Friday 27 July 2012

Anwar Dan Najib Sama-Sama Makin Hampir...


Ketika ini isu politik paling panas ialah mengenai dua Ahli Parlimen Sabah, Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing yang dijangka akan meninggalkan BN dan menubuhkan parti baru, Angkatan Perubahan Sabah pada 29 Julai ini. Sebagai tanda parti baru ini akan bekerjasama dengan PR, maka Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang turut dijemput ke majlis pelancaran parti itu yang akan diadakan di Tuaran, Sabah.

Tindakan dua Ahli Parlimen ini, seorang daripadanya berjawatan timbalan menteri dan Ahli MT UMNO, keluar daripada BN dan menyokong PR tentulah merupakan pukulan paling mengaiabkan yang terpaksa diterima oleh Najib.

Lebih menarik, bersekali dengan tindakan dua Ahli Parlimen itu keluar BN, beberapa nama turut disebut akan menyertai mereka, antaranya dua bekas menteri, Kasitah Kadam dan Osu Sukam.

Jika ini berlaku, tidak mustahil beberapa lagi tokoh politik tempatan Sabah akan turut meninggalkan BN. Ini kerana kesemua mereka terbabit adalah tokoh yang dianggap pernah berpengaruh di negeri itu, setidak-tidaknya tentu mereka ada pengikut tersendiri yang akan mengikut langkah mereka itu.

Kesan daripada ini, arus perubahan dalam politik Sabah adalah sesuatu yang sukar ditolak, kecuali pucuk pimpinan BN berbuat sesuatu untuk menanganinya. Dengan berlakunya perubahan di Sabah, percikannya pasti memberi kesan juga kepada suasana politik negara secara keseluruhannya.

Dalam masa yang sama, keluar pula kajian terbaru oleh Merdeka Center yang memperlihatkan rating Najib di mata rakyat menurun lagi 1 peratus kepada 64 peratus berbanding 65 peratus pada Mei lalu.

Dalam segi kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan pula, kajian itu menunjukkan ia merosot 6 peratus di mana kini tahap puas hati rakyat hanya 42 peratus sahaja.

Jika pada pilihanraya 2008 di mana BN hilang majoriti dua pertiga, rating Pak Lah di mata rakyat ketika itu ialah 72 peratus. Dengan rating Najib hanya 64 peratus dan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan pula sekadar 42 peratus, sudah tentu mudah dijangka ke mana UMNO dan BN terhumban dalam pilihanraya kali ini.

Dari segi isu pula, tawaran terbaru PR untuk menghapuskan duti eksais kenderaan dan seterusnya menyaksikan penurunan ketara harga kereta yang kini menjadi keperluan semua orang, sekali lagi kedudukan PR berada di kedudukan yang selesa di hati rakyat.

Golongan muda yang selama ini begitu mengidam untuk memiliki kereta import tetapi tidak mampu lantaran cukai dan duti eksais yang tinggi, kini tentunya tidak sabar untuk merubah kerajaan dan menjadikan impian selama ini menjadi kenyataan.

Sebelum dari itu, PR juga telah mengemukakan pelbagai tawaran menarik untuk rakyat seperti penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik, penghapusan hutang PTPTN, permit teksi individu untuk pemandu teksi serta pelbagai lagi.

Tawaran harga kereta yang lebih murah ini pastinya melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap PR.

Dari segi politik, pelbagai tawaran yang dikemukakan itu tidak dinafikan berjaya menambat serta memikat hati rakyat berbanding Najib yang hanya menawarkan bantuan rakyat 1 Malaysia bernilai RM500, Klinik 1 Malaysia, Kedai Runcit 1 Malaysia, Kedai Kain 1 Malaysia dan seumpamanya yang lebih bersifat lipstik dari segi kesan merata yang bakal diterima rakyat.

Dan jika dilihat pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai salah laku, skandal dan penyelewengan pemimpin UMNO dan kerajaan termasuk Najib sendiri sejak kebelakangan ini, kedudukan UMNO dan BN sebenarnya jauh kebih jelek di mata rakyat.

Kiranya momentum ini berterusan dan apa yang berlaku di Sabah bermula Ahad ini merupakan petanda kedudukan "deposit tetap" Sabah dan Sarawak yang selama ini dibanggakan BN juga bakal berakhir, maka tidak syak lagi Anwar makin selesa menghampiri kerusi Perdana Menteri manakala Najib pula kian hampir kepada kerusi Ketua Pembangkang. (SH 27/07/2012)

Thursday 26 July 2012

Mungkinkah Pergolakan Di Sabah Pemangkin Kejatuhan BN?


Beberapa hari yang lalu berlaku pergolakan politik di Sabah yang tentunya menarik untuk diperhatikan. Ia menjadi menarik kerana apa yang berlaku di Sabah itu bukan saja memberi kesan kepada politik negeri bawah bayu itu sahaja tetapi juga kepada perkembangan di Malaysia seluruhnya.

Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing secara tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran dan dijangka akan mengumumkan masa depan politiknya pada Ahad ini.

Tetapi ramai pemerhati meramalkan beliau akan keluar dari UPKO dan seterusnya mengisytiharkan dirinya menyokong Pakatan Rakyat. Di masa yang sama, timbul juga desas-desus sebuah parti baru yang dikenali Barisan Pembaharuan Sabah sedang dalam proses penubuhan dan dijangka diumumkan secara rasmi di di Dalit, Tuaran Ahad ini.

Di masa yang sama, Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menghadiri satu perhimpunan rakyat di Tuaran, juga Ahad ini.

Berlakunya tiga peristiwa Ahad ini di Tuaran iaitu Wilfred akan mengumumkan masa depan politiknya, desas-desus penubuhan parti baru dan kehadiran Anwar dalam satu perhimpunan khas, tentunya bukan suatu kebetulan atau suratan takdir semata-mata.

Ia adalah perancangan untuk mencetuskan tsunami politik di Sabah dan seterusnya membawa perubahan kepada kedudukan UMNO, BN serta Najib.

Dalam pada itu, di hari yang sama Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Tuaran minggu lalu, seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Lajim Ukim, seorang timbalan menteri kerajaan pusat dan ahli MT UMNO pula mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

Lajim sebelum ini telah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan dan sudah mengumumkan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Beaufort yang disandangnya. Sebagaimana Wilfred, Lajim juga sudah dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sejak sekian lama dan mempunyai hubungan yang dingin dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Dari segi politiknya, pertemuan seorang timbalan menteri dan ahli MT UMNO dengan Nik Aziz itu pastinya memberi pelbagai makna dan persepsi. Ia bukanlah pertemuan kerana ada program kementerian atau kebetulan ada lawatan rasmi ke Kelantan. Lajim menemui Nik Aziz semata-mata atas kapasiti peribadinya yang ingin berbual dan bertukar-tukar pandangan dengan Mursyidul Am Pas itu.

Di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pula, angin makin kuat bertiup mengatakan bahawa kedua-dua pemimpn itu akan meninggalkan BN dan menyokong PR dalam piliharaya akan datang. Jika Wilfred dikaitkan dengan parti baru, Lajim dikhabarkan kemungkinan akan menyertai Pas atau PKR.

Jika penghijrahan kedua-dua pemimpin itu menjadi nyata, ia tentunya boleh mencetuskan tsunami yang bukan saja boleh merubah senario politik Sabah tetapi juga Malaysia kerana berdasarkan pilihanraya lalu, kemenangan BN banyak disumbangkan oleh jumlah kerusi di Sabah dan Sarawak.

Kebiasaannya selepas dua pemimpin ini mengumumkan menyertai PR, ia akan disusuli pula pemimpin lain dari pelbagai peringkat pula. Jika ini berlaku, perubahan memang sukar ditahan lagi.

Senario di Sabah yang mahu kepada perubahan juga berikutan limpahan maklumat yang diterima oleh rakyat negeri itu. Bersandarkan senario semasa itu, Pengarah UiTM Sabah, Arnold Puyok meramalkan BN Sabah akan tewas lebih daripada 60 peratus kerusi Parlimennya atau sekurang-kurangnya 14 dari 22 kerusi.

Ini bermakna kedudukan Sabah sebagai deposit tetap bagi BN akan berubah. Sejarah politik Sabah memang sudah beberapa kali mengalami perubahan daripada USNO, Berjaya, PBS dan kini UMNO. Atas dasar itu, perubahan kepada PR pula bukanlah sesuatu yang mustahil. Cumanya jika selama ini hanya perubahan peringkat negeri, kali ini ia membabitkan Pusat juga.

UMMO sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu, sebaik tersebarnya berita Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya dan mungkin beralih arah, begitu juga dengan Lajim, segera kedengaran bahawa Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan politik ke Sabah Sabtu ini.

Selain meninjau perkembangan semasa politik di negeri itu, tidak mustahil Muhyiddin akan mencari masa berusaha menemui kedua-dua pemimpin itu bagi memujuknya supaya membatalkan segala hasrat untuk bertalak kasih dengan BN itu. Mungkin pelbagai tawaran dan janji akan dilimpahkan supaya kedua mereka terus kekal bersama BN.

UMNO tentunya menyedari kehilangan 7 hingga 10 kerusi sahaja di Sabah sudah merupakan ancaman besar baginya. Lebih-lebih lagi jika perubahan di Sabah itu turut pula menjangkit ke Sarawak yang turut menyebabkan BN hilang beberapa kerusi lagi di negeri pimpinan Taib Mahmud itu.

Kerana itu kebarangkalian timbulnya elemen yang boleh mencetuskan tsunami di Sabah akan cuba dihalang sedaya upaya sebab kemenangan di Sabah dan Sarawaklah talian hayat terakhir bagi BN untuk mempertahankan kuasa.

Jika Wilfred dan Lajim dapat dipujuk, tsunami politik di Sabah mungkin dapat dikurangkan kesannya dan harapan BN untuk terus berkuasa masih ada.

Cumanya, adakah masih laku segala pujuk rayu disisi Wilfred dan Lajim yang sudah dikira veteran dalam politik Sabah itu? (SH 26/07/2012)





Monday 23 July 2012

Isu Komunis Akhirnya Jadi Senjata Makan Tuan Bagi UMNO


Dalam usahanya untuk memenangi pilihanraya, UMNO sekali lagi mengggunakan isu menakut-nakutkan rakyat. Kali ini dakwaan yang dilemparkan tetapi tanpa sebarang bukti ialah pendedahan Cawangan Khas PDRM bahawa Pas dan DAP telah diserapi fahaman JI dan komunis.

Dengan mengaitkan PAS dengan JI yang sering digambarkan bercirikan keganasan serta DAP pula dengan komunis, juga bercirikan keganasan, muslihatnya cukup jelas iaitu mahukan rakyat terus menyokong UMNO dan kerajaan BN meskipun bagaimana buruk sekalipun perlakuan para pemimpinnya selama ini.

Taktik menakutkan rakyat ini sebenarnya adalah ulangan taktik lama yang dikitar semula beberapa kali. Sebelum ini DAP juga digambarkan sebagai anti Melayu, anti Islam, ekstremis Cina dan sebagainya. Ternampak bahawa UMNO mulai bimbang dengan penerimaan masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu sendiri terhadap DAP kebelakangan ini.

Apabila taktik itu dilihat tidak cukup berkesan, isu komunis pula cuba ditimbulkan. Isunya cukup jelas iaitu untuk mengajak rakyat menolak DAP. Jika rakyat terutamanya Melayu menolak DAP, maka gabungan Pakatan Rakyat secara automatik menjadi tempang dan lebih mudah ditewaskan.

Namun demikian, jika dilihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi DAP nampaknya lebih mesra Melayu dan Islam berbanding kerajaan BN dahulu. Kemudahan untuk orang Islam beribadah ditambah, malahan peruntukan untuk Majlis Agama Islam juga bertambah berkali tanda setiap tahun. Dengan ini semua dakwaan anti Melayu dan anti Islam terhapus secara sendirinya.

Dalam masa yang sama, rakan karib UMNO iaitu MCA melalaui beberapa tuntutannya seperti persamaan hak dan kouta sama rata serta secara terang mengugut UMNO berkaitan hudud, dilihat lebih ekstrem berbanding DAP. Beberapa isu melibatkan MCA akhir-akhir ini juga menjadikan DAP lebih disenangi berbanding MCA.

Selain itu kemasukan beberapa individu Melayu ke dalam DAP seperti yang berlaku di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan juga berjaya memadam tanggapan parti itu anti Melayu dan anti Islam, jauh sekali ekstremis China.

Langkah terbaru yang dibuat oleh UMNO melalui cawangan khas PDRM yang mengaitkan DAP dengan komunis tidak lain adalah adalah ulangan taktik yang sama. Ini kerana selepas melemparkan dakwaan itu, tiada bukti yang dapat disertakan selain melalui melalui andaian kekerapan kononnya beberapa pemimpin parti itu berulang alik ke Thailand.

Jika kekerapan pergi ke Thailand dijadikan ukuran, tentunya pemimpin UMNO juga kerap ke sana. Bolehkah mereka juga dikaitkan dengan komunis?

Dalam isu komunis yang dikaitkan dengan DAP, Menteri KDN, Hishammuddin Hussein sendiri tidak dapat memberikan sebarang bukti atas dakwaan Cawangan Khas PDRM itu, malah baru mahu mendapatkan maklumat daripada Cawangan Khas mengenainya. Soalnya apakah wajar Cawangan Khas mendedahkan sesuatu isu yang melibatkan kepentingan negara tanpa pengetahuan Menteri KDN?

Ternampak ada sesuatu yang janggal di sini. Mungkinkah Cawangan Khas sengaja diarah mendedahkan perkara itu sekadar untuk melihat respon rakyat?

Dalam isu komunis yang dikaitkan dengan DAP untuk menakut-nakutkan orang Melayu, secara umumnya ia tidak memberi kesan ketara kepada rakyat. Ini kerana sepanjang sejarah tidak ada pemimpin DAP yang ditangkap kerana komunis. Berbanding UMNO dan mereka yang dekat dengan UMNO, sejarah telah menyaksikan beberapa daripada mereka pernah ditangkap kerana kaitannya dengan komunis, antaranya mereka yang dikenali dengan Tiga Abdul dan salah seorang pegawai ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri iaitu Sidek Ghouse juga pernah ditahan kerana kaitan dengan komunis.

Lebih dari itu, pendedahan Lim Guan Eng bahawa Pemuda BN juga pernah menubuhkan seketariat tetap dengan Liga Pemuda Komunis China pada 2009 bagi tujuan mengeratkan hubungan kedua-dua belah pihak, sekaligus meletakkan UMNO dalam situasi pernah bekerjasama secara rasmi dengan komunis.

Selain itu dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO juga, jika diperhatikan delegasi Parti Komunis China juga adalah antara yang kerap dijemput sebagai tetamu.

Faktor ini sekaligus menafikan tanggapan Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak pernah bekerjasama dengan komunis. Hakikatnya UMNO bukan saja pernah bekerjasama dengan komuns tetapi telah terbukti beberapa pemimpinnya juga pernah ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan yang rapat dengan komunis.

Dalam usaha UMNO menjadikan isu komunis ini sebagai senjata untuk menakut-nakutkan rakyat agar menolak DAP, akhirnya ia telah menjadi senjata yang menikam dirinya sendiri. Kegagalan menjadikan isu komunis sebagai tsunami untuk menenggelamkan DAP, setelah isu anti Melayu, anti Islam dan ekstremis Cina juga menemui kegagalan, UMNO mungkin sedang memerah otak mencari isu lain untuk diketengahkan pula.

Atau setidak-tidaknya tarikh pilihanraya mungkin ditangguhkan lagi sehingga jerat yang dipasang benar-benar mengena!!(SH 23/07/2012)

Friday 20 July 2012

Setpol Najib Tidak Winnable, Siapakah Calon Sesuai Di Wangsa Maju?


Perkhabaran yang dibawa oleh Pengerusi BN Wangsa Maju, Shafie Abdullah bahawa kerusi Parlimen kawasan itu akan dikembalikan kepada UMNO setelah dua penggal ditandingi oleh MCA, seperti yang diduga, bukan sahaja menimbulkan pergolakan baru dalam UMNO Wangsa Maju tetapi juga mencetuskan "ribut kecil" di kawasan Setiawangsa.

Di Wangsa Maju, pergolakan yang mula dibualkan ialah siapakah calon yang sesuai dan dianggap boleh menang yang harus ditonjolkan agar kekecewaan tewas hanya dengan 150 undi sebagaimana yang dialami pada 2008 tidak akan berulang kembali.

Di Setiawangsa pula, ribut kecil mula berlaku berikutan dikhabarkan bahawa kawasan itu akan diserahkan kepada MCA sebagai tukar ganti kepada Wangsa Maju yang dikembalikan kepada UMNO. Rata-rata pimpinan UMNO melahirkan rasa terkejut, tidak puas hati dan menolak hasrat pucuk pimpinan UMNO dan BN mahu menyerahkan kerusi Setiawangsa kepada MCA untuk ditandingi dalam pilihanraya akan datang.

Beberapa Ketua Cawangan melahirkan rasa marah dengan perkhabaran itu dan kini sebarang tindakan dipercayai akan diputuskan untuk menangani perkara itu sebaik saja Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutaun, Zulhasnan Rafique kembali daripada umrah tidak lama lagi.(Posting khusus akan menyusul selepas ini).

Meskipun Shafie Abdullah selaku Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju dan Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan memang diketahui sejak dulu begitu mengidamkan untuk menjadi wakil rakyat Wangsa Maju bagi membolehkan darjatnya naik setakuk lagi dengan bergelar YB pula, halangannya ialah beliau bukanlah calon yang benar-benar winnable untuk memenangi pilihanraya.

Selain karektornya yang sedikit keras, kadang-kadang sombong dan suka cakap lepas, beliau juga tidak mempunyai cengkaman yang kuat terhadap pengundi Cina. Ini berikutan sikapnya yang bermusuh dengan MCA sejak 2008 apabila berjaya merampas kedudukan Pengerusi BN daripada Yew Tiong Look.

Sejak itu hubungan UMNO dan MCA sentiasa tegang. MCA bukan saja memboikot mesyuarat dan program anjuran Shafie tetapi terus-menerus berebut pengaruh dengan masing-masing mengatur program sendiri. MCA dalam usaha menunjukkan bahawa ia diterima oleh semua golongan, kerapkali mengatur program dan menabur bantuan di kalangan masyarakat Melayu.

Ini menjadikan sokongan pengundi Melayu juga tidak kukuh terhadapnya, di samping pengundi Cina pula tidak mahu didekatinya.

Oleh kerana dalam pilihanraya 2008, BN hanya tewas 150 undi, kebarangkalian untuk calon UMNO menang di Wangsa Maju tanpa berbaik dengan MCA dan masyarakat Cina, tentunya amat tipis sekali. Dengan peratusan pengundi antara Melayu dan bukan Melayu hampir seimbang, jalan terbaik untuk menang ialah dengan menjalin hubungan baik dengan semua kaum.

Tetapi inilah yang gagal dilakukan oleh Shafie. Beliau bukan saja bermasam muka dengan pimpinan MCA tetapi langsung tidak menunjukkan jiwa besar untuk berbaik-baik dengan mereka.

Kiranya beliau diberi kepercayaan oleh Najib untuk bertanding di Wangsa Maju, harapan beliau untuk menang secara logiknya amatlah tipis. Selain karektornya sebagaimana yang disebut tadi, masalah besarnya ialah ketiadaan sokongan pengundi Cina dan sokongan pengundi Melayu yang berpecah. Pengundi Cina yang bernaung dibawah MCA tentu saja sukar menyokong Shafie kerana perbuatannya yang dianggap merampas hak mereka itu.

Sebagaimana yang diketahui, calon PR di Wangsa Maju ialah daripada PKR iaitu Dr Tan Kee Kwong, seorang tokoh yang agak dikenali ramai serta pernah menjadi timbalan menteri sewaktu bersama Gerakan dahulu.

Tinjauan umum mendapati jika Shafie berhadapan dengan Dr Tan, harapan beliau untuk menang memang agak sukar berbanding Dr. Tan berikutan sebab-sebab yang dihuraikan diatas tadi.

Di kalangan pengundi Melayu pula yang dianggarkah berjumlah 17 ribu, pastinya juga berlaku pecahan undi. Selain PAS Wangsa Maju dan segmen Melayu dalam PKR Wangsa Maju yang sentiasa kerap mendekati pengundi Melayu, pengundi di kalangan ahli UMNO sendiri tidak solid kepada BN turut menjadi masalah.

Ini antaranya disebabkan sikap Shafie sendiri yang tidak menunjukkan kematangan dengan berusaha berbaik-baik dengan semua kelompok sejak memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian pada tahun 2008 lalu. Beliau bukan sahaja mengekalkan musuh-musuh lama, malahan disebabkan karektornya yang sedikit keras, kadangkala sombong dan suka cakap lepas itu menyebabkan penyokongnya sendiri mulai rasa bosan dan menjauhkan diri.

UMNO Wangsa Maju kini bukan saja mengalami perpecahan yang ketara di kalangan AJK Bahagian, bahkan sebagai tanda protes terdapat beberapa cawangan yang tidak mahu menjalankan persidangan tahunan pada tahun ini.

Secara mudahnya, walaupun Shafie bernaung rapat dibawah dagu Najib, beliau bukanlah calon yang benar-benar winnable untuk Wangsa Maju. Harapannya untuk kalah lebih cerah berbanding menang.

Malahan jika benar kerusi Parlimen Wangsa Maju dikembalikan kepada UMNO, ramai pengundi lebih gembira jika tokoh lain selain daripada Shafie yang diketengahnya sebagai calon. Dalam hal ini pucuk pimpinan UMNO dan BN harus melakukan tinjauan serta risikan secara menyeluruh dan objektif sebelum penentuan calon yang mewakili UMNO diputuskan.

Antara calon UMNO yang dilihat berpotensi dan berupaya meraih undi yang lebih baik untuk BN di Wangsa Maju ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Haji Jaafar Ariffin, Naib Ketua Bahagian, Hamdan Yusof dan Setiausaha Bahagian, Shamsudin Hussein.

Ramai yang percaya jika salah satu antara mereka ini yang dipilih menjadi calon UMNO di Wangsa Maju, perolehan undi mereka diyakini lebih baik daripada Shafie meskipun untuk mencapai kemenangan berhadapan dengan PKR, masih sukar diramalkan. (SH 20/07/2012)

Thursday 19 July 2012

Najib Akhirnya Tunduk Dengan Asakan Setpolnya


Kerusi Parlimen Wangsa Maju yang menjadi "rebutan panas" antara UMNO dan MCA sejak empat tahun lalu, akhirnya menemui titik nokhtahnya apabila Ketua UMNO Bahagian itu, Shafie Abdullah mengumumkan bahawa pucuk pimpinan sudah bersetuju menyerahkan kembali kepada UNNO untuk bertanding di situ dalam pilihanraya akan datang ini.

Shafie mengumumkan perkara itu dalam perjumpaan dengan AJK UMNO Bahagian, Ketua-ketua cawangan dan Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Wangsa Maju, Selasa lalu.

Dalam perjumpaan itu, selain mengumumkan bahawa UMNO akan bertanding di Wangsa Maju, beliau juga meminta semua pihak supaya bekerja keras mulai sekarang untuk memastikan kemenangan UMNO dalam pilihanraya nanti.

Menurut Shafie, beliau sudah berusaha untuk mengembalikan kerusi itu kepada UMNO, di mana sejak dua penggal lalu kawasan itu diberikan kepada MCA. Bagaimanapun calon MCA, Yew Tiong Look telah kalah dalam pilihanraya 2008 kepada Wee Choo Keong dengan kekurangan 150 undi.

Untuk bulan Ramadhan ini, Shafie juga mengumumkan beliau diberikan peruntukan RM300 ribu untuk menjalankan pelbagai program di masjid dan surau bagi menarik sokongan pengundi Melayu kepada UMNO.

Sejak berakhirnya pilihanraya 2008, kerusi Parlimen Wangsa Maju menjadi rebutan panas antara UMNO dan MCA di mana Shafie yang merupakan Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan telah melakukan beberapa asakan serta desakan kepada Najib agar kawasan itu dikembalikan kepada UMNO.

Antara asakan dan desakan yang dilakukan ialah melalui usul dalam mesyuarat cawangan dan bahagian, menghantar memorandum, membawa rombongan bertemu Najib dan Muhyiddin serta pelbagai lagi.

Shafie juga, melalui pengaruh dan kedudukannya sebagai staff Najib, telah berjaya meyakinkan pucuk pimpinan UMNO dan BN untuk menyerahkan jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju kepadanya sedangkan sebelum ini ianya dipegang oleh Yew Tiong Look dari MCA.

Sejak itu hubungan UMNO dan MCA sentiasa panas dan tegang. Hampir semua mesyuarat dan program BN Wangsa Maju juga diboikot oleh MCA. Shafie pula kerana merasakan beliau berada dekat dengan pemegang mohor kuasa iaitu Najib, tidak pula cuba merendah diri dan mahu berbaik-baik dengan MCA.

Sebagai tindakbalas, MCA juga melakukan beberapa program untuk menunjukkan bahawa MCA masih relevan bertanding di kawasan itu. Antaranya, baru-baru ini MCA mengadakan jamuan tengahari yang dihadiri oleh NGO-NGO dalam kawasan Wangsa Maju bersama seluruh pimpinan tertinggi MCA di Kampung Pengantin, Setapak.

Dalam perjumpaan itu, Presiden MCA, Chua Soi Lek yang menerima perakuan daripada NGO-NGO terbabit untuk terus menyokong calon MCA di Wangsa Maju, turut melahirkan keyakinan bahawa Wangsa Maju akan kekal menjadi milik MCA dan meminta jangan ada sesiapa mengganggu-gugat perkara itu.

Kemudian dari itu, MCA bersama TAR Kolej juga mengadakan program yang melibatkan generasi muda yang turut dihadiri Najib di kolej itu, hujung bulan lalu yang sekaligus memberi gambaran bahawa pemilikan MCA terhadap Wangsa Maju adalah sesuatu yang sukar digugat.

Dalam masa yang sama, MCA Wangsa Maju sendiri sudah menyiapkan jentera mereka untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini bedasarkan keyakinan bahawa Najib seorang pemimpin yang tidak goyang pendiriannya terhadap pelbagai tuntutan yang dibuat oleh UMNO Wangsa Maju yang diterajui oleh Setpolnya sendiri.

Namun dengan pengumuman Shafie bahawa Najib bersetuju menyerahkan kepada UMNO bertanding di Wangsa Maju, ia bukan sahaja akan menambahkan lagi suhu pergolakan antara UMNO dan MCA tetapi juga memungkinkan berlakunya juga pergolakan lain sesama UMNO di Wilayah Persekutuan.

Dengan UMNO diserahkan kembali kerusi Wangsa Maju, bermakna akan berlaku pertukaran yang menyebabkan UMNO terpaksa pula menyerahkan salah satu kerusinya kepada MCA pula.

UMNO WP kini memiliki kerusi Lembah Pantai, Titiwangsa, Setiawangsa dan Putrajaya. Jika salah satu kerusi ini mahu diberikan kepada MCA, kebarangkalian yang agak nyata ialah Setiawangsa akan menjadi korban berikutan Ahli Parlimen kawasan itu, Zulhasnan Rafique adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan dikenali sebagai orang Pak Lah.

Dengan memberikan kerusi Setiawangsa kepada MCA sebagai pertukaran kepada Wangsa Maju yang diberikan kembali kepada UMNO, ia adalah kaedah diplomatik Najib untuk membersarakan Zulhasnan dan membuang orang-orang Pak Lah secara tersusun.(SH 19/07/2012)

Tuesday 17 July 2012

Ketua UMNO Bahagian Berkomplot Di Jakarta Untuk Tolak Calon Winnable


Masalah utama yang dihadapi oleh Najib untuk meletakkan calon-calon yang dianggap winnable tetapi berada di luar kepimpinan UMNO bahagian ialah sikap-sikap kebanyakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang didapati masih kemaruk untuk bergelar YB walaupun sudah menjadi wakil rakyat lebih daripada dua penggal.

Mereka ini didapati masih belum bersedia memberi ruang kepada orang lain mengganti-pakai gelaran YB itu walaupun Najib sudah berulang kali menyebut tentang keinginan untuk meletakkan calon yang dianggap winnable itu.

Disebalik Najib bercakap soal winnable yang bermaksud calon baru yang bersih serta boleh diterima rakyat, wakil-wakil rakyat lama ini tetap juga beranggapan mereka juga adalah winnable walaupun dalam  pilihanraya lalu kemenangan yang diperolehi sekadar cukup makan sahaja.

Di Selangor, wakil-wakil rakyat lama yang terdiri daripada pemegang jawatan Ketua Bahagian dan lain-lain jawatan dalam UMNO didapati masih ghairah melobi dan menonjolkan diri dengan harapan dipilih lagi sebagai calon pilihanraya.

Selain Dr. Khir Toyo yang masih menghadapi kes mahkamah dan mengumumkan mahu berundur, didapati tiada pemimpin lain yang berbuat demikian.

Mereka bukan saja didapati masih ghairah melobi untuk menjadi calon tetapi beberapa wakil rakyat Selangor juga sudah mengadakan pertemuan sulit di Jakarta untuk membentuk 'kesatuan' bagi membolehkan mereka melakukan desakan yang lebih mantap dan tersusun kepada pucuk pimpinan.

Dengan melakukan komplot sehingga ke Jakarta bagi membolehkan terus dipilih sebagai calon pilihanraya, bermakna harapan pucuk pimpinan untuk meletakkan calon-calon winnable yang berada di luar kepimpinan UMNO Bahagian pastinya melalui jalan sukar dan tidak mustahil hanya tinggal angan-angan saja.

Difahamkan antara perbincangan yang dibuat selain mendesak untuk terus dipilih sebagai calon, mereka juga turut menyentuh mengenai proses pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya nanti.

Di Johor pula, beberapa wakil rakyat yang sudah lebih tiga penggal memegang jawatan itu turut didapati masih ghairah melobi dan tidak segan-segan bercerita tentang hasrat mahu terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini.

Sebahagian daripada mereka juga didapati makin rancak memasang kain rentang di seluruh pelusuk kawasan masing-masing memuji-muji kepimpinan Najib dengan pelbagai ungkapan manis sambil meletakkan gambar mereka bersebelahan dengan Perdana Menteri di kain rentang tersebut.

Keadaan ini tentunya  tidak lain adalah didorong oleh keghairahan yang tidak pernah padam untuk terus menjadi wakil rakyat. Dan sekali lagi keghairahan ini turut menyukarkan kemasukan calon-calon baru yang dianggap winnable untuk dipilih sebagai calon pilihanraya.

Di Sabah juga keadaan yang sama berlaku di mana sebahagian besar wakil rakyat UMNO sedia ada secara terbuka menyatakan keinginan untuk terus bertanding.

Di sebuah negeri di utara pula berlaku keadaan yang lebih terbuka di mana beberapa wakil rakyat yang terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian bukan saja meluahkan hasrat untuk terus menjadi calon, bahkan terdapat yang menggambarkan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika diketepikan oleh UMNO.

Tinjauan secara rambang di semua negeri sebenarnya mendapati kebanyakan wakil rakyat yang terdiri daripada Ketua Bahagian dan pemegang lain-lain jawatan dalam UMNO masih mahu terus menjadi calon walaupun menyedari usia mereka makin meningkat dan sudah pun merasai nikmat beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

Pimpinan UMNO Bahagian ini langsung tidak peduli soal kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya, apatah lagi mahu memberi ruang kepada calon-calon baru menjadi wakil rakyat. Apa yang difikir dan diusahakan ialah memastikan mereka terus dipilih sebagai calon pilihanraya.

Dalam hal ini Najib sudah tentu serba salah kerana jika  Ketua Bahagian dan wakil-wakil rakyat  yang sudah lama terus dipilih sebagai calon ia akan menyukarkan impian kemenangan yang ingin digapai kerana rakyat akan menilai Najib gagal dalam transformasinya serta tidak mengotakan janji untuk meletakkan calon-calon baru yang dianggap winnable.

Di sisi yang lain, jika Ketua Bahagian terlalu ramai diketepikan ia mungkin pula menjejaskan kedudukan Najib dalam pemilihan UMNO selepas itu, terutama jika UMNO dan BN cuma menang tipis saja dalam PRU 13 nanti. Ketua-ketua Bahagian yang diketepikan ini kemungkinan akan bersuara lantang  mendesak agar Najib mengundur diri dan digantikan dengan pemimpin lain.

Soalnya mampukah Najib menjadi seorang yang tegas dan tidak tunduk kepada pelbagai karenah yang ditimbulkan oleh wakil-wakil rakyat usang serta pimpinan UMNO Bahagian ini sedangkan selama ini beliau sudah dicop sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia? (SH 17/07/2012).

Saturday 14 July 2012

Rungutan Kakitangan Kerajaan Terhadap Najib


Berita mengenai dua ekor panda yang dipinjamkan oleh Kerajaan China kepada Malaysia dua tiga minggu lalu sebenarnya masih lagi menjadi percakapan umum terutamanya di kalangan pegawai tinggi kerajaan. Kesediaan Najib menerima hadiah yang dipinjamkan sempena meraikan empat dekad hubungan mesra Malaysia - China itu menimbulkan beberapa persoalan tentang kebijaksanaan Najib dalam membuat keputusan.

Dengan bersedia menerima panda itu yang dijangka akan ditempatkan di Taman Wetland, Putrajaya, ia bukan saja menyebabkan kita terpaksa menyediakan prasarana khusus yang menyerupai habitat asal panda yang hidup dalam iklim sejuk tetapi juga terpaksa mengimport buluh khas daripada China sebagai makanannya.

Kita juga dikatakan terpaksa menghantar beberapa kakitangan menjalani latihan ke China untuk menjalani latihan berkaitan panda serta memahami secara menyeluruh mengenai kehidupan panda itu. Dalam masa yang sama, beberapa kakitangan daripada China's Wulong Panda Research Institute, badan yang bertanggungjawab menyewakan panda itu, akan turut ditempatkan di negara ini bagi mengawasi kehidupannya sepanjang panda tersebut berada di negara ini.

Secara keseluruhannya, sebagaimana yang pernah dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kos RM20 juta sepanjang 10 tahun dua ekor panda itu ditempatkan di negara ini.

Perkara yang menimbulkan persoalan di kalangan pegawai tinggi kerajaan ialah tentang kebijaksanaan Najib menerima permintaan China untuk memelihara panda itu. Mereka berpandangan sebaiknya Najib menolak permintaan China itu dengan baik sambil mengambil kira faktor cuaca, makanan dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung itu.

Bagi pegawai tinggi kerajaan, masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk meraikan hubungan  mesra yang telah terjalin selama 40 tahun antara Malaysia dengan China, selain daripada memelihara panda. Jika pun ingin  sangat meraikan hubungan diplomatik yang mesra itu, ia juga boleh dilakukan dengan mengadakan pertukaran rombongan kebudayaan, pertukaran pelajar, lawatan belia sambil belajar secara tetap dan sebagainya.

Dalam kedudukan Najib sendiri dipertikaikan oleh rakyat, memelihara dua ekor panda dengan kos RM20 juta melalui  wang pembayar cukai selama 10 tahun tentulah memburukkan lagi persepsi beliau di mata rakyat.

Rasa tidak setuju rakyat terhadap panda itu terserlah bilamana Najib dalam laman facebook bahasa Cinanya meminta rakyat turut memberi nama kepada dua ekor panda itu, ia  akhirnya menjadi persendaan maya di mana antara nama yang dicadangkan ialah cin cin & beg beg, Altantuya & Scorpene dan sebagainya.

Para pegawai tinggi kerajaan juga bimbang hubungan Malaysia dan China akan terjejas serta menjadi isu besar di antara kedua negara sekiranya panda itu mati dan sebagainya berikutan persekitaran habitatnya yang dibina  nanti tidak bersesuaian.

Selain isu panda, pegawai tinggi kerajaan juga menyifatkan tindakan pentadbiran Najib mengadakan pelbagai program melibatkan rakyat hampir setiap minggu dan sepanjang masa sejak beberapa bulan lalu sebagai meletihkan kakitangan kerajaan.

Secara umumnya, pegawai kerajaan memang sedia berkhidmat dan menurut arahan daripada pemerintah tetapi yang menjadi persoalan ialah program-program itu sudah berjalan secara marathon sejak beberapa lama dan masih tidak ternampak tanda-tanda Najib akan mengadakan pilihanraya dalam waktu yang terdekat ini.

Mereka juga dapat merasakan pastinya dalam bulan Ramadan dan Syawal nanti, program-program yang melibatkan rakyat akan berlipat kali ganda lagi dari segi bilangan dan saiznya kerana Najib nampaknya masih berusaha meraih sokongan sebanyak-sebanyaknya sebelum mengadakan pilihanraya.

Para pegawai kerajaan kini mengadu  sudah beberapa bulan keletihan dan tidak tahu sampai bila lagi mereka akan terus keletihan di bawah pentadbiran Najib ini. (SH 14/07/2012).

Thursday 12 July 2012

Mahathirisme Pembunuh Masa Depan Najib


Setelah lebih 10 tahun bersara sebagai Perdana Menteri paling berkuasa, Mahathir kini seakan memperlihatkan kerancakannya semula dalam politik Malaysia. Boleh dikatakan setiap hari beliau bercakap dan memberi pandangan mengenai pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara.

Serentak dengan keaktifan Mahathir ini, isu Mahathirisme yang sekian lama tenggelam kini muncul kembali dan mula diperbincangkan. Mahathir kini melalui pelbagai kemunculannya seperti mahu menyuburkan semula Mahathirisme di sebalik kepimpinan Najib yang dilihat lemah serta lesu.

Mahathirisme sering dianggap sebagai fahaman yang dipupuk oleh pentadbiran Mahathir selama 22 tahun yang mementingkan nepotisme dan kronisme melalui dasar penswastaan dan mewujudkan projek mega, pemusatan kuasa yang terlampau, cengkaman yang keras terhadap puak yang menentang sehingga wujud budaya takut di kalangan rakyat dan lain-lain elemen yang dianggap tidak demokratik.

Sepanjang 22 tahun berkuasa, Mahathirisme berkembang dengan subur dan kejayaan beliau mempertahankan kuasa dalam tempoh yang lama sebahagiannya adalah disumbangkan oleh kejayaannya meyakinkan rakyat untuk menerima fahaman itu di samping memberikan rakyat ganjaran materialistik yang lumayan.

Mahathir kini cuba menguasai Najib secara halus dan sekaligus mengembangkan semula Mahathirisme itu. Dalam keadaan Najib terlalu lemah dan amat memerlukan kemenangan dalam pilihanraya, kehadiran Mahathir seperti mahu menyelamatkan Najib walaupun sebenarnya faktor Najib adalah perkara kedua berbanding Mahathirisme yang diagungkannya itu.

Melalui Mahathirisme, beliau berjaya menempatkan anak-anaknya dalam dunia perniagaan yang berjaya. Salah seorang anaknya, Mokhzani menguasai sebahagian besar kontrak minyak dan gas Petronas di mana Mahathir adalah penasihatnya. Beliau kini berada dalam kelompok 30 rakyat Malaysia terkaya.

Anaknya yang lain, Mirzan pula menguasai saham besar dalam San Miguel, pengeluar arak terbesar di Filipina dan kemudian membeli Esso (kini dikenali sebagai Petron). Petron pula kini memperolehi kontrak membekal minyak kepada MAS, walaupun sebelum ini kontrak itu diperolehi oleh Petronas.

Anak Mahathir yang seorang lagi, Mukhriz pula menceburi dunia politik dengan memegang jawatan Timbalan Menteri MITI di bawah pentadbiran Najib. Beliau diuar-uarkan sama ada akan dijadikan Menteri Besar Kedah atau menteri penuh selepas pilihanraya ini kiranya rahmat Tuhan masih membenarkan BN terus berkuasa.

Rakan-rakan perniagaan yang meningkat maju di zaman Mahathir juga terus berkembang pesat di zaman pentadbiran Najib ini. Dan inilah antara tuaian lumayan yang dikecapi oleh Mahathir atas kejayaannya menyuburkan Mahathirisme.

Sebab itu apabila seorang lagi anaknya iaitu Marina terlibat dengan Perhimpunan Bersih yang mahu menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, Mahathir tidak dapat menyembunyikan rasa tidak senangnya terhadap penglibatan anak perempuannya itu yang dilihat boleh meruntuhkan kepentingan anak-anaknya yang lain.

Ketika sedang berkuasa, dalam usaha mempertahankan pemberian kontrak kerajaan kepada salah seorang anaknya, Mahathir dengan berani mengatakan, "kalau bukan dengan pemberian kontrak oleh kerajaan, anak saya nak makan apa?"

Itulah Mahathir dan Mahathirisme. Tetapi dunia kini sedang berubah. Mahathirisme tidak selamanya boleh diterima oleh rakyat. Generasi muda yang sentiasa sarat dengan maklumat, menolak mentah-mentah Mahatirisme ini kerana mereka sedar ianya faktor yang merosakkan negara dalam jangka panjang dan menyebabkan mereka yang berada di luar lingkungan kronisme dan nepotisme tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Oleh kerana lebih 60 peratus daripada pengundi yang akan menentukan kerajaan dalam pilihanraya akan datang adalah terdiri daripada pengundi muda, keakraban Najib dengan Mahathirisme tentunya boleh mengundang bahaya.

Matlamat tersirat Mahathir bersungguh-sungguh memastikan kemenangan Najib, UMNO dan BN dalam piliharaya akan datang tentunya tidak terkeluar daripada landasan untuk memastikan kepentingan anak-anak dan kroninya yang lahir hasil daripada Mahathirisme terus dapat bernafas dengan segar selepas itu.

Hanya dengan Najib atau BN terus berkuasa saja yang mampu menjamin Mahathirisme terus subur. Jika Pakatan Rakyat dan Anwar pula yang menguasai Putrajaya, Mahathirisme bukan saja menjadi malap malahan mungkin menjadi penghuni tetap tempat pelupusan sampah.

Tetapi hubungan yang terlampau akrab dan terlalu bergantung kepada Mahathir, tidak mustahil juga boleh membawa kemusnahan kepada masa depan Najib sendiri. Selain pengundi muda, golongan profesional dan terpelajar yang rata-rata menolak Mahathirisme, generasi pertengahan yang berpegang kepada agama juga tidak dapat menerima Mahathirisme kerana dalam keghairahan mengejar kekayaan ianya rupanya telah menjadi tanpa batasan sehingga menjerumuskan anaknya sendiri dalam perniagaan arak yang jelas dicegah oleh agama.

Jika ini ditambah dengan majoriti pengundi bukan Melayu yang sudah sedia menolak BN, saham Mahathirime dalam menyumbang kepada kemusnahan masa depan Najib amatlah besar sebenarnya. (SH 12/07/2012)



Monday 9 July 2012

Malaysia Seperti Ditadbir oleh Tiga Perdana Menteri


Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kemunculan kelibat Tun Mahathir dan Rosmah Mansor dalam pelbagai aktiviti dalam negara kelihatan begitu rancak sekali. Mereka dilihat muncul dalam pelbagai majlis dan bercakap mengenai pelbagai perkara.

Walaupun Mahathir telah melepaskan jawatan Perdana Menteri sejak 2003 lagi, tetapi dengan kesibukan yang ditunjukkan, jadual hariannya yang tetap padat serta kerajinannya bercakap mengenai politik memperlihatkan bahawa Mahathir sebenarnya masih tidak mahu menanggalkan pengaruh Perdana Menteri yang masih bersisa dalam dirinya.

Bahkan kadang-kadang apabila beliau bercakap mengenai politik khususnya, beliau seperti terlupa bahawa beliau bukan lagi Perdana Menteri.

Jika diimbas apa yang berlaku sejak 2003, Mahathir sebenarnya hanya berehat dalam tenpoh yang singkat saja sebaik mengumumkan untuk bersara dan menyerahkan kuasa kepada Pak Lah. Selepas piliharaya 2004 yang memperihatkan Pak Lah berjaya mencipta sejarah kemenangan paling gemilang bagi UMNO dan BN dan kerana tidak tahan dengan kemunculan pengaruh KJ serta "budak-budak tingkat 4" yang didakwanya menguasai Pak Lah, Mahathir kemudian aktif kembali daripada dunia persaraannya.

Sejak itu Mahathir tidak pernah mengurangkan keaktifannya. Ditambah sekarang ini di mana kedudukan UMNO cukup genting dan Najib sendiri kelihatan amat lemah untuk mempertahankan kuasa BN, Mahathir seolah-olah berkongsi jawatan Perdana Menteri dengan Najib.

Beliau kini bercakap tentang Melayu, pengundi Cina, menghentam pembangkang, menilik tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya dan pelbagai lagi. Bahkan apa saja yang ditanya oleh wartawan, beliau dengan senang hati memberikan jawapannya.

Beliau juga kerap bercakap soal ekonomi dan menguruskan negara. Bahkan kedengaran juga ada pihak yang berjumpa dengan Mahathir untuk melobi sebagai calon pilihanraya.

Dalam hal ini Mahathir nampaknya tidak mahu menjadi seperti rakan-rakan sejawatannya di seluruh dunia yang benar-benar bersara apabila mengumumkan untuk bersara. Pemimpin lain apabila bersara, mereka tidak lagi mencampuri urusan dalam negara dan hanya menumpukan kepada keluarga atau hanya sesekali bercakap di peringkat antarabangsa. Mahathir sebaliknya, hanya mengumumkan untuk bersara tetapi tetap mahu dilihat berkuasa.

Mahathir bukan sahaja mahu melihat UMNO dan BN terus berkuasa tetapi juga mahu kemenangan yang dicapai nanti disumbangkan oleh pengaruh yang ada padanya. Sebagaimana beliau merasakan kemenangan tipis pilihanraya 2008 adalah disebabkan serangan berterusannya terhadap Pak Lah ketika itu, beliau juga sebenarnya mahukan sahamnya turut ada jika ditakdirkan BN terus berkuasa lagi.

Mahathir sebolehnya mahu mengelakkan kekalahan UMNO dan BN ialah kerana tidak mahu musuh politik nombor satunya, Anwar Ibrahim memperolehi kuasa semula setelah beliau memecatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Jika itu berlaku bukan saja egonya tercabar, malahaan legasi Mahathirisme yang dibanggakannya selama 22 tahun berkuasa juga pastinya akan musnah sama.

Itulah sebenarnya yang cuba dipertahankan oleh Mahathir. Dan dalam usaha mempertahankan semua itu, beliau kini menjadi seperti Perdana Menteri semula.

Bagi Rosmah pula, di awal era pentadbiran Najib lagi kemunculannya sudah diperkatakan oleh banyak pihak terutama berkaitan kekerapannya muncul di media dan merasmikan pelbagai perkara. Kadangkala pula kekerapannya melebihi Perdana Menteri sendiri.

Selain kerap muncul di majlis rasmi, Rosmah juga beberapa kali diminta oeh Najib mewakilinya di beberapa majlis dan ini memperlhatkan bahawa beliau gemar kepada kuasa. Lantaran itu, muncul pula pelbagai persepsi bahawa Rosmah sebenarnya turut berkuasa dalam pentadbiran negara. Beliau dikatakan bukan sahaja berkuasa dalam menentukan pengagihan peluang perniagaan dan kontrak kerajaan bahkan kedengaran juga desas-desus bahawa "First Lady" ini turut mempunyai pengaruh dalam penentuan calon-calon piliharaya.

Dikhabarkan ramai pemimpin UMNO pelbagai peringkat yang berhajat untuk menjadi calon pilihanraya turut melobi dan mendekati Rosmah bagi mencapai hasrat yang diidamkan itu.

Akhir-akhir ini beberapa stesen TV pula tersasul menulis kemunculan Rosmah sebagai Perdana Menteri dan bukan lagi sebagai isteri Perdana Menteri. Orangramai mula bercakap apakah ianya suatu kesilapan atau disengajakan? Tambah mengelirukan apabila stesen TV terbabit tidak pula mengeluarkan permohonan maaf atau membuat pembetulan meskipun ianya suatu kesilapan yang nyata.

Apa pun isu yang berlegar di sekitar Rosmah ini, hakikatnya beliau suka kepada kuasa dan tidak peduli apa pun percakapan orangramai mengenainya. Asalkan dilihat berkuasa dan menyamai pengaruh Perdana Menteri, katalah apa saja.

Sama seperti Mahathir, Rosmah juga sebenarnya sedang berkongsi kerusi Perdana Menteri dengan Najib melalui apa yang ditunjukkannya selama ini.

Sebagaimana Najib yang sibuk saban hari dengan jadualnya, Mahathir dan Rosmah juga sibuk dengan aturcara sendiri dalam negara. Kesibukan mereka berdua menyamai, bahkan kadangkala melebihi kesibukan Najib sendiri.

Bukan saja tidak pernah berlaku di mana-mana negara seorang Perdana Menteri yang sudah bersara tetapi ingin terus dilihat berkuasa tetapi juga tidak pernah berlaku jawatan Perdana Menteri sampai dikongsi tiga.

Tetapi selagi Najib membiarkan ada orang lain yang turut berkuasa sebagai Perdana Menteri, selagi itulah beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah. (SH 09/07/2012)

Friday 6 July 2012

Tamrin Diberi Surat Tunjuk Sebab Dan Bakal Dipecat?


Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar yang sejak akhir-akhir ini aktif berceramah di pentas Pakatan Rakyat dan mengkritik kepimpinan Najib, kini sudah menerima surat tunjuk sebab daripada UMNO berikutan tindakannya itu.

Surat bertarikh 26hb Jun 2012 dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor itu diterima oleh Tamrin beberapa hari lalu.

Surat itu antara lain meminta Tamrin menjelaskan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya itu yang dianggap oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO sebagai telah melanggar disiplin parti.

Tamrin, anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba, diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Kebiasaannya jika surat tunjuk sebab diberikan terhadap seseorang yang dianggap melanggar disiplin parti, tindakan akhir yang diambil ialah memecat mereka yang berkenaan daripada UMNO.

Semasa zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Mahathir juga pernah menulis surat yang mengkritik kepimpinan Tunku dan akhirnya beliau juga dipecat daripada UMNO.

Dalam soal ini, apakah Tamrin, anak seorang bekas pejuang UMNO juga bakal dipecat oleh UMNO?

Tamrin yang sejak beberapa tahun menyepikan diri daripada dunia politik, mula membuat kemunculan semula dalam dunia politik sejak pra perhimpunan Bersih 3.0 pada penghujung April lalu. Beliau mula berceramah menyokong perhimpunan yang mahu menuntut pilihanraya yang adil dan bersih di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sejak itu, namanya mula meniti di bibir pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan jadual hariannya juga mulai sibuk dengan memenuhi undangan ceramah di seluruh negara. Beliau pernah muncul berceramah bersama Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan lain-lainnya.

Selain itu, Tamrin juga ada menulis sepucuk "surat kuning" kepada Najib yang antara kandungannya banyak memberi teguran, saranan dan pandangan dalam usaha memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO. Bagaimanapun surat itu dipandang sepi oleh Najib dan tidak ternampak Perdana Menteri mahu memberi respon terhadap surat tersebut.

Sebelum ini, tindakan Tamrin berceramah di pentas Pakatan Rakyat dan banyak mengkritik Najib memang menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak tertentu dalam UMNO di mana Tamrin pernah menerima panggilan misteri yang memintanya menghentikan tindakan itu atau menghadapi serangan peribadi berterusan daripada UMNO terutama berkenaan kisah-kisah zaman lampaunya.

Namun demikian, panggilan misteri itu dilihat tidak sesekali melemahkan tekad Tamrin yang nampaknya sudah nekad untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan melakukan perubahan demi kepentingan rakyat di negara ini.

Dan kini setelah menerima surat tunjuk sebab ini pun, pendirian beliau tetap juga sama. Jadual ceramahnya tetap sibuk dan malam esok beliau akan muncul dalam ceramah besar-besaran anjuran Pakatan Rakyat di Taman Nirwana, Ampang.

Tamrin bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau akan menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum tempoh 14 hari yang diberikan berakhir.

"Saya akan menjelaskan sejelas-jelasnya kepada Lembaga Disiplin UMNO," ujar Tamrin ringkas. (06/07/2012)


Thursday 5 July 2012

Asalkan Bukan Najib


Asalkan Bukan Najib adalah buku terbaru saya selepas Najib Perdana Menteri Terakhir dan Kesilapan-Kesilapan Najib. Buku ini sudah berada di pasaran sejak dua tiga hari yang lalu dan boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara.

Kenapa tajuknya Asalkan Bukan Najib, saya ditanya oleh beberapa kenalan rapat yang berkesempatan menatap buku tersebut.

Sebenarnya buku terbaru ini adalah kesinambungan daripada dua buku terdahulu. Dalam buku pertama, Najib Perdana Menteri Terakhir, saya mengambil kesempatan dalam buku tersebut untuk menegur Najib berkaitan beberapa isu yang berlaku dalam politik negara yang gagal ditanganinya dan jika ianya dibiarkan berlarutan akan menyebabkan UMNO tewas dalam pilihanraya dan seterusnya menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri yang terakhir mewakili UMNO.

Dalam buku kedua, Kesilapan-Kesilapan Najib pula, saya telah menyenaraikan beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri yang gagal diuruskannya dengan baik sehingga menyebabkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN didapati semakin merosot hari demi hari.

Kesilapannya yang terbesar ialah membiarkan isterinya terus menunjuk kuasa seolah-olah berkongsi jawatan Perdana Menteri.

Oleh kerana ternampak bahawa Najib tidak mahu memperbaiki segala kesilapan yang diperkatakan rakyat dan menjadi bualan di mana-mana itu, saya juga menyarankan dalam buku tersebut agar Najib menjadi seorang yang berjiwa besar iaitu dengan sedia berundur dan memberi laluan kepada timbalannya, Muhyiddin Yassin bersama pasukannya yang lebih mantap untuk mengemudi UMNO dan kerajaan bagi menghadapi PRU 13.

Secara jelas disebutkan dalam buku tersebut bahawa jika Najib masih memimpin UMNO dan kerajaan, harapan untuk mencapai kemenangan masih jauh dari jangkauan dan untuk mengelak UMNO daripada kalah serta Najib sendiri dipersalahkan serta mencemar nama baik Tun Abdul Razak,  maka eloklah beliau mengundur diri.

Namun Najib bukan saja tidak mahu mengundur diri, malahan meneruskan lagi deretan kesilapan dalam mengurus parti dan kerajaan sehingga beliau kini dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia. Rakyat juga lebih banyak bercakap tentang kekalahan berbanding  kemenangan UMNO dan BN.

Maka sebab itulah buku Asalkan Bukan Najib ini diterbitkan.

Buku terbaru ini diterbitkan khusus untuk mengajak rakyat membuat perubahan dan menolak kepimpinan Najib jika negara ini ingin diselamatkan.

Terdapat dua kaedah bagaimana untuk menolak Najib. Pertama, melalui pilihanraya umum dan kedua, melalui pemilihan UMNO  yang akan diadakan selepas itu. Tetapi salah satu peluang untuk perubahan itu jangan sesekali dilepaskan.

Melalui pilihanraya umum, Najib boleh ditukar dengan memberi undi sebanyak-sebanyaknya kepada calon-calon Pakatan Rakyat supaya mereka boleh menubuhkan kerajaan baru yang memungkinkan Anwar Ibrahim atau Haji Hadi sebagai calon Perdana Menteri.

Namun demikian, sekiranya pilihanraya umum masih memberi kemenangan kepada UMNO dan BN dengan majoriti yang tipis dan tidak melepasi garisan majoriti dua pertiga, tugas melakukan perubahan seterusnya terletak di tangan ahli-ahli UMNO pula. Mereka wajar mengusulkan perubahan kepimpinan dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya umum dengan calon berpotensi untuk mengganti Najib ialah Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya telah mengulas panjang dalam buku tersebut bahawa sekiranya Najib terus dikekalkan, masalah dalam UMNO dan kerajaan tidak akan selesai malahan mungkin akan muncul berpuluh lagi kes seperti lembu NFC, menteri yang rasuah, menteri berskandal, isterinya Rosmah lebih bermaharalela  serta pelbagai kemungkinan lagi.

Atas asas mengajak rakyat melakukan perubahan, maka terhasillah buku Asalkan Bukan Najib ini. Marilah kita berhijrah.  (05/07/2012)

Tuesday 3 July 2012

Pengundi Kakitangan Awam Umpama Bom Jangka Bagi BN


Penamatan secara mengejut khidmat Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Abu Bakar Abdullah kini bukan saja menjadi isu hangat di kalangan 1.4 juta kakitangan awam, malahan menambahkan lagi pergolakan yang sudah sedia wujud. Ramai kakitangan awam melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara layanan yang diberi kerajaan terhadap Abu Bakar itu.

Pihak kerajaan pada mulanya hanya mengumumkan seolah-olah Abu Bakar bersara pada 1 Julai lalu setelah menabur bakti selama 35 tahun melalui pelbagai jawatan yang pernah disandangnya. Bagaimanapun dengan pengakuan Abu Bakar sendiri kemudiannya bahawa beliau sebenarnya ditamatkan perkhidmatannya, segera menimbulkan persoalan lain. Ditambah lagi, Abu Bakar yang berusia 57 tahun sudah pun menandatangani lanjutan perkhidmatan sehingga berusia 60 tahun.

Meskipun pelbagai desas-desus timbul di sebalik penamatan itu, antaranya kerana kerajaan kononnya tidak puas hati bagaimana Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebelum ini digubal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kakitangan awam peringkat bawah dan pertengahan dan akhirnya membuatkan Najib sendiri membatalkan skim tersebut. Pembatalan ini dianggap mencemar dan memalukan Najib.

Namun jika itu alasannya, tidaklah wajar Abu Bakar seorang yang dipersalahkan. Bekas KSN, Sidek Hassan juga wajar dipersalahkan kerana sudah tentulah beliau menelitinya dahulu deraf SBPA sebelum dipersembahkan kepada Najib dan kerajaan. Kenapa pula Sidek Hassan tidak dikenakan apa-apa tindakan, malahan selepas bersara diberikan pula jawatan sebagai Pengerusi Petronas yang bergaji mewah?

Ada juga khabar angin mengatakan Abu Bakar ditamatkan perkhidmatan kerana kesalahan tatatertib di bawah Perkara 49 Peraturan Pegawai Awam. Jika ini benar, kerajaan seharusnya mendedahkan kepada umum apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh Abu Bakar sehingga beliau dikenakan tindakan sedemikian.

Menambahkan lagi pergolakan dalam perkhidmatan awam ialah kerana penamatan Abu Bakar itu dilakukan tidak lama selepas Ali Hamsha dilantik sebagai KSN baru menggantikan Sidek Hassan.

Ali Hamsha yang memegang jawatan KSN dengan melompat serta melangkau beberapa pegawai kanan kerajaan lainnya, tentunya merupakan pilihan sepenuh hati daripada Najib. Jika beliau bukan pilihan yang dikehendaki sepenuh jiwa dan raga oleh Najib, sudah tentu seperti kebiasaannya KSN akan dilantik daripada kalangan KSU-KSU kementerian yang difikirkan paling berkelayakan.

Jika KSU paling kanan yang mahu dilantik sebagai KSN, pilihan paling ideal ialah KSU Perbendaharaan. Bagaimanapun KSU kementerian lain juga boleh dilantik menduduki jawatan KSN sebagaimana Abdul Halim Ali pernah yang pernah dilantik sebagai KSN hanya setelah beberapa bulan menjadi KSU Kementerian Luar. Tetapi dengan Najib mengetepikan semua KSU kementerian serta menolak senioriti dalam perlantikan KSN ini, sebaliknya memberikannya kepada Ali Hamsha yang hanya berjawatan Ketua Pengarah sebelum ini, tentulah ada sesuatu yang istimewa pada Ali Hamsha ini.

Kecekapan, kebijaksanaan dan kehebatan Ali Hamsha sebagai seorang pemimpin dan ketua kepada 1.4 juta kakitangan awam mungkin belum terbukti lagi tetapi gelora dalam perkhidmaan awam sudah pun berkocak sebaik saja beliau menduduki kerusi KSN dengan penamatan khidmat Abu Bakar itu. Barangkali inilah istimewanya Ali Hamsha disisi Najib.

Bagi kebanyakan kakitangan awam, alasan terhadap penamatan khidmat Abu Bakar itu haruslah dijelaskan dengan sepenuhnya dan tanpa ada perkara lain yang diselindungkan. Jika kerajaan gagal berbuat demikian, kerajaan mungkin dianggap berniat jahat dan mempunyai agenda tersembunyi melalui tindakan itu.

Bagi kakitangan kerajaan, jika tiada alasan kukuh diberikan atas penamatan khidmat itu, ia tidak lain kerana adanya arahan daripada Najib selaku Perdana Menteri yang tidak mahu lagi melihat Abu Bakar terus berada dalam perkhidmatan kerajaan.

Soalnya apa pula alasan Najb membenci bekas KP Jabatan Perkhidmatan Awam itu?

Dengan Najib sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihanraya umum, kegagalan menangani kegelisahan dan seterusnya memberikan jawapan yang memuaskan hati kakitangan awam, pastinya boleh mengganggu usaha mencapai kemenangan yang diimpikannya.

Dengan saiz kakitangan seramai 1.4 juta orang, kakitangan awam bukan saja penting bagi BN untuk meneruskan kemenangan tetapi juga memastikan segala dasar dan perlaksanaan kerajaan dapat berjalan dengan lancar.

Selama ini kakitangan awam adalah golongan yang setia kepada kerajaan tetapi tidak mustahil isu penamatan khidmat Abu Bakar ini akan menyebabkan undi kakitangan awam berpecah-pecah. Ditambah dengan segelintir pihak yang tidak puas hati dengan perlantikan Ali Hamsha, bilangannya mungkin bertambah dan di luar jangkaan Najib sendiri.

Sejak bertahun-tahun kakitangan awam sebagai agen pelaksana dasar-dasar kerajaan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan UMNO sebagai parti pemerintah meskipun mereka mungkin menyaksikan pelbagai perkara yang tidak disenangi yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik sama ada yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi kerajaan dan sebagainya.

Tetapi dengan dunia sedang menuntut ketelusan dan keterbukaan di samping berlakunya kematangan politik yang menyaksikan sudah wujud alternatif terhadap BN yang telah memerintah lebih 55 tahun lalu, senario kakitangan awam juga sebenarnya mulai berubah. Mereka tidak lagi statik dan turut sedia untuk berubah.

Dalam masa yang sama, penghijrahan beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai Pas dan PKR sejak akhir-akhir ini, turut menimbulkan rangsangan secara senyap kepada kakitangan awam untuk turut serta melakukan perubahan demi kebaikan negara.

Di mana-mana sektor kerajaan sekarang ini, suara perubahan nyata kedengaran. Malahan kadang-kadang kenyaringannya tidak lagi disembunyikan.

Dengan pelbagai pergolakan dan masalah silih berganti dalam perkhidmatan awam akhir-akhir ini, undi kakitangan kerajaan yang selama ini dianggap sebagai "simpanan tetap" bagi UMNO dan BN, kali ini mungkin bertukar menjadi "bom jangka" yang boleh memberhentikan terus tempoh hayat Najib, UMNO dan BN. (SH 03/07/2012)


Sunday 1 July 2012

Sama Seperti Anwar, Tamrin Juga Bakal Diaibkan


Kekerapan Tamrin Tun Ghafar muncul berceramah di pentas Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya menimbulkan kegelisahan kepada kepimpinan UMNO. Sejak menulis surat kepada Najib pada 23 April lalu yang banyak mengkritik kepimpinan Perdana Menteri itu dalam menangani pelbagai masalah dalam negara, sambil meminta segera diperbaiki segala kerosakan yang berlaku itu, Tamrin tidak lagi dilihat sebagai pengkritik yang membina oleh Najib dan UMNO.

Walaupun pelbagai teguran dan pandangannya ke arah untuk memperbaki kelemahan UMNO, Najib nampaknya tidak gemar terhadap kritikan itu. Najib lebih melihat kritikan sebagai ancaman manakala bodek sebagai tanda sokongan.

Meski Najib dan UMNO selama ini hanya berdiam diri atas tindakan Tamrin berceramah itu, mereka sebenarnya tidak mati akal untuk melawan apa yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka itu. Selama muncul kembali berceramah di atas pentas Pakatan Rakyat dan menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan negara, tidak pernah kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan UMNO terhadap tindakan beliau itu.

Rupa-rupanya dalam berdiam diri, strategi tetap juga diatur.

Difahamkan Tamrin sudah pun menerima panggilan misteri yang memintanya menghentikan semua tindakannya menegur dan mengkritik Najib itu. Tamrin juga diminta tidak lagi menerima jemputan oleh Pakatan Rakyat untuk berceramah di mana-mana tempat.

Tamrin hanya diberi tempoh seminggu untuk memutuskan pendiriannya itu dan sekiranya gagal berbuat demikian, pimpinan UMNO difahamkan akan memulakan serangan peribadi terhadap dirinya. Serangan itu termasuk menyelongkar kembali pelbagai perkara yang pernah dilakukan Tamrin ketika menjadi Ahli Parlimen dahulu. Media arus perdana juga akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat itu.

Tujuan serangan itu tidak lain ialah untuk melemahkan beliau daripada terus aktif berceramah di atas pentas Pakatan Rakyat, menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat yang mendengar ceramahnya serta untuk mengaibkan keluarganya.

Sejak kembali aktif bersama Pakatan Rakyat, Tamrin sudah berceramah ke seluruh negara dengan pengundi daripada kalangan ahli UMNO dan atas pagar semakin berminat mendengar ceramah yang disampaikannya. Mereka bersalam menemuinya, memeluk dan mengucapkan tahniah dan berharap agar terus berdiri bersama Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum diadakan.

Sebagai bekas pemimpin UMNO dan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba, kemunculan Tamrin memang dinanti-nantikan oleh rakyat di mana-mana beliau berceramah kerana rakyat ingin mendengar pandangan daripada ahli UMNO sendiri mengenai pergolakan dalam negara ini.

Ceramah beliau di merata tempat sering dihadiri oeh ribuan orang dan terbaru Tamrin berceramah di Himpunan Hijau di Johor Bharu bersama pimpinan tertinggi PAS yang dihadiri oleh lebih 20 ribu orang.

Hakikatnya dengan Tamrin yang masih mengaku sebagai ahli UMNO tetapi mengkritik Najib dan pelbagai perkara yang dilakukan oleh pimpinannya, UMNO mulai gelisah dan terpukul kerananya.

Sebelum ini bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir juga muncul di pentas Pakatan Rakyat dan akhirnya mengambil keputusan keluar daripada UMNO dan kini menubuhkan parti baru iaitu Ikatan.

Beberapa pihak lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Bung Mokhtar Radin, Lajim Ukin dan lain-lain pemimpin UNNO juga kerapkali mengeluarkan pendirian kritikal terhadap Najib, UMNO dan kerajaan atas pelbagai isu sejak akhir-akhir ini. Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kepimpinan Najib turut dipertikaikan daripada dalam parti itu sendiri.

Menjelang pilihanraya umum ini, serangan dan kritikan daripada kalangan UMNO sendiri pastinya menambahkan kesukaran kepada Najib untuk mencapai kemenangan. Sebagaimana tindakan Kadir sebelum ini turut menyebabkan peribadinya diserang dan apa yang dilakukan semasa dalam UMNO diungkit kembali, kaedah yang sama nampaknya cuba dilakukan terhadap Tamrin.

Menggunakan serangan peribadi untuk melemahkan seseorang yang dilihat sebagai ancaman kepada UMNO sebagaimana yang berterusan dilakukan terhadap Anwar Ibrahim, kini menjadi cara paling mudah bagi UMNO untuk menangkis serangan terhadapnya. Bermula dengan keengganan meletak jawatan apabila diugut oleh Mahathir pada 1998, kemudian dipecat, dipukul, dipenjarakan serta dituduh dengan pelbagai dakwaan serta andaian, Anwar sehingga hari ini terus menerus diserang peribadinya dengan tujuan melemahkan dirinya, mengaibkan keluarga dan menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat. Anwar seboleh-bolehnya akan dihalang dengan apa cara sekali pun untuk mara menuju Putrajaya.

Dengan Tamrin yang kini dilihat menambahkan ancaman kepada Najib dan UMNO, kaedah yang sama juga cuba digunakan. Tamrin kini diberi tempoh seminggu untuk membuat keputsan - berpatah balik kepada UMNO atau diri dan keluarganya bakal diaib serta dimalukan.

Kita tunggu apa bakal berlaku selepas seminggu nanti. (01/07/2012)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...