagai naibnya. Walaupun terikat dengan undi 73-73 tetapi jika pengiraan dilakukan berdasarkan undi popular, kelebihan pastinya memihak kepada Jamawi kerana beliau mendapat banyak sokongan daripada Pemuda bahagian-bahagian di Sabah yang mempunyai jumlah perwakilan cawangan lebih ramai.

Selain dakwaan lebih mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, KJ turut didakwa menolak undi popular kerana tidak mahu dibayangi oleh Anwar Ibrahim yang mempopularkan kaedah itu berikutan keputusan PRU 13 yang menyaksikan Pakatan Rakyat meraih 51 peratus undi popular berbanding BN yang cuma 47 peratus, walaupun kekuarangan 23 kerusi untuk menawan Putrajaya.

Sejak itu perkataan undi popular sering menjadi basahan mulut Anwar dan lain-lain pemimpin PR untuk menggambarkan mereka lebih mendapat sokongan daripada rakyat berbanding BN.

Kini dengan JK Pemilihan sendiri membuat u-turn dan menolak undi popular dan memutuskan penentuan pemenang Naib Ketua Pemuda akan ditentukan melalui pengundian semula daripada Pemuda UMNO Gelang Patah, Sabak Bernam dan Bachok, secara langsung mengesahkan lagi bahawa UMNO memang takut dan alergik dengan undi popular.

Undi popular bagaikan hantu atau benda haram yang bukan saja cuba dielakkan daripada disebut dan didekati.

Tajol Rosli selaku Pengerusi JK Pemilihan dan urusetia di ibu pejabat UMNO yang diketuai oleh Tengku Adnan barangkali terlupa bahawa sistem undi popular adalah sinonim dengan Anwar Ibrahim dan tanpa berfikir panjang terus memilih cara itu untuk menentukan pemenang apabila keputusan bagi jawatan nombor dua dalam Pemuda itu didapati seri. Maklumlah, mereka pernah rapat dan menjadi penyokong Anwar Ibrahim sebelum ini!

Namun keputusan yang berubah-ubah dan tidak tetap ini tentunya mencalarkan kewibawaan JK Pemilihan, lebih-lebih lagi penolakan terhadap kaedah undi popular itu dilakukan setelah ia turut tidak dipersetujui oleh KJ sebelum ini.

Adakah KJ campurtangan dan mempengaruhi keputusan itu? Atau adakah Tengku Adnan dan ibu pejabat UMNO juga ada peranan tidak mengguna-pakai undi popular itu?

Persoalannya, apakah jika berlaku keputusan seri juga dalam pemilihan peringkat MT hari ini, kaedah undi popular akan ditolak juga, bahkan akan dicari bahagian-bahagian yang boleh dipertikaikan untuk diadakan pengundian semula?

Dalam konteks Naib Ketua Pemuda ini, dengan penentuan melalui tiga bahagian yang pengundian akan dilakukan pada 23 Oktober ini, siapa pemenangnya sudah boleh dijangkakan sebenarnya. Walaupun pengundian turut melibatkan keempat-empat calon Naib Ketua Pemuda yang turut bertanding, persaingan sebenar hanyalah antara Khairul Azwan dengan Jamawi.

Dengan hanya undi daripada tiga bahagian sebagai penentu dan kecenderungan KJ selaku Ketua Pemuda yang sudah mendapat mandat besar 189 undi dengan mudah dapat dibaca tentang siapakah orang nombor dalam Pemuda UMNO yang lebih dimahukannya, kelebihan pasti lebih memihak kepada Khairul Azwan.

Ketiga-tiga bahagian yang bakal mengundi pada 23 Oktober ini, sebagaimana amalan biasa dalam UMNO, akan bergerak mengikut arus saja. Kebarangkalian untuk berani menentang arus sangat tipis.

Sebab itu, dalam gambar yang tersiar di media-media semalam, ketika masing-masing akur dengan keputusan u-turn JK Pemilihan itu, Khairul Azwan ternampak lebih lebar senyumnya berbanding Jamawi Jaafar. (SH 19/10/2013)

Friday 18 October 2013

Menjelang Hari Pengundian, Seperti Sudah Ada Arahan Agar Penyandang Naib Presiden Dikekalkan


Dengan tempoh kempen yang semakin singkat dan detik membuang undi hanya tinggal beberapa jam saja lagi, sudah mula bertaburan di sana-sini cai atau senarai calon yang harus dipilih oleh para perwakilan dalam pengundian Sabtu ini. Walaupun cai itu melibatkan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi, tetapi dipercayai fokusnya ialah bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

Dalam cai itu, calon Naib Presiden yang harus dipilih ialah calon 01,02 dan 03 iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal manakala bagi MT ianya bercampur-campur antara pemegang jawatan dalam kerajaan, calon baru pertama kali bertanding dan pemimpin muda.

Beberapa perwakilan daripada pelbagai bahagian dipercayai sudah menerima cai itu sejak malam semalam lagi, suatu fenomena yang menggambarkan seolah-olah ada usaha terancang untuk memastikan ketiga-tiga penyandang jawatan itu dapat mengekalkan jawatan mereka.

Walaupun tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab, beredarnya cai-cai itu memperlihatkan perebutan jawatan Naib Presiden ini tidak lagi dilihat terbuka atau berdasarkan penilaian penilaian kewibawaan calon-calon yang bertanding, sebaliknya lebih terarah menjadi pertarungan antara penyandang dan penentang. Sudah pasti juga blok undi menjadi sukar dielakkan.

Menjelang hari pengundian pada hari Sabtu, adalah dipercayai lebih banyak cai yang sama diedarkan ke pelbagai UMNO bahagian lagi untuk kemudahan para perwakilan membuat pilihan. Ia juga dipercayai akan turut diedarkan ke seluruh negara.

Walaupun Najib diketahui turut menyenangi ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada yang merupakan kenalan rapat dan orang kepercayaannya tetapi beliau telah pun menafikan campurtangan dalam pemilihan kali ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada para perwakilan untuk membuat pilihan.

Namun demikian, Ketua-ketua UMNO Bahagian yang rapat dengan Najib didapati terus berusaha untuk mengekalkan ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden, antaranya dengan alasan bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan baik sejak empat tahun lalu dan tiada sebab yang kukuh untuk mengganti salah seorang daripadanya.

Orang yang paling ditakuti dan cuba dielakkan daripada memenangi jawatan Naib Presiden ini ialah Mukhriz Mahathir. Ini kerana kemenangannya dianggap bertambah kukuhnya pengaruh Mahathir dalam UMNO yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada Najib, selain dilihat sebagai persaingan kepada masa depan politik Hishammuddin dan Khairy Jamaludin.

Di WP misalnya, Pengerusi Perhubungan UMNO WP, Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikenali sebagai orang Najib telah secara terbuka meminta kepada perwakilan negeri itu memberikan undi kepada Zahid, Hishammuddin dan Shafie dalam satu majlis makan malam, baru-baru ini. Hujahnya memilih ketiga-tiganya adalah selari dengan kehendak Najib.

Majoriti ketua UMNO cawangan dan perwakilan daripada bahagian yang ketuanya dikenali sebagai orang Najib, turut sudah menetapkan pendirian untuk mengekalkan Zahid, Hishammuddin dan Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO. Mereka tidak ragu-ragu menyatakan akan memberikan undi kepada ketiga-tiga calon itu kerana itulah yang dikehendaki oleh pemimpin bahagian mereka.

Bagi pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib, inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesetiaan dan kekuatan pengaruh di bahagian masing-masing kepada Perdana Menteri iaitu dengan memastikan Zahid, Hishammuddin dan Shafie mendapat satu undi melalui kaedah electoral college dari bahagian masing-masing.

Semalam Wanita UMNO yang dipimpin oleh Shahrizat Jalil sudah menetapkan kriteria calon Naib Presiden yang menjadi pilihan mereka iaitu Hishammuddin, Zahid dan Shafie dengan bersandarkan peranan ketiga-tiganya dalam menjaga kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Pemuda UMNO juga dipercayai secara majoritinya akan melonggokkan undi mereka kepada ketiga-tiga penyandang itu, lebih-lebih lagi memang diketahui bahawa Ketuanya, Khairy Jamaluddin turut tidak selesa dalam memacu perjalanan karier masa depannya sekiranya Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berjaya menempatkan dirinya di salah satu kerusi nombor tiga UMNO itu.

Beredarnya cai atau senarai calon ini mengukuhkan lagi tanggapan yang tersebar luas selama ini bahawa usaha yang agresif akan dilakukan di saat-saat akhir untuk memastikan ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden dapat mengekalkan jawatan masing-masing.

Dengan adanya sokongan Wanita dan Pemuda serta kesepakatan pemimpin UMNO bahagian yang rapat dengan Najib untuk memastikan penyandang Naib Presiden ini kekal, di samping usaha yang semakin agresif ke arah itu, tidak diragui lagi bahawa ketiga-tiga penyandang ini dilihat semakin selesa kedudukannya, termasuk Hishammuddin yang sebelum ini dianggap paling mungkin tercicir berikutan penilaian ramai terhadap kepimpinannya yang dianggap lemah dan tidak tegas.

Meskipun ternampak adanya arahan dan usaha tersusun di banyak bahagian untuk memastikan ketiga-tiga Naib Presiden ini dikekalkan, persoalannya cuma sejauh mana perwakilan benar-benar akur kepada arahan dan mengikut sepenuhnya cai yang diberikan itu?

Makin menarik dan mendebarkan untuk sama-sama kita nantikan keputusan Naib Presiden kali ini. (SH 18/10/2013)

Thursday 17 October 2013

Mungkinkah Ali Rustam Dan Isa Samad Dikambinghitamkan Untuk Memenangkan Pilihan Najib?


Bahang perebutan jawatan Naib Presiden UMNO semakin meninggi suhunya. Bukan saja calon yang makin sibuk mengatur strategi saat-saat akhir, bahkan para perwakilan juga tidak menang tangan memenuhi pelbagai jemputan bertemu dengan calon dan juga dengan ejen calon-calon yang bertanding.

Semakin dekat hari pengundian pada Sabtu ini, warna sebenar mengenai siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal sudah mula dapat dirasakan. Jika sebelum ini Zahid Hamidi dianggap calon paling popular manakala Mukhriz Mahathir di tempat kedua dan tempat ketiga masih terbuka antara Hishammuddin, Shafie Apdal dan Ali Rustam tetapi kelebihan dilihat memihak kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu, namun perkembangan di saat-saat akhir ini memperlihatkan semuanya bakal berubah.

Seorang lagi calon, Isa Samad bagaimanapun kekal dilihat tidak mempunyai peluang dalam pemilihan kali ini.

Hanya tinggal tidak sampai dua hari lagi ruang masa untuk berkempen, kebarangkalian makin meningkat bahawa ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal akan mengekalkan jawatan masing-masing.

Perkembangan ini juga tentunya paling menggembirakan Najib kerana pelan asalnya yang mahu ketiga-tiga penyokong setianya itu dikekalkan, menemui kejayaan akhirnya.

Hari ini Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil secara terbuka menyatakan sokongan pergerakan itu kepada ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden dalam pemilihan pada 19 Oktober nanti. Secara berkias, penasihat kepada Najib yang bertaraf menteri itu berkata, pilihan Wanita UMNO kali ini ialah pertama, kepada calon yang mempertahankan kedaulatan negara (Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan), kedua kepada calon yang menjaga keamanan negara (Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri)dan ketiga, calon yang mampu memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat (Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

Dalam masa yang sama, Shahrizat juga turut memberi penghargaan kepada Hishammuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan kerana memberi lebih peranan dan mengarus-perdanakan peranan wanita sistem pemilihan yang baru diperkenalkan.

Tidak syak lagi, sokongan terbuka Shahrizat kepada ketiga-tiga penyandang dan penekanan yang khusus diberi kepada peranan Hishammuddin, tentunya akan disertai dengan arahan kepada Wanita Bahagian dan Cawangan di seluruh negara agar turut akur dengan hanya mengundi calon-calon dipilih itu saja.

Dalam masa yang sama, perkhabaran dari kem Pemuda UMNO juga semakin kuat kedengaran bahawa Pergerakan Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Khairy Jamaluddin juga bakal menyatakan sokongan terbukanya kepada ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden itu.

Dan entah dari mana secara tiba-tiba lagu nostalgia turut kedengaran bahawa KJ dikatakan amat terhutang budi kepada Hishammuddin kerana beliaulah yang membawa KJ ke dunia politik apabila melantiknya sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia ketika menjawat jawatan pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri (Pak Lah) ketika itu.

Sesuai dengan kedudukan Hishammuddin yang agak lemah sekarang ini, faktor membalas budi ini dijangka akan melonjakkan Hishammuddin kepada kedudukan yang lebih selesa. Dengan dua sayap berada bersama-samanya, kedudukan Hishammuddin cukup selesa mulai hari ini.

Dalam masa yang sama, dua lagi calon Naib Presiden iaitu Ali Rustam dan Isa Samad pula secara tiba-tiba terlibat dalam siasatan politik yang mungkin menghakis sokongan terhadap mereka. Ali Rustam kini disiasat dibawah Akta Hasutan berhubung ucapannya berkaitan perniagaan kaum Cina yang dianggap menghasut dan tidak sesuai diucapkan dalam sebuah negara berbilang kaum.

Siasatan itu dibuat berikutan laporan polis oleh DAP terhadap beliau. Dengan adanya siasatan polis itu, kedudukan Ali menjadi genting kerana akan wujud peralihan undi daripadanya disebabkan perwakilan beranggapan memberi undi kepadanya adalah sia-sia jika beliau akhirnya didapati bersalah dan digantung jawatan dalam parti.

Isa Samad yang juga Pengerusi Felda turut berhadapan laporan polis oleh sekumpulan peneroka berhubung kenyataannya yang berbeza kepada Bursa Malaysia berkaitan perletakan jawatan bekas CEO agensi itu, Sabri Ahmad.

Apa yang memeranjatkan isu laporan polis itu menjadi bahan besar di TV3 dan NST, konglomerat media yang rapat dengan Perdana Menteri, Najib Razak. Liputan secara besar-besaran dan meluas itu memperlihatkan seolah-olah ada agenda terselindung daripada pemegang tampuk kuasa untuk menggelapkan peluang bekas MB Negeri Sembilan itu daripada memberi cabaran yang sebenarnya dalam pemilihan kali ini.

Sama seperti kes Ali Rustam, laporan polis yang diperbesar-besarkan itu pastinya akan mengurangkan sokongan terhadapnya kerana perwakilan juga beranggapan sebagai sia-sia memberikan undi kepadanya jika selepas pemilihan nanti beliau didapati bersalah dan turut terpaksa melepaskan jawatan dalam parti.

Memberi kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 122B, Akta Industri Sekuriti yang boleh membawa hukuman maksimum didenda RM3 juta dan penjara selama 10 tahun.

Dengan kemungkinan itu, perwakilan seluruh negara pastinya tidak mahu mensia-sia undi mereka kepada Pengerusi Felda itu.

Apa yang berlaku kepada Ali Rustam dan Isa Samad di saat-saat akhir ini memperlihatkan bahawa kedua mereka bakal menjadi mangsa dan dikambinghitam untuk memberi laluan yang lebih selesa kepada ketiga-tiga penyandang Naib Presiden sedia ada. Jika ini berlaku, ia kali kedua bagi mereka di mana Ali pernah dihalang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 2009 manakala Isa pula pernah dilucutkan jawatan Naib Presidennya selepas pemilihan 2004 atas dakwaan mengamalkan politik wang.

Ali dan Isa kini umpama kuda yang sudah patah kakinya. Persepsi perwakilan terhadap mereka tidak lagi kukuh, bahkan makin menipis. Cabaran kepada ketiga-tiga penyandang Naib Presiden ini hanya tinggal Mukhriz Mahathir seorang saja lagi. Tetapi dengan hanya tinggal beliau yang memberi cabaran dan dalam masa yang sama terpaksa pula menumpukan lebih perhatian kepada persiapan pilihanraya kecil Sungai Limau, kelebihan secara automatik lebih memihak kepada ketiga-tiga penyandang sedia ada.

Undi kepada ketiga-tiga rakan karib Najib itu tidak akan berpecah lagi kerana telah dibantu oleh kedudukan Ali dan Isa yang makin lemah dan tidak diminati lagi oleh perwakilan. Perwakilan juga mula menganggap kehadiran Mukhriz yang berseorangan sebagai pengacau dan ini secara langsung memberi kelebihan kepada Zahid, Hishammuddin dan Shafie.

Menjelang detik-detik akhir sebelum pengundian, sama ada berlaku lagi pelbagai kejutan atau percaturan yang diorkestrakan dari jauh yang jelas mahu memberi kelebihan kepada ketiga-tiga penyandang, hendaknya janganlah ada yang terkejut jika selepas keputusan diumumkan nanti, Mukhriz sekali lagi gagal dalam merebut jawatan kanan dalam UMNO setelah sebelum ini beliau juga tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO pada 2009 lalu.

Pemain-pemain orkestra kini terlihat sedang memilih lagu-lagu yang sesuai untuk mengekalkan status quo. (SH 17/10/2013)

Wednesday 16 October 2013

3 Hari Menjelang Pengundian, Hishammuddin Masih Lagi Ketinggalan


Pemilihan UMNO bakal diadakan pada 19 Oktober ini, iaitu kira-kira tiga hari daripada sekarang. Kerusi paling panas diperkatakan ialah Naib Presiden. Semua calon bagi merebut jawatan itu ketika ini sedang sibuk berkempen ke seluruh negara menemui perwakilan, di samping turut sibuk muncul berkempen di televisyen melalui program bual bicara atau wawancara.

Memandangkan kali ini jumlah perakilan yang mengundi adalah seramai 146,500 orang dan tidak mungkin calon-calon dapat bertemu dengan semua perwakilan itu, maka peluang muncul di televisyen tentunya kesempatan yang tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.

Selain itu, calon-calon juga turut tidak melepaskan peluang menggunakan akhbar sebagai medium kempen sama ada melalui wawancara, kenyataan akhbar, ulasan isu semasa mahupun bercakap mengenai bidang tugas rasmi masing-masing.

Bagi yang aktif di laman sosial pula, mereka juga turut menggunakan kecanggihan dunia internet untuk berkempen dan mempromosi diri masing-masing.

Bagi calon-calon Naib Presiden, hanya Isa Samad yang didapati tidak aktif dalam laman sosial dan didapati akaun Facebooknya sudah lama tidak dikemaskini, selain tidak mempunyai akaun Twitter mahupun Instagram  manakala calon-calon lain iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan Ali Rustam, kesemua mereka didapati aktif dalam laman sosial dan sekurang-kurangnya mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun sama ada Facebook, Twitter ataupun Instagram.

Dengan Perdana Menteri, Najib Razak menggalakkan semua pemimpin UMNO dan kerajaan agar aktif dalam laman sosial bagi memudahkan berinteraksi dengan rakyat, Isa Samad nampaknya tidak menyahut seruan itu dan menjadi pemimpin yang tidak mahu bergerak seiring dengan perkembangan zaman.

Ini menjadikan Isa agak terkebelakang dan hanya mengharapkan bantuan media tradisional atau komunikasi secara bersemuka dengan perwakilan untuk kempen-kempennya.

Jika calon-calon yang bertanding Naib Presiden kali ini dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu penyandang dan penentang, sehingga ini Isa Samad berada di kedudukan paling bawah dari segi keupayaan menggugat kedudukan tiga penyandang sedia ada.

Dari kumpulan penentang, calon yang didapati paling menggugat dan berpeluang cerah untuk memenangi salah satu kerusi Naib Presiden kali ini ialah Mukhriz Mahathir. Faktor kejayaan BN menawan Kedah, imejnya sebagai pemimpin muda yang baik serta pengaruh bapanya, Mahathir Mohamad adalah antara sandaran yang menjadi perkiraan para perwakilan.

Calon kedua daripada kumpulan penentang yang dijangka mampu membuat kejutan ialah Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka dan sekarang bergelar Senator serta Pengerusi PUNB. Selain hubungan baik dan mudah mesranya dengan ramai orang, jasanya dalam membangunkan Melaka serta serangannya kepada pelbagai isu yang berkaitan orang Cina baru-baru ini turut memberi kelebihan kepadanya.

Daripada kumpulan penyandang pula, calon yang paling popular dan boleh dikatakan selamat ialah Zahid Hamidi. Pelbagai ketegasan yang dipamerkannya semenjak menjadi Menteri Dalam Negeri seperti Ops Cantas, Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya menjadikan beliau pilihan paling atas di hati perwakilan UMNO, meskipun sikapnya itu menyundang pertikaian daripada bangsa lain.

Manakala dua calon penyandang yang lain iaitu Hishammuddin dan Shafie Apdal, kedua-duanya masih lagi berada di zon bahaya. Berbanding Shafie, kekalahannya mungkin tidak begitu memeranjatkan kerana undi daripada Sabah sendiri didapati tidak solid kepadanya berikutan wujudnya masalah antara beliau dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman tetapi kedudukan Hishammuddin yang masih tidak menunjukkan banyak kemajuan sedangkan hari pengundian semakin hampir, mungkin petanda tidak baik baginya.

Walaupun beliau sedang bekerja keras menemui perwakilan di seluruh negara sambil cuba menangkis pelbagai persepsi negatif mengenai dirinya, malah jentera kempennya juga turut giat ke sana dan ke mari, sehingga ini penerimaan perwakilan UMNO daripada pelbagai negeri masih lagi membimbangkan.

Masih ramai perwakilan yang merasakan beliau tetap seorang pemimpin yang lembik dan tidak tegas dan mereka kekal dengan kesangsian untuk memberikan undi kepadanya.

Walaupun sebelum ini ada dakwaan mengatakan bahawa kemenangan Khairy Jamaluddin dan Shahrizat sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita adalah isyarat bahawa penyandang jawatan Naib Presiden, termasuk Hishammuddin juga mempunyai kelebihan tetapi ramai perwakilan yang menolak teori tersebut.

Bagi kebanyakan perwakilan, teori itu tidak semestinya benar kerana untuk jawatan Naib Presiden perlu dipilih tiga pemenang manakala Ketua Pemuda dan Ketua Wanita hanya seorang saja, selain pencabar untuk KJ dan Shahrizat juga dianggap tidak cukup berwibawa untuk menggugat.

Ramai perwakilan yang melihat pemilihan Naib Presiden kali ini adalah cerminan wajah parti untuk menghadapi cabaran akan datang, terutamanya PRU 14 yang dijangka lebih getir berbanding PRU 13 lalu. Persepsi negatif mengenai sepupu Najib itu terutama ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, masih lagi menghantui majoriti perwakilan.

Dengan Zahid dan Mukhriz dikira calon selamat, Hishammuddin kini bukan saja terpaksa bersaing dengan Shafie Apdal untuk mengisi slot ketiga tetapi juga dengan Ali Rustam yang kini geraf politiknya sedang naik dengan mendadak di hati para perwakilan.

Jika sehingga 19 Oktober, tiada berlaku campurtangan atau arahan mana-mana pihak dan pemilihan benar-benar bersih, Ali Rustam dilihat mempunyai peluang lebih cerah mengisi slot ketiga berbanding Hishammuddin ataupun Shafie Apdal. (SH 16/10/2013)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...