Friday 30 March 2012

Mahathir Nyata Semakin Nyanyuk Dan Pelupa

Mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad baru-baru ini bersuara lagi dan melahirkan rasa kesalnya berikutan kurangnya golongan cerdik pandai Melayu yang menyertai UMNO, sebaliknya lebih cenderung memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Ia menurut beliau berikutan tindakan bahagian dan cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam UMNO.

"UMNO sudah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk UMNO, itu sebab kebanyakan doktor masuk PAS. Ia akhirnya menyukarkan UMNO mencari calon yang sesuai bagi menentukan kemenangan dalam pilihanraya," Mahathir dipetik sebagai bekata.

Daripada satu segi memanglah apa yang diutarakan oleh Mahathir itu ada kebenarannya kerana pemimpin bahagian dan cawangan berbuat demikian berikutan takut akan dicabar atau kehilangan kuasa. Bila hilang kuasa, maka hilangnya upaya untuk memonopoli pelbagai jenis projek dan kemewahan.

Perkara ini sudah berlaku sejak sekian lama. Lantaran itu UMNO hanya dikuasai oleh golongan berpendidikan rendah dan sederhana sahaja di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ini pula meluaskan lagi pengaruh mereka dengan meetakkan adik-beradik dan saudara mara dalam kepimpinan cawangan, isteri dan anak perempuan sebagai ketua wanita dan ketua puteri, sementara anak lelaki dijadikan ketua pemuda cawangan.

Akhirnya bertahun-tahunlah kuasa dalam cawangan itu menjadi warisan turun temurun. Apabila kepimpinan di peringkat cawangan sudah begitu keadaannya, maka di peringkat bahagian juga melahirkan bentuk kepimpinan yang sama. Sebahagian besar pemimpin UMNO bahagian naik sebagai pemimpin bukan kerana merit atau keupayaan tetapi lebih kerana keupayaan menguasai cawangan-cawangan daripada kelompok yang disebutkan tadi.

Setelah menjadi pemimpin dan berpeluang pula memegang pelbagai jawatan, meraih kuasa dan mengumpul kekayaan, sudah tentulah mereka ini tidak mahu golongan cerdik pandai menjadi ahli UMNO. Mereka bimbang nikmat dunia yang sementara itu terlepas dari genggaman.

Kejayaan Mahathir mempertahankan kuasa selama 22 tahun pun sebahagian besarnya adalah atas kejayaan memanipulasi keadaan ini. Sepanjang 22 tahun berkuasa Mahathir tidak pernah memberi galakan kepada gilongan cerik pandai ini untuk menyertai UMNO, yang penting baginya ialah kuasa kekal dalam tangan. Bagi Mahathir bukan cerdik pandai yang penting tetapi sejauh mana mereka itu menyokong dan mampu mempertahankannya. Peon atau tukang kebun sekali pun yang menjadi pemimpin UMNO bukan masalah bagi Mahathir, yang penting ke mana sokongan mereka. Kenapa hari ini, setelah UMNO hampir kalah dan makin ditolak, baru beliau menyedarinya?

Mahathir sepatutnya menghantukkan kepala ke dinding jika benar berasa kesal, bukan sekadar bersuara dan menceceh seolah-olah beliau tidak bersalah.

Bukankah Mahathir juga yang menyekat kakitangan kerajaan kumpulan A daripada bergiat aktif dalam UMNO suatu ketika dahulu. Untuk menyekat pengaruh Musa Hitam di awal tahun 80an ketika menjadi Menteri Pelajaran yang lebih disukai oleh kalangan guru-guru, Mahathir telah menyekat guru dan kakitangan kerajaan kumpulan A daripada bergiat aktif dalam UMNO atas alasan yang dijustifikasinya untuk kepentingan masyarakat tetapi sebenarnya untuk mengekalkan kuasa dan bimbang pengaruh Musa Hitam mengatasinya.

Tidaklah boleh Mahathir marah bilamana sekarang ini ramai doktor, jurutera, arkitek, pensyarah dan sebagainya tidak menyertai UMNO. Mereka bukan saja dihalang oleh pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian yang bimbang kuasa terlepas tetapi juga oleh peraturan yang dibuat oleh Mahathir sendiri untuk kepentingan mengekalkan kuasa.

Kurangnya minat golongan cerdik pandai ini terhadap UMNO bertambah lagi apabila melihatkan stail dan corak kepimpinan Mahathir selama 22 tahun yang agak rakus, tertutup dan "dia saja yang betul". Sudah tentulah cerdik pandai yang mempunyai ilmu dan pengetahun ini gagal mengaplikasikan kebolehan mereka dengan stail dan gaya Mahathir itu. Lalu, tidaklah menghairankan apabila mereka lebih memilih Pas misalnya, untuk mencurahkan bakat, ilmu dan pengetahuan yang dimiliki itu. Lebih-lebih lagi Pas begitu mengalu-alukan kehadiran mereka.

Berikutan dasar dan peraturan Mahathir itu juga, mereka yang berpendidikan rendah dan sederhana yang menguasai cawangan dan bahagian dan kemudian dijadikan ADUN, Ahli Parlimen, EXCO kerajaan negeri dan sebagainya itu mula pula berlagak pandai dalam serba-serbinya dan tidak mahu lagi menerima pandangan orang lain.

Memburukkan keadaan terdapat juga mereka yang sudah bergelar pemimpin ini membeli pula pelbagai sijil dan gelaran untuk menonjolkan diri mereka kelihatan "gah" dalam masyarakat. Berapa ramai kalangan pemimpin UMNO sekarang ini yang tiba-tiba sudah bergelar "Doktor" dalam sekelip mata.

Walaupun Mahathir kini seperti menjadi sifu kepada kepimpinan Najib dan cuba menunjukkan kepimpinannya selama 22 tahun sebagai era yang suci bersih dan cuba menolak semua kesalahan kepada pihak lain, hakikatnya semakin banyak beliau bersuara semakin terdedah banyak kesilapan dan kelemahannya. Malahan sesuai dengan peningkatan usianya, Mahathir juga semakin pelupa dan tidak menyedari bahawa kebanyakannya yang disuarakan sekarang hanya memercik kembali ke mukanya sahaja. (SH 30/03/2012).

Wednesday 28 March 2012

Corat-Coret Sepetang Bersama Tuan Guru Hadi Awang

Petang Selasa 27 Mac lalu, saya dan beberapa aktivis politik telah berkesempatan bertemu dan bertukar-tukar fikiran bersama dengan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Turut sama ialah Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar, Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Akhbarnya, Sdr Nassae.

Kumpulan aktivis politik yang hadir pula antaranya ialah Tamrin Tun Ghafar, Datuk Manan Othman, Datuk Mazlan Harun, Datuk Abdul Rahman Yunus, Soberi Shafie, Omar Ismail, dua bekas ahli UMNO yang kini menyertai DAP, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz dan Aspan Alias serta beberapa orang lagi. Kumpulan aktivis ini pada umumnya terdiri daripada ahli UMNO, ahli Pas, ahli DAP,golongan profesional dan mereka yang tidak berparti.

Perbincangan secara terbuka dan penuh mesra itu bukan saja mencakupi isu-isu semasa khususnya dalam suasana politik negara yang cenderung kepada perlunya perubahan politik tetapi juga menyentuh beberapa isu lain yang selama ini agak kabur dan tidak diperbincangkan secara terbuka.

Haji Hadi yang bergegas daripada Parlimen untuk pertemuan ini melayan kami semua dengan baik dan mesra, menjawab semua pertanyaan dengan ikhlas dan terbuka serta tidak meletakkan perbezaan ideologi politik sebagai garis pemisah untuk menjalinkan ukhwah dan persaudaraan.

Selain menghuraikan perjalanan politik Pas dari dulu hingga sekarang yang mencakupi pelbagai susur galur serta pelbagai gelora turun naik yang sudah diharungi sejak daripada zaman Datuk Asri, ketika bersama Angkatan Perpaduan Ummah, percubaan mewujudkan kerajaan perpaduan ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan juga perkembangan terkini bersama Pakatan Rakyat.

Dengan meyakinksn bahawa politik ini adalah suatu amanah yang mesti dijaga dengan baik dan mengambil kira komposisi kaum di negara ini, Haji Hadi menegaskan bahawa Pas dalam apa juga keadaan akan tetap berpegang kepada menjamin kedudukan Melayu dan Islam dalam perjuangan politiknya.

Menurut beliau, perkara itu juga merupakan perkara yang diterima dalam Pakatan Rakyat di mana semua pihak pada hakikatnya menerima realiti politik itu, sambil memberi contoh tentang kesediaan kaum dan parti lain memberikan jawatan Menteri Besar Perak kepada calon Melayu daripada Pas pada tahun 2008 dulu sebagai buktinya sedangkan Pas hanya memenangi enam kerusi DUN saja.

"Kita akan terus berjuang untuk memperkasa Melayu dan Islam selepas piliharaya umum akan datang ini kerana itulah teras politik negara," tegas beliau.

Penegasan ini dengan sendirinya mematikan tohmahan UMNO dan BN selama ini bahawa Pas adalah tunggangan DAP dan seringkali tunduk kepada tuntutan bukan Melayu dalam pelbagai aspek.

Haji Hadi juga menjelaskan dengan panjang lebar tentang persefahaman politik Melayu dan bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat, isu pengundi muda, pengundi hantu, isu Felda, peranan media, negara berkebajikan, hukum hudud, politik semasa di Kedah dan Selangor termasuk isu pemecatan Dr Hassan Ali, pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat, isu berkenaan Najib dan banyak lagi aspek turut menjadi topik perbincangan.

Berkenaan gaya politik Najib, Haji Hadi berkata, keghairahan Najib untuk mengekalkan kuasa dan menawan negeri-negeri tertentu sebenarnya hanya didorong oleh kekayaan negeri tersebut dan bukannya untuk memperkasakan kedudukan Melayu.

Menurut beliau, Selangor menjadi idaman Najib adalah kerana harta dan kekayaannya, bukan untuk menolong orang-orang Melayu yang menjadi penduduk negeri itu.

Dalam isu yang berkaitan, kata beliau, UMNO juga hanya menambah jumlah pengundi di kawasan yang mereka boleh menang sahaja dan mengetepikan sama sekali aspek untuk menguatkan kedudukan Melayu dan Islam di sesuatu kawasan itu.

"Tidak ada usaha bersungguh daripada UMNO untuk menambah jumlah pengundi di Kelantan dan Terengganu yang semuanya Melayu tetapi menambah dengan banyak pengundi di Selangor dan Pahang" tambah beliau lagi.

Banyak lagi penjelasan-penjelasan menarik yang dituturkan oleh Hadi Hadi dalam pertemuan ini sebenarnya tetapi sudah tentulah tidak semuanya dapat dikongsi bersama. Namun daripada kerendahan budi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Haji Hadi, banyak persefahaman sudah berjaya termetrai di hati dan keyakinan antara satu sama lain.

Dan hakikat yang tidak boleh ditolak ialah adanya titik pertemuan, persefahaman dan keyakinan bahawa hanya dengan perubahan dalam PRU 13 ini sahaja yang mampu menyelamatkan negara ini dapat diwarisi dengan makmur dan sejahtera untuk generasi seterusnya. (SH 28/03/2012)

Monday 26 March 2012

Menunggu Rasuah Pusingan Kedua Daripada Najib

Ketika melawat Negeri Sembilan Sabtu lalu, Najib memberitahu bahawa beliau akan mengumumkan lebih banyak bantuan kepada rakyat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut beliau, bantuan itu adalah antara idea baru yang difikirkan oleh kerajaan sebagai menunjukkan keprihatinan terhadap aspek kebajikan rakyat.

Melihat kepada pengumuman itu di ketika negara sedang menunggu detik pilihanraya, hakikat yang jelas tergambar di pandangan umum ialah Najib kini sedang merangka untuk memberikan rasuah politik pusingan kedua kepada rakyat. Ini juga menandakan tarikh pilihanraya umum sudah terlalu hampir.

Rasuah politik pusingan pertama sudah pun berjalan sejak akhir tahun lalu iaitu BR1M berjumlah RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah, bantuan RM100 untuk murid-murid sekolah dan RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar-pelajar universiti.

Rasuah politik pusingan kedua sebagaimana yang diumumkan Najib itu mungkin lebih besar jumlahnya dan mencakupi pelbagai perkara lagi. Ia tentulah sesuai dengan hasrat untuk memenangi pilihanraya dengan cemerlang sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Najib sendiri.

Pemberian saguhati kepada rakyat dalam bentuk wang tunai adalah sesuatu yang baru dalam politik Malaysia. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengamalkan cara itu tetapi Najib telah memulakannya. Pemberian itu pula tidak diberi di tahun-tahun sebelum ini tetapi hanya diberi pada tahun ini kerana pilihanraya sudah hampir tiba. Selain itu, pemberian semua bantuan ini juga tidak dijadikan dasar tahunan kepada rakyat. Ia hanya diberi tahun ini, tahun depan belum pasti lagi. Maka, tidak hairanlah segala pemberian itu dianggap sebagai rasuah politik yang dilakukan Najib semata-mata untuk memenangi pilihanraya.

Najib sebenarnya tidak boleh marah atau berkecil hati kalau ada yang menuduh segala pemberian itu hanya rasuah politik sahaja. Ini kerana ia sangat jelas dan tidak dapat dinafikan hanya diberikan untuk kepentingan politik UMNO dan BN sahaja.

Dalam hal ini, benarlah kata Datuk Ariff Sabri, bekas ADUN Pulau Manis, Pekan, Pahang yang kini sudah menyertai DAP, bahawa semua pemberian wang saguhati yang diperkenalkan Najib itu suatu rasuah politik untuk kepentingan UNNO dan BN. Ini kerana semua wang yang digunakan itu adalah wang rakyat tetapi Najib memberinya seolah-olah ianya milik UMNO dan BN.

Kata Ariff Sabri lagi dalam blognya Sakmongkol AK47, jika benar Najib ikhlas ingin menolong rakyat yang kini terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat melalui saguhati RM500, pemberian itu sepatutnya diuruskan melalui Pejabat Daerah seluruh negara dan bukannya melalui wakil-wakil rakyat BN sahaja.

Begitu juga dalam kes pemberian bantuan RM100 dan RM200 kepada murid sekolah dan pelajar universiti, ia sepatutnya hanya diuruskan oleh pihak sekolah atau universiti sahaja. Tetapi dalam bantuan itu, bukan sahaja ibu bapa turut di panggil menerimanya tetapi juga wakil-wakil rakyat BN telah mengambil kesempatan menyampaikannya kepada ibu bapa dan murid-murid sekolah. Di banyak kawasan, wakil rakyat BN diberi peluang berucap dan berkempen sebelum majlis penyerahan dilakukan.

Terdapat seorang Ahli Perlimen di Perak yang meminta semua sekolah di kawasannya menyusun jadual pemberian bantuan itu mengikut kesesuaian masanya kerana beliau beliau mahu hadir sendiri menyampaikan kepada kesemua sekolah di dalam kawasan Parlimennya itu.

Kalau sudah begitu, bukankah bantuan itu rasuah politik namanya?

Pengumuman Najib untuk memberikan lebih banyak bantuan kepada rakyat tentulah berdasarkan keyakinannya bahawa rasuah yang diberikannya sebelum ini telah berjaya menggembirakan hati rakyat dan menyebabkan mereka mula kembali menyokong UMNO dan BN. Maka, sudah tentu pemberian di pusingan kedua ini lebih besar jumlahnya dan meliputi pelbagai kelompok dalam masyarakat kerana yang dihajati ialah sokongan yang lebih besar daripada rakyat.

Rakyat sebelum ini agak kecewa dengan Najib kerana memotong banyak sudsidi untuk rakyat miskin seperti subsidi minyak dan gula sehingga menyebabkan banyak barang-barang keperluan meningkat harganya. Dalam dua tahun pertama pentadbirannya juga Najib enggan memberi bonus kepada kakitangan kerajaan. Di ketika yang sama, Najib, Rosmah dan keluarganya terus bergaya mewah dan mempamerkan gaya hidup menjolok mata yang bertentangan sama sekali dengan rakyat yang sedang derita kesusahan.

Lantaran itu, di tahun pertama dan kedua beliau menjadi Perdana Menteri, sokongan rakyat terus menurun kepada UMNO dan kerajaan. Hanya di tahun ketiga dan menjelang pilihanraya, Najib bertidak mengekalkan subsidi, memberi banyak saguhati kepada rakyat dan bonus kakitangan awam juga dikembalikan.

Ternampak jelas bahawa tujuannya tidak lain hanyalah untuk memenangi pilihanraya. Setelah rasuah politik pusingan pertama diyakini mula menampakkan hasil dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya, Najib kini mahu memberi lagi rasuah politiknya.

Dalam hal ini, Najib sebagai anak seorang bekas Perdana Menteri yang tidak pernah merasakan kesusahan dan derita rakyat hanya tahu bahawa sokongan rakyat boleh diperolehi dengan memberi mereka wang, terutamanya golongan miskin. Inilah yang sedang diamalkan Najib melalui pemberian RM500,RM200 dan RM100 sebelum ini.

Najib nampaknya tidak mampu memerah idea lebih daripada itu untuk membuatkan rakyat gembira dan kembali menyokong UMNO dan BN. Memetik kata-kata Ariff Sabri yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Pekan, Najib sebenarnya hanya tahu membayar wang untuk mendapatkan sokongan.

Menurut beliau, dalam sejarah politik Najib, semua sokongan yang diperolehinya adalah melalui pemberian wang sama ada dalam pendakian memenangi jawatan dalam UMNO mahupun untuk memenangi pilihanraya kerusi Parlimen Pekan.

Oleh kerana sudah terbiasa memberi wang dan memperolehi sokongan melalui pembayaran wang tunai, kepada rakyat biasa pun Najib mahu menggunakan pendekatan yang sama. Ini kerana Najib tentunya beranggapan bahawa semua orang boleh ditundukkan dengan wang.

Pendekatan politik Najib yang gemar memberi wang tunai untuk mendapatkan sokongan sebenarnya adalah perbuatan yang tidak baik dari segi pembinaan sahsiah bangsa yang bermaruah. Dengan memberi wang kepada murid sekolah dan pelajar universiti, Najib seperti sudah mahu menerapkan budaya rasuah kepada rakyat sejak mereka kecil lagi sedangkan kanak-kanak sudah pun diajar untuk menjauhi amalan itu sama ada oleh ibu bapa di rumah atau guru-guru sejak di sekolah rendah lagi.

Seharusnya Najib memperkenalkan dasar yang lebih bermaruah seperti menghapuskan beberapa bayaran kepada rakyat, murid sekolah dan pelajar universiti jika ingin membuat kebajikan kepada rakyat. Memberi rakyat RM500 tetapi memotong subsidi, mengenakan pelbagai bentuk cukai, menaikkan tarif letrik dan sebagainya sebenarnya tidak membawa apa-apa perubahan hidup kepada rakyat. Lebih-lebih lagi jika selepas diberi RM500, rakyat juga turut dikenakan cukai pendapatan oleh LHDN.

Begitu juga daripada memberi RM200 dan RM100 kepada pelajar universiti dan murid sekolah, adalah lebih baik wang tersebut terus disalurkan kepada sekolah dan universiti dan kemudian terus ditolak pelbagai bayaran atau yuran untuk pelajar yang dikenakan sekolah dan universiti. Jika ada berlebih, wang yang sama boleh digunakan untuk pelbagai program lainnya seperti kelas tambahan, keceriaan sekolah dan sebagainya.

Dengan mengamalkan pendekatan rasuah politik ini, Najib bukan saja menyerlahkan dirinya yang sebenar yang suka menyogok untuk mendapatkan sokongan tetapi juga menggambarkan kelemahan dirinya sebagai pemimpin untuk masa depan bangsa dan negara.

Rakyat dan negara tentunya lebih memerlukan pemimpin yang berani merangka dasar jangka panjang untuk kepentingan rakyat seperti keberanian untuk menurunkan harga minyak, mengekalkan subsidi untuk rakyat miskin, memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN yang tentunya lebih bermanfaat dalam jangka panjang berbanding pemimpin yang hanya tahu memberi wang tunai RM500, RM200 dan RM100 yang boleh dihabiskan dalam waktu yang yang singkat. (SH 26/03/2012).

Saturday 24 March 2012

Selepas Kadir Keluar UMNO, Ku Li Buat Pengumuman Penting 8hb April Ini

Selepas bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir mengisytiharkan keluar daripada UMNO, masa depan politik Ku Li turut menjadi bualan rakyat. Ini kerana selain mereka berdua berada dalam NGO yang sama iaitu Amanah Merdeka di mana Ku Li adalah Presidennya dan Kadir pula Timbalan Presiden, kedua-duanya juga dilihat agak kritikal terhadap UMNO kebelakangan ini.

Sementara Kadir lantang mengkritik soal kepimpinan UMNO yang rasuah dan tidak boleh dikritik, Ku Li pula kritikal terhadap beberapa perkara dasar yang dilakukan pentadbiran Najib. Selain menggerakkan Amanah Merdeka untuk menentang rasuah, kronisme dan nepotime, Ku Li juga menyokong perjuangan menuntut hak royalti minyak untuk rakyat Kelantan serta menentang penyenaraian Felda Global Venture ke Bursa Malaysia yang dianggap akan merugikan peneroka dalam jangka panjang.

Pendirian Ku Li yang tidak sealiran dengan kepimpinan Najib menyebabkan banyak pihak meramalkan bahawa beliau juga akan bertindak meninggalkan UMNO dan menjadikan Amanah Merdeka sebagai sebuah parti politik untuk menyertai Pakatan Rakyat menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.

Kedudukan Ku Li bersama UMNO tambah menjadi persoalan apabila terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO Gua Musang yang cuba menolak beliau sebagai calon dalam pilihanraya akan datang. Kumpulan 16 yang cuba menyingkirkan Ku Li itu sudah mengeluarkan beberapa kenyataan dalam media dan ini menjadikan kedudukan Ku Li semakin rapat dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sekiranya beliau diketepikan oleh UMNO.

Ku Li sendiri lebih banyak berdiam diri dan seringkali mengelak daripada menjadi sasaran lampu sorot media. Amanah Merdeka yang dilancarkannya pertengahan tahun lalu juga tidak begitu menonjol sebagaimana NGO-NGO lain yang diketuai oleh tokoh politik yang sering saja muncul menonjolkan diri di dada-dada media memberi pelbagai pandangan tentang perkembangan semasa politik negara.

Amanah Merdeka sejak ditubuh, dilancar dan diluluskan pendaftarannya lebih memilih pendekatan berdiam diri. Namun Ku Li dalam waktu yang sama kerap pula bercakap dan dijemput memberi ucapan di pelbagai program atas kapasiti peribadi sebagai veteran UMNO dan bekas Menteri Kewangan yang banyak pengalaman. Dan sering pula ucapan atau pandangan beliau itu kelihatan kritikal, berbeza dan tidak selari dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan Najib.

Maka tidak hairan soal masa depan Ku Li dan Amanah Merdeka yang dipimpinnya terus menjadi bualan dan perhatian. Selepas Kadir keluar UMNO, nama Ku Li sekali lagi dikaitkan sama.

Setelah lama menyepikan diri sejak ditubuhkan, Amanah Merdeka buat pertama kalinya akan mengadakan Hari Keluarganya yang dianjurkan oleh Amanah Merdeka Selangor pada 8hb April depan di Tanamera, Batu 20 Jalan Kuala Selangor, iaitu berhadapan Penjara Sungai Buluh.

Semua pimpinan Tertinggi Amanah Merdeka yang diketuai oleh Ku Li akan menghadiri Hari Keluarga tersebut bersama-sama dengan ahli-ahli Amanah Merdeka Selangor dan juga dari seluruh negara.

Memandangkan ini adalah program pertama Amanah Merdeka sejak dilancarkan penubuhannya oleh Ku Li dan persoalan mengenai masa depan Ku Li sendiri menjadi bualan, tidak mustahil dalam perjumpaan dengan ahli-ahli di Hari Keluarga itu nanti Ku Li yang dijadual akan berucap merasmikannya akan turut merungkai persoalan yang bukan saja bermain di kepada rakyat tetapi juga di kalangan ahli Amanah Merdeka sendiri.

Meskipun pelbagai acara sudah diatur untuk memeriahkan Hari Keluarga itu tetapi persoalan mengenai masa depan Amanah Merdeka dan pendirian Ku Li sendiri dilihat akan menjadi keutamaan mereka yang hadir di Hari Keluarga itu nanti. Tidak mustahil juga kiranya terdapat permintaan atau pertanyaan yang ditujukan oleh ahli-ahli Amanah Mereka berkaitan pendirian Ku Li berkenaan soal politik semasa pada hari tersebut nanti.

Apa pun, dengan suhu politik yang semakin panas hari demi hari dan tarikh pilihanraya menjadi penantian kepada ramai orang, Hari Keluarga Amanah Merdeka pada 8hb April ini jika muncul sesuatu perkhabaran yang mengejutkan dari mulut Ku Li sendiri, ia pastinya menjadi bualan yang berpanjangan bukan saja sehingga pilihanraya tetapi juga mungkin mempengaruhi keputusan pada pilihanraya umum nanti.

Sama-samalah kita tunggu dan saksikan apa yang bakal terjadi pada 8hb April nanti. (SH 24/03/2012)

Thursday 22 March 2012

Jika Najib Membisu, Wanita UMNO Cadang EGM Singkir Shahrizat?

Esok, Jumaat 23 Mac, Najib akan mengadakan perjumpaan dengan jentera Wanita UMNO seluruh negara dalam rangka persiapan menghadapi pilihanraya. Dikhabarkan seramai 7 ribu anggota Wanita UMNO akan berkumpul di PWTC bagi mendengar taklimat dan amanat daripada Presiden UMNO itu. Perjumpaan ini dikira penting bukan sahaja dalam konteks piihanraya tetapi juga berikutan kedudukan Shahrizat yang dipalitkan dengan isu lembu NFC milik keluarganya.

Tetapi hari ini, sehari sebelum perjumpaan penting itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Kamilia Ibrahim telah bangun bersuara meminta Shahrizat agar segera berundur sebagai Ketua Wanita UMNO atas alasan itulah kehendak Wanita UMNO peringkat akar umbi.

Shahrizat sebelum ini sudah pun mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bermula 8hb April depan. Nampaknya bagi Kamilia dan wanita akar umbi, perletakan jawatan sebagai menteri sahaja tidak memadai bagi Shahrizat, beliau sepatutnya harus berundur secara total untuk menjadikan Wanita UMNO benar-benar kelihatan bersih.

Jika ditinjau pandangan rakyat dan kalangan dalam UMNO sendiri, sebenarnya itulah juga pandangan mereka. Shahrizat dan keluarganya dilihat telah mencemarkan nama baik UMNO dan kerajaan dengan isu lembu NFCnya yang didakwa dengan pelbagai salah laku, maka hanya dengan mengundurkan diri daripada parti dan kerajaan saja yang mampu memberi imej lebih baik kepada parti dan kerajaan. Jika masih sebagai duduk dalam parti, beliau tidak mungkin lagi mampu membawa keuntungan kepada parti dan kerajaan.

Sudah sampai masanya Shahrizat sedia berkorban dan mengundur diri daripada parti dan juga kerajaan. Adalah hakikat yang nyata sebagaimana kata Kamilia, Wanita UMNO bukan sahaja dipanggil lembu tetapi juga tidak mungkin berupaya berhadapan dengan rakyat selagi Shahrizat masih menjadi Ketua Wanita UMNO.

Selagi Shahrizat tidak berundur daripada jawatan politiknya, bukan sahaja beliau tidak mampu berhadapan dengan rakyat tetapi ia juga boleh menyebabkan jentera Wanita menjadi lesu dan kaku kerana mereka bagaikan sudah tiada wibawa lagi untuk bercakap soal kebaikan, ketelusan, rasuah, penyelewengan dan sebagainya dengan rakyat. Lebih dari itu, Wanita UMNO akan dipersendakan oleh rakyat. Akhirnya jentera Wanita akan lumpuh dan tidak bermaya.

Hanya dengan Shahrizat berundur saja, imej Wanita UMNO dapat dipulihkan dan mereka mampu melangkah gagah menghadapi cabaran kempen pilihanraya umum nanti.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO seperti Mahathir, Rafidah Aziz,Syed Ali Alhabshe dan Bung Mokhtar Radin sudah pun menyuarakan perkara yang sama. Tindakan Kamilia berbuat perkara yang sama menjelang perjumpaan Wanita UMNO dengan Najib, Jumaat ini dijangka akan mencetuskan gelora baru dalam Wanita UMNO.

Gelora yang diharapkan akan membawa kebaikan dan mampu memulihkan imej UMNO di mata rakyat.

Beberapa Exco Wanita UMNO juga sudah pun bercakap dengan nada yang sama dengan Kamilia. Keutamaan mereka ialah untuk memenangi piliharaya dan selagi Shahrizat yang dilihat tidak lagi bersih imejnya masih duduk di situ, harapan untuk memenangi piliharaya amatlah tipis. Atas kepentingan untuk menang piliharaya, jumlah yang akan bersama Kamilia pasti akan bertambah dengan cepat.

Daripada maklumat yang diperolehi juga, kumpulan yang menyokong Kamilia yang terdiri daripada EXCO dan pimpinan Wanita Bahagian-bahagian seluruh negara akan turut berusaha menyampaikan hasrat mereka kepada Najib agar dapat meminta Shahrizat berundur secara baik sebelum gendang piliharaya mahu dipalu.

Mereka akan berusaha meyakinkan Najib bahawa jentera Wanita UMNO tidak akan mampu berkempen sekuat yang diharapkan jika masih disaluti dengan persepsi buruk skandal lembu NFC itu. Andainya kempen tidak dapat dijalankan degan baik, harapan Najib, UMNO dan BN untuk menang piliharaya ini hampir tidak ada.

Pilihan lain yang akan diambil ialah mendesak Wanita UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas atau EGM sekiranya Najib hanya diam membisu dan gagal memujuk Shahrizat berundur atau pun jika Shahrizat terus berkeras mahu bergayut dengan jawatannya sekarang. Kalangan Exco Wanita yang mahukan EGM ini sudah pun mula bergerak dan dijangka pengaruh mereka akan bertambah dengan mendadak berasaskan kepentingan untuk memenangi piliharaya.

Selain itu, gerakan ke negeri-negeri, bahagian dan cawangan turut akan digerakkan untuk memastikan hasrat mengadakan EGM dan menggulingkan Shahrizat menjadi kenyataan. Jika EGM berjaya diadakan, harapan Shahrizat untuk mempertahankan jawatannya amatlah tipis, selain beliau akan dijatuhkan dengan cara yang cukup memalukan.

Semuanya kini bergantung kepada Najib dan Shahrizat, sama ada Najib mampu menunjukkan ketegasan dan Shahrizat pula bersedia mempamerkan jiwa sedia berkorbannya atau Wanita akar undi akan mengajar boss mereka melalui EGM. (SH 22/03/2012).

Wednesday 21 March 2012

Najib Perlu Fahami Maksud Tersirat Daim

Sejak akhir-akhir ini, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dilihat begitu galak mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai UMNO dan kepimpinan Najib. Satu demi satu kenyataannya yang pedas, tajam dan sensasi dihidangkan untuk tatapan umum setelah agak lama menjadi "Daim yang diam" serta menyepikan diri dari khalayak ramai.

Daim yang pernah menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali di zaman Mahathir dan dianggap "arkitek ekonomi" yang banyak membantu Mahathir menangani pelbagai kemelut serta masalah ekonomi negara sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Sebelum piliharaya 2008 beliau telah meramalkan BN akan tumbang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Setelah ramalannya itu menjadi kenyataan, cakap beliau yang selama ini hanya diakui dari segi ekonomi sahaja turut melebar kepada dunia politik pula.

Daim mula dianggap sebagai tokoh yang ada merit untuk bercakap soal politik. Teori dan ramalannya mengenai politik sering ditunggu dan dijadikan pedoman.

Baru-baru ini dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina, Daim mengatakan Najib akan digulingkan oleh UMNO sendiri sekiranya gagal mencapai keputusan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.

Beliau juga menegur Najib yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekaligus. Daim meyifatkan amalan itu sesuatu yang tidak baik kerana jika Menteri Kewangan melakukan kesilapan, tidak ada sesiapa yang lebih tinggi kedudukannya yang boleh menegurnya. Katanya lagi, Mahathir dulu memegang dua jawatan itu serentak kerana ketika itu berlakunya krisis ekonomi.

Terbaru ini dalam wawancara dengan akhbar Cina juga, Daim bersuara lagi dengan menyatakan bahawa UMNO dan BN hanya selesa untuk menang di tiga negeri sahaja iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Dalam nada yang lebih kritikal, Daim juga menyifatkan kepimpinan Najib sekarang dan dalam persiapan menghadapi pilihanraya umum ibarat "jeneral tanpa askar".

Jika dilihat kepada kemelut dan pelbagai isu yang melanda kepimpinan Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan UMNO dan kerajaan, kenyataan Daim ini merupakan tamparan terbaru buat Najib dan mengesahkan penolakan rakyat yang semakin nyata terhadap UMNO dan BN. Arus penolakan rakyat yang berpunca daripada kelemahan Najib kini diakui oleh Daim sendiri yang pernah menjadi pemimpin kanan UMNO.

Daripada isu peribadi, keluarga, anak-anak, kepimpinan yang lemah, urus tadbir kerajaan yang longgar sehingga wujudnya pelbagai skandal yang gagal ditangani dengan baik dan pelbagai isu lainnya, semunya itu dilihat oleh banyak pihak sudah terlalu hampir menjerumuskan Najib ke gaung kekalahan.

Kenyataan dan kritikan Daim sejak akhir-akhir ini hanya mengesahkan lagi bahawa Najib memang seorang pemimpin yang gagal dan akan digulingkan selepas pilihanraya ini. Daim seperti ingin memberi peringatan kepada Najib bahawa selain mungkin ditumbangkan oleh rakyat melalui pilihanraya, beliau juga akan disingkirkan melalui pemilihan UMNO yang dijangka akan diadakan selepas itu.

Dengan menekankan bahawa hanya tiga negeri yang selamat bagi UMNO dan BN, Daim sebenarnya ingin memberi amaran kepada Najib bahawa usahkan hendak mencapai kemenangan dua pertiga dan merampas negeri-negeri yang sedang dikuasai Pakatan Rakyat sebagaimana yang sering diucapkan oleh Najib, hakikat sebenarnya untuk mencapai kemenangan tipis pun masih sukar lagi.

Dengan kata lain, jika difahami maksud tersirat kenyataan Daim itu ia juga bermakna bahawa Najib bukanlah sosok yang sesuai untuk memimpin UMNO dan kerajaan dan ia sewajarnya digantikan oleh tokoh lain. Jika tak mahu diundurkan oleh rakyat melalui pilihanraya atau atau digulingkan oleh perwakilan UMNO dalam pemilihan selepas itu, eloklah berundur dengan baik.

Cumanya Daim belum mahu berterus-terang dan bercakap secara terbuka tetapi itulah maksud tersirat yang mudah difahami daripada kekerapan Daim bersuara sejak kebelakangan ini. Dan daripada kekerapan Daim bersuara itu jelas bermaksud bahawa beliau mahukan Najib segera memahami apa yang cuba disampaikannya. (SH 21/03/2012).

Monday 19 March 2012

Petunjuk Daripada Keluarnya Kadir Daripada UMNO

Tindakan terbaru bekas Menteri Penerangan Kadir Sheikh Fadzir yang memutuskan keluar daripada UMNO di saat parti itu sedang bergelut untuk menentukan hidup matinya dalam perjuangan politik menjelang PRU 13 ini, ternyata menambahkan lagi kesukarannya mengumpul sokongan rakyat. Meskipun Kadir hanya seorang bekas menteri yang mungkin mempunyai pengaruh yang minima tetapi ia boleh memberi kesan yang besar dari segi persepsi rakyat terhadap UMNO.

Tambahan pula Kadir mempunyai keluarga yang besar dan beberapa orang saudaranya masih memegang jawatan penting dalam UMNO di beberapa negeri seperti Aziz Sheikh Fadzir, Musa Sheikh Fadzir, Harun Faudzar dan beberapa orang lagi. Saudara dekat, kenalan rapat, kawan-kawan dan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan Kadir tentulah lebih besar jumlahnya lagi.

Dari segi persepsi rakyat pula, tindakan Kadir keluar daripada UMNO sedikit-sebanyak memberi kesan yang tidak baik dan boleh menjejaskan sokongan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya ini.

Kadir memutuskan untuk keluar UMNO selepas beliau mengkritik perjalanan parti yang dipimpin oleh Najib yang dirasakannya tidak betul dan sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal dahulu. Ia termasuk dakwaan bahawa UMNO membeli undi untuk menang pilihanraya. Oleh kerana kritikannya dipandang sepi, malah beliau ditohmah pula dengan pelbagai tuduhan dan Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung UMNO turut mencabarnya untuk meninggalkan UMNO, maka Kadir telah menunjukkan sifat jantannya dalam hal ini.

Dengan keputusan Kadir ini, UMNO akan terus dilihat sebagai parti untuk orang-orang yang ada kepentingan sahaja sedangkan nilai perjuangan dan pembelaaan kepada agama, bangsa dan negara sebagaimana yang menjadi teras perjuangannya, dilihat semakin terhakis dan tidak diyakini.

UMNO juga tidak lagi bersikap terbuka terhadap teguran dan kritikan. Sementara Najib dan Muhyiddin hanya sekadar berdiam diri terhadap segala kritikan Kadir itu, Tengku Adnan juga tidak mampu menjawabnya dengan fakta serta hujahan konkrit, sebaliknya menyerang balas dengan mencabar Kadir keluar UMNO.

Bagi yang tiada kepentingan lagi, mereka cuba menegur tetapi teguran itu seringkali disalahanggap oleh pucuk pimpinan UMNO yang hanya suka diampu, dipuji, dikipas sehingga ke pintu kereta dan sebagainya. Lantaran itu, dalam UMNO orang yang menegur seringkali dianggap sebagai musuh.

Jika diimbas sejarah masa lalu UMNO yang menyaksikan terciptanya sejarah hitam bekas-bekas Presiden dan pemimpin lainnya, tindakan yang dilakukan Kadir ini tidaklah begitu menghairankan. Daripada tujuh Presiden UMNO sehingga ini, tiga daripadanya iaitu Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn telah meninggal dunia di luar UMNO.

Pengasas UMNO, Datuk Onn telah keluar UMNO kerana berselisih pendapat berikutan hasratnya untuk membuka pintu UMNO kepada kaum-kaum lain ditentang hebat oleh pimpinan lain. Beliau kemudian menubuhkan Parti Negara dan kekal di luar UMNO sehingga ke akhir hayat.

Presiden UMNO kedua dan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ketika pemerintahan Mahathir beliau menjadi pengkritik kepada beberapa dasar pentadbiran ketika itu. Apabila Mahathir menubuhkan UMNO Baru, Tunku adalah antara penentangnya dan beliau berkeras bahawa UMNO yang diisytiharkan haram itu perlu dihidupkan semula.

Perbalahan Tunku dengan Mahathir mempunyai episod turun naiknya dan beberapa percubaan menemukan kedua pemimpin itu juga turut dilakukan, namun Tunku tetap berkeras tidak mahu menerima UMNO yang ditubuhkan oleh Mahathir dan beliau akhirnya meninggal di luar UMNO, walaupun di hujung usia hubungannya dengan Mahathir agak pulih.

Presiden UMNO keempat dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn juga meninggal dunia di luar UMNO kerana tidak bersetuju dengan Mahathir dan penubuhan UMNO Baru. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein adalah penyokong Tengku Razaleigh ketika beliau berlawan dengan Mahathir pada 1987 dan dalam percubaannya menghidupkan semula UMNO yang telah diharamkan. Ketika itu Mahathir menubuhkan UMNO Baru sementara Ku Li yang disokong kuat oleh Tunku dan Tun Hussein cuba menghidupkan UMNO yang telah diharamkan melalui penubuhan UMNO Malaysia.

Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pula keluar daripada UMNO kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Pak Lah, orang yang dipilihnya untuk menggantikan tempatnya. Beliau bagaimanapun menyertainya semula apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Nasib baiklah usia Mahathir masih panjang dan Pak Lah pula tidak lama sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, jika tidak, mungkin beliau juga menuruti langkah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein itu.

Di era Najib ini, sikap Mahathir agar turun naik dan berubah-ubah. Kadang-kadang menyokong dan kerapkali pula mengkritik. Jika umur Mahathir terus panjang, sukar untuk dijangka sikapnya dan ditelah sama ada beliau akhirnya meninggal dunia di dalam atau di luar UMNO.

Tun Razak bernasib baik kerana meninggal dunia sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Sehingga ini hanya Pak Lah yang belum menunjukkan reaksi sebagai bekas Presiden UMNO yang masih hidup tetapi mampu bersikap reda serta akur terhadap apa juga yang dilakukan oleh penggantinya.

Hampir semua bekas Presiden UMNO ini bersikap mengkritk pengganti mereka dan UMNO kerana merasakan ia tidak sama seperti ianya dipimpin oleh mereka dahulu. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein mengkritik Mahathir kerana merasakan ada yang tidak betul dalam UMNO yag dipimpin oleh Mahathir. Begitu juga Mahathir mengkritik penggantinya kerana merasakan UMNO yang dipimpin oleh Pak Lah tidak sama dengan UMNO yang dipimpinnya.

Daripada semua bekas Presiden UMNO ini, Mahathir yang paling maju kerana telah dua kali keluar dan masuk UMNO. Kali pertama Mahathir dipecat kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman dan kali keduanya kerana tidak bersetuju dengan Pak Lah.

Beberapa bekas pemimpin seperti Ku Li, Musa Hitam, Rais Yatim, Shahrir Samad dan beberapa yang lain juga pernah sama ada tidak dibenarkan menyertai UMNO atau berpatah arang dengan UMNO. Semuanya bermula dengan mengkritik pemimpin, terutamanya Mahathir. Mereka hanya menyertai semula UMNO apabila Mahathir sedia berlembut dan membenarkan mereka kembali.

Dan tindakan Kadir keluar UMNO sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan, walaupun mungkin ia mampu memberi kesan yang tidak baik kepada UMNO itu sendiri.

Kepada rakyat yang mahu berfikir, khususnya generasi muda dan mereka yang berfikiran terbuka, tindakan terbaru yang dilakukan Kadir dengan keluar UMNO sambil menyelak sejarah silam UMNO yang menyaksikan begitu ramai bekas pemimpinnya yang pernah keluar dan tidak bersetuju dengan UMNO, bahkan seramai tiga orang beias Presidennya yang meninggal dunia di luar UMNO seperti memberi petunjuk bahawa banyak perkara yang tidak betul sedang berlaku dalam parti itu. (SH 19/03/2012).

Saturday 17 March 2012

Beranikah Muhyiddin Mencabar Najib?

Apabila Tun Daim menyatakan bahawa Najib akan digulingkan oleh UMNO apabila gagal mendapat keputusan dua pertiga dalam pilihanraya ini, serta-merta nama Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri sekarang menjadi sebutan sebagai calon yang akan menggantikan Najib.

Kalau dalam kes Pak Lah dulu, Muhyiddin yang mula-mula berani bersuara mendesak Pak Lah agar menyegerakan peralihan kuasa, siapakah pula kali ini yang berani mendesak Najib supaya berundur pula?

Tidak manis andainya Muhyiddin bersuara secara terbuka meminta Najib berundur memandangkan kedudukanya sebagai orang nombor dua dan pengganti utama tetapi untuk meneruskan langkah beraninya, beliau masih boleh meminta Najib berundur dalam mesyuarat yang tertutup jika mahu berbuat demikian. Pihak-pihak lain seperti pemimpin dalam Majlis Tertinggi UMNO, ketua-ketua bahagian dan sebagainya juga meinta Najib berundur jika keputusan piihanraya cukup buruk dan tidak mungkin dipulihkan kiranya Najib terus menjadi Perdana Menteri.

Apa yang perlu bagi Muhyiddin hanyalah keberanian untuk mencabar Najib dan seterusnya bersedia menjadi orang nombor satu dalam politik negara.

Sudah ramai yang meramalkan UMNO dan BN tidak mungkin mampu menang dengan cemerlang dalam PRU 13 ini. Pelbagai ramalan dan analisis sudah pun dibuat. UMNO dan pelbagai agensi kerajaan turut membuat analisis dan telahan yang sama. Hampir tidak ada yang berani mengatakan kemenangan cemerlang akan dicapai oleh UMNO dan BN.

Kebanyakannya hanya meramalkan kemenangan tipis yang mampu dicapai, kalau pun tidak kalah sama-sekali. Saya sendiri sudah menulis sebelum ini bahawa jumlah kerusi yang mampu dimenangi oeh BN hanya sekitar 90 hingga 105 kerusi sahaja berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak-pihak tertentu yang membuat kajian serta juga pandangan daripada beberapa bekas menteri kabinet. Dan jika Pakatan Rakyat juga tidak mampu menang lebih daripada 112 kerusi, jumlah minimum untuk menubuhkan kerajaan, kedudukan Parlimen tergantung akan berlaku. Dan jika keadaan ini berlaku, kedudukan kuasa ketiga akan menjadi penentu siapakah yang mampu menubuhkan kerajaan.

Dalam konteks UMNO, sama ada menang tipis atau kalah, kedudukan Najib tidak akan selamat. Menang tipis atau mampu menubuhkan kerajaan atas ihsan kuasa ketiga tidak akan menyelamatkan Najib. Beliau akan dipaksa berundur dan Daim sendiri sebagai veteran UMNO sudah mengesahkan ia akan berlaku. Hanya kemenangan dua pertiga yang mampu menyelamatkan nyawa politik Najib.

Dengan Daim sendiri mengatakan penyingkiran akan berlaku, ia bagaikan rangsangan yang akan terus menghimpit Najib hingga ke dinding. Dan Muhyiddin adalah calon pilihan untuk menggantikannya.

Ketika ini mungkin Muhyiddin tidak mahu menunjukkan reaksi apa-apa tetapi keadaannya pasti berubah selepas pilihanraya nanti. Mahathir yang diketahui agak rapat dengan Muhyiddin juga pasti akan bangun memulakan langkah silatnya.

Ketika ini memang Mahathir dilihat bersama dengan Najib tetapi semuanya dilakukan hanya untuk memastikan UMNO dan BN terus menang pilihanraya umum akan datang ini. Jika Mahathir menunjukkan secara terbuka beliau tidak bersetuju dengan Najib sebelum pilihanraya ini, pihak yang akan untung tentunya Anwar dan Pakatan Rakyat.

Mahathir yang sebelum ini tidak bersetuju dengan banyak perkara yang dilakukan Najib seperti dasar 1Malaysia, dasar ekonomi berasaskan merit, pembinaan Menara Warisan dan sebagainya, kini terpaksa menyimpan semua perbezaannya dengan Najib dengan harapan UMNO dan BN terus kekal sebagai pemerintah.

Sebaik saja nanti tumpuan daripada pilihanraya umum beralih kepada pemilihan UMNO, Mahathir dipercayai akan segera bersuara dan mengeluarkan papan caturnya. Beliau akan menggunakan sisa-sisa pengaruh dan kehebatannya mengeluarkan logik-logik politik untuk menyingkirkan Najib sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah dahulu.

Daim sudah memberi laluan dan kiranya Mahathir juga bersama menuntut perubahan kepada UMNO selepas piliharaya nanti, tidak ada sebab lagi untuk Muhyiddin mengelak dan tidak berani menyahut kehendak untuk mencabar Najib itu.

Sebagaimana Pak Lah juga kecundang apabila asakan semakin kuat, Najib juga diyakini tidak akan mampu bertahan apabila timbul desakan nanti, lebih-lebih lagi jika dilihat daripada sejarah politik Najib yang memperolehi semua jawatan dalam UMNO secara percuma dan tidak pernah melalui pertandingan kecuali untuk Naib Presiden, kebarangkalian untuk beliau lebih awal "lari malam" adalah cerah sekali. (SH 17/03/2012).

Friday 16 March 2012

Eloklah Najib Berundur Jika Tak Mahu Diundurkan...

Komen terbaru Tun Daim Zainuddin mengenai masa depan politik Najib yang akan diundurkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri andainya BN gagal mencapai majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang, kini bagai mengesahkan cakap-cakap mengenai perkara itu yang sudah pun kedengaran sejak sekian lama di ruang atmosfera politik negara.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina, Daim berkata, mendapatkan semula majoriti dua pertiga adalah wawasan yang baik tetapi Najib perlu lebih praktikal, jika kehilangan banyak kerusi, UMNO sendiri akan menggulingkannya.

Menurut veteran UMNO itu lagi, itulah realiti politik di mana menyingkirkan pemimpin yang gagal mencapai keputusan yang cemerlang kini sudah menjadi trend global di mana-mana.

Selama ini khabar angin di pelbagai peringkat kepimpinan UMNO sudah lama bertiup bahawa Najib hanya mampu menyelamatkan kedudukan dan masa depan politiknya andainya berjaya melepasi garisan dua pertiga majoriti kerusi di Parlimen.

Andainya gagal mencapai tahap itu, dikhabarkan sudah ada pihak yang mahu bangun bersuara agar Najib mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin lain pula. Pihak yang dicadangkan untuk menggantikan beliau ialah timbalannya sekarang, Muhyiddin Yassin.

Namun kedengaran juga desas-desus bahawa Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang pernah tewas 43 undi kepada Tun Mahathir pada pemilihan 1987 lalu, akan turut masuk gelanggang kali ini. Ku Li dikatakan sama ada akan bertanding berseorangan atau mungkin juga bergandingan dengan Muhyiddin, kiranya Najib berkeras mahu mempertahankan jawatannya.

Ku Li yang tewas pada pemilihan 1987 di mana antara puncanya ialah tindakan Najib belot di saat-saat akhir dengan pengumuman menyokong Mahathir, kini dilihat berpeluang melunaskan dendam terhadap perbuatan Najib yang dianggap mengkhianatinya itu. Jika tidak kerana pembelotan Najib itu, Ku Li memang dilihat berpeluang cerah untuk menang ketika itu.

Kedudukan Najib yang kini dibelit dengan pelbagai isu dan masalah memang dilihat berada dalam keadaan cukup genting. Beliau bukan sahaja dikatakan akan gagal memperbaiki kedudukan UMNO dan BN berbanding pilihanraya 2008, bahkan ramai yang meramalkan UMNO dan BN akan tumbang kepada Pakatan Rakyat kali ini.

Selain kedudukan Najib yang terlalu banyak masalah dan isu serta kedudukan UMNO yang masih tidak berubah, fenomena kebangkitan rakyat terhadap tuntutan perubahan kini bagaikan sesuatu yang sudah tidak boleh ditolak lagi. Fenomena itu sudah berlaku di banyak negara di dunia dan pemimpin yang jauh lebih kukuh kedudukan serta kuat cengkamannya berbanding Najib pun sudah banyak yang rebah dan tewas kepada gelombang perubahan.

Di tambah dengan pelbagai masalah lainnya, hakikat bahawa kedudukan Najib dan BN berada dalam kedudukan cukup genting sudah diakui serta sukar dinafikan oleh banyak pihak sebenarnya.

Dan dengan kenyataan terbaru Daim ini, ia bagaikan mengesahkan lagi hakikat itu. Selepas keputusan pilihanraya 2008, ramalan Daim sering dijadikan rujukan berikutan ramalannya bahawa Selangor dan Perak akan jatuh ke tangan pembangkang ketika itu. Walaupun pada mulanya ramalan beliau di pandang enteng tetapi bila terbukti benar, beliau kini antara "pak najum politik" yang digeruni dan berwibawa.

Najib kini bukan sahaja perlu memikirkan untuk berlawan dengan Anwar dan Pakatan Rakyat tetapi juga terpaksa memikirkan serangan daripada dalam UMNO sendiri.

Jika di luar, musuhnya ialah Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Lim Kt Siang dan Pakatan Rakyat tetapi di dalam UMNO sendiri, beliau juga perlu awas terhadap timbalannya, Muhyiddin Yassin, Ku Li dan beberapa pemimpin UMNO lainnya yang masih belum menampakkan wajah sebenar mereka.

Bagi kalangan dalam UMNO yang mahu menyingkirkan Najib itu, wajah sebenar mereka hanya akan terserlah selepas keputusan PRU 13 nanti. Mereka akan berlumba-lumba mendesak Najib berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah selepas keputusan buruk pilihanraya 2008.

Melihat keadaan dalam UMNO sekarang ini dan prestasi Najib sendiri yang tidak menentu, memang sukar untuk mengakui bahawa kemenangan akan berpihak kepada UMNO dan BN. Selain UMNO dan para pemimpinnya masih tidak berubah, Najib sendiri menjadi halangan besar untuk mencapai kemenangan.

Watak diri dan kaum keluarganya terlalu banyak disaluti dengan pelbagai masalah telah menghakis sokongan rakyat hari demi hari. Setelah bertahun-tahun rakyat Malaysia dihidangkan dengan gaya boros dan mewah Najib serta keluarganya dalam berbelanja, terbaru ini rakyat dihidangkan lagi dengan gaya mewah Najib dalam mengadakan majlis pertunangan anaknya dan majlis sambutan hari jadinya sendiri.

Pendedahan yang dibuat oleh PKR tentang belanja lebih RM400 ribu untuk jamuan makan majlis pertunangan itu dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari jadinya, walaupun mungkin menggunakan duit sendiri tetapi telah memadan sama sekali imej baik, mesra rakyat dan "wassatiyah" yang cuba ditonjolkan Najib sejak akhir-akhir ini.

Sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN kini berada di tahap yang cukup rendah berikutan timbulnya isu tersebut. Najib tidak lebih seperti kura-kura yang mengajar anaknya berjalan betul. Najib meminta rakyat berjimat cermat dan bersederhana tetapi beliau sendiri cukup boros dan bermewah dalam hidup.

Sokongan rakyat juga merudum berikutan kemarahan rakyat terhadap banyak isu rasuah dan ketirisan dalam kerajaan, isu SBPA, skandal lembu NFC, penggabungan MAS - Air Asia yang jelas merugikan kerajaan dan sebagainya.

Hakikatnya, kemenangan memang masih jauh dari gapaian, apatah lagi melepasi garisan majoriti dua pertiga. Hakikat bahawa sama ada BN akan dikalahkan oleh Pakatan Rakyat atau Najib akan disingkirkan oleh UMNO sendiri selepas pilihanraya umum nanti adalah realiti yang semakin sukar ditolak.

Cumanya, jika Najib tidak mahu diaibkan dan tidak mahu dipaksa berundur, eloklah beliau mula memikirkan untuk berundur diri secara terhormat sebelum piliharaya ini. (SH 16/03/2012).

Wednesday 14 March 2012

Selepas Najib, Hishammuddin...Kemudian Mukhriz...Selepas Itu Ashman Anak Najib, Selepas Itu....

Pilihanraya umum akan datang ini bukan sahaja penting untuk dinilai sama ada UMNO akan terus mampu bernafas dengan segar atau sebaliknya tetapi juga untuk melihat siapakah yang akan menjadi pemimpin utama UMNO selepas itu. Kiranya UMNO tumbang, perubahan besar-besaran akan berlaku dalam kepimpinan parti itu dan sudah pastilah kepimpinan yang ada sekarang akan diminta berundur serta memberi ruang pula kepada generasi baru bagi mengambil alih kepimpinan parti.

Begitu juga jika UMNO sekadar menang tipis dan keputusan yang dicapai lebih buruk daripada piliharaya 2008, kemungkinan besar wujud desakan agar Najib mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Dalam hal ini Najib akan dilihat gagal sebagaimana Pak Lah yang dilihat gagal pada pilihanraya 2008 dan dipaksa berundur pada 2009 dahulu.

Kumpulan pendesak dalam UMNO pasti akan memulakan langkah meminta Najib berundur atas kegagalan memberi keputusan yang baik kepada UMNO dan BN. Dan Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan pasti juga sukar menolak desakan agar beliau mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, tambahan pula jika sokongan yang diterima semakin menggalakkan hari demi hari.

Sekarang ini pun, kumpulan Muhyiddin walaupun dilihat masih bergandingan rapat dengan Najib untuk menghadapi pilihanraya umum ini tetapi beberapa perbezaan dalam pendekatan dan pengucapan antara keduanya dapat dilihat dengan agak jelas.

Sementara Najib dilihat taksub dengan 1Malaysia, Muhyiddin pula lebih mengutamakan kedudukannya sebagai Melayu. Najib cuba meminta maaf atas kesilapan masa lalu UMNO manakala Muhyiddin mahukan jasa dan sumbangan UMNO sentiasa dihargai tanpa perlu pengucapan maaf.

Walaupun Muhyiddin dilihat sebagai calon utama untuk mencabar Najib jika keputusan pilihanraya akan datang menghasilkan natijah yang buruk tetapi kehadiran veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga tidak harus diabaikan. Beliau mungkin bertanding bersendirian dalam sistem pemilihan baru dan terbuka yang hanya menghendaki seseorang itu mendaftarkan saja namanya jika berhasrat bertanding atau pun mungkin juga bergandingan dengan Muhyiddin kiranya Najib berkeras mahu mempertahankan jawatan.

Apa pun, kedudukan Najib tidak akan selamat kecuali berupaya memberikan keputusan yang cemerlang buat UMNO dan BN.

Namun persoalan yang bermain di benak ahli-ahli UMNO sekarang ialah parti itu tidak akan berubah kiranya Najib terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Yang paling dibimbangi ialah kepimpinan UMNO selepas itu juga akan terus dikuasai oleh keluarga bekas-bekas Perdana Menteri sahaja. Oleh itu Najib sama ada harus dibiarkan tewas atau hanya diberian kemenangan yang tipis sahaja.

Kiranya Najib terus memimpin UMNO dan kerajaan selepas pilihanraya umum ini, beliau pasti akan memberi ruang yang lebih terbuka kepada sepupunya, Hishammuddin yang kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri. Hishammuddin adalah anak Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga.

Ketika Tun Razak meninggal dunia pada 1976, Najib telah dipilih menggantikan bapanya bertanding di Pekan. Orang yang memberi laluan kepada Najib bertanding ialah Tun Hussein, bapa Hishammudin yang ketika itu mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan berikutan kematian mengejut Tun Razak.

Najib sudah pasti ada rasa terhutang budi kepada Tun Hussein. Disebabkan lorong yang dibuka oleh ayah Hishammuddin itulah menjadikan beliau Perdana Menteri sekarang ini.

Sebagai membalas dan mengenang budi itu, maka tidak menghairankan jika Najib akan membuka laluan yang selesa kepada Hishammuddin pula, tambahan juga mereka mempunyai pertalian sepupu.

Seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir yang kini menjadi Menteri MITI dan pemimpin nombor dua UMNO Kedah, juga akan diberi laluan yang selesa oleh Najib selepas ini sebagai mengenang budi dan jasa Mahathir yang memberinya banyak peluang dan kesempatan mendaki tangga kejayaan dalam parti dan kerajaan sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Walaupun Najib bukanlah pemimpin yang punya kebolehan luar biasa tetapi kejayaannya mendaki hireaki dalam UMNO adalah disebabkan Mahathir memberinya peluang menduduki jawatan menteri yang mempunyai banyak peluang menganugerahkan kontrak dan perniagaan.

Di dalam UMNO, kejayaan seseorang meningkat dalam parti dan mengumpul sokongan adalah 99 peratus ditentukannya oleh jawatan menteri yang disandangnya. Jika kementerian yang dipegang itu mempunyai banyak kontrak dan peluang perniagaan seperti Kemneterian Kewangan, MITI, Pelajaran atau Kementerian Dalam Negeri, seseorang itu akan lebih dikerumuni, disanjung dan mudah meningkat naik berbanding jika sekadar diberikan kementerian mengenai agama, kebajikan dan seumpamanya.

Jika menang dengan selesa, laluan yang disediakan oleh Najib kepada Mukhriz selepas ini bukan sahaja sebagai mengenang dan membalas jasa Mahathir tetapi juga untuk memastikan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri mempunyai ruang yang lebih terbuka untuk menonjolkan diri mengiringi Hishammuddin.

Andai kata selepas ini Hishammudian berjaya meningkat naik sebagai bakal Presiden UMNO dan Perdana Menteri melalui perancangan Najib dengan memberinya jawatan di kementerian yang kanan berbanding persaingnya sekarang seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Afdal, Hishammudin juga akan melakukan perkara yang sama kepada Mukhriz pula.

Hishammudin yang turut terhutang budi kepada Mahathir yang telah memberinya banyak peluang menduduki jawatan kabinet dan kemudian menimba pengalaman di pelbagai kementerian, sebagai membalas dan mengenang budi Mahathir itu sudah pasti akan memberi jawatan di kementerian yang kanan juga kepada anak Mahathir, iaitu Mukhriz.

Akhirnya Mukhriz akan mudah mendaki tingkat kejayaan dalam UMNO dan seterusnya akan berada di belakang Hishammuddin.

Kiranya UMNO dan BN terus menerima sokongan rakyat dan menguasai kerajaan, Mukhriz yang ditonjolkan itu berjaya mengetuai parti dan kerajaan, beliau pastinya juga akan menonjolkan pula anak Najib, Mohd Ashman yang kini masih belajar tetapi sudah mulai menunjukkan minat yang tinggi kepada dunia politik. Penonjolan Ashman juga sebagai sebahagian proses mengenang dan membalas budi serta memastikan penerima baton seterusnya adalah juga daripada keluarga bekas Perdana Menteri. Najib sendiri sudah menonjolkan anak lelakinya itu dalam beberapa majlis bertemu orangramai sebelum ini.

Ashman dipercayai akan mulai ditonjolkan dalam UMNO jika Hishammudin berjaya menjadi pemimpin utama UMNO dan kerajaan supaya kesinambungan kerjaya anak Najib mudah diteruskan oleh Mukhriz selepas itu.

Selepas Ashman, mungkin pula anak lelaki Hishammuddin dan juga anak lelaki Mukhriz yang akan menyusul kemudiannya. Akhirnya UMNO akan sepanjang masa dikuasai oleh ahli-ahli keluarga bekas Perdana Menteri sahaja. UMNO dan kerajaan akan menjadi barang warisan kepada keluarga tertentu sahaja manakala cerdik pandai daripada kalangan anak petani, orang kampung, anak guru dan sebagainya hanya kekal sebagai pengikut atau pemimpin di lapisan kedua dan ketiga sahaja.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, melalui sistem dalam UMNO yang mana kenaikan, populariti dan kejayaan mengumpul sokongan ditentukan 99 peratus oleh jawatan dan kementerian yang dipegang oleh seseorang pemimpin itu, maka untuk mengaplikasikan keadaan itu menjadi kenyataan sebenarnya amatlah mudah. Anak-anak bekas Perdana Menteri ini akan terus diberikan jawatan yang baik-baik sementara pesaingnya yang berpotensi akan diketepikan melalui pemberian jawatan yang kurang penting.

Selain itu dengan kedudukan orang Melayu dan ahli UMNO yang rata-rata masih berpendapatan rendah dan sederhana serta berjiwa hamba, urusan menaik dan menolak seseorang pemimpin itu melalui jawatan dan keupayaan memberikan pertolongan akan menjadi lebih mudah lagi.

Walaupun perbuatan mewariskan jawatan dan kedudukan ini tidak ada termaktub dalam mana-mana perjanjian ataupun kitab politik tetapi ianya dilihat bagaikan persefahaman yang diterima sesama mereka. Riak-riak kecil ke arah matlamat itu sudah dapat dilihat daripada sekarang lagi. Pemberian jawatan kepada Najib sebelum ini, kemudian diikuti dengan proses yang sedang berlaku kepada Hishammuddin dan Mukhriz adalah fakta yang jelas ke arah itu. Perbuatan Najib menonjolkan anak lelakinya, Ashman juga adalah signal kepada matlamat yang sama.

Dengan menjadikan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebagai warisan dan seolah-olah hanya untuk keluarga elit UMNO sahaja, ia akan menjadi putaran ganas yang akan terus menghimpit generasi Melayu akan datang terperosok ke lembah kemiskinan dan kesederhanaan.

Kiranya orang-orang Melayu masih sayangkan kepada masa depan dan nasib anak-anak cucu mereka, pilihanraya umum akan datang adalah satu-satunya ruang sama ada mahukan perubahan atau selesa dengan status quo yang ada. (SH 14/03/2012).

Monday 12 March 2012

Beban Najib Belum Selesai Dalam Isu Shahrizat

Shahrizat Jalil akhirnya akur dengan tuntutan rakyat apabila bersetuju meletakkan jawatan bermula 8 April depan, tarikh berakhirnya penggal beliau sebagai Ahli Dewan Negara. Daripada gah mempertahankan diri dan enggan meletakkan jawatan sebelum ini sehingga sanggup menyingsing lengan bajunya, beliau penyudahnya akur dan tunduk kepada desakan dan kuasa keramat rakyat.

Jika dari awal lagi beliau berbuat demikian dan mengakui terlalu banyak onar dalam projek lembu NFC itu, sudah tentu banyak perkara dapat diselamatkan. Tetapi Shahrizat hanya meletakkan jawatan setelah sekian banyak pendedahan demi pendedahan dilakukan mengenai projek NFC yang menggunakan wang rakyat itu. Mungkin kerana beliau dan keluarganya tidak sanggup lagi melihat kedudukan mereka dicalarkan dengan banyak lagi pendedahan, maka keputusan meletakkan jawatan itu segera dibuat.

Meskipun rakyat pada umumnya menyambut baik perletakan jawatan itu, tetapi ia tetap dianggap sudah terlambat. Ini kerana sudah begitu banyak kerosakan dari segi imej dan persepsi rakyat terhadap UMNO dan kerajaan sudah pun berlaku. Dan ianya tidak mungkin dapat diperbaiki dalam masa yang singkat dan sudah pasti kesannya akan dirasai juga dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Sudahlah lambat peka kepada kehendak rakyat, Shahrizat juga tetap bertegas bahawa perletakan jawatannya tidak ada kena mengenai dengan projek NFC yang dianugerahkan kerajaan kepada suami dan anak-anaknya. Beliau kononnya meletakkan jawatan hanya kerana tidak mahu menyambung khidmat senatornya sahaja dan kedudukannya sebagai isteri kepada Pengerusi NFC hanyalah kebetulan sahaja.

Dalam soal ini ternampak bahawa Shahrizat tetap dengan ego tingginya. Dengan terus memegang jawatan Ketua Wanita UMNO, imej yang ditonjolkan Shahrizat ini langsung tidak membantu UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang. Isu lembu NFC dan kaitannya dengan keluarga beliau pasti akan terus dimainkan sebagai bahan kempen. Langkah sebaiknya ialah Shahrizat sepatutnya turut berundur atau bercuti sebagai Ketua Wanita UMNO dan memberi laluan kepada pemimpin lain dalam pergerakan itu menggerakkan jentera Wanita UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.

Haruslah diakui bahawa imej beliau sudah begitu teruk terjejas dan tidak mungkin boleh diperbaiki lagi. Hanya dengan orang lain memimpin Wanita UMNO, keadaan boleh diselamatkan dan menjadi lebih baik.

Kerakusan keluarga beliau menggunakan dana rakyat untuk projek ternakan lembu untuk membeli hartanah mewah, kenderaan, percutian dan sebagainya tidak mungkin dapat dimaafkan oleh rakyat. Mereka bukan sahaja menyelewengkan tujuan dana itu diberi dengan kaedah pembiayaan mudah yang diberikan kerajaan iaitu dengan faedah hanya 2 peratus setahun tetapi juga menggagalkan projek yang dihasratkan oleh kerajaan untuk membekalkan daging lembu untuk keperluan rakyat.

Jika kakitangan kerajaan pun mendapat faedah 4 peratus untuk membeli kenderaan atau rumah tetapi keluarga Shahrizat melalui pinjaman mudah dengan faedah hanya 2 peratus telah melanyak semahunya wang pinjaman itu untuk membeli pelbagai hartanah mewah di dalam dan luar negara yang langsung tiada kaitan dengan ternakan lembu. Memang mustahil untuk rakyat memaafkannya dan UMNO akan terus terbeban selagi Shahrizat masih menerajui Wanita UMNO.

Jalan terbaiknya ialah dengan berundur sama sebagai Ketua Wanita UMNO dan menghabiskan sis-sisa usianya bersama keluarga.

Dalam masa yang sama, di sebalik perletakan jawatan Shahrizat, beban Najib juga belum selesai sepenuhnya. Rakyat masih mahukan beliau dan kerajaan bertindak tegas terhadap projek lembu yang telah diselewengkan dananya itu.

Najib bukan sahaja perlu memastikan pengarah-pengarah NFC dibawa ke muka pengadilan atas tuduhan menyeleweng dan pecah amanah sebagaimana yang telah disyorkan oleh pihak polis kepada Peguam Negara tetapi juga harus memastikan dana RM250 juta itu dikembalikan semula kepada rakyat.

Semua bukti, pendedahan mengenai pembelian hartanah, pengakuan pengarah NFC yang mewakili kerajaan yang mengatakan mereka tidak dimaklumkan mengenai pembelian pelbagai hartanah mewah itu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz yang turut mengakui dana RM250 juta itu hanyalah untuk projek ternakan lembu dan bukannya dibenarkan untuk pembelian selain daripadanya serta pelbagai maklumat lainnya, rasanya sudah cukup untuk Najib memulakan langkah tegas untuk membersihkan nama baik UMNO dan kerajaan.

Beliau seharusnya melihat bahawa perletakaan jawatan Shahrizat adalah permulaan, walaupun sebenarnya agak terlambat, kepada tindakan-tindakan tegas lainnya yang sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat terbanyak.

Hanya dengan keberanian Najib dalam langkah-langkah berikutnya akan menentukan UMNO dan kerajaan pimpinannya dilihat benar-benar serius mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana yang sering diperkatakannya sejak akhir-akhir ini.

Lagi pula, sesuai dengan Najib sendiri yang sudah meminta maaf kepada rakyat atas kesilapan-kesilapan BN selama ini, inilah masanya untuk membuktikan bahawa kata-kata maaf itu tidak sekadar basahan mulut dan pemanis kata semata-mata. (SH 12/03/2012).

Saturday 10 March 2012

Najib Perlu Tangguh PRU, Adakan Pemilihan UMNO Dahulu

Di sebalik kesibukan Najib mengadakan lawatan ke seluruh negara bertemu rakyat dan mengumumkan projek demi projek untuk menambat hati rakyat, hakikat yang jelas dan diakui oleh banyak pihak ialah UMNO dan BN masih belum cukup kekuatan untuk memenangi pilihanraya kali ini.

Selain pelbagai isu yang menjadi percakapan rakyat masih tidak selesai seperti isu lembu NFC, kerugian MAS, pelbagai jenis skandal dan banyak lagi, sejak akhir-akhir ini timbul lagi pelbagai isu yang nyatanya terus membebankan Najib, UMNO dan BN secara keseluruhannya.

Isu Altantuya yang dulunya senyap kini diperbualkan semula bila kertas penghakiman bertulis dikeluarkan oleh mahkamah baru-baru ini yang jelas terdapat beberapa persoalan yang terus menimbulkan keraguan. Isu SBPA yang dibatalkan Najib dengan harapan dapat melunakkan kemarahan kakitangan kerajaan akhirnya memakan diri Najib sendiri apabila beliau dilihat tidak hati-hati dan flip-flop dalam membuat keputusan.

Semalam isu pertunangan anak perempuan Najib dengan lelaki Kazakhstan yang didedahkan oleh PKR kononnya dibuat tempahan dan dibayar menggunakan wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri telah didedahkan kepada umum. Meskipun ia dinafikan melalui kenyataan dua perenggan oleh Pejabat Perdana Menteri tetapi PKR melalui Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menuntut agar penafian itu disertakan dengan bukti seperti salinan dokumen pembayaran, resit dan sebagainya.

Sementara menungggu sama ada Najib berani mendedahkan bukti-bukti bahawa pembayaran majlis pertunangan yang jamuan makannya saja melebihi RM400 ribu itu betul-betul menggunakan wang peribadi atau wang rakyat, yang jelasnya imej dan wibawa Najib yang sebelum ini cuba menunjukkan sifat merendah diri dengan meminta maaf atas kesilapan UMNO dan BN kepada rakyat, sudah terjejas dan calar-balar dengan teruknya.

Kalau pun akhirnya Najib dapat membuktikan bahawa pembayaran itu dibuat menggunakan wangnya sendiri, beliau akan dianggap begitu membazir dan boros berbelanja sedangkan rakyat sentiasa diminta berjimat cermat. Kiranya gagal memberikan apa-apa bukti dan benar pembayaran itu dibuat menggunakan wang rakyat, keadaannya tentulah lebih parah bagi Najib. Beliau akan dianggap Perdana Menteri paling haprak dan tidak berguna kerana untuk majlis pertunangan pun "songlap" duit rakyat.

Dan menjelang pilihanraya akan datang ini, entah berapa banyak lagi siri pendedahan mengenai skandal, penyelewengan, pembaziran dan pemborosan mengenai Najib yang akan terdedah kepada umum.

Najib akan cuba dihakis kepercayaan dan keyakinannya supaya rakyat tidak terus memberikan undi dan sokongan kepada UMNO dan BN.

Mampukah Najib menangani semua cabaran itu dan menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau dan UMNO sudah benar-benar berubah serta boleh diyakini?

Sekiranya Najib masih ada perasaan kasih dan sayang kepada UMNO dan tidak semata-mata sayang kepada jawatan Perdana Menteri yang memberi banyak nikmat itu, beliau seharusnya tidak segera mengadakan pilihanraya umum. Najib mesti menangguhkannya sehingga tahun 2013.

Dalam hubungan ini, Tun Daim sendiri dalam intebiunya baru-baru ini ada mencadangkan agar Najib mengadakan pilihanraya pada 2013 untuk betul-betul mendapatkan sokongan yang mantap daripada rakyat. Beberapa pemimpin veteran UMNO sebenarnya turut mempunyai pandangan yang sama iaitu Najib harus menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan rakyat terlebih dahulu sebelum memanggil pilihanraya dan masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya ialah pada 2013.

Ramai yang berpandangan bahawa UMNO dan BN akan kecundang jika pilihanraya diadakan pada tahun ini.

Sementara Najib menyelesaikan semua masalah itu, beliau juga wajar mengadakan pemilihan UMNO terlebih dahulu pada hujung tahun ini. Biarlah UMNO mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya di semua peringkat terlebih dahulu sebelum mahu berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya supaya rakyat dapat melihat apakah UMNO benar-benar sudah berubah atau sebaliknya.

Sekurang-kurangnya dengan adanya perubahan pucuk pimpinan UMNO, rakyat akan melihat UMNO serius terhadap perubahan yang sering dilaung-laungkannya. Tidaklah seperti sekarang di mana Najib sering melaungkan perubahan tetapi tiada apa-apa sebagai bukti yang dapat dilihat oleh rakyat. Lebih dari itu, skandal demi skandal yang terbentang satu persatu telah menyebabkan rakyat terus melihat UMNO sebagai objek hitam yang makin kelam dan tiada pengharapan lagi.

Melalui proses pemilihan itu, dapatlah UMNO menunjukkan kepada rakyat bahawa ia sekurang-kurangnya sudah berubah dan kalau dilaungkan iltizam untuk menjadi lebih baik dan prihatin kepada rakyat, ia akan lebih diyakini berbanding sekarang. Melalui proses pemilihan itulah juga, pemimpin-pemimpin yang bermasalah dan menjadi beban kepada UMNO dapat ditukar atau mengundur diri. Kiranya ahli-ahli UMNO masih sayangkan parti, inilah masanya untuk mereka menukar pemimpin yang bermasalah dan menjadi beban itu dan menggantikannya dengan pemimpin baru yang lebih berwibawa dan diyakini.

Selain ini, dengan adanya proses pemilihan itu juga akan menjadi medan untuk para pemimpin UMNO sendiri bermuhasabah tentang kedudukan dan jawatan yang mereka sandang sekarang. Kalau dirasakan sudah lama dan banyak masalah peribadi, berundurlah secara baik sebelum mereka dipaksa berundur. Jika dirasakan kurang kemampuan dan tidak boleh menang pilihanraya, berilah laluan kepada orang lain menjadi pemimpin pula.

Najib sendiri dalam hal ini seharusnya bermuhasabah sama. Jika dirasakan beliau juga tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang terpikul dibahunya sama ada yang melibatkan soal kepimpinan, UMNO, kerajaan, keluarga dan sebagainya, beliau juga harus mengambil langkah terhormat dengan turut sama mengundur diri. Berilah peluang pemimpin lain menerajui UMNO dan berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya umum.

Kiranya Najib sedia berundur diri sebelum pilihanraya ini dan memberi laluan kepada pemimpin lain, UMNO dan BN akan lebih mudah memenangi piliharaya kali ini. Selain sebahagian besar isu dalam negara adalah berkaitan dirinya, jika Najib berundur, maka UMNO akan dilihat cukup serius untuk berubah dan membela rakyat. Dengan perubahan yang hampir mutlak itu, tidak ada sebab lagi untuk rakyat tidak mahu mengekalkan UMNO dan BN menerajui negara ini.

Ramalan Tun Daim bahawa BN akan menang lebih besar jika pilihanraya diadakan pada 2013 pun barangkali bermaksud demikian!! (SH 10/03/2012).

Thursday 8 March 2012

Jika Ku Li Disingkir, Lebih Mudah BN Tersingkir

Menjelang piihanraya ini, sekali lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ahli Parlimen Gua Musang menjadi bualan dan diperkatakan oleh ramai orang. Ku Li yang dikenali agak kritis terhadap kepimpinan Najib terutama dalam isu royalti minyak untuk Kelantan dan penyenaraian Felda ke Bursa Malaysia ditelah oleh banyak pihak akan digugurkan dalam PRU 13 ini sebagai jalan mudah untuk Najib menghindari sebarang gangguan terhadap masa depan politiknya.

Ku Li yang pernah tewas kepada Mahathir dengan 43 undi pada 1987 dan kemudian mencuba beberapa kali untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dipercayai akan terus mencuba lagi dalam pemilihan kali ini, sementelah pula kedudukan Najib yang dianggap terlalu lemah dan dipertikaikan oleh banyak pihak.

Ku Li kemudian menubuhkan Amanah, sebuah NGO pelbagai kaum yang antara perjuangannya untuk menentang rasuah, kronisme dan nepotisme yang dianggap berleluasa dalam pentadbiran sekarang.

Najib yang dilihat kian rapuh dalam menghadapi piliharaya umum kali ini tentunya tidak mahu Ku Li menentangnya untuk jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan yang dijangka tidak lama selepas pilihanraya umum atau bergabung tenaga dengan Muhyiddin Yassin misalnya, untuk menjatuhkannya kiranya BN mencapai keputusan buruk dalam pilihanraya nanti.

Dengan tidak ada kedudukan sebagai Ahli Parlimen, Najib beranggapan Ku Li tiada taring lagi dalam UMNO.

Namun belum pun ada sebarang kepastian mengenai kedudukannya, Ku Li tiba-tiba membuat pengumuman bahawa beliau tetap akan bertanding di Gua Musang dalam pilihanraya akan datang ini. Ia lantas memberi gambaran bahawa sama ada dicalonkan semula mewakili BN atau tidak, Ku Li tetap akan bertanding. Mungkinkah mewakili Pakatan Rakyat? Atau mungkin juga sebagai calon Bebas?

Pelbagai andaian timbul apabila kemudiannya, Pas melalui Naib Presidennya, Sallahuddin Ayub menyatakan Pakatan Rakyat sedia menawarkan Ku Li bertanding mewakili Pakatan Rakyat kiranya beliau ditolak oleh UMNO. Dalam masa yang sama, Amanah iaitu sebuah NGO yang diterajui oleh Ku Li melalui Timbalan Presidennya, Kadir Sheikh Fadzir juga sedang menjalin hubungan yang akrab dengan Anwar Ibrahim.

Ini menjadikan kedudukan Ku Li dalam pelbagai kemungkinan dan dilihat mempunyai banyak pilihan kiranya tidak lagi dikehendaki oleh Najib.

Sekiranya dicalonkan semula, Ku Li tetap tidak ada masalah untuk membawa kemenangan buat UMNO dan BN dan kiranya selepas pilihanraya umum ini BN mencapai prestasi buruk, kebarangkalian untuk Ku Li diminta bertanding jawatan tertinggi UMNO tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana beliau tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO. Jasa dan rekod perkhidmatannya yang cemerlang dalam pelbagai kedudukan sejak sekian lama menjadikan Ku Li tokoh yang "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

Meskipun Ku Li agak veteran tetapi beliau tetap mempunyai pengaruhnya tidak boleh ditolak begitu sahaja dalam UMNO berikutan sumbangan dan jasanya yang banyak ketika berada dalam kerajaan dulu. Walaupun mungkin ramai pimpinan UMNO bahagian-bahagian sekarang terdiri daripada generasi baru tetapi mereka yang seangkatan dengannya, mereka yang masih menghargai jasanya dan golongan yang pernah menerima budi Ku Li, dilihat masih ramai dan menduduki pelbagai jawatan lainnya dalam UMNO bahagian di seluruh negara.

Kiranya Ku Li diketepikan dan beliau memilih untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat, tentunya bahana lebih besar sedang menunggu Najib. Dengan menggerakkan rangkaiannya di seluruh negara, UMNO pasti akan menerima kekalahan di banyak kerusi. BN yang masih berada dalam kedudukan 50-50 dengan Pakatan Rakyat, pasti lebih mudah ditewaskan dengan adanya bantuan Ku Li serta para penyokongnya yang turut akan berbuat demikian.

Untuk mempertahankan kerusi Gua Musang, Ku Li memang tidak ada masalah walau bertanding atas tiket apa sekali pun. Sejarah politknya telah membuktikan bahawa Ku Li adaah calon "winnable" sepanjang zaman untuk Gua Musang. Atas tiket BN pun beliau boleh menang dan jika beliau diketepikan oleh UMNO dan bertanding atas tiket lain, Gua Musang tetap miliknya berikutan jasa dan sumbangannya yang besar di kawasan itu.

Dalam sejarah politik Melayu, hanya Ku Li, Anwar Ibrahim dan Shahrir Samad saja yang pernah mencipta kejayaan mampu mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing atas tiket parti yang berbeza. Ku Li pernah menang atas tiket UMNO dan Semangat 46 di Gua Musang, Anwar atas tiket UMNO dan PKR di Permatang Pauh manakala Shahrir atas tiket UMNO dan Bebas di Johor Bahru.

Mahathir yang dikagumi kerana berjaya mempertahankan kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun pun tidak dapat menandingi mereka ini. Apabila tidak lagi menjadi Perdana Menteri, untuk menjadi salah seorang daripada tujuh perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan UMNO pun Mahathir telah gagal.

Najib sendiri yang pernah menang tipis 241 undi di Pekan pada pilihanraya 1999, dilihat tidak mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimennya sekarang jika bukan atas tiket UMNO dan BN.

Bukan itu saja, sebelum Mahathir bertindak memecat Anwar pada 1998, beliau terpaksa memujuk Ku Li supaya membubarkan Semangat 46 dahulu. Hanya setelah Semangat 46 dibubarkan barulah Mahathir memecat Anwar. Secara halusnya, Mahathir sendiri mengakui pengaruh dan kekuatan Ku Li.

Oleh itu, kiranya Najib bertindak mengetepikan Ku Li untuk bertanding di Gua Musang dan kemudian beliau memilih untuk bekerjasama dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, nasib lebih buruk sudah boleh dijangka lebih awal akan menimpa Najib, UMNO dan BN.

Meskipun ketika ini Ku Li turut cuba digegar oleh sebilangan kecil kumpulan serpihan dalam UMNO Gua Musang sendiri yang seakan-akan bertindak mahu memastikan Ku Li diketepikan dalam PRU 13 ini, hakikatnya pengaruh dan kedudukan beliau tidak banyak terjejas.

Ini kerana kumpulan serpihan ini didapati tidak begitu berpengaruh meskipun mereka mungkin didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang turut berhasrat mengambil alih tempat Ku Li di Parlimen Gua Musang. Tetapi soalnya apakah mereka yang berhajat itu memenuhi ciri-ciri "winnable" seperti yang sering dilaungkan oeh Najib sendiri?

Segala keputusan adalah ditangan Najib sama ada mahu mengekalkan Ku Li atau menggantikannya dengan calon pilihannya di Gua Musang. Tetapi apa pun kemungkinannya, bola tetap di kaki Ku Li dan beliau hanya menunggu masa untuk menentukan pilihannya. (SH 08/03/2012).

Wednesday 7 March 2012

Mahathir Makin Tak Relevan, Lebih Baik Duduk Diam-Diam Di Rumah

Semakin hampir pilihanraya, nampaknya semakin kerap Mahathir bersuara. Kekerapannya menghadiri pelbagai majlis yang bersifat politik juga makin ketara. Dan ini menampakkan bahawa Mahathir tetap mahu berperanan dalam PRU 13 ini.

Jika dalam pilihanraya 2008, beliau berkempen untuk menjatuhkan Pak Lah dan menyatakan bahawa kedudukan kerajaan yang terlalu kuat berikutan kemenangan cemerlang Pak Lah dalam pilihanraya 2004 adalah tidak baik untuk rakyat, menjelang pilihanraya umum akan datang ini nada suaranya berlainan pula.

Beliau kini menentang pertukaran kerajaan dan selalu membandingkannya dengan apa yang berlaku di Asia Barat. Lebih dari itu, Mahathir juga menuduh Amerika dan Israel turut terlibat dalam usaha menukar kerajaan di Malaysia dengan menyatakan Anwar Ibrahim adalah tajaan dan boneka kuasa besar itu.

Tujuannya tidak lain ialah untuk menakut-nakutkan rakyat dengan harapan Anwar Ibrahim, bekas anak didiknya yang kini bertukar menjadi musuh nombor satunya itu tidak berjaya dalam usaha menumbangkan BN dan menjadi Perdana Menteri.

Walaupun hujahnya berkenaan pertukaran kerajaan agak janggal dan terkeluar daripada pemikiran yang relevan kerana pertukaran kerajaan bukan saja berlaku di Asia Barat tetapi juga di Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain. Hakikatnya tidak semua pertukaran kerajaan membawa keburukan dan tidak semua didalangi oleh Amerika dan Israel.

Thailand misalnya, walaupun kerap berlaku pertukaran kerajaan tetapi pertumbuhan ekonominya lebih baik daripada Malaysia.

Yang nyatanya pertukaran kerajaan membawa kebaikan kepada rakyat kerana mereka akan mendapat lebih pembelaan sementara mereka yang menawarkan diri menjadi pemimpin pula akan menjadi lebih bertanggungjawab memikul amanah yang diberi.

Namun demikian, secara umumnya hujah-hujah Mahathir mengenai pertukaran kerajaan dapat difahami adalah kerana dendamnya yang masih membara dan kebimbangan yang terlalu tinggi andainya Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri meskipun logiknya kadangkala jauh dari nyata.

Mahathir juga bersuara dalam isu gaji minimum yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan. Bekas Perdana Menteri itu mahukan kerajaan menimbang semula hasrat melaksanakan gaji minimum dengan alasan ia akan menyebabkan negara muflis akhirnya.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Mahathir menentang idea menetapkan gaji minimum dan kini beliau mahu membuktikan pengaruhnya masih ada dan suaranya didengari. Malangnya era dulu dengan sekarang sudah jauh berbeza dan ini yang mungkin kurang disedari oleh Mahathir.

Penentangan beliau terhadap gaji minimun ini membuatkan generasi muda membenci Mahathir kerana dilihat tidak peka dengan realiti kehidupan anak-anak muda yang baru memasuki dunia pekerjaan. Di ruang-ruang internet dan laman sosial, kecaman terhadap Mahathir dalam isu gaji minimum ini begitu ketara dan nyata, malahan sesetengahnya mengeluarkan perkataan yang berbentuk maki-hamun sebagai tanda protes.

Dalam soal gaji minimun ini, Dr S Subramanaim, Menteri Sumber Manusia sendiri turut tidak bersetuju dengan Mahathir. Katanya, ekonomi negara tidak akan lingkup dan negara juga tidak muflis dengan polisi gaji minimum kerana ia sudah dilaksanakan di banyak negara di dunia.

Beliau juga mempertahankan bahawa polisi gaji minimum ini diperkenalkan kerana gred gaji pekerja negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan Singapura, Taiwan, Jepun atau pun Korea Selatan.

"Janganlah bandingkan ekonomi kita dengan Laos atau Vietnam," ujar Subramaniam menyindir Mahathir.

Dalam isu hudud yang tiba-tiba muncul kembali, Mahathir juga bersuara kembali. Kalau dulu beliau menentang hudud atas alasan tidak sesuai dengan komposisi rakyat negara ini yang berbilang kaum dan hanya bimbangkan dari segi perlaksanaan keadilan tetapi kali ini beliau menentang kerana kononnya hudud tidak ada dalam Al Quran, sebaliknya hanya ciptaan ahli Feqah semata-mata.

Komen Mahathir yang agak keterlaluan dan jauh menyimpang ini bukan saja diperkatakan rakyat sambil mereka mempertikaikan keimanan serta akidahnya, malahan ulama dalam UMNO sendiri turut bersuara mengecam beliau.

Fathul Bari Mat Jahaya, seorang ulama muda yang mirip kepada UMNO dan selama ini kerap menyerang Pas, tidak dapat meyembunyikan kemarahan dan kekesalannya terhadap komen Mahathir itu. Beliau tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa pandangan seperti itu boleh membawa kepada kekufuran kerana amat jelas dan nyata bahawa hudud adalah suatu hukum ciptaan Allah dan memang terdapat atau disebut dalam Al Quran.

Bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin juga turut menegur dan menyanggah komen Mahathir itu kerana katanya, memang jelas hukum ini terdapat dalam Al Quran dan tidak ada sesiapa wajar mempertikaikannya.

Mahatahir seharusnya memahami bahawa hudud adalah hukum Allah yang tidak boleh disanggah dengan logik akal semata-mata atau hujah pramatang dan ia juga merentasi sempadan kepartian dari segi penerimaan serta kepatuhan terhadap kewujudan hukum itu.

Sesuatu yang jelas terhadap beberapa pandangan dan komen Mahathir kebelakangan ini ialah ternampak beliau semakin tidak relevan, bahkan kadang-kadang agak merapu. Beliau sewajarnya insaf bahawa zamannya berkuasa sudah berlalu dan rakyat sekarang sudah semakin bijak berbanding dahulu.

Generasi baru yang berpendidikan serta anak-anak muda tidak akan semudahnya lagi akur dan bersetuju dengan pandangan salah yang dilontarkan bekas Perdana Menteri itu berbanding generasi lama yang terlalu mengkagumi dan mengiayakan apa saja yang keluar dari mulutnya.

Dalam soal Amerika dan kaitannya dengan pertukaran kerajaan, ramai yang tidak setuju dengan Mahathir. Beliau dilihat terlalu berdendam dan hanya ingin mempertahankan legasinya. Dalam konteks gaji minimum pula, Mahathir dilihat masih berfikiran lama dan tidak dapat menyelami kehidupan anak-anak muda yang masih bergelut untuk menikmati keselesaan hidup. Mungkin kerana anak-anak dan cucunya sudah terjamin kehidupan untuk beberapa keturunan menyebabkan beliau gagal melihat kesusahan orang lain.

Begitu juga dalam isu hudud, komennya yang jelas terkeluar daripada pandangan normal seorang muslim biasa amat menyinggung hati dan perasaan umat Islam seluruhnya. Ahli dan penyokong UMNO sendiri ramai yang tersinggung dan malu dengan komen Mahathir itu kerana dilihat mempersenda Islam dan memburukkan wajah UMNO itu sendiri.

Melihatkan bahawa semakin banyak pandangan dan komen Mahathir yang tidak relevan dan ditolak oleh rakyat, malahan disanggah oleh pendokong UMNO dan BN sendiri sejak akhir-akhir ini, kini mungkin sudah tiba masanya untuk Mahathir duduk diam-diam di rumah menghabiskan hari tuanya bersama cucu sambil menjaga dengan baik status negarawan yang dipegangnya itu.

Lebih buruk kiranya nanti beliau dipersalahkan kerana menjadi salah satu punca UMNO dan BN ditolak rakyat dalam pilihanraya akan datang ini.(SH 07/03/2012).

Tuesday 6 March 2012

Siapakah Berfikiran Munasabah Yang Sesuai Berdebat Dengan Najib?

Dalam percubaannya untuk menjadi seorang yang berani dan ada kelelakian untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim, Najib menulis dalam blognya dengan menyatakan beliau bersedia berdebat dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan serius mengenai masa depan negara.

Sebelum ini Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Rakyat dan diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri kiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya telah mengemukakan cabaran kepada Najib untuk berdebat mengenai pengurusan ekonomi negara.

Idea debat itu timbul setelah pelbagai idea yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat kiranya mereka berjaya mengambil alih kepimpinan negara sebagaimana yang digariskan dalam Buku Jingga ditempelak oleh beberapa pemimpin UMNO dan BN, termasuk Najib sendiri.

Ia antaranya berkaitan penurunan harga minyak, penghapusan kadar tol, penghapusan subsidi, kaedah pengurusan ekonomi yang lebih telus dan mengutamakan kebajikan rakyat serta pelbagai lagi. Para pemimpin UMNO dan BN menempelak Anwar dan pembangkang bahawa idea-idea Pakatan Rakyat itu boleh menyebabkan negara menjadi muflis akhirnya.

Anwar bukan sahaja bersedia berdebat di mana-mana saja lokasi yang dipilih oleh Najib bahkan juga bersedia memberi masa yang lebih lama kepada Najib dalam perdebatan itu. Ia untuk membuktikan idea dan tawaran mereka kepada rakyat adalah sesuatu yang logik serta munasabah dan akhirnya biarlah dinilai dengan saksama oleh rakyat.

Sementara Najib berdiam diri dan tidak berani menyahut cabaran itu, semua pemimpin UMNO menolak idea debat itu, termasuk Tun Mahathir sendiri yang menyatakan debat antara Anwar dan Najib itu hanya membuang masa dan tidak menjamin membawa kebaikan kepada negara.

Setelah agak lama masa berlalu dan debat antara Presiden MCA, Chua Soi Lek dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat pujain pelbagai pihak yang akur bahawa debat itu berjaya merangsang percambahan pemikiran yang positif sama ada kepada rakyat dan pemimpin, Najib akhirnya akur juga bahawa debat dalam apa juga keadaan tetap ada kebaikannya.

Ini kerana debat bukan semata-mata bertujuan mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi untuk melihat sejauh mana idea-idea yang dilontarkan dalam perdebatan itu mampu mencetuskan rangsangan ke arah langkah-langkah yang membawa kebaikan kepada negara.

Malangnya, dalam masa Najib mengakui bahawa debat ada kebaikannya, beliau tetap berhelah untuk mengelakkan beliau berdebat dengan Anwar Ibrahim.

Ungkapan Najib yang menyatakan sedia berdebat dengan sesiapa saja tetapi berkias bahawa orang itu mesti mempunyai pemikiran yang munasabah dan serius mengenai masa depan negara, tidak lebih merupakan kenyataan "orang yang takut dalam berani" dan "orang tidak setuju dalam setuju".

Persoalannya siapakah orang yang berfikiran munasabah dan serius mengenai masa depan negara yang menjadi prasyarat Najib untuk layak berdebat dengannya?

Bukankah Anwar mengajaknya berdebat mengenai pengurusan ekonomi negara dan kepentingan rakyat? Anwar mungkin dianggap tidak serius mengenai masa depan negara dan mempunyai pemikiran yang tidak munasabah jika mengajak Najib berdebat mengenai kes pembunuhan Altantuya, komisyen kapal selam, pembaziran Najib sekeluarga dalam membeli barang-barang mewah atau lain-lain isu peribadi yang diperkatakan rakyat melibatkannya.

Sebagai calon Perdana Menteri yang diuar-uarkan jika Pakatan Rakyat menang PRU 13 ini, Anwar bukan sahaja individu yang paling sesuai berdebat dengan Najib, bahkan topik yaang diajak diperdebatkan juga amat munasabah demi masa depan negara.

Untuk mengakui beliau takut dan tidak mahu berdebat dengan Anwar, mungkin membawa aib terhadap moral politiknya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Tetapi sebenarnya memang Najib cuba mengelak untuk berdebat kerana mungkin beliau sudah dapat menjangkakan hasilnya. Namun beliau agak terpukul bilamana majoriti rakyat mahukan perdebatan itu berlangsung untuk melihat sejauh mana kredebiliti dan kemampuan kedua-duanya, antara beliau dengan Anwar lebih-lebih lagi Chua Soi Lek pula yang secara diam-diam berani berdebat dengan Lim Guan Eng.

Cumanya Najib barangkali memikirkan, dalam beliau cuba mengelak untuk berdebat itu, beliau harus juga menunjukkan kejantanannya.

Hakikatnya Najib memang seorang pemimpin yang suka mengelak tetapi sering ingin menunjukkan keberaniannya. Sebelum ini Najib juga menunjukkan sifat rendah diri dengan memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan UMNO dan BN dalam pilihanraya 2008 lalu, namun hakikatnya Najib tidak berani mengakui segala kesilapan dan memohon maaf atas pelbagai salah dan silapnya sejak menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.

Beliau hanya berani memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah tetapi menyembunyikan kesilapannya sendiri.

Begitu juga dlam isu debat ini, beliau sebenarnya takut dan tidak punyai kekuatan tetapi dalam masa yang sama ingin pula menunjuk berani kononnya hanya sedia sedia berdebat dengan mereka yang berfikiran munasabah dan untuk kepentingan negara sahaja.

Jika bukan dengan Anwar, dengan siapakah lagi Najib mahu berdebat?

Kiranya Najib ingin juga berdebat dengan sesiapa yang dirasakannya berfikiran munasabah dan dalam masa yang sama ingin dilihat muncul sebagai pemenang serta disanjung oleh lawannya, berdebatlah dengan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dan Pengerusi Jati, Dr. Hassan Ali. Pasti hasilnya memuaskan hati beliau. (SH 6/03/2012).

Monday 5 March 2012

Mohon Maaf - Najib Cuba Main Wayang Lagi....

Dalam tempoh dua minggu ini sudah dua kali Najib memohon maaf kepada rakyat. Di Pelabuhan Kelang, dalam program bertemu rakyat di sana dua minggu lalu, Najib mengakui bahawa BN ada melakukan beberapa kesilapan di negeri Selangor sehingga mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.

Menurut Perdana Menteri, UMNO dan BN kini sudah insaf atas kesilapan lalu dan memohon maaf sambil berjanji tdak akan mengulangi lagi kesilapan lalu kiranya diberi peluang berkuasa semula di Selangor.

Semalam di Kedah, Najib sekali lagi memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan UMNO dan BN pada pilihanraya 2008 lalu yang menyebabkan beberapa negeri tumbang kepada Pakatan Rakyat serta kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau juga berjanji akan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan itu serta berazam tidak akan menguanginya lagi demi kepentingan rakyat, kononnya.

Dalam kedua-dua permohonan maaf itu, Najib tidak lupa meminta rakyat untuk terus mempercayai UMNO dan BN dalam membela dan memperjuangkan nasib serta masa depan mereka. Untuk itu maka beliau meminta rakyat supaya terus memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk mentadbir negara serta mengembalikan kuasa di negeri-negeri yang BN pernah memerintah dahulu.

Namun jika diamat-amati, apakah yang peliknya dalam permohonan maaf itu? Pertama, Najib meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan oleh dan semasa pemerintahan Tun Abdullah Badawi dan keduanya, Najib langsung tidak menyebut tentang kesilapan atau kesalahan yang dilakukannya sendiri sejak menjadi Perdana Menteri bermula April 2009 lalu.

Apakah hanya Pak Lah yang melakukan kesalahan dan kenapa Najib meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan Pak Lah?

Najib dalam hal ini seolah-olah cuba meletakkan dirinya suci bersih dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan sejak menjadi Perdana Menteri. Beliau hanya melihat kesilapan dan kesalahan Pak Lah saja sedangkan salah dan silap beliau sendiri bertimbun banyaknya.

Untuk menunjukkan keikhlasannya dalam memohon maaf, Najib sewajarnya memohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya, bukan atas kesalahan Perdana Menteri terdahulu. Beliau mungkin boleh meminta maaf kerana terus boros dan berbelanja mewah meskipun rakyat diminta berjimat cermat. Najib juga kena meminta maaf kerana gagal memberi kesejahteraan yang terbaik buat rakyat, sebaliknya banyak subsidi dipotong dan harga barang meningkat naik.

Najib juga boleh meminta maaf kerana tidak memberi royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan kemudian melabelkan negeri itu termiskin sekali. Dan sebagai bukti keikhlasannya, royalti itu seharusnya segera diberikan.

Perlu juga Najib meminta maaf kerana kelemahannya sebagai pemimpin telah menjadikan orang-orang Melayu seperti sudah hilang ketuanannya sekarang, sebaliknya beliau lebih memberi muka dan memanjakan bangsa-bangsa lain.

Sebagai Perdana Meteri, Najib juga perlu meminta maaf atas pelbagai kepincangan dalam pentadbirannya seperti gejala rasuah, nepotisme, kronisme, skandal lembu NFC, kehilangan enjin jet yang memalukan negara, skandal kapal selam yang diperkatakan di seluruh dunia dan pelbagai lagi.

Kepada umat Islam, Najib juga perlu meminta maaf atas keterlanjurannya menghadiri perayaan Thaipusam dan berlebih-lebihan menunjuk-nunjuk ketika pergi menunaikan haji tahun lalu.

Tidak lupa, Najib juga harus meminta maaf kepada rakyat atas kegagalannya mengawal isterinya, Rosmah Mansor daripada bergaya mewah dan berbelanja boros di ketika rakyat menanggung pelbagai kesusahan sehingga menyebabkan imej UNNO dan negara tercemar di mata dunia.

Kiranya Najib ihlas ingin meminta maaf, itulah antara perkara-perkara yang perlu beliau memohon maaf kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia. Itu mungkin sebahagian daripada kesalahan Najib yang diperbualkan saban hari oleh rakyat dari pelbagai lapisan. Senarai kesalahan beliau yang sebenarnya mungkin lebih panjang daripada Lebuhraya Utara - Selatan jika mahu dibariskan satu persatu.

Yang pentingnya Najib harus berani mengakui kesalahannya dan memohon maaf. Bukannya memohon maaf atas kesalahan orang lain. Kesalahan Pak Lah pada 2008 mungkin sudah menjadi sejarah bagi negara tetapi yang penting apakah Najib sebagai penggantinya mempunyai iltizam yang tinggi untuk memperbetulkan semua kesalahan dan kesilapan itu. Jauh sekali mengulanginya.

Najib bukan saja tidak mahu membetulkan segala kesilapan yang berlaku malahan menjadikannya bertambah buruk. Baik dari segi ekonomi, indeks rasuah, perpaduan kaum, pengurusan kerajaan dan sebagainya, semuanya menjadi bertambah parah sebaik Najib mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Jadi, kenapa tiba-tiba mahu memohon maaf?

Tindakan Najb memohon maaf tidak lebih sebagai langkah terakhir menambat hati rakyat supaya terus menyokong UMNO dan BN. Beliau cuba bermain wayang kulit saja. Iltizam untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan kesilapan langsung tidak kelihatan. Janji untuk berubah, sudah insaf dan menjadi lebih baik hanya dijanji akan dilakukan sekiranya rakyat terus memberi kemenangan kepada UMNO dan BN sedangkan ketika mereka sedang berkuasa langsung tidak ternampak usaha yang meyakinkan ke arah itu.

Jika ingin berubah dan menolong rakyat, semua itu boleh dilakukan sekarang kerana BN masih berkuasa. Najib tidak perlu bermain wayang kulit dengan menunjuk baik dan sudah insaf tetapi dalam masa yang sama meminta ganjaran agar diberikan undi dan sokongan.

Najib hanya memohon maaf dan merayu kepada rakyat untuk kepentingan mendapatkan undi dan sokongan semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Hanya setelah dirasakan rakyat masih tidak berpihak kepadanya, barulah permohonan maaf itu dilakukan. Tiga tahun sebelum ini sejak beliau menjadi Perdana Menteri, tidak pernah pula beliau mahu meminta maaf. Lagi pula kesalahan dan kesilapan beliau sendiri lebih banyak menjadi beban kepada negara dan rakyat. Jika dirasakan rakyat tetap menyokong dan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan, kata-kata maaf hanya disimpan dalam hati sahaja.

Jika Najib ikhlas untuk meminta maaf, beliau seharusnya meminta maaf atas kesilapannya sepanjang menjadi Perdana Menteri saja serta berjanji tidak mengulangi semua kesilapan itu. Beliau tidak perlu memohon maaf bagi kesalahan dan kesilapan orang lain.

Oleh kerana Najib tidak meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya, jika rakyat menerima permohonan maaf itu bermakna rakyat reda terhadap semua gejala rasuah, nepotisme, kronisme, skandal, penyelewengan dan sebagainya yang berlaku selama ini.

Maka, jika UMNO dan BN terus diberi peluang untuk berkuasa, bersedialah untuk menerima lebih banyak lagi skandal seperti lembu NFC, kapal selam, kehilangan enjin jet dan pelbagai jenis rasuah dalam skala yang yang lebih besar lagi. (SH 4/03/2012)

Friday 2 March 2012

Najib Cuba Malukan Mahathir Mengenai Israel

Melihat kepada ketiga-tiga pucuk surat yag pernah ditulis oleh Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin pada 1993, Benjamin Netanyahu pada 1997 dan Ehud Barak pada 1999, jelas sekali bahawa ia tidak banyak membantu memulihkan persepsi rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai perkara mengenai Israel.

Ia juga jauh dari sasaran untuk menghenyak Anwar yang dalam temubualnya dengan AWSJ mahu menjamin keselamatan negara Israel dengan syarat aspirasi perjuangan rakyat Palestin dipenuhi dulu. Temubual dengan Anwar yang hanya dikutip separuh dan ditinggalkan separuh lagi telah digunakan semahu-mahunya untuk menjejaskan reputasi Anwar dan PR menjelang pilihanraya akan datang.

Di sebalik pelbagai rentetan lainnya, Mahathir juga membuat dakwaan bahawa Amerika dan Israel memang menghendaki Anwar sebagai pemimpin Malaysia supaya boleh dijadikan boneka oleh mereka. Anwar juga dituduh akan mengiktiraf Israel dan menjalin hubungan diplomatik sekiranya menjadi Perdana Menteri.

Serangan balas kemudian bermula dan berterusan agak lama. Dan Najib yang melantik APCO, sebuah firma perhubungan awam antarabangsa yang dikaitkan dengan Yahudi serta dengan kos RM77 juta setahun, turut terpalit sama.

Mahathir, di sebalik wataknya yang keras terhadap Barat dan sokongan yang berterusan kepada Palestin, telah dikaitkan mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Israel. Lebih dari itu Mahathir juga dituduh membenarkan hubungan dagang yang aktif dengan Israel serta memberi kebenaran kepada beberapa kunjungan pasukan dan ahli sukan Israel ke nagara ini.

Untuk menangkis secara tuduhan dan cakap-cakap itu dan juga disamping untuk membuktikan keada umum bahawa kononnya hanya Anwar Ibrahim yang cenderung ke arah menyokong Israel berikutan temubualnya dentan AWSJ baru-baru ini, Najib telah mengambil keputusan untuk mendedahkan surat-surat Mahathir itu kepada pengetahuan umum.

Tujuannya ialah untuk rakyat menilai dan juga membuktikan bahawa Mahathir tetap menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak sesekali pernah mengiktiraf negara Israel.

Namun sebaik meneliti surat-surat Mahathir itu, walaupun ia memperlihatkan sokongan Mahathir kepada perjuangan rakyat Palestin, ia juga menyerlahkan watak sebenar Mahathir yang cuba berbaik dan menjalin hubungan dengan Israel.

Di sebalik sikap kerasnya kepada Barat dan kecaman yang lantang terhadap Israel serta penglibatannya dalam banyak program membantu rakyat Palestin, Mahathir nyata mempunyai pendirian berbeza melalui surat-suratnya itu.

Dalam surat kepada ketiga-tiga surat itu ternampak jelas niat dan keinginan Mahathir untuk menjalin hubungan dengan Israel, suatu pendekatan yang nyata berbeza dengan pendirian Anwar sebagaimana temubualnya dengan AWSJ. Walaupun Anwar mahu menjamin keselamatan Israel setelah aspirasi perjuangan Palestin dipenuhi tetapi menolak sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin, antara yang ditulis Mahathir ialah "Demi prinsip umum, Malaysia sedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai."

"Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel." (Bahagian ini ditulis tangan oleh Mahathir).

Dalam suratnya kepada Benjamin Netanyahu pula, Mahathir menulis "Kami bersedia mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi belum dapat berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh kerajaan Israel yang sah. Kami ingin memikirkan bahawa sebaik saja mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan menjadi hubungan yang tetap"

Sementara dalam suratnya kepada Ehud Barak, Mahathir menyatakan "Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel."

Ternyata amat jelas niat dan keinginan Mahathir untuk menjalin hubungan dengan Israel itu diluahkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh sesiapa sahaja.

Kalau Anwar dikaitkan untuk menjamin keselamatan negara Israel setelah aspirasi perjuangan rakyat Palestin dipenuhi terlebih dahulu, maka apakah yang mahu ditafsirkan melalui surat-surat Mahathir ini. Nyata sekali Mahathir sudah pergi ke jauh ke depan dengan niat dan keinginan untuk membina hubungan diplomatik dengan Israel.

Yang pastinya surat-surat ini sama-sekali tidak menguntungkan Mahathir, sebaliknya mendedahkan tembelangnya yang sebenar kepada umum.

Apakah dengan pendedahan ini, ia sebenarnya merupakan muslihat halus Najib untuk memalukan Mahathir dan juga strategi supaya bekas Perdana Menteri itu perlu banyak berdiam diri sekarang ini?

Tersangat jelas bahawa kandungan surat-surat ini tidak membantu Mahathir langsung. Ia malahan berjaya meremehkan watak keras dan sokongan Mahathir kepada Palestin selama ini.

Dalam masa yang sama, tersebar pula berita bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdulah Badawi atau Pak Lah akan terus dikekalkan bertanding di Kepala Batas dalam pilihanraya akan datang kerana dianggap memenuhi ciri-ciri "winnable" yang menjadi garis panduan Najib ketika ini.

Mahathir yang kini amat rapat dengan Najib tentunya tidak gembira dengan berita Pak Lah dicalonkan semula ini, malahan dirasakan dendam dan kebencian Mahathir terhadap Pak Lah hanya berakhir setelah nyawa terpisah dari badan.

Selain itu, Khairy Jamaluddin atau KJ pula dikhabarkan akan dilantik sebagai Pengerusi PUNB dalam waktu terdekat ini sebagai sebahagian usaha Najib memberinya kekuatan tambahan menghadapi PRU 13 ini. Sudah tentu KJ juga akan dicalonkan sekali lagi mempertahankan kerusi Rembaunya.

Kedua-dua perkhabaran mengenai Pak Lah dan KJ ini tentunya tidak menggembirakan Mahathir. Tekanan darahnya mungkin sedang memuncak tetapi dengan pendedahan surat-surat kepada Perdana Menteri Israel yang melondehkan watak dan niat Mahathir mengenai Israel itu, tiada apa yang boleh dilakukan Mahathir. Mulutnya bagaikan terkunci dan kebolehpercayaan umum terutama umat Islam kepadanya juga mulai berkurangan berikutan pendedahan surat-surat itu.

Beliau terpaksa berdiam diri dan menelan hakikat bahawa itulah dirinya yang sebenar. Dan Najib mungkin sedang tersenyum sendirian sambil mempunyai sedikit keselesaan untuk menentukan calon-calon dalam pilihanraya yang bakal tiba. (SH 2/03/2012).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...