Thursday, 31 May 2012

Dari Nasionalisme Melayu, UMNO Kini Jadi Parti Seks dan Samseng


Hala tuju UMNO sering menjadi perbualan dan perbincangan ramai sejak akhir-akhir ini. Ini kerana hari demi hari, UMNO dilihat semakin tergelincir daripada landasan perjuangannya yang sebenar. Dari sebuah parti yang berasaskan nasionalisme Melayu, kemudian menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan dengan perjuangan membela orang Melayu, UMNO kini seakan-akan melupakan asas perjuangannya sendiri.

Ucapan pemimpin di majlis perjumpaan, mesyuarat cawangan, bahagian, pusat, ceramah menjelang pilihanraya mahupun sembang-sembang biasa, penekanan kepada perlunya UMNO dikekalkan kuasanya berasaskan sejarah perjuangan untuk terus membela orang-orang Melayu, semakin perlahan kedengaran nadanya. Malahan kepada generasi muda yang baru mengenali UMNO, hampir tidak ada penekanan supaya mereka lebih memahami susur galur perjuangan UMNO itu sendiri.

Dalam proses untuk memenangi pilihanraya ini, UMNO nampaknya lebih ghairah untuk menjadikan topik seks sebagai sandaran utamanya. Yang dikecam ialah pihak lawan yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan salah laku seks yang kadangkala sukar dibezakan antara fakta dan auta.

Dalam mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung sekarang, ramai pemimpin mengambil kesempatan menggunakan pentas yang ada untuk menyerang peribadi lawan berkaitan seks semata-mata. Asas dan matlamat perjuangan UMNO tidak lagi diutamakan. Tiada lagi pemimpin yang bercakap soal kepentingan Melayu, waima dakam mesyuarat cawangan sekali pun.

Malahan dalam beberapa majlis UMNO termasuk ucapan di Perhimpunan Agung UMNO, Najib dan lain-lain pimpinan UMNO juga sering menjadikan isu serangan peribadi lawan sebagai tajuk utama.

Dalam kempen dan majlis ceramah pula, UMNO lebih ghairah untuk menjemput NGO Tibai yang diketuai oleh Zahid Mohd Arip, Ezam Mohd Nor dan Umi Hafilda untuk membicarakan soal seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim. Sesiapa saja yang sanggup menjual suaranya untuk membicarakan soal seks Anwar, pasti akan dijemput memberi ucapan oleh UMNO. Datuk Nalla juga khabarnya kerap dijemput oleh UMNO.

Jika mendengar ceramah Umi Hafilda, beliau bukan saja membicarakan soal seks secara terbuka dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar, Azmin dan kakak iparnya Shamsidar Taharin, malahan beliau beliau juga menjerit-jerit di atas pentas sambil mengeluarkan kata-kata lucah dan jijik seperti meroyannya seorang seorang wanita yang dimadukan tanpa rela atau ditinggalkan suami.

Walaupun sering tampil bertudung macam sopan bak wanita Melayu terakhir, tetapi mendengar ucapan Umi Hafilda yang hanya dipenuhi isi-isi seks dan lucah sambil menjerit-jerit sepanjang ceramahnya setiap malam sekarang ini, tidak dapat tidak menyebabkan UMNO dilihat mula menjadikan beliau sebagai primadona kempen untuk memenangi pilihanraya. Tanpa bantuan Umi Hafilda seolah-olah Najib akan kalah, sebab itu UMNO sanggup membayarnya untuk berceramah ke merata tempat setiap malam.

Dengan UMNO semakin ghairah menjemput NGO Tibai, Umi Hafilda, Ezam, Datuk Nalla dan lain-lainnya untuk mengupas isu seks yang dikaitkan dengan Anwar mengadakan ceramah ke seluruh negara, jelas menunjukkan UMNO tidak lagi mempercayai teras perjuangannya selama ini untuk memenangi pilihanraya. Politik pembangunan, membela rakyat dan hasrat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat tidak lagi menjadi tajuk utama kempen, sebaliknya isu seks dan lucah pula mengambil tempatnya.

UMNO semata-mata meminta kuasanya dikekalkan dalam pilihanraya ini kerana kononnya pihak lawan mempunyai perangai seks yang digambarkan sehodoh-hodohnya walaupun hakikatnya Anwar dan Pakatan Rakyat sering tampil dengan pelbagai tawaran yang menarik hati seperti penurunan harga minyak, kajian semua tarif letrik, kerajaan yang telus, pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN serta pelbagai lagi.

Sebaliknya UMNO sekarang ini tidak ada tawaran yang dikemukakan untuk rakyat sebagaimana yang biasa dilakukan dalam kempen-kempen piliharaya sebelum ini. Tiada lagi janji jambatan, jalanraya, sekolah, bangunan dan sebagainya.

Selain menggunakan isu seks dan lucah sebagai modal kempen kali ini, UMNO juga menjadikan budaya samseng sebagai sandaran keduanya bagi tujuan menakut-nakutkan rakyat dan mengganggu ceramah Pakatan Rakyat. Budaya ini bukan saya diaktifkan melalui peranan yang dimainkan oleh Pemuda UMNO tetapi juga dengan bantuan beberapa NGO seperti Perkasa, Pekida dan sebagainya.

Sejak akhir-akhir ini juga, bagaikan sudah menjadi trend UMNO untuk mengganggu ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dengan mereka turut mengadakan ceramah di lokasi berhampiran dan kemudian memulakan gangguan dengan jeritan serta nyanyian. Memang jelas tujuannya ialah untuk mengganggu kerana pembesar suara sengaja dihalakan ke arah ceramah pihak lawan.

Dalam beberapa kejadian seperti di Melaka, Pahang dan Lembah Pantai baru-baru ini, niat sengaja mengganggu dan mahu meimbulkan huru-hara amat jelas. Kenapa UMNO perlu mengadakan ceramah di lokasi berdekatan dengan ceramah Pakatan Rakyat dan dikerumuni pula oleh pemuda-pemuda samseng yang turut menjerit-jerit serta membawa pelbagai poster yang bernada provokasi?

Lebih menghairankan bila kemudiannya berlaku kejadian merosakkan kenderaan, memancitkan tayar kereta dan membaling batu serta telur sebagaimana yang berlaku di Melaka dan Lembah Pantai. Apa sudah jadi dengan UMNO, sudah begitu terdesakkah untuk menghalang kebangkitan rakyat?

Jika kita mengaku sebagai manusia yang bertamadun dan menerima demokrasi sebagai asas kehidupan di negara ini, proses mempertahankan kuasa ataupun merebut kuasa seharusnya dilakukan dengan beradab serta bersopan. Ciri-ciri keganasan seharusnya diketepikan sama-sekali dan biarlah kebebasan sepenuhnya diberikan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Jika diimblas sejarah masa lalu UMNO, dulu juga terdapat Pemuda Tahan Lasak dan Pemuda Gerak Gempur yang tujuannya untuk mempertahankan parti ketika pilihanraya. Tetapi mereka ini tidak bertindak samseng atau keterlaluan, sebaliknya hanya bertujuan menunjuk kekuatan dan sebagai persiapan jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Tidak pernah Pemuda Tahan Lasak atau Pemuda Gerak Gempur terlibat dalam kejadian merosakkan kereta, memecahkan cermin, membaling batu atau telur kepada sesiapa.

Ramai pemimpin UMNO sekarang yang pernah menjadi pemimpin Pemuda suatu ketika dahulu, turut tidak memahami bagaimana UMNO sekarang begitu terdesak menyerap ciri-ciri samseng ke dalam perjuangannya sedangkan langkah itu belum tentu mendatangkan hasil yang diharapkan.

Dengan dua budaya baru iaitu seks dan samseng yang giat diserap ke dalam UMNO menjalang PRU 13 sekarang ini dan peranan sebagai parti nasionalisme Melayu semakin dipinggirkan walaupun kedudukan orang-orang Melayu secara umumnya masih terhimpit serta ketinggalan, hala tuju UMNO jelas semakin kabur untuk tahun-tahun mendatang. UMNO hanya memikirkan untuk mempertahankan kuasa, bukan sangat untuk membela Melayu. (SH 31/05/2012)

Tuesday, 29 May 2012

Najib Ketepi Pemimpin UMNO, Ezam Bakal MB Selangor?


Selain mahu mempertahankan Putrajaya, Najib juga ghairah untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. Antara sebab kenapa Selangor menjadi sasaran sudah tentulah kerana negeri itu merupakan negeri yang paling kaya dalam Malaysia. Keghairahan Najib mahu menawan Selangor bukan saja disandarkan kepada kesediaannya menjadi Pengerusi UMNO Selangor tetapi juga melalui kekerapannya turun ke negeri itu.

Walaupun berasal dari Pahang tetapi Najib dilihat lebih kerap turun dan mencurahkan wang yang banyak untuk Selangor berbanding negeri kelahirannya sendiri. Berjaya mempertahankan Putrajaya dan menawan Selangor sekaligus adalah impian politik Najib dalam pilihanraya umum ini.

Tetapi sebagaimana kata bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, cabaran Najib untuk menawan Selangor ialah imej kerajaan dan pimpinan negeri itu yang diketuai oleh Khalid Ibrahim yang dilihat mempunyai imej lebih baik, bersih dan telus berbanding UMNO dan BN.

Dalam masa yang sama imej UMNO Selangor tetap tidak menunjukkan peningkatan kerana wajah-wajah pemimpin yang ada adalah wajah yang langsung tidak meyakinkan rakyat seperti Noh Omar atau Zin Mohamed dan lain-lain Ketua UMNO Bahagian. Wajah pemimpin muda dan pelapis yang membanggakan langsung tidak ada dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor sekarang ini.

Bercakap soal kualiti kepimpinan di Selangor, bukan saja Ling Liong Sik tetapi sebahagian besar penduduk Selangor sendiri tidak yakin UMNO mampu merampas kembali negeri itu jika bersandarkan wajah pemimpin yang sedia ada. Bahkan ramai pula yang tidak mahu memberikan UMNO kemenangan jika wajah-wajah yang ada ini dikekalkan.

Dalam soal pemilihan calon pilihanraya di Selangor, Najib sendiri memahami keadaan itu. Meletakkan calon-calon dari kalangan pemimpin UMNO semata-mata mungkin akan menyebabkan kekalahan diketahui lebih awal lagi. Mahu tidak mahu, Najib terpaksa meletakkan calon yang dianggap "winnable" dan bukan dari kalangan kepimpinan UMNO Bahagian bagi merealisasikan hasratnya menawan negeri itu.

Bagi Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO dan menggantikannya dengan calon "winnable" adalah jalan terbaik untuk mencapai kemenangan serta lebih mudah untuk meyakinkan pengundi, terutama pengundi muda dan atas pagar. Lagi pula dalam setiap kali kunjungan Najib ke Selangor, beliau sering menekankan faktor "winnable" dan ikrar daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian bahawa mereka akan akur dengan sesiapa saja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan juga sudah pun diperolehi.

Malahan Tun Mahathir sendiri dalam perjumpaannya dengan jentera BN Selangor turut menekankan betapa pentingnya mengutamakan parti melebihi kepentingan peribadi. Kata Mahathir, kemenangan UMNO lebih penting dari kemenangan peribadi.

Saranan Najib dan Mahathir itu pada asasnya adalah bagi memudahkan calon-calon yang bermasalah atau mereka yang memegang jawatan dalam UMNO tetapi tidak diyakini boleh menang, untuk diketepikan. Dari segi politiknya, Najib sudah ada kebebasan untuk memilih calon tanpa terikat dengan kehendak UMNO Bahagian-bahagian.

Oleh itu, difahamkan lebih daripada 50 peratus calon pilihan Najib untuk mewakili UMNO di Selangor dalam piliharaya akan datang ini bukan terdiri daripada kepimpinan UNMNO Bahagian. Sebahagian mereka yang dipilih ialah kalangan pemimpin NGO, tokoh motivasi, tokoh pengguna dan kalangan profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera, akauntan dan pegawai bank. Bagi kalangan profesional yang dipilih, mereka ini tidak memegang jawatan yang penting dalam UMNO tetapi disenangi di kalangan penduduk tempatan manakala bagi pemimpin NGO pula pemilihan mereka lebih kepada kekerapan muncul di dada-dada media yang pada Najib menunjukkan kesungguhan mereka membantu perjuangan politiknya.

Calon Menteri Besar pilihan Najib ialah Ezam Mohd Nor yang kini merupakan seorang Senator dan penasihat Tibai, sebuah NGO yang berperanan menghentam Anwar berkaitan isu-isu seks dan moral. Beliau difahamkan akan diletakkan bertanding di DUN Sri Muda untuk berhadapan dengan Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie.

FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan Rozali Ismail, pemilik Puncak Niaga yang sebelum ini turut disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar jika UMNO kembali berkuasa, didapati tiada dalam senarai calon pilihanraya. Calon tunggal Menteri Besar hanyalah Ezam Mohd Nor.

Turut dicadangkan untuk dipilih sebagai calon di Selangor ialah beberapa tokoh NGO seperti Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS, Hamidzun Khairuddin, tokoh pengguna Dr Maamor Othman, tokoh motivasi Fadzillah Kamsah, Pengerusi Jati, Dr Hassan Ali, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan beberapa lagi daripada kalangan profesional yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta.

Hamidzun difahamkan akan diletakkan bertanding di Dun Sementa, Dr Maamor di Ampang dan Fadzillah Kamsah dijangka diletakkan di DUN Bukit Antarabangsa untuk menentang Azmin Ali.

Bagi Dr Hassan Ali dan Zulkifli Nordin pula, kedua-dua mereka akan melalui ranjau "kamikaze" dalam piihanraya kali ini kerana Najib lebih berminat untuk meletakkan kedua-duanya bertanding di peringkat Parlimen dengan Hassan Ali dijangka diletakkan di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin Ali manakala Zulkifli Nordin pula di Shah Alam untuk menentang Khalid Samad.

Daripada sudut yang lain, Najib nampaknya benar-benar mahu membuatkan Azmin Ali begitu sibuk dan menghadapi cabaran paing sengit kali ini. Jika Azmin bertanding di Gombak, musuhnya ialah Hassan Ali manakala jika bertanding di DUN Bukit Antarabangsa pula, cabarannya ialah Dr Fadzillah Kamsah.

Bersandarkan kepada asas "winnable" juga, calon daripada kalangan pemegang jawatan dalam UMNO hanya akan dipilih sekiranya mereka itu benar-benar boleh membawa kemenangan dan bersih daripada sebarang masalah, selebihnya kouta itu akan dipilih daripada kalangan AJK Bahagian atau pun golongan profesional yang diketahui mirip kepada UMNO.

Bagi Noh Omar dan Zin Mohamed pula, walaupun mereka tidak begitu disenangi oleh ramai penduduk Selangor tetapi berasaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor dan Penyelaras BN Selangor serta hubungan akrab dengan Najib, kedua-duanya dijangka akan dikekalkan untuk bertanding di kerusi Parlimen sedia ada iaitu di Tanjung Karang dan Sepang.

Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah sama ada tindakan Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO ini akan menyebabkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya atau sebaliknya. Jika berlaku sabotaj oleh mereka yang tidak terpilih itu, harapan Najib untuk mencapai kemenangan pasti menjadi bertambah sukar. Kiranya sabotaj dapat dielakkan dan pemimpin UMNO yang tidak terpilih itu dapat memberikan kerjasama sepenuhnya, UMNO dan BN mungkin mampu memberi cabaran sengit kepada Pakatan Rakyat.

Apakah UMNO Selangor sedia menerima Ezam menjadi Menteri Besar? Mahukah mereka melihat kalangan yang pernah rapat dengan Anwar dan kini berdiri atas pelbagai NGO dan hanya bermodalkan isu-isu seks dan moral yang dikaitkan dengan Anwar tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, mengambil alih pula kedudukan sebagai Yang Berhormat.

Apakah juga pemimpin UMNO Selangor sentiasa patuh dan berpegang kepada ikrar yang mereka lafazkan kepada Najib bahawa mereka akan akur sesiapa saja calon yang dipilih?

Tetapi mengenali kebanyakan yang bergelar pemimpin dalam UMNO yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya, formula Najib di Selangor ini mungkin membawa kekalahan yang lebih parah lagi. (SH 28/05/2012)

Friday, 25 May 2012

Setpol Najib Tersungkur Di Kaki MCA!!


Di antara pegawai Najib yang paling ghairah untuk menjadi calon pilihanraya ialah Shafie Abdullah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju di Wilayah Persekutuan. Beliau juga adalah Pengerusi BN Wangsa Maju dan Ketua Penerangan UMNO WP.

Sejak bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada 2008 lagi, antara umpan kempen yang sering digunakannya ialah beliau boleh "berbisik" dengan Najib supaya mengembalikan kerusi Parlimen Wangsa Maju daripada MCA kepada UMNO.

Atas kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan dan gembar-gembur tentang hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri, umpan yang digunakan itu memang mudah menambat hati ahli dan perwakilan UMNO. Ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila tidak lama selepas memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian, beliau juga berjaya meyakinkan pucuk pimpinan agar memberikannya pula jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju yang sebelum ini dipegang oleh Yew Tiong Look daripada MCA.

Namun perkembangan dalam politik semasa sekarang ini memperlihatkan bahawa Najib tidak akan menukar ketetapan kouta antara parti-parti dalam komponen BN yang telah dipersetujui sebelum ini. Ini bermakna, sekurang-kurangnya dalam konteks WP, pembahagian kouta adalah kekal sepertimana dalam pilihanraya 2008 lalu.

UMNO akan terus bertanding di Putrajaya, Setiawangsa, Titiwangsa dan Lembah Pantai sahaja sementara lain-lain kerusi akan ditandingi oleh MCA dan Gerakan. Najib dipercayai tidak mahu menanggung risiko perpecahan di kalangan komponen BN dan kehilangan sokongan bukan Melayu pula jika beliau bertindak menukarnya dalam suasana sekarang.

Ini bermakna harapan UMNO dan Shafie Abdullah untuk melihat kerusi Wangsa Maju dikembalikan kepada UMNO tidak akan kesampaian dalam PRU ke 13 ini.

Tersungkurnya harapan Setiausaha Politik Najib untuk bertanding di Wangsa Maju diperkuatkan lagi bilamana MCA akan menganjurkan jamuan makan tengahari besar-besaran bersama NGO-NGO dan persatuan penduduk seluruh Wangsa Maju pada Ahad, 27 Mei ini di Kampung Pengantin, Jalan Genting Kelang yang akan turut dihadiri oleh semua pucuk pimpinan MCA termasuk Dr Chua Soi Lek dan mereka yang memegang menteri, timbalan menteri dan sebagainya.

Di majlis itu nanti, semua pemimpin atasan MCA akan diselerakkan untuk duduk dan bergaul dengan pemimpin-pemimpin masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di Wangsa Maju.

Keberanian MCA mengadakan majlis jamuan yang dijangka dihadiri oleh lebih 1,000 orang itu dan kesediaan semua pimpinan kanan MCA turun ke Wangsa Maju adalah indikator jelas bahawa kerusi MCA akan terus kekal ditandingi oleh MCA dalam pilihanraya akan datang ini.

Tetapi jika indikator itu belum memadai, pada 29 Mei ini pula Najib sendiri akan turun ke Wangsa Maju dalam satu majlis di Kolej Tunku Abdul Rahman atau TAR Kolej yang merupakan IPTS milik MCA. Ini bermakna sekali lagi sebahagian besar pemimpin kanan MCA akan berada di Wangsa Maju.

Dua majlis yang diatur oleh MCA dalam tempoh seminggu itu termasuk kesediaan Najib sendiri turun bersama MCA adalah petanda yang cukup jelas bahawa Shafie akan terus "menggigit jari" untuk menjadi calon piliharaya di Wangsa Maju, bahkan beliau akan terpaksa bekerja kuat memastikan kemenangan calon MCA demi maruah UMNO dan Najib walaupun mengambil sikap yang keras dan bermusuh dengan pemimpin MCA Wangsa Maju sebelum ini.

Calon MCA dalam pilihanraya 2008 ialah Yew Tiong Look tetapi beliau kalah dengan 150 undi kepada calon PKR, Wee Choo Keong. Bagaimanapun Wee kini telah meninggalkan PKR dan menjadi calon Bebas yang menyokong BN serta kepimpinan Najib.

Dengan gagalnya misi "berbisik" kepada Najib untuk memperolehi kerusi Wangsa Maju, Shafie dijangka tidak mudah patah semangat dan akan mencuba "berbisik" buat kali kedua untuk membolehkannya bertanding sama ada di Parlimen Setiawangsa mahupun di Titiwangsa pula.

Kerusi Setiawangsa paling menjadi idaman beliau kerana kawasan itu adalah sebahagian daripada Parlimen Wangsa Maju sebelum berlakunya pecahan kawasan pada 2004, selain terdapatnya puluhan ribu undi pos di situ yang lebih memudahkannya untuk memperolehi kemenangan.

Shafie juga turut mengintai untuk bertanding di Titiwangsa bagi mengulangi sejarah tahun 2004 di mana Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju ketika itu, Astaman Abdul Aziz telah dipayungterjunkan untuk bertanding di Titiwangsa menggantikan Drs Suleiman Mohamad.

Jika misi "berbisik" dengan Najib kali kedua itu juga menemui kegagalan, beliau mungkin terus "berbisik" buat kali ketiga pula tetapi kali ini mungkin dengan memperlahankan sedikit nada suara bisikannya iaitu dengan meminta dilantik sebagai Senator pula.

Sekurang-kurangnya dapat juga bergelar Yang Berhormat!! (SH 25/05/2012).






Wednesday, 23 May 2012

Lagi Ditangguh Tarikh Pilihanraya, Lagi Senget UMNO/BN


Najib dijangka pulang dari luar negara dalam sehari dua ini. Dalam masa yang sama tarikh pilihanraya umum masih menjadi misteri. Semua orang berdebar-debar menunggu dan tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Tidak seperti piliharaya sebelum ini, keghairahan kali ini dianggap luar biasa kerana lebih ramai pengundi mahu menterjemahkan sokongan dan pendirian mereka ke dalam kotak undi.

Dalam waktu yang terdekat ini, tarikh yang mungkin munasabah untuk Najib mengadakan pilihanraya ialah dalam bulan Julai iaitu sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada 21 Julai ataupun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu sekitar bulan September. Pilihanraya tidak mungkin diadakan antara Oktober dan Disember kerana ketika itu musim haji, cuti sekolah, adanya pembentangan Bajet 2013 dan mungkin musim banjir.

Jika Najib tidak mengadakan pilihanraya di kedua-dua tarikh itu, kemungkinan pilihanraya akan dianjak terus kepada tahun hadapan. Tempoh berakhirnya penggal Parlimen ialah April 2013.

Keputusan bila tarikh sebenar pilihanraya adalah ditangan Najib. Beliau mungkin sedang menimbang dan memikirkan suasana yang sesuai sekarang ini.

Sementara itu, lagi lama Najib menangguhkan tarikh pilihanraya, suasana politik negara ternyata menjadi semakin panas dan membara. Banyak isu dan keadaan yang berlaku akhir-akhir ini nampaknya tidak memihak kepada UMNO dan BN. Makin lama ditangguh, kerajaan dan parti yang sedang dipimpin oleh Najib nampaknya makin senget dari segi persepsi rakyat.

Pelbagai isu yang timbul ternyata tidak memihak kepada UMNO dan BN. Perhimpunan Bersih 3.0 jelas menunjukkan kebangkitan rakyat yang amat nyata, walaupun Rais Yatim cuba meyakinkan Najib bahawa beliau sudah membilang menggunakan jari tangan dan kakinya bahawa yang hadir di perhimpunan itu hanya tepat seramai 22,270 orang sahaja.

Belum pun reda suara kebangkitan itu diperkatakan dan dikaitkan dengan tindakan polis yang dianggap ganas dan tiada tolerasi terhadap rakyat, persepsi rakyat terhadap kerajaan diburukkan lagi dengan tindakan membawa Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard ke mahkamah atas dakwaan melanggar undang-undang ketika perhimpunan tersebut.

Bagi kebanyakan orang, amat jelas bahawa tindakan mahkamah itu bermotifkan politik kerana jika benar kerajaan mahu bertindak berlandaskan undang-undang, pihak yang sepatutnya di diseret ke mahkamah terlebih dahulu ialah Jawatankuasa Bersih 3.0 yang diketuai secara bersama oleh A Samad Said dan S Ambiga serta pemimpin 84 NGO yang bergabung menganjurkan perhimpunan itu.

Marina Mahathir sebagai salah seorang pendokong Perhimpunan Bersih 3.0 juga patut dibawa ke muka pengadilan, jika benar undang-undang dan keadilan mahu ditegakkan.

Namun, dengan tindakan hanya menyeret Anwar, Azmin dan Chegu Bard tetapi dalam masa yang sama membiarkan NGO-NGO "mati pucuk" melakukan tindakan biadap dan tidak matang di depan rumah Ambiga, membuktikan bahawa niat politik melebihi nawaitu lainnya. Anwar dan orang-orang kanannya sedang cuba disekat kemaraannya, dan mungkin cuba dinafikan untuk bertanding dalam pilihanraya melalui tindakan undang-undang tetapi penganjur sebenar Perhimpunan Bersih 3.0 pula cuba dimalukan semahu-mahunya.

Kalau pun bersungguh mahu mengambil tindakan terhadap orang politik, tindakan undang-undang tidak pula dikenakan terhadap pemimpin PAS dan DAP yag turut sama berhimpun bersama Anwar pada 28 April itu. Najib ternyata sangat fobia dengan nama Anwar dan seolah-olah cuba merantai kaki Ketua Pembangkang itu.

Tetapi dengan kesediaan bekas Peguamcara Negara, Datuk Yusof Zainal Abidin yang menjadi ketua pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar untuk menjadi peguambela Anwar pula dalam kes terbaru ini menjadikan persepsi rakyat terhadap kerajaan jatuh merudum jadinya. Kesediaan beliau untuk menjadi peguambela Anwar menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena di Jabatan Peguam Negara dan dalam kerajaan yang sedang dipimpin Najib sekarang.

Walaupun Datuk Yusof mengatakan beliau bertindak profesional tetapi rakyat lebih mudah memahami bahawa penyertaan beliau dalam pasukan peguambela Anwar menunjukkan kepincangan yang tidak dapat disembunyikan lagi dalam kerajaan sekarang, apatah lagi kes melanggar undang-undang dalam perhimpunan aman yang sedang dihadapi oleh Anwar, Azman dan Chegu Bard ini hanyalah kes kecil dan tidak mungkin melibatkan bayaran yang mahal.

Bolehkah kita membayangkan jika Datuk Yusof yang dulunya mengetuai pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar, turut juga menjadi peguambela bersama Karpal Singh dalam kes rayuan liwat nanti?

Selain itu, jika benar juga dakwaan yang timbul bahawa Datuk Yusof juga akan menyertai PAS pada 1hb Jun nanti, pastinya persepsi orangramai terhadap UMNO dan kerajaan menjadi bertamabh parah. Jika ini dikaitkan dengan penyertaan Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM ke dalam PAS beberapa hari lalu dan Datuk Ramli Yusuf, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM yang turut dikaitkan dengan PAS dan dikatakan akan bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya umum akan datang, bala yang lebih besar pastinya sedang menanti di hujung terowong UMNO dan BN.

Dalam masa yang sama, UMNO dan BN juga sudah terbeban dengan banyak isu sedia ada seperti lembu NFC, skandal Shafie Afdal, perbicaraan kes rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pebagai isu rasuah, penyelewengan serta pembaziran yang sebahagiannya melibatkan Najib, UMNO dan para pemimpinnya.

Dengan pelbagai isu yang muncul satu demi satu sekarang ini, hakikatnya lagi lama ditangguh tarikh pilihanraya, lagi banyak isu yang membebankan UMNO dan BN akan muncul. Dan tidak dapat dinafikan, dari segi isu dan persepsi rakyat, semuanya lebih memihak kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.

Jika diambil kira debat antara Khairy dengan Rafizi yang berlangsung semalam yang dikonklusikan bukan sangat siapa menang antara kedua-dua pemimpin muda itu tetapi lebih kepada mahu melihat "kejantanan" Najib sebagai Perdana Menteri dengan majoritinya mahukan beliau sedia menyahut cabaran untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim untuk episod debat seterusnya sebagaimana yang dicadangkan oleh moderator debat itu, kedudukan Najib sekali lagi diamcam oleh persepsi awam yang buruk.

Jika beliau terus berdiam diri dan kekal dengan pendirian enggan berdebat, persepsi rakyat yang sedia tidak memihak itu mungkin menjadikan kotak undi BN menjadi tambah berkurangan dalam pilihanraya nanti. (SH 23/05/2012)




Monday, 21 May 2012

Seorang Lagi Menteri UMNO Kantoi Akibat Nafsu Serakah


Selepas isu Naib Presiden UMNO, Shafie Afdal yang hubungannya dengan artis Zahida Rafik terdedah kepada pengetahuan umum dan dipercayai sudah berkahwin di luar negara, seorang lagi menteri UMNO turut 'terkantoi' baru-baru ini kerana menyembunyikan perkahwinan dengan isteri keduanya sejak lebih setahun yang lalu.

Menteri terbabit dipercayai sudah melangsngkan perkahwinan kali kedua tanpa pengetahuan isteri pertamanya di luar negara dan selama ini berjaya menyimpan rahsia itu kerana beliau diatakan tidak menunjukkan unsur-unsur yang mencurigakan, termasuk sentiasa bermalam di rumah setiap malam kecuali jika ada tugasan di luar kawasan.

Bagaimanapun isterinya yang dikatakan sudah mendengar 'bisik-bisik burung' bahawa suaminya telah menikah lagi satu sejak beberapa bulan lalu, tidak terus mempercayainya sebaliknya telah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk mengintip gerak-gerinya suaminya itu.

Hasil daripada pengintipan dan bukti-bukti yang diperolehi melalui hasil kerja penyiasat persendirian itu akhirnya mengesahkan bahawa menteri terbabit bukan saja didapati sudah berkahwin lagi, bahkan dikatakan sudah memperolehi seorang anak hasil perkahwinan keduanya itu.

Isteri keduanya yang dipercayai dinikahi di luar negara itu adalah bekas seorang model dan tidaklah terlalu popular dan glamour seperti Zahida Rafik yang dikaitkan dengan Shafie Afdal.

Oleh kerana perkahwinan yang cuba disembunyikan itu sudah terkantoi, kini hubungan menteri terbabit dengan isteri pertamanya berada dalam 'zon perang dingin' dan menteri berkenaan juga didapati sudah kurang muncul di dada-dada media sama ada bercakap tentang isu politik mahupun melibatkan tugasan kementeriannya.

Malahan jika diperhatikan wajah terbarunya yang sesekali muncul di akhbar dan tv, kelihatan raut wajahnya tidak lagi ceria, sedikit susut dan bagaikan sudah hilang aura sebagai seorang pemimpin yang diharapkan untuk masa depan UMNO.

Tindakan menteri terbabit berkahwin lagi dan menambah bilangan isteri sebenarnya tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana beliau memang berkemampuan tetapi sebagai seorang menteri dan anggota pentadbiran kerajaan sepatutnya menghormati undang-undang syariah Malaysia yang menetapkan bahawa mana-mana lelaki yang ingin menikah lagi harus mendapat kebenaran daripada isteri pertama terlebih dahulu.

Adalah amat jelek dan menimbulkan kecacatan kredibiliti bahawa seorang menteri pun sanggup melanggar undang-undang hanya kerana gagal mengawal nafsu sendiri.

Selain itu, tindakan menteri terbabit berkahwin lain juga menimbulkan persepsi tidak baik kepada masyarakat dan seolah-olah mengesahkan kebenaran tanggapan umum selama ini bahawa antara hobi pemimpin UMNO dan kerajaan bila disaluti kuasa dan kemewahan ialah menambah bilangan isteri, dan bukannya melipatgandakan perkhidmatan kepada rakyat.

Dengan beberapa orang menteri UMNO yang sebelum ini turut diketahui mempunyai lebih daripada seorang isteri dan mempunyai pelbagai hubungan terlarang walaupun diketahui 'tidak sekacak mana', terbongkarnya rahsia seorang lagi menteri ini pastinya menambah-burukkan imej UMNO di mata umum.

Itu belum didedahkan lagi bagaimana kemewahan yang dilimpahkan kepada isteri barunya itu dan ia akhirnya akan meleret pula kepada bagaimana sumber-sumber kemewahan itu diperolehi sebagaimana yang terjadi kepada Shafie Afdal.

Jika itu terbongkar nanti, UMNO dan kerajaan juga yang menanggung bebannya. Harapan kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya pasti akan terjejas dalam PRU 13 ini kerana perlakuan sebegini adalah bukti bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahu berubah walaupun kuasa yang dipegang kini sudah berada di tepian gaung.

Sebagaimana kata-kata seorang bekas menteri, " orang lelaki yang bekahwin lebih dari satu tidak boleh dipercayai cakapnya kerana mereka akan berbohong sepanjang masa".

Kalau isteri dan keluarga pun boleh dibohongi, rakyat apatah lagi!! (SH21/05/2012)


Friday, 18 May 2012

PRU 13 Peluang Terbaik Untuk Perubahan


Ramai rakyat dan pengundi begitu ghairah dakam pilihanraya kali ini ialah semata-mata untuk melihat berlakunya perubahan dalam politik negara. Rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat tentunya ingin menumbangkan UMNO dan BN dan menggantikannya dengan kerajaan baru yang diyakini lebih baik, lebih telus, lebih menjaga rakyat dan sebagainya.

Bagi mereka, era pemerintahan BN selama lebih 50 tahun harus ditamatkan kerana terlalu banyak sisi gelap yang muncul satu demi satu yang melibatkan pemimpin UMNO dan kerajaan. Pemimpin yang dianggap tidak ikhlas dan tidak amanah itu telah menyebabkan negara semakin hari semakin nazak dibuatnya. Bukan saja kos hidup makin meningkat, peluang pekerjaan kian terhad, hutang negara bertambah sehingga mencecah 54 peratus daripada KDNK negara, malahan imej negara di persada antarabangsa juga kian suram.

Beberapa isu skandal dan penyelewengan yang muncul membuatkan rakyat bertambah muak dengan kerajaan pimpinan Najib sekarang ini. Laungan perubahan tidak membawa erti sama-sekali kerana ia dilihat tidak disertai dengan iltizam yang tinggi untuk berubah. Isu-isu yang melibatkan nepotisme dan kronisme terus juga berlaku dan menjadi bualan rakyat.

Bukan saja menteri dan pemimpin negeri serta bahagian yang tidak mahu berubah dengan terus mengabaikan rakyat, gemar mempamerkan kekayaan, bergaya mewah serta membazir malahan Najib sendiri dilihat cakap tak serupa bikin. Sementara beliau menekankan konsep wasatiyah atau kesederhanaan, Najib juga dilihat gagal mengawal dirinya, isteri dan keluarganya untuk bersederhana dalam kehidupan. Pembaziran dan berbelanja mewah terutama dalam menghias diri, kediaman dan mengadakan jamuan terus juga berlaku. Episod Rosmah berbelanja mewah di luar negara pula bagaikan telenovela yang tiada penghujungnya.

Ini menyebabkab rakyat melihat pemimpin UMNO sebenarnya tidak mahu berubah. Laungan untuk berubah hanyalah umpan untuk memancing undi dan sokongan. Rakyat akhirnya berpendapat, hanya rebah saja ubat yang mujarab untuk UMNO berubah.

Mereka lebih bimbang, jika UMNO dan BN terus diberikan kuasa, lebih banyak cerita skandal dan penyelewengan yang akan terbentang di depan mata mereka. Mungkin berpuluh skandal mirip NFC atau separuh daripada menteri yang berskandal dengan artis akan menjadi kebiasaan akhirnya. Mungkin juga semua menteri akan mengagih-agihkan projek kerajaan untuk anak dan kaum keluarga sahaja.

Rakyat juga tidak mahu lagi melihat menteri yang lemah dan lebih banyak memberi amaran daripada bertindak. Mereka juga tidak mahu menteri hanya diam membatu dan seolah-olah patung bernyawa terhadap segala permasalahan rakyat. Lebih dari itu, rakyat juga sudah jelak dengan menteri yang terlalu retorik dan hanya tahu mengampu tetapi keprihatinan terhadap rakyat tetap ditahap sifar.

Ditambah pula dengan kedudukan pembangkang yang kian mantap dan kejayaan Anwar menyatukan PKR, PAS dan DAP sebagai Pakatan Rakyat yang dilihat mampu menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada, ia membuatkan harapan rakyat ke arah perubahan semakin membuak dan berkobar-kobar.

Dengan kedudukan PR yang begitu mantap, sementara UMNO dan BN pula kian lemah serta disaluti dengan pelbagai masalah dari demi hari, PRU 13 dilihat adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan. Jika peluang ini terlepas, ia mungkin tidak muncul lagi. Oleh itu, peluang yang ada ini harus digunakan sebaik mungkin.

Jika rakyat yang menyokong pembangkang lebih mahukan kerajaan baru mentadbir negara ini selepas pilihanraya akan datang, lain pula halnya dengan sebahagian besar pengundi atas pagar dan ahli UMNO. Sebahagian mereka dilihat masih mahukan UMNO dan meyakini BN tetapi tidak gembira dengan cara pentadbiran Najib bersama sebahagian besar menteri-menteri yang ada sekarang.

Dengan Najib yang dilihat terlalu lemah dan gagal dalam banyak perkara, mereka ini hanya mahu Najib ditukar selepas pilihanraya ini. Mereka juga tidak gembira dengan menteri-menteri yang dilihat rapat dengan Najib tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

Hakikatnya, pilihanraya akan datang ini akan menyaksikan pertembungan kepada perubahan dalam dua aspek. Satu pihak mahukan UMNO dan BN ditumbangkan manakala satu pihak lagi hanya mahukan Najib dan beberapa menteri yang tidak berkesan digulingkan.

Namun yang jelasnya perubahan pasti akan berlaku dalam PRU 13 ini. (SH 18/05/2012).



Tuesday, 15 May 2012

Imej UMNO 'Diharamjadahkan' Oleh NGO Pra Matang


Sejak akhir-akhir ini nampaknya begitu galak NGO-NGO yang pro UMNO melakukan pelbagai tindakan untuk mempertahankan parti itu sejak perhimpunan Bersih 3.0 yang jelas memperlihatkan UMNO makin kesakitan untuk mengekalkan kuasanya. Dengan tujuan mengalih perhatian terhadap kebangkitan rakyat, sebuah NGO yang bernama Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau IKHLAS mengadakan protes jualan burger di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga atas kerugian yang kononnya mereka alami ketika perhimpunan Bersih 28 April lalu.

Tidakan IKHLAS ini jelas kurang matang dan tersasar dari fakta kerana jika mereka menjalankan perniagaan pada hari tersebut,tentunya keuntungan berlipat kali ganda dapat diraih kerana ratusan ribu yang hadir dalam perhimpunan itu adalah merupakan pembeli berpotensi untuk makanan seperti burger dan air minuman. Sepatutnya mereka tidak menutup kedai pada hari tersebut, malahan menambah stok jualan.

Tetapi oleh kerana IKHLAS ini tidak ikhlas untuk berniaga dan menambah rezeki tetapi lebih ghairah untuk menjadi nasi tambah dalam pergolakan politik semasa, maka mereka telah melakukan tindakan yang memalukan diri sendiri pada mata rakyat. IKHLAS sebenarnya lebih sibuk untuk menjadi NGO pro UMNO daripada melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk ahli-ahlinya sendiri.

Yang terbaru pula, susulan dariada perhimpunan Bersih juga, Persatuan Veteran Tentera Melayu atau PVTM trlah mengadakan demo "senaman punggung", juga di depan rumah Ambiga sebagai bantahan kerana kononnya tindakan Ambiga mengetuai Bersih telah merosakkan imej negara. Mengadakan bantahan dengan bersenam sambil menggoyang-goyangkan punggung adalah perbuatan lucah, tidak beradab dan keluar sama sekali daripada tata susila bangsa Melayu dan rakyat Malaysia yang matang serta beradab sopan.

Haruslah difahami bahawa politik adalah perjuangan yang berteraskan akal fikiran dan kematangan. Dengan bergaya
lucah dan menunjuk punggung untuk melawan perjuangan Bersih yang menuntut ilihanraya yang bersih dan adil hanya membuktikan PVTM sebuah lagi NGO pro UMNO yang tidak matang dan kebudak-budakan. Sukar mempercayai bekas askar boleh terlibat aksi sebegini. Sepatutnya kalau PVTM mahu melawan Bersih 3.0 yang berjaya menghimpunkan 300 ribu orang, mereka seharusnya menganjurkan satu perhimpunan yang boleh dihadiri oleh lebih ramai daripada itu.

Tindakan PVTM mengadakan demo lucah dan biadap seramai 15 orang hanya menunjukkan mereka adalah NGO pro UMNO yang pra matang. Tiada apa-apa sumbangan mereka kepada UMNO akibat perlakuan itu. Jumlah penyokong UMNO tidak akan bertambah kerananya. Pengundi atas pagar akan lebih menjauhi UMNO kerana kebiadapan aksi yang ditunjukkan itu. Di mata rakyat gelagat NGO ini hanya berjaya "mengharamjadahkan" imej UMNO semata-mata kerana perlakuan mereka dilihat seolah-olah dinaungi serta direstui oleh UMNO dan pimpinannya.

Dengan aksi yang seperti "haram jadah" yang ditunjukkan itu, sudah tentulah UMNO akan dilihat sedemikian rupa juga. Dengan pemikiran pengundi semakin kritikal sekarang ini, gelagat pra matang PVTM ini hanya menambahsukarkan lagi UMNO dan BN untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini.

Sebelum itu, dengan tujuan menyindir Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam aksi seks sebagaimana yang diheboh-hebohkan melalui penyebaran video yang mirip dirinya, sebuah NGO tanpa nama telah mengadakan demo Duduk dan Jilat di Shah Alam sambil mengagih-agihkan aiskrim percuma sambil berpesan "jangan makan airkrim dalam tandas" kepada mereka yang sudi menerima pemberian aiskrim percuma yang entah siapa penajanya itu. Perlakuan NGO ini juga bercirikan lucah, jijik dan biadap yang bertentangan sama-sekali dengan budaya rakyat Malaysia.

Meskipun NGO ini mengatakan mereka tidak memihak kepada mana-mana parti politik tetapi dengan penglibatan beberapa invividu dalam demo itu jelas sekali membuktikan mereka mempunyai kaitan yang rapat dengan UMNO dan pemimpin tertentu. Apakah manfaat yang UMNO perolehi daripada demo Duduk dan Jilat ini?

Jawapannya sudah tentu kosong. Sekali lagi - kosong. UMNO sebenarnya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripada demo ini. Sebagaimana demo "senaman punggung" di depan rumah Ambiga yang tidak menyebabkan undi UMNO bertambah dan tidak juga meyebabkan Najib akan memperolehi keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang, demo Duduk dan Jilat ini juga tidak menyumbang sesuatu yang baik kepada UMNO, selain aksi dan gelagat mereka itu berjaya menjadikan imej UMNO kelihatan seperti "haramjadah" pada pandangan umum.

Sebelum demo jualan burger, aksi Duduk dan Jilat serta senaman punggung, sebuah lagi NGO iaitu TIBAI telah juga dilancarkan dan kini sedang bergerak aktif mengadakan ceramah dengan sasaran menyerang peribadi Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan pelbagai perlakuan seks serta moral yang diragui. NGO ini yang dianggotai oleh mereka yang pernah rapat dengan Anwar dan menghentam UMNO serta Tun Mahathir suatu ketika dahulu, berbuat demikian semata-mata untuk membantu UMNO dan mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri. Dua orang daripada anggota kanan kumpulan ini sudah pun diberikan jawatan Senator oleh Najib iaitu Ezam Mohd Nor dan Datuk Nallakaruppan.

Kesemua perlakuan dan aksi NGO ini ialah untuk membantu UMNO dalam pilihanraya akan datang. Tetapi mungkinkan UMNO menang dengan bantuan kempen yang berunsur seks, lucah, serangan peribadi, aksi biadap dan tanpa akhlak ini?

Kiranya UMNO merasakan gelagat NGO-NGO terbabit sesuatu yang membanggakan dan berupaya menambahkan jumlah undi dalam pilihanraya akan datang, eloklah UMNO bermuhasabah semula sebelum menghadapi pilihanraya ini. Dengan perlakuan pra matang NGO-NGO terbabit yang lamgsung tidak memberi manfaat kepada imej UMNO selain menjadikan UMNO kelihatan lebih kotor dan "haram jadah" di mata rakyat, UMNO dan BN mungkin ditimpa bala yang lebih besar jika semua NGO ini terus bermaharalela seolah-olah mereka sayap baru UMNO dan BN serta "anak emas" Najib menjelang pilihanraya akan datang ini.

Perlakuan mereka akan menyebabkan pengundi pelbagai peringkat merasa lebih jijik untuk menyokong UMNO dan BN. (SH 15/052012)

Sunday, 13 May 2012

Najib - Antara Harapan dan Realiti


Pilihanraya mungkin diadakan bila-bila masa saja. Paluan gendang pilihanraya kini makin kuat gemanya di sana sini. Di samping rakyat bercakap tentang pilihanraya, pemasangan bendera parti-parti politik juga kelihatan di mana-mana. Di merata tempat, bahang pilihanraya membuatkan ramai yang sentiasa ghairah dan teruja.

Himpunan Bersih 3.0 yang dihadiri kira-kira 300 ribu rakyat baru saja berakhir. Ia dibalas pula dengan sambutan ulangtahun UMNO yang dihadiri seramai 100 ribu orang di Stadium Bukit Jalil. Najib yang jarang melihat lautan manusia didepannya tampak begitu teruja, lantas menyatakan piliharaya boleh diadakan bila-bila masa. Rasa macam esok juga nak mengadap Agong untuk bubarkan Parlimen, begitu lebih kurang Najib berkata. Najib seperti sudah terbayang kemenangan di depan mata.

Dalam masa yang sama pelbagai pihak pula membuat kajian tentang perkembangan politik semasa. Sementara program ceramah anjuran PR sentiasa mendapat sambutan hangat daripada rakyat, kajian-kajian yang dibuat ooeh pelbagai pihak pula nampaknya lebih memihak kepada UMNO dan BN.

Selain rating Najib yang dikaji oleh Merdeka Centre terus menaik kepada 69 peratus berbanding 59 peratus pada Mac tahun lalu, kajian terbaru oleh Pusat Kajian Dmokrasi dan Pilihanraya, Unoversiti Malaya juga menampakkan trend yang serupa. Kajian itu dikatakan menunjukkan sokongan rakyat kepada BN berada pada kedudukan 49 peratus berbanding PR hanya 21 peratus, sementara 30 peratus lagi masih pada kedudukan tidak pasti.

Najib juga kini sedang menagih populariti rakyat melalui sikap murah hati dan amalan politik "ala santa clausnya". Pelbagai bantuan, jajan, buah tangan dan durian runtuh sedang ditaburkan. Setelah BR1M bernilai RM500 yang menjadi kebanggaan Najib dan seolah-olah program itu mampu menyelesaikan derita rakyat, Najib juga menghadiahkan durian runtuh kepada para peneroka Felda bernilai RM15 ribu. Pendahuluan RM5 ribu kini sudah mula diagihkan dan wakil-wakil rakyat UMNO sedang sibuk mengagihkan pemberian wang sehingga ada wakil rakyat yang mengatur tiga program dalam sehari untuk majlis penyerahan itu kepada peneroka.

Meski Najib, UMNO dan BN begitu berbangga keraja berjaya memberi pendahuluan RM5 ribu ini tetapi hakikatnya jumlah itu tidaklah sebenar mana bagi sesetengah peneroka, jauh sekali membuatkan mereka tersandar kerananya. Ini kerana bagi peneroka Felda yang mengusahakan kepala sawit, adalah perkara biasa mereka memperolehi hasil antara RM5 ribu hingga RM9 ribu sebulan, terutama ketika harga kelapa sawit berada di paras yang tinggi.

Keghairahan memberi durian runtuh itu bukan saja menggambarkan pilihanraya sudah terlalu dekat tetapi juga menunjukkan undi peneroka Felda amat penting kepada UMNO dan BN. Kawasan Felda kini merangkami 56 kawasan Parlimen dan 52 daripadanya dimenangi oleh BN dalam pilihanraya 2008 lalu.

Pengagihan durian runtuh kepada peneroka Felda adalah kemuncak sikap pemurah Najib kepada rakyat. Beliau kini mesti mengadakan pilihanraya dalam waktu yang terdekat ini. Jika tidak, dibimbangi bahangnya tidak lagi terasa panasnya terutama bila wang yang diberi itu sudah habis dibelanjakan.

Untuk menunjukkan popularitinya sedang meningkat juga, Najib turut memperbesar-besarkan peningkatan peminatnya yang semakin ramai di laman Facebook dan Twitter. Pengikut Najib di Twitter kini melebihi 500 ribu manakala di Facebook pula melebihi 1 juta.

Tetapi jumlah pengikut di laman sosial ini tidak menggambarkan undi yang akan diperolehi dalam piliharaya. Prnyokong pembangkang sendiri ramai menjadi pengikut Najib, begitu juga ramai penyokong UMNO yang menjadi pengikut laman sosial Anwar Ibrahim atau Tuan Guru Nik Aziz. Malahan pengikut Najib yang ke 500 ribu yang diraikannya di sebuah restoran di Bangsar pada Sabtu lalu hanyalah seorang remaja berusia 15 tahun yang belum pun layak mengundi.

Sementara populariti yang didewa-dewakan, halangan yang dihadapi Najib juga tidak kurang besarnya. Isu lembu NFC, keganasan polis dalam Bersih, menteri-menteri yang dikaitkan dengan rasuah dan skandal, isu pembaziran dan ketirisan, kehakiman, pengurusan kerajaan yang lemah dan pelbagai isu lainnya sentiasa menghimpit Najib hingga ke dinding.

Itu belum diambil kira lagi kes perbicaraan kapal selam Scorpene di Perancis yang mana Najib sudah pun dinamakan sebagai salah seorang saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan. Di mata rakyat dan dunia, imej Najib sudah calar-balar bila Suaram berjaya berjaya membawa kes rasuah kapal selam itu ke mahkamah Perancis.

Najib juga dibelenggu oleh wataknya yang dianggap lemah dan tidak tegas. Dalam isu lembu dan Bersih misalnya, beliau dilihat begitu lembab untuk bertindak dan menyelesaikannya sehingga ia berlarutan begitu lama dan telah merosakkan imej UMNO dan kerajaan.

Imej Najib sebagai ketua kerajaan juga terjejas bilamana beliau mengambil keputusan memansuhkan Skim Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang sudah diumumkan dan membatalkan perjanjian Mas-Air Asia yang sudah dimuktamadkan. Dalam kedua-dua kes ini, Najib dilihat tidak fokus, tidak berhati-hati dan tidak menimbang dengan sebaik-baiknya sebelum membuat sesuatu keputusan yang penting. Sebagai Perdana Menteri, kekerapan membatalkan keputusan sendiri tidak lebih menunjukkan kelemahan sebagai pemimpin.

Walaupun beberapa tindakan Najib dilihat begitu diperbesar-besarkan oleh media arus perdana, kebangkitan rakyat adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Rakyat kini bangkit menuntut apa saja yang dirasakan tidak wajar dan menindas mereka. Keberanian rakyat pelbagai kaum menuntut hak adalah sesuatu yang diluar jangkaan ketika ini. Kebangkitan rakyat bukan saja dapat dirasakan di ibukota KL dan beberapa bandar besar lain tetapi juga sudah merebak ke Johor, negeri yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO sebelum ini. Himpunan Bersih dan Protes Tanah di Johor Bahru yang dihadiri hampir 2 ribu orang jelas petanda tidak baik bagi UMNO dan BN Johor.

Kebangkitan rakyat adalah realiti yang tidak dapat dinafikan dan ia berkembang daripada pelbagai derita dan isu yang gagal ditangani sehingga menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat. Najib pula selain melalui pelbagai program jangka pendek seperti pemberian tunai yang sudah diagih-agihkan, juga cuba menambat hati rakyat melalui langkah perhubungan awam yang digerakkan melalui bantuan media.

Sementara PR sentiasa tampil dengan pelbagai tawaran untuk rakyat seperti penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik, penghapusan tol, urus tadbir kerajaan yang telus dan bebas rasuah, pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN, Najib pula lebih gemar menonjolkan sikap lebih mesra rakyat dan pemurah dengan tunai. Bukan saja rakyat diberi RM500 dan peneroka Felda diberi RM15 ribu, murid sekolah dan penuntut universiti yang belum layak mengundi juga "dirasuah" dengan wang saku RM100 dan RM200 oleh Najib.

Jika rakyat terpana dengan bantuan jangka pendek dan penonjolan langkah perhubungan awam yang dilakukan melalui media, Najib mungkin meraih manfaat yang besar daripadanya. Tetapi jika rakyat memikirkan program jangka panjang yang lebih membawa kebaikan, tawaran-tawaran PR mungkin juga mempersonakan mereka.

Menjelang pilihanraya kali ini, BN tidak banyak memberi tawaran jangka panjang seperti mana selalunya. BN lebih banyak membawa pendekatan jangka pendek dan pemberian tunai sebagai sandaran kemenangannya, selain serangan peribadi yang berunsur seks dan lucah terhadap beberapa individu dalam pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim. Namun kini serangan peribadi turut ditujukan kepada beberapa individu lainnya pula.

Sementara Najib dan Anwar masing-masing menaruh keyakinan terhadap kemenangan dalam pilihanraya kali ini, hakikatnya persaingan masih agak terbuka. BN mungkin dominan di kalangan pengundi luar bandar manakala PR lebih kuat di kalangan pengundi bandar dan mereka yang menguasai internet.

Bagaimanapun harapan Najib mungkin tidak sama dengan harapan rakyat. Begitu juga realiti yang dirasa Najib mungkin jauh beza dengan realiti sebenar rakyat. PRU 13 akan menjawab semuanya. (SH 13/05/2012).











Wednesday, 9 May 2012

Jawatan Besar, Badan Pun Besar Tapi Sayang Jiwa Kecil


Ketika berucap di majlis bersama peneroka di Jerantut, Pahang sambil mengumumkan pemberian "durian runtuh" kepada para peneroka dua hari lalu, Najib telah menyerlahkan watak dirinya yang sebenar yang selama ini berjaya disembunyikannya. Dengan program itu disiarkan secara langsung melalui tv ke seluruh negara, watak sebenar Najib itu bukan saja dapat disaksikan oleh mereka yang hadir di program itu tetapi juga rakyat di seluruh negara.

Dalam program itu Najib telah mengumumkan pemberian wang tunai sebayak RM15 ribu kepada kira-kira 112,000 peneroka berikutan penyenaraikan Felda Global Venture ke Bursa Malaysia. Pemberian wang tunai yang diberikan kepada tiga kelompok itu iaitu ketua keluarga, isteri dan generasi kedua dengan masing-masing memperolehi RM5 ribu juga turut diberikan melalui tiga fasa pemberian. Fasa pertama sebanyak RM5 ribu dijangka diberikan kepada peneroka dalam tempoh dua minggu lagi.

Meskipun pemberian wang tunai itu merupakan berita gembira kepada para peneroka tetapi sikap Najib ketika berucap telah melukakan sesiapa saja yang mendengarnya. Beliau telah mengungkapkan perkataan "haram jadah" sebanyak dua kali yang ditujukan kepada mereka yang menentang penyenaraian FGV sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga membidas kelompok yang selama ini menentang penyenaraian FGV itu. Dalam ucapannya sebagaimana yang disiarkan dalam Free Malaysia Today tetapi tidak disiarkan oleh media arus perdana ialah berbunyi "Saya nak tengok muka-muka ini durian runtuh ni mereka terima atau tak. Saya tak rela dan tak redha mereka ini terima. Itu pasallah nak cuba khianat apa yang kita buat lepas itu muka tebal terima pula.

"Durian runtuh ini hanya untuk peneroka yang jujur dan setia pada perjuangan," kata Najib lagi.

Bagi sesiapa yang mendengar ucapan Najib atau membacanya tentunya tidak menyangka ucapan sedemikian boleh diucapkan oleh seorang Perdana Menteri dan datang pula daripada keturunan Tun Razak yang begitu tinggi peribadi dan banyak jasanya. Perwatakan Najib pasa hari itu seolah-olah beliau bukan seorang Perdana Menteri. Beliau juga seperti bukan datang daripada darah daging Tun Razak. Standardnya dengan ucapan yang sedemikian dan menyebut pula perkataan "haram jadah" sebanyak dua kali hanya menunjukkan beliau tidak jauh bezanya dengan pencacai UMNO tak bertuan atau Ketua UMNO cawangan paling haprak dalam masyarakat.

Dengan memberi ucapan sedemikian dan menzahirkan dirinya sebagai seorang yang tidak dapat mengawal perasaan menyerlahkan bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang rendah budi pekerti dan berjiwa kecil. Jiwanya terlalu kecil dan tidak sesuai dentan jawatan yang disandang serta tubuh badannya yang besar itu.

Tidakkah Najib menyedari bahawa jawatan Perdana Menteri yang disandangnya hanyalah amanah yang diberi oleh rakyat melalui proses demokrasi yang membenarkan sesiapa pun menyuarakan pandangan bersetuju dan tidak bersetuju terhadap sesuatu perkara. Tidaklah boleh menempelak sebegitu rupa terhadap mereka yang tidak bersetuju terhadap penyenaraian FGV kerana mereka menentangnya melalui proses yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Dan dalam proses demokrasi yang diamalkan FGV berjaya disenaraikan setelah melalui proses pengundian yang mana akhirnya ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda atau KPF secara majoriti menyokong penyenaraian itu. Itulah proses demokrasi dan setelah menang dan berjaya membawa FGV ke Bursa Malaysia, adalah tidak beradab sama-sekali melabelkan mereka yang menentang itu sebagai "haram jadah".

Najib juga tidak separutnya menyebut tidak rela dan tidak redha mereka yang menentang turut menerima durian runtuh yag diumumkannya itu. Ia adalah hak peneroka, bukannya wang dari poket Najib sendiri. Felda adalah hak kerajaan dan bukannya hak milik warisan keluarga yang ditinggalkan oleh Tun Razak untuk Najib sekeluarga sahaja. Janganlah wang Felda dianggap sebagai duit sendiri, duit kerajaan pun dianggap duit sendiri.

Dengan Najib menyebut tidak rela dan tidak redha mereka yang menentang turut menerima durian runtuh seolah-olah melupakan penat lelah para peneroka mengusahakan tanah ladang sejak puluhan tahun lalu. Bagi yang menentang, adalah hak mereka juga menerima durian runtuh itu kerana mereka ada sumbangan kepada kemajuan Felda selama ini.

Tugas sebagai Perdana Menteri hanyalah menjalankan amanah rakyat dan berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat. Sikap menyokong dan menentang adalah perkara biasa dalam proses demokrasi dan ianya harus dihadapi dengan tabah dan dengan jiwa yang besar. Jika seseorang pemimpin itu kekal tabah dan berjiwa besar, tidak mustahil mereka yang menentang akan menjadi penyokong setia akhirnya.

Namun sikap yang ditunjukkan Najib amat pelik dan menjengkelkan. Beliau telah menenggelamkan watak yang sepatutnya sebagai seorang Perdana Menteri yang sewajarnya sentiasa tabah, tidak emosional, gigih, terbuka, berhati mulia serta menjadi pemimpin kepada semua rakyat. Emosi melampau yang merantai jiwanya membuatkan Najib kelihatan jelek dan tidak sesuai duduk di singgahsana Seri Perdana.

Sukar memahami bagaimana Najib boleh merendahkan darjatnya sedemikian rupa sedangkan beliau datang daripada keluarga Tun Razak dan Tun Rahah, keluarga bangsawan baik-baik yang biasanya amat mementingkan budi bahasa dan akhlak yang mulia. Atau adakah Najib memang sebenarnya seorang yang biasa mengungkapkan perkataan-perkataan kasar dan kesat seperti "haram jadah" dan lain-lainnya ketika di rumah atau ketika memarahi anak-anaknya.

Jika itulah keperibadian Najib yang sebenarnya tetapi berjaya disembunyikan selama ini, amatlah malang kita mempunyai seorang Perdana Menteri seumpaman itu. Dan dengan Najib sendiri membuka tembelang tentang wataknya yang sebenar itu, eloklah kita rakyat Malaysia menamatkan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 13 ini sahaja.

Untuk terus maju, Malaysia tidak memerlukan pemimpin berjiwa kecil seperti Najib, sebaliknya memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, tabah, gigih menghadapi cabaran, bersikap terbuka, pemaaf dan sedia berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa memilih bulu. (SH 09/05/2012).





Tuesday, 8 May 2012

Jika Benar Bersih Mahu Guling Kerajaan, Menteri KDN Wajib Dipecat!


Himpunan aman Bersih 3.0 terus menjadi bualan di mana-mana. Ia bukan saja berkaitan pelbagai insiden yang berlaku sepanjang petang Sabtu itu, sama ada yang melibatkan polis dan orang awam tetapi menjadi bertambah hangat diperbualkan apabila Najib sendiri mengatakan perhimpunan itu sebenarnya ingin menggulingkan kerajaan.

Agak menghairankan Najib yang selama ini berdiam diri dan tidak memberi apa-apa komen sebelum perhimpunan itu berlangsung, tiba-tiba mengatakan ia mahu menggulingkan kerajaan pula. Daripada mana Najib memperolehi maklumatnya?

Jika pun benar perhimpunan itu mahu menggulingkan kerajaan, kegagalan polis mengetahuinya lebih awal amatlah memalukan. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein yang pada awalnya mengatakan perhimpunan Bersih bukanlah ancaman kepada keselamatan negara sepatutnya dipersalahkan jika maklumat yang diperolehi Najib adalah betul. Walaupun sebagai sepupu Najib, beliau sepatutnya dipecat dari jawatan itu dan jika di negara lain, menteri berkenaan sudah pasti dengan rela hati meletakkan jawatan.

Hishammuddin yang sepanjang masa peranannya dipertikaikan oleh kebanyakan rakyat dan ahli UMNO sendiri, ternyata tidak layak memegang jawatan berkaitan keselamatan negara berikutan perkara ini. Dan kenyataan terbaru beliau bahawa Anwar sebenarnya mahu menawan Dataran Merdeka tetapi gagal mendapat sambutan, tidak boleh dipakai sama-sekali.

Bagaimana juga beliau boleh bercakap perhimpunan itu gagal sedangkan ia dihadiri oleh hampir 300 ribu orang. Lagi pula bercakap selepas kejadian dan setelah berlaku berbagai kejadian, sudah tidak memberi erti apa-apa lagi sedangkan sebelum perhimpunan itu beliau tidak berbuat apa-apa yang meyakinkan rakyat.

Bagaimanapun, memahami langkah politik Najib yang kini bagaikan kelemasan untuk mempertahankan kuasa UMNO dan BN, kenyataan bahawa perhimpunan Bersih bertujuan menggulingkan kerajaan adalah semata-mata propanya untuk mendapatkan simpati daripada rakyat. Beliau kini mengetahui kebangkitan rakyat amat menyeluruh dan mereka jelas mahukan perubahan.

Najib mengharapkan dengan mengaitkan perhimpunan itu dengan keganasan dan bertujuan menggulingkan kerajaan, simpati rakyat akan dapat digamit. Ini kerana secara umumnya rakyat memang menolak perlakuan ganas untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan tidak sah.

Itulah sekurang-kurangnya harapan Najib. Tetapi beliau sepatutnya mengucapkan perkara ini sebelum perhimpunan itu berlangsung, bukan selepasnya.

Sama seperti Hishammuddin, Najib juga hanya berani berkokok selepas perhimpunan Bersih sedangkan sebelum itu bungkam seribu bahasa seolah-olah memandang lekeh terhadap kebangkitan rakyat.

Dengan mengutarakan teori perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan sedangkan sedari awal lagi sudah diberitahu dan disedari oleh dunia bahawa perhimpunan itu hanyalah untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, kelewatan Najib bersuara memperlihatkan ketidakcekapannya sebagai Perdana Menteri.

Orangramai juga akan mempersenda Najib dengan teorinya itu kerana peserta perhimpunan hanya membawa bekalan air dan garam sahaja ketika perhimpunan itu untuk menyembuhkan kepedihan mata akibat semburan gas. Lagi pula permit perhimpunan juga dipohon sebelum itu. Kalau mahu menggulingkan kerajaan, tak mungkin Bersih begitu bersopan memohon permit dan kelulusan sebelum mahu berhimpun.

Walaupun Najib nampaknya cuba mendapatkan simpati rakyat daripada perhimpunan Bersih itu, yang jelas luka di hati rakyat lebih pedih kesan daripada perhimpunan itu. Ia bukan saja memperlihatkan sikap kerajaan yang tidak bijaksana dalam mengendali permintaan Bersih, ia bertambah parah dengan beberapa kejadian yang melibatkan pihak polis dengan orang awam yang begitu jelas dapat dilihat melalui media internet dan Youtube.

Rakyat selama-lamanya akan menilai kerajaan sebagai tidak peka terhadap tuntutan rakyat, malahan cuba melayannya dengan cara yang tidak sewajarnya. Sebagai anggota pasukan keselamatan, pihak polis tidak sewajarnya termakan dengan provokasi ketika perhimpunan itu, lebih-lebih lagi mereka juga mempunyai senjata berbanding orang awam yang hanya berbekalkan suara.

Kejadian pihak polis memukul orang awam dan wartawan, merampas kamera dan bertindak ganas selepas jam 6 petang iaitu ketika perhimpunan sudah pun berakhir, benar-benar menjatuhkan imej polis dan kerajaan. Sekali lagi Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin dilihat tidak berwibawa sebagai peneraju dan pembuat keputusan berkaitan keselamatan rakyat dan negara.

Secara umumnya, perhimpunan Bersih 3.0 bukan saja mempamerkan kebangkitan rakyat menuntut sesuatu yang menjadi hak mereka iaitu sebuah pilihanraya yang adil dan bersih, tetapi kesan daripada perhimpunan itu juga memperlihatkan kebangkitan kepada perlunya perubahan yang total dalam kepimpinan negara.

Kerajaan yang ada dilihat semakin jauh di hati rakyat dan tidak lagi memihak kepada kehendak rakyat.

Jika Najib mengandaikan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 mahu menggulingkan kerajaan, ia mungkin ada betulnya tetapi rakyat sebenarnya mahu melakukannya melalu peti undi dalam pilihanraya dan bukannya melalui keganasan di jalanraya. (SH 08/05/2012)






Monday, 7 May 2012

Antara Ceritera Seks Dan Agenda Perubahan


Salah satu perkara yang cukup memalukan UMNO ketika ini ialah penggunaan dan penyebaran cerita-cerita seks serta lucah untuk mendapatkan sokongan rakyat. UMNO dilihat semakin melupakan perjuangan Melayu dan membela rakyat tetapi lebih mengutamakan serangan berbaur seks dan lucah pihak lawan untuk terus kekal memerintah. Bermula pada tahun 1998 ketika Mahathir mahu memecat Anwar Ibrahim, fenomena seks ini mula digunakan sebagai senjata untuk membunuh karektor seseorang.

Sebaik Anwar dipecat, isu seks dengan pelbagai wanita dan liwat mula menjadi hidangan rakyat dan disiarkan secara besar-besaran melalui akhbar dan tv. Anwar ketika itu didedahkan melalui media mempunyai hubungan dengan beberapa orang wanita dan Datuk Nalla dikaitkan sebagai orang yang berperanan membekalkan wanita-wanita tersebut kepada Anwar.

Anwar bagaimanapun kemudian hanya didakwa atas kes liwat dengan Azizan Abu Bakar dan ceritera seks dan lucah dengan pebagai jenis wanita yang diperbesarkan itu hanyalah untuk menggambarkan betapa buruknya akhlak serta perilaku Anwar. Anwar kononnya wajar dipecat kerana itu sementara pemimpin lain yang dikekalkan pula seperti dijamin kebersihan moral dan perilakunya.

Hari ini dengan Anwar kembali menggugat UMNO melalui Pakatan Rakyat, cerita seks kembali menggegar dunia politik dengan pelbagai versi. Selain Anwar yang kembali dikaitkan dengan kes liwat dan seks, beberapa pemimpin lain juga cuba diheret sama. Rakaman perbualan Mat Sabu dengan seorang wanita pernah disebarkan, gambar Husam Musa berjalan beriringan dengan wanita Cina juga pernah diedarkan dan terbaru ini gambar-gambar melibatkan Azmin Ali pula tersebar.

Akhbar utama dan tv digunakan semahu-mahunya untuk memainkan peranan ini dan ianya diulang-ulang seolah-olah mahu memasaknya ke dalam pemikiran rakyat meskipun jika mengikut hukum dan undang-undang, ada kaedah tertentu yang perlu dipatuhi jika ingin menuduh seseorang dengan dakwaan yang berkaitan seks dan lucah ini. Tetapi semua itu tidak mahu dipatuhi, yang dipentingkan ialah bagaimana cerita-cerita itu dapat disebarkan seluas mungkin kepada rakyat. Akhbar dan media yang sepatutnya berperanan menyebar maklumat dan mendidik rakyat sudah berubah menjadi penyebar cerita seks dan lucah sekarang ini.

Motifnya jelas kerana politik dan tidak lain hanyalah untuk memberi imej buruk kepada pemimpin-pemimpin pembangkang dan dalam masa mengajak rakyat supaya UMNO dikekalkan sebagai pemegang kuasa.

Setelah dibuat pendedahan melalui media, terdapat pula beberapa NGO yang berperanan menjaja cerita seks dan lucah ini bergerak ke seluruh negara dengan restu yang diberi oleh UMNO sendiri.

Kalau dulu UMNO baik di peringkat cawangan atau bahagian begitu banyak bercakap soal ketuanan Melayu dan kepentingan Bumiputera dalam pelbagai perkara serta kaitan perjuangan UMNO dengan kemerdekaan, perjuangan dalam menuntut kouta dalam perumahan, pendidikan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, kini semua itu sudah dianggap lapuk. Mesyuarat dan program UMNO kini lebih banyak dipenuhi dengan serangan peribadi kepada pihak lawan berkaitan seks dan lucah semata-mata.

UMNO seperti tidak lagi meletakkan dasar perjuangan dan meritnya dengan pelbagai rekod sebelum ini untuk mempertahankan kuasa, sebaliknya lebih bergantung kepada kekuatan isu seks dan lucah yang diperbesar-besarkan. Arus perubahan rakyat dengan menuntut kerajaan yang lebih baik sebagaimana yang tergambar di mana-mana cuba ditutup dengan cerita seks dan lucah. Kisah skandal penyelewengan dalam kerajaan juga cuba ditutup dengan isu seks dan lucah. Malahan derita rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup meningkat dan ketiadaan peluang pekerjaan juga cuba dilenakan dengan cerita seks dan lucah yang serupa.

Sementara Pakatan Rakyat sering tampil dengan janji dan tawaran yang lebih meyakinkan seperti penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik, pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN, gaji minima, sistem urus tadbir kerajaan yang lebih baik dan sebagainya, UMNO nampaknya hanya mempertaruhkan cerita seks, lucah dan skandal yang dikaitkan dengan pihak lawan untuk memenangi pilihanraya kali ini.

Kalau ada pun yang diperbesarkan hanyalah pemberian tunai RM500 untuk rakyat miskin dan RM200 serta RM100 wang saku dan baucer buku untuk pelajar sekolah dan penuntut pusat pengajian tinggi.

Dengan rekod pemerintahan selama lebih 50 tahun dan UMNO pula menjangkau usia 66 tahun, Najib dan UMNO dilihat masih terkapai-kapai untuk menawarkan sesuatu yang lebih bermakna kepada rakyat. Tawaran yang lebih konkrit dan berbentuk jangka panjang terutama untuk generasi muda hampir tidak ada berbanding tawaran Pakatan Rakyat yang jelas lebih baik dan meyakinkan.

Dengan membesar-besarkan cerita seks dan lucah ini, Najib dan UMNO bukan saja kelihatan sudah kehabisan upaya politi untuk menjadi pentadbir yang lebih baik tetapi juga meletakkan mereka seperti perangai pembangkang yang sebenar sementara Pakatan Rakyat dan Anwar yang sering tampil dengan idea-idea baru kelihatan seperti sebuah kerajaan pula. Jika ini berterusan maka rakyat tiada kesangsian lagi untuk memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah dalam pilihanraya ke 13 ini.

Selain itu, dengan bertali arusnya skandal dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan dan semua kelemahan itu pula cuba ditutup dengan memperbesar-besarkan cerita seks dan lucah pihak lawan, ia tidak lain memberi gambaran bahawa UMNO tidak mahu berubah sama-sekali. Kalau UMNO benar-benar mahu berubah, mereka sepatutnya melawan pelbagai tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat itu dengan tawaran yang lebih baik lagi, bukannya menyerang dengan cerita seks dan lucah yang diragui kebenarannya. Keputusan buruk pilihanraya 2008 yang sepatutnya merupakan pengajaran terbaik tidak mengubah apa-apa kepada UMNO, Najib, menteri-menteri kabinet dan pemimpin-pemimpin lainnya.

Jika UMNO terus berkuasa, percayalah, lebih banyak cerita skandal, rasuah, penyelewengan dan ketirisan harta kerajaan yang masuk ke poket pemimpin akan berlaku.

Hanya rebah dan diubah sebenarnya ubat paling mujarab buat UMNO. (SH 07/04/2012)




Antara Ceritera Seks Dan Agenda Perubahan

Friday, 4 May 2012

Bekas Ahli Parlimen UMNO Hantar 'Surat Cinta' Pada Najib


Perdana Menteri Najib Tun Razak menerima satu lagi cabaran menjelang pilihanraya umum akan datang bilamana seorang Ahli Parlimen UMNO, Tamrin Tun Ghafar tiba-tiba menulis sepucuk surat kepada beliau menggariskan beberapa isu yang perlu diselesaikan jika ingin memenangi pilihanraya ini.

Sebelum ini bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir turut mengkritik kepimpinan Najib dan beliau akhirnya mengambil keputusan keluar UMNO.

Dalam surat kepada Najib bertarikh 23 April itu, Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka menyebut 15 isu yang perlu diselesaikan Najib iaitu isu lembu NFC, isu cincin US24 juta dan perbelanjaan mewah, isytihar harta, semangat Melayu dan dasar ekonomi, pinjaman PTPTN, campurtangan sistem kehakiman, pengundi hantu dan Bersih 3.0, hubungan dengan Israel, pemilihan calon pilihanraya, peningkatan kos sara hidup, dakwaan biadap wakil rakyat pembangkang, konsep 1Malaysia, bantuan rakyat, royalti minyak dan debat dengan Anwar Ibrahim.

Dalam suratnya itu, Tamrin melihat jika isu-isu tersebut gagal dijelas dan ditangani dengan sewajarnya ia pasti akan menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN, sebalikya jika ia dapat dihuraikan dengan baik serta diambil tindakan-tindakan yang sewajarnya, ia akan berupaya memulihkan semula keyakinan rakyat.

Tindakan terbaru Tamrin menulis surat dan mengkritik kepimpinan Najib dilihat sedikit-sebanyak akan menjejaskan persiapan UMNO dan BN menghadapi pilihanraya kerana isu-isu yang dibangkitkan beliau dalam suratnya adalah perkara-perkara yang menjadi percakapan ramai terutama di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Ramai ahli UMNO melihat Najib sebagai pemimpin yang lemah kerana gagal menangani pelbagai isu yang muncul dan membiarkan saja ianya larut dalam pemikiran rakyat walaupun kadang-kadang isu yang muncul itu kelihatan amat mudah untuk diselesaikan.

Sebelum perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, Tamrin juga telah berucap di sebuah majlis anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru dan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap sebarang usaha untuk mendapatkan piliharaya yang adil dan bersih. Selain beliau, Tengku Razaleigh Hamzah juga menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 ketika berucap di Selangor dan Kelantan.

Selain itu, Tamrin juga turut menerima jemputan menghadiri beberapa ceramah politik terutamanya di Perak, Kedah dan Terengganu dan secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib yang dilihatnya tidak serius melaksanakan perubahan untuk kepentingan rakyat serta negara.

Sebagai bekas Ahli Parlimen dan anak kepada arwah Tun Ghafar Baba, tidak dinafikan surat ini pasti membawa kesan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya kali ini kerana ini menunjukkan UMNO sudah mulai ditolak dari dalam sendiri.

Rakyat yang sedang mula bangkit dan mahukan perubahan sebagaimana yang tergambar dalam kehadiran kira-kira 300 ribu dalam Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini pasti melihat tindakan Tamrin menulis surat ini sebagai "vitamin tambahan" untuk mereka terus gigih dalam perjuangan.

Di bahagian penutup surat ini, Tamrin juga menegaskan bahawa suratnya ini akan disebarkan kepada rakyat di seluruh negara jika didapati Najib tidak serius melaksanakan perubahan dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya. Difahamkan proses mencetak surat ini sedang dijalankan dan ia akan mula disebarluaskan ke seluruh negara sebaik saja ia siap dicetak.

Sebelum ini, Tun Mahathir pernah menulis surat dan mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan akhirnya beliau dipecat daripada UMNO.

Adakah melalui surat ini Tamrin juga akan dipecat daripada UMNO?

Sebagai bekas Ahli Parlimen dan seorang yang sudah cukup matang dan melalui pelbagai susur galur dalam perjuangan, Tamrin tentunya sudah memikir dengan semasak-masaknya dan besedia menghadapi apa jua kemungkinan. Cumanya apakah dengan mengambil tindakan dan memecat seseorang yang mengkritik kepimpinan parti dengan niat yang baik akan berupaya menyelamatkan UMNO dan membawa kecemerlangan dalam keputusan pilihanraya.

Apa pun, hakikatnya "surat cinta" Tamrin kepada Najib ini dan disusuli dengan "keaktifannya" semula dalam pentas politik bukanlah berita baik bagi UMNO dan BN. Dan sama-samalah kita tunggu mungkinkah ada lagi bekas pemimpin UMNO yang akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini? (SH 04/05/2012).

Wednesday, 2 May 2012

Kisah Terlampau Pegawai Najib Nak Bergelar YB


Dalam suasana semua orang sedang menunggu dengan penuh debar ketibaan tarikh pilihanraya umum, pegawai-pegawai Najib tidak terkecuali dilanda fenomena yang sama. Tetapi mereka bukan beria-ia mahu membantu Najib dan UMNO memenangi lebih banyak kerusi tetapi lebih ghairah untuk memastikan diri sendiri terpilih sebagai calon pilihanraya.

Salah seorang pegawai Najib yang dilihat begitu ghairah untuk menjadi calon dan bergelar YB ialah Shafie Abdullah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju. Kerusi Parlimen Wangsa Maju sebelum ini ditandingi oleh calon dari MCA iaitu Yew Teong Look tetapi beliau telah kalah kepada calon PKR, Wee Choo Keong dengan 150 undi dalam pilihanraya 2008 lalu. Wee bagaimanapun kini mengisytiharkan dirinya sebagai Bebas.

Shafie memang diketahui sejak awal berhasrat merampas kerusi Wangsa Maju daripada kouta MCA. Ketika beliau bertanding sebagai Ketua Bahagian pada 2009, salah satu umpan kempennya ialah dengan meyakinkan UMNO cawangan-cawagan bahawa beliau ingin mengembalikan kerusi Wangsa Maju kepada UMNO melalui kedudukannya sebagai orang yang dekat dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Jika saya menang Ketua Bahagian, saya akan berbisik kepada Najib supaya kerusi Wangsa Maju ini dikembalikan kepada UMNO," begitulah lebih kurang ayat yang pernah dilafazkan oleh Shafie dalam mesyuarat AJK Bahagian ketika itu.

Selepas menang Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, keghairahannya bertambah laju apabila beliau kemudiannya berjaya "merampas" jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju pula daripada Yew Teong Look. Dengan kedudukan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN sekaligus, igauan untuk menjadi calon pilihanraya semakin terbayang di depan mata. Sejak itu hubungan UMNO dan MCA menjadi tegang malahan MCA sehingga hari ini masih memboikot mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh Shafie atas nama BN Wangsa Maju.

Tetapi semua itu tidak menghalang Shafie dariada terus mengidam untuk menjadi calon di Wangsa Maju meskipun beliau sedar bahawa tanpa sokongan MCA dan pengundi Cina, harapan untuk menang amat tipis sekali.

Tidak cukup setakat mesyuarat UMNO Bahagian Wangsa Maju memutuskan beliau sebagai penama tunggal yang dipersetujui untuk dijadikan calon dalam pilihanraya umum akan datang, Shafie nampaknya bergerak lebih "proaktif" dengan menyediakan memorandum untuk dihantar kepada Najib pula.

Memorandum kepada Najib itu mengandungi intipati yang antara lainnya berupa desakan agar Shafie dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya umum akan datang. Ini bererti meminta Najib agar menggantikan kerusi Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini ditandingi oleh calon MCA kepada calon UMNO. Semua ketua-ketua UMNO cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri telah diminta menandatangani memorandum yang telah disediakan oleh pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju itu.

Selain diminta menandatangani memorandum, ketua-ketua UMNO cawangan itu diberitahu bahawa satu pertemuan dengan Najib sedang diatur untuk mereka menyampaikan secara terus hasrat sebagaimana yang terkandung dalam memorandum tersebut.

Ini bemakna untuk mencapai hasratnya menjadi calon, Shafie bukan saja akan berbisik dengan Najib, memutuskan namanya dipilih melalui mesyuarat AJK Bahagian, menghantar memorandum tetapi juga sehingga sampai ke tahap membawa ketua-ketua cawangan bercakap secara terus dengan dengan Perdana Menteri. Hebat kan!!

Selain itu, untuk memastikan beliau beroleh kemenangan jika dipilih sebagai calon, Shafie juga melalui kedudukannya sebagai pegawai kepada Najib telah meminta kepada pihak-pihak tertentu agar kira-kira 3000 undi pos daripada kawasan Setiawangsa dipindahkan ke Wangsa Maju. Sebelum ini kawasan Parlimen Setiawangsa mempunyai hampir 13,000 undi pos.

Ternampak bahawa jika dipilih sebagai calon, Shafie hanya ingin menggunakan jalan pintas untuk mencapai kemenangan. Beliau nampaknya tidak mahu mengambil pendekatan berbaik-baik dengan MCA untuk mendapatkan undi kaum Cina walaupun diakui bahawa peratusan pengundi antara Melayu dan Cina hampir seimbang.

Dalam konteks yang lebih luas, tindakan tidak mahu berbaik dengan MCA ini bukan saja mencabuli dasar permuafakatan dalam BN tetapi juga merupakan "duri dalam daging" terhadap gagasan 1Malaysia yang sedang diperjuangkan oleh Najib. Bagaimana BN mahu berjaya dalam pilihanraya dan 1Malaysia mahu dicapai jika dasar itu dicabuli oleh mereka yang rapat dengan Najib sendiri semata-mata keghairahan yang terlampau untuk bergelar YB.

Lebih dari itu, dengan kedudukan UMNO yang masih tercungap-cungap untuk meraih sokongan rakyat dan Najib sendiri yang entah kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau tidak selepas ini, keghairahan yang ditunjukkan oleh pegawai Najib sendiri untuk menjadi calon dan bergelar YB, amatlah tidak wajar dan memalukan. Dengan pelbagai masalah yang melanda UMNO dan kerajaan serta kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui Bersih 3.0 baru-baru ini, jelas bahawa UMNO dan BN sedang melalui jalan penuh onak dan duri dan mungkin juga mengheretnya ke gaung kekalahan. Ditambah dengan keghairahan segelintir pegawai Najib ini, kekalahan UMNO dan BN mungkin lebih teruk daripada yang dijangka.

Sebagai pegawai kepada Najib, mereka sepatutnya lebih bekerja keras untuk membantu Najib dan memastikan kemenangan UMNO serta BN dalam pilihanraya akan datang daripada memikirkan soal nafsu syahwat peribadi. Tumpuan yang terlampau kepada agenda peribadi hanya akan membuatkan UMNO dan BN tersungkur akhirnya.

Apalah guna terpilih sebagai calon tetapi akhirnya kerajaan diambil alih oleh orang lain. (SH 02/05/2012).